Saturday, January 26, 2008

Perhimpunan Aman Rakyat: Strategi Baru UMNO


Saya baru pulang daripada menyertai perhimpunan aman rakyat membantah kenaikkan harga minyak dan barangan keperluan di sekitar KLCC sebentar tadi. Kesimpulannya, Pak Lah dan kuncu-kuncunya nampak begitu terdesak sekali dan sanggup mengkudakayukan pihak polis semaksima yang mungkin untuk menutup kemarahan rakyat. Pihak polis pula, sekali lagi telah membiarkan diri mereka menjadi alat tunggangan UMNO dan bersedia melacurkan prinsip keadilan dan profesionalisme mereka dengan bertindak zalim ke atas rakyat yang datang dengan aman untuk menyatakan kesulitan hidup yang mereka hadapi.

Di dalam pengamatan saya, terhadap beberapa perubahan strategi yang pihak polis telah ambil berbanding perhimpunan aman yang lalu. Buat kali kedua injunksi mahkamah telah diperolehi melarang mana-mana pihak daripada berhimpun di sekitar KLCC. Dan buat pertama kalinya mereka secara membuta tuli memberkas sesiapa saja yang disyaki berhasrat untuk menyertai perhimpunan aman ini. Malah individu yang memakai baju kuning BERSIH akan diberkas sertamerta jika berada di sekitar kawasan berkenaan. Mana-mana pemimpin parti pembangkang dan NGO yang berada di sekitar kawasan turut ditahan sertamerta. Kawasan operasi tidak terhad di sekitar KLCC sahaja malah diperluaskan hingga ke Ampang Park. Ramai juga peserta perhimpunan yang ditangkap berhampiran Hotel Nikko.

Saya menganggap tindakan ‘paranoia’ pihak polis ini berkait rapat dengan tekanan yang dihadapi oleh Pak Lah dan UMNO menjelang pilihanraya umum akan datang (diberitakan pembubaran parlimen ialah pada 26 Februari 2008 dan pengundian pada 15 Mac 2008). Pak Lah benar-benar ingin menutup segala perkara yang boleh memburukkan imej BN agar ‘feel good factor’ mudah di’spin’ oleh satu lagi kuda tunggangan mereka iaitu akhbar dan tv. Beliau tidak mahu sebarang isu atau insiden yang boleh menggangu gugat tarikh pilihanraya ini kerana jika ditangguhkan lagi, faktor Anwar layak bertanding tentunya lebih menggerikan lagi.

Lagi satu sebab kenapa tindakan liar pihak polis iaitu untuk ‘mengajar’ rakyat yang lain bahawa polis akan mengambil tindakan yang serupa ke atas mereka jika mereka berani menyertai perhimpunan serupa di masa-masa akan datang. Dalam perkataan lain mereka cuba mewujudkan ‘fear culture’ di kalangan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan. Jika sekiranya 58 orang yang ditahan setakat ini tidak dibebaskan malam ini, maka ini membawa satu lagi implikasi bahawa Pak Lah cuba memberi tekanan kepada yang ditahan dan mereka-mereka yang bakal ditahan bahawa kepayahan di dalam bentuk kewangan yakni ikat jamin dan naik turun mahkamah. Pendekata, strategi baru mereka ialah menakut-nakutkan rakyat dengan tangkapan, ikat jamin dan naik turun mahkamah walaupun kita tahu akhirnya OKT ini akan dibebaskan kerana mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan. Mereka hanya melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat yang mengamalkan prinsip demorasi yakni hak berhimpun secara aman.

Sikap tidak professional polis berkait rapat dengan kebejatan ketua mereka, Musa Tilam yang merupakan kroni ‘hard core’ UMNO. Rakyat ditangkap sewenang-wenangnya kemudian diperlakukan dengan kasar sedangkan perompak penyamun termasuk yang membunuh adik Nurin dan yang mencolek adik Sharlinie masih berkeliaran mencari mangsa baru. Ratusan polis dikerah menjaga rakyat yang datang secara AMAN untuk membantah kebejatan pemimpin UMNO di dalam menanggani masaalah kenaikkan kos sara hidup sedangkan khidmat mereka diperlukan untuk menanggani jenayah di tempat lain. Tetapi apa nak dikata, kalau atas dah haprak sampai ke ekorlah hapraknya.

Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang masih cintakan negara ini supaya bangun dan berusaha bersungguh-sungguh meyakinkan semua bahawa kita tidak ada pilihan lain melainkan menukar kerajaan BN yang korup dan zalim ini. Selagi kita tidak berbuat demikian, usaha untuk membetulkan aspek pemerintahan yang lain seperti polis, kehakiman, dan lain-lain lagi hanyalah impian di siang hari kerana semuanya menjadi barua kepada UMNO dan BN. Kita perlu terus berjuang dan mendesak mereka dengan perhimpunan yang lebih besar. Tekanan bertubi-tubi perlu dibuat menjelang pilihanraya supaya kesannya lebih terasa dan cadangan Pesta Rakyat ‘Jom BERSIH’ pada 23 Februari ini amat relevan sekali. Cuma permintaan saya kepada pihak penganjur supaya merancang dengan baik dan kepada rakyat semua supaya berani menyertainya beramai-ramai.

