Sunday, May 8, 2011

Isu Akhbar Utusan Malaysia


Anak Bapa pun hairan kenapa kita ini bodoh sangat. Kan kita semua tahu akhbar Utusan Malaysia (UM), atau Utusan Meloya, memang kaki temberang dulu, kini dan selamanya, dah tu kenapa pi beli dan baca?

Dalam ingatan Anak Bapa dah banyak kali kita lancarkan pemboikotan akhbar berkenaan tetapi masih ada lagi yang dok pi beli dan baca. Lepas tu marah melantun-lantun kerana katanya akhbar ini fitnah dan buat dajal kepada rakyat. Padanlah muka sendiri!

Terbaru diberitakan (terbaca dalam Malaysiakini) bahawa akhbar UM tuduh konspirasi DAP dan pemimpin agama Kristian untuk mengugat Islam sebagai agama rasmi negara dalam satu persidangan baru-baru ini dan digantikan dengan agama Kristian.

Apa punya bengong ulasan ini, Allah swt saja yang tahu. Tak payah nak pi siasat kerana memang sah bohong skala mega. Tengok pilah daripada sudut mana pun memang tak logik. Bukan semua orang DAP beragama Kristian, malah Anak Bapa yakin lebih ramai yang beragama Buddha.

Lagi pun DAP tak pernah berjuang atas agama, bagi mereka negara sekular lebih sesuai memandangkan komposisi kaum yang majmuk di negara ini. Tak apalah itu pandangan mereka dan tidak bercanggah dengan perlembagaan negara. Bersama parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat, DAP berikrar terus mendokong perlembagaan negara yang ada sekarang termasuk aspek yang menyebut Islam sebagai agama rasmi negara.

Anak Bapa dah banyak kali cakap bahawa UMNO perlu main isu kaum dan agama jika dia mahu sambung hayatnya. Mereka percaya bahawa dengan NGO dan akhbar keparat seperti UM, mereka boleh mainkan isu sensitif perkauman dan agama tanpa perlu bertanggungjawab kerana kerajaan “cintakan keharmonian kaum dan agama melalui konsep 1Malaysia” sedangkan yang buat hal adalah badan-badan bukan kerajaan seperti PERKASA dan akhbar “swasta” seperti UM.

Pada hakikatnya semua ini adalah agenda UMNO dengan pelbagai wajah. Wajah pejuang Melayu dan Islam menggunakan PERKASA dan Utusan Malaysia, sementara wajah 1Malaysia untuk memikat kaum-kaum yang lain.

Teliti semula mereka yang di belakang NGO dan akhbar ini anda akan dapati mereka adalah pimpinan dan ahli-ahli UMNO. Buruk sekali sandiwara lakonan mereka arahan Najib Altantunya ini!

UMNO sanggup buat apa saja walau pun akan membawa ketegangan kaum dan mungkin persengketaan besar antara agama di negara tercinta asalkan mereka terus kekal memerintah. Rakyat kena fikir habis-habis kerana sebarang pertelingkahan kaum atau agama tidak akan menguntungkan mana-mana rakyat. Menang jadi arang, kalah jadi abu. Satu-satu makhluk yang akan untung ialah UMNO. Fikir-fikirkan ………

Anak Bapa: Hati-hati pimpinan PR kerana kisah ini nak macam skrip Operasi Lalang dahulu. Pimpinan BN yang buat hal kelak pimpinan PR yang kena tahan ……..

Wednesday, April 20, 2011

Emel Harga RM50 Juta!


Otak pemimpin BN dah karat habis. Tak pasal-pasal dicipta benda-benda mengarut untuk cari glamour dan fulus.

Terbaru di bawah Pelan Transformasi (baca transbasi) Ekonomi (ETP), Najib akan beri percuma 1 emel kepada setiap rakyat Malaysia yang berumur lebih 18 tahun. Projek ini akan dikendalikan oleh Tricubes Bhd (yang dah hampir nak bengkrap) bernilai RM50 juta (kira macam bail-out juga nampaknya).

