Wednesday, June 10, 2009

Jangan Kata Tak Ada Pimpinan dan Perwakilan yang Beri Amaran Tentang Bahaya UMNO Kepada PAS


Berikut adalah sedikit sedutan daripada ucapan pimpinan dan perwakilan yang berucap pada Muktamar PAS ke 55 di Shah Alam baru-baru ini:


"Rundingan sulit antara PAS dan Umno juga membimbangkan para penyokong masyarakat bukan Islam. Mereka dan ahli-ahli Kelab mulai bertanya, adakah PAS mula meninggalkan mereka dan seterusnya menjadikan Umno sebagai kawan setia kepada PAS?" ujarnya


Beliau juga berharap janganlah pihak tertentu dalam PAS melakukan sesuatu yang akan menjejaskan maruah dan imej parti hingga parti kembali kepada zaman gelap-gelita.


Dengan itu, beliau berharap barisan pimpinan dan juga akar umbi parti dan ahli kelab sentiasa dapat mempastikan PAS bergerak di atas landasan dan arah yang betul.


"Kelab Penyokong PAS ingin bergerak ke depan, dan teruskan usaha-usahanya untuk menjadikan PAS pilihan utama atau 'the only choice' bagi rakyat Malaysia," ujarnya.

Vincent Lee – Wakil Kelab Penyokong PAS


"Kita adalah penentang-penentang Umno yang tegar dan tidak akan berkompromi dengan mereka.


"Jika ada pemimpin yang berbincang dengan Umno, mereka harus ingat bahawa Umnolah yang harus ditarik kepada PAS dan bukan kita yang pergi untuk berbincang dengan mereka," tegasnya.


Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai munafik dan najis dalam perjuangan ini.


"Tolonglah jangan menjadi seperti najis dalam perjuangan," ujarnya.

Ustaz Zulkifli Ahmad – Wakil Dewan Pemuda


Pimpinan PAS diingatkan agar tidak menjalinkan hubungan dengan Umno kerana dengan berbuat demikian ia boleh membuatkan orang Melayu terus sesat kerana bagi Umno, politik suku dan agama suku dan ia bukan satu ajaran Nabi Muhammad s.a.w..


Selain itu katanya, Umno merupakan jenis spesis yang suka tikam kawan daripada belakang.
Menurut beliau, di Kelantan masyarakat Cina terlalu hormat dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana beliau melarang segala kerjasama dengan Umno sehingga menyebabkan Kelantan dapat bertahan selama 10 tahun.


Selain itu beliau berharap unsur fitnah yang sudah mula timbul dalam PAS sesama sendiri akan berakhir selepas diumumkan pimpinan baru dalam Muktamar ini.


Dalam menangani masalah fitnah dalam PAS beliau mengingatkan semua pimpinan supaya meniru cara berfikir dan tindakan Nik Aziz.


Katanya, Nik Aziz merupakan seorang pimpinan dan ulama yang betul-betul ikhlas, jujur tidak ada perasaan dendam dan tidak ramai pimpinan PAS yang mempunyai sikap seperti beliau.


Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah – Wakil Kelantan


“Kita tidak sepatutnya berfikir nak berpakat dengan UMNO. Sebaliknya kita perlu berusaha memperkasakan Pakatan Rakyat.

Ada pihak perwakilan yang kata mana ada di antara kita yang nak pergi berunding atau bersama dengan UMNO. Saya nak beritahu bahawa ketika kami di Perak dah buat keputusan sungguh tegas untuk tidak bersama UMNO dan dah putus untuk bersama DAP dan PKR, kami dihubungi oleh pimpinan tertinggi, ”Tak bolehkah kita kaji keputusan untuk bersama dengan UMNO?”.

Ada saudara-saudara! Jangan cakap tak ada. Cuma saya tak nak sebut namanya. Tapi saya nak katakan ada. Sebab itu janganlah saudara-saudara terus buat keputusan seolah-olah semua orang dalam PAS tak ada yang berfikir begitu (yakni untuk bersama dengan UMNO). Ada! Tapi saya tak layan.”

Ustaz Ahmad Awang – Naib Presiden 3


Anak Bapa: Sayang Muktamar baru-baru ini tak kuburkan terus isu Kerajaan Perpaduan ini kerana kemudiannya menyebabkan ”tiada perpaduan” sesama ahli PAS dan sesama rakan Pakatan Rakyat ...

