Wednesday, October 31, 2007

Polis "Bertempur" Dengan Polis

Entah apa musibah kepimpinan Pak Lah ulama’ hadhari ini apabila satu demi satu masaalah menimpa kerajaannya kebelakangan ini. Bermula dengan pendedahan tentang hubungan pegawai tertinggi polis dengan kepala-kepala gangster, kemudian diikuti kezaliman polis di dalam peristiwa berdarah Batu Buruk, pendedahan klip video Lingamgate, dan kini “serangan” seorang pegawai tinggi PDRM ke atas PDRM dan BPR, semuanya mengambarkan betapa kelam kabut kerajaan hadhari Pak Lah ini.

Selepas berdiam diri selama lebihkurang 3 bulan, Pengarah Jenayah Komersial PDRM, Datuk Ramli Yusuff telah mengadakan sidang akhbarnya hari ini bersama ramai pegawai kanan polis yang menyokong beliau. Antara ulasan beliau di dalam sidang akhbar tersebut ialah:

“Beliau bersama pegawai-pegawainya telah di aniaya oleh PDRM kerana tidak membantu membela mereka langsung ketika disiasat oleh pihak BPR..”

(Macamana nak tolong, bukankah Musa, Gani Patail dan rakan lebih berminat untuk menyelamatkan “bos” mereka yang dibuang daerah di Kelantan daripada membantu rakan mereka yang membuangdaerahkan “bos” mereka. Anwar dulu pun ketika diperlakukan dengan pelbagai macam kezaliman, mana ada pimpinan atau ahli UMNO yang menolong, sedangkan beliau adalah Timbalan Presiden UMNO. Sebabnya mudah saja, bukan kes seks atau rasuah, tetapi SEBAB BELIAU LAWAN TOKEY. Jadi kes Datuk Ramli ni pun dekat nak sama ….. )

“Beliau hairan bagaimana pihak akhbar tahu tentang siasatan ke atas beliau yang melibatkan pengisytiharan aset RM27 juta sedangkan sepatutnya ia adalah rahsia yang tertakluk di bawah Seksyen 21(4) Akta Pencegahan Rasuah 1964. Dan apabila ditanya kepada wartawan, mereka melaporkan bahawa BPR yang memberikan maklumat….”

(Ingat apabila Anwar dipecat dahulu, kita lihat beliau dikeji dan dihina dengan pelbagai tuduhan yang amat menjijikkan sedangkan beliau belum lagi didakwa di mahkamah atau didapati bersalah. Tujuannya mudah saja iaitu untuk mencemarkan nama baik dan kredibiliti seseorang agar persepsi orang ramai terhadapnya ialah ia bersalah walaupun kes belum pun dibicarakan lagi…..)

“Beliau pun pelik apabila pihak Jabatan Peguam Negara enggan membantu jabatan beliau untuk mengeluarkan afidavit ke atas kes buang daerah kepala samseng di Kelantan dan menyebabkan beliau terpaksa menggunakan khidmat peguam luar. Dan pihak BPR pula telah mendedahkan identiti pelapor maklumat polis (police informants) kepada mahkamah dan ini boleh membahayakan mereka …..”

(Bukankah kita dah kata sesiapa yang melapor kegiatan rasuah atau jenayah di negara ini, orang berkenaan pula akan menerima padahnya terutama apabila ia melibatkan “orang mereka”. Itu sebabnya Anwar terpaksa menyembunyikan identiti “whistleblowers” klip video Lingam sehingga satu Suruhanjaya Di Raja dibentuk. Inilah sebabnya, cuba renung jauh-jauh….. Nampak sangat Jabatan Peguam Negara bersekongkol untuk mempastikan kepala samseng tu bebas……)

Saya rasa sungguh cemas dengan perkembangan ini. Dahlah kita mempunyai hakim-hakim yang diragui, sekarang polis dan BPR pula AMAT MERAGUKAN. Sesama mereka pun bergaduh besar dan dari peringkat atasan hingga ke bawah. Jadi mana ada masa nanti untuk menjaga keselamatan negara. BPR pula nampak jelas bos baru mereka dah diperalatkan untuk kepentingan puak UMNO dan sekutu mereka. Dan terakhir dengarnya dapat pula pingat kebesaran dari Yang Di Pertua Negeri Sabah (yang mana dinasihati oleh Musa Aman, Ketua Menteri yang sedang disiasat kes rasuah).

Anak Bapa: Kerajaan hadhari Pak Lah makin sehari makin haru biru. Sekarang kita lihat hakim lawan hakim, lepas tu polis lawan polis dan apa menatang lagi kebinasaan yang akan melanda kita. Kesian juga dengan Datuk Ramli, yang hari ini membuat perisytiharan asetnya kepada BPR, mendakwa sebenarnya tuduhan RM27 juta tu tidak betul. Apa pun ayuh kita ke Dataran Merdeka pada 10 November 2007 jam 3 petang untuk berbuat sesuatu bagi membetulkan keadaan ……

Friday, October 26, 2007

Berterusan Menjadi Abdi UMNO

Al-marhum Sayyid Abul A’la Maududi, seorang ulama dan mujadid terkenal pada zaman kita ada menulis di dalam bukunya, “Cara Hidup Islam”,

“….. Islam menuntut bersungguh-sungguh supaya prinsip-prinsip moral dipatuhi dalam apa keadaan sekali pun dan di dalam semua bidang kehidupan. Dengan itu, ia menggariskan satu dasar politik negara yang kukuh berasaskan keadilan, kebenaran dan kejujuran. Ia tidak bersedia, dalam apa keadaan sekali pun, untuk bertolak ansur dengan penipuan, kebatilan dan ketidakadilan walaupun atas alasan kepentingan politik, pentadbiran atau negara. Samada ia adalah hubungan antara pemerintah dan yang diperintah, atau hubungan antara sesama negara, keutamaan hendaklah diberikan kepada kebenaran, kejujuran dan keadilan daripada kepentingan kebendaan.

Islam juga mengenakan perintah yang serupa ke atas individu, yakni mereka wajib menunaikan segala perjanjian dan tanggungjawab, melaksanakan peraturan yang sekata di dalam urusan sesama manusia, tidak melupakan hak orang lain apabila mengharapkan mereka memenuhi tanggungjawab mereka, menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menegakkan keadilan dan bukan melakukan kezaliman, menganggap tugas dan amanah sebagai tanggungjawab mulia dan melaksanakannya dengan sepenuh hati, dan menganggap kuasa yang diberi Allah sebagai amanah dan menggunakannya dengan ingatan bahawa ia akan dipersoal olehNya di akhirat kelak …..”

Alangkah benar sekali ungkapan Al-Maududi ini. Tetapi hakikatnya kita lihat keadaan umat Islam hari ini bercanggah dengan apa yang beliau perkatakan. Tak payah pergi jauh, kita lihat saja orang Melayu Islam yang ada di Malaysia hari ini.

