Friday, April 25, 2008

Klon Zainuddin Maidin

Saya terbaca di dalam akhbar hari ini petikan ucapan daripada Menteri Penerangan baru, Ahmad Shabery Cheek berkaitan usaha Anwar untuk menarik wakil-wakil rakyat BN kepada Pakatan Rakyat (PR), Katanya,”…BN tidak bimbang tentang cakap-cakap bahawa wakil–wakil rakyat mereka akan berpaling tadah kepada PR sebagaimana yang didakwa oleh Penasihat PKR, Anwar Ibrahim. Sebaliknya, PR yang patut bimbang tentang wakil-wakil rakyat mereka yang akan berpindah kepada BN kerana rakyat sangat marah tentang projek ternakan babi moden di Selangor yang menelan belanja RM100 juta....”.

Saya ingat selepas Zainuddin Maidin (Zam) dah lupus maka berakhirlah sudah zaman kebodohan Menteri Penerangan UMNO. Rupa-rupanya ada pula klon Zam yang empunya nama Ahmad Shabery Cheek (….he has the “chick” to say such worthless words….). Bukankah kita dah cakap berkali-kali bahawa projek ini diluluskan oleh Khir Toyo dan segala perbelanjaan (by the way adalah RM300 juta dan bukan RM100 juta) ditanggung oleh PIHAK SWASTA. Kenapa projek untuk membekalkan bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu kepada setiap rakyat setiap bulan tak diceritakannya? Dan dah bertahun-tahun rakyat terpaksa menahan bau busuk dan pencemaran najis babi, kenapa UMNO tak pernah cari jalan penyelesaian? Sebagai kerajaan yang mesra rakyat, projek ini akan berupaya menyediakan makanan untuk orang-orang bukan Islam dan dalam masa yang sama menyelesaikan isu pencemaran air dan bau busuk.

Menteri yang tak berapa terang ini nampak saja macam cerdik tetapi hakikatnya lebih kurang Zam saja. Hari tu bila MB Selangor tegur sikit tentang slot masa Radio FM Selangor, kawan kita terus suruh pindah keluar daripada Selangor. Pooorah! Macam budak-budak ….. Tengok cara dia lompat dari satu tempat ke satu tempat, saya yakin kita akan menyaksikan belang sebenar hamba Allah ini dalam masa terdekat.

Anak Bapa: UMNO ni sebenarnya cukup “sui”. Sapa saja jadi pemimpin atau menterinya tidak dapat lari dari mendapat badi kebodohan pemimpin dan menteri-menteri mereka yang lepas. Ini belum masuk bekas menteri JJ yang didakwa meramas bontot entah Minah mana pulak!

Saturday, April 19, 2008

UMNO Atau Melayu Yang Terancam?

Saya amat tertarik dengan polemik berhubung penghakisan kuasa Melayu atau ketuanan Melayu yang semakin panas diperkatakan kebelakangan ini. Apa yang pelik ialah perkara ini tidak pula dibincang dengan serius oleh UMNO dan kuncu-kuncunya sebelum pilihanraya baru-baru ini. Malah mereka dengan sombong telah berkali-kali menolak pelawaan PAS untuk bermuzakarah berhubung kesatuan Melayu dan Islam. Tetapi apabila dirasakan nyawa mereka semakin terancam hasil penolakkan rakyat (termasuk orang-orang Melayu) maka dicananglah merata tempat betapa perlunya Melayu bersatu untuk survival mereka. Tetapi betulkah orang-orang Melayu sedang terancam di bumi sendiri?

Cuba lihat perbandingan kerusi-kerusi parlimen yang dikuasai oleh orang-orang Melayu pada pilihanraya 2004 (masa kegemilangan BN) dan 2008 (kekalahan paling teruk BN). Kita menggunakan kerusi parlimen kerana ia lambang kekuasan di negara ini. Di dalam PRU 11 UMNO memperolehi 110 kerusi diikuti PAS 9 kerusi dan PKR 1 kerusi menjadikan jumlah keseluruhan kerusi Melayu 120 manakala di dalam PRU baru-baru ini UMNO memperolehi 78 kerusi, PAS 23 kerusi dan PKR 20 kerusi (kerusi Melayu) menjadikan jumlah kerusi yang dikuasai orang-orang Melayu sebanyak 121. Bukankah kerusi orang-orang Melayu telah bertambah? Juga dapat dilihat daripada statistik ini bahawa kerusi milik UMNO telah susut sebanyak 32 yang mana telah diambil oleh PAS dan PKR. Berdasarkan kepada analisa mudah ini anda sendiri dapat membuat kesimpulan siapa sebenarnya yang sedang terancam!

Permintaan saya kepada pimpinan dan ahli Pakatan Rakyat (PR) terutamanya orang-orang Melayu supaya jangan terjebak ke dalam perangkap perkauman UMNO. Kita tidak perlu membuang masa dengan sikap hodoh dan hujah dungu pimpinan UMNO dan “cendiakawan-cendiakawan” yang sewaktu dengan mereka. Adalah lebih baik kita memberi tumpuan memerintah negeri-negeri yang kita menangi dengan baik dan meyakinkan rakyat (termasuk ahli-ahli UMNO) bahawa mereka tidak membuat kesilapan dengan mengundi PR. Episod sedih UMNO sudah berlalu dan wajar kita biarkan “Luncai terjun dengan labu-labunya”.