Thursday, June 4, 2009

Ibu Kepada Segala Pemilihan


Anak Bapa teringat kepada arwah Saddam Hussein, mantan Presiden Iraq ketika berhadapan dengan serangan daripada Amerika tidak lama dulu telah mengisytiharkan “the mother of all battles” yakni “ibu kepada segala peperangan” terhadap peperangan yang bakal dihadapinya. Mungkin pada firasatnya ia merupakan peperangan yang mega besar dan yang akan menentukan hidup mati dirinya sendiri dan negara Iraq. Dan sememangnya telahan mantan Presiden berkenaan hampir tepat dan beliau akhirnya benar-benar terkorban.

Sementara itu lagi 2 hari, para perwakilan PAS juga berkemungkinan akan menghadapi “the mother of all elections” yakni “ibu kepada segala pemilihan” apabila mereka terpaksa memilih barisan kepimpinan tertinggi PAS yang baru di dalam suasana politik negara yang amat mencabar. Mungkinkah ini akan tercatat di dalam sejarah sebagai “ibu kepada segala pemilihan” bagi PAS? Bunyinya agak dramatik dan mendebarkan tetapi hakikatnya kelihatan begitu. Berdasarkan kepada kokokan para bloggers dan media perdana, Anak Bapa dapat rasakan arus bawah (undercurrent) yang kuat dan deras sedang memukul kematangan berfikir ahli dan para perwakilan parti. Apa sebenarnya isu yang membuatkan pemilihan ini begitu bermakna dan sengit sekali? Betulkah kerana ada individu tertentu yang begitu bernafsu besar nak jadi pemimpin? Mungkinkah sebab PAS yang dah jadi parti arus perdana dan kini berstatus “pemerintah” menyebabkan ramai yang dah mula celik mata dan nampak jawatan tinggi-tinggi? Andaian-andaian ini perlukan analisa yang tepat, tumpuan kepada punca sebenar pertarungan dan bukan gejala-gejala sampingan yang sengajakan ditimbulkan untuk mengalih perhatian kepada punca sebenar.

Pertembungan ini bukanlah kerana isu konflik antara golongan Ulama dan Profesional sebagaimana yang digembar-gemburkan ramai sebab ada golongan ulama (Tok Guru Nik Aziz, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Abd Ghani Abd Rahman, Ustaz Azizan Abd Razak dan sebagainya) yang menyokong Husam dan ada golongan professional (Dr. Hasan Mohd Ali, Mustaffa Ali dan sebagainya) yang menyokong Nasha. Ia juga bukan kerana isu politik wang di kalangan kepimpinan walaupun pada satu peringkat Ketua Dewan Ulama sendiri yang membuat dakwaan tersebut (kemudian mengakui bahawa beliau hanya mendengar daripada mulut orang lain). Ia juga bukan kerana ada golongan dalam PAS yang nak menjadikan Anwar Ibrahim sebagai idola dan tempat menyerahkan walak mereka (walaupun Dr. Harun Din sendiri pernah mencadangkan Anwar Ibrahim sebagai ketua kepada gabungan PAS-PKR tanpa perbincangan Majlis Syura – lihat Siasah keluaran 28 Okt 2005). Ia juga bukan kerana tahap walak (kesetiaan) ahli dan pemimpin tertentu telah menurun (walaupun antara pemimpin yang dimaksudkan telah 30 tahun berjuang di dalam PAS dan ada yang dah beberapa kali merengkuk di bawah ISA).

Semua cerita di atas adalah diistilahkan sebagai “red herring” yakni isu yang yang sengaja ditimbulkan bertujuan untuk mengalih perhatian orang ramai terhadap isu sebenar. Golongan yang melakukan ini semua amat bimbang jikalau isu atau punca sebenar diketahui ramai akan menyebabkan kepayahan yang amat sangat kepada agenda mereka. Saudara YB Khalid Abd Samad telah menghuraikan dengan amat tepat dan terperinci punca sebenar pertarungan sengit pemilihan kepimpinan tertinggi PAS kali ini. Anak Bapa merasakan tak perlu diulangi ulasan beliau. Cukup dengan anda semua membaca sendiri tulisan beliau “Asas Pemilihan”. Cuma apa yang Anak Bapa nak sebut di sini ialah kita kini berada pada satu persimpangan ke Putrajaya. Simpangnya banyak tetapi 2 saja yang praktikal yang boleh kita pertimbangkan. Satu dengan bersama UMNO dan lagi satu bersama Pakatan Rakyat (bersendirian tu boleh tetapi tidak praktikal kecuali nak kekal jadi pembangkang untuk sekian lama).

