Friday, February 8, 2008

Antara Kehebatan Obama dan Kepincangan Pilihanraya Di Malaysia

Ketika negara kita di ambang pilihanraya umumnya yang ke 12, beberapa negara lain turut sibuk menganjurkan pilihanraya umum masing-masing. Antaranya termasuk Thailand yang telah selesai melantik wakil rakyat dan Perdana Menterinya yang entah ke berapa, dan juga Serbia yang turut panas di dalam pemilihan Presidennya. Tetapi antara kesemua pilihanraya yang baru berlangsung dan yang sedang berlangsung, pilihanraya di Amerika dianggap yang terhebat dan paling menarik untuk diikuti. Ini bukanlah sesuatu yang pelik memandangkan negara berkenaan adalah satu-satunya kuasa besar dunia ketika ini dan sebarang perubahan tampuk pemerintahan di sana akan memberi kesan besar kepada lanskap politik secara global.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, pilihanraya di Amerika didominasi oleh perebutan jawatan Presiden antara parti Republikan dan Demokrat. Walaupun ada parti-parti bebas lain yang cuba untuk menjadi “kuasa ke 3” (the 3rd force) di negara berkenaan di dalam pilihanraya yang lepas-lepas tetapi mereka gagal menyinar. Sebahagian besar rakyat Amerika masih taksub kepada samada parti Republikan atau Demokrat, dan nampaknya belum bersedia untuk mempertimbangkan parti alternatif ketiga.

Di dalam pilihanraya Presiden Amerika untuk tahun 2008, majoriti penganalisa politik dunia bersetuju dengan hakikat bahawa calun parti Demokrat pasti akan menjadi Presiden Amerika yang seterusnya. Ini akibat daripada keporakperandaan oleh Presiden Bush, yang mewakili parti Republikan, di dalam pemerintahannya sekarang terutama yang melibatkan dasar luar berhubung Iraq dan dasar ekonomi yang lemah. Seluruh dunia sedang memerhatikan dengan penuh minat pemilihan calun bagi parti Demokrat yang akan diwakili samada oleh Hillary Clinton, isteri kepada Presiden Amerika terdahulu, Bill Clinton atau Barack Obama, seorang kulit hitam Amerika.

Ketika artikel ini ditulis, Clinton sedang berentap dengan Obama di setiap negeri untuk mendapatkan seramai mungkin sokongan delegasi parti Demokrat dan kemudian akan disahkan pencalunan mereka pada Konvensyen Parti Demokrat pada bulan Ogos 2008 kelak. Sudah hampir separuh negeri-negeri telah mengadakan pemilihan masing-masing dan Clinton sedang mendahului Obama dari segi jumlah delegasi sementara Obama mendahului Clinton dari segi jumlah negeri-negeri yang dimenanginya. Apa yang menarik ketika kita mengikuti proses pemilihan Presiden yang masih di peringkat awal ini ialah kecemerlangan proses pilihanraya negara berkenaan dan kehebatan insan yang bernama Obama.

Walaupun Puan Clinton mempunyai peluang yang agak cerah untuk menduduki Rumah Putih buat kali ke 2 dan dalam masa yang sama mencatat rekod sebagai wanita pertama menjawat jawatan Presiden Amerika, tetapi kisah “perjuangan” Obama, yang jika menang di dalam perebutan jawatan Presiden ini akan juga mencatat rekod sebagai Presiden Amerika kulit hitam yang pertama, adalah jauh lebih menarik untuk dipaparkan di sini.

Obama yang berketurunan Afrika Amerika berasal dari Kenya dan nama penuhnya ialah Barack Hussein Obama. Bapanya, seorang Islam telah merantau dari Kenya untuk belajar di Amerika dan di situ bertemu jodoh dengan ibunya. Nama Barack yang diberi oleh bapanya merujuk kepada perkataan Arab “barakah” yang membawa maksud berkat. Sehingga hari ini keluarga Obama masih ramai di Kenya dan semuanya beragama Islam. Ibu Obama pernah mengahwini seorang rakyat Indonesia dan mereka menetap di sana selama 4 tahun. Ketika inilah Obama bersekolah di Indonesia dan berpeluang bergaul dengan ramai orang Islam dan mengenal budaya orang Melayu. Saya ada mengikuti beberapa siri ceramah Obama melalui internet dan begitu tertarik dengan pendekatan dan kerendahan hati budinya. Beliau, buat kali pertamanya, benar-benar membawa mesej harapan kepada rakyat Amerika. Dengan tema “Perubahan Yang Kita Boleh Yakini” (Change We Can Believe In), Obama berjaya menyatukan pelbagai kelompok rakyat Amerika terutama golongan muda, kulit putih dan hitam, untuk menyertai arus perubahan yang dipeloporinya. Kekuatan oratorinya dan mesej yang jelas dan mudah menjadikan gelombang perubahan ini menjadi semakin menggunung dan terus popular. Di peringkat awal dahulu, Obama tidak diberi peluang langsung oleh penganalisa politik Amerika malah telah diserang bertubi-tubi oleh media Amerika berhubung latarbelakang Islam keluarganya (walaupun beliau kini seorang Kristian) dan persekolahannya di Indonesia (ditohmah sebagai madrasah yakni sekolah agama Islam). Tetapi kemenangannya di Iowa, kawasan majoriti kulit putih, telah membuka mata banyak pihak bahawa insan bernama Obama ini bukanlah calang-calang calun kulit hitam, dan dengan itu perlu diberi perhatian. Sejak itu, Obama tidak lagi berpaling ke belakang malah sebaliknya memberi cabaran yang sangat sengit kepada Clinton, dan berkemungkinan terpilih menjadi calun Demokrat untuk mencabar MaCain dari Republikan di dalam pemilihan Presiden Amerika pada bulan November kelak.

