Sunday, January 4, 2009

Sekali-Sekala Kena Tengok Juga Diri Sendiri



Sahlah calon PAS bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu ialah sahabat saya YB Mohd Abd Wahid Endut, ADUN Wakaf Mempelam. Saya juga kenal sangat anaknya yang belajar di Jordan sewaktu saya pi “berehat” selama setahun di sana dahulu. Saya tak ada apa nak komen sekadar mengucapkan syabas kepada pimpinan kerana berjaya mengenegahkan seorang calon yang bersih dan berwibawa untuk pilihanraya ini. Semoga dengan pemilihan ini akan membawa kebaikan di dalam perjuangan kita dan doa saya semoga semua pihak di dalam Pakatan Rakyat akan bekerja bertungkus lumus bagi memenangkan calon kita.

Apa yang ingin saya coretkan di sini adalah lebih kepada muhasabah sesama kita. Maklumlah kita ni mana ada yang maksum (walaupun kebelakangan ini ada pulak orang yang nak mengaku maksum, sampai nak tegur pun tak boleh …), jadi elok juga kita sama-sama merenung, belajar dan mengambil pengiktibaran. Saya dengan orang-orang Terengganu ni bukanlah jauh sangat. Malah saya pernah duduk di sana dekat setahun semasa PAS memerintah dulu. Sepanjang pengamatan saya (mungkin juga saya silap …), saya lihat gelagat sesetengah pimpinan di sana seolah-olah mereka ni hidup di alam mereka sendiri (syok sendiri?). Pandangan dan kehendak akar umbi sering mereka pinggirkan. Pentadbiran parti sabankali diabaikan. Perkara penting, sebagai contoh, membentuk kepimpinan pelapis telah tidak ditangani dengan baik menyebabkan ada kelopongan dari aspek kesinambungan kepimpinan. Justeru itu kita dapati mereka ketandusan pemimpin pelapis yang dinamik dan berwibawa, tidak seperti Kelantan. Apabila diminta menyenaraikan calon-calon yang lebih muda , “fresh” dan berketrampilan, mereka terkial-kial mencarinya. Balik-balik muka tu juga yang disenaraikan…. Bukanlah kita nak merendah-rendahkan sesiapa, tetapi sebagai sebuah negeri yang antara “terkuat” PAS, “you can do better”. Jikalau dikehendaki seorang calon yang hebat, tentu PAS Terengganu akan berupaya mengemukakan “at least” 10 calon “power” punya.

Sebagaimana yang saya sebutkan di atas, saya mempunyai begitu ramai kenalan PAS di Terengganu, samada pemimpin pertengahan dan ahli akar umbi. Mereka merayu-rayu kepada perubahan. Mereka begitu mendambakan kepimpinan baru yang lebih berwawasan. Orang-orang lama kena mula dengar dan bagi peluang pemimpin pelapis untuk menerajui Terengganu. Jasa pemimpin ahli takkan lupa. Almarhum Ustaz Fazdil, walaupun telah lama meninggalkan kita, namanya tetap disebut dan dikenang. Lagi pun perjuangan kita bukan untuk mendapatkan pujian manusia. Kalau orang tak puji pun tak apa asalkan kita telah melaksanakan tanggungjawab kita terhadap Allah swt dan Allah reda dengan kita. Tentulah jika kita dapat kedua-dua lagi baik. Jangan pula cakap berjuang lillahi taala tetapi apabila ada orang lebih layak, dia nak terus juga bergayut dengan jawatan yang ada. Silap-silap cari jalan pula nak menyekat orang yang lebih layak daripada menjadi pemimpin. Cara ni cara Islam ke? Cuba fikir-fikirkan ……

