Saturday, March 27, 2010

Fatanah Itu Maknanya Cerdik


Anak Bapa diajar salah satu sifat yang wajib pada Rasulullah saw ialah fatanah yakni cerdik. Itu sebabnya kita lihat tindakan baginda saw termasuk yang bersandarkan syura sesamanya dengan para sahabah (moga Allah swt redha dengan mereka) membawa natijah yang baik kepada perjuangan Islam. Lihat sahaja kepada perang Uhud dan Badar di mana Al-Rasul saw mengambil kira pandangan sahabah dalam memutuskan strategi yang sesuai. Akhirnya kita dapati bagaimana kejayaan umat Islam ketika itu walaupun kadangkala nampak macam kalah (seperti peristiwa perang Uhud).

Inilah kekuatan yang ada pada umat Islam terdahulu. Selain daripada memiliki pimpinan yang hebat pengikutnya pun turut hebat. Kehebatan mereka lebih terserlah apabila mereka bersyura dalam segala urusan penting jamaah. Natijahnya ialah kejayaan generasi terbaik ini dalam memperkasakan ummah dan Islam yang tiada tandingannya sepanjang zaman.

Mesejnya mudah saja. Pimpinan dan ahli PAS pun kena cerdik. Perkara yang strategik kenalah bincang sungguh-sungguh sebelum dibuat keputusan. Jangan buat keputusan bersandarkan pendapat dua tiga kerat pemimpin bermasalah, apatah lagi yang terbukti tidak wala’ kepada keputusan muktamar, badan tertinggi PAS. Jangan memandang rendah kepada kekuatan yang masih ada pada UMNO. Mereka memiliki segala-galanya kecuali keimanan kepada Allah dan pimpinan dan ahli yang berkualiti. Jangan alpa keupayaan mereka termasuk meletakkan orang-orang yang condong kepada mereka dalam jamaah supaya dapat dibuat kacau bilau dari dalam. Perkara ini bukan baru dan pernah berlaku bukan saja kepada PAS tetapi kepada hampir semua gerakan Islam sebelum ini.

Berita mengenai ‘pengunduran’ Tok Guru Nik Aziz dan Ustaz Ahmad Awang daripada Majlis Syura Ulama’, jika benar, adalah satu kemenangan besar kepada UMNO. Anak Bapa berkata begini bukan kerana taksub kepada kedua pemimpin ini. Pimpinan datang dan pergi sementara jamaah kekal terus. Tetapi sementara kedua-duanya ada dan bersedia meneruskan perjuangan, ditambah pula mereka sangat-sangat digeruni UMNO, maka kita perlu terus tonjolkan mereka ke depan. Alangkah peliknya jika kita nak kebelakangkan orang-orang yang digeruni oleh musuh utama kita kecualilah kita dah tak ada fatanah atau memang kini menganggap UMNO bukan lagi musuh!

Anak Bapa berkeyakinan penuh dengan barisan AJK PAS Pusat yang ada hari ini dan dengan itu merayu supaya dibincang betul-betul perkara di atas atas semangat syura yang tinggi supaya fatanah dikembalikan ke dalam jamaah. Ingat apa yang berlaku kepada PAS apabila isu Kerajaan Perpaduan dilontarkan tanpa perbincangan yang rapi. Tolong jangan ulangi perkara yang boleh merosakkan jamaah. Itu namanya tidak cerdik, tidak ada fatanah.

Anak Bapa: Anak Bapa syorkan supaya Ustaz Ahmad Awang bertanding sebagai Timbalan Presiden PAS tahun depan. Saya sokong!

Saturday, March 20, 2010

Pakatan Rakyat Akan Bertambah Kuat


Serangan bertali arus daripada UMNO/BN (UBN) ke atas Pakatan Rakyat (PR) bukanlah fenomena yang baru. Selepas “pulih” daripada kejutan PRU ke 12, UBN bingkas bangun dengan penuh dendam kesumat ingin menghancurluluhkan PR. Rampasan kuasa di Perak adalah antara agenda jahat mereka yang bukan sahaja membelakangkan kehendak rakyat tetapi memperlihatkan kelahapan mereka sehingga sanggup menggunakan apa saja kaedah termasuk “membusukkan” undang-undang, mahkamah dan institusi beraja.

Berselindung di belakang NGO Melayu, UBN mulai meniup semangat perkauman di kalangan orang Melayu dalam isu pembinaan kuil di Shah Alam, isu kalimah Allah dan serangan fitnah ke atas Ketua Menteri DAP di Pulau Pinang. UBN tidak mempedulikan implikasi ke atas hubungan kaum di negara ini yang begitu harmonis selama ini dan sanggup menjilat ludah 1Malaysia yang mereka war-warkan semata-mata ingin memastikan kehancuran PR. Kemudian mereka cuba beri tekanan ke atas pimpinan PR melalui tindakan undang-undang dan gerak kerja polis dan SPRM, dan yang terakhir kes Liwat II ke atas DSAI untuk mematahkan semangat juang yang begitu bersemarak di kalangan pimpinan PR. Malangnya semakin banyak serangan mereka lancarkan semakin bertambah kuat dan padu PR.

