Sunday, July 19, 2009

Potrait Seorang Negarawan Ulung

Bulan Ogos sentiasa dikaitkan dengan bulan kemerdekaan. Tapi amat sikit daripada kita yang berhenti sejenak memikirkan pengorbanan yang dicurahkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu. Amat malang lagi apabila sebahagian kita yang lain hanya mengenal nama-nama tokoh kemerdekaan yang disaji oleh UMNO dan BN sahaja. Jadi ini peluang untuk kita mendalami liku-liku perjuangan seorang tokoh kemerdekaan yang tidak asing lagi iaitu Al-marhum Profesor Dr. Burhanuddin Al-Helmy bin Mohd Noor yang akan diadakan pada 2 Ogos 2009 bertempat di Muzium Selangor di Shah Alam. Maklumat lanjut boleh diperolehi di www.ummahcentre.net. Jom kita beramai-ramai ke sana!



Saturday, July 4, 2009

Jangan Kerana Babi Kita Berpecah Belah



Di kala kita tengah gundah gulana menghadapi serangan wabak selesema babi H1N1 yang semakin serius, ada wabak lain pula yang berkaitan dengan babi sedang melanda utara Semenanjung. Nampaknya macam serius dan kalau tak ditangani dengan baik boleh menyebabkan masalah yang agak besar kelak. Ini berkaitan dengan insiden perobohan tempat penyembelihan babi haram di Alor Star, Kedah beberapa hari yang lalu.

Semua orang tahu bahawa memakan daging babi tu haram bagi orang-orang Islam. Tetapi untuk orang-orang bukan Islam, mereka ada pilihan samada nak makan atau tidak. Dan sememangnya menjadi kewajipan pihak pemerintah, tak kira siapa mereka sekalipun, untuk menyediakan segala kemudahan yang bersesuaian untuk makanan rakyatnya. Banyak caranya bagaimana daging babi ini boleh sampai kepada yang memerlukan. Antaranya dengan menternak sendiri, menyembelih dan menjualnya untuk kegunaan tempatan atau mengimport daging tersebut dari negara/negeri jiran kemudian dijual kepada penduduk tempatan. Semuanya boleh dilaksanakan dan kewajarannya bergantung kepada faktor kos dan alam sekitar.

Singapura, sebagai contoh, walaupun ramai rakyatnya memakan daging babi, ia tidak mengizinkan penternakan babi di dalam negara. Ini dibuat bagi menjaga kebersihan dan juga kerana kos penternakan yang tinggi. Mereka lebih rela mengimport daripada Malaysia dengan kos yang lebih rendah dan dalam masa yang sama memulihara alam sekitar mereka.

Kita sedia maklum bahawa penternakan babi merupakan antara penyumbang terbesar pencemaran air dan bau di dalam negara. Langkah-langkah konkrit perlu diambil bagi menjaga kepentingan semua pihak. Kita perlu ingat bahawa industri babi bukan saja melibatkan pemakan dagingnya tetapi juga yang tidak makan daging babi. Bagi orang-orang bukan Islam, mereka perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk mencari jalan terbaik di dalam menanggani masalah ini. Kita lihat saja Kerajaan PR Selangor yang melihat usaha ini dengan positif apabila mencadangkan penternakan babi setempat yang berlandaskan teknologi moden yang bukan saja dapat mengawal penularan penyakit akibat najis babi dan pencemaran air, tetapi juga dapat menjana hasil sampingan melalui pengeluaran biogas.

DAP sebagai rakan PAS dalam PR perlu lebih terbuka dan berlapang dada di dalam sama-sama berusaha membawa kebaikan kepada rakyat. Jangan sesekali terperangkap di dalam mainan isu remeh temeh yang bersifat perkauman dan keagamaan. Kita telah diberi mandat oleh rakyat untuk melaksanakan pembaharuan dan jika kita masih terperangkap di dalam mindset lama yang penuh prejudis dan syak wasangka maka kita tidak akan dapat maju ke hadapan. Perkara yang salah dan melanggar undang-undang perlu kita ambil tindakan. Cuma bedanya kita dengan BN ialah kita buat cara berhemah. Kita bincang elok-elok, berikan masa dan alternatif kepada pihak-pihak yang terbabit. Tetapi jika masih lagi berdegil selepas itu maka tindakan perlu diambil kerana kita perlu ingat bahawa segala kegiatan yang menyalahi undang-undang adalah membawa keburukan kepada rakyat teramai. Itu sebabnya ia diharamkan! Seperkara lagi, tindakan yang serupa bukan saja melibatkan kandang babi dan tempat sembelihannya, malah kandang lembu dan pusat penyembelihan lembu pun jika tidak berlesen perlu diambil tindakan serupa. Perkara ini perlu dimaklumi oleh semua termasuk di kalangan pimpinan PR.