Anak Bapa: Ketika di depan KLCC tadi sempat juga saya menegur beberapa orang polis dan SB bahawa apa yang kita lakukan adalah untuk kebaikan semua termasuk juga anggota polis. Seluruh rakyat termasuk polis terkesan dengan kenaikkan harga minyak dan barangan keperluan. Mereka bersetuju dengan saya tetapi bagai yang dijangka, jawapan mereka ialah “kami hanya menjalankan tugas’. Kamu tahu kerja ini adalah zalim dan tidak betul tetapi kamu sanggup lakukan kerana mengemis seringgit dua daripada UMNO/BN yang korup dan zalim. Berhenti saja dan cari kerja lain. Kalau di dunia pun tahu tak betul bila mati nanti di depan Allah apa kau orang nak jawab?

video

Thursday, January 24, 2008

Sandiwara UMNO Yang Buruk Dan Meloyakan

Dr. Mahathir, di dalam komennya ketika bertemu para bloggers tahun lepas, ada menyebut bahawa UMNO tidak mungkin akan berubah, hanya rakyat saja yang boleh mengubahnya (dengan mengundi pembangkang).

Benar sekali telahan beliau! Walaupun dilanda pelbagai skandal dan penyelewengan sejak beliau sendiri dan selepas itu Pak Lah memegang tampuk pemerintahan negara, kita tidak lihat sedikit pun rasa gusar atau kekesalan UMNO dek perbuatan mereka. Malah mereka menjadi semakin sombong dan angkuh, dan berterusan seperti biasa dengan kerja-kerja kotor mereka, merompak dan memunggah harta rakyat untuk disumbat ke dalam tembolok mereka.

Lihat saja prosiding Suruhanjaya DiRaja mengenai skandal VK Lingham yang sedang berlangsung ketika ini. Selepas berhempas pulas menekan Pak Lah, rakyat akhirnya berjaya memaksanya supaya mewujudkan Suruhanjaya ini. Suruhanjaya ini amat penting kerana hasil siasatan dan cadangannya akan menentukan samada badan kehakiman negara dapat dipulihkan lagi atau tidak. Awal-awal lagi kita telah mempertikaikan komposisi panel Suruhanjaya ini terutama Pengerusinya, Haidar kerana sedikit sebanyak terlibat di dalam skandal pemecatan Tun Salleh Abas dahulu. Namun kita sanggup memberikan mereka “benefit of the doubt” dengan mengambil sikap tunggu dan lihat dahulu ke atas prosidingnya sebelum kita membuat sebarang ulasan. Walaubagaimanapun syak wasangka kita menjadi kenyataan selepas penampilan beberapa saksi utama termasuk Dr. Mahathir, “Tengku” Adnan, Eusoff Chin, dan Lingham. Golongan ini tanpa segan silu memutar belit kenyataan, menipu, berbohong, mempunyai ingatan berpilih-pilih, dan secara tidak langsung telah memusnahkan langsung kredibiliti Suruhanjaya ini yang memang telah pun tercemar. Cara pembawaan mereka di hadapan panel Suruhanjaya membuktikan tiada kekesalan langsung di sanubari mereka terhadap kebobrokan yang mereka telah lakukan selama ini dan saya percaya ia sememangnya menjadi budaya kepimpinan dan kroni UMNO dan BN untuk hidup di dalam kepura-puraan dan masih mengganggap rakyat mempunyai minda tahun 50an dan 60an dan dengan itu boleh diperbodoh dan ditipu. Dalam pada itu, saksi-saksi penting lain termasuk abang kepada Lingham dan Anwar Ibrahim tidak dipanggil dan dipercayai besar kemungkinan tidak berpeluang berhujah di depan Suruhanjaya ini. Kalau bukan sandiwara namanya saya tidak tahu apa kita nak panggil jenis lakonan ini.

Apabila HINDRAF terpaksa ke jalan-jalan raya bagi menuntut hak kaum India, apa yang Pak Lah boleh bagi hanya cuti Thaipusam untuk KL dan Putrajaya. Mungkin kalau HINDRAF buat demonstrasi lagi tahun ini dapat pula cuti Thaipusam tahun depan untuk negeri Pahang, lepas tu Kedah dan seterusnya. Kalau orang-orang India mudah termakan dengan gimik yang memualkan ini, saya ucapkan syabas dan anda memang layak menjadi hamba BN dulu, kini dan selamanya.

Di kala Pak Lah dilantik menjadi PM 4 tahun lepas, beliau berjanji akan lebih telus di dalam pemberian kontrak dan ini bermakna pemberian tender secara terbuka. Hari ini kita dapati bukan makin kurang tetapi makin banyak tender secara rundingan yang ditawarkan, dan kita yakini menelan berbilion ringgit wang negara dan tidak kurang ringgitnya yang masuk ke kantung anak pinak dan kroninya. Bukan setakat pemberian tender kepada pihak kontraktor sahaja, malah wang negara pernah diagih secara langsung oleh Pak Lah kepada Ketua-Ketua Bahagian UMNO (sebelum Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas), sesuatu yang Dr. Mahathir sendiri tidak pernah lakukan (secara terbuka) dahulu. Bagi UMNO dan BN wang negara ini adalah hak mutlak mereka dan mak bapa mereka dan dengan itu boleh diperlakukan apa saja tanpa ada pertanggungjawaban kepada rakyat.