Al-Maududi memperkatakan dasar politik negara yang berasaskan keadilan, kebenaran dan kejujuran di mana kepentingan ini mengatasi kepentingan material. Lihat suasana politik negara, pihak pemerintah akan berbuat apa saja untuk mempertahankan kuasa walaupun dengan cara menipu, mengugut atau merasuah rakyat, menfitnah, penyalahgunaan kuasa dan apa saja cara yang mungkin. Perbuatan ini bukan saja mereka lakukan ke atas rakyat tetapi juga sesama mereka ketika ada pemilihan. Yang menjadi lebih malang, majoriti mereka ini terdiri daripada orang Melayu Islam. Persoalannya, jika cara mereka mendapat dan mengekalkan kuasa ini dengan cara yang keji dan jelek, apakah mereka akan menggunakan kuasa yang ada untuk kerja-kerja mulia dan berakhlak?

Rakyat mengikut “agama” pemerintahnya. Inilah hakikat yang berlaku di depan mata kita. Sebilangan besar rakyat di semua peringkat turut terlibat di dalam kerja-kerja keji seperti rasuah, jenayah, fitnah, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain lagi kerana mereka mempelajarinya daripada pemerintah yang ada. Mustahil pemimpin yang korup akan melahirkan rakyat yang amanah! Setakat bercakap saja tetapi tidak diikuti dengan tindakan dan amalan adalah pembohongan semata-mata dan tidak akan melahirkan natijah yang dikehendaki.

Jika saya ditanya negara manakah yang Islamik yang wujud hari ini, saya akan jawab Jepun. Mungkin ada sedikit kelemahan mereka tetapi Jepun adalah jauh lebih Islamik daripada mana-mana negara Islam. Lihat akhlak mereka, jujur dan amanah, tidak rasuah, bertanggungjawab, tidak menyalahgunakan kuasa, mahkamah yang adil dan bebas, sistem pemilihan pemimpin yang adil dan telus, rajin bekerja, bersih dan lain-lain lagi kebaikan. Cuma mereka tidak beriman kepada Allah swt. Jika tidak sudah pasti saya akan mengelar Jepun, negara Islam unggul abad ini. Dan ada lagi beberapa negara di Eropah yang memiliki ciri-ciri negara Islam Cuma mereka tidak beriman kepada Allah swt.

Jadi tidak malukah kita? Negara yang mengaku Islam, termasuk Malaysia Darul Hadhari, mencatatkan kebobrokan paling ketara dalam isu rasuah, penyelewengan kuasa, penipuan dalam pilihanraya, penindasan rakyat dan pelbagai lagi barah dalam pemerintahan. Rakyat turut sama terlibat dan terus menjadi pecacai UMNO/BN kerana rela membenarkan legasi pemerintahan UMNO/BN diteruskan. Umat Islam yang sepatutnya menjadi obor kebenaran dan keadilan, dan “role model” kepada masyarakat terus menjadi sampah kerana kedegilan mereka untuk kembali menghayati Islam sebenar. Dan saya yakin selagi kita tidak kembali kepada Islam sebagai satu cara hidup, kita akan terus membenarkan kerosakan dilakukan oleh UMNO/BN dan juga diri kita sendiri. Akhirnya siapa yang rugi?

Anak Bapa: Cuba amati betul-betul dan anda akan dapati pemimpin UMNO ini hanya pandai beretorik tentang Islam. Islam yang mereka laksanakan hanyalah Islam adat atau Islam yang boleh membawa undi pada mereka. Selagi kita masih berkompromi dengan Islam Hadhari ini maka selagi itu UMNO akan terus berkuasa kerana rakyat boleh menerima Islam separuh separuh. Dan selepas 50 tahun merdeka, adakah umat Islam atau negara jauh lebih baik? Cuba tanya diri sendiri dengan ikhlas!

Wednesday, October 24, 2007

Gelombang Kuning 10 November

Adakah anda bersedia untuk bersama-sama mencipta Gelombang Kuning pada 10 November 2007 nanti?

Negara kita amat tenat. Rakyat menderita. Jenayah menjadi-jadi. Kos sara hidup meningkat mendadak dan akan terus meningkat. Pagar yang diamanahkan menjaga padi kini sibuk berkenduri sesama suku sakat mereka. Kita perlukan perubahan, dan perubahan secara aman hanyalah melalui pilihanraya. Tetapi …… Suruhanjaya Pilihanraya pun macam pagar makan padi ….. jadi apa pilihan kita?

Kami amat sayangkan negara kami dan kami tak rela melihat UMNO dan kuncu mereka menghancurkan impian kami dan anak cucu kami. Kami bersedia berkorban demi Agama, Bangsa dan Negara. Perhimpunan aman di Dataran Merdeka pada jam 3 petang pada hari berkenaan adalah permulaan kepada tindakan lain yang lebih besar supaya perubahan akan berlaku. Kami merayu kepada semua yang prihatin kepada masaalah rakyat supaya tampil bersama-sama pada hari berkenaan. Ini termasuk raja-raja, pemimpin politik, tokoh-tokoh sukan, ustaz-ustaz, pejar-pelajar, petani, nelayan dan sesiapa saja yang cintakan keadilan dan keamanan. Kita mahu mencipta gelombang kuning raksaksa yang akan menelan dan memusnahkan segala kekotoran dan kejelekan kerajaan UMNO/BN.

Dalam masa yang sama, kita memberi ingatan kepada UMNO dan balaci mereka bahawa kesabaran rakyat ada hadnya. Jangan menyangka kami akan terus bersabar terhadap penipuan dan kezaliman kamu yang berterusan. Balasan kamu bukan saja di akhirat TETAPI JUGA DI DUNIA …….

Anak Bapa: Anda sudah perlu mengenalpasti siapa yang nak anda bawa bersama pada hari berkenaan. Pimpinan BERSIH perlu menyediakan pemimpin pelapis supaya jika polis menangkap pimpinan yang ada, pimpinan pelapis boleh meneruskan agenda yang dirancang. Pastikan menggunakan pengangkutan awam atau berjalan kaki. Membawa kenderaan sendiri ke Dataran Merdeka akan hanya menambah kesesakan dan terdedah kepada tangkapan polis. Sebarang pakaian atau kain kuning perlu disembunyikan terlebih dahulu dan dipakai apabila berada di Dataran Merdeka. Disebabkan ini adalah perhimpunan aman, jika polis hendak menahan kita maka kita naik beramai-ramai ke atas trak polis. Saya yakin polis tak akan sanggup menahan lebih daripada 1,000 orang. Apatah lagi 100,000 orang! Dan jika ada mereka yang hampir dengan kita cuba melakukan kerja-kerja yang tak senonoh, kita ramai-ramai tangkap dia kerana saya pasti itu adalah SB yang nak buat kacau. SELAMAT BERJUANG!!!!

Friday, October 19, 2007

Rating Kebebasan Akhbar Malaysia Merudum Lagi!

Menteri Penerangan (atau Menteri Propaganda?) Datuk Seri Zainuddin Maidin (Zam) dipetik oleh Utusan Malaysia (19 Oktober 2007) sebagai berkata,

“Rakyat Malaysia dan Asia perlu mengenepikan rating kebebasan akhbar yang dibuat oleh Reporters Without Borders (RSF) yang berpejabat di Paris kerana badan itu bukan hakim bagi nilai-nilai tempatan. Ini kerana rating itu adalah berasaskan nilai kebebasan akhbar Barat yang umumnya didorong oleh pasaran dan wang.”

