Saturday, November 28, 2009

Konspirasi Jatuhkan Tok Guru Berjalan Lancar



Banyak sangat kejadian pelik kebelakangan ini. Jika sehari dua tak baca akhbar atau melayarai internet nescaya kita akan ketinggalan berita dan maklumat sensasi yang berlegar di alam nyata dan maya. Walaupun berita ini melibatkan semua pihak tetapi kita lihat lebih banyak perhatian adalah kepada Pakatan Rakyat (PR) terutama PAS. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana dalam gelora politik negara hari ini, kedudukan PAS adalah kritikal kepada survival UMNO dan juga PR.

UMNO memerlukan PAS untuk menjadi batu loncatan dalam usaha memulihkan kembali imejnya yang teruk tercalar hasil daripada perbuatan mereka sendiri. Mengikut kajian penganalisa politik tempatan dan para bloggers (termasuk pengakuan daripada pimpinan PAS sendiri) ada beberapa kerat pimpinan tertinggi parti yang termakan umpan dan pujuk rayu UMNO. Biar pun mereka tidak mengaku secara langsung penglibatan ini, tetapi tindak-tanduk dan percakapan mereka jelas mengambarkan sumbangan mereka kepada agenda pemulihan UMNO. Isu kerajaan perpaduan, survival Melayu-Islam, propaganda kebencian DAP terhadap Islam dan lain-lain lagi adalah antara pendekatan yang membawa keuntungan kepada UMNO dan dalam masa yang sama merugikan PR.

Antara pimpinan yang paling tegas menghalang UMNO daripada terus menerus memperkudakan beberapa kerat pimpinan PAS ini adalah Tok Guru Nik Aziz sendiri. Beliau lantang di dalam menangani isu persepakatan politik dengan UMNO dan tidak berganjak walau seinci pun daripada sikap ini sehingga ke hari ini. Langkah tegas Tok Guru menyebabkan UMNO gagal mencapai hajat mereka ingin memusnahkan PAS. Anak Bapa yakin PAS akan musnah jika percaya dengan “keikhlasan” perpaduan tajaan UMNO kerana 3 perkara yang akan berlaku serta-merta. Pertama, orang-orang bukan Islam akan tinggalkan PAS secara berbondong-bondong, kedua, orang-orang Melayu termasuk pimpinan PAS akan berpecah dua, dan ketiga, majoriti orang-orang Melayu akan kembali menyokong UMNO kerana dasar Melayu-Islam lebih cocok dengan UMNO.

Jadi apa yang tinggal pada PAS? Perpecahan dan pergantungan mutlak kepada UMNO. Mungkin ada beberapa kerat pemimpin PAS yang menjadi menteri dan sebagainya atau mungkin Kelantan dan Terengganu dibenarkan melaksanakan hukum hudud. Tetapi semua ini hanyalah fenomena sementara yang akan berakhir secepat ia bermula. Pada penghujungnya PAS akan ditinggalkan seperti pengemis jalanan tanpa ada pembelaan daripada sesiapa.

Tok Guru nampak semua ini dan beliau berusaha keras untuk menghalang perkara ini daripada berlaku. Tok Guru tidak akan memarahi Ustaz Nasaruddin, Mustafa Ali dan Hasan Ali secara terbuka jika beliau tidak mempunyai maklumat yang tepat dan betul tentang apa yang sedang berlaku. Ini sememangnya bukan ciri Tok Guru.

UMNO sedar bahawa selagi Tok Guru ada maka cita-cita mereka untuk memporak-perandakan PAS tidak akan berjaya. Maka usaha rapi dibuat untuk meminggirkan Tok Guru daripada PAS dan seterusnya daripada PR. Dan tidak ada jalan yang paling baik selain daripada “character assassination” ke atas batang tubuh Tok Guru dan mereka yang rapat dengan beliau kerana hanya cara ini saja akan mencemarkan status Tok guru sebagai ikon PAS. Adalah sesuatu yang “naïve” bagi ahli-ahli PAS dalam menyangka bahawa serangan ke atas Tok Guru adalah secara kebetulan sahaja. Ia memang terancang, dirancang oleh UMNO dan mungkin dengan kerjasama beberapa kerat pimpinan PAS yang memang cukup benci dengan Tok Guru.

