Friday, September 25, 2009

Pakatan Yang Tidak Berpakat?



Nampaknya kita kena padam api lagi. Penat sungguh rasanya. Ingatkan api yang lepas-lepas dah padam habis tetapi nampaknya tekaan Anak Bapa jauh meleset. Api masih terus menyala. Persoalannya sampai bila kita perlu jadi “ahli bomba”. Di dalam ilmu pengurusan kita dilarang daripada menjadi “firefighters” sepanjang masa jika mahu menjadi seorang pengurus yang baik. Ini bermakna perancangan yang tersusun dan lengkap serta bersifat jangka panjang. Ini akan mengelakkan daripada timbul pelbagai krisis yang tak kunjung sudah (yakni kena kerja lebih masa padam api) sepanjang pelaksanaan sesuatu program atau rancangan.

Kita akui bukan mudah untuk menyatukan 3 parti politik yang berlainan latarbelakang dan falsafah perjuangan (masa zaman Rasulullah saw dahulu pun susah juga nak satukan orang-orang Arab). Tetapi rakyat amat memerlukan satu pemerintahan baru yang berteraskan akhlak yang luhur dan murni, yang memberi keutamaan kepada kebajikan dan kesejahteraan mereka. Dan pasti mereka tidak perlukan retorik dan slogan kosong semata-mata tetapi sebaliknya sarat dengan tindakan yang ikhlas dan bersungguh-singguh. Nah, sekarang rakyat dah beri peluang dan mereka mengharapkan sesuatu yang jauh lebih baik daripada apa yang dibuat oleh BN sebelum ini. Dan jika rakyat boleh ubah kerajaan daripada BN kepada PR maka bukanlah sesuatu yang mustahil mereka akan ubah daripada PR kepada BN semula jika mereka dapati PR pun lebihkurang aje dengan BN atau mungkin lebih teruk!

Kita semua kena akui, terutama daripada PAS, bahawa begitu banyak kebaikan kita perolehi selepas memegang tampuk pemerintahan negeri Selangor walaupun terpaksa berkongsi dengan DAP dan PKR. Dengan kuasa yang ada begitu banyak perkara kita boleh buat demi kesejahteraan umat dan rakyat. Mungkin sebagai peringatan kepada kalangan mereka yang mudah lupa supaya elok imbas kembali kehidupan kita semasa BN memerintah dulu dengan semasa PR memerintah. Atau mungkin kalangan ini teringin nak hidup semula bawah BN?

Bercakap mengenai masaalah, kat mana dalam dunia ini yang tak ada masaalah? Sedangkan kehidupan dalam keluarga kita, sesama abang dan adik kita pun kadang-kadang kita bergaduh, inikan pula dalam politik. Jadi fenomena berbeda pandangan itu adalah sesuatu yang biasa dan sememangnya diterima dalam PR. Apa yang tak biasa ialah apabila kita aje yang suka cari kontroversi sesama rakan dan sentiasa bercanggah pandangan dengan pimpinan PR lain dan percanggahan ini sentiasa dibawa ke muka media tanpa melalui proses syura yang begitu kita agong-agongkan. Pandangan pelbagai pihak terhadap PR (baca PAS Selangor, buat ketika ini) adalah kita tidak bulat dalam tindakan dan tidak tahu waktu mana nak berbeda pandangan dan waktu mana nak bersatu. Dalam erti kata lain PAS tak reti nak berkawan atau berpakat dengan orang lain.

Ada yang kata sepatutnya PR memperjuangkan kebebasan bersuara dan jangan menempelak mereka-mereka yang menyuarakan pandangan yang berbeda. Betul, tetapi jika pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh dan tauladan acapkali menyuarakan pendapat yang boleh “undermine” kewibawaan kerajaan (yang dia sendiri anggotai) tanpa terlebih dahulu menggunakan saluran yang sesuai, tentulah ia membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Dalam Islam, kebebasan apa pun bukanlah sesuatu yang mutlak. Ada pertimbangan-pertimbangan lain yang perlu dibuat dalam melaksanakan tuntuan kebebasan tersebut. Aspek ini menjadi amat kritikal terutama bila kita berkongsi pemerintahan dengan rakan-rakan lain yang berlainan ideologi dan keturunan.