Tradisi Menipu Rakyat ini telah lama mereka amalkan dan jika rakyat dapat tahu penipuan mereka, maka media yang mereka kawal digunakan sepenuhnya untuk “spin” cerita supaya imej mereka akan sentiasa terpelihara. Lihat saja janji mereka ketika membentangkan belanjawan tahun lepas bahawa kerajaan telah memansuhkan yuran persekolahan dan kini (menurut Hishamuddin) Malaysia adalah antara negara istimewa yang memberikan pendidikan percuma kepada rakyatnya. Banyak pihak menyambut baik pengumuman ini dan di Dewan Rakyat tepukan gemuruh diberikan kepada Pak Lah. Suasana “feel good” ini hanya bertahan sehingga akhir Disember, kerana sebaik saja ibubapa mula mendaftar persekolahan anak masing-masing pada awal Januari, mereka semua terkejut beruk. Apa yang mereka alami berbeda daripada “indah khabar” Pak Lah yakni yuran percuma yang didakwa itu hanyalah yuran persekolah RM4.50 untuk sekolah rendah dan RM9.00 untuk sekolah menengah sedangkan yuran-yuran lain yang lebih besar tetap perlu dilunaskan. Malah kesengsaraan mereka makin bertambah apabila mendapati jumlah yuran sebenarnya meningkat daripada tahun lepas dengan pengenalan pelbagai yuran baru termasuk yuran tandas!

Kepincangan yang berterusan dan acapkalinya berulang-ulang menandakan ketidakprihatinan mereka kepada kehendak rakyat. Dan apabila rakyat bangun memprotes, mereka bersandiwara kononnya itu kelemahan kakitangan pihak itu dan ini atau kesilapan media, atau menggunakan media untuk memuntahkan pelbagai statistik yang “menyokong” segala program mereka. Strategi penipuan ini telah lama mereka lakukan dan mereka berkeyakinan penuh rakyat akan mudah digula-gulakan dengan pelbagai cerita menarik dan dengan itu akan berterusan memberi sokongan kepada kerajaan UMNO dan BN. Sebagai contoh, isu pembelajaran Sains dan Matematik menggunakan bahasa Inggeris di sekolah. Walaupun pelbagai pihak menyuarakan bantahan termasuk parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan, para cendiakawan, malah ibubapa dan guru-guru sendiri tetapi mereka tetap berdegil meneruskannya. Justeru itu, apabila didapati ramai pelajar telah merosot pencapaian mereka terutama yang di luar bandar, mereka bukan menukar semula ke bahasa Melayu tetapi sebaliknya merendahkan gred kelulusan semata-mata untuk menunjukkan pencapaian pelajar adalah munasabah. Begitu juga apabila didapati Pengerusi SPR akan tamat tempoh perkhidmatan akhir tahun lepas, bukan mereka usahakan mencari penggantinya yang lebih berwibawa sebaliknya mereka sanggup merubah perlembagaan negara semata-mata untuk meneruskan khidmat Rashid. Ini kerana mereka tahu Yang DiPertuan Agong tidak akan menyambung khidmat Rashid yang terkenal dengan pembohongan dan tukang bodek UMNO nombor satu, dan BN amat memerlukan Rashid bagi memenangkan (yakni tukang tipu) mereka di dalam pilihanraya umum akan datang.

Saya boleh menyenaraikan berpuluh-puluh lagi sandiwara UMNO yang di depan rakyat nampak manis dan menarik sekali tetapi hakikatnya buruk dan memualkan. Ini belum termasuk lakonan Najib Altantunya yang bercakap bab mesjid dan Islam apabila di Kelantan dan Terengganu dan bercerita bab fulus dan bagaimana nak layani Suruhanjaya DiRaja apabila bertemu Vincent Tan di Hotel Orchard Singapura pada hari Krismas yang lepas. Selagi rakyat mahu mempercayai gelagat penyangak pemimpin dan kroni UMNO maka selagi itulah media mereka akan berjaya menipu kita. Mari kita buat-buat buta dan pekak kepada apa saja cerita dan dongeng mereka mulai sekarang sehingga hari mengundi dan menetapkan fikiran kita HANYA AKAN MENGUNDI SELAIN DARIPADA BN walaupun calun pembangkang daripada pokok pisang sekali pun pada pilihanraya umum akan datang. Dengan cara ini saja kita boleh sampaikan mesej kepada UMNO dan BN bahawa “we are not amused with your charade” atau dalam perkataan lain “boleh jalan daaaa….”.

Anak Bapa: Di zaman ICT ni kita lihat pimpinan UMNO dan BN semakin hari semakin menjadi tidak relevan, dah sampai peringkat jadi dinosaur, hanya sesuai di muzium atau diawet jadi keras macam batu. Tok sah dok percaya cakap mereka, semuanya penipu dan terselit dengan semua jenis kepentingan diri dan kroni mereka. Dah berpuluh-puluh kali kena tipu takkan nak biar kena tipu lagi. Jangan jadi bodoh, beranikan diri dan buat perubahan.

Sunday, January 20, 2008

Cerita Menarik Kickdefella dan Malaysia Today

Bahang pilihanraya begitu terasa seolah-olah parlimen akan dibubarkan sehari dua lagi. Semua pihak sibuk memperkatakan mengenai fenomena 5 tahun sekali ini yang kebiasaannya disambut jauh lebih hebat dari segala jenis raya lain. Di alam siber, para bloggers juga tidak ketinggalan berbicara dan berdialog, malah ada ketikanya berdebat dan berpolemik tentang pelbagai aspek pilihanraya umum akan datang. Antara banyak-banyak postings yang dilayari sehari dua ini, saya amat tertarik pada komen-komen daripada blog Kickdefella dan laman web Malaysia Today berkaitan kerjasama sesama parti pembangkang dan dengan itu wajar diperincikan untuk tatapan bersama.