Komen beliau ini dibuat setelah merujuk kepada pengumuman RSF berhubung indeks rating kebebasan akhbar Malaysia yang merudum teruk daripada tangga 92 pada tahun 2006 kepada tangga 124 pada tahun ini. Rating Malaysia di anggap sangat rendah malah jauh lebih teruk berbanding beberapa negara kecil dan miskin lain termasuk Mongolia (74), Kemboja (85), Timor-Leste (94), dan Bhutan (116).
Kemarahan Zam ini tidaklah memeranjatkan kita kerana memang perangai pimpinan UMNO begitu. Jika ada pujian daripada luar negara kepada kerajaan UMNO/BN, maka berhari-hari digembar-gemburkan di dada-dada akhbar utama negara dan juga media elektronik. Tetapi sebaliknya jika ada kritikan terhadap mereka, walaupun berasaskan fakta yang kukuh, pihak berkenaan akan dilemparkan dengan pelbagai kata nista dan kejian. UMNO sememangnya tidak akan menerima hakikat kesilapan mereka sampai bila-bila dan akan berterusan dengan keangkuhan dan kesombongan mereka. Tun Mahathir sendiri menyedari perkara ini dan dilaporkan berkata baru-baru ini bahawa UMNO sudah tidak dapat di perbetulkan lagi dari dalam.

Zam berkata bahawa RSF membuat rating berdasarkan nilai kebebasan akhbar Barat dan bukan nilai-nilai tempatan. Apa punya merapu yang dia ni cakap? Adakah membenarkan akhbar bebas mencetak berita tanpa sekatan itu hanyalah budaya Barat dan di sebelah sini kita hanya perlu mendengar dongengan dan penglipur lara dari pihak kerajaan UMNO/BN sahaja, yang selama ini telah terbukti bijak memutarbelit fakta dan menyiarkan berita yang menguntungkan mereka sahaja? Adakah dengan menidakkan permit penerbitan untuk parti politik pembangkang (Berita Keadilan) atau menyekat jumlah terbitan (Harakah) itu budaya tempatan, sementara di Barat pula sesiapa saja boleh menerbitkan akhbar atau makalah? Adakah budaya tempatan bermakna rakyat tidak berhak untuk mendapatkan maklumat yang benar daripada sumber pilihan mereka? Jika inilah budaya tempatan yang dimaksudkan oleh Zam, maka saya dengan ini mengisytiharkan diri saya “penganut” budaya Barat di dalam aspek kebebasan akhbar. Sebenarnya budaya yang Zam nak tu bukan budaya tempatan tetapi BUDAYA UMNO/BN YANG KEJI DAN BANGSAT. Cuba tengok indeks RSF sekali lagi dan anda akan dapati Ghana berada jauh di atas, di tangga 29 dan juga Taiwan di tangga 32 bersama-sama dengan Perancis di tangga 31. Adakah Ghana dan Taiwan ini negara Barat atau mempunyai nilai tempatan yang sama dengan nilai Barat? Jadi jelas bahawa cerita nilai-nilai tempatan ini hanyalah karut Zam saja untuk menutup kelemahan mereka.

Kemudian Zam meneruskan propagandanya dengan berkata bahawa nilai kebebasan akhbar Barat didorong oleh pasaran dan wang. Apa akhbar Malaysia tidak begitu? Bukankah demi nak melariskan jualan kita lihat akhbar-akhbar kita di selaputi segala macam berita yang jijik dan lucah. Tetapi ini semua dibenarkan kerana ia tidak mengugat UMNO/BN, malah ia membantu UMNO dengan melalaikan rakyat. Kita juga dapati akhbar-akhbar di Malaysia di monopoli oleh UMNO dan kuncu-kuncu mereka. UMNO menguasai Utusan Malaysia, Berita Harian, News Straits Time, Cosmo, Metro, Malay Mail, sementara kuncu lain menguasai The Star, akhbar Cina dan Tamil. Mungkin yang ada bebas sikit ialah The Sun. Mereka ini bersama-sama dengan BERNAMA menguasai hampir keseluruhan sumber maklumat bercetak negara dan akan sentiasa mempastikan kepentingan UMNO dan BN dipertahankan. Dan dalam masa yang sama, segala hasil mahsul daripada jualan akhbar dan pengiklanan dikaut untuk kepentingan kroni-kroni mereka. Jadi kita ini seolah-olah sudah ditumbuk lalu jatuh lepas tu kena terajang pula.

Seterusnya Zam berkata lagi,

“Rakyat Malaysia dan Asia tidak perlu bimbang dengan penurunan dalam ranking kebebasan akhbar di Malaysia kerana ia tidak mencerminkan kebebasan akhbar yang sebenarnya di negara ini."



Memang betul tu, jika anda dari kalangan UMNOputra, MCAputra dan MICputra. Mereka yang lain kenalah tabah menghadapi penipuan dan manipulasi berterusan akhbar-akhbar milik UMNO dan kroni mereka. Biasanya jikalau kita batuk-batuk atau panas badan maka secara otomatik kita tahu bahawa itu gejala penyakit yang mula melanda diri. Ketika itu kita tidak akan mendabik dada menyalahkan doktor atau orang lain bahawa mereka salah dengan menyatakan kita sakit. Kita tidak cuba menipu diri dengan berkata bahawa kita sihat dan orang lain semua salah. Ini kerana perbuatan ini akhirnya akan membawa kerugian pada diri sendiri. Begitu juga apabila negara kita di”tegur” tahap kebebasan akhbar, seseorang pemimpin yang waras akan memeriksa samada benar atau tidak laporan itu dan terus membuat pembaikan yang perlu jika didapati benar. Tetapi disebabkan Malaysia Boleh!, maka orang lain semua salah dan yang bijak bestari hanyalah pemimpin UMNO dan BN.

Penurunan ranking ini sebenarnya mencemaskan lagi pimpinan UMNO di saat mereka menghadapi gelombang informasi baru berupa internet dan blog. Kenyataan bodoh akhir-akhir ini daripada Zam, Nazri, Tengku Adnan, Ali Rustam dan lain-lain lagi membayangkan betapa terdesak mereka dihimpit dengan ledakan maklumat yang kini mampu diperolehi oleh orang ramai tanpa melalui UMNO. Dengan semakin berkembang teknologi internet, kita yakin lebih ramai rakyat akan memperolehi manfaat kebebasan maklumat dan semakin celik rakyat yang selama ini diperbodohkan oleh media UMNO dan BN.

Anak Bapa: Kenyataan bodoh yang kerap di buat oleh pimpinan UMNO termasuk oleh Pak Lah akhir-akhir ini sebenarnya membayangkan banyak benda yang tak betul sedang bergolak di dalam UMNO. Kita kena tekan lagi dia orang supaya dia akan lebih mengelebah dan dengan itu banyak kemungkaran mereka selama ini akan terserlah untuk tatapan semua ……

Wednesday, October 10, 2007

10 November 2007, Tarikh Keramat

Selepas selesai berbuka puasa dan bertarawih beberapa hari lepas, saya berkesempatan berbual panjang dengan seorang rakan lama dari utara semenanjung. Tajuk perbualan berkisar daripada pelbagai isu semasa dan akhir sekali menjalar kepada rancangan BERSIH untuk menganjurkan perhimpunan aman raksasa pada 10 November kelak. Sementelah itu, semalam kita telah pun dimaklumkan secara resmi bahawa tempatnya ialah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada hari Sabtu jam 3 petang.