Anak Bapa naik hairan kenapa nak belanja sampai RM50 juta nak bagi emel kepada rakyat Malaysia sedangkan banyak emel percuma yang sedia ada yang memang canggih dan hebat seperti gmail, hotmail, yahoo dan sebagainya. Bukan setakat tu, kemudahan lain seperti instant messenger, myspace, yahoogroups, skype, blogspot, wordpress, dan segala macam bentuk komunikasi yang sangat efisyen dan efektif yang boleh digunakan secara segera dan PERCUMA!

Apa bodoh punya projek yang nak bazirkan duit rakyat di kala rakyat tersepit dengan beban kos hidup yang amat tinggi. Mungkin Najib fikir kalau dah lapar nanti boleh ambil emel ini sumbat dalam mulut nak tahan lapar.

Lagi pun berapa orang nanti yang betul-betul pakai emel ini sedangkan yang sedia ada sekarang pun banyak yang dibuka tetapi diabaikan tak lama kemudian. Malah ada yang langsung tak pernah pegang keyboard komputer atau kalau pegang pun untuk main game!

Pimpinan UMNO dan BN ini tak serik-serik dengan program membazirkan duit rakyat. Agenda mereka nak selamatkan kroni dan tambah kantung duit pilihanraya mereka kelak. Kita perlu ramai-ramai nyahkan puak-puak ini dari persada pemerintahan negara jika semua nak selamat.

Anak Bapa: Ubah sekarang, selamatkan Malaysia daripada UMNO dan BN!

Wednesday, March 23, 2011

Jijiknya Politik Malaysia


Kerajaan UMNO/BN sentiasa mendabik dada bahawa Malaysia sentiasa mendapat pujian sebagai antara negara termaju di Asia Tenggara kerana prasarananya yang hebat dan canggih. Dan sememangnya diakui bahawa kita memiliki kemudahan yang setanding dengan negara maju yang lain. Terima kasih kepada duit minyak yang disumbangkan oleh Petronas selama ini.

Tetapi kehebatan sesuatu tamadun itu bukanlah dinilai semata-mata daripada kemampuan kerajaan menyediakan kemudahan fizikal. Jika itu ukurannya tentu kerajaan Fir’aun lebih hebat kerana piramidnya yang masih tertegak sehingga hari ini merupakan antara mercu tanda ajaib dunia yang tidak ada tolok bandingnya.

Malangnya Fir’aun lebih dikenali sebagai pemerintah yang zalim dan jahat, yang berterusan mengabdi dan menindas rakyat demi memuaskan kehendak nafsunya. Keangkuhannya sehingga ke tahap mengaku sebagai tuhan yang paling tinggi adalah jenayah yang paling besar yang tergamak dilakukan oleh seorang manusia.

Anak Bapa telah banyak menulis tentang jenayah UMNO dan BN kepada rakyat Malaysia. Segala pembangunan yang mereka wujudkan di Malaysia adalah merupakan tanggungjawab mana-mana kerajaan yang memerintah tak kira UMNO atau PR atau sesiapa saja. Jika UMNO saja yang pandai membuat pembangunan maka tentulah Singapura tak ada jalan dan elektrik, Thailand tak ada bekalan air dan Amerika tak ada lapangan terbang sebab negara-negara ini tidak diperintah oleh kerajaan UMNO dan BN.

Malah pembangunan yang ada ini pun dibangunkan atas korupsi dan penyelewengan pimpinan UMNO dan BN. Skandal demi skandal yang telah dan akan didedahkan dari masa ke semasa yang jelas terang lagi bersuluh membuktikan bagaimana mereka menyeleweng ratusan ribu juta duit negara.

Revolusi rakyat sedang bertiup kencang melanda Timur Tengah dan Utara Afrika dan tsunaminya berjaya menenggelamkan diktator Mesir, Tunisia dan tidak lama lagi Yaman dan Libya dan banyak lagi. UMNO dah mula panik kerana ciri yang ada pada ledakan rakyat dan diktator ini mirip kepada suasana yang ada di Malaysia.