Saya begitu teruja dengan komen Sheih di dalam blognya Kickdefella dan sentiasa mengikuti pandangan-pandangan “unconventional”nya yang kadangkala agak kontroversi dan sensasi. Namun saya menghormati pandangan beliau walaupun ada sesetengah pandangannya tidak begitu saya persetujui. Tulisan mutakhir beliau berkaitan barisan pembangkang dan pilihanraya telah menjadi begitu kontroversi sehingga artikel berkenaan terpaksa dikeluarkan daripada blognya. Artikel bertajuk “As murky as it can be” dan “Viagra for the oppositions” saya dapati sarat dengan komen, pandangan dan kritikan pedas kepada sikap dan kepimpinan parti-parti pembangkang di dalam menghadapi pilihanraya akan datang.

Saya akui, setelah membaca artikel-artikel berkenaan berulangkali, bahawa Sheih berniat baik di dalam penulisannya. Walaupun beliau seorang ahli UMNO, pandangan ikhlas beliau wajar diberi perhatian dan dijadikan tajuk perbincangan sesama kita. Malah saya yakin kebanyakkan bloggers “brutal” lain pun seperti Raja Petra, Bakaq, Zorro dan lain-lain adalah antara insan-insan yang ikhlas di dalam penulisan mereka. Jikalau tidak, masakan mereka sanggup membahayakan diri dengan tulisan-tulisan kontroversi dan pendedahan yang boleh mengancam UMNO dan BN! Mungkin gaya penulisan mereka kadangkala agak keterlaluan (?) dan tidak dapat ditelan oleh majoriti rakyat Malaysia, tetapi kita perlu ingat bahawa kepelbagaian adalah satu kemestian untuk mengalahkan musuh yang kuat seperti UMNO dan BN. Pesakit yang sedang pengsan di atas katil kadangkala tidak dapat kita sedarkan sekadar mengoyang-goyangkan badannya atau menyapu air sejuk ke mukanya saja. Adakalanya kita terpaksa menggunakan kejutan elektrik untuk menyedarkannya. Walaupun nampak kaedah ini agak kasar tetapi di dalam keadaan tertentu ia membawa hasil!

Untuk makluman Sheih, saya adalah seorang ahli PAS yang agak lama dan dari latarbelakang golongan profesional. Saya aktif dengan PAS sebaik saja pulang daripada belajar di England pada tahun 1984. Sudah 24 tahun saya bersama dengan PAS dan dengan pengalaman yang tidak seberapa ini ingin saya berkongsi dengan Sheih bagaimana perasaan saya apabila berhadapan dengan sesetengah pimpinan dan ahli PAS. Beberapa peristiwa besar telah saya lalui di dalam masa 24 tahun ini termasuk peralihan kuasa kepimpinan PAS daripada Dato’ Asri kepada Haji Yusof Rawa (bermulanya era Kepimpinan Ulamak), Peristiwa Memali, Ustaz Fadhil Noor menjadi Presiden PAS, Ustaz Nakhaie keluar PAS dan menyertai UMNO, pembentukkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dengan Parti Semangat 46, Kelantan ditawan APU (34-0), DS Anwar Ibrahim disingkir daripada UMNO dan dipenjarakan, pembentukkan Barisan Alternatif (BA), kematian Ustaz Fadhil dan pemilihan Ustaz Hadi sebagai Presiden baru PAS, dan banyak lagi peristiwa yang terlalu panjang untuk disenaraikan. Pendek kata saya telah lalui zaman PAS di kala jumlah pokok pisang dan kelapa lebih banyak daripada orang yang datang mendengar ceramah berbanding kehadiran ribuan atau puluhan ribu hari ini. Perisitiwa-peristiwa dialami ini telah berjaya mendewasakan kita dan juga menjelaskan lagi sikap dan keperibadian sesetengah kalangan kita.

Memanglah diakui bahawa banyak kelemahan yang wujud di dalam PAS. Tetapi suatu yang pasti, majoriti pemimpin dan ahli PAS adalah dari kalangan mereka yang ikhlas di dalam perjuangan. Mereka sanggup menghadapi segala rintangan dan berkorban apa saja demi melihat Islam ditegakkan. Ini telah mereka buktikan sejak dahulu hingga ke hari ini. Mungkin kadang-kadang cara mereka boleh dianggap sebagai tidak begitu “mesra rakyat” terutama di dalam negara berbilang bangsa seperti Malaysia, tetapi usaha berterusan untuk memperbaiki aspek ini yang dimulai oleh Ustaz Fadhil Noor telah banyak membawa perubahan kepada PAS. Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah kesukaran atau lambat untuk kita melakukan perubahan di dalam PAS. Ustaz Fadhil menghadapi begitu banyak rintangan dan terpaksa berdepan dengan kritikan pedas ahli-ahli PAS apabila beliau memulakan program “memasyarakatkan PAS”. Malah beliau pernah dituduh cuba mengUMNOkan PAS dan langkah-langkahnya boleh mencemarkan Islam yang dibawa parti. Namun hasil kecekalan beliau dan sokongan sebahagian besar ahli, Ustaz Fadhil berjaya membawa PAS ke suatu mercu yang menjadikannya sangat relevan pada hari ini. Fenomena ini tidaklah menghairankan jika kita melihat dengan teliti struktur organisasi PAS itu sendiri. PAS menghulur tangan kepada sesiapa saja yang ingin menyertainya asalkan individu berkenaan seorang Islam, berumur lebih 18 tahun dan warganegara Malaysia. Pada satu segi ini memang baik, tetapi masaalahnya ia akan membuka pintu pagar kepada segenap lapisan masyarakat dan dari pelbagai latarbelakang untuk menyertai PAS. Hasilnya kita akan dapati seribu satu jenis manusia dengan seribu satu jenis ragam mewarnai PAS dan ikatan sesama mereka hanya satu saja iaitu Islam. Memandangkan mesej Islam itu sendiri amat luas dan terdedah kepada banyak tafsiran terutama di dalam aspek politik dan perjuangan, maka kita akan dapati banyak aliran dan pendekatan akan wujud di dalam PAS dan bergantung kepada kepimpinan untuk menerimapakai “approach” mana yang sesuai dan efektif. Di sinilah yang selalu menimbulkan banyak permasaalahan dan kadangkala menimbulkan pergeseran antara apa yang disebut golongan “ulamak” dan golongan “profesional”.