Anak Bapa tidak berkata Tok Guru itu maksum. Beliau pun ada buat silap. Sebagai contoh kisah pelantikan menantu beliau bagi memegang jawatan CEO Permodalan Menteri Besar Kelantan Berhad (PMBK). Anak Bapa tetap berpandangan ia tidak sesuai walaupun Ariffahmi layak. Ini lebih kepada tanggungjawap moral di dalam menjaga persepsi masyarakat bahawa kita bukan jenis jaga kroni. Begitu juga isu hadiah pakej pergi buat haji pun tetap Anak Bapa tidak bersetuju kerana pertama ia terlalu mewah dan kedua, walaupun pemberi hadiah berkenaan memang dermawan kepada Tok Guru sudah sekian lama tetapi beliau adalah penerima kontrak balak kerajaan negeri (mengikut makluman yang saya perolehi). Memang ada sedikit sebanyak kesilapan Tok Guru tetapi perkara ini diterima dengan baik oleh Tok Guru selepas teguran dibuat. Cuma Anak Bapa lebih suka pendekatan ayah-anak digunakan iaitu dengan memilih pendekatan penyelesaian secara dalaman kerana Tok Guru memang jenis yang “approachable” dan mudah dibawa berbincang. Kita merasakan serangan terbuka dan berterusan ke atas Tok Guru mempunyai agenda lebih besar, iaitu mencemar maruah beliau dan sekali gus meminggirkannya.

DAP dilihat lebih cerdik berpolitik apabila terus menyatakan sokongan bukan Islam kepada kepimpinan Tok Guru. Anak Bapa tak lihat sokongan serupa daripada PKR dan juga pimpinan PAS. Adakah “dosa” Tok Guru dah terlalu besar sehingga kita hilang pertimbangan dan percaya Tok Guru dah jadi liabiliti kini pada parti. Kenyataan Nik Mohd Amar (walaupun ada kebenarannya di ketika yang lain) dan Nik Abduh adalah tidak bersesuaian dalam keadaan serangan bertali arus ke atas ikon jamaah kita ini. Ketumpulan pandangan politik kita di dalam melihat “the big picture” agenda UMNO untuk memusnahkan PAS adalah sesuatu yang amat mendukacitakan Anak Bapa dan juga sebahagian besar ahli dan penyokong. Pimpinan PAS perlu meneropong jauh di dalam diri masing-masing dan melihat semula keutamaan dan gerak kerja kita. Langkah “fire fighting” atau ad-hoc ini tidak akan membantu PAS di dalam melonjakkannya jauh ke hadapan. PAS yang telah lama kerkecimpung di dalam arena politik negara dan merupakan parti komponen PR yang besar perlulah juga memiliki jiwa yang “equally as big”. Selagi kita tak memperkemaskan saf dan kepimpinan kita maka keupayaan untuk menyekat UMNO/BN dalam PRU ke 13 menjadi persoalan besar. Kajian Dr. Abu Hassan yang dibentangkan di Seminar Politik baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa persepsi masyarakat bahawa isu kepimpinan adalah isu besar yang melanda PAS. Persoalannya di mana kita bermula?

Anak Bapa: Islam yang kita bawa ini gagal mendidik pimpinan dan ahli daripada menjadi khairul ummah, di mana salahnya?

Friday, November 27, 2009

BTN Sudah Tidak Lagi Relevan



Timbalan PM, Muhyiddin Yassin berkata bahawa program BTN (Biro Tata Negara) yang telah dilaksanakan buat sekian lama tidak bermotifkan politik tetapi lebih kepada menerapkan semangat patriotisme di kalangan rakyat.