“And the clock is ticking ….. “. Kita makin sehari makin menghampiri penghakiman rakyat, yakni PRU ke 13. Kita tidak boleh biarkan fenomena begini berterusan. Pimpinan PR perlu melakukan apa saja untuk memastikan kesepaduan sesama mereka. Jika kesepaduan ini bermakna ada di kalangan kita terpaksa digugurkan, maka laksanakan kerana tuntutan jamaah jauh lebih penting daripada tuntutan individu. Jika tak tahu nak berkawan dengan orang maka kita kena cari orang yang tahu berkawan. Jangan sampai satu peringkat di mana rakyat dah meluat dan menyampah dengan PR disebabkan kerenah satu dua orang pemimpin. Ingatan ini bukan saja untuk PAS tetapi juga untuk PKR dan DAP. Masa berbulan madu dah tamat. Kejutkan mana yang masih dok seronok tidur lagi. Jangan sampai nanti rakyat yang kejutkan dengan penyapu …..

Anak Bapa: Ada juga beberapa orang sahabat Anak Bapa yang kata PAS mesti pertahankan Islam mereka. Berpakat sesama rakan PR bukan Islam ke? Atau dah tak reti berpakat? Sesama ahli PAS pun sesetengah kita tak reti berpakat? Cuba renung betul-betul dan jangan asyik dok salahkan orang lain aje ……

Tuesday, September 8, 2009

Setahun Berlalu .........



Kata orang masa adalah penawar paling mujarab dalam menyembuh segala jenis penyakit terutama penyakit yang tidak ada ubatnya. Tentu kenyataan ini ada yang pertikaikan kerana mengikut hadis Nabi saw “semua penyakit ada ubat kecuali tua dan mati”. Jikalau begitu Anak Bapa tarik balik kenyataan di atas dan menggantikan dengan penyakit yang paling payah nak cari penawar iaitu penyakit pilu dan rindu.

Hari ini genap sudah 1 tahun pemergian puteri tersayang Anak Bapa, Siti Hajar. Pada 8 Ramadan tahun lepas bersamaan 7 September 2009, ketika umat Islam sedang sibuk mengerjakan solat tarawih, Kakak pergi dengan tenang meninggalkan kita buat selama-lamanya di dunia fana ini. Sepanjang setahun yang lepas kami sekeluarga setiap hari terpaksa berhadapan dengan hakikat bahawa Kakak ”pergi tak kembali” lagi. Wajahnya, tingkah lakunya, tutur bicaranya sentiasa menghiasi kehidupan keluarga kami seolah-olah Kakak sentiasa di sisi kami dan tak pernah pun meninggalkan kami. Acapkali kami kembali ke rumah asal di Kelana Jaya pada hujung minggu, kesuraman tetap terasa dan kerinduan terus memukul kalbu. Tetapi apakan daya, Allah swt lebih mengetahui dan lebih bijaksana. KetentuanNya jauh lebih adil dan bijak daripada perancangan dan kehendak makhluk.

Kesyukuran yang amat sangat ke hadrat Allah swt kerana memberi kekuatan kami sekeluarga dalam menghadapi ujian yang amat berat ini. Alhamdulillah kami berjaya setakat ini menghadapi ujian ini, malah ia dapat pula dijadikan pengiktibaran kepada anak-anak yang masih tinggal. Anak Bapa seringkali mengingatkan ahli keluarga bahawa betapa istimewanya Kakak dan keistimewaan itu adalah kerana kehidupannya sentiasa berlandaskan Islam. Dan jika sekiranya kita sayang antara satu sama lain dan ingin dibangkitkan bersama di akhirat nanti maka kehidupan Kakak perlu dijadikan contoh dan diikuti. Ketika hidup dahulu, Kakak sentiasa menjaga ibadatnya terutama solat Tahajjud, menjaga aurat dan kehormatan, suka membantu rakan dan orang lain, tidak terikat dengan kemewahan dan perhiasan duniawi, benci kepada perkara mungkar (malah untuk belajar di UIA pun dia tak mahu ambik pinjaman kerana ada unsur riba’), menegur perkara yang dianggap mungkar (seperti bapa-bapa saudaranya yang kaki perokok) dan pelbagai lagi ciri-ciri makruf lain yang terpancar dari kehidupannya.

