Tuesday, March 27, 2012

Isu Pengharaman Pembelian Minyak Mentah Iran: Kemunafikan UMNO Terserlah


Negara-negara yang paling benci terhadap Iran ialah Amerika dan Israel. Kebencian ini dipertontonkan di muka dunia sejak Ayatollah Ruhollah Khomeini beserta rakyat Iran berjaya menumbangkan kerajaan Shah Mohammad Reza Pahlavi, kerajaan boneka Amerika, pada Disember 1979. Sejak itu permusuhan mereka terhadap Iran tak pernah kunjung padam.


Kejayaan Iran memajukan industri teknologi nuklear menjadikan negara-negara tersebut bertambah bimbang dan sakit hati. Pelbagai usaha telah mereka lakukan samada secara bersendirian atau dengan memperalatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi menekan Iran supaya tunduk kepada kehendak mereka.


Selain daripada melancarkan sekatan dagangan ke atas Iran, Amerika dan sekutunya telah melakukan pelbagai sabotaj ketenteraan terhadap Iran termasuk menggunakan Iraq untuk melancarkan perang proksi ke atas Iran di era Saddam Hussein dahulu yang menyebabkan kematian dan kesengsaraan besar ke atas umat Islam kedua-dua negara.


Hujah rasmi mereka adalah mudah, Iran membahayakan kestabilan rantau tersebut dengan pembangunan program senjata nuklear mereka. Walaupun dakwaan ini tidak mempunyai bukti yang kukuh, sebagaimana bukti tentang program senjata biologi dan kimia Iraq dahulu, ditambah pula dengan penafian berulang kali daripada kerajaan Iran betapa teknologi nuklear yang mereka sedang bangunkan adalah untuk tujuan keamanan, Amerika dan Israel tetap berkeras bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear secara rahsia.


Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) sendiri mengakui bahawa tidak ada sebarang bukti kukuh untuk mensabitkan Iran dengan pembangunan teknologi senjata nuklear dan setakat ini siasatan yang mereka lakukan menunjukkan bahawa Iran mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh agensi berkenaan.


Teknologi nuklear bukan hak mutlak mana-mana negara tak kira samada Amerika atau Israel. Negara mana pun berhak memajukannya. Malahan pembangunan teknologi senjata nuklear sendiri adalah bukan hak mutlak Amerika dan Israel. Di Israel hari ini dilaporkan terdapat banyak peledak senjata nuklear (nuclear warheads) yang tidak pernah dipantau oleh IAEA. Ini belum lagi dikira senjata yang serupa di Amerika dan Rusia. Tetapi tiada sebarang tindakan dibuat untuk mengawal negara-negara ini.


Sekarang mereka pula nak membuli negara yang sedang berjinak dengan teknologi berkaitan. Siapa yang beri hak kepada mereka untuk berbuat demikian? Keselamatan dunia hanya boleh dicapai dengan muafakat dan berbaik-baik sesama negara dan bukan tindakan membuli dan tunjuk samseng. Keadaan akan menjadi lebih gawat lagi apabila negara-negara “berkecuali” lain turut serta menyokong Amerika dan Israel membuli Iran.


Ini adalah hakikatnya apa yang sedang berlaku hari ini. Langkah terbaru Amerika dan sekutunya memboikot perdagangan dengan Iran telah turut disambut dengan mesra oleh Malaysia dengan pengharaman pembelian minyak mentah Iran. Walaupun suatu ketika dahulu apabila didakwa perkara ini, Najib menafikannya tetapi kini mereka mengesahkannya.


Apa hujah tindakan ini? Sebab Amerika suruh? Atau Israel paksa? Di tanah air, mereka berdegar-degar bercakap mengenai perjuangan rakyat Palestin dan kekejaman Israel tetapi dalam nafas yang sama mereka cuba mensabotaj ekonomi negara Islam yang paling kuat menyokong Palestin dan musuh utama Israel.