Jawapan Anak Bapa mudah sahaja, kepala hotak engkau. Anak Bapa sendiri pernah menghadiri kursus BTN dan dengan PASTI mengesahkan bahawa ia adalah program indoktrinasi UMNO ke atas orang-orang Melayu supaya terus menerus memperjuangkan konsep Ketuanan Melayu dan secara langsung menyokong perjuangan mereka. Ketika di kursus, Anak Bapa saban hari dilontarkan dengan “bom-bom” perkauman dan agenda kehebatan Melayu dan UMNO. Seringkali berlaku pertengkaran antara kami peserta kursus dengan fasilitator BTN kerana tindakan melampau mereka dalam mengapi-apikan sentiment perkauman Melayu. Mereka tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan-kenyataan berbau perkauman sehingga ke tahap tidak sanggup Anak Bapa sebutkan di sini. Dan Anak Bapa yakin ramai rakan-rakan di luar sana yang melalui pengalaman yang sama dan boleh mengesahkan keabsahan cerita yang Anak Bapa bawa ini.

Sememangnya ucapan Timbalan PM itu ada kebenarannya iaitu BTN bukan bermotifkan politik kerana ia sebenarnya lebih daripada bermotifkan politik. Semangat asabiyyah dan kaumiyyah yang pecacai-pecacai UMNO tiupkan bertopengkan BTN itu adalah penerusan agenda UMNO supaya orang-orang Melayu akan terus mencurigai kaum-kaum lain dan akan bersatu di belakang UMNO bagi menjamin kesinambungan legasi kaum Melayu. Malahan institusi Raja-Raja Melayu digunakan seluas-luasnya oleh UMNO melalui BTN bagi menunjukkan ketaatan mereka kepada raja-raja Melayu dan dalam masa yang sama mengambarkan golongan penentang UMNO sebagai golongan yang ingin menjatuhkan sistem pemerintahan raja-raja Melayu (yakni yang ingin menjadikan Malaysia sebuah republik).

Ramai di kalangan orang-orang Melayu terutama yang mempunyai kedudukan dan dari kelas menengah dan atas yang terpengaruh dengan dakyah UMNO selama ini, menyebabkan UMNO terus dapat bernyawa sehingga ke hari ini. Sudah sampai masanya kita tinggalkan agenda lapok BTN ciptaan UMNO dan kita cipta masyarakat baru Malaysia yang saling hormat menghormati antara sesama kaum dan yang tidak menjadikan perkauman sebagai asas kepada segala permasalahan kita hari ini. Orang-orang Melayu yang rata-ratanya beragama Islam perlu ingat bahawa dasar yang dibawa oleh BTN adalah bercanggah dengan prinsip keadilan Islam yang melihat semua bangsa adalah sama dan yang membedakan antara kita adalah sifat taqwa. Pendekatan menggunakan perkauman adalah diharamkan dan UMNO yang asyik dengan agenda Melayu ini sebenarnya kerana mereka tidak ada benda lain yang lebih baik yang boleh mereka tawarkan kepada rakyat. Sama-sama kita fikirkan.

Anak Bapa: Zahid Hamidi kata Hasan Ali pun pernah jadi Timbalan Pengarah BTN dan sudah tentu amat memahami kebaikan program BTN. Anak Bapa harap Hasan Ali akan segera membuka pekung BTN supaya seluruh rakyat Malaysia dapat lihat kebobrokan yang ada padanya. Kita menunggu ………..

Thursday, November 19, 2009

Gila Talak Khir Toyo



Inilah susahnya apabila terlalu lama jadi MB dan dah sedap-sedap duduk kerusi puncak kuasa sampai tak sedar bahawa kini dia apa pun tarak. Apabila kerajaan PR Selangor bersetuju melantik Dato’ Seri Anwar sebagai Penasihat ekonomi MB Selangor beliau terus melatah kononnya pelantikan itu menunjukkan bahawa Tan Sri Khalid tidak berkemampuan untuk mentadbir Selangor.