Beberapa hari kebelakangan ini UBN menggunakan pendekatan baru melalui katak-katak yang mereka telah “beli” untuk meneruskan agenda jahat mereka. Katak-katak ini akan mereka gunakan sepuas-puasnya sebelum dicincang untuk dijadikan makanan buaya. Cuba singkap sejarah dan lihat berapa orangkah yang berpaling tadah ke UMNO diberi tempat yang istimewa dalam parti dan kerajaan? Khairi Jamalauddin yang tak melompat pun tak diberi apa-apa jawatan dalam kabinet Najib. Ini jawatan Ketua Pemuda UMNO yang secara tradisinya sentiasa memegang jawatan menteri! Tengok apa jadi kepada Nakhaie, Ezam, Zahid Md Aris, Lokman, Ruslan Kasim dan mereka-mereka yang sewaktu dengan puak ini. Mereka ini masih merempat menjadi pecacai UMNO untuk pergi sana sini mencaci musuh UBN. Tak lebih dari itu tugas mereka, hina dan menjijikkan.

Apa yang menghairankan, dalam suasana yang begini muram, ada lagi katak-katak yang sedia melompat menyertai puak yang sudah tidak relevan ini. Berilah apa alasan sekali pun; penyelewengan pimpinan PRlah, kerana perjuangan agama, bangsa dan negaralah, DAP komunislah, semuanya hanya alasan untuk lari daripada amanah kepada rakyat. Golongan tidak berprinsip ini sanggup ke hulu ke hilir mencaci pimpinan PR termasuk di dalam dewan rakyat yang mulia kerana ingin mendapat pujian tuan mereka UMNO. Jika betul-betul mereka seorang pejuang sila letak jawatan wakil rakyat yang diperolehi hasil keringat dan air mata pendokong PR dan rakyat dan kita bersilat di gelanggang pilihanraya atas tiket peribadi kamu! Itu baru anak jantan namanya. Tok sah dok berperangai macam pondan siam, berani kat jauh aje.

Tetapi Anak Bapa yakin puak-puak bermasalah yang keluar daripada PR ini akan mengukuhkan lagi perjuangan PR dalam meneruskan agenda Ketuanan Rakyat. Yakinlah pecacai UBN ini akan membawa musibah besar kepada UMNO sedikit masa lagi. Elok kita tumpu dan fokus kepada gerak kerja kita yang masih banyak lagi ……..

Anak Bapa: Anak Bapa nak merayu bersungguh-sungguh kepada pimpinan PR supaya tapis betul-betul calon wakil rakyat kita untuk PRU ke 13 kelak. Cukuplah dengan jenis musang berbulu ayam yang dok ada. Anak Bapa tengok ada lagi jenis ini yang belum lagi menjadi wakil rakyat tetapi masih duduk dalam PR. Tolong hati-hati

Saturday, March 13, 2010

Hebatnya Sistem Perundangan Kita


Berbulan-bulan, malah hampir setahun insan ini dimalukan dengan pelbagai fitnah dan tuduhan yang keji dan mengaibkan. Akhirnya mahkamah mendapati beliau tidak bersalah! Cuba kita bayangkan bagaimana perasaan dirinya, yang pada ketika itu berada pada tangga ketiga hieraki PDRM, diperlakukan dengan begitu rupa dan kesan kepada anak isterinya, ibu bapanya dan sanak saudara dan kaum keluarganya yang lain. Tidakkah ada secebis rasa simpati dan belas kasihan sesama insan apabila seseorang itu diperlakukan sebegitu rupa umpama kucing kurap di jalanan sedangkan beliau belum pun terbukti bersalah. Apalah untung nasib kita rakyat biasa jika orang yang banyak berjasa kepada negara diperlakukan sedemikian rupa semata-mata kerana ia menentang “orang-orang yang berkuasa” atas dasar menegakkan keadilan dan kebenaran?

Inilah hakikat sistem perundangan buatan manusia yang mudah diperkotak-katikkan juga oleh manusia. Dan ini bukanlah fenomena baru. Ia seringkali berlaku dan akan terus berlaku jika kita biarkan manusia rakus bernama BN dan UMNO bermaharajalela di muka bumi Malaysia ini. Ingat kisah perbicaraan Dato’ Seri Anwar dahulu dan kini berulang buat kali ke 2? Ada apa-apa perbedaaan?

Anak Bapa: Tidak ada pilihan lain melainkan meneruskan Agenda Ketuanan Rakyat …..