Jika kita pilih untuk bergabung (atau apa saja hubungan) dengan UMNO, kita insyAllah boleh sampai ke Putrajaya dan mungkin ada beberapa orang pimpinan kita akan menjadi menteri. Kita akan bersama UMNO/BN memerintah negara dan beberapa negeri. Satu yang pasti, kita akan kehilangan sabahagian besar penyokong bukan Melayu (malah juga penyokong Melayu) yang tak kan berjaya kita kutip kembali kemudian di dalam pendekatan ini dan akan berterusan bergantung (yakni jadi pecacai UMNO) untuk sekian lama disebabkan kita tiada kekuatan langsung jika kita meninggalkan BN. Satu lagi kemungkinan besar yang akan berlaku ialah penghijrahan beramai-ramai ahli kita keluar daripada PAS lantas melumpuhkan terus parti tersayang.

Bagi pendekatan kedua pula yakni terus bersama Pakatan Rakyat (seperti yang diputuskan dalam muktamar tahun lepas) kita mungkin akan menghadapi kepayahan di dalam beberapa perkara dasar apabila berbincang dengan DAP dan PKR (dengan UMNO pun belum tentu senang) tetapi persahabatan ini akan berterusan kerana masing-masing amat perlu memerlukan antara satu sama lain. Kemungkinan sampai ke Putrajaya pun agak lambat. Tetapi satu perkara yang pasti ialah kita tidak akan kehilangan sokongan bukan Melayu malah mungkin akan bertambah lagi dengan syarat kita terus bekerja dengan rajin dan ikhlas. Parti kita akan bertambah mantap kerana tiada yang akan meninggalkan parti kecuali dua tiga kerat yang perangai macam Nakhaie yang hadap sangat nak peluk cium UMNO. Fikir-fikirkan mana pilihan yang terbaik ……..

Anak Bapa: Dah nampak jelas lama dah sapa pemimpin yang kelas dan berwibawa untuk jamaah …….

Saturday, May 30, 2009

Betulkah Kesetiaan Ahli-Ahli PAS Semakin Merosot?


Anak Bapa membaca dengan penuh kerisauan kenyataan Dr. Haron Din di dalam akhbar Sinar Harian hari ini. Antara katanya ialah “tahap walak (kesetiaan) ahli-ahli PAS kepada Presiden parti semakin berkurangan kerana lebih tertumpu kepada pemimpin lain dalam memperjuangkan agenda mereka.”

Anak Bapa tak tahu apa dah kena dengan pemimpin kita bertaraf ‘ulama’ ini kerana sejak kebelakangan ini asyik dok tuduh ahli-ahli sendiri macam-macam. Mula-mula Ustaz Nik Abduh menuduh penasihat-penasihat ayahnya (Tok Guru Nik Aziz) telah mempengaruhi ayahnya dengan pelbagai idea yang boleh merosakkan parti dan menambah mereka ini sebagai sesat. Kemudian diikuti pula oleh Ustaz Mohd. Daud Iraqi, mantan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dengan tuduhan bahawa ada calon-calon PAS yang akan bertanding di dalam muktamar kali ini yang mengamalkan politik wang. Apa yang anehnya apabila kedua-duanya diminta mengemukakan bukti terus ‘surrender’ kerana tak ada bukti. Jika begitu kenapa buat tuduhan yang begitu mengaibkan kepada saudara seperjuangan jika tak ada bukti. Kita kalau dah taraf ‘ulama’ kenalah jaga segala pertuturan dan perbuatan kita kerana ia menjadi perhatian dan perbualan umum, tambah lagi menjadi pemimpin kepada parti Islam. Saya yakin mereka sangat arif tentang hukum dalam Islam mengenai tuduhan palsu atau fitnah.

Hari ini pula kita didedahkan dengan satu lagi dakwaan yang amat serius yang datangnya daripada antara pemimpin tertinggi parti yakni Timbalan Mursyidul Am sendiri. Jika tuduhan ini betul, sebagaimana biasa, perlu dibawa segera bukti-bukti kukuh kerana ia amat merbahaya dan boleh membarah di dalam parti jikalau dibiarkan. Tetapi jika beliau gagal tentulah amat malang sekali kerana sekali lagi ‘ulama’ di dalam parti kita membuat tuduhan membuta tuli terhadap saudara seperjuangan.

Anak Bapa pun tak faham dengan isu walak ini walaupun dah lebih suku abad di dalam PAS. Adakah kerana berbeda pandangan atau mengkritik pemimpin itu dah dianggap walak telah kurang? Jika begitu tentulah tidak walak sahabat Nabi yang menghunus pedang di hadapan Saidina Umar ra untuk membetulkannya jika Khalifah membuat kesalahan. Adakah kurangnya walak para sahabat Nabi yang tidak bersetuju dengan teknik peperangan Nabi ketika Badar dan Uhud? Pendek kata mungkin di zaman ini kita kena wujudkan “walakmeter” untuk menyukat walak seseorang. Sebagaimana juga “thermometer” untuk menyukat suhu dan juga “altimeter” untuk menyukat ketinggian, adalah diharap “walakmeter” dapat digunakan untuk menyukat walak seseorang dan sekali gus menyelesaikan pertikaian yang telah kita polemikkan sejak sekian lama.