Anak Bapa: UMNO akan menghadapi tsunami politik kedua yang lebih besar apabila pimpinan mereka mula serang menyerang menjelang pemilihan parti di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya peringkat nasional tidak lama lagi. Kita tunggu tengok kepala sapa yang kena penggal dan terpenggal.

Monday, April 14, 2008

UMNO Tetap UMNO, Dulu, Kini Dan Selamanya

Kata orang tua-tua,”melentur buluh biarlah dari rebungnya”, memang ada banyak kebenaran. Semasa kanak-kanak, amat mudah untuk membentuk mereka menjadi apa saja. Tetapi apabila dah dewasa, segala tabiat yang terlekat di badan amat sukar dikikis, dan biasanya terbawa-bawa hingga ke liang lahat.

Begitu jugalah hakikatnya keadaan UMNO hari ini, yang kini menjangkau umur lebih daripada 50 tahun. Umur ini dianggap sudah tua, umur orang hampir nak bersara. Justeru itu segala tabiat buruk yang dipikul daripada zaman “kanak-kanak” UMNO amat sukar dibuang lagi. Ketika mereka masih “muda” ramai kalangan peminatnya yang menegur supaya UMNO berubah kepada yang lebih baik. Contohnya, Tun Mahathir pernah menangis di dalam rayuannya beberapa tahun dulu supaya pemimpin dan ahli UMNO meninggalkan tabiat buruk berpolitik wang, tetapi mereka tidak hiraukan. Kini segala tabiat buruk telah sebati dengan UMNO dan hampir sukar dipulihkan.

Bukti UMNO tidak akan berubah semakin jelas apabila mereka tewas di dalm PRU ke 12 baru-baru ini. Sepatutnya apabila tewas mereka patut secara ikhlas mencari sebab musabab kenapa ianya berlaku dan membuat perubahan perlu bagi membaiki keadaan. Tetapi ini tidak berlaku. Sebaliknya mereka sibuk menuding jari antara satu sama lain. Tun hentam Pak Lah dan Pak Lah hentam Tun balik. Hakikatnya kedua-duanya sama saja. Mereka sama-sama terbabit di dalam memusnahkan UMNO. Apa tidaknya kerana semasa Tun jadi PM dulu pun Pak Lah sentiasa menjadi ahli MKT dan juga menteri kabinetnya. Kenapa ketika itu mereka tidak sama betul membetulkan satu sama lain?

Mat Taib yang baru dikitar semula, beberapa hari lepas dipetik sebagai berkata formula Terengganu ketika pemerintahan PAS akan digunakan untuk negeri-negeri yang UMNO tewas. Ini bermakna “kerajaan di dalam kerajaan” di Kedah, Kelantan, Perak, P.Pinang dan Selangor. Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) akan diwujudkan di negeri-negeri ini dan segala peruntukan projek persekutuan akan disalurkan melalui ejen-ejen mereka (yakni JKKK sekarang) untuk diagih-agihkan terus tanpa melalui kerajaan negeri. Ini sikap kurang ajar UMNO yang tidak tahu malu. Duit yang mereka salurkan itu bukan milik UMNO atau ahli UMNO semata tetapi hak rakyat. Demokrasi kepala otak apa yang mereka gunakan saya pun tak tahu. Hormatilah sikit kepada keputusan rakyat. Tahukah anda bahawa sikap beginilah yang membuatkan rakyat naik menyampah dengan UMNO?

Lepas tu Azlina “tomboy” pula nak batalkan persefahaman pelancongan dengan negeri-negeri yang mereka tewas. Apa maknanya ini? Apa dia nak suruh pelancong pi negeri yang dia menang saja ke?

Dah tu UMNO pi upah penduduk-penduduk Sepang (ahli-ahli UMNO aje) untuk berdemonstrasi depan Bangunan SUK kerana membantah projek ladang ternakan babi di kawasan mereka. Selama ini dah berpuluh tahun babi diternak di situ dan mencemarkan habis kawasan berkenaan, kenapa tak berdemonstrasi? Kenapa tak berdemonstrasi kat depan kilang arak Guiness Stout dan Carlsberg atau tempat judi Genting Highland? Bukankah arak dan judi dosanya lebih besar sedangkan babi tu makanan orang bukan Islam dan menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan menyediakan kemudahan ini?