Ada satu ciri yang seringkali menyentuh perasaan Anak Bapa apabila mengenangkannya, iaitu betapa sayang dan manjanya beliau kepada Anak Bapa. Selaku anak sulong, sifat manja keanak-anakkan tetap terserlah setiap kali bertemu Anak Bapa. Apabila ada teguran daripada Anak Bapa, Kakak akan spontan menjawab ”yes daddy” dengan nada yang penuh jenaka dan menghiburkan. Anak Bapa seringkali menalipon Kakak dan anak-anak lain waktu dekat-dekat Maghrib ketika mereka berada di Universiti masing-masing untuk bertanya khabar dan samada mereka sedang membuat persiapan untuk solat. Istimewanya Kakak ialah apabila habis bercakap, selang beberapa minit kemudian Anak Bapa akan menerima SMS daripadanya yang berbunyi ”You are the best dad in the whole world. Kakak saaaaayang ayah”. Begitulah kehidupan Kakak, tenang dan tabah dalam menghadapi segala kesukaran.

Anak Bapa masih ingat lagi ketika Kakak dibesarkan, berbanding dengan anak-anak yang lain, kehidupan Anak Bapa agak susah dan dengan itu Kakak pun terpaksa berpuas hati dengan keperluan hidup ala kadar. Tetapi beliau tak pernah merungut malah kehidupan yang serba sederhana ini telah menjadi sebati dengannya sehingga apabila kehidupan Anak Bapa agak mewah pun beliau masih lagi bersederhana dalam segala segi. Inilah kepiluan dan kerinduan yang ”I missed so much” tentang Kakak. Apa yang penting baginya ialah ilmu dan sumbangan kepada perjuangan Islam dan membantu sahabat dan rakan lain. Anak Bapa doakan anak-anak yang lain juga akan mewarisi sifat Kakak dan alhamdulillah adik perempuannya yang di UM dan adik lelaki yang di UIA pun dah mula nampak mengikuti jejak langkah Kakak kesayangan mereka.

Rakan-rakan Kakak daripada UIA dan Darul Ulum pun tak henti-henti mengunjungi kami dan bertanya khabar. Anak Bapa yakin mereka pun terasa kehilangan seorang sahabat dan pemimpin. Moga qudwah yang dibawa olek Kakak akan juga memberi semangat dan pedoman kepada mereka dalam menjejaki kehidupan seharian mereka. Pada kami sekeluarga pula, pemergian Kakak sebenarnya mengukuhkan lagi komitmen dan kesedaran betapa kerdilnya kita insan ini dan betapa kehidupan sebenar adalah disisi Allah swt kelak. InsyAllah kami sekeluarga berjanji akan terus tabah dan akan menjadikan pemergian Kakak sebagai sumber inspirasi kepada kami dan mereka-mereka yang bersama dengan kami dalam menjejaki kehidupan berlandaskan marzatillah ini selagi mana hayat di kandung badan.

Anak Bapa: Sayang anak tangan-tangankan, sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayang Kakak ............ (Allah saja yang tahu) .......

Sunday, September 6, 2009

Malu Jadi Melayu



Anak Bapa malu jadi Melayu hari ini. Kalau boleh nak mengaku dari keturunan bangsa lain, Siam pun tak apa kerana kebetulan Anak Bapa berasal dari negeri berhampiran sempadan Thailand. Dan perasaan ini bukan terbit daripada hati Anak Bapa seorang tetapi juga daripada teman-teman Melayu lain yang berkesempatan untuk hadir dalam “dialog” antara Kerajaan Negeri, MBSA dan penduduk Seksyen 23, Shah Alam. Anak Bapa bercakap begitu bukan kerana tak sayangkan bangsa atau sememang dah lupa asal usul sendiri, tetapi lahir secara spontan apabila melihat gelagat segelintir penduduk kawasan berkenaan apabila membuat bantahan pemindahan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Anak Bapa dah pun mengulas cerita kuil ini dalam tulisan sebelum ini dan tidak berhasrat untuk mengulangi kronologi atau rentetan yang membawa kepada konflik ini tetapi lebih nak fokuskan sikap puak Melayu yang memalukan bangsa ini.