Anak Bapa berkeyakinan pimpinan PR akan “come to their senses” tidak lama lagi. Takkan isu sebegini boleh meletup sampai tidak terkawal. Malu kita kalau pimpinan tidak mampu menyelesaikan isu yang Anak Bapa anggap sangat remeh temeh. Rakyat sedang memerhati, jika kita tak boleh bertolak ansur dalam perkara sekecil ini macamana nanti bila kita diberi peluang memerintah negara? Adakah kita akan bergaduh setiap hari tentang semua benda? Pihak kerajaan perlu lebih peka dan banyak berbincang sebelum melakukan sebarang tindakan sebegini dan DAP pula kena faham bahawa perkara yang haram tidak boleh dikekalkan selama-lamanya. Jika undang-undang kita gubal, kita sendiri tak ikut, rakyat akan cakap macam ketam ajar anak dia jalan betul!

Anak Bapa: Anak Bapa sentiasa berbincang dengan Ahli-Ahli Majlis bukan Islam di dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis Bandaraya Shah Alam dalam perkara-perkara sensitif termasuk isu judi, arak, karaoke, kuil-kuil haram dan sebagainya. Dan setakat ini kita dapat menyelesaikannya dengan baik dan harmoni. Jikalau babi dapat tau kita akan akan berpecah belah kerananya tentu ia akan ketawa besar. Malulah sikit ……..

Friday, June 19, 2009

Perpaduan Jamaah Lebih Penting Daripada Kerajaan Perpaduan



Mula-mula Tok Guru Nik Aziz (TGNA) cakap jangan teruskan agenda perpaduan dengan UMNO kerana ia akan memecahbelahkan parti. Mereka dengar tapi mereka tak patuh. Selepas tu TGNA cakap ikut keputusan muktamar tahun lepas di Ipoh supaya kita terus memperkasakan Pakatan Rakyat. Mereka dengar tapi tak patuh juga. Kemudian TGNA cakap cerita Kerajaan Perpaduan ini mengarut. Mereka dengar tapi tak patuh juga. Selepas itu Tok Guru kata mereka yang terus menerus memperjuangkan agenda Kerajaan Perpaduan adalah boneka UMNO. Mereka dengar dan terus menerus lagi tak patuh. Akhir sekali Tok Guru kata kalau dah suka sangat UMNO sila letak jawatan dan keluar PAS. Jangan dok buat sampah dalam parti. Rasanya mereka dah dengar dan faham dah kot!

Memang betul TGNA bukan maksum. Beliau pun ada kesilapan sebagai seorang manusia. Tetapi dalam bab ini Tok Guru tidak silap. Awal-awal lagi (sejak isu ini mula timbul selepas kemenangan PR tahun lepas) beliau telah menolak sebarang usaha ”perpaduan” dengan UMNO kerana Tok Guru lebih mementingkan perpaduan jamaah. Tepat sekali firasat Tok Guru kerana beliau dan rakyat Kelantan dah masak sangat dengan perangai UMNO ni. Ada yang akan berkata kerana Tok Guru tegur Ustaz Nasha secara terbuka maka retak menjadi belah di dalam PAS. Tetapi tahukah kita semua sudah berapa lama Tok Guru dok nasihat mereka ni supaya lupakan cerita perpaduan dengan UMNO dan beri perhatian penuh kepada usaha-usaha memperkasakan PR? Tetapi mereka terus degil, sekarang kan kita sendiri yang sakit?

