Friday, August 14, 2009

Ustaz Asri Dalam Kenangan



Tersentak Anak Bapa apabila menerima khabar semalam berhubung berita “pergi takkan kembali” pelopor dan ikon industri nasyid terkenal negara, Ustaz Asri daripada Kumpulan Rabbani. Anak Bapa tidaklah begitu mengenali Allahyarham tetapi daripada cerita rakan-rakan dan berita di dada-dada akhbar dapatlah sedikit sebanyak mengenali dan menilai diri peribadi Ustaz Asri. Kebetulan pula Anak Bapa berkesempatan makan malam semeja dengan Allahyarham dan Tok Guru Nik Aziz di Stadium Melawati Shah Alam pada 1 Ogos baru-baru ini sempena program Konsert Antara Benua kerjasama GAMIS dan Rabbani. Di dalam majlis berkenaan Tok Guru Nik Aziz menjemput Ustaz Asri dan Rabbani ke Kelantan selepas hari raya puasa untuk satu majlis di sana dan Ustaz Asri kelihatan begitu gembira sekali menerima pelawaan Tok Guru. Tetapi Allah swt yang menentukan segala-galanya. Jika ajal sudah tiba tidaklah ditangguh atau diawalkan walau sesaat pun.

Kematian merupakan satu hakikat dan kepastian yang ramai manusia lupai sedangkan mati tidak pernah melupai manusia. Jika kita menggunakan sedikit akal dan berfikir tentu kita dapat lihat bagaimana manusia sehebat mana pun atau sekaya mana pun akan tetap tersungkur dengan “penangan” malikul maut. Justeru itu kenapa sanggup mengambil risiko membuat kerja-kerja keji dan hina di dunia ini sedangkan kita sedar bahawa semuanya akan diperhitungkan di hadapan Allah swt kelak. Dan kelak itu bukanlah lama sangat. Berapa ramai ibubapa yang hidup hari ini tidak pernah termimpi untuk memandikan jenazah anak sendiri kerana lumrah alamnya ialah anak sepatut memandikan jenazah ayah dan ibunya? Tetapi itulah jua yang kerap berlaku. Penularan virus H1N1 ketika ini sekali lagi membuktikan betapa rapuh nyawa manusia dan betapa ukuran umur tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada siapa yang akan mati dahulu. Islam mengajar kita supaya menjadikan mati sebagai sahabat setia kita kerana sesuai dengan peranan seorang sahabat, ia akan sabar menasihati kita jika kita terleka atau lalai daripada amanah dan tanggungjawab. Beruntunglah mereka-mereka yang sentiasa mengambil mati sebagai sahabat dan teman di sepanjang kehidupan yang fana ini.

Berbalik kepada cerita Ustaz Asri tadi. Anak Bapa memang tertarik dengan kesederhanaan dan kesungguhan Ustaz Asri di dalam perjuangan melalui medan dakwah nasyid ini. Walaupun ada pihak-pihak yang memandang sinis bentuk perjuangan beliau dan rakan-rakan yang sealiran dengannya, satu yang pasti ialah beliau telah berjaya menawarkan satu bentuk hiburan alternatif kepada anak remaja Islam di negara kita buat sekian lama. Bayangkan jikalau mereka ini tidak pernah wujud dalam sejarah industri muzik negara, sudah tentu anak muda kita akan terkenja-kenja dengan muzik barat dan muzik saduran barat semata-mata, yang membawa bersama-samanya nilai-nilai hedonisme yang amat menakutkan. Keupayaan kumpulan nasyid begini di dalam menjiwai nilai-nilai Islam bukan saja di dalam lagu dan muzik mereka malah di dalam kehidupan peribadi dan keluarga mereka sedikit sebanyak berjaya meyakinkan anak-anak muda kita bahawa berhibur tidak semestinya berakhir dengan kemudaratan dan dosa. Ustaz Asri dan teman-temannya telah memulakan sesuatu yang amat berharga kepada seni dan dakwah Islam dan telah Berjaya mengembangkannya kepada satu tahap. Jadi harapan Anak Bapa agar mereka-mereka yang tinggal akan meneruskan perjuangan ini demi kebaikan dan manfaat ummah. Moga jasa dan sumbangan Ustaz Asri akan diterima oleh Allah swt sebagai amal soleh dan ditempatkan beliau di kalangan hambaNya yang solehin. Al-Fatihah ……

Anak Bapa: Kerendahan diri dan murah hati Ustaz Asri memang terkenal di kalangan mereka yang dekat dengan beliau. Anak Bapa dimaklumkan bahawa beliau tidak pernah memecat mana-mana ahli kumpulannya walaupun keahlian kumpulannya antara yang teramai. Beliau mengambil sikap berkongsi apa saja dengan ahli kumpulannya dan menerima mereka sebagai sebahagian ahli keluarganya. Jika kita terasa kehilangan Ustaz Asri, mereka tentulah lebih lagi. Harapan saya agar mereka semua bersabar …….