Anak Bapa: Sayang Terengganu, ahli PAS ramai pemimpin kurang ………

Sunday, December 28, 2008

Ucapan Tahun Baru Hijrah 1430 dan Masehi 2009



Sekali lagi kita diberi nyawa tambahan oleh Allah swt untuk sama-sama meraikan tahun baru Hijrah 1430 dan juga tahun baru Masehi 2009. Syukur kita kepadaNya kerana kita masih dapat lagi bersukaria meraikan kedatangan tahun baru ini bersama teman dan taulan. Sebagaimana biasa, apabila menjelang tahun baru semua pihak akan tampil dengan pelbagai resolusi yang biasanya akan pudar beberapa minggu kemudian. Sesetengah resolusi yang kita tatapi di dada-dada akhbar kelihatan begitu remeh, ada yang lucu dan tak kurang juga yang tidak senonoh. Bagi kita orang-orang Islam, sesuai dengan kehidupan kita sebagai hamba Allah, maka resolusi kita mestilah yang boleh mendekatkan diri kita kepada Maha Pencipta, menjadikan kita lebih tawaduk dan bersyukur terhadap segala nikmat yang diberi. Sehubungan dengan itu, hijrah yang dilalui oleh Rasulullah saw wajar kita ambil pengiktibaran dengan berazam untuk berhijrah kepada keadaan kehidupan yang lebih baik di tahun-tahun akan datang. Ini meliputi segala aspek kehidupan termasuk sikap, perangai, akhlak diri, ekonomi, keilmuan, ibadat, pergaulan, isteri (tambah?) dan lain-lain lagi yang makruf dan berkebajikan. Satu lagi resolusi tambahan yang saya amat idamkan ialah nak pastikan blog saya akan dikemaskini dengan lebih kerap, mungkin 2 kali seminggu, mulai Januari 2009. Bagaimana dengan resolusi anda?

Monday, December 8, 2008

The Greatest Sacrifice Ever



Today, Muslims all over the world celebrate one of the holiest days in Islamic calendar namely Eidul Adha or the Day of the Pilgrimage or Sacrifice. This celebration dated back to the time of Prophet Abraham (peace be upon him). In fact, most of the rituals carried out by Muslims during pilgrimage in Mecca were one way or another attributed to the conducts of Abraham and his family then. Therefore, it is not surprising that while today we remember the Day of Pilgrimage or Sacrifice, we cannot forget the kind of sacrifice this revered prophet and his family has offered in keeping touch with God’s command. I am inclined to believe that their sacrifices were the greatest and noblest ever made by mortal creatures and as such require special mention.

Saidatina Hajar, the mother of Prophet Ishmael (peace be upon him), is the second wife of Prophet Abraham. Several months after Prophet Ishmael was born, Prophet Abraham was instructed to take his family to a barren desert which is known today as Mecca. Just imagine after arriving there and only to be asked to leave the wife and his beloved son (mind you that Prophet Ibrahim got a son when he is very old) behind in the middle of nowhere and with very little provisions. True enough, after Prophet Ibrahim departure, Hajar ran into trouble due to inadequacy of water and food supplies. Now with no help available in the vicinity, she has to scout around the parched land and under the blazing sun looking for water. Her perseverance paid off when God bestowed water spring underneath the footstep of Prophet Ishmael. The water spring known as Zamzam has never dried until today.

Hajar and Prophet Ishmael not only have to endure very challenging live in the middle of a desert but they have to do it without the presence of Prophet Abraham. Matters got worse when Prophet Abraham arrives several years later (when Prophet Ishmael has just reached puberty) with another mind-boggling mission, namely to sacrifice Prophet Ishmael. Now, everybody with the right frame of mind will be asking what kind of father Prophet Abraham is, a person who left his family in the middle of nowhere and only came to visit them years later with the intention to sacrifice his only son! And to make the story sounds stranger, the wife and the son willingly submit to his request simply because they sincerely believe it is God’s command. I wonder if this kind of family exists in today’s world, a family which is committed and united in their belief in God and a family which was complete in their submission to God.