Sejak bila apabila ada penasihat maka orang tu tak layak mentadbir? Cuba kira berapa ramai penasihat Tun Mahathir semasa dia jadi PM dulu? Dan penasihat Pak Lah dan Najib pula bagaimana? Negara maju seperti Singapura, USA, Britain dan lain-lain pun menggunakan khidmat penasihat dalam pelbagai bidang pentadbiran. Tiba-tiba Khir Toyo pula kata apabila ambil penasihat maka orang tu tak mampu!

Nama jawatan pun memberi nasihat, tentulah bagus. Lagi ramai lagi cantik sebab seseorang tu tidak mungkin dapat memahirkan diri dalam semua hal. Tetapi akhirnya pertimbangan dan keputusan tetap pada tangan PM atau MB. Benda-benda asas macam ni Khir Toyo tak berapa faham. Kalau dia faham tak kan dia bagi anugerah penyapu kepada pegawai kerajaan. Atau mungkin dia tak mempunyai penasihat masa itu untuk membantunya membuat keputusan. Atau mungkin juga kerana pertimbangan politiknya yang melampau telah menggelapkan otak pemikirannya hingga asyik mengeluarkan kenyataan bodoh dan keanak-anakkan.

Anak Bapa: Tahniah Datuk Seri Anwar! Sanggup berkorban dengan elaun RM1 sebulan demi rakyat dan negeri ……..

Saturday, November 14, 2009

Beda Antara Kerajaan Pakatan Rakyat Dan Kerajaan Barisan Nasional


Ketika rakyat memilih Pakatan Rakyat (PR) untuk memerintah 5 negeri di dalam PRU ke 12 tahun lepas, mungkin sebahagian besar dari mereka membuat pilihan berkenaan kerana benci dan meluat dengan BN. Setelah puluhan tahun memerintah negara, BN sarat dengan segala bentuk penyelewengan dan kefasadan sehingga sampai ke satu tahap rakyat sudah tak tahan dan terpaksa berkata “enough is enough”. Sambil pejam mata dan dengan segala risiko yang bakal ditanggung, mereka undi PR. Selebihnya adalah sejarah ……..

Jadi tahun pertama pentadbiran PR rakyat boleh kasi “chance” sebab drebar baru, bukan senang nak cuci segala najis peninggalan UMNO/BN, siap pakai klorok dan braso lagi! Tetapi setelah hampir 2 tahun, rakyat semakin resah dan gelisah kerana perubahan besar yang ditunggu tak tiba-tiba. Mereka berharap niat awal memilih PR kerana benci BN bertukar kepada memilih PR kerana PR bagus. Tetapi nampaknya impian mereka setakat ni masih belum begitu jelas. Bukan sekadar najis UMNO yang masih membukit, PR terus menerus dibelenggu oleh individu bermasaalah yang jadi pakar katak melompat sana sini dan jenis tembak kaki sendiri dan kaki kawan (shoot their own feet). Kini bukan setakat bergelumang dengan najis UMNO aje tetapi terpaksa bergelumang dengan najis buatan sendiri pulak!

Anak Bapa boleh bagi satu dua contoh tentang perkara ini, yang selebihnya hampa pikiaq sendiri. Isu tauliah umpamanya. Semua orang tahu tauliah ni bagus dalam mengawal tingkah laku penceramah dan pendakwah tetapi acapkali ia digunakan sebagai senjata untuk melumpuhkan pihak yang tidak disenangi. Maknanya ia senjata politik UMNO. Tengok saja apa yang berlaku kepada Dr. Asri dan YB Khalid Abd Samad (kita suruh Khalid dan Khusrin baca khutbah, tengok sapa lebih hebat). Mereka ini jauh lebih berlayakan daripada Pengarah JAIS sekarang tetapi telah dinafikan daripada mendapat tauliah. Dan yang malangnya, EXCO yang bertanggungjawab dalam urusan agama beri jawapan sebiji macamana pemimpin UMNO beri jawapan. Jadi rakyat yang terpingga-pingga akan bertanya apa hebatnya kerajaan PR ni kalau macam tu? Rakyat mengharapkan penambahbaikan dalam benda-benda peninggalan UMNO ni dan kalau setakat meneruskan warisan keparat UMNO, buat apa rakyat pilih PR?