Sebenarnya fenomena “ulamak dan profesional” ini adalah hasil daripada persepsi kalangan luar PAS sahaja kerana ramai kalangan ulamak PAS adalah terdiri daripada mereka-mereka yang sangat “profesional” seperti Dr. Harun Din, Ustaz Nasharuddin, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Nik Aziz dan ramai lagi. Malah Ustaz Hadi sendiri adalah seorang ulamak yang sangat terbuka di dalam pendekatannya. Cuma apa yang beliau perlukan ialah sokongan dan bantuan yang lebih hebat daripada pimpinan lain di dalam aspek-aspek tertentu yang beliau agak kekurangan. Justeru itu saya amat mengharapkan orang-orang seperti Ustaz Nasha, Dato’ Kamaruddin, Dr. Hatta, Mat Sabu, Dato’ Husam dan lain-lain dapat terus menerus memberi sumbangan bermakna kepada Presiden PAS di dalam memperkemas halatuju PAS dan memastikan proses transformasi PAS berjalan lancar. PAS perlu berfikiran besar kerana ia satu-satunya parti yang mampu menandingi UMNO dan mengambilalih tampuk pemerintahan negara. Pemimpin dan ahli PAS perlu menanam di dalam benak fikiran mereka bahawa mereka bukan lagi berperanan sebagai pembangkang tetapi lebih kepada “government in-waiting” dan dengan itu perlu “clean their acts” supaya selaras dengan status yang baru ini. PAS perlu menjadi parti yang mewakili rakyat dan bukan untuk orang Islam semata. Jika ada halangan dalaman PAS ke arah cita-cita ini maka ia perlu memperkukuhkan hubungan dengan parti-parti pembangkang lain tanpa syarat yang remeh temeh. Saya yakin PAS mampu memenuhi impian rakyat tanpa perlu mengorbankan prinsip perjuangannya.

Justeru itu saya meminta Sheih dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya supaya banyak bersabar dan menggunakan pendekatan yang lebih sesuai untuk menyalurkan pandangan. Di peringkat awal dulu saya pun memang ingin melihat perubahan drastik di dalam PAS dan sehingga hari ini pun ada aspek yang saya ingin lihat perubahan segera. Tetapi perpatah Melayu ada berkata “tarik rambut di dalam tepung kena berhati-hati, jangan sampai rambut putus atau tepung bertaburan”. Ketika kita diambang “peperangan” pilihanraya, kita tidak mahu banyak “Trojan horses” berkeliaran yang boleh memudaratkan keutuhan barisan pembangkang. Dalam masa yang sama kita juga ingin lihat lebih banyak perubahan di dalam barisan pembangkang supaya cabaran mereka lebih kental dan berbisa. Jadi saya harap pandai-pandailah masing-masing memainkan peranan.

Artikel “Trojan horses in the opposition ranks” tulisan Raja Petra juga tidak kurang panasnya. Cuma bedanya Raja Petra tidak bekerja dengan PAS. Namun saya tetap menerima kritikan dan juga pujiannya terhadap PAS dengan senang hati. Malah banyak komen yang tertera di bawah artikel berkenaan membuatkan saya teruja terutama komentar daripada mereka-mereka yang bukan Islam. “Seeing is believing”. Jika rakyat Malaysia berpeluang ke Kelantan dan melihat sendiri bagaimana ia ditadbir oleh PAS, saya yakin kita mempunyai peluang cerah untuk Malaysia. Banyak prejudis yang timbul adalah hasil daripada manipulasi jentera penerangan BN dan rakyat tidak akan berupaya melepasi belenggu ini jika tidak ada inisiatif sendiri untuk mendapatkan maklumat bebas.

Akhir kata, saya menyeru semua pihak supaya memilih prioriti kita dengan betul. Saya tidak boleh bayangkan diri saya terpaksa duduk di bawah pemerintahan BN untuk 5 tahun lagi. Kenapa perlu kita mendakapi penderitaan dan kesengsaraan sedangkan “our country is blessed with rich resources and talented people”? Sementara itu parti-parti pembangkang tolong dengar rintihan rakyat dan perkemaskan gerakkerja dan kerjasama antara kamu. Selesaikan semua pembahagian kerusi, senarai calon dan manifesto bersama, dan tumpukan baki masa selepas ini untuk membawa satu suara, suara rakyat ke seluruh pelusuk negara ke arah perubahan. Ini peluang terbaik anda, dan tolong jangan hampakan kami!

Anak Bapa: Ada ketikanya memang rasa macam nak keluar PAS melihat gelagat beberapa kerat pimpinan dan ahli PAS. Tetapi apabila memikirkan pimpinan hebat seperti Ustaz Fadhil, Tok Guru Nik Aziz dan lain-lain yang telah terbukti kewibawaan dan integriti mereka, dan juga perlembagaan parti yang luhur dan mulia, niat serba tak menjadi. Saya yakin PAS boleh berubah ke arah yang lebih baik lagi kerana ia telah membuktikannya. Cuma kita jangan jemu mencari jalan terbaik mengagendakan perubahan. Apa yang penting ialah keikhlasan dan kesabaran.