UMNO semakin resah kerana kuasa mereka semakin terhakis. Pelbagai helah temasuk cara kotor mereka gunakan demi menjamin kesinambungan hayat mereka. Anwar Ibrahim dilihat sebagai satu-satunya individu yang mampu membawa kebangkitan rakyat dan menyatukan parti-parti pembangkang.

Anwar perlu dihancurkan atas apa cara sekali pun. Tak cukup dengan ugutan dan kecaman, beliau diaibkan dengan kes liwat I dan II dan kini pula dengan skandal seks! UMNO tidak percaya kepada Allah swt. Jika mereka percaya tentu mereka tak akan buat apa yang sedang mereka buat.

Bagi UMNO yang penting mereka terus berkuasa, cara dan kaedahnya tidak penting. Negara dan rakyat akan terdedah kepada bahaya jika terus memberi sokongan kepada UMNO. Mereka akan lakukan APA SAJA demi kelangsungan kuasa mereka. Rakyat perlu bertindak segera dengan menurunkan mereka.

Anak Bapa: Terharu melihat keberanian rakyat Arab …….

Monday, February 21, 2011

Sama Tetapi Tidak Serupa?




Bumi Arab tengah terbakar ketika artikel ini ditulis. Fenomena yang paling memeranjatkan dan tidak terduga oleh sesiapa pun beberapa bulan lepas kini menyaksikan bagaimana rakyat Arab, tanpa ketua dan kumpulan yang mempeloporinya, bangun beramai-ramai berarak di jalan-jalan raya tanpa rasa takut dan gerun menuntut reformasi mendadak di negara masing-masing.


Dan sememangnya sudah tiba masanya masyarakat Arab yang majoritinya beragama Islam bangun membuat perubahan dalam negara masing-masing setelah begitu lama diperintah oleh diktator yang zalim dan korup, yang menjadi boneka kepada Amerika. Wajar kerana apa yang diperbuat oleh puak-puak ini selama puluhan dekad tidak langsung mengambarkan sistem keadilan Islam dalam pemerintahan dan bernegara malah membawa gambaran buruk kepada penganut agama lain betapa “buruknya” Islam dan sistem pemerintahannya.


Apa yang juga penting di sini adalah iktibar yang boleh diambil daripada apa yang telah berlaku dan sedang berlaku di sana dalam konteks pemerintahan BN di Malaysia. Ucapan Najib meminta rakyat Malaysia supaya tidak menyamakan Malaysia dengan apa yang berlaku di Mesir sebenarnya menyerlahkan kebimbangan UMNO tentang kebangkitan rakyat di jalanan.


Dan sememangnya UMNO perlu bimbang dan risau kerana apa yang mereka buat di Malaysia selama ini pun lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan para diktator di negara-negara Arab berkaitan.


Pertama, mereka dah lama memerintah, dah lebih 50 tahun. Tidak ada lagi negara berdekatan yang diperintah begitu lama oleh parti yang sama kecuali Malaysia dan Singapura. Kebiasaannya, mereka yang lama memerintah akan menjadi zalim dan korup, seperti UMNO, yang sudah terang lagi bersuluh seperti di Mesir dan Tunisia. Pembangkang didiskriminasi, ditangkap tanpa sebab, dan dihalang daripada berhimpun. Akhbar dan media dikawal penuh dan hanya menyiarkan propaganda kerajaan dan program “mencandukan” rakyat.


Jentera kerajaan seperti polis, Suruhanjaya Pilihanraya, dan mahkamah digunakan sepenuhnya untuk melindungi pemerintah dan kroni mereka. Pilihanraya dimanipulasi dengan pelbagai cara untuk memenangkan puak mereka.


Pemimpin-pemimpin pemerintah, ahli keluarga, dan kroni mereka dilimpahi pelbagai projek dan kemewahan hidup sedangkan rakyat disengsarakan dengan pengurangan subsidi dan peningkatan kos kehidupan. Keluhuran undang-undang tidak dipedulikan dan pendakwaan berpilih menjadi agenda mereka saban hari.