Anak Bapa akui banyak juga kebaikan dan pembaharuan yang telah dan sedang dibuat oleh Kerajaan PR. Tetapi yang tak bagus pun banyak lagi. Jadi tolong pakat-pakat bincang perkemas apa yang patut. Sapa yang dok buat masaalah tu, kalau tak juga dengar cakap elok pi simpan dia dalam peti ais. Buat apa kita nak kesian kalau dah bermasaalah dan lepas tu degil pula! Silap-silap lingkup semua sekali kerana tingkah laku beberapa kerat ni. Sekali rakyat hilang keyakinan nak dapat balik peluang ni kena tunggu kucing bertanduk pulak ……..

Anak Bapa: Sabar pun ada hadnya …………

Monday, November 9, 2009

Lucu Bin Kelakar!



Marah ni memang merbahaya. Jika dalam keadaan marah buat pulak ucapan dan kenyataan, biasanya boleh membawa bencana. Ini ditambah pulak kita tu ada jawatan besar dalam jamaah, segala ucapan dan tindak-tanduk sentiasa dipantau ramai. Hari tu baca aje tulisan Aziz Bari melenting satu macam dan tuduh kawan tu macam-macam, ejen UMNOlah dan sebagainya. Kalau tak silap dalam Islam kita disuruh siasat dulu sebelum buat tuduhan kat orang lain. Sekarang baru sibuk pula nak panggil Aziz Bari bertemu pemuda nak bincang lebih lanjut.

Macamana jadi Ketua Pemuda macam tu, steadylah sikit. Kita tu kan juga Ustaz. Biarlah terserlah sikit kewibawaan. Ini asyik buat benda macam budak-budak, jatuhlah mertabat Pemuda PAS. Dan AJK yang lain tu takkan tengok aje Ketua Pemuda dengan gelagatnya. Tolong bantulah kawan tu sebab imej parti terus menerus tercalar. Nasihat Anak Bapa jika dah tak mampu pegang amanah dengan baik elok aje letak jawatan. Jangan marah bila baca tulisan ini. Anak Bapa hanya menasihat sebagai ahli jamaah. Jika nak terima atau tuduh Anak Bapa macam-macam pulak terpulanglah …….

Anak Bapa: Terfikir juga kenapa Ketua Pemuda PAS dulu tak latih betul-betul bakal penggantinya ………..

Saturday, November 7, 2009

Adakah Pimpinan PAS Akan Memilih Pendekatan Primitif?



Seminar politik pemerkasaan PAS yang berlangsung hari ini di Taman Melewar telah selesai sekitar jam 6 petang tadi. Walaupun Anak Bapa meminta pihak penganjur untuk melanjutkan lagi waktu perbahasan kerana ramai lagi yang mahu bercakap, tetapi permohonan ditolak dengan alasan ada perlawanan akhir bolasepak Piala Malaysia antara Kelantan dan Negeri Sembilan pada sebelah malam. Anak Bapa dan teman-teman berkongsi pandangan bahawa betapa penting majlis ini dan dengan itu perlu dilanjutkan bagi mencapai keputusan yang mantap. Tetapi apakan daya ……..