Dan yang mutakhir pula berkaitan Radio FM Selangor. Sewajarnya media yang duduk di Selangor ada hormat sikit kepada kerajaan pilihan rakyat dengan memberi sedikit ruang, bukan untuk berpolitik, tetapi untuk menerangkan kepada rakyat program-program kerajaan. Itu pun tak diendahkannya malah mereka gunakan ruang yang ada untuk terus menfitnah kerajaan Pakatan Rakyat. Saya setuju sangat dengan katadua Tan Sri MB. Sepatutnya Menteri Penerangan arahkan Radio Selangor FM memberikan sedikit ruang, tetapi perangai sebenar Ahmad Shabery Cik ni lebih kurang Mamak Zam juga terus arahkan radio berkenaan “pack” barang dan balik ke angkasapuri. Apa punya sempit pemikiran puak-puak UMNO ni.

Berdasarkan insiden-insiden ini, saya cukup yakin UMNO tidak akan berubah sikit pun malah akan terus macam UMNO dulu. Segala tabiat buruk mereka dah pun sebati dan berakar umbi di dalam tubuh badan mereka dan akan turut mengikut mereka ke “liang lahat” politik Malaysia. Sama-sama kita berusaha mencari 2 batang batu nisan untuk kubur UMNO di dalam pilihanraya lagi sekali!

Anak Bapa: Saya naik menyampah mengikuti percakaran sesama pemimpin UMNO setiap hari. Masalahnya bukan apa, kedua-dua puak yang bertentangan ni pun bukannya betul sangat. Mereka ini “kokok berdegang-degang tapi ekor bergelumang tahi”. Saya bukan apa cuma kesiankan UMNO. Kalau UMNO hanya tinggal di muzium aje nanti tak seronok juga sebab kita nak bertekak dengan siapa.

Wednesday, April 9, 2008

Lagi Kisah Mengenai Ladang Ternakan Babi Di Selangor

Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pengunjung blog saya di atas segala komen dan nasihat mereka. Hari ini begitu ramai yang terpanggil untuk menulis sesuatu kerana topiknya yang agak panas dan kontroversial.

Sememangnya diakui bahawa isu babi adalah perkara yang amat sensitif kepada umat Islam. Dan PAS sebagai salah satu daripada komponen Pakatan Rakyat tentu tidak akan membuta tuli menyokong projek ini jika ia bercanggah dengan agama atau membawa musibah kepada rakyat. Sebahagian besar yang memberi komen terdiri dari mereka-mereka yang faham isu sebenar di sebalik penerimaan projek ini manakala selebihnya menolak atas dasar kekeliruan atau sememangnya penyangak siber UMNO.

Isu di sini bukan cerita buat ladang supaya orang Islam mudah dapat makan daging babi. Ia berkaitan dengan tanggungjawab kerajaan di dalam menjaga kebajikan rakyat. Ada di kalangan rakyat yang memerlukan makanan ini sementara ada juga rakyat yang mahu alam sekitar dan air dijaga supaya tidak berlaku pencemaran. Maka adalah menjadi tanggungjawab kerajaan yang mesra rakyat (bukan macam UMNO dan BN) untuk mencari jalan yang dapat memuaskan semua pihak. Dan sebagaimana yang saya nyatakan di dalam tulisan saya sebelum ini bahawa kedapatan satu teknologi yang amat bersih dan moden yang berupaya menyelesaikan permasaalahan yang dah bertahun-tahun mengugat kehidupan kita. Persoalannya, adakah kita tolak mentah-mentah begitu saja peluang ini sedangkan isu sebenar berkaitan pencemaran terus menerus berlaku? Walaupun projek ini diluluskan oleh kerajaan Khir Toyo (walaupun dinafikannya, kita ada bukti bertulis) kita tetap menyokongnya kerana manfaatnya jauh mengatasi keburukannya.

Tuduhan daripada sesetengah pihak bahawa PAS sanggup mengadai prinsip kerana nakkan sokongan adalah tidak berasas. Sokongan apa lagi kerana kita telah pun menerima sokongan. Kalau tidak masakan kita boleh bersama PKR dan DAP memerintah 5 negeri! Lagipun tunjukkan pada saya dalil yang menyatakan bahawa membina ladang ternakan babi yang bersih daripada pencemaran demi memenuhi kehendak rakyat bukan Islam di dalam negara adalah haram. Jikalau ada saya yakin Tok Guru Nik Aziz akan terlebih dulu memberi komen kerana di Kelantan pun kerajaan negeri membenarkan ladang penternakan babi.

Seperkara lagi, ingin saya maklumkan di sini bahawa antara syarat kelulusan projek ini ialah semua para penternak babi di Selangor akan memindahkan babi-babi mereka ke pusat ternakan ini. Perkara ini telah dirundingkan dan sepakat dipersetujui oleh semua penternak kerana pertama kos mereka lebih rendah dan kedua kerana ia bersih dan mesra alam. Tentang cadangan supaya dibuat ladang ternakan di depan rumah saya dan sebagainya itu ide kebudak-budakkan. Mereka mungkin tak tahu bahawa kawasan-kawasan pembangunan digazetkan mengikut kegunaan seperti kawasan kilang, kawasan perumahan, kawasan perdagangan dan juga kawasan ladang dan ternakan. Takkan pula ladang ternakan dibina pula di kawasan perumahan. Mungkin semasa pemerintahan UMNO dan BN mereka buat begitu.

