Monday, August 18, 2008

Produk UMNO - Siswa UiTM Yang Tidak Matang


Sampai hari ini saya masih tak faham apa yang dikecohkan sangat tentang cerita cadangan kuota kemasukan siswa bukan Melayu ke UiTM sebanyak 10% yang dibuat oleh MB Selangor. Bukankah namanya cadangan, jikalau tak setuju tak payahlah buat. Buat apa mengaji sekolah tinggi-tinggi jika tak faham apa yang diungkapkan oleh orang lain. Kata orang Negeri Sembilan, “buat abih borah aje!”

Setahu saya, salah satu kaedah pembelajaran di universiti ialah menggalakkan budaya perbincangan atau diskusi atau bertukar-tukar fikiran. Maknanya kita kena izinkan perbedaan pendapat di kalangan siswa agar mereka dapat melatih fikiran menjadi lebih kritis. Ini penting bagi membentuk mereka menjadi manusia yang berwibawa apabila keluar dari menara gading kelak. Adakah Naib Cancelor UiTM (NC), Prof Ibrahim Abu Shah ingat bahawa di universiti, siswa hanya berbincang perkara yang mereka boleh setuju saja dan jika ada perbedaan pendapat maka ia perlu diselesaikan dengan berdemonstrasi?

Bukankah juga YAB MB berkata cadangan ini dibuat sebagai satu jalan untuk memperbaiki mutu pendidikan di universiti berkenaan? Sememangnya mutu IPTA kita berada di tahap yang amat menyedihkan termasuklah di UiTM. Dan jika sekiranya Prof ”Kangkung” Ibrahim ada cadangan lain yang boleh menjamin peningkatan mutu siswanya tanpa perlu memberikan kuota 10% kepada siswa bukan Melayu maka silakan.

Sebenarnya Prof NC ini adalah sambungan legasi UMNO yang telah berkarat di seluruh IPTA yakni legasi pak turut. Siswa, melalui AUKU, NC dan TNC (HEP) yang dilantik kerana afiliasi politik mereka, telah bertungkus lumus di bawah pengarahan UMNO dan dijadikan alat dan barang mainan UMNO. Mereka diajar untuk tunduk kepada apa saja yang bercirikan UMNO tanpa banyak soal. Sebarang perbedaan pendapat terutama yang melibatkan aspek politik di anggap sebagai pengkhianat dan pengacau di kampus. Juga sebarang bentuk pembudayaan Islam di kalangan siswa (selain daripada budaya Islam Hadhari) adalah tidak diizinkan di UiTM dan jika ada usaha-usaha untuk menghidupkannya akan ditentang dengan penuh kekerasan. Itulah UiTM yang kita disuruh bangga-banggakan. Dan tidak hairanlah jika UiTM merupakan antara IPTA yang menghadapi begitu banyak masaalah sosial kerana kegiatan agama telah disekat dan dihalang. Tetapi Prof Ibrahim peduli apa itu semua. Apa yang penting baginya ialah membodek and menggilap tuannya walaupun budak-budak siswa yang menjadi mangsa.

Lagi satu yang membuat saya tertanya-tanya ialah kenapa isu ini pula yang menjadi kontroversi sedangkan ia baru cadangan. Kenapa siswa-siswa ini tidak berdemonstrasi apabila UMNO telah pun memberi kuota 10% kemasukan pelajar bukan Melayu ke MRSM dan IKM? Kenapa siswa-siswa ini tidak pula menyuarakan protes mereka apabila Bahasa Melayu dipinggirkan dengan penggunaan Bahasa Inggeris di dalam Sains dan Matematik? Dan kenapa pula mereka tidak menganjurkan tunjuk perasaan besar-besaran apabila biasiswa (yang memang termaktub sebagai hak istimewa Bumiputera) ditarik balik dan diganti dengan pinjaman? Semua yang disebut ini adalah jauh lebih penting dan memberi kesan langsung kepada mereka. Antara isu lain yang juga menyentuh diri mereka dan keluarga mereka dengan ketara ialah kenaikan harga minyak yang mendadak oleh kerajaan UMNO/BN. Kenapa semua ini dipekakbadakkan oleh mereka semua? Hairan, hairan, hairan …….


Anak Bapa: Nasihat saya kepada Prof Ibrahim aka “Kangkung” dan juga Naib Cancelor IPTA lain, jika nak berpolitik elok letak jawatan dan bertanding di dalam pilihanraya atas tiket BN. Kalau setakat tunjuk hero dengan siswa dan tv serta akhbar, M. Daud Kilau pun boleh!