Sebaik saja tiba di Dewan Bankuet MBSA, puak-puak ini yang dianggarkan sekitar tak sampai 10 orang terus saja buat kecoh. Mereka cuba serbu YB Khalid, YB Rodziah dan YAB MB sambil menjerit-jerit macam orang kena sampuk hantu. Kata-kata yang diucapkan Allah saja yang mengetahui bermula dengan bodoh, babi, tak guna dan apa saja yang tak tergamak kita nak menyebut atau mendengar di bulan Ramadan yang mulia ini. Mereka bukan saja tidak mahu mengikuti perbincangan secara yang bertamadun tetapi asyik meluru ke hadapan untuk menunjuk sifat kurang ajar kepada kepimpinan negeri yang sedang memberi penerangan. Mereka tak tahu duduk dengan tertib, kejap-kejap berdiri dan mundar-mandir sana sini macam tempat tu mak bapa dia punya, lepas itu asyik menggangu orang lain bercakap, dan berterusan memaki hamun semua orang. Malah ada ketikanya mengangkat kerusi untuk dibaling kepada orang lain. Nasib baik ada penguatkuasa MBSA di situ untuk menghalang kerja-kerja mereka yang tidak beradab itu.

Sebarang bentuk penerangan yang diberi akan ditenggelamkan oleh boo dan kata-kata nista mereka sedangkan itu tujuan sebenarnya majlis ini diadakan yakni untuk menerangkan CADANGAN yang dipersetujui oleh semua pihak (PKNS, MBSA dan Kerajaan Negeri) kepada penduduk Seksyen 23. Dan sememangnya itu prosidur yang dikeluarkan oleh Perancang Bandar dan Desa dalam mendengar bantahan iaitu perlu mendapat kelulusan daripada agensi-agensi berkaitan dahulu sebelum dibincangkan dengan penduduk tempatan. Tetapi mereka tak peduli. Mereka telah nekad bahawa Kerajaan Negeri telah lupakan mereka dan memang telah siap untuk memindahkan kuil berkenaan. Ini dipanggil bodoh tak boleh diajar dan cerdik tak boleh ditegur. Mungkin semasa zaman pimpinan kesayangan mereka UMNO/BN dulu cara begini diamalkan. Suka atau tak suka dia buat juga, lepas tu suruh polis tangkap siapa yang protes.

Pimpinan negeri memang memberikan peluang seluas-luasnya kepada mereka untuk meluahkan perasaan dan rintihan. Tetapi apabila tiba giliran YB Khalid untuk menjawap soalan dan memberi komen terhadap pandangan mereka, mereka sekali menunjukkan sikap kurang ajar dengan mengeboo dan menyumpah seranah beliau. Anak Bapa ingin mengucapkan tahniah kepada YB Khalid kerana berjaya mengawal emosi dengan baik walaupun diseranah dengan dahsyat.

Untuk menambah malu puak-puak Melayu ini, penduduk Seksyen 23 yang terdiri daripada kaum India dan Cina pula begitu tertib menghadiri dialog tersebut. Mereka menghantar 2 orang wakil yang bercakap dengan baik dan beradab. Aduuuuh apa nak jadi dengan bangsa aku ni. Tak tahukah mereka bagaimana nak bawa diri di dalam majlis jemputan orang dan berkomunikasi dengan tertib? Atau mungkinkah mereka ini produk daripada kilang pemimpin keris telanjang yang perangai 2 kali 5 dengan dia orang?

Anak Bapa: Sah ini semua acuan UMNO! Dan sahlah hayat UMNO dah cukup dekat!

Tuesday, September 1, 2009

Bodoh Macam Lembu



Orang tua-tua kita dahulu sememangnya sangat pandai bermain kata-kata. Tidak keterlaluan juga jika kita katakan mereka sangat teliti dalam pemerhatian fenomena alam ini. Kehidupan seharian mereka sentiasa dikaitkan dengan analogi sifat benda-benda dan kehidupan tumbuh-tumbuhan atau pun haiwan. Sebagai contoh, jika tinggi ingin diceritakan biasanya dikaitkan dengan galah, jika hitam macam arang, jika kurus macam lidi, dan seterusnya. Pendekatan begini sangat besar hikmahnya dalam memperjelaskan lagi ciri dan sifat benda atau fenomena yang ingin diterangkan itu.