Saya menyokong projek ini dan meminta kerajaan PR di Selangor meneruskan lagi agenda mesra rakyat mereka. Mulai bulan Jun nanti kita akan mendapat 20 meter padu air percuma setiap bulan. Dan hari ini mesyuarat EXCO telah bersetuju supaya segala saman rakyat yang berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dihapuskan dan jika ada kes mahkamah supaya ditarik balik untuk tujuan rundingan luar mahkamah. Syabas PR!


Anak Bapa: Sebagai seorang jurutera, saya sangat yakin dengan keberkesanan projek ini selepas mengkajinya dengan terperinci. Jika tak ada tempat lain lagi untuk melaksanakannya, saya rela dibuat di belakang rumah saya. Ini kerana saya yakin dengan teknologinya dan dalam masa yang sama dapat membantu kerajaan PR di dalam menjalankan amanah mereka. Dengan izin Allah tidak akan kurang Islam saya jika saya berbuat demikian.

Tuesday, April 8, 2008

Cerita Sebenar Di Sebalik Projek Ternakan Babi Di Selangor

Terkejut beruk betul saya apabila mengikuti rancangan ulasan akhbar daripada TV1 RTM awal pagi tadi mengenai Projek Ternakan Babi di Selangor yang kononnya akan dilaksanakan tidak lama lagi. Pengulas berita dengan penuh aksi dan gaya telah memetik kenyataan EXCO PAS, Dr. Halimah Ali dengan menuduh yang bukan-bukan kepada PAS kerana menyokong projek berkenaan. PAS dianggap telah lupa perjuangan dan sanggup menjual agama kerana kepentingan politik. Malah pengulas “kuda kayu” ini tidak segan silu menasihatkan PAS bahawa daging babi adalah haram dimakan bersandarkan ayat-ayat Al-Qur’an dan juga petikan kitab Injil. Selanjutnya beliau menfitnah PAS dengan menyatakan bahawa dengan projek ini kelak PAS akan membenarkan pula jualan daging babi di tepi-tepi jalan.

Apa punya kepala hotak mentaliti orang-orang RTM ini pun saya tak faham. Kita ingatkan apabila dah kalah pilihanraya dan dapat Menteri baru mereka akan berubah dan akan menjalankan tugas dengan lebih profesional. Tetapi harapan hanya tinggal harapan. Kalau dah UMNO tu tetap UMNO, dulu, kini dan selamanya. Perangai haprak mereka nampaknya tak kunjung reda sehingga rakyat usung mereka ramai-ramai dan buang ke dalam laut.

Berbalik kepada cerita ternakan babi tadi. Apa yang RTM sibuk sangat tentang ternakan babi? Bukankah selama ini pun terdapat ribuan babi di mana-mana di Malaysia. Lupakah mereka kepada isu babi di Negeri Sembilan dan Melaka dahulu yang bukan setakat melibatkan kaum Cina tetapi juga pimpinan UMNO di dalam mengaut keuntungan. Dan jangat kita lupa bagaimana pimpinan BN menyalahguna duit derma mangsa-mangsa penyakit bawaan babi (JE) untuk kepentingan mereka.

Perlu diingat bahawa negara kita terdiri daripada berbilang kaum dan agama, dan ada di kalangan rakyat yang makan daging babi. Justeru itu binatang ini perlu dipelihara bagi mendapatkan dagingnya. Ketika RTM asyik menghentam keromo PAS, perlu diingat bahawa ternakan babi terus berjalan tanpa ada usaha konkrit untuk mengawalnya daripada mencemar alam sekitar. Kita berterusan menghadapi pencemaran air yang akhirnya membawa bencana kepada umat Islam sendiri.

Saya kebetulan tahu benar tentang projek yang dimaksudkan oleh YB Teresa Kok dan YAB Menteri Besar Selangor. Ini kerana projek ini ditawarkan oleh syarikat kawan baik saya beberapa bulan yang lepas. Untuk makluman RTM, projek ini diluluskan oleh kerajaan Khir Toyo 2 minggu sebelum pembubaran parlimen. Walaupun saya orang kuat PAS, saya menyetujui projek yang dicadangkan oleh rakan saya ini kerana selepas menelitinya secara terperinci, saya dapati ia amat berguna di dalam menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh umat Islam yakni isu pencemaran air. Projek berteknologikan Jerman ini adalah satu sistem ternakan babi moden dan tertutup (closed system). Ini bermakna babi akan dipelihara di dalam tempat tertutup (lengkap dengan pendingin hawa) dan segala najis yang tercerna akan dikitar untuk pengeluaran gas (methane). Malah darah babi apabila disembelih pun akan menjadi sebahagian daripada kitaran ini. Lantas tidak akan wujud lagi sebarang pencemaran (zero-pollution) akibat ternakan babi selepas ini. Pihak Jabatan Haiwan dan juga pegawai-pegawai kerajaan lain telah membuat kajian mendalam mengenai kesesuaian projek ini termasuk membuat lawatan ke Jerman untuk melihat sendiri bagaimana keberkesanannya. Mereka begitu kagum dengan apa yang mereka lihat dan bersetuju melaksanakannya di Selangor, dan jika berjaya akan dikembangkan pula ke seluruh negara.