Tok Guru adalah Murshidul Am kita dan sudah tentu aspek Kerajaan Perpaduan ini adalah perkara dasar yang tertakluk di bawah Majlis Syura (yang mana dipengerusikan oleh Tok Guru). Sementelah itu Presiden sendiri tidak pernah membawa perkara yang sebegini besar di dalam mesyuarat AJK PAS Pusat. Apatah lagi nak dibawa dalam mesyuarat Majlis Syura! Sebaliknya ia telah dilontarkan kepada ahli-ahli dan media secara meluas dan akhirnya menimbulkan banyak kekeliruan. Ruang yang ada semasa muktamar pun telah tidak digunakan untuk memberi penerangan sejelas-jelasnya kepada perwakilan dan pemerhati apa ”nateng” itu Kerajaan Perpaduan. Jikalau pimpinan pusat pun tak tau, pimpinan negeri dan kawasan lagilah tak tau apa! Akhirnya muktamar tamat dalam keadaan isu ini tergantung di awang-awangan.

Anak Bapa ingin menasihati kita semua supaya kembali merapatkan saf dengan sesegera yang mungkin. Apa saja isu walau nampak hebat mana sekali pun perlu dibawa berbincang (hairan pula melihat gelagat pimpinan kita kebelakangan ini yang mula menjauhi diri dari berbincang atau bersyura seperti dulu) terlebih dahulu sebelum dilontar kepada ahli-ahli, terutama isu yang melibatkan UMNO. Jika tiada kata putus dalam perbincangan ini maka elok kita campak jauh-jauh apa saja yang boleh memecah-belahkan kita walaupun kita nampak ada kebaikan kepada perkara tersebut. Bukankah kesatuan atau perpaduan kita jauh lebih penting?

Anak Bapa: Hairan betul sebab apa isu sebegini besar tak pernah dibincang dalam mesyuarat AJK PAS Pusat. Bingung sampai hari ini memikirkannya .........

Tuesday, June 16, 2009

Hidup Lagi Ke Kerajaan Perpaduan?



Anak Bapa terbaca tulisan daripada Kickdefella hari ini berhubung isu Kerajaan Perpaduan (Unity Government-UG). Anak Bapa juga membaca apa yang dilapor akhbar Mstar Online berhubung tajuk yang sama. Sehubungan dengan itu, Anak Bapa mengeluh panjang menatap berita dan rencana yang dimuatkan dalam kedua-dua media berkenaan. Kalau tak silap beberapa hari yang lepas kita mendapat "nasihat" daripada pimpinan atasan supaya menghentikan polemik berhubung isu UG ini kerana dikatakan ia tak relevan lagi. Malangnya arahan ini untuk orang bawahan saja kerana pimpinan sendiri masih dok sibuk lagi "beragenda" dengan UMNO.



Bukankah Tok Guru Nik Aziz dah cakap lupakan saja UMNO ini dan tumpukan kepada usaha memperkasakan Pakatan Rakyat? Apakah jenis ahli jamaah yang begitu degil dengan nasihat Mursyidul Am yang sangat kita sayangi? Adakah arahan beliau merupakan arahan yang mungkar atau maksiat yang menyebabkan kita tak perlu ikut? Bukankah banyak kebaikan dengan kita melupakan UMNO ini yang mula menyebabkan keretakan sesama kita? Mana lebih baik, terus 'mengurat' UMNO atau lihat sesama kita bercerai-berai? Ahli-ahli PAS tidak akan dapat menerima perbuatan kita cuba bersekongkol dengan UMNO dan percayalah mereka akan bangun menentang. Jangan anggap mandat yang kita perolehi sebagai pemimpin adalah pasport untuk bertindak sewenang-wenangnya dalam semua hal. Isu berkait dengan UMNO adalah isu "mega" bagi akar umbi PAS. Jangan ambil tindakan melulu tanpa berbincang sedalam-dalam dengan semua peringkat ahli parti apabila isu yang dihadapi ada kaitan dengan UMNO. Biarlah kita tolak kebaikan walau sebesar gunung sekali pun jika ia masih memudaratkan jamaah walau hanya sebesar busut. Ini kerana kemudaratan yang timbul akan melemah dan memporak-perandakan kita. PAS, insyAllah tidak akan tumbang kerana gempur musuh dari luar tetapi akan musnah dengan angkara diri kita sendiri.


Anak Bapa:
Jangan kata kita tak nasihat ..........