I can go on and on espousing more stories on the amazing sacrifices undertaken by these noble prophets. However, suffice at this juncture for us to ponder upon these few brilliant examples so that we may learn something from them. Firstly, their unwavering commitment to their faith is second to none. Together as a family, they are ever willing to do anything to please God even to the extent of sacrificing their most beloved son. Even the son has fulfilled his end of the bargain by voluntarily offering himself for sacrifice. Secondly, they never give up hope in pursuit of God’s pleasure. Nothing in this world can either stop or entice them into forgetting the God’s command. Such are their collective sacrifices that can overwhelm any God-fearing person or even any decent human being for that matter. May be it is about time we embody some of their sacrifices into our live as well.



Anak Bapa: Story of this sort has never failed to amaze me despite me reading again and again. It is really inspirational to say the least.

Wednesday, November 19, 2008

Negeri China dan Kelembapan Ekonomi



Ketika warkah ini ditulis di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzen sebelum bertolak balik ke Malaysia, hati masih tertanya-tanya apa berita dan ulasan yang nak dimuatkan di dalam blog kali ini. Ini memandangkan tak ada isu besar di sini kecuali suasana yang tenang dan mengasyikan, dengan rakyatnya yang rajin dan peramah bebas ke sana sini dengan relaks seolah-olah macam tak ada masaalah satu apa pun pada mereka sedangkan negara China adalah negara yang paling padat penduduk di dalam dunia di sekitar 1.3 bilion jumlahnya. Kemungkinan besar juga sebab saya tak boleh bertutur bahasa Mandarin atau membaca akhbar Cina menyebabkan skop pengetahuan saya tentang apa yang berlaku di sini juga agak terhad. Tetapi berdasarkan pemerhatian saya selama beberapa hari di sini saya yakin mereka agak tenang menghadapi kehidupan seharian walaupun ekonomi dunia sedang terancam.

Ini bukan kali pertama saya berkunjung ke China, mungkin dah 8 atau 9 kali. Apa yang saya perhatikan di Shenzen (dan juga di kebanyakan tempat di China) perkembangannya samada dari segi ekonomi atau pembangunan terus berjalan dengan teratur dan pesat tetapi budaya dan tatacara kehidupan mereka tetap terpelihara. Jikalau dulu tak ramai yang boleh bertutur bahasa Inggeris, kini pun ramai yang tak boleh bertutur Inggeris. Ini bukan bermakna mereka menganggap bahasa asing tu tak penting tetapi kebanggaan terhadap bahasa ibunda jauh mengatasi segala keperluan lain. Kemesraan mereka di dalam melayan tetamu dan pergaulan tetap hebat macam dulu walaupun kini status ekonomi mereka jauh meningkat. Ini berbeda daripada keadaan penduduk Hong Kong (yang saya lawati juga) yang nampak sangat tertekan di dalam mengejar kehidupan seharian. Kemungkinan besar penduduk Hong Kong telah terlalu lama hidup di bawah penjajahan Inggeris dan dengan itu terbawa-bawa dengan gaya kehidupan barat. Malah setiap kali datang ke China saya lebih gemar tinggal di Shenzen dan berulang alik ke Hong Kong menaiki keretapi (sekitar 1 jam perjalanan) berbanding tinggal di Hong Kong. Hotel dan makanan yang berpatutan di Shenzen dan layanan mesra penduduknya menjadikan kehidupan lebih selesa.

Satu lagi fenomena yang menarik di Shenzen ialah betapa ramai penduduk Islam yang boleh ditemui di sini. Malah restoran Piramid yang sering saya kunjungi dimiliki seorang Arab Mesir yang beristerikan rakyat tempatan. Satu lagi aspek yang saya amat kagumi tentang rakyat China di Shenzen (dan juga di tempat lain di China) ialah tiadanya prejudis terhadap orang-orang Islam. Kali pertama ketika saya kunjungi China pada tahun 1994 saya dah mula perasaan perkara ini. Acapkali saya minta nak bersolat atau makan mereka akan bersegera menyediakan tempat solat dan membawa ke restoran Islam. Malah pernah pada satu ketika apabila mereka lihat semacam ada keraguan pada diri saya samada makanan yang dihidangkan itu halal atau tidak, mereka akan bawa saya ke dapur restoran untuk diperkenalkan pada tukang masak. Di situ saya boleh uji pengetahuan tukang masak tentang halal atau tidak masakannya. Selepas 14 tahun berlalu dan peristiwa 9/11, saya perhatikan sikap mereka masih tetap sama. Layanan mereka kepada orang-orang Islam amat mengharukan sekali. Alangkah baiknya jika keadaan kita di Malaysia pun sehebat ini! Harapan saya semoga mereka akan terus begini, tidak tercalar oleh suasana ekonomi yang kelihatan semakin hari semakin buruk.

