Sekali lagi kita diberi nyawa tambahan oleh Allah swt untuk sama-sama meraikan tahun baru Hijrah 1430 dan juga tahun baru Masehi 2009. Syukur kita kepadaNya kerana kita masih dapat lagi bersukaria meraikan kedatangan tahun baru ini bersama teman dan taulan. Sebagaimana biasa, apabila menjelang tahun baru semua pihak akan tampil dengan pelbagai resolusi yang biasanya akan pudar beberapa minggu kemudian. Sesetengah resolusi yang kita tatapi di dada-dada akhbar kelihatan begitu remeh, ada yang lucu dan tak kurang juga yang tidak senonoh. Bagi kita orang-orang Islam, sesuai dengan kehidupan kita sebagai hamba Allah, maka resolusi kita mestilah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Maha Pencipta, menjadikan kita lebih tawaduk dan bersyukur terhadap segala nikmat yang diberi. Sehubungan dengan itu, hijrah yang dilalui oleh Rasulullah saw wajar kita ambil pengiktibaran dengan berazam untuk berhijrah kepada keadaan kehidupan yang lebih baik di tahun-tahun akan datang. Ini meliputi segala aspek kehidupan termasuk sikap, perangai, akhlak diri, ekonomi, keilmuan, ibadat, pergaulan, isteri (tambah?) dan lain-lain lagi yang makruf dan berkebajikan. Satu lagi resolusi tambahan yang saya amat idamkan ialah nak pastikan blog saya akan dikemaskini dengan lebih kerap, mungkin 2 kali seminggu, mulai Januari 2009. Bagaimana dengan resolusi anda?