Buka tujuan Anak Bapa nak buat onar kepada sesiapa, cuma ingin mengingatkan kita bahawa semua pihak harus berhati-hati di dalam membuat kenyataan umum lebih-lebih lagi jika kita berstatus pemimpin dan ‘ulama’. Jikalau pun kita nak calon kita menang, biarlah berkempen dengan cara yang positif dan mengikut lunas-lunas Islam. Walak yang macamana lagi yang kita nak. Pemimpin yang bertanding jawatan-jawatan tertinggi parti saya perhatikan bukan kecik anak punya orang. Mereka dah lama di dalam parti dan telah membuktikan pengorbanan mereka samada dengan harta, tenaga dan Anak Bapa yakin malah dengan nyawa mereka sekali pun. Mereka mempunyai keistimewaan masing-masing dan telah membuktikan bagaimana mereka dapat membina jamaah dengan kepandaian masing-masing. Anak Bapa yakin jika diberi peluang, sebagaimana Ir. Nizar telah buktikan di Perak, mereka berupaya memberi lebih kebaikan kepada PAS. Janganlah isu walak ini disalahgunakan untuk menghalang orang-orang tertentu daripada menang di dalam pemilihan kelak. Jika benar ada yang tak walak, sila kemukan bukti siapa dia dan bawa ke muka pengadilan parti. “Sweeping statement” bukan saja akan merosakkan orang yang dituduh malah lambat laun akan merosakkan orang yang menuduh.

Anak Bapa: Setakat pemerhatian saya selama ini tak ada pemimpin tertinggi parti yang dok langgar arahan parti. Jika ada tolong betulkan saya dengan menyebut secara terperinci siapa orangnya dan apa kesalahannya. Jika tiada, tok sah lagi dok kata ada pimpinan yang tak walak kepada Presiden.

Satu lagi yang memeningkan kepala saya ialah keghairahan Dr. Haron Din mendedahkan angka pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden sedangkan Pengerusi Pemilihan PAS sendiri tak pernah umumkan perkara ini! Hairan pula kenapa?

Saturday, May 16, 2009

Agenda Jahat Utusan Malaysia


Anak Bapa berasa amat hairan dengan perubahan mendadak sikap Utusan Malaysia (UM) sejak kebelakangan ini. Jika dulu ia begitu sinonim dengan permusuhan kepada PAS dan apa saja mesej perjuangan yang dibawa oleh PAS, kini UM telah bertukar 100% menjadi penyokong setia PAS. Berita tentang PAS mendapat liputan ‘front page’ hampir setiap hari sejak 2 minggu yang lepas menjadikan UM kawan karib nombor wahid PAS! Ini tak pernah berlaku di dalam sejarah PAS maupun sejarah Utusan Malaysia.

Jika kita mengimbau kembali peranan UM di dalam menjulang UMNO dan memburuk-burukkan PAS, kita tidak akan ragu-ragu untuk melabel UM sebagai pecacai UMNO. Berita-beritanya bukan sahaja tidak ada yang positif tentang PAS malah dijadikan medan melontar fitnah terhadap PAS. Kolum tetap Awang Selamat umpamanya, tak putus-putus mengutuk dan menghentam PAS dan menyalahkan PAS dalam apa saja masalah yang timbul dalam negara. Kebencian mereka terhadap PAS begitu meluap-luap sehingga kadangkala tanpa disedari mereka menghentam Islam di dalam usaha mereka untuk memburuk-burukkan PAS. Keadaannya begitu buruk sekali sehingga PAS telah beberapa kali melancarkan program memboikot pembelian akhar berkenaan. Orang-orang PAS sedar mengenai perkara ini dan amat malang jika ada yang dah naik syok sebab UM dok puji PAS sejak 2 minggu kebelakangan ini.

Jadi persoalan cepu emasnya ialah kenapa UM bukan saja ghairah mengenai isu pemilihan pimpinan PAS tak lama lagi tetapi dilihat juga sebagai penyokong setia gagasan kepimpinan ulama PAS? Adakah UM dah insaf dan bertaubat nasoha terhadap segala dosa dan perbuatan jahat mereka terhadap PAS dan Islam selama ini?