Wednesday, June 10, 2009

Jangan Kata Tak Ada Pimpinan dan Perwakilan yang Beri Amaran Tentang Bahaya UMNO Kepada PAS


Berikut adalah sedikit sedutan daripada ucapan pimpinan dan perwakilan yang berucap pada Muktamar PAS ke 55 di Shah Alam baru-baru ini:


"Rundingan sulit antara PAS dan Umno juga membimbangkan para penyokong masyarakat bukan Islam. Mereka dan ahli-ahli Kelab mulai bertanya, adakah PAS mula meninggalkan mereka dan seterusnya menjadikan Umno sebagai kawan setia kepada PAS?" ujarnya


Beliau juga berharap janganlah pihak tertentu dalam PAS melakukan sesuatu yang akan menjejaskan maruah dan imej parti hingga parti kembali kepada zaman gelap-gelita.


Dengan itu, beliau berharap barisan pimpinan dan juga akar umbi parti dan ahli kelab sentiasa dapat mempastikan PAS bergerak di atas landasan dan arah yang betul.


"Kelab Penyokong PAS ingin bergerak ke depan, dan teruskan usaha-usahanya untuk menjadikan PAS pilihan utama atau 'the only choice' bagi rakyat Malaysia," ujarnya.

Vincent Lee – Wakil Kelab Penyokong PAS


"Kita adalah penentang-penentang Umno yang tegar dan tidak akan berkompromi dengan mereka.


"Jika ada pemimpin yang berbincang dengan Umno, mereka harus ingat bahawa Umnolah yang harus ditarik kepada PAS dan bukan kita yang pergi untuk berbincang dengan mereka," tegasnya.


Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai munafik dan najis dalam perjuangan ini.


"Tolonglah jangan menjadi seperti najis dalam perjuangan," ujarnya.

Ustaz Zulkifli Ahmad – Wakil Dewan Pemuda


Pimpinan PAS diingatkan agar tidak menjalinkan hubungan dengan Umno kerana dengan berbuat demikian ia boleh membuatkan orang Melayu terus sesat kerana bagi Umno, politik suku dan agama suku dan ia bukan satu ajaran Nabi Muhammad s.a.w..


Selain itu katanya, Umno merupakan jenis spesis yang suka tikam kawan daripada belakang.
Menurut beliau, di Kelantan masyarakat Cina terlalu hormat dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana beliau melarang segala kerjasama dengan Umno sehingga menyebabkan Kelantan dapat bertahan selama 10 tahun.


Selain itu beliau berharap unsur fitnah yang sudah mula timbul dalam PAS sesama sendiri akan berakhir selepas diumumkan pimpinan baru dalam Muktamar ini.


Dalam menangani masalah fitnah dalam PAS beliau mengingatkan semua pimpinan supaya meniru cara berfikir dan tindakan Nik Aziz.


Katanya, Nik Aziz merupakan seorang pimpinan dan ulama yang betul-betul ikhlas, jujur tidak ada perasaan dendam dan tidak ramai pimpinan PAS yang mempunyai sikap seperti beliau.


Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah – Wakil Kelantan


“Kita tidak sepatutnya berfikir nak berpakat dengan UMNO. Sebaliknya kita perlu berusaha memperkasakan Pakatan Rakyat.

Ada pihak perwakilan yang kata mana ada di antara kita yang nak pergi berunding atau bersama dengan UMNO. Saya nak beritahu bahawa ketika kami di Perak dah buat keputusan sungguh tegas untuk tidak bersama UMNO dan dah putus untuk bersama DAP dan PKR, kami dihubungi oleh pimpinan tertinggi, ”Tak bolehkah kita kaji keputusan untuk bersama dengan UMNO?”.

Ada saudara-saudara! Jangan cakap tak ada. Cuma saya tak nak sebut namanya. Tapi saya nak katakan ada. Sebab itu janganlah saudara-saudara terus buat keputusan seolah-olah semua orang dalam PAS tak ada yang berfikir begitu (yakni untuk bersama dengan UMNO). Ada! Tapi saya tak layan.”

Ustaz Ahmad Awang – Naib Presiden 3


Anak Bapa: Sayang Muktamar baru-baru ini tak kuburkan terus isu Kerajaan Perpaduan ini kerana kemudiannya menyebabkan ”tiada perpaduan” sesama ahli PAS dan sesama rakan Pakatan Rakyat ...