Sebagaimana kita semua sedia maklum, BERSIH (Gabungan ke arah Pilihanraya yang Adil dan Bersih) ditubuhkan oleh parti-parti politik pembangkang berserta beberapa badan bukan kerajaan selepas pilihanraya umum ke 11 pada tahun 2004, selepas didapati begitu banyak penyelewengan dan penipuan dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional di dalam pilihanraya. Tindakan tidak bertanggungjawab mereka antaranya termasuk mencemarkan daftar pemilih dengan tujuan memberi kelebihan kepada BN, menipu melalui undi pos, menggunakan media negara secara mutlak untuk memburuk-burukkan parti pembangkang tanpa ada ruang untuk menjawab balik, menggunakan keseluruhan agensi kerajaan untuk membantu BN, dan pelbagai lagi salahlaku lain yang amat ketara bagi sebuah negara yang mengaku mengamalkan sistem demokrasi. Dan kita juga melihat bagaimana jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Penerangan, pihak keselamatan dan lain-lain lagi telah digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan UMNO dan BN.

Setakat ini kita melihat rakyat Malaysia adalah antara bangsa yang paling “sabar” di dalam dunia. Walaupun ketidakadilan kerajaan dapat dilihat dengan jelas di dalam pemerintahannya, termasuk ketika mengendalikan pilihanraya (yang sepatutnya adil dan bersih), rakyat masih lagi percaya dengan protes dan bantahan secara aman dan demokratik. Itulah sebabnya kita hanya melihat tunjukperasaan aman dan ceramah-ceramah umum saja yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan dan sosial apabila berlaku skandal parti pemerintah, dan bukan secara kekerasan atau pertempuran bersenjata. Kita mendoakan situasi ini akan berterusan walaupun ada tanda-tanda kerajaan BN semakin kasar melayani protes rakyat, dan dalam masa yang sama, rakyat pun semacam sudah kecewa dengan kerenah kerajaan BN yang cuba menutup apa jua ruang demokrasi yang tinggal.

Menurut rakan saya ini lagi, perhimpunan ini amat penting selepas mengambil kira segala kebobrokan kerajaan BN sepanjang 50 tahun merdeka. Baginya walaupun negara ini dikatakan maju dari segi prasarananya, tetapi aspek lain telah diabai atau digadaikan atas nama pembangunan. Hasilnya kita melihat rasuah berleluasa bukan saja di kalangan rakyat tetapi lebih besar dan meluas di kalangan pemerintah. Jenayah kejam pula meningkat dengan mendadak, dan menjadi lebih membimbangkan apabila pihak polis dikaitkan dengan perlindungan ke atas kumpulan-kumpulan samseng. Tekanan ekonomi ke atas rakyat menjadi semakin membebankan dengan kenaikan inflasi membabitkan hampir semua barangan keperluan dan perkhidmatan. Ramai pakar ekonomi bersependapat bahawa punca utama fenomena ini berlaku ialah kenaikkan harga minyak oleh kerajaan BN.

Mutakhir ini kita dikejutkan pula oleh pendedahan klip video Lingam berhubung konspirasi badan kehakiman negara yang amat memalukan. Walaupun kita ada mengesyaki perkara ini berlaku sejak Tun Salleh Abas dipecat dahulu tetapi kita tidak menyangka dapat menyaksikan pakatan sulit ini “live in action”.

Saya amat bersetuju dengan pandangan rakan saya ini dan kami juga bersependapat bahawa pilihanraya umum ke 12 (PRU 12) ini amatlah penting untuk masa depan negara. Selain daripada kempen penerangan kita kepada rakyat perlu lebih rancak dan meluas, “pengadil” untuk “pertandingan” di dalam PRU 12 nanti pun perlu dipastikan bersih dan adil. Kita nakkan perubahan besar dan dengan itu memerlukan PRU 12 untuk mendapatkan kuasa. UMNO dan kuncu-kuncunya amat menyedari perkara ini dan akan berbuat apa saja untuk mengekalkan kuasa mereka. Mereka akan menipu atau membuat pakatan jahat dengan sesiapa saja (sebagaimana yang dibuktikan oleh klip video Lingam) termasuk dengan SPR bagi menjamin kesinambungan Tradisi Menipu Rakyat mereka Dulu, Kini dan Selamanya. Oleh yang demikian SPR perlu dipastikan keadilan dan kebebasannya oleh kita semua kerana UMNO dan BN tidak boleh diharap lagi. Pelbagai tuntutan awal telah dibuat oleh BERSIH termasuk pemutihan daftar pemilih, penghapusan undi pos, celup dakwat pada jari, dan peluang media yang sama rata. Walaupun ada banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk mempastikan SPR benar-benar bebas, tetapi tuntutan awal ini merupakan langkah pertama yang betul. Kita berkeyakinan UMNO tidak akan berbuat apa-apa untuk memulihkan SPR. Perubahan ini hanya akan berlaku dengan desakan rakyat. Itulah sebabnya mengapa perarakan ini penting walaupun UMNO kata "ini bukan budaya kita".

Kita perlu turun beramai-ramai, kalau boleh ratusan ribu ramainya, untuk menghantar mesej kepada semua pihak bahawa rakyat sudah muak dan jelak dengan mainan dan tipudaya UMNO. Kita perlu lakukan ini semua untuk kesejahteraan bangsa dan negara, dan untuk survival generasi kita akan datang. Semua pihak bertanggungjawab untuk mempastikan kehadiran seramai rakyat mungkin, Melayu, Cina, India dan lain-lain lagi pada Sabtu 10 November 2007 jam 3 petang di Dataran Merdeka. Jangan kita takut kepada ugutan dan ancaman UMNO dan balaci-balaci mereka. Kita perlu lebih takutkan masa depan kita jika UMNO dan BN terus memerintah bumi bertuah bernama Malaysia ini!

Anak Bapa: Saya sekeluarga akan pulang ke kampung di utara Tanahair hari ini dengan misi besar, misi menyelamatkan negara daripada cengkaman rejim bobrok UMNO/BN. Saya perlu pastikan saudara mara kat kampung memahami apa yang sedang berlaku dan bersama dengan kita di dalam ombak kemaraan rakyat. Saya juga akan cuba meyakinkan mereka untuk turun ke Dataran Merdeka pada 10 November nanti untuk memberi tekanan ke atas SPR supaya berlaku adil dan bersih di dalam PRU ke 12 nanti. Dan saya perlu pastikan mereka mengundi selain daripada BN di dalam PRU itu kelak. Bagaimana pula dengan anda??????

Monday, October 8, 2007

UMNO Tiada Pilihan


Mingguan Malaysia keluaran 7 Oktober 2007 telah menyiarkan satu wawancara menarik dengan Datuk Shaik Daud Md. Ismail, bekas Hakim Mahkamah Rayuan. Cuba perhatikan betul-betul jawapan Datuk Shaik Daud (SD) kepada pertanyaan Mingguan Malaysia (MM).

MM: Komen Datuk berhubung klip video VK Lingam…..

SD: Terkejut, tak sangka boleh terjadi….. Bagaimana dengan keputusan mahkamah yang lepas-lepas? Kesannya sangat besar dan akan mencemar keputusan mahkamah sejak 2002. Sekarang pun dah ada orang mula mempertikaikannya…..