Monday, August 11, 2008

Agama Perlu DiHormati


Saya memerhatikan dengan penuh kebimbangan insiden yang berlaku baru-baru ini antara Majlis Peguam dan PEMBELA (gabungan NGO-NGO Islam). Konflik ini timbul apabila Majlis Peguam bercadang menganjurkan majlis forum “Memeluk Islam”, program bertujuan antara lain membincangkan masaalah yang dihadapi oleh kalangan bukan Islam apabila kaum keluarga mereka memeluk Islam dan kesukaran untuk murtad di kalangan orang Islam atau muallaf. Di peringkat awal lagi cadangan penganjuran forum ini telah ditentang oleh pelbagai pihak terutama NGO-NGO Islam dan juga tidak digalakkan oleh pihak keselamatan tetapi Majlis Peguam masih mahu meneruskannya. Tepat sekali tekaan kita apabila berlaku suasana yang tidak diingini pada hari forum tersebut sehingga Majlis Peguam terpaksa menghentikan program tersebut sertamerta.


Kadang-kadang saya naik binggung memikirkan sikap sesetengah “cerdikpandai” kita di dalam memahami sensitiviti masyarakat setempat. Kita sudah hampir 51 tahun merdeka namun masih ramai yang tidak faham apa yang tidak boleh dan apa yang boleh diperkatakan di khalayak ramai. Sudah banyak insiden yang berlaku di masa-masa yang lepas yang boleh kita belajar sebagai pedoman di dalam merangka aktiviti kemasyarakatan, dan aspek berkaitan agama dan bangsa merupakan antara yang perlu difikir dan dikaji dengan serius implikasinya sebelum dianjurkan sebarang program.


Tetapi malangnya Majlis Peguam cuba menafikan hakikat ini dan hasilnya hampir tercetus pergaduhan yang jika tak ditangani dengan betul boleh merebak menjadi persengketaan agama yang lebih buruk. Tak adakah orang-orang Islam yang cerdik di dalam Majlis Peguam yang boleh memberi nasihat berguna kepada kepimpinannya? Betullah kita perlu membenarkan hak menyuarakan pendapat dan pandangan, tetapi jikalau sampai ke tahap membicarakan agama orang lain di kalangan mereka yang tidak arif tentang Islam, lantas menimbulkan fitnah di kalangan yang hadir, adakah boleh dianggap sebagai hak mutlak semua orang? Apa kata jikalau orang Islam pula yang menganjurkan forum awam membincangkan tentang agama Hindu atau Kristian atau apa saja agama tanpa memanggil mereka-mereka yang arif tentang agama berkenaan, adakah kita rela dalam konteks kebebasan bersuara? Adakah apabila Negara Barat menganggap kebebasan bersuara itu mutlak dan anggota masyarakat mempunyai hak sepenuhnya membicarakan apa saja secara terbuka termasuk bab agama, maka kita perlu menuruti segala saranan mereka?


Majlis Peguam perlu menjawab segala persoalan di atas sebelum meneruskan niat mereka menganjurkan sebarang program berkaitan agama dan bangsa di masa-masa akan datang. Saya yakin semua orang sayang kepada agama yang dianuti mereka dan tentu tidak bersedia melihat ia di permain-mainkan. Apatah lagi agama Islam yang telah termaktub di dalam perlembagaan sebagai agama negara kita. Kita mempunyai banyak cara untuk menyelesaikan isu yang timbul berkaitan konflik sesama agama dan melalui penglibatan mereka-mereka yang berkelayakkan di dalam bidang agama sahaja segala permasaalahan dapat diselesaikan. Kita boleh memilih jalan yang baik atau jalan persengketaan di dalam perkara ini dan saya yakin Majlis Peguam tentu mahukan cara yang aman dan damai di dalam menanggani kemelut ini. Dan saya juga yakin umat Islam pun mahukan cara kedamaian kerana ini adalah tuntutan agama mereka di dalam kehidupan bermsyarakat. Masyarakat majmuk bukan perkara baru di dalam Islam malah Islam sentiasa tegak di dalam masyarakat majmuk. Justeru itu penyelesaian tetap ada. Persoalannya, adakah Majlis Peguam mahu menyambutnya?


Anak Bapa: Bukan semua benda boleh diciplak terus dari Barat. Ambik contoh bab kahwin kaum sejenis. Relakah kita melihat perkahwinan kaum sejenis yakni lelaki dengan lelaki atau wanita dengan wanita dihalalkan di negara ini semata-mata kerana ia telah mula dihalalkan di sesetengah negara Barat? Cubalah fikir-fikirkan sikit ……..

