Sunday, November 21, 2010

Desperadoooo!


Nampaknya BN semakin hari semakin lesu dan longlai. Di sebalik gegak gempita media mereka betapa BN sudah pulih daripada hentaman tsunami 2008 yang lalu dan kini sudah bersedia untuk merampas kembali negeri-negeri yang di bawah PR, kita dapat saksikan langkah dan tindakan cemas daripada mereka. Antaranya ialah menerima ahli secara langsung ke dalam BN dan NGO yang berminat untuk ‘bersekongkol’ dengan BN. Hari ini sebahagian besar NGO dah bersuara, "kami tak sudi!"


Anak Bapa boleh faham kenapa NGO tak berminat nak jadi rakan kongsi BN. Pertama sebab dia namanya NGO, jadi tentu dia nak bebas untuk bercakap dan bertindak tanpa dikongkong oleh mana-mana parti politik.


Kedua, kerana mereka dah tahu hayat BN sudah hampir ke penghujung dan tidak berhasrat untuk karam atau kubur bersama-sama.




Jadi Anak Bapa ingin cadangkan kepada BN, jika dirasakan ahli dah makin surut, dan tiada yang baru sudi menyertai mereka, elok buka keahlian kepada beruk, kera dan kaldai. Itu pun jika mereka berkehendak.


Jika tak cukup juga keahlian baru, mungkin boleh pertimbangkan keahlian dari kalangan jin dan syaitan.


Anak Bapa: Upah 1 juta ringgit pun aku tak hingin masuk UMNO atau BN

Thursday, November 18, 2010

Pengorbanan Sebenar


Ghairah sekali kita melihat umat Islam menyambut Hari Raya Korban dengan beramai-ramai menyertai majlis korban di masjid dan surau. Banyaklah lembu dan kambing tumbang bagi memenuhi tuntutan sunat muakkadah setahun sekali ini.

Anak Bapa turut sama menyertai majlis korban di masjid berhampiran dan merasa bersyukur kerana dapat melaksanakan tuntutan mulia ini hampir setiap tahun. Biar sehebat mana pun diceritakan mengenai pengorbanan, tidak mungkin ada yang setanding atau lebih hebat daripada pengorbanan Nabi Ibrahim as dan keluarga baginda.

Ketika arahan Allah swt supaya Nabi Ibrahim as menyembelih Nabi Ismail as, bayangkan bagaimana perasaan baginda, perasaan isterinya Siti Hajar, dan perasaan Nabi Ismail as. Nabi Ismail as adalah satu-satu anak baginda bersama Siti Hajar, yang sangat mereka sayangi dan kasihi, perlu dikorbankan demi mentaati perintah Allah swt.

Lantas kita dapati bagaimana sikap ketiga-tiga insan teristimewa ini yang redha dengan perintah Allah swt walaupun terpaksa berdepan dengan pertarungan perasaan dan syaitan yang menghasut. Sebagaimana kita maklum, Allah swt menggantikan Nabi Ismail as dengan seekor kibas setelah mereka berjaya menunjukkan ketaatan tidak berbelah bagi kepada Allah swt.

Tetapi lihat kepada sikap kita hari ini berhubung pengorbanan dan ketaatan kepada Allah swt. Ibadah korban ini, jika mengambil iktibar daripada pengorbanan Nabi Ibrahim as dan keluarganya, adalah berasaskan kepada ketaatan dan mencari keredhaan Allah swt dan bukan kerana berebut-rebut nak ambil atau makan daging.

Ada sesetengah tempat kecoh berebut daging sedangkan ia hanyalah aspek sampingan dan bukan matlamat utama korban. Kita hanya diminta berkorban sedikit duit ringgit sahaja, dan mungkin sedikit masa dan tenaga dalam menjayakan majlis korban ini. Itu saja, tidak lebih dari itu.

Kita belum lagi diminta mengorbankan separuh atau seluruh harta kita, atau pengorbanan nyawa dan jiwa kita. Malangnya, dengan pengorbanan yang sikit ini pun, matlamat menuntut keredhaan Allah swt itu pun dah lari, bagaimana untuk membuat pengorbanan yang lebih besar?

Malah kita lihat ada golongan yang juga ghairah nak berkorban sedangkan mereka sendiri engkar kepada Allah swt. Mana mungkin parti yang kerja mereka tak habis-habis memburukkan Islam dan memain-mainkan hukum-hakamnya dalam masa yang sama nak berkorban sedangkan ibadat korban ini adalah demi mentaati Allah swt dan mencari keredhaannya (lihat di sini). Mana mungkin satu hari kamu menghina hukum Allah swt dan pada hari yang lain pula cuba nak buat baik pada Allah pula!

Inilah akibatnya apabila tuntutan Islam itu dilaksanakan mengikut faham sendiri, atau sebagai adat kebiasaan sahaja dan bukan berasaskan kefahaman Islam sebenar. Akhirnya jadi majlis sembelih lembu dan makan daging aje!

Anak Bapa: Selamat Hari Raya Korban kepada seluruh umat Islam yang betul-betul menghayati Islam ……….

Sunday, November 14, 2010

PAS Perlu Jauh Lebih Baik Daripada UMNO


Anak Bapa berkesempatan menghadiri Seminar “PAS Sedia Ganti UMNO” di Shah Alam semalam. Baguslah seminar yang macam ini, dan lagi pun ini bukan kali pertama PAS menganjurkan seminar. Cuma persoalan yang penting ialah apakah natijah daripada seminar sebegini dan bentuk tindakan susulannya?

Budaya “cakap serupa bikin” ini selaras dengan tuntutan Islam sendiri dan jika menjadi amalan pendokong parti, Anak Bapa yakin kita bukan setakat “sedia ganti UMNO” malah kita “parti harapan dan pergantungan rakyat Malaysia”.

Ada beberapa perkara yang agak menarik daripada siri ceramah dan forum yang diadakan semalam. Anak Bapa cuma ingin nak menyentuh satu aspek saja yang kelihatan menjadi tajuk utama perbincangan iaitu menyentuh isu kepimpinan.

PAS tidak ketandusan pemimpin yang hebat-hebat dan berwibawa tetapi mereka acapkali diselubungi awan gelap atau jerubu pemikiran jumud sesetengah pemimpin dan ahli. Sebagai contoh Dato’ Seri Nizar sendiri, yang tidak begitu dikenali sebelum ini telah menunjukkan kepimpinan yang luar biasa apabila diberi peluang.

Bersandarkan akhlak yang terpuji, pengorbanan yang tinggi, dan daya kepimpinan yang berwibawa, sebahagian besar pemimpin kita mampu melonjakkan parti ke arus perdana dan menjadi pilihan dalam menerajui kepimpinan negara dan dalam masa yang sama menenggelamkan terus bahtera UMNO dan BN.

Pemimpin yang hebat bukan sahaja berpendidikan tinggi, bijak dan berakhlak mulia tetapi mampu membawa penampilan segar demokrasi, keadilan dan kebajikan terhadap rakyat, dan bebas daripada unsur-unsur negatif terutama perkauman dan penyalahgunaan kuasa.

Kepimpinan tidak berdiri sendiri, yakni atas kekuatan individu semata tetapi berasaskan sistem kolektif atau syura. Itu sebabnya kenapa keputusan yang dicapai dalam muktamar (badan tertinggi dalam PAS) dan pimpinan pusat perlu dihayati dan diterjemahkan segera dalam bentuk tindakan yang konkrit dan bersepadu.

Perbedaan penampilan dan pendekatan antara pemimpin adalah sesuatu yang biasa, dan sepatutnya digalakkan. Ini menunjukkan kehebatan parti kita yang sentiasa terbuka dan meraikan perbezaan dan bukan parti “kepura-puraan” atau anti-fitrah. Tetapi apa yang pasti tindak-tanduk mereka tidak lari daripada paksi yang digariskan oleh muktamar dan PAS Pusat.
Sebagai contoh, kita lihat keputusan dua Muktamar Agong PAS sebelum ini yang menekankan perlunya “memperkukuhkan” Pakatan Rakyat yang parti komponennya terdiri daripada PAS, PKR dan DAP. Sampai hari ini ada lagi segelintir pemimpin atasan yang tak selesa dengan DAP dan menggunakan forum yang tidak sesuai untuk meluahkan kebimbangan dan ketidakselesaan mereka. Tindakan tidak cerdik sebegini dibimbangi akan disanggah oleh pemimpin lain yang berpegang teguh kepada keputusan syura (muktamar) dan fenomena ini akan berakhir dengan perpecahan parti dan kelemahan.

Anak Bapa berpandangan sudah tiba masanya kita meyakinkan minda masing-masing bahawa PAS adalah jauh jauh lebih baik daripada UMNO dalam apa segi sekali pun. Lantaran itu kita sama-sama pilih pemimpin yang mampu dan layak bukan sahaja yang akan menjadi PEMIMPIN KEPADA ORANG-ORANG PAS TETAPI PEMIMPIN KEPADA SELURUH RAKYAT MALAYSIA!

Anak Bapa: Dah lama dah anggap PAS jauh lebih baik daripada UMNO ……….

Saturday, November 6, 2010

Apa Ertinya Kekalahan Di Galas Dan Batu Sapi


Keputusan PRK Galas dan Batu Sapi telah pun kita semua ketahui, BN menang 2-0.

Anak Bapa tak berminat nak hurai panjang lebar perkara ini kerana kita semua boleh baca pelbagai ulasan dan komen dari pelbagai pihak sebab-sebab kekalahan PR dan kemenangan BN. Anak Bapa juga yakin, sebagaimana biasa, PR akan membuat “post-mortem” berhubung kekalahan mereka agar gerak kerja pilihanraya hadapan akan lebih kemas dan teratur.

Cuma apa yang ingin kita perkatakan di sini ialah perjalanan PRK kali ini mendedahkan beberapa aspek tentang PR yang agak membimbangkan. Biarlah UMNO dan BN terjun dengan “labu-labu” mereka, kita peduli apa. Tetapi PR yang menjadi harapan rakyat perlu memberi perhatian serius kepada beberapa perkara penting jika Putrajaya masih menjadi idaman dan agenda kita.

Kita perlu ingat bahawa rakyat memilih kita dalam PRU ke 12 kerana inginkan perubahan. Perubahan di sini bermaksud kepada kehidupan yang lebih baik dari apa yang mereka nikmati sekarang. Ini meliputi bukan saja kehidupan beragama mereka tetapi ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Pimpinan PR perlu mempastikan bahawa perubahan ke arah kebaikan ini berlaku terus walau pun berdikit-dikit. Persoalannya adakah fenomena perubahan berdikit-dikit ini terus berlaku di negeri-negeri PR? Kita tahu pengaruh besar kerajaan persekutuan ke atas pentadbiran negeri-negeri. Tetapi jangan jadikan itu alasan untuk tidak berbuat apa-apa untuk kesejahteraan dan kemajuan rakyat.

Sebagai contoh, isu berkaitan geran tanah kepada orang-orang asli di Galas. Wajarkah kita berhujah bahawa sebab fail hilang ketika Ku Li keluar Semangat 46 dan masuk UMNO dulu menyebabkan hak milik tanah tidak dapat diproses? Tuduhan tidak “gentleman” dan alasan yang rapuh begini menyebabkan rakyat bosan kerana jika dah tahu fail hilang, buatlah ganti segera. Jika kaedah yang sedia ada agak lambat dan birokratik, ubahlah kepada kaedah yang lebih efisyen. Bukankah itu tujuan rakyat memberi mandat dan kuasa kepada kita sebagai pemerintah?

Anak Bapa teringat dulu ketika kita memerintah Terengganu, apabila didapati ukur tanah agak lambat untuk memproses permohonan tanah rakyat maka kerajaan negeri memutuskan mengupah juru ukur swasta untuk mempercepatkan proses berkenaan. Jika ini boleh dibuat di Terengganu kenapa ia tidak boleh dibuat di Kelantan? Apa yang perlu ialah kreativiti dan “political will” untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik dan cekap.

Kita mungkin ada masa lagi sebelum menghadapai PRU ke 13. Jadi segeralah pakat bangun semua pimpinan PR daripada tidur lena bagi menghadapi kenyataan bahawa kita masih lagi di takuk lama. Anak Bapa yakin rakyat masih meluat dengan UMNO/BN tetapi dalam masa yang sama mereka juga tertanya-tanya “mampukah pimpinan PR memerintah Malaysia jika kami beri mereka peluang?” Sama-samalah kita jawab dengan tindakan dan gerak kerja kita mulai sekarang.

Anak Bapa: Bila fikir-fikir balik, bagus juga kita kalah di Galas dan Batu Sapi baru-baru ini…