Seperkara lagi perlu disebutkan bahawa usaha ini adalah di bawah pembiayaan swasta. Kerajaan negeri hanya menyediakan tapak projek. Orang-orang bukan Islam perlukan daging babi sementara kita perlukan air yang bersih dan persekitaran yang nyaman. Bukankah projek ini satu kompromi yang amat hebat untuk rakyat negara ini?

Anak Bapa: RTM (Rupa Tak Malu) tak peduli itu semua kerana yang penting bagi mereka ialah melepaskan geram pada Pakatan Rakyat. Cerita benar atau palsu bukan ukuran penting bagi mereka. Kalau babi tu kita boleh maafkan sebab mereka dijadikan Allah tanpa akal, tetapi yang manusia kat RTM ini diberi akal tetapi masih tak mahu menggunakannya! Cuba anda fikir, mana lebih teruk?

Monday, April 7, 2008

Bersama Mengisi Kemenangan

Memang pembangkang telah lama menderita di bawah pemerintahan UMNO. Kekalahan bagi mereka adalah sesuatu yang lumrah dan sesuatu yang kita yakini mereka akan mampu tanggani dengan baik. Tetapi tsunami politik yang berlaku baru-baru ini adalah fenomena yang luarbiasa, sesuatu yang di luar dugaan. Tambah “menderita” lagi apabila tidak ada kesepaduan yang mantap di kalangan parti-parti pembangkang apabila mereka menyertai pilihanraya umum ke 12 baru-baru ini. Dan apabila ditakdirkan menang dan layak untuk memerintah, mereka terpaksa bertungkus lumus memerah otak dan keringat mencari jalan bagaimana kerajaan campuran dapat dibentuk.

Negeri Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang dianggap lebih mudah membentuk kerajaan campuran kerana parti PAS yang dominan di Kelantan dan Kedah, dan DAP di Pulau Pinang. Ujian sebenar kerajaan campuran ialah di Selangor dan Perak. Kita dapat bernafas lega buat sementara kerana pembangkang (yang kini dikenali sebagai Pakatan Rakyat (PR)) telah berjaya membentuk kerajaan lengkap dengan para exconya. Kita juga bernasib baik kerana dalam masa yang sama UMNO pula menghadapi masaalah (sebab tak pernah kalah teruk) dan di Terengganu sehingga hari ini barisan exconya masih belum lagi dibentuk. Sekurang-kurangnya kecelaruan sesama mereka akan mengalih perhatian daripada menghentam PR buat seketika.

Bagaimanapun, PR tidak boleh berterusan mengharapkan UMNO lemah sedangkan mereka sendiri asyik bertelagah di dalam isu yang remeh temeh. Agenda perubahan perlu digerakkan dan pengisian kemenangan demi meyakinkan rakyat harus segera dimertabatkan. Ada baiknya kerajaan negeri mula menyelaras ahli-ahli dewan undangan negeri dan parlimen (ADUN dan AP) supaya menyiapkan infrastruktur perkhidmatan rakyat di kawasan masing-masing lengkap dengan kakitangan terlatih. ADUN dan AP perlu diberi kursus bagaimana melayani rakyat dan mejalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan.

Kerajaan negeri pula perlu memberi keutamaan kepada janji-janji di dalam manifesto. Laksanakan secara berperingkat-peringkat mengikut keutamaan. Jangan tunggu sehingga semua sempurna baru mula nak tunaikan janji, nanti rakyat muak menunggu. Keutamaan program adalah mengikut faedah langsung kepada rakyat seperti perumahan (terutama perumahan terbengkalai), air, tanah dan rumah ibadat (termasuk mesjid). Di dalam aspek pentadbiran tumpuan perlu kepada mengemaskini status semasa, samada projek atau kewangan. Beri perhatian kepada kakitangan kerajaan yang ada, dan dapatkan maklumat bebas tentang latarbelakang sesetengah kakitangan ini. Saya yakin ramai antara mereka kini menyamar sebagai penyokong PR tetapi di belakang bekerja untuk UMNO dengan mensabotaj kerajaan. Pengalaman pahit ini pernah kita alami semasa pemerintahan PAS di Terengganu dahulu. Ini bukan bermakna kita nak menganiaya sesiapa cuma mengambil sikap berjaga-jaga.

Para penyokong PR pun perlu memainkan peranan dengan membantu kerajaan mengikut keupayaan masing-masing dengan memberi ide dan cadangan bernas untuk dilaksanakan di samping melibatkan diri di dalam aktiviti yang dianjurkan. Kita perlu ingat bahawa pemimpin kita sedang belajar untuk menjadi pemerintah yang baik. Hampir kesemua mereka tanpa pengalaman memerintah dan kita tidak akan membantu mereka jikalau asyik komplen saja tanpa ada komitmen untuk membantu. Kejayaan kerajaan PR adalah kejayaan kita dan rakyat, sementara kegagalan mereka bermakna BN akan berkuasa semula. Adakah anda mahu UMNO dan BN memerintah semula negeri-negeri ini?