Sunday, January 13, 2008

Sejak Bila Najib Begitu Berminat Dengan Mesjid?

Kritikan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak ke atas Tok Guru Menteri Besar Kelantan ketika “berkempen pilihanraya” di Kelantan baru-baru ini berhubung “kegagalan” kerajaan PAS membina mesjid di negeri berkenaan sejak 17 tahun yang lalu amatlah pelik bin ajaib. Apa yang mengejutkan ialah ia datang daripada seorang manusia bernama Najib, yang memang seluruh rakyat Malaysia dan juga Mongolia kenali. Jikalau kritikan ini datang daripada Menteri “Agama” UMNO mungkin rasa terkejut kita tidaklah “sebrutal” ini kerana memang sewajarnya orang agama mengambil berat perkara sebegini rupa. Dan sememangnya sudah pun menjadi dasar sekular UMNO bahawa Islam itu hanya terletak di mesjid dan surau saja dan bukan di tempat-tempat lain. Tetapi untuk Najib menegur Tok Guru Nik Aziz berhubung isu pembinaan mesjid, ini memerlukan kajian mendalam dan terperinci fenomena luarbiasa ini yang rasanya hanya boleh didapati di negara Islam Hadhari sahaja!

Pertamanya, saya sarankan kepada UMNO Kelantan supaya jangan memalukan TPM dengan fakta yang salah. Sebenarnya untuk pengetahuan Najib terdapat banyak mesjid yang telah siap dibina sejak PAS memerintah Kelantan daripada tahun 1990 termasuk Mesjid Lapangan Terbang Ismail Petra, Masjid Baraah Pasar Besar Siti Khadijah, Mesjid Kota Darulnaim, Mesjid Al-Fathul Mubin, Mesjid Badang dan Mesjid Wakaf Che Yeh. Dan mesjid yang di dalam peringkat pembinaan ialah Mesjid Jubli Perak Pulai Chondong, dan Mesjid Jubli Perak Rantau Panjang yang dibina menggunakan seni rekabina Cina. Sebagai maklumat tambahan kepada Najib, pembinaan mesjid-mesjid atau apa saja projek kerajaan negeri di Kelantan tidak mewajibkan meletak papantanda “Satu lagi projek Kerajaan PAS” sepertimana yang dilakukan oleh BN kepada semua projek-projek mereka. Malah tidak ada kerajaan di dunia ini apabila ia memerintah ia hanya menjaga rakyat yang menyokong parti mereka sahaja. Hanya di negara Malaysia Boleh saja keadaan ini berlaku.

Jikalau Najib masih menafsirkan bahawa jumlah pembinaan mesjid ini agak “sedikit” dan melayakkan beliau untuk menyalak bahawa PAS tidak pandai membina mesjid, maka perlu kita ingatkan beliau bahawa mesjid-mesjid di Kelantan sememangnya banyak dan mampu menampung keperluan masyarakat setempat. Bagi menambahkan keyakinan beliau berhubung perkara ini, saya cadangkan Annuar Musa supaya membawa TPM bersiar-siar di sekitar Kelantan untuk melihat dengan sendiri mesjid-mesjid yang berselerakkan di merata tempat dan kalau boleh terus saja singgah untuk bersolat jemaah di mesjid-mesjid ini untuk melihat jumlah ahli jemaah yang hadir. Selepas itu bolehlah dibuat perbandingan dengan ahli jemaah yang hadir bersolat di mesjid-mesjid di Pekan atau di Putrajaya, lihat di mana lebih ramai. Tok Guru Nik Aziz bukan saja menumpukan perhatian kepada aspek pembinaan mesjid tetapi yang lebih utama memastikan seramai mungkin orang datang beribadah di mesjid. Program-program diatur termasuk bulan solat dan sebagainya bertujuan untuk memperingatkan umat Islam betapa pentingnya institusi mesjid di dalam kehidupan mereka. Bukankah tujuan dibuat mesjid itu untuk meramaikan pengunjung beribadat padanya? Dan pernahkah sebelum ini Najib menegur umat Islam terutamanya ahli-ahli dan pemimpin UMNO supaya mendekati mesjid. Malah saya juga ingin tahu adakah Najib selalu bersolat jemaah di mesjid, dan kalau kerap di mesjid mana?

Najib juga perlu ingat bahawa kerajaan PAS Kelantan bukan saja bertanggungjawab membina mesjid tetapi juga pelbagai kemudahan lain untuk rakyat. Islam bukan diukur dengan banyaknya mesjid atau keindahan senibinanya semata. Lihat saja di Selangor, begitu banyak mesjid yang besar dan tersergam indah tetapi kehadiran ahli jemaah waktu solat amatlah menyedihkan. Tidak ada usaha langsung di pihak kerajaan untuk menggalakkan umat Islam mengunjungi mesjid. Majlis tazkirah (memberi peringatan) bulan Ramadhan pula diharamkan. Malah kalau ada mesjid yang begitu makmur dengan pelbagai aktiviti, mesjid itu akan “dirampas” dan diganti ahli jawatankuasanya dengan ahli-ahli UMNO. Akhirnya ahli kariah mesjid berkenaan berpecah-belah dan mesjid jadi muram. Bukan setakat rampas mesjid, yang lebih mengejutkan ada juga mesjid dan surau yang dirobohkan oleh UMNO. Inilah kehebatan UMNO Islam Hadhari, masih terkial-kial hidup di zaman dahulu kala, masih menganggap rakyat selamanya terus bodoh dan dungu. Mereka ingat jika bercakap di Kelantan berlainan daripada di Selangor rakyat tidak boleh membuat perbandingan. Mereka lupa ini zaman digital dunia siber, apa yang dicakap atau dibuat akan dihakimi sertamerta oleh rakyat.