Monday, August 4, 2008

Kotornya Pemikiran Pimpinan UMNO

Ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) diaibkan oleh Dr. Mahathir 10 tahun yang lalu, ramai anak saya masih kecil lagi, di sekitar umur awal belasan tahun. Ketika itu mereka masih di sekolah rendah dan menengah rendah, baru tengah berjinak-jinak dengan perkataan dan ungkapan baru. Satu-satunya perkataan yang begitu popular ketika itu ialah perkataan LIWAT, perkataan yang diulang sabanhari oleh akhbar, radio dan tv. Saya teringat lagi bagaimana ibubapa ketika itu menghadapi masaalah besar menerangkan makna perkataan ini kepada anak masing-masing. Saya juga tidak terkecuali daripada dilema ini. Apabila ditanya kenapa DSAI dimasukkan ke dalam penjara maka saya jawab kerana beliau lewat (yakni liwat) datang kerja.


Perkataan liwat atau pun sodomi adalah teramat asing di waktu itu. Ini kerana perbuatan itu adalah sesuatu yang amat jijik diungkap dan perbuatan yang dilarang keras oleh Islam. Sebutan perkataan itu saja sudah cukup menimbulkan rasa malu pada si yang bercakap, apatah lagi untuk menjajakan perkataan sial demikian ke merata tempat. Saya masih ingat lagi ketika itu bukan saja perkataan liwat disebut bagai wirid oleh puak-puak UMNO malah ceritanya yang begitu grafik dan amat menjolok mata dan perasaan.



Budaya yang tidak senonoh dan lucah ini yang pelopori oleh Dr. Mahathir dan kuncu-kuncunya ketika itu nampak akan diulangtayang oleh Pak Lah dan kuncu-kuncunya pula sekarang. Mereka sudah mula mengambil langkah awal dengan menjadikan Saiful sebagai kononnya mangsa liwat DSAI. Kertas pertuduhan pun katanya telah siap dan menunggu pendakwaan sahaja. Cuma yang berbeda kali ini ialah fitnah Pak Lah dibuat dalam keadaan UMNO/BN tengah lemah sementara DSAI di dalam keadaan cukup selesa dengan sokongan kuat rakyat. Tambahan pula tuduhan liwat terdahulu, yang dirancang rapi oleh geng Dr. Mahathir, telah ditolak oleh mahkamah dan dengan otomatik menjadikan DSAI mangsa fitnah UMNO. Rakyat mula menyoal adakah DSAI akan difitnah buat kali kedua? Sangkaan rakyat ini mungkin ada kebenarannya kerana DSAI di war-warkan akan berupaya mengambilalih pemerintahan negara pada 16 September kelak. Beliau kini telah pun bersedia untuk masuk parlimen dengan memenangi pilihanraya kecil Permatang Pauh yang telah dikosongkan oleh isterinya tidak lama lagi.



Persoalannya, adakah pimpinan UMNO akan membiarkan DSAI mengambilalih tampuk pemerintahan negara daripada UMNO/BN dengan mudah. Pertaruhannya amat tinggi. Kehilangan kuasa kepada sebahagian besar pimpinan UMNO/ BN bukan saja bermakna kehilangan peluang dan ruang untuk memperkayakan diri dan kroni tetapi yang lebih digusarkan ialah mungkin ramai yang akan terdakwa dan masuk penjara sangat lama! Lantas apakah makna semuanya ini? Adakah kita akan menyaksikan sekali lagi sandiwara kotor seperti yang dimainkan oleh UMNO dan rakan-rakan mereka di PDRM, Pejabat Peguam Negara dan Mahkamah dahulu? Adakah kita akan menyaksikan lagi saksi kaldai seperti Azizan dan Umi Hafilda? Adakah tilam dan cadar akan diusung sekali lagi naik turun ke mahkamah?


Cukuplah rasanya arang yang diconteng ke muka kita oleh Dr. Mahathir dan UMNO dahulu. Demi kuasa mereka sedang merangka untuk mengulangi episod yang amat memalukan ini sekali lagi. Saya menyeru pihak polis, doktor, peguam, hakim dan sesiapa saja supaya terus tabah dan beretika dan jangan sesekali terlibat di dalam perancangan fitnah dan konspirasi UMNO. “Enough is enough!”



Anak Bapa: Jijik sungguh rasanya memikirkan kepala otak pimpinan UMNO ini. Siang malam tak ada lain dok fikir macamana nak kenakan orang lain dengan skandal seks. Memang mereka ini otak kuning kerana budaya mereka pun budaya kuning. Jikalau konspirasi dulu yang dirancang rapi pun menunjukkan bahawa DSAI tak bersalah apatah lagi konspirasi terbaru yang dibuat sekadar melepas batuk ditangga? Tu pun ada hati orang-orang tertentu nak kongsi kuasa dengan UMNO!