Wednesday, August 5, 2009

Bila Lagi UMNO Nak Faham Kehendak Rakyat?

Perhimpunan aman Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang diadakan pada hari Sabtu lepas di sekitar Kuala Lumpur dianggap sangat berjaya. Anak Bapa beranggapan demikian kerana ukurannya mudah saja, pimpinan UMNO melatah-latah berhari-hari lamanya.

Mula-mula Najib, dengan katanya bahawa ada banyak cara lain lagi untuk menyuarakan bantahan terhadap undang-undang kejam ini, malahan ahli-ahli parlimen pembangkang boleh menyuarakan pandangan mereka di Parlimen (seolah-olah selama ini pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tak pernah menyuarakan langsung pandangan mereka berhubung kebejatan ISA). Muhyiddin pula menuduh pemimpin PR yang mendalangi, malah disebut mengupah rakyat terutama orang-orang Melayu supaya berdemonstrasi bagi menimbulkan simpati kepada perjuangan mereka.

Nazri Aziz pula mempertahankan tindakan pihak keselamatan di dalam “mengawal” perhimpunan “haram” daripada bertukar menjadi ganas. Shafie Afdal, yang dahulu nak jaga gula dan beras pun tak reti, mencadangkan supaya pimpinan PR ditahan dan didakwa kerana mendalangi perhimpunan haram ini. Mukhriz berkokok mendakwa pimpinan PR mempergunakan orang-orang Melayu di dalam mencapai cita-cita perjuangan mereka manakala Reezal Naina Merican mengutuk pembabitan mahasiswa di dalam aktiviti yang tidak demokratik dan menyalahi undang-undang negara. Ada seorang pula kuncu UMNO yang bernama Mohd. Khairul Azam daripada Magaran (entah habuk mana datangnya kumpulan nyamuk ini) mengesa kerajaan menahan Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah ISA. Dan hari ini, tukang ampu UMNO, Ketua Polis Negara pula berjanji akan mendakwa mereka yang terlibat mendalangi perhimpunan haram Sabtu lepas di samping akan mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa yang membabitkan anak-anak mereka.

Anak Bapa termenung membaca pelbagai lontaran pendapat dan cadangan pimpinan UMNO dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya. Nak kata bodoh pun ya, bebal pun ya, bodoh sombong pun ada, pendek kata segala jenis caca-marba penyakit memang cukup banyak pada UMNO yang terus mereput dan tunggu hari nak dikapankan. Isunya mudah saja. Rakyat benci ISA sebab undang-undang ini zalim dan kejam. Malah dalam Islam sendiri tidak ada tempat bagi undang-undang yang sebegini zalim. Dengan kata lain akta ini haram hukumnya! Janganlah dok kait isu orang-orang Melayu yang ramai hadir dan bukan kaum lain (ada tukang kira ke?), atau minoriti rakyat saja yang hadir, atau kerugian besar kepada peniaga (sapa yang menyebabkan kerugian. Sepatutnya lebih ramai orang maka lagi laris jualan. Yang sembur gas dan air asid bukan peserta demonstrasi tetapi pihak polis, atas arahan pimpinan UMNO), dan segala alasan lain yang tersasar daripada isu sebenar. Mesejnya “simple” dan jelas, rakyat nak beritahu kerajaan bahawa ISA tu zalim dan perlu dimansuhkan. Itu saja.

Selama ini pun demonstrasi yang dianjurkan oleh parti-parti politik pembangkang dan NGO tidak pernah menjadi ganas. Ia menjadi kelam kabut apabila pihak polis masuk campur. Protes jalanan bukan benda baru malah sesuatu yang biasa di negara yang utuh demokrasinya. Negara yang tak benarkan demonstrasi aman ini sebenarnya negara polis atau negara diktator. Jadi fikir sendiri Malaysia duduk di dalam kategori mana.

Seperkara lagi, tolong tunjukkan negara maju mana yang perlukan akta ala-ISA ini (tak usah cerita Singapura kerana perangai pimpinannya lebih kurang macam pimpinan UMNO) untuk menjamin keamanan negara masing-masing. Jadi tak usah dok guna alasan perlu ISA untuk keselamatan negara. Keselamatan UMNO dan BN mungkin! Spesis UMNO ni bukan tau belajar dari sejarah. Dia orang masih menganggap rakyat Malaysia ni bodoh (macam dia orang), sanggup bersusah payah berdemonstrasi kerana dipengaruhi kalangan tertentu, atau diupah nasi lemak sebungkus dan air segelas. Dan kalau betul orang Melayu yang ramai berdemonstrasi, baguslah, kerana kesedaran yang tinggi orang-orang Melayu Islam terhadap isu yang melibatkan kebajikan dan keadilan rakyat.


Anak Bapa: Kelihatan ramai pulak anak-anak muda Cina dan India berdemonstrasi bersama-sama anak-anak muda Melayu hari tu. Harap pimpinan UMNO tak ada yang juling mata sebab ramai sangat yang hadir berdemonstrasi ……..