Sehubungan dengan itu, apabila Anak Bapa terbaca berita tentang sekumpulan manusia yang berarak membuat bantahan dengan menyepak dan memijak kepala lembu, lantas terdetik dalam benak fikiran tentang ungkapan bodoh macam lembu. Kenapa lembu dikaitkan dengan kebodohan, itu orang tua-tua kita sajalah yang dapat terangkan tetapi apa yang pasti perbuatan menghina binatang sebegitu rupa (masih berdarah dan belum berlapah) membayangkan kebodohan golongan yang terbabit. Dan ia menjadi lebih bodoh dan bangang lagi apabila perbuatan ini bertujuan menghina agama orang lain dan yang melakukannya pula mengaku beragama Islam dan dilakukan di bulan Ramadan yang penuh keberkatan!

Walau atas apa alasan sekalipun, sebagai seorang yang bukan bodoh macam lembu, banyak cara lagi untuk menzahirkan protes atau bantahan terhadap apa jua isu. Niat yang ikhlas saja tidak memadai jika perbuatan atau tindakannya tidak terpuji, malah boleh mengagalkan segala hasrat di hati. Mana ada kemuliaan diri jika ia bertapak di atas perbuatan menghina agama dan kaum lain? Adakah kita menjemput penghormatan daripada kaum dan penganut agama lain kepada Islam dengan cara menghina kuil dan rumah ibadat mereka? Apa kata jika mereka pula buat demonstrasi bantah pembinaan masjid dan surau di kawasan mereka dan diikuti dengan acara memijak Al-Qur’an. Bukankah itu resipi kepada persengketaan dan permusuhan yang akan membawa kepada menang jadi abu dan kalah jadi arang?

Betul ada isu tentang lokasi kuil, dan betul kalau boleh siapa pun orang Islam tak nak ada kuil berhampiran dengan rumah mereka. Tetapi tahukah anda bahawa kuil di Seksyen 19 itu yang nak dialihkan ke Seksyen 23 adalah masalah 20 tahun lalu di kala kuil berkenaan masih di dalam ladang sawit lagi. Apabila PKNS ambil alih dan tukarkan kepada tapak perumahan, mereka tidak mengambil kira kewujudan kuil berkenaan. Hasilnya apabila penduduk dah beli rumah, mereka dapati ada kuil di kawasan perumahan mereka dan meminta kerjasama kerajaan masa itu (kerajaan BN) untuk menyelesaikan isu berkenaan. DAN UMNO TAK PERNAH MENCARI SEBARANG USAHA PENYELESAIAN SEJAK ZAMAN BERZAMAN LAGI. Kerajaan Pakatan Rakyat yang baru setahun jagung melihat dengan penuh prihatin akan isu ini dan mencari beberapa tapak pilihan untuk dipindahkan kuil ini. Selepas beberapa siri perbincangan adalah didapati tapak di Seksyen 23 boleh diterima oleh majoriti rakyat samada daripada kaum Hindu maupun Islam. Bantahan tetap ada daripada segelintir penduduk dan bagi Anak Bapa, ini biasa. Nak cari satu penyelesaian yang memuaskan hati 100% manusia memang tak ada dalam dunia ini. Kita dapat minimakan aduan dengan mencari lokasi ang agak jauh daripada penduduk dan laluan yang berasingan untuk mengelakkan kesesakan lalulintas. Semua ini dah diambil kira oleh pimpinan sekarang yang sememangnya prihatin terhadap keperluan semua rakyat.

Tetapi UMNO (yang tak pernah buat apa pun sebelum ini) tak puas hati sebab mereka tengah sibuk nak rampas Selangor. Isu ini boleh dipanaskan untuk mengkucar-kacirkan pemerintahan PR di Selangor. Anak Bapa berani potong jari bahawa UMNO adalah dalang di sebalik demonstrasi baru-baru ini. Dah baling batu sembunyi tangan. Dasar keparat UMNO yang memang muka tak malu dan menjijikkan. Rakyat kena faham dan waspada kepada UMNO yang kerjanya siang malam nak tumbangkan kerajaan PR. Jangan kita berikan senjata kepada mereka untuk menikam kita, dan satu-satunya senjata mereka ialah perkauman dan isu agama.

Anak Bapa: Isu arak tempohari pun sama, ia adalah warisan daripada kerajaan UMNO yang dahulu mulakan tetapi tak pernah buat apa pun untuk mengawalnya. Sekarang sibuk tunjuk alim konon, pooooorah .......