Tetapi yang lebih penting, Najib lupa mengenai pembinaan “mesjid” di dalam hati-hati manusia. Mesjid adalah rumah Allah, tempat mengingatkan kita kewujudanNya di dalam seluruh aspek kehidupan kita. Jikalau mesjid sentiasa tersemat di hati kita, manusia akan menjadi insan yang mulia dan berakhlak tidak kira di mana ia berada dan dalam apa keadaan sekali pun. Hari ini umat Islam begitu berakhlak apabila di dalam mesjid tetapi apabila di luar mesjid kebanyakkan mereka seperti penyangak. Kenapa fenomena ini berlaku? Ia tidak lain kerana kegagalan menginstitusikan mesjid di dalam hati masing-masing. Samada di mesjid atau di pejabat, ketika bersolat atau berpolitik, ketika berzakat atau berniaga, Allah yang sama berada di mana-mana dan sudah tentu memerlukan ketaatan yang sama di dalam semua keadaan. Logikkah kalau kita begitu taat dan patuh ketika di dalam mesjid dan boleh menipu, merasuah dan menindas ketika menjadi pemimpin sedangkan kita mengaku tunduk kepada Allah. Sikap kita seolah-olah mengambarkan bahawa Allah hanya ada di mesjid dan di luar sana Ia tidak wujud dan kita bebas berbuat apa saja.

Hakikatnya, inilah budaya yang kita warisi sepanjang zaman daripada UMNO dan BN. Saya tidak perlu menghuraikan secara panjang lebar di sini akhlak pemimpin UMNO yang gagal menginstitusikan mesjid di dalam diri mereka. Begitu banyak telah diperkatakan mengenai kegiatan rasuah mereka, kezaliman, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, penipuan dan segala macam kebobrokan dan kebejatan yang ada di muka bumi ini, semua berjaya dilakukan oleh pemimpin UMNO dan BN. Malah sebahagian rakyat turut tempias dengan kecelakaan ini. Ini digambarkan oleh statistik berkaitan kadar jenayah yang begitu tinggi, penyalahgunaan dadah, anak luar nikah, murtad dan pelbagai lagi gejala negatif yang sedang kita alami. Semua ini tidak ada kena mengena dengan “kegiatan dan peranan mesjid” di dalam kehidupan kita. Pemimpin UMNO termasuk Najib, dari segi moral, tidak berkelayakkan untuk bercakap mengenai mesjid dan kemuliaan hidup berasaskan mesjid kerana mereka pun bukan dari jenis yang cintakan mesjid dan menghayati mesjid di dalam kehidupan seharian. Jika beliau benar-benar memahami dan menghayati peranan mesjid, Najib tidak akan terbabit dengan segala macam skandal yang mencemari dirinya. Kemuliaan hidup berasaskan mesjid hanya boleh diperolehi daripada orang-orang yang menghayati mesjid dan peranannya di dalam kehidupan seharian. Jika kita mahukannya maka kenalah kita pilih pemimpin yang relevan di dalam pilihanraya umum akan datang.

Anak Bapa: Kokok berdegang-degang ekor bergelumang tahi, bercakap banyak tetapi diri sendiri berlumuran segala macam najis. Sapa tak kenal Najib. Pergi bersihkan diri kamu daripada skandal Altantunya, rasuah pembelian jet pejuang Sukhoi dan kapal selam Scorpene dahulu baru kita sudi dengar khutbah anda mengenai mesjid dan Islam. Dan seperkara lagi, kalau kamu bersih sangat, apa yang dibuat berbincang panjang dengan Vincent Tan di Hotel Orchard di Singapura pada hari Krismas baru-baru ini. Bukankah Vincent Tan ini suspek utama kes “membeli” hakim-hakim di negara kita. Tak cukupkah lagi sandiwara kau orang?

Tuesday, January 8, 2008

Tidak Adakah Lagi Menteri UMNO Yang Cerdik Sikit?

Kekurangan bekalan minyak masak di pasaran tempatan menimbulkan banyak tanda tanya berhubung kemampuan kerajaan UMNO/BN memerintah negara kebelakangan ini. Kalau ingatan saya tidak salah, ini merupakan kali ke 2 berlaku krisis bekalan minyak masak di bawah pemerintahan Pak Lah. Dan jika kita bernasib baik, tidak lama lagi kita akan berdepan pula dengan krisis bekalan tepung gandum, dan entah apa lagi krisis kekurangan barangan keperluan. Inilah dia musibah dan kecelakaan yang tidak henti-henti menimpa kita di zaman Hadhari Pak Lah, zaman ada Had (seorang 5 kg) dan ada Hari (kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada).