Jawapannya mudah sahaja, jika kucing sudah mula bertanduk atau lembu dah boleh terbang maka sahlah UM dah bertaubat dan kini menjalani kehidupan yang warak mengikut landasan kepimpinan ulama. Apa taknya? Dua minggu berturut-turut UM menjadi penyokong kuat kepimpinan ulama dalam PAS dan tanpa segan silu memberi sokongan padu kepada penerusan kepimpinan ulama dalam PAS terutama melibatkan pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Dengan lain perkataan, UM mahu supaya perwakilan PAS mengekalkan Ustaz Hadi sebagai Presiden dan Ustaz Nasha sebagai Timbalan Presiden demi ‘menyelamatkan’ kepimpinan ulama dalam PAS! Waduh, waduh, mulia sungguh niat dan hasrat Utusan Malaysia. Jika selama ini mereka amat memusuhi PAS, Islam dan ulama, kini UM berubah menjadi penyokong kuat kepimpinan ulama dalam PAS. ‘I rest my case’.

Anak Bapa: Saya yakin ahli-ahli PAS amat matang dan bijak di dalam menguruskan parti mereka dan tahu menilai antara permata dan kaca. Islam mengajar kita supaya ‘menyerahkan urusan kepada ahlinya’ dan akan memilih pemimpin yang terbaik untuk jawatan yang dipertandingkan. Kita tidak pernah sekali-kali menolak kepimpinan ulama malah menjunjungnya di dalam konteks memperkasakan jamaah. Semua orang berperanan di dalam memajukan jamaah dan berpeluang untuk dilantik menjadi pemimpin dengan syarat mereka ikhlas, berwawasan, bekerja keras dan menjunjung Islam yang menjadi teras dalam perjuangan PAS. Siapa saja tak kira Ustaz Nasha ke, Husam ke, Mat Sabu ke, layak untuk dipilih menjadi Timbalan Presiden. Itu saya serahkan kepada perwakilan untuk memilihnya. Cuma saya agak pelik kenapa musuh ketat kita, Utusan Malaysia, begitu nakkan perwakilan PAS memilih Ustaz Nasha sebagai Timbalan Presiden PAS???? Sama-sama kita fikirkan ….

Tuesday, May 12, 2009

Menteri Besar 'Haram' Yang Cuba Di'Halalkan'


Mahkamah Tinggi semalam telah memutuskan bahawa selama ini Ir. Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah. Maknanya tak ada Menteri Besar (MB) lain sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah Perak sejak 8 Mac 2008 sehingga hari ini yang sah bergelar MB selain daripada Ir. Nizar.

Jadi kalau macam itu, kenapa pula Mahkamah Rayuan boleh benarkan ”stay of execution” yakni menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga selesai kes rayuan daripada MB ’haram’. Jikalau nak rayu silakanlah rayu sebab itu hak mereka tetapi kenapa dalam tempoh rayuan Zambry pula yang jadi MB sedangkan Mahkamah Tinggi dah kata Ir. Nizar saja MB yang sah selama ini. Sepatutnya sehingga selesai kes rayuan, Ir. Nizarlah patut jadi MB. Inilah negaraku Malaysia, penuh dengan ajaib bin hairan.

Implikasi daripada keputusan Mahkamah tinggi semalam amat besar sekali. Maknanya selama ini segala keputusan dan kontak dan apa saja transaksi yang diarahkan oleh MB dan EXCO ’haram’ adalah tidak sah dan perlu diperbetulkan semula. Malah pemecatan Speaker pun adalah tidak sah kerana ia datang daripada kerajaan yang tidak sah. Sikit punya huru-hara negeri Perak di kala ini. Semua orang susah kerana angkara UMNO/BN. Mereka yang mulakan huru-hara ini dan semakin mereka cuba selamatkan perut mereka semakin berserabut jadinya keadaan di Perak.

UMNO/BN memang dah guna segala-galanya termasuk istana, SPR, polis, mahkamah dan apa saja yang ada. Cuma satu saja yang mereka cukup gerun, iaitu menghadapi rakyat di dalam pilihanraya di Perak. Wahai UMNO! Tahukah kamu bahawa kuasa yang diperolehi diambil daripada rakyat. Jika ada kebuntuan tentang status kuasa ini maka serahkan kembali kepada rakyat untuk mereka tentukan siapa yang berhak. Dah lupakah prinsip asas demokrasi yang selalu kamu laung-laungkan?

Anak Bapa: Reput dan bau busuk UMNO ini dah tak boleh nak tutup lagi. Siapapun janganlah dok fikir nak bergesel dengan UMNO ini lagi .......