MM: Bagaimana dengan penubuhan panel khas oleh kerajaan…..

SD: Banyak orang meraguinya. Perlu kepada Suruhanjaya Diraja, baru ada kuasa…..

MM: Jadi panel ini tidak ada makna?

SD: Kalau nak tentukan kesahihan video, lebih baik suruh polis atau BPR…..

MM: Adakah isu ini akan menjadi rumit?

SD: Memang rumit. Kebenaran akan keluar dengan Suruhanjaya Diraja. Contoh yang baik, kes mata lebam Anwar Ibrahim. Pegawai polis yang nampak perbuatan Ketua Polis pun tidak berani bersuara. Hanya dengan Suruhanjaya Diraja baru mereka berani tampil memberi keterangan…..

MM: Persepsi yang wujud sekarang?

SD: Sudah tercemar. Pergi bertarawih pun orang menyindir, “Awak dilantik oleh siapa?”

MM: Bagaimana menyelesaikan isu perlantikan hakim-hakim?

SD: Peliknya sistem kita, majistret dilantik oleh suruhanjaya sedangkan hakim-hakim dilantik oleh Ketua Hakim Negara. Ini bagi saya, tidak betul. Walaupun kaedah ini kita warisi daripada penjajah Inggeris, kita perlu ubah. Biar perlantikan hakim juga dibuat oleh suruhanjaya…..

MM: Apa yang berlaku ini mengecewakan Datuk?

SD: Ya. Kebanyakan bekas hakim kecewa dengan apa yang berlaku. Ia benar-benar memusnahkan imej badan kehakiman dan sukar nak memperbaikinya…..

MM: Bagaimana dengan perarakan Majlis Peguam?

SD: Mereka dah lama berusaha untuk memperbaiki badan kehakiman. Bukan saja isu video Lingam tetapi perkara-perkara yang lain tentang kehakiman, supaya lebih telus…..

MM: Dengan timbulnya isu Timbalan Pendakwa Raya malas, badan kehakiman tercemar, tentulah membimbangkan kita…..

SD: Ini sangat merbahaya. Jika masyarakat berpandangan bahawa mahkamah boleh dibeli, orang takut nak melabur dan akan memberi kesan besar ke atas negara…..

MM: Apa yang kerajaan perlu buat?

SD: PM mesti buat sesuatu dan cepat sebelum ia melarat. Jika dibiarkan kerajaan akan menerima kesan buruknya…..

Anak Bapa: Nampaknya bekas-bekas hakim pun senada dengan Majlis Peguam, parti-parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan di dalam menyatakan kebimbangan berhubung krisis badan kehakiman negara. Mereka juga bersependapat supaya Suruhanjaya Diraja dibentuk segera, sebagai langkah pertama, untuk membetulkan keadaan. Dan mutakhir ini, parti Gerakan, salah satu parti komponen di dalam BN, juga telah menggesa kerajaan supaya “menimbangkan dengan serius” penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat skandal Lingamgate. Cuma yang masih berdegil ialah UMNO dan kuncu-kuncu mereka yang berkepentingan. Sebabnya mudah saja. Bukan kerana Suruhanjaya Diraja ini membuang masa atau tak relevan, tetapi mereka sedar bahawa suruhanjaya ini akan mendedahkan pekung dan kudis mereka yang busuk lagi meloyakan. Ia akan mendedahkan bagaimana UMNO sanggup melakukan apa saja demi memuaskan nafsu serakah kepentingan kuasa dan dominasi mereka. Semua tahu bahawa UMNO tiada pilihan di dalam isu ini melainkan segera menubuhkan Suruhanjaya Diraja. "The clock is ticking while the pressure is mounting". Jadi Pak Lah, apa dok tunggu lagi, takkan nak terus tidur?

Friday, October 5, 2007

Islam Hadhari Yang Keliru Dan Mengelirukan

Di dalam Malaysiakini pada hari Khamis, 4 Oktober 2007, Tengku Adnan telah dipetik sebagai berkata:

“In another development, Tengku Adnan today reminded journalists that they should perform their duties responsibly as God would judge the acts of humans. Tengku Adnan said this in his speech at the launch of the Bernama-Tourism Malaysia Treasure Hunt 2007 at the MTC.
“On this earth, we can do whatever we like, but you must remember that when you die, you have to answer to someone. So whatever you write, especially the press, write responsibly. I’m not asking you to write truthfully, but write responsibly,” said Tengku Adnan to a crowd of 50 comprising mostly of Bernama staff and sponsor representatives.”…”

“Di dalam perkembangan lain, Tengku Adnan hari ini mengingatkan para wartawan bahawa mereka perlu melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab kerana Tuhan akan menghakimi segala perbuatan manusia. Tengku Adnan berkata demikian di dalam ucapan pelancaran Bernama-Tourism Malaysia Treasure Hunt 2007 di MTC.

“Di dunia ini kita boleh buat apa yang kita suka, tetapi anda mesti ingat bahawa apabila anda mati kelak, anda perlu menjawap kepada seseorang. Jadi apa saja yang anda tulis, terutama para wartawan, tulislah dengan penuh tanggungjawab. Saya tidak meminta anda menulis dengan kebenaran, tetapi tulis dengan penuh tanggungjawab,” kata Tengku Adnan kepada perhimpunan 50 orang yang terdiri daripada kebanyakannya kakitangan Bernama dan wakil sponsor.”…”

Benar sekali permulaan ucapan di atas. Kita memang dituntut melaksanakan tugas kita dengan penuh komitmen dan tanggungjawab. Ini adalah tuntutan agama kita, bukan saja di dalam bidang kewartawanan tetapi juga dalam sebarang tugas yang diamanahkan. Ini kerana kita diutuskan ke dunia ini sebagai khalifah (yakni “duta” Allah) di dunia ini dengan misi untuk membawa obor cahaya keimanan dan keislaman, mempastikan tegaknya ma’aruf (kebaikan) dan mencegah kemungkaran (kejahatan). Dan apabila kita meninggal dunia nanti, di hadapan Allah rabbul jalil, kita akan dipersoalkan setakat mana amanah ini kita tunaikan.

Islam adalah satu cara hidup yang mengambil kira semua aspek kehidupan di dalam pengabdian kepada Allah swt. Di dalam doa iftitah ketika solat kita membaca, “sesungguhnya solat ku, ibadat ku, dan hidup ku dan mati ku adalah kerana Allah Tuhan sekalian alam ……” membayangkan pengabdian sepenuhnya kepada Allah swt. Dan ini juga bermakna bahawa bukan saja perbuatan kita, tetapi percakapan dan i’tikad (niat) kita juga menjadi asas kepada ketulinan pengabdian kita kepadaNya. Itulah sebabnya Islam mengklasifikasikan orang yang beriman itu sebagai mereka yang benar-benar yakin di dalam hati, membenarkan dengan ucapan dan membuktikan melalui perbuatan. Apabila ada percanggahan mana-mana anggota badan ini, maka kita boleh tersimpang daripada kategori orang-orang beriman. Sebagai contoh, jika seseorang itu membenarkan keimanannya dengan ucapan dan perbuatan tetapi hatinya menolak atau ragu-ragu dengan Islam maka orang ini dikategorikan sebagai orang munafik, manakala jika ia yakin dengan Islam dan membenarkan dengan lidahnya tetapi mengamalkan perkara yang bercanggah dengan Islam di dalam kehidupannya maka orang ini dikategorikan sebagai orang fasik.