Anak Bapa: Tak pernah jemu melawat China malah jika diberi pilihan melawat Eropah atau China, saya tetap pilih China ……..

Sunday, November 9, 2008

"PAS Untuk Semua" atau "PAS Untuk Melayu"?

Nampaknya isu perkauman masih menjadi isu panas di negara kita. Tiada hari yang berlalu yang bebas daripada perbincangan atau polemik perkauman. Tiada hari berlalu tanpa kita dikejutkan oleh kenyataan dan ulasan yang berbau perkauman samada di dada-dada akhbar maupun media elektronik. Pendapat atau pandangan yang diketengahkan sering dibayangi unsur perbedaan ras dan warna kulit. Sesetengah pihak tanpa segan silu terus menerus menghina orang lain semata-mata kerana perbedaan keturunan atau kepercayaan orang berkenaan. Pendekata kehidupan kita rakyat Malaysia sentiasa bergelumang dengan prejudis kaum dan agama. Hubungan sesama kita sentiasa diselimuti kebimbangan kemungkinan konflik antara kaum atau agama.

Hakikatnya, fenomena ini sudah lama berlaku di negara kita. Malahan, ia menjadi senjata ampuh sesetengah pihak di dalam memastikan dominasi politik mereka berterusan. Walaupun hakikat ini dimaklumi ramai, tetapi ia tidak menghalang sesetengah pemimpin, termasuk pimpinan gerakan Islam, untuk sama-sama terbabit di dalam kancah yang membinasakan ini.

Kita semua sedia maklum bahawa UMNO dan kuncu-kuncunya di dalam BN telah sekian lama menggunakan isu agama dan kaum di dalam strategi “pecah dan perintah” mereka. UMNO ditugaskan menjaga orang Melayu, MCA orang Cina dan MIC orang India. Mereka hanya perlu mengapi-apikan semangat perkauman bangsa masing-masing apabila tampuk kekuasaan mereka terancam, untuk memastikan kaum masing-masing segera berkumpul untuk berlindung di bawah “paying keselamatan” mereka. Pendekatan ini telah seringkali digunakan oleh BN (dahulunya Perikatan) untuk menjaga kepentingan politik mereka. Ini termasuk semasa peristiwa 13 Mei, sebelum Operasi Lalang, di dalam pemberian bantuan dan kebajikan, di dalam pengisian jawatan-jawatan penting kerajaan dan syarikat-syarikat GLC dan banyak lagi termasuk ketika berlangsung PRU 12 yang baru lalu.

Walaubagaimanapun, 8 Mac 2008 mencatatkan sejarah keyakinan baru Rakyat Malaysia bahawa taktik kotor BN selama ini bukan sebenarnya untuk kesejahteraan rakyat tetapi lebih kepada usaha penerusan legasi pemerintahan tidak bermoral UMNO dan BN bertujuan menjaga kroni dan perut suku-sakat mereka. Rakyat, telah dengan berani memutuskan bahawa “enough is enough”, dan serentak dengan perisytiharan ini telah memutuskan untuk “memberi” 5 negeri kepada pembangkang (sebenamya 6 jika kita kira Wilayah Persekutuan) dan mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen Malaysia. Keputusan ini adalah satu keputusan yang amat berani, yang mungkin akan berlaku sekali saja di sepanjang hayat kita. Keputusan ini akan membawa negara ke era baru sistem berpolitik negara, di mana sistem 2 parti menjadi pilihan rakyat sebagaimana yang terdapat di United Kingdom (Parti Buruh dan Parti Konservatif) dan Amerika (Parti Demokrat dan Parti Republikan). Jika BN (Barisan Nasional) yang memerintah maka PR (Pakatan Rakyat) akan menjadi pembangkang yang kuat, dan sebaliknya jika PR menjadi pemerintah maka BN akan menjadi pembangkang yang kuat. Adalah diyakini bahwa pendekatan politik begini akan membantu memulihkan sistem demokrasi negara di samping memperbaiki hubungan antara kaum kerana rakyat kini lebih selesa dengan parti berbilang bangsa. Walaupun BN mendakwa mereka juga parti induk yang berbilang bangsa tetapi hakikatnya parti-parti komponen di dalamnya masing-masing tetap berasaskan perkauman dan lama kelamaan akan ditolak rakyat.

Justeru itu, PR mempunyai masa depan yang gemilang jika ditangani dengan betul. Walaupun ada kelemahan di sana sini, parti komponen PR tediri daripada parti-parti berbilang bangsa dan keturunan. Ini adalah satu permulaan yang baik dan menarik. Memang benar parti-parti komponen PR mempunyai ideologi yang amat berbeda antara mereka, tetapi persamaan mereka juga banyak yang boleh dikongsi bersama. Aspek keadilan sejagat, anti rasuah, keadilan sosial, anti kezaliman dan lain-lain merupakan asas kepada persamaan yang boleh mengikat kita bersama bagi berkhidmat dengan lebih cemerlang kepada rakyat. Pimpinan dan ahli-ahli PR tidak boleh “take things for granted” dan mengambil sikap sambil lewa di dalam usaha pengukuhan hubungan sesama mereka kerana pihak lawan tidak jemu-jemu mencari jalan untuk memecahkan perpaduan parti-parti komponen PR. Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah isu perkauman dan agama, yang samada kita suka atau tidak akan sentiasa menjadi senjata BN untuk memecahbelahkan PR.

PAS sebagai parti komponen yang penting di dalam PR perlu lebih ke hadapan di dalam menangani isu perkauman ini. Apatah lagi PAS adalah parti Islam yang terang-terang menolak sebarang bentuk perkauman dan pemaksaan di dalam beragama. Pendekatan “PAS for All” merupakan langkah bijak untuk kita menjuarai semangat muhibbah sesama kita. Kita semua maklum bahawa pendekatan ini bukan bermakna kita berkompromi dasar perjuangan kita atau akidah kepercayaan kita tetapi Islam yang kita bawa adalah satu agama yang pernah memerintah tiga suku dunia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama. Kejayaan pimpinan Islam dahulu di dalam pemerintahan mereka membuktikan bahawa Islam adalah jawapan kepada kemelut perkauman hari ini. Pemimpin PAS hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak di dalam perangkap perkauman yang di bawa oleh UMNO dan BN. Sebarang kenyataan dan tindakan perlulah dibuat berasaskan keadilan Islam dan bukan kerana Melayunya seseorang. Bukankah kita selalu berkata jikalau Islam kita kuat bukan saja Melayu akan selamat, malah Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain turut akan selamat. Jika itu keyakinan kita selama ini, kenapa pula ada orang kini yang percaya Melayu kena kuat dulu baru Islam akan jadi kuat?

Anak Bapa: Jika pemimpin PAS masih gagal keluar daripada kepompong nasionalis Melayu, orang-orang Melayu akan terpaksa memilih antara PAS dan UMNO. Di kala Islam bukan lagi menjadi kriteria utama, cuba teka parti mana akan dipilih oleh orang-orang Melayu ketika itu. Juga di kala itu jangan cuba menagih simpati orang-orang bukan Melayu kerana mereka sudah berkerat arang dengan PAS!!!!!!!!!