Sebelah paginya kami telah dihidangkan dengan menu Profesor Aziz Bari dan Dr. Abu Hassan. Ada di kalangan perwakilan yang cuba meratah Aziz Bari kerana tulisan-tulisan beliau tempohari yang dianggap keras dan “mengaibkan” pimpinan PAS terutamanya Ustaz Abdul Hadi Awang, namun tak kurang juga yang memberi sokongan. Anak Bapa turut berucap memberi sokongan atas kritikan beliau kerana berpandangan kehebatan pemimpin tidak tercalar kerana kritikan malah boleh memberi manfaat jika ditangani dengan betul. PAS kini bukan lagi parti kampong yang setiap kali pilihanraya hanya bercita-cita untuk menjadi pembangkang yang kuat. PAS bersama rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat kini adalah “government-in-waiting” untuk pilihanraya umum akan datang. Segala tindak-tanduknya menjadi perhatian semua pihak dan terus menerus diperkatakan. Pimpinan PAS tidak lagi boleh berbuat atau bercakap sewenang-wenangnya tanpa menerima apa-apa konsekuen. Ini terbukti daripada hasil kajian dan bancian yang dibuat oleh Dr. Abu Hassan di mana PAS kini mengalami pengurangan sokongan yang ketara di kalangan pengundi muda dan masaalah kepimpinan (termasuk kepimpinan Ustaz Abdul Hadi) adalah antara faktor utama penolakkan rakyat.

Persoalan persepsi menjadi tajuk panas perbincangan sehingga ke tahap memerlukan penerangan panjang lebar daripada Dr. Abu Hassan. Baginya abad ke 21 adalah abad “perhatian”. Persepsi menjadi bahan utama dalam membentuk informasi rakyat. Penolakan persepsi ini adalah satu langkah ketidakbijakkan politik PAS dan pemimpin terbabit dianggap sebagai golongan primitif.

Pada sebelah petangnya, perwakilan negeri-negeri berucap membincangkan ucaptama presiden. Pelbagai teguran dibuat terutama kepada pimpinan supaya terus mendaulatkan Pakatan Rakyat dan menentang UMNO/BN. Perwakilan Johor, Melaka dan Perak telah berucap dengan baik. Mutu ucapan daripada Pemuda, Ulama, Terengganu dan Selangor pula amat menyedihkan (Anak Bapa tertanya-tanya sapa yang lantik Ustaz Sallehin menjadi wakil kami. Bincang pun tak!). Di kala parti memerlukan pemikiran bernas untuk diperkasakan, mereka sibuk pula nak “berkhutbah” dengan retorik lama dan tak berkaitan. Aduh …….

Apapun, Anak Bapa boleh kata ada sedikit kepuasan melihatkan keberanian ramai perwakilan untuk mengenengahkan pandangan yang berbeda dan kadangkala agak drastik, dan mood perwakilan dan pemerhati yang begitu penat dan bosan dengan pergeseran sesama pimpinan atasan dan tindak-tanduk pimpinan PAS Selangor yang kelihatan seperti anti Pakatan Rakyat. Apa yang penting sekarang ialah menghadam apa yang dilontarkan hari ini dan terus menerus memperbaiki jamaah. Pimpinan atasan terutamanya, perlu mengkaji semua aspek perbincangan dan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan segala kekusutan dapat dirongkai dan segala perbalahan dapat didamaikan demi keharmonian parti, PR dan seterusnya rakyat Malaysia. Amin ………

Anak Bapa: Kudos Ustaz Hadi kerana menghadapi dengan tenang kritikan Profesor Aziz Bari. Yang paling malu dan memalukan hari ini ialah Ustaz Abu Bakar Chik dengan ucapannya yang hampeh ……..

Thursday, November 5, 2009

Apa Khabar Tok Guru Nik Aziz?



Kepada yang belum maklum, Tok Guru Nik Aziz ni adalah Mursyidul Am PAS. Mursyidul Am ni kalau dalam bahasa mudah “spiritual leader” PASlah, yakni tempat rujukan jika ada masalah besar yang tak boleh diselesaikan atau bagi mendapatkan nasihat atas perkara-perkara penting. Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana keperibadian dan keilmuan Tok Guru yang amat hebat hampir sukar untuk ditandingi oleh mana-mana peribadi rakyat Malaysia hari ini.