Anak Bapa: Salah satu cadangan saya yang boleh dilaksanakan segera ialah supaya ADUN yang beragama Islam berkhutbah di mesjid-mesjid kawasan masing-masing. Sebagai pemimpin, amat wajar memberi nasihat kepada rakyat dengan berkhutbah pada hari Jumaat. Jikalau tak pandai segera berkursus dan lepas tu jumpa Dato’ Dr. Hassan Ali untuk dapatkan tauliah.

Friday, April 4, 2008

Dendam UMNO Berterusan

Setelah kalah teruk di dalam “peperangan” baru-baru ini, kita ingatkan UMNO akan insaf dan akan menyesal di atas segala tindakan keterlaluan mereka selama ini. Kita membayangkan bahawa pemimpin-pemimpin UMNO akan berhenti sejenak memikirkan segala kesilapan mereka dan merangka langkah-langkah pengislahan sambil merawat segala luka dan kecederaan yang mereka alami. Tetapi malang sungguh malang. Bukan setakat mereka tak merasa kesal sikit habuk pun malah masih bersikap angkuh dan sombong lagi.

Semalam diberitakan bahawa Menteri Pelancongan yang baru, Dato’ Azlina Othman telah bertindak membatalkan memorandum persefahaman pelancongan dengan 5 kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR). Tahukah Azlina bahawa 52% rakyat Semenanjung Malaysia mengundi PR di dalam PRU 12 baru-baru ini? Jika tidak kerana penipuan SPR dan persempadanan kawasan DUN dan Parlimen yang diatur oleh BN, saya yakin lebih banyak kerusi dan negeri yang jatuh ke tangan PR. Tetapi Azlina tak peduli ini semua. Apa yang penting bagi mereka ialah melaksanakan agenda jahat mereka dan berterusan membelakangkan demokrasi. Saya ingin menyeru seluruh pimpinan UMNO termasuk Azlina supaya teruskan lagi usaha yang sebegini dan kalau boleh boikot terus negeri-negeri yang diperintah oleh PR. Ini kerana tsunami politik ke 2 ini akan menjadi lebih besar dan akan menenggelamkan terus UMNO dan BN sebelum tempuh PRU 13 nanti.

Anak Bapa: Azlina dan Zainuddin Maidin bersependapat bahawa Pakatan Rakyat tidak akan berjaya kerana ia merupakan “marriage of convenience” atau perkahwinan yang berkepentingan. Bercakap mengenai perkahwinan ini macamana Azlina boleh tahu tentangnya kerana setahu saya dia tak pernah dan tak berminat berkahwin!

Wednesday, April 2, 2008

Secebis Nasihat Buat Tun

Saya ada banyak mengikuti perkembangan UMNO dan Tun Mahathir kebelakangan ini. Entah kenapa insan yang sangat saya meluat sejak zaman berzaman lagi kini begitu lincah dan ligat di dalam memperjuangkan “kepercayaan politik” beliau. Sememangnya Tun merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang luarbiasa. Apabila kalangan ramai meramalkan beliau akan bersara daripada politik dan duduk diam menghabiskan sisa-sisa umurnya, beliau bingkas bangun bagai singa yang baru kebah dari demam menyerang Pak Lah bertubi-tubi. Semalam di dalam satu majlis anjuran “pemberontak-pemberontak” UMNO, Tun Mahathir telah membuat pelbagai tuduhan berat kepada Pak Lah dan seterusnya mengesa supaya PM meletak jawatan “demi keutuhan UMNO”.

Saya tidak berhajat untuk mengulas lebih lanjut kemelut UMNO kerana sekali imbas kita boleh mengagak bahawa usia UMNO sudah tinggal tidak berapa hari lagi, dan lagi di”usik” UMNO maka akan bertambah nazak keadaannya. Saya lebih berminat untuk mengulas beberapa kepelikan Tun Mahathir dan tindak tanduknya yang agak tidak konsisten.

Jika sebelum ini Tun begitu berminat menjatuhkan Pak Lah untuk diganti dengan Najib, tetapi semalam beliau jelas berpandangan bahawa Najib juga sudah tidak layak mengganti Pak Lah sebagai PM kerana alasannya Najib begitu mementingkan diri daripada parti. Soalan saya, pernahkah wujud seorang TPM yang secucuk dengan Tun? Mula-mula Musa Hitam lari malam diikuti dengan Ghafar Baba dan Anwar Ibrahim, yang bukan saja dipecat tetapi dihina dan dimalukan dengan begitu dahsyat sekali. Lepas itu beliau lantik Pak Lah sebagai PM dan memberi syarat bahawa Najib jadi TPM. Sekarang Pak Lah pun dia tak mahu dan begitu juga Najib. Alahai tak tahu apa nak kata lagi, sampai tujuh lapan orang yang dikira terbaik di kalangan pemimpin UMNO pun Tun tak setuju, orang macam mana yang beliau nak lagi kita pun tak tahu. Jikalau seorang dua dia tolak mungkin boleh diterima lagi tetapi kalau dah sebegini ramai saya rasa kemungkinan masaalahnya pada Tun dan bukan pada orang lain. Cuba renung-renungkan …….

Allahyarham Ustaz Fadhil, bekas Presiden PAS pernah berkata bahawa Allah mungkin memanjangkan umur Tun Mahathir supaya dia boleh lihat sendiri bahawa segala usahanya yang sangat dibangga-banggakan akan dihancurkan atau didedahkan satu persatu ketika beliau masih hidup. Benar sekali ……..
Sebaik saja Pak Lah menjadi PM pelbagai projek mega Tun telah dibatalkan termasuk Jambatan Senget ke Singapura, Projek Keretapi Berkembar dan sebagainya. Tun meletakkan Pak Lah dan bukan Najib sebagai PM kerana dia beranggapan boleh mengawal Pak Lah dari luar. Ini kerana Tun tahu Pak Lah ini lemah orangnya dan dia dari jenis “saya yang menurut perintah” saja. Tekaan Tun tepat sekali Cuma Pak Lah tidak menerima pandangan daripadanya tetapi sebaliknya menerima arahan puak-puak tingkat 4 yang diketuai Khairy. Tentu Tun sangat kecewa dan marah dengan fenomena ini dan sejak itu menganggap puak-puak tingkat 4 sebagai musuh peribadinya.

Pak Lah, atas nasihat Khairy, menggunakan ruang yang ada untuk memalukan Mahathir termasuk membebaskan Anwar, memberi publisiti luas skandal VK Lingam, dan yang terakhir isu permohonan maaf kepada Tun Salleh Abas atas pemecatan beliau dahulu. Semua ini membawa malu kepada Tun dan sebagai seorang “kaki lawan” Tun tidak akan berdiam diri apabila diserang begini rupa. Saya yakin kemelut UMNO semakin hari semakin kusut dan keretakkan besar mereka sedang menunggu belah.

Cerita UMNO itu satu hal tetapi apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah tentang Tun Mahathir. Jika beliau betul-betul mahu buat kebajikan di akhir-akhir hayatnya sepatutnya beliau keluar UMNO dan mungkin masuk PAS. Bukankah sebelum ini Tun pernah berkata bahawa UMNO sudah tidak dapat dipulihkan lagi. Selepas mengalami kekalahan mega besar baru-baru ini, UMNO masih terkial-kial mencari sebab musabab kekalahan dan masih di dalam “denial mode” yakni sindrom penafian, apakah ada harapan UMNO boleh berubah? Tun masuk PAS dan guna kepakaran dan semangat juang Tun untuk membanyakkan bakti kepada masyarakat, dan sebagaimana Islam ajar kita bahawa apa saja amalan baik yang kita buat kerana Allah adalah dianggap sebagai ibadah dan diberi pahala besar oleh Allah. Percayalah cakap saya bahawa Tun tidak akan menyesal jika dituruti nasihat saya yang kerdil ini. Tetapi jika Tun berterusan macam keadaaan sekarang ini saya yakin Tun akan rugi di dunia dan mungkin juga di akhirat ……….

Anak Bapa: Kalau dah tahu kapal nak karam dan segala usaha menyelamatkan kapal telah gagal, buat apa ditunggu lagi. Mati katak nanti!!!!

Tuesday, April 1, 2008

Kalah Dah Tentu Susah, Menang Pun Susah!

Lama benar rasanya saya berhenti menulis blog. Bukan kerana kecewa atau malas tetapi kerana kesibukkan menghadapi pilihanraya dan mengisi kemenangan di peringkat awal. Atas sebab itu saya memohon jutaan kemaafan daripada anda semua.

Sebagaimana juga anda, saya melalui pilihanraya umum ke 12 (PRU 12) lepas dengan penuh debaran dan keterujaan. Apa tidaknya. Dahlah dilantik sebagai pengarah pilihanraya di dewan undangan negeri (DUN) yang parti saya tidak tandingi (yakni membantu rakan Barisan Alternatif) dengan petugas parti sendiri (yakni yang tidak bertanding) hampir 90% dan jumlah petugas parti rakan BA sangat sedikit serta ditambah dengan sokongan kewangan yang agak terhad, kami berjaya melalui pilihanraya tersebut dengan penuh gemilang (cuma bukan terbilang ……). Berkat kerja kuat dan doa, kami berjaya memenangi semua kerusi-kerusi yang dipertandingkan yakni 1 parlimen dan 2 DUN dengan majoriti yang selesa. Tahniah semua!

Ekoran daripada tsunami politik 8 Mac 2008, begitu banyak analisa dan isu yang diperkatakan mengenai PRU 12 lalu samada mengenai sokongan luarbiasa masyarakat Cina dan India, sokongan senyap kaum Melayu yang tinggal di bandar-bandar atau yang terdedah kepada informasi dunia siber, makkal sakhti, gerak kerja luarbiasa Anwar Ibrahim, kelumpuhan jentera UMNO, kekalahan teruk UMNO sejak merdeka dan puncanya, dan bermacam-macam lagi kupasan. Saya yakin anda telah mengunyah dan menghadam ledakan maklumat yang diperolehi melalui internet dan sebaran am lain, dan telah menjadi begitu arif mengenai pelbagai aspek pilihanraya lepas.