Pendek kata begitu banyak persamaan antara apa yang UMNO buat dengan apa yang parti Demokratik Kebangsaan (parti Hosni Mubarak) buat di Mesir dan kini rakyat Mesir bangun beramai-ramai menolak kebobrokan tersebut ke dalam Laut Merah. Persoalannya tahap mana kesabaran rakyat Malaysia melihat keangkuhan dan kekorupan UMNO?


Anak Bapa: Sabar itu ada tahapnya ………….

Sunday, February 6, 2011

Tahun Nyahkan Para Diktator


Jika ada tahun kebangkitan rakyat menyahkan pemimpin mereka yang zalim, Anak Bapa yakin tahun 2011 adalah tahunnya. Apa taknya, baru-baru ini rakyat Tunisia berarak beramai-ramai menghalau diktator Ben Ali keluar jauh daripada tanah air selepas memerintah cara kuku besi selama lebih 30 tahun.

Kini kita lihat Hosni Mubarak, Presiden Mesir, pula sedang bergelut untuk kekal memerintah walaupun hanya tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja. Jutaan rakyatnya bangun berarak di jalan-jalan raya seluruh Mesir saban hari sejak 12 hari lalu sehingga lumpuh segala aktiviti lain.

Anak Bapa yakin semua diktator yang ada terutama di Timur Tengah sedang kecut perut memikirkan nasib mereka selepas ini. Dengar cerita di Yaman, Jordan dan Syria pun dah mula ada demonstrasi membantah pemerintahan kuku besi di negara masing-masing.

Jika “momentum” ni dah ada elok kita teruskan dengan “bertakbiratul ihram di Tunisia, rukuk di Mesir, dan beri salam di Saudi”. Puak-puak pemerintah mereka dah memerintah terlalu lama, buat negara macam mak bapa mereka punya, rakus dan kejam dengan rakyat, demokrasi di”pimpin” untuk sesuaikan dengan selera mereka, dan rela terus menerus menjadi boneka Amerika.

Rata-rata pemimpin ini sudah memerintah lebih 3 dekad. Jika mereka mati atas singgahsana sekali pun maka anak cucu mereka akan dipastikan mewarisi pemerintahan dan kekayaan yang tak masuk akal nilainya. Hosni Mubarak dikatakan berhasrat melantik anaknya Gamal menggantikan beliau kelak. Dengan kekayaan dianggarkan sekitar US$70 bilion (RM213 bilion), beliau jauh mengatasi Bill Gates.

Menurut seorang profesor sains politik Universiti Princeton, Amaney Jamal, anggaran kekayaan Hosni adalah munasabah kerana rata-rata pemimpin rantau Teluk memiliki kekayaan mencecah AS$40 bilion (RM122 bilion) atau lebih besar.

Satu yang pasti ialah ciri-ciri pemerintahan para diktator ini hampir sama. Pertama, mereka ini anak kesayangan Amerika dan dibenci rakyat. Kedua, pemerintahan mereka zalim dan tidak demokratik. Jika pun ada pilihanraya (seperti Mesir) ia umpama sandiwara kerana natijahnya semua dah maklum sapa akan menang. Seperkara lagi mereka ini tahi rasuah, mengumpul harta secara haram sehingga mencapai jumlah nilai yang hampir tak masuk akal.

Cuma satu harapan Anak Bapa supaya rakyat yang berkaitan jangan berhenti membantah selagi tidak betul-betul wujud kerajaan yang bersih dan demokratik di negara masing-masing. Amerika akan cuba mensabotaj dengan mengenengahkan pemimpin yang “sederhana” supaya rakyat akan sejuk sedangkan itu hanyalah langkah menganti seorang diktator dengan bakal diktator yang lain.

Anak Bapa: Jika diamati ciri-ciri diktator di atas, banyak yang ada pada UMNO dan BN. Kecut perut juga nanti ……….