Dalam kehidupan peribadinya, Tok Guru benar-benar mengamalkan kehidupan sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam. Amalan ibadat beliau tetap “steady” daripada dulu hingga kini. Kekuasaan yang Allah kurniakan kepadanya samada dalam kerajaan dan parti tidak pernah mengaburi penglihatannya terhadap keagungan Islam. Tok Guru tetap sederhana dalam hidup. Tok Guru bikin apa yang beliau cakap dan ingatkan orang lain buat benda baik dan jauhkan benda jahat. Keilmuan Tok Guru tentang Islam hampir “second to none” dan pengalaman politiknya amat luas dan mempersonakan. Sebutlah kepada sesiapa saja tentang Tok Guru termasuk kepada orang-orang UMNO dan orang-orang bukan Islam, tiada lain yang kita dengar melainkan puji dan sanjungan.

Tetapi tup tup di Selangor (atau mungkin ada juga sikit-sikit tempat lain) ada orang PAS kutuk Tok Guru macam-macam. “Orang tua nyanyuklah, mati cepat lagi baiklah” dan sebagainya. Anak Bapa terkejut beruk dengar berita macam ni. Kata-kata nista ini mereka lemparkan kepada Tok Guru kerana Tok Guru menentang keras idea kerajaan perpaduan (perpaduang) sehingga ke peringkat suruh buat EGM pecat Dr. Hasan Ali, Ustaz Nasharuddin dan Mustafa Ali. Apa tak terkejutnya, benda ni tak pernah Anak Bapa terfikir akan diucap sebelum menang dalam pilihanraya 8 Mac tahun lepas. Tak usah dok heran dengan Tok Guru atau orang-orang Kelantan sebab mereka dah lama menang. Yang kita nak cerita ni tentang orang Selangor yang menang sikit dan orang Terengganu (yang kalah lagi!) dah jadi sasau satu macam sampai teguran Tok Guru pun bukan setakat tak nak dengar, siap dikutuk lagi orang tua tu!

Sapa puak-puak ni nak cakap Tok Guru macam tu. Ilmu dan pengalaman mereka setakat mana? Pengorbanan mereka dah cukup besar ke, hingga kepala mereka pun turut jadi besar. Tok Guru dah terbukti keikhlasan dan kejujuran dalam perjuangan. Ini bermakna apabila beliau buat teguran, ia adalah atas dasar kemakrufan dan kepentingan jamaah. Puak-puak ni belum tentu. Silap-silap sebab dapat banyak projek di Selangor tak, hingga hilang pertimbangan mereka? Jadi kalau dah Mursyidul Am tegur, dengarlah sama. Kalau tak setuju jumpa dia dan “explain”. Anak Bapa nak tanya jika ayah kita pukul kita, kita pi tak cerita kat orang yang ayah kita tak guna sebab pukul kita. Tentu tidak sebab kita tau dia buat begitu nak didik kita, kerana sayangkan kita. Dan saya yakin teguran Tok Guru tak ada motif lain melainkan kebaikan dan sayang beliau kepada kita.

Anak Bapa nak beri ingatan kepada puak-puak ini supaya berhenti buat onar dengan Tok Guru kerana agenda nak mencemarkan Tok Guru ni adalah agenda UMNO. UMNO berpandangan bahawa satu-satunya pimpinan tertinggi PAS yang mampu menghalang mereka daripada “merosakkan” PAS dengan isu kerajaan perpaduan ialah Tok Guru Nik Aziz. Dan agenda mencemar dan memburuk-burukkan Tok Guru adalah “top of the agenda” UMNO.

Anak Bapa tidak taksub kepada Tok Guru. Penilaian Anak Bapa adalah atas apa yang beliau ucap dan buat. Setakat ini ianya amat relevan. Jika Tok Guru ada buat silap, insyAllah Anak Bapa akan sama-sama pi jumpa beliau untuk menegur. Tetapi selagi itu belum terjadi, tolong jangan hina Tok Guru kami. Jika tidak Anak Bapa tidak teragak-agak untuk dedahkan siapa puak-puak ni siap dengan bukti rakaman suara!

Anak Bapa: Dengarnya salah sorang yang terlibat tu adalah jenis yang suka tumbuk rostrum bila berucap!