Saturday, July 25, 2009

Kes Nampak Kuman Di Seberang Lautan



Saya kagum betul dengan komen para ”ulama” dan ”cerdik pandai” dan diikuti ”spin” media perdana negara berhubung kematian Teo Beng Hock, Setiausaha Politik Ean Yong Hian Wah, EXCO kerajaan negeri Selangor ketika ini. Dari mulut ”cendiakawan” di menara gading sibuk dengan haram Nizar pegang lilin ketika kononnya majlis memperingati kematian Teo dan disambut dengan galak oleh Mufti Perak (baca penyokong pekat UMNO), Harussani dan diapi-apikan lagi oleh kenyataan politik perkauman pemimpin UMNO dan media milik mereka, tidak hairanlah isu ini cuba dimanipulasi untuk mengalih perhatian rakyat dari isu sebenar.

Isunya mudah saja. SEORANG INSAN TELAH DIDAPATI TERBUNUH KETIKA DI BAWAH JAGAAN SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)! Itu saja ceritanya. Jadi apa yang sepatutnya berlaku ialah siasatan dibuat dengan rapi dan telus berhubung kematian ini termasuk motif kematian atau pembunuhan ini agar dapat diperjelaskan. Bayangkan seorang anak muda yang akan mendaftarkan perkahwinannya keesokan harinya, yang akan berkahwin pada bulan Oktober kelak dan mempunyai tunang yang sedang hamil 2 bulan, masakan akan membunuh diri ketika hanya disoalsiasat ”biasa” saja. Sementelah itu, bicara rakan-rakannya membayangkan yang Teo bukanlah seorang yang lemah dan mudah tunduk kepada tekanan. Jadi tanda-tanda resah gelisah yang merupakan sebahagian ciri orang yang berhajat untuk membunuh diri itu tidak ada langsung pada Teo. Jadi mana mungkin bunuh diri? Jikalau dikatakan kemalangan, lagi tak logik jika melihatkan struktur dan keadaan tingkap bangunan berkenaan. Keyakinan kita ialah pembunuhan, dan Anak Bapa yakin sebahagian besar rakyat merasakan demikian. Jadi Najib, pastikan rakyat mendapat jawapan sebenar daripada insiden ini. Tolong jangan altantunyakan kes ini jika anda tidak mahu kemarahan rakyat menjadi tidak terkawal!

Kepada burung-burung kakak tua yang kerjanya mengangguk dan mengiyakan cakap tuan-tuan mereka, tolong sedarlah diri sikit. Islam tidak mengira warna kulit atau kaum dalam bab keadilan. Jikalau Fatimah sendiri yang mencuri nescaya Rasulullah akan potong tanganya. Tolong jangan jadikan isu remeh temeh untuk tujuan berpolemik sedangkan di depan mata kita satu kezaliman besar sedang berlaku. Ulama besar Islam, Ibn Taimiyah pernah menceritakan bagaimana ulama-ulama di zaman Abbasiyyah di dalam satu perhimpunan mereka gemar membincangkan perkara-perkara remeh temeh, contohnya apa hukum darah nyamuk kena kain sembahyang sedangkan di waktu itu tentera Mogul sedang menyembelih ribuan umat Islam.

Inilah hakikatnya keadaan menyedihkan umat hari ini. Harussani sepatutnya menegur pimpinan UMNO kerana masih mengekalkan ISA, hukum rimba yang diharamkan oleh Islam (penjaranya kebetulan terletak di Perak) dan supaya Zambri membubarkan kerajaan haramnya dan DUN supaya rakyat diberi peluang memilih semula kerajaan yang halal, dan banyak lagi isu-isu besar yang menyentuh umat Islam. Bukan tak boleh menegur tetapi biarlah konsisten dan tidak memilih-milih, dan beri keutamaan kepada mana yang lebih aula. Tetapi ini tak akan berlaku kerana mereka semua pengampu setia UMNO. Mereka hanya akan bercakap atas perkara-perkara yang disukai tuan mereka dan yang boleh memburuk-burukkan musuh tuan mereka. Hakikat ini sesuatu yang telah sebati dengan budaya poltik negara dan nampaknya akan kekal begitu selagi UMNO terus berkuasa.

Saya tak ingin cerita bab lilin ini kerana ia telah dikupas dengan panjang lebar oleh sahabat saya YB Khalid Abd Samad. Kalau nak tahu lebih lanjut boleh layari laman sesawang beliau. Cuma apa yang ingin saya katakan di sini bahawa kita telah menyaksikan lepas satu persatu mereka yang dibawa ke bawah tahanan polis atau SPRM menghadapi masalah, malah ramai juga yang mati di dalam tahanan. Apa yang menyedihkan, kadang-kadang hak mendapatkan peguam ketika ditahan pun telah dinafikan. Tren ini nampaknya akan berterusan jika kita masih terus mengekalkan UMNO dan BN di dalam menerajui negara dan jika kita tunduk kepada tindakan ”penyelesaian” separuh masak Najib! Jangan sia-siakan kematian Teo ......


Anak Bapa: Ada juga ulama besar PAS yang komen tentang sikap Nizar. Cerdiklah sikit yang mana kenyataan politik dan yang mana kenyataan hukum-hakam agama. Jangan cepat sangat kita melatah .......