Tujuan saya menyebut perkara ini bukan untuk mencemuh sesiapa tetapi sebagai peringatan kepada semua (termasuk diri saya sendiri) supaya kita jelas batas-batas Islam dan kekufuran dan demi menjaga satu sama lain daripada kesesatan, bersesuaian dengan konsep “berpesan-pesan dengan kebenaran …”.

Berbalik kepada perbincangan kita mengenai petikan berita di atas. Sememangnya kalau kita amati betul-betul, sudah menjadi budaya UMNO beretorik mengenai Islam atau dengan kata mudah “cakap tak serupa bikin”. Tengku Adnan mungkin memberi nasihat yang baik kepada para wartawan tetapi adakah beliau sendiri tidak takut dipersoalkan oleh Allah swt nanti? Saya tidak tahu apa yang ada di dalam hati beliau tetapi gambaran percakapan dan perbuatan beliau sudah cukup membuktikan kekeliruannya. Jikalau beliau takut dipersoalkan Allah swt nanti kenapa sampai hari ini beliau masih bersekongkol dengan tauke judi antara yang terbesar di Malaysia iaitu Vincent Tan. Malah daripada sumber-sumber yang sahih beliau adalah proksi, rakan niaga dan orang dalam kerajaan bagi Vincent Tan. Pendedahan klip video Lingamgate baru-baru ini mengesahkan bukan saja penglibatan Tengku Adnan di dalam skandal ini, tetapi juga bagaimana pecacainya beliau kepada Vincent Tan. Beliau bersama rakan dan kroni mereka dijadikan alat oleh tauke-tauke ini untuk melakukan pelbagai kerja terkutuk dan memalukan semata-mata untuk menjaga kepentingan duniawi mereka. Tengku Adnan tidak pernah peduli persoalan keadilan dan kewibawaan kehakiman kerana yang penting baginya ialah hakim-hakim yang ada perlu tunduk dan patuh kepada kehendak tauke-tauke mereka.

Malah pernahkah kita mendengar Tengku Adnan menegur rakan-rakan beliau di dalam UMNO supaya jangan mengambil rasuah kerana rasuah pun akan dipersoal oleh Allah swt nanti. Bukankah ketika bertanding sesama mereka di dalam merebut jawatan UMNO, mereka galak sekali merasuah sesama ahli. Isa Samad itu hanya satu contoh kecil sahaja dan saya percaya hampir semua pimpinan dan ahli UMNO terlibat di dalam kerja terkutuk ini. Jadi, jika kemenangan di dalam menjadi pemimpin UMNO pun berasaskan rasuah, maka tentulah rasuah ini menjadi nadi kehidupan pemimpin ini di dalam kerajaan. Sehubungan dengan itu saya harap anda semua tidak hairan jika rasuah ini sudah sebati dengan UMNO. Cerita-cerita nak hapuskan rasuah ini semuanya hanya omong kosong dan gimik islam hadhari Pak Lah saja. Kalau anda yakin UMNO boleh hapuskan rasuah, tentu anda juga yakin manis boleh dibuang daripada gula atau masin dipisahkan daripada garam.

Terlanjur membicarakan isu tanggungjawab di hadapan Allah swt kelak, saya cadangkan Tengku Adnan kena tegur UMNO kenapa tidak memertabatkan Islam. Kenapa undang-undang Islam tidak dilaksanakan? Bukankah bala Allah swt telah diturunkan ke atas masyarakat kita kerana kedegilan dan kelancangan mulut kita menentang hukum Allah? Bukan balakah apabila kita lihat kadar jenayah yang kejam menjadi-jadi kebelakangan ini. Bukan balakah apabila kita membaca berita ramai gadis-gadis Melayu sudah mengadakan hubungan sex ketika di bangku sekolah lagi dan bagaimana ramai anak-anak luar nikah dilahirkan. Bukan balakah apabila “pelajar” serenti ramai dari kalangan orang Melayu dan angkanya semakin bertambah saban bulan dan tahun. Dan banyak lagi indikator atau petunjuk bahawa kebangkrapan nilai diri dan moral orang Melayu ini berkait rapat dengan penyisihan mereka daripada Islam. Ini belum saya sentuh lagi program-program mungkar dan melalaikan yang dianjurkan oleh kerajaan UMNO terutama yang melibatkan kementerian beliau iaitu Kementerian Pelancungan.

Kekeliruan Tengku Adnan makin jelas apabila pada perenggan kedua ucapan beliau di atas, beliau menyuruh wartawan supaya melaporkan dengan penuh tanggungjawab dan bukan dengan kebenaran. Maknanya bagi UMNO, asalkan laporan itu bertanggungjawab kepada UMNO ia tidak benar pun tidak mengapa. Itu sebabnya mereka tidak begitu mempedulikan apabila fitnah dilemparkan akhbar kepada pembangkang kerana yang penting wartawan bertanggungjawab kepada UMNO.

Saya boleh huraikan dengan panjang lebar lagi berkaitan cakap kosong pemimpin UMNO. Cukup sekadar itu buat ketika ini kerana contoh yang saya berikan di atas pun dah tak terhadam oleh mereka.

Anak Bapa: Seruan saya kepada Tengku Adnan dan rakan-rakan UMNO lain yang sewaktu dengannya, cukuplah sudah lakonan wayang kulit anda. Kami dah muak dan loya dengan cakap-cakap kosong dan tak serupa bikin kau orang. Bawalah Islam Hadhari kau tu pergi jauh-jauh kerana ia keliru dan mengelirukan. Lagi banyak kau orang bercakap tentang islam hadhari lagi tenat keadaan masyarakat orang Melayu. Kami dah cukup insaf sekarang dan beramai-beramai bertekad untuk menghumbankan UMNO jauh-jauh ke Laut Cina Selatan pada pilihanraya umum akan datang.

Thursday, October 4, 2007

Panel Bebas Atau Panel Habis Beras?

Panel bebas atau panel tajaan Najib yang dibentuk untuk menyiasat kesahihan klip video VK Lingam, yang kini terkenal dengan panggilan Skandal Lingamgate, telah mula menjalankan tugas mereka dengan menemubual saksi-saksi penting semalam. Panel yang terdiri daripada Tan Sri Haidar Mohd Noor (bekas Hakim Besar Malaya), Tan Sri Lee Lam Thye (aktivis social) dan Datuk Mahadev Shankar (bekas hakim Mahkamah Rayuan), diberi tempuh sebulan untuk menyiapkan laporan mereka. (P/S: Dimaklumkan juga bahawa boleh sambung masa jika tidak mencukupi!)

Penubuhan panel ini awal-awal lagi telah dipersoalkan oleh Majlis Peguam, parti-parti pembangkang, badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai kerana bidang kuasanya yang sangat terhad dan kemungkinan besar akan gagal di dalam memenuhi tuntutan rakyat supaya badan kehakiman negara diselamatkan. Malah ramai yang menganggap penubuhan panel ini lebih kepada usaha “perhubungan awam” kerajaan UMNO bertujuan meredakan kemarahan rakyat yang sedang membuak-buak. Walaupun ahli-ahli panel ini meminta orang ramai memberi peluang kepada mereka untuk menjalankan kerja mereka dahulu, sudah nampak tanda-tanda bahawa apa yang kita khuatirkan selama ini akan menjadi kenyataan. Akhbar Utusan Malaysia keluaran 3 Oktober 2007 ketika memetik kenyataan Haidar, menulis:

“Haidar berkata, tugas panel itu hanyalah untuk membuat pengesahan tentang kesahihan klip video berkenaan berdasarkan bidang kuasa yang diberi kepadanya dan tidak lebih daripada itu.”