Kegagalan Pak Lah untuk melantik menteri-menteri yang berwibawa bagi membantu meringankan tugasnya, juga menambahkan lagi tanda tanya kita berhubung status kesehatan mindanya. Jikalau kita sudah dimualkan dengan gelagat Menteri “Undang-Undang” Nazri Aziz dan Menteri Penerangan Zainuddin Maidin, kini kita dihidangkan pula oleh Menteri yang tidak tahu menjaga Perdagangan Dalam Negeri dan menyusahkan Hal Ehwal Pengguna iaitu Dato’ Mohd Shafie Apdal. Saya telah lama memerhatikan sikap dan tindak-tanduk menteri ini dan hanya mempunyai satu kesimpulan tentangnya iaitu standardnya lebihkurang Pak Lah juga, banyak cakap tetapi tindakkan habuk pun tarak. Ingat satu ketika dahulu apabila wartawan bertanya beliau samada harga minyak petrol akan naik, beliau berkata tidak mungkin, hanya untuk mendapati keesokkan harinya pengumuman Pak Lah mengenai kenaikkan harga minyak petrol paling tinggi dalam sejarah Malaysia iaitu sebanyak 30 sen seliter. Mana hendak disorok muka menteri yang bertanggungjawab ke atas sesuatu bidang tugas yang ia sendiri tidak tahu menahu atau tidak ada kawalan ke atasnya.

Selepas itu kita lihat pula bagaimana beliau mengendalikan isu kenaikkan harga ayam, dan pelbagai barangan keperluan lain, dan kekurangan bekalan gula, tepung dan minyak masak. Di dalam semua keadaan ini modus operandi Shafie adalah sama dan boleh diramalkan. Pertama beliau akan memulakan silat pulutnya dengan memberi amaran bahawa kerajaan akan bertindak tegas ke atas peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya. Selang tidak beberapa hari, kita akan lihat terpampang di dada-dada akhbar serbuan mengejut oleh penguatkuasa KPDN&HEP di beberapa premis peniagaan menandakan kerajaan “serius” memantau dan bertindak ke atas peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab. “Sandiwara” serbuan ini akan berlangsung selama beberapa hari atau minggu dan apabila dirasakan para pengguna sudah mulai lupa maka beliau akan relaks semula dan barangan tersebut terus juga naik harga. Jikalau didapatinya para pengguna terus resah, maka akan dicadangkannya supaya para pengguna memboikot barangan tersebut atau “tukar cara hidup”! Lakonan di atas telah diulang terlalu banyak kali sehingga kita sudah dapat membaca penghujung cerita, di mana tauke (kroni mereka) akan terus untung dan rakyat pasti menderita.

Jadi, isu minyak masak ini pun apalah bedanya. Shafie dipetik sebagai berkata bahawa kekurangan bekalan minyak masak adalah kerana pertumbuhan penduduk Malaysia yang sangat pesat. Apa beliau ingat kita ini bodoh sangat ke? Adakah rakyat Malaysia semuanya kahwin serentak semalam dan hari ini semua sudah beranak pinak? Tahukah beliau apa yang dipanggil “projection” atau ramalan ke atas status kepenggunaan sesuatu barangan? Syarikat dan ajensi kerajaan memang biasa membuat tinjauan pasaran (market research) ke atas produk dari segi penggunaannya, berapa banyak diperlukan, bila ia banyak digunakan, peratus penambahan setiap tahun, dan sebagainya. Elok saya cadangkan Shafie pergi masuk sekolah semula untuk belajar semua ini sebelum menerima jawatan yang sangat penting ini.

Najib yang terkenal dengan “ubah cara hidup anda” apabila berdepan dengan krisis kenaikkan harga barangan, pula berpandangan bahawa masaalah penyeludupan di sempadan merupakan penyebab utama kekurangan bekalan minyak masak. Kenyataan bodoh begini yang juga beliau ucapkan ketika krisis bekalan minyak diesel dahulu membawa implikasi bahawa pegawai kerajaan yang bertugas di sempadan tidak cekap atau di dalam perkataan lain, korup kerana bersekongkol dengan para penyeludup. Tetapi apa yang hendak dihairankan kerana hampir semua pimpinan UMNO/BN lebih korup dan penuh bergelumang dengan rasuah. Tahukah Najib bahawa Malaysia adalah negara pengeluar utama minyak sawit dunia? Maknanya kita mempunyai bekalan yang berlebihan sehingga boleh diekspot ke luar negara. Adalah tidak masuk akal minyak masak ke negara lain boleh dibekal sementara di negara sendiri rakyat kebuluran. Ini cerita lucu umpama ikan mati kehausan di dalam air. Sebenarnya kenapa tidak katakan kepada rakyat secara terus terang bahawa fenomena kekurangan bekalan ini adalah dibuat-buat untuk mengesahkan bahawa MINYAK MASAK AKAN DINAIKKAN HARGA? Senangkan begitu supaya kita tidak susah payah memaki hamun para pengeluar dan pengilang minyak masak. Tetapi apalah hendak kita harapkan daripada pemimpin yang bodoh, sama saja yang di atas sampai ke bawah. Kebodohan mereka akan digunakan untuk terus menerus memperbodoh-bodohkan rakyat. Persoalannya, sampai bila rakyat rela diri mereka diperbodohkan?

Anak Bapa: Kita sedang berdepan dengan kenaikkan harga minyak masak dan tepung, dan selepas itu (mungkin selepas pilihanraya umum bulan Mac kelak) tol dan minyak petrol, diesel, dan gas. Kenaikkan ini akan menyebabkan pelonjakkan harga barangan lain kerana ia merupakan barangan asas dan menjadi keperluan kepada pembuatan barangan lain. Akhirnya apa akan jadi kepada kita dan sanak saudara di kampong, yang pada masa ini pun tengah menderita dengan kenaikkan harga barangan keperluan harian. Cuba fikir-fikirkan. Perubahan perlu dibuat jika kita inginkan pembelaan dan masanya ialah sekarang iaitu pada pilihanraya umum ke 12.