Jelas kemunafikan Najib dan UMNO dalam isu berkaitan Israel. Mereka sebenarnya hamba yang setia kepada tuan Amerika (baca Zionis Israel) mereka. Mereka sanggup berbelanja jutaan ringgit semata-mata nak buat temujanji dengan Presiden Amerika. Mereka sanggup mengadakan pertemuan dengan pimpinan Israel dan berbalas surat dengan mereka bagi menjaga hati tuan-tuan mereka di saat umat Islam Palestin ditindas dan dizalimi. Ketika Malaysia menjadi anggota Majlis Keselamatan PBB dahulu mereka menyokong Amerika dengan mengundi menyokong serangan ke atas Iraq. Malah dagangan kerajaan UMNO/BN dengan Israel telah berterusan sejak sekian lama sehingga hari ini.


Di Malaysia, UMNO mengambil APCO, syarikat pakar “komunikasi korporat" yang dipelopori oleh pemimpin Zionis Israel untuk membantu mereka mengekalkan kuasa. Rakyat pula dihidangkan dengan fitnah dan berita palsu saban hari bahawa Dato’ Seri Anwar dan pimpinan PR adalah agen Israel sebenar. Demonstrasi tajaan UMNO diadakan berulang kali untuk kononnya membantah sikap pemimpin PR.


Rakyat kena bijak dalam isu ini. Fakta yang ada jelas menunjukkan bahawa UMNO/BN memang talibarut Amerika dan Israel. Jangan terpedaya dengan kemunafikan mereka. Mereka telah sering menipu rakyat dalam semua hal. Apakah yang menghalang mereka daripada menipu kita lagi dalam isu Palestin dan Israel?


Anak Bapa: Dah lama tak percayakan UMNO dan BN. Sokong ABU (Asalkan Bukan UMNO).

Wednesday, March 21, 2012

Kenapa Rakyat Selangor Perlu Serah Selangor Pada BN?


Pemimpin UMNO gila meroyan bila datang ke Selangor. Acapkali mereka turun ke sini dah jadi macam wirid untuk ulangi BN akan rampas Selangor dalam PRU 13 akan datang.

Baik Muhyiddin atau Najib ungkapannya sama, rakyat Selangor sedang menderita di bawah kerajaan PR dan tak sabar-sabar untuk mengundi BN semula. Jika betul bagai dikata kenapa tak bubar lagi parlimen supaya senang kita lihat betul atau tidak dakwaan mereka.

Bagi pemimpin UMNO, kehilangan Selangor adalah sesuatu yang amat sukar diterima. Negeri terkaya dengan KDNK sekitar 10% dan menyumbang kepada 20% KDNK Malaysia, hasil cukai dikutip lebih RM16 bilion setahun, dan pendapatan negeri dan kerajaan berbilion setahun, kejatuhan Selangor dari tangan mereka ibarat badan dipanah petir. Mereka mungkin belum mati tetapi lumpuh teruk sudah pasti.

UMNO mensasarkan matlamat utama merampas Selangor pada pilihanraya yang akan datang selain daripada mendapatkan semula dua pertiga majoriti di parlimen. Ini bukan saja penting untuk kerelevanan UMNO/BN tetapi yang lebih utama kelangsungan nyawa politik Najib. Daim dah cakap bahawa kegagalan Najib memperolehi matlamat di atas akan mempercepatkan gerakan menumbangkannya daripada persada politik tanahair.

Tetapi kenapa pula rakyat Selangor perlu serah Selangor kepada Najib dan gengnya? Bukankah selepas lebih 50 tahun mentadbir Selangor mereka telah berjaya memporakperandakan negeri yang kaya ini. Pemimpin UMNO menjadikan harta rakyat Selangor bagai harta mak bapa mereka.

Tak perlu tengok jauh. Lihat saja harta kekayaan pemimpin UMNO Selangor. Samada ia telah disabitkan di mahkamah atau belum, apa yang pasti pemimpin UMNO silih berganti terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan kuasa.

Ingat cerita Khir Toyo dan Dato' Z dengan "istana" mereka, Muhammmad Taib dengan kes bawa jutaan wang tunai di Australia, skandal kawasan perdagangan bebas Pelabuhan Kelang, lawatan Khir Toyo dan keluarga serta kroni ke Disneyland, skandal BALKIS, "kehilangan" duit Yayasan Selangor lebih RM500 juta dan seribu satu macam lagi penyelewengan UMNO/BN di Selangor.