Bukankah dah jelas bahawa panel ini ditubuhkan hanya untuk menyiasat kesahihan klip video ini sahaja. Apa akan berlaku jikalau klip video ini benar-benar sahih (dan kita yakin bahawa ia memang 110% sahih!)? Perumpamaan cerita panel ini macam siasatan kes perempuan yang belum berkahwin tetapi sudah hamil. Latarbelakang perempuan ini, satu kampung dah tahu. Hidupnya begitu liar, bercampur bebas dengan lelaki bukan mahram sementara ajaran agama tidak pernah dipedulikannya. Jadi apabila didapati si perempuan ini sudah hamil, tentulah penduduk kampung tidak terkejut langsung kerana semua sudah maklum perempuan ini jenis macam mana. Dan tidak perlu menubuhkan panel untuk menyiasat samada perempuan ini benar-benar hamil atau tidak kerana bukti jelas perutnya sudah membuncit besar. Apa yang perlu ialah panel penyiasat yang bertanggungjawab mengenalpasti siapa yang terlibat melakukan kerja terkutuk ini dan membuat cadangan konkrit tindakan yang perlu diambil ke atas semua pihak (termasuk lelaki dan perempuan) supaya ketenteraman dapat dipulihkan di kampung tersebut dan insiden memalukan ini tidak berulang kembali. Jikalau kes zina begini pun perlu ditanggani dengan sebegitu rapi apatah lagi sistem kehakiman yang menjadi tonggak negara, tempat rakyat berlindung untuk mendapat keadilan dan kesaksamaan, tentulah kita perlukan badan penyiasat yang lebih luas bidang kuasanya dan bebas untuk melunaskan tugas yang amat berat ini.

Penubuhan panel penyiasat ini pun bukan baru di dalam sejarah pemerintahan UMNO. Ketika Dato’ Seri Anwar dipukul hampir separuh mati dalam insiden lebam mata sebelah dahulu pun, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa penyiasat yang terdiri daripada pegawai polis untuk mencari siapa yang memukul Anwar. Berminggu-minggu jawatankuasa ini membuat siasatan tetapi tidak juga jumpa siapa yang bertanggungjawab. Tetapi apabila Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk tujuan yang sama, dua hari saja diperlukan untuk mendedahkan siapa sebenarnya yang bertanggungjawab, iaitu Ketua Polis Negara sendiri. Begitu juga dalam isu ketuk ketampi seorang perempuan “Cina” di dalam tahanan polis. Apabila Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat insiden tersebut barulah gambaran sebenar diperolehi.

Dan dalam Skandal Lingamgate ini, masalahnya jauh lebih besar dan lebih rumit kerana ia melibatkan satu institusi yang menjadi tonggak pemerintahan negara kita. Kehancuran institusi kehakiman ini boleh membawa malapetaka besar kepada negara. Kita sedia maklum tentang ketempangan sistem kehakiman negara semenjak Tun Salleh Abas dipecat. Malah kita mendengar banyak cerita tentang pakatan sulit hakim-hakim kanan tertentu dengan pihak kerajaan UMNO dan golongan korporat (dan juga pihak keselamatan dan peguam negara) di dalam menjaga kepentingan bersama mereka. Begitu banyak kes-kes mahkamah yang diberi penghakiman dengan secara pelik dan meragukan. Jadi apabila klip ini didedahkan, kita tidak terkejut dengan apa yang diperkatakan oleh Lingam tentang hakim-hakim ini tetapi terkejut kerana melihat bukti terpampang jelas di hadapan mata.

Kenyataan salah seorang ahli panel, Shankar mengesahkan lagi bahawa panel ini pasti akan menghadapi masaalah:

“Kami tak ada kuasa undang-undang untuk memaksa sesiapa. Kami tak ada kuasa untuk melaksanakan sumpah, kami tak ada kuasa untuk memaksa saksi supaya tampil ke depan... kami juga tidak ada imuniti mengikut undang-undang.”

Jikalau tidak ada kuasa memanggil saksi, jadi siapa yang nak pergi (Lingam tentulah tidak pergi). Kuasa imuniti pun tidak ada boleh mendedahkan saksi kepada pelbagai bahaya. Dan yang lebih penting, saksi yang merakam perbualan Lingam ini tentu akan menyembunyikan diri kerana bimbangkan keselamatan dirinya. Berapa banyak kes-kes di Malaysia ini di mana pemberi maklumat, yang sepatutnya dilindungi, telah diugut dan diancam. Dan dalam kes berprofil tinggi ini, yang melibatkan pimpinan UMNO dan kroni mereka, situasi pemberi maklumat ini tentulah jauh lebih gawat.

Skandal Lingamgate ini adalah terlalu besar dan boleh membawa implikasi serius kepada survival UMNO dan kroni mereka. Mereka tidak akan membiarkan ancaman ini berterusan memandangkan pilihanraya umum pun sudah hampir. Segala perkakas negara dan tipuhelah akan digunakan untuk membodohkan rakyat terutama orang Melayu. Lihat saja kandungan akhbar harian negara dan cuba buat perbandingan tentang analisa berita akhbar Melayu, Cina dan Inggeris. Jelas kelihatan akhbar Melayu cuba memperbodohkan orang-orang Melayu, dan situasi ini sudah berlangsung sekian lama.

Kita, rakyat Malaysia yang prihatin, perlu berdiri teguh di dalam tuntutan penubuhan Suruhanjaya Diraja ini, dengan kuasa penuh menyiasat dan membuat cadangan pembaikkan keseluruhan institusi kehakiman negara, dan perlu menolak apa-apa yang kurang daripada itu. Dalam masa yang sama, kita perlu menjelajah ke seluruh pelusuk negara memberi penerangan kepada rakyat apa cerita sebenar di sebalik isu ini dan implikasinya kepada mereka. Hari raya yang akan menjelang tiba tidak lama lagi merupakan peluang terbaik kita. Jadi jangan sia-siakan.

Anak Bapa: Antara saksi-saksi yang datang menemui panel “bebas” ini semalam ialah Musa Hassan (Ketua Polis Negara), Abd. Gani Patail (Peguam Negara), dan Ahmad Said Hamdan (Ketua Pengarah BPR). Setahu saya Musa dan Gani ni berlumuran dengan pelbagai tuduhan salahlaku sebelum ini. Kenaikan pangkat mereka pun satu macam punya laju (macam ketua hakim juga). Dan jangan lupa mereka ni adalah “pemain-pemain” penting semasa kes perbicaraan Anwar dulu. Ai! Macam dijanji-janji pula drama busuk UMNO ni!

Monday, October 1, 2007

Pastikan Balik Kampung Bersama Ole-Ole Istimewa!