Mesej Obama adalah mudah, antaranya, lebih berdiplomasi dan berinteraksi dengan dunia luar termasuk dengan negara “musuh”, membawa balik tentera Amerika daripada Iraq, memberi tumpuan kepada memperbaiki ekonomi negara, “berkebajikan” kepada rakyat dalam aspek khidmat kesihatan, pendidikan, dan perumahan, mengurangkan pergantungan kepada minyak dan memberi tumpuan kepada sumber tenaga yang bersih dan mesra alam, menyatukan rakyat Amerika tanpa mengira warna kulit dan seks, berupaya memukau seluruh lapisan rakyat Amerika. Beliau juga mengakui bahawa bukan mudah melaksanakan semua ini dan memerlukan sokongan semua pihak untuk menjayakannya. Menurutnya, kegagalan itu satu kemungkinan tetapi yang pasti beliau tidak akan jemu mencari jalan untuk mengatasinya. Obama juga begitu anti kepada pelobi-pelobi yang menguasai pejabat Presiden Amerika sejak sekian lama. Samada pelobi Israel, syarikat minyak atau rokok dan sebagainya, beliau menganggap bantuan daripada pelobi-pelobi ini merupakan bencana kepada rakyat Amerika kerana mereka mempunyai agenda tersendiri di sebalik sumbangan dana pilihanraya. Serangan ini merupakan sesuatu yang baru di lanskap politik Amerika dan fenomena ini menarik minat ramai masyarakat Amerika. Obama kini dianggap sebagai harapan untuk masa depan Amerika dan diakui sebagai calun yang ikhlas dan berwawasan. Tidak hairanlah jika kita lihat semakin hari semakin ramai golongan manusia termasuk para selebriti yang menyatakan sokongan terbuka kepada beliau. Harapan kita, jika benar Obama terpilih sebagai Presiden Amerika, beliau akan berbuat sesuatu untuk memastikan keamanan dunia terutama yang berkait dengan negara dan umat Islam.

Kita tidak dapat lari daripada membuat perbandingan pilihanraya di Amerika dan di Malaysia. Terasa begitu primitif dan daif pilihanraya di Malaysia. Setiap calun di Amerika berpeluang untuk menyampaikan mesej masing-masing melalui media samada secara berbayar atau percuma. Perdebatan antara calun dibuat secara terbuka supaya rakyat faham kedudukan masing-masing di dalam pelbagai aspek yang menyentuh kehidupan mereka. Semua calun boleh berkempen di mana saja tanpa gangguan daripada pihak polis. Dana pilihanraya dikutip secara terbuka dan terdedah kepada pengetahuan umum (Obama menolak sebarang sen daripada pelobi-pelobi walaupun ia tidak melanggar undang-undang negara). Jentera kerajaan haram diguna oleh sesiapa saja untuk kepentingan diri. Sesiapa yang mencuba untuk menyalahgunakan kedudukannya untuk berkempen akan terdedah kepada tindakan undang-undang dan sudah pasti akan ditolak oleh rakyat. “Suruhanjaya Pilihanraya”nya bertindak adil kepada semua calun dan tiada sebarang penyelewengan yang berlaku. Cuba lihat semua ini dan bandingkan dengan proses pilihanraya negara kita. Bagaimana? Sementara itu barisan pembangkang elok mengkaji pendekatan Obama, mungkinkah ada beberapa perkara yang kita boleh pelajari?

Anak Bapa: UMNO kata proses pilihanraya kita antara yang terbaik di dunia (muntah lagi kucing aku). Memanglah terbaik bagi mereka sebab mereka boleh menang mudah dengan cara menipu, merasuah dan mengugut rakyat ……. Mari kita ramai-ramai melihat proses pilihanraya di negara lain dan kita berpakat menekan kerajaan BN supaya akur kepada perubahan dengan cara menolak mereka di dalam pilihanraya umum kali ini. Inilah “Change We Can Believe In”!

No comments: