Bumi Arab tengah terbakar ketika artikel ini ditulis. Fenomena yang paling memeranjatkan dan tidak terduga oleh sesiapa pun beberapa bulan lepas kini menyaksikan bagaimana rakyat Arab, tanpa ketua dan kumpulan yang mempeloporinya, bangun beramai-ramai berarak di jalan-jalan raya tanpa rasa takut dan gerun menuntut reformasi mendadak di negara masing-masing.
Dan sememangnya sudah tiba masanya masyarakat Arab yang majoritinya beragama Islam bangun membuat perubahan dalam negara masing-masing setelah begitu lama diperintah oleh diktator yang zalim dan korup, yang menjadi boneka kepada Amerika. Wajar kerana apa yang diperbuat oleh puak-puak ini selama puluhan dekad tidak langsung mengambarkan sistem keadilan Islam dalam pemerintahan dan bernegara malah membawa gambaran buruk kepada penganut agama lain betapa “buruknya” Islam dan sistem pemerintahannya.
Apa yang juga penting di sini adalah iktibar yang boleh diambil daripada apa yang telah berlaku dan sedang berlaku di sana dalam konteks pemerintahan BN di Malaysia. Ucapan Najib meminta rakyat Malaysia supaya tidak menyamakan Malaysia dengan apa yang berlaku di Mesir sebenarnya menyerlahkan kebimbangan UMNO tentang kebangkitan rakyat di jalanan.
Dan sememangnya UMNO perlu bimbang dan risau kerana apa yang mereka buat di Malaysia selama ini pun lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan para diktator di negara-negara Arab berkaitan.
Pertama, mereka dah lama memerintah, dah lebih 50 tahun. Tidak ada lagi negara berdekatan yang diperintah begitu lama oleh parti yang sama kecuali Malaysia dan Singapura. Kebiasaannya, mereka yang lama memerintah akan menjadi zalim dan korup, seperti UMNO, yang sudah terang lagi bersuluh seperti di Mesir dan Tunisia. Pembangkang didiskriminasi, ditangkap tanpa sebab, dan dihalang daripada berhimpun. Akhbar dan media dikawal penuh dan hanya menyiarkan propaganda kerajaan dan program “mencandukan” rakyat.
Jentera kerajaan seperti polis, Suruhanjaya Pilihanraya, dan mahkamah digunakan sepenuhnya untuk melindungi pemerintah dan kroni mereka. Pilihanraya dimanipulasi dengan pelbagai cara untuk memenangkan puak mereka.
Pemimpin-pemimpin pemerintah, ahli keluarga, dan kroni mereka dilimpahi pelbagai projek dan kemewahan hidup sedangkan rakyat disengsarakan dengan pengurangan subsidi dan peningkatan kos kehidupan. Keluhuran undang-undang tidak dipedulikan dan pendakwaan berpilih menjadi agenda mereka saban hari.
Pendek kata begitu banyak persamaan antara apa yang UMNO buat dengan apa yang parti Demokratik Kebangsaan (parti Hosni Mubarak) buat di Mesir dan kini rakyat Mesir bangun beramai-ramai menolak kebobrokan tersebut ke dalam Laut Merah. Persoalannya tahap mana kesabaran rakyat Malaysia melihat keangkuhan dan kekorupan UMNO?
Anak Bapa: Sabar itu ada tahapnya ………….