Demam balik kampung akan mula melanda umat Islam Malaysia selang tidak beberapa hari lagi. Fenomena yang berlaku saban tahun ini di kala menjelang sambutan hari raya ‘idul Fitri, bukanlah sesuatu yang luar biasa malah hampir kesemua kita menganggapnya sebagai satu tradisi yang menjadi kemestian. Walaupun ada segelintir kalangan masyarakat kita yang menganggapnya sebagai amalan sia-sia yang membuang masa dan duit, lebih ramai yang yakin manfaatnya jauh mengatasi keburukannya. Antara kelebihan tradisi pulang ke kampung untuk merayakan ‘idul Fitri ini ialah dapat bertemu ayah bonda, sanak saudara dan rakan taulan yang dirindui dan disayangi. Tidak sabar rasanya untuk bersua muka bertanya khabar dengan mereka dan bertukar-tukar cerita, maklumlah dah hampir setahun tidak berjumpa.

Tetapi
dalam kita sibuk membuat persiapan terakhir sebelum berangkat pulang, elok juga kita tinjau apa ole-ole yang sesuai untuk dibawa pulang. Takkan orang bandar yang dah setahun tak balik kampung pulang dengan tangan kosong saja. Jadi untuk memudahkan anda semua membuat keputusan, saya ada beberapa cadangan berhubung ole-ole istimewa untuk dibawa balik ke kampung kelak.

Setahu saya, perkara yang paling kita sayangi ialah agama dan nyawa kita. Selepas itu keturunan dan negara kita. Tetapi malapetaka yang terus menerus melanda negara kita hasil daripada kegagalan UMNO/BN memerintah dengan bersih dan adil menyebabkan kita berada di dalam keadaan haru biru. Skandal demi skandal yang melibatkan billion ringgit wang negara yang sepatutnya diperuntukkan untuk kepentingan rakyat telah disonglap oleh pemerintah dan suku sakat mereka menyebabkan penderitaan rakyat terus bertambah. Apa taknya apabila subsidi minyak dikurangkan maka harga barangan dan perkhidmatan melambung naik dengan mendadak, ubat-ubatan perlu dibayar, yuran pengajian anak-anak di sekolah dan IPTA/IPTS perlu dibayar dan seribu satu macam kos lagi yang perlu ditanggani. Kalau ada kenaikan gaji pun, itu di kalangan kakitangan kerajaan sahaja, kalau kerja kampung nak naik gaji apa. Akhirnya jikalau dulu makan nasi 2 kali sehari sekarang mungkin kena catu jadi 1 hari sekali.

Bukan setakat isu korupsi dan rasuah sahaja, kita dapat lihat mereka-mereka yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan negara pula sudah “pagar makan padi”. Pelbagai bukti bertulis diunjukkan berkaitan pakatan sulit mereka dengan kepala gangster tetapi sehingga hari ini tiada sebarang tindakan diambil. Cukup sekadar kenyataan peguam negara untuk “memutihkan” mereka. Sebaliknya orang yang membuat lapuran pula yang disiasat dan diugut sehingga ke tahap kaum keluarganya dijadikan tebusan. Jadi tidak hairanlah apabila kita lihat kadar jenayah meningkat dengan begitu ketara terutama yang melibatkan jenayah kejam seperti bunuh, rompak dan rogol. Kes pembunuhan kejam Altantunya yang diletupkan dengan bom C4 dan terakhir melibatkan pembunuhan kejam kanak-kanak kecil Nurin menambahkan lagi kerisauan kita betapa sudah tidak selamatnya kita di negara sendiri.

Penyalahgunaan kuasa semakin menjadi-jadi. Dan yang terbaru menggunakan peluru hidup untuk menyuraikan rakyat yang datang untuk mendengar ceramah. Terlantar 2 insan tidak berdosa di hospital gara-gara tindakan tidak bertamadun pihak polis dengan restu UMNO. Selepas itu timbul pula isu klip video Lingamgate yang mendedahkan bukti “smoking gun” mainan jahat pemimpin UMNO, golongan korporat, dan institusi kehakiman. Kita memang sudah mengagak perkara ini berlaku tetapi tidak pernah menduga akan “dikurniakan” oleh Allah swt bukti di depan mata kita. Implikasi klip video ini amat amat amat besar sekali walaupun cuba disangkal oleh pemimpin UMNO yang dangkal dan bebal. Satu yang pasti, jikalau hakim boleh “dibeli” dan diatur begitu rupa apalah lagi yang tinggal kepada rakyat marhaen. Saya yakin kalau kita ada kes mahkamah yang melibatkan “puak” mereka, sudah pasti kita akan tewas walaupun kita tidak bersalah. Di universiti pun tak kurang hebatnya. Pilihanraya kampus (PRK) menyaksikan bagaimana sebahagian siswa dikudakayukan oleh UMNO untuk menjamin kemenangan golongan pro kerajaan (Aspirasi) di semua IPTA. Pelbagai taktik kotor termasuk merasuah siswa dan pengurusan universiti, mengugut dan bertindak kasar ke atas siswa yang tidak sebulu dengan mereka dan memperkenalkan peraturan baru yang tidak munasabah bertujuan menghalang kemenangan siswa yang tidak tunduk kepada UMNO.


Bagi saya, jika kita mengaku kita sangat sayangkan negara Malaysia, tidaklah memadai setakat memasang puluhan bendera di rumah dan kereta menjelang hari kemerdekaan negara. Kita perlu mengambil langkah yang drastik dan berterusan bagi mempastikan jatuhnya UMNO/BN. HANYA INI SAJA SATU-SATU OPSYEN YANG ADA BAGI KITA. Dah beberapa banyak Suruhanjaya diraja ditubuhkan tetapi apabila tiba saat perlaksanaannya mereka akan buat liat. Ini kerana ia melibatkan puak-puak mereka yang mereka perlu pertahankan. Jawatankuasa dan suruhanjaya ini adalah “smokescreen” mereka bagi mengelabui mata rakyat agar rakyat akan reda kemarahan mereka. ENOUGH IS ENOUGH!

Cadangan saya ialah bagi anda semua membawa balik sebanyak yang mungkin maklumat samada dalam bentuk tulisan, VCD, keset dan apa saja supaya dapat dijadikan bahan perbualan dengan orang kampung kelak. Jangan beranggapan bahawa mereka yang di kampung tahu semua perkara seperti anda. Saban hari mereka hanya “diceramah” oleh suratkhabar, tv dan radio UMNO, dan ruang untuk berinternet hampir tiada langsung. Tentang klip video Lingam tu (lengkap dengan sarikata bahasa Melayu) boleh dimuat turun daripada laman web PKR
www.keadilanrakyat.org. Inilah ole-ole istimewa yang wajib anda semua bawa balik bersama ke kampung. Peristiwa 1999 dulu membawa impak yang besar apabila rakyat balik kampung menceritakan kekejaman UMNO ke atas Dato’ Seri Anwar. Dan sekali lagi kita boleh mengulangi peristiwa tersebut. Itu pun jika anda betul-betul sayangkan negara tercinta ini…….

Anak Bapa: Teringat cerita lama dulu bagaimana emak dan ayah berjaya diyakinkan (dengan petunjuk Allah swt) untuk meninggalkan UMNO dan menyertai perjuangan yang benar dan adil hasil daripada kerap balik kampung berbincang dengan mereka. Tiada yang mustahil, apa yang perlu ialah banyakkan usaha dan doa ……