Sunday, July 19, 2009

Potrait Seorang Negarawan Ulung

Bulan Ogos sentiasa dikaitkan dengan bulan kemerdekaan. Tapi amat sikit daripada kita yang berhenti sejenak memikirkan pengorbanan yang dicurahkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu. Amat malang lagi apabila sebahagian kita yang lain hanya mengenal nama-nama tokoh kemerdekaan yang disaji oleh UMNO dan BN sahaja. Jadi ini peluang untuk kita mendalami liku-liku perjuangan seorang tokoh kemerdekaan yang tidak asing lagi iaitu Al-marhum Profesor Dr. Burhanuddin Al-Helmy bin Mohd Noor yang akan diadakan pada 2 Ogos 2009 bertempat di Muzium Selangor di Shah Alam. Maklumat lanjut boleh diperolehi di www.ummahcentre.net. Jom kita beramai-ramai ke sana!



Saturday, July 4, 2009

Jangan Kerana Babi Kita Berpecah Belah



Di kala kita tengah gundah gulana menghadapi serangan wabak selesema babi H1N1 yang semakin serius, ada wabak lain pula yang berkaitan dengan babi sedang melanda utara Semenanjung. Nampaknya macam serius dan kalau tak ditangani dengan baik boleh menyebabkan masalah yang agak besar kelak. Ini berkaitan dengan insiden perobohan tempat penyembelihan babi haram di Alor Star, Kedah beberapa hari yang lalu.

Semua orang tahu bahawa memakan daging babi tu haram bagi orang-orang Islam. Tetapi untuk orang-orang bukan Islam, mereka ada pilihan samada nak makan atau tidak. Dan sememangnya menjadi kewajipan pihak pemerintah, tak kira siapa mereka sekalipun, untuk menyediakan segala kemudahan yang bersesuaian untuk makanan rakyatnya. Banyak caranya bagaimana daging babi ini boleh sampai kepada yang memerlukan. Antaranya dengan menternak sendiri, menyembelih dan menjualnya untuk kegunaan tempatan atau mengimport daging tersebut dari negara/negeri jiran kemudian dijual kepada penduduk tempatan. Semuanya boleh dilaksanakan dan kewajarannya bergantung kepada faktor kos dan alam sekitar.

Singapura, sebagai contoh, walaupun ramai rakyatnya memakan daging babi, ia tidak mengizinkan penternakan babi di dalam negara. Ini dibuat bagi menjaga kebersihan dan juga kerana kos penternakan yang tinggi. Mereka lebih rela mengimport daripada Malaysia dengan kos yang lebih rendah dan dalam masa yang sama memulihara alam sekitar mereka.

Kita sedia maklum bahawa penternakan babi merupakan antara penyumbang terbesar pencemaran air dan bau di dalam negara. Langkah-langkah konkrit perlu diambil bagi menjaga kepentingan semua pihak. Kita perlu ingat bahawa industri babi bukan saja melibatkan pemakan dagingnya tetapi juga yang tidak makan daging babi. Bagi orang-orang bukan Islam, mereka perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk mencari jalan terbaik di dalam menanggani masalah ini. Kita lihat saja Kerajaan PR Selangor yang melihat usaha ini dengan positif apabila mencadangkan penternakan babi setempat yang berlandaskan teknologi moden yang bukan saja dapat mengawal penularan penyakit akibat najis babi dan pencemaran air, tetapi juga dapat menjana hasil sampingan melalui pengeluaran biogas.

DAP sebagai rakan PAS dalam PR perlu lebih terbuka dan berlapang dada di dalam sama-sama berusaha membawa kebaikan kepada rakyat. Jangan sesekali terperangkap di dalam mainan isu remeh temeh yang bersifat perkauman dan keagamaan. Kita telah diberi mandat oleh rakyat untuk melaksanakan pembaharuan dan jika kita masih terperangkap di dalam mindset lama yang penuh prejudis dan syak wasangka maka kita tidak akan dapat maju ke hadapan. Perkara yang salah dan melanggar undang-undang perlu kita ambil tindakan. Cuma bedanya kita dengan BN ialah kita buat cara berhemah. Kita bincang elok-elok, berikan masa dan alternatif kepada pihak-pihak yang terbabit. Tetapi jika masih lagi berdegil selepas itu maka tindakan perlu diambil kerana kita perlu ingat bahawa segala kegiatan yang menyalahi undang-undang adalah membawa keburukan kepada rakyat teramai. Itu sebabnya ia diharamkan! Seperkara lagi, tindakan yang serupa bukan saja melibatkan kandang babi dan tempat sembelihannya, malah kandang lembu dan pusat penyembelihan lembu pun jika tidak berlesen perlu diambil tindakan serupa. Perkara ini perlu dimaklumi oleh semua termasuk di kalangan pimpinan PR.

Anak Bapa berkeyakinan pimpinan PR akan “come to their senses” tidak lama lagi. Takkan isu sebegini boleh meletup sampai tidak terkawal. Malu kita kalau pimpinan tidak mampu menyelesaikan isu yang Anak Bapa anggap sangat remeh temeh. Rakyat sedang memerhati, jika kita tak boleh bertolak ansur dalam perkara sekecil ini macamana nanti bila kita diberi peluang memerintah negara? Adakah kita akan bergaduh setiap hari tentang semua benda? Pihak kerajaan perlu lebih peka dan banyak berbincang sebelum melakukan sebarang tindakan sebegini dan DAP pula kena faham bahawa perkara yang haram tidak boleh dikekalkan selama-lamanya. Jika undang-undang kita gubal, kita sendiri tak ikut, rakyat akan cakap macam ketam ajar anak dia jalan betul!

Anak Bapa: Anak Bapa sentiasa berbincang dengan Ahli-Ahli Majlis bukan Islam di dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis Bandaraya Shah Alam dalam perkara-perkara sensitif termasuk isu judi, arak, karaoke, kuil-kuil haram dan sebagainya. Dan setakat ini kita dapat menyelesaikannya dengan baik dan harmoni. Jikalau babi dapat tau kita akan akan berpecah belah kerananya tentu ia akan ketawa besar. Malulah sikit ……..