Sebaliknya, kerajaan PR pula terbukti amanah dan telus dalam menjalankan tugas mereka. Dalam tempoh hanya 4 tahun pentadbiran, mereka bukan saja tidak pernah kebas hak rakyat Selangor malah berkongsi hasil mahsul Selangor dengan rakyat melalui gagasan "Merakyatkan Ekonomi Selangor". Air percuma 20 meter padu, skim pelaburan anak-anak Selangor TAWAS, skim khairat usia emas SMUE, bantuan qardhul hasan SKIMSEL dan MIMBAR, Jom Shopping, Program Keceriaan Bangunan untuk pangsapuri kos rendah, bantuan jutaan ringgit kepada sekolah agama rakyat, sekolah Cina dan Tamil serta bermacam lagi manfaat langsung kepada rakyat yang sedang dan telah dilaksanakan. Ini tak termasuk usaha membantu menyelesaikan ribuan kes rumah terbengkalai dan penyerahan geran tanah yang dah bertahun-tahun tertangguh.

Malahan Ketua Audit Negara saban tahun akan memuji Selangor sebagai antara negeri terbaik dalam pengurusan kewangan dan tatakelola.

Pencapaian ekonomi pula amat memberangsangkan. Untuk julung kali rizab negeri Selangor telah mencapai RM2 bilion, kutipan zakat hampir mencecah RM400 juta (tahun 2008 ialah RM200 juta), manakala GLC Selangor pula menunjukkan peningkatan ketara pendapatan mereka. Semua ini sesuatu yang tidak mampu dicapai UMNO sejak 28 tahun yang lalu.

Jadi apa pasal rakyat Selangor perlu serah Selangor kepada BN? Supaya mereka boleh kebas semula harta benda rakyat. Pemimpin UMNO yang ada sekarang adalah orang yang sama yang kerja menyamun dahulu. Jika kita tahu sejarah penyamun-penyamun ini adakah kita nak bagi lagi peluang mereka menjaga harta benda kita? Silap besarlah jika kita kata ya.

Anak Bapa yakin rakyat Selangor amat cerdik, secelik zaman IT hari ini. Jangan kita tertipu dengan silap mata UMNO. Bantuan rakyat adalah gula-gula untuk menarik sokongan. Selepas menang mereka akan buat ikut suka hati mereka sehingga 5 tahun lagi apabila mandat rakyat diperlukan. Cukuplah tu!

Anak Bapa: Ingat apa Khir Toyo cakap apabila kerajaan PR laksanakan skim air percuma untuk rakyat. Dia kata program ini membazir duit kerajaan dan memberi tempoh 6 bulan sebelum kerajaan Selangor jadi bengkrap. Kini selepas 4 tahun bukan saja Selangor tak bengkrap tapi kantung negeri hampir penuh. Apa macam?

Wednesday, March 14, 2012

Jikalau Kos Majlis Pertunangan Dah Lebih RM400 Ribu, Kos Majlis Perkahwinan Pula Berapa?


Apabila Hotel Shangri La berkata bil Majlis Pertunangan anak Najib dibayar oleh PM sendiri maka timbul banyak pula persoalan lain.


Kenapa inbois dialamatkan kepada Pejabat Perdana Menteri dan bukan kepada Najib Abdul Razak sendiri?


Jika betul Najib bayar sendiri maka mana buktinya?


Jika betul Najib yang membayarnya, timbul persoalan pula mana dia dapat duit sebegini banyak?


Jika pun dia ada “sumber” tersendiri untuk biayai Majlis tersebut, bukankah ia merupakan satu majlis yang agak melampau, yang bercanggah dengan konsep wasatiyyah (kesederhanaan) yang sedang dicanang-canangkannya hari ini?


Jika Majlis Pertunangan pun dah lebih RM400 ribu, berapa pula agaknya kos Majlis Perkahwinan?


Jika Najib ini bukan PM Malaysia kita tak begitu nak ambil pot sangat perangai dan tabiat beliau dan keluarganya. Tetapi apabila dah jadi pemimpin negara maka rakyat berhak ambil tahu. Kuasa yang diberi adalah amanah bukan anugerah. Jika dah sampai tahap melampau sebegini, di kala rakyat sedang keperitan menderita kos hidup yang melambung tinggi, maka amanah yang sementara ini perlu dibuat penilaian semula dalam pilihanraya umum akan datang.


Anak Bapa: Tak habis-habis pemimpin UMNO/BN ini dengan gelagat yang amat durjana dan memalukan.