Cuma saya nak tambah sikit hal berkaitan kawan kita, UMNO dan BN yang buat julung kalinya tewas teruk di dalam pilihanraya umum sejak penubuhannya. Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa keputusan pilihanraya ini adalah paling teruk daripada PRU 1969, dan jika SPR kita benar-benar adil dan bebas, saya yakin UMNO dan BN dah lama terkubur. Kekalahan teruk BN telah menyerlahkan sikap sebenar mereka. Ada yang dapat menerima dengan baik dan bersedia menjadi pembangkang sehingga PRU akan datang. Tetapi ramai yang tidak boleh menerima hakikat kekalahan ini dan lantas menyalahkan rakyat kononnya rakyat terpedaya dengan janji-janji manis pembangkang, rakyat akan menyesal kerana memilih pembangkang kerana mereka tidak akan berjaya memerintah dengan baik, rakyat yang pulang mengundi macam virus kerana menjangkiti rakyat lain supaya mengundi pembangkang, dan pelbagai lagi tohmahan nakal. Malangnya, mereka gagal mengenalpasti bahawa mereka sebenarnya punca kekalahan BN kerana begitu sombong, angkuh dan korup. Apa nak kita katakan kepada pemimpin yang beri penyapu kepada rakyat kerana prestasi tak bagus atau konon nak hilangkan deposit calun pembangkang atau nak pembangkang sifar atau nak merawat rakyat dan pelbagai macam gelagat yang gila dan tidak sopan ini. Nah! Rasakan sendiri perbuatan hasil daripada tangan-tangan mereka sendiri.

Kadang-kadang kita lucu melihatkan perangai pemimpin dan ahli UMNO selepas kalah. Bagi kita kekalahan itu sesuatu yang biasa walaupun kita tahu puncanya banyak disebabkan oleh SPR. Ada pemimpin UMNO yang berkurung di dalam kediaman resmi mereka berhari-hari menangis, ada yang lari daripada bertemu muka dengan wartawan, ada juga yang cuba memujuk parti pembangkang tertentu supaya bergabung dengan mereka bagi membentuk kerajaan campuran, dan malah ada yang cuba meyakinkan raja dan sultan supaya melantik mereka sebagai menteri besar atas dasar kerajaan minoriti kerana mereka yakin pembangkang tidak akan dapat bersatu membentuk kerajaan campuran. Ahli-ahlinya pula seperti anak ayam kehilangan ibu, meminta “nyawa” pemimpin-pemimpin mereka yang menyebabkan mereka kalah teruk, dan saya yakin akan terus mencari jalan menjatuhkan pemimpin-pemimpin tertentu, dan ada juga sehingga sanggup berdemonstrasi (demonstrasi bukan budaya kita) bagi kononnya memperjuangkan Melayu dan Islam. Saya yakin fenomena ini akan berterusan sehingga karamnya bahtera UMNO dan BN tidak lama lagi.

Kalau mereka bersikap demikian kerana kalah, itu bagi saya mungkin masih boleh diterima lagi. Tetapi bagi mereka yang menang di dalam BN suasana lebih pelik lagi. Bayangkan Shahidan Kassim dan Idris Jusoh yang menang besar di Perlis dan Terengganu, dan diberi watikah perlantikkan sebagai menteri besar oleh Pak Lah, pun ditolak oleh raja dan sultan. Apalah malangnya nasib pemimpin BN. Arahan Pak Lah bukan saja tak laku lagi malah “anugerahnya” dalam bentuk perlantikkan menteri dan timbalan menteri pun tak laku. Setakat ini sudah 3 orang timbalan menteri menolak jawatan yang ditawarkan Pak Lah kepada mereka. Saya tak pernah lihat dalam sejarah suasana begini berlaku, dan Pak Lah sendiri pun diminta berundur walaupun beliau berjaya mempertahankan kerusinya dan pemerintahan BN di Malaysia. Tak tahu lah saya apa nak kata lagi. Serba tak kena UMNO dan BN kebelakangan ini. Kalah dah tentu susah tetapi menang pun susah juga!


Anak Bapa: Saya tertarik dengan komen Shahidan dan Idris Jusoh apabila mendapat tahu pencalonan mereka sebagai menteri besar di tolak oleh raja dan sultan. “Saya rela menerima apa saja ketentuan atau Qada’ dan Qadar Allah…..” kata mereka. Tetapi dibelakang tabir mereka mengupah penyokong dan balaci mereka supaya menderhaka kepada raja-raja. Inilah lakonan buruk pemimpin UMNO selama ini, cuma rakyat baru mula nampak. Bagi mereka semua lain boleh jalan, yang penting kuasa dan jawatan mereka kekal. Saya ucapkan SELAMAT TINGGAL UMNO DAN BN.