Friday, October 26, 2007

Berterusan Menjadi Abdi UMNO

Al-marhum Sayyid Abul A’la Maududi, seorang ulama dan mujadid terkenal pada zaman kita ada menulis di dalam bukunya, “Cara Hidup Islam”,

“….. Islam menuntut bersungguh-sungguh supaya prinsip-prinsip moral dipatuhi dalam apa keadaan sekali pun dan di dalam semua bidang kehidupan. Dengan itu, ia menggariskan satu dasar politik negara yang kukuh berasaskan keadilan, kebenaran dan kejujuran. Ia tidak bersedia, dalam apa keadaan sekali pun, untuk bertolak ansur dengan penipuan, kebatilan dan ketidakadilan walaupun atas alasan kepentingan politik, pentadbiran atau negara. Samada ia adalah hubungan antara pemerintah dan yang diperintah, atau hubungan antara sesama negara, keutamaan hendaklah diberikan kepada kebenaran, kejujuran dan keadilan daripada kepentingan kebendaan.

Islam juga mengenakan perintah yang serupa ke atas individu, yakni mereka wajib menunaikan segala perjanjian dan tanggungjawab, melaksanakan peraturan yang sekata di dalam urusan sesama manusia, tidak melupakan hak orang lain apabila mengharapkan mereka memenuhi tanggungjawab mereka, menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menegakkan keadilan dan bukan melakukan kezaliman, menganggap tugas dan amanah sebagai tanggungjawab mulia dan melaksanakannya dengan sepenuh hati, dan menganggap kuasa yang diberi Allah sebagai amanah dan menggunakannya dengan ingatan bahawa ia akan dipersoal olehNya di akhirat kelak …..”

Alangkah benar sekali ungkapan Al-Maududi ini. Tetapi hakikatnya kita lihat keadaan umat Islam hari ini bercanggah dengan apa yang beliau perkatakan. Tak payah pergi jauh, kita lihat saja orang Melayu Islam yang ada di Malaysia hari ini.

Al-Maududi memperkatakan dasar politik negara yang berasaskan keadilan, kebenaran dan kejujuran di mana kepentingan ini mengatasi kepentingan material. Lihat suasana politik negara, pihak pemerintah akan berbuat apa saja untuk mempertahankan kuasa walaupun dengan cara menipu, mengugut atau merasuah rakyat, menfitnah, penyalahgunaan kuasa dan apa saja cara yang mungkin. Perbuatan ini bukan saja mereka lakukan ke atas rakyat tetapi juga sesama mereka ketika ada pemilihan. Yang menjadi lebih malang, majoriti mereka ini terdiri daripada orang Melayu Islam. Persoalannya, jika cara mereka mendapat dan mengekalkan kuasa ini dengan cara yang keji dan jelek, apakah mereka akan menggunakan kuasa yang ada untuk kerja-kerja mulia dan berakhlak?

Rakyat mengikut “agama” pemerintahnya. Inilah hakikat yang berlaku di depan mata kita. Sebilangan besar rakyat di semua peringkat turut terlibat di dalam kerja-kerja keji seperti rasuah, jenayah, fitnah, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain lagi kerana mereka mempelajarinya daripada pemerintah yang ada. Mustahil pemimpin yang korup akan melahirkan rakyat yang amanah! Setakat bercakap saja tetapi tidak diikuti dengan tindakan dan amalan adalah pembohongan semata-mata dan tidak akan melahirkan natijah yang dikehendaki.

Jika saya ditanya negara manakah yang Islamik yang wujud hari ini, saya akan jawab Jepun. Mungkin ada sedikit kelemahan mereka tetapi Jepun adalah jauh lebih Islamik daripada mana-mana negara Islam. Lihat akhlak mereka, jujur dan amanah, tidak rasuah, bertanggungjawab, tidak menyalahgunakan kuasa, mahkamah yang adil dan bebas, sistem pemilihan pemimpin yang adil dan telus, rajin bekerja, bersih dan lain-lain lagi kebaikan. Cuma mereka tidak beriman kepada Allah swt. Jika tidak sudah pasti saya akan mengelar Jepun, negara Islam unggul abad ini. Dan ada lagi beberapa negara di Eropah yang memiliki ciri-ciri negara Islam Cuma mereka tidak beriman kepada Allah swt.

Jadi tidak malukah kita? Negara yang mengaku Islam, termasuk Malaysia Darul Hadhari, mencatatkan kebobrokan paling ketara dalam isu rasuah, penyelewengan kuasa, penipuan dalam pilihanraya, penindasan rakyat dan pelbagai lagi barah dalam pemerintahan. Rakyat turut sama terlibat dan terus menjadi pecacai UMNO/BN kerana rela membenarkan legasi pemerintahan UMNO/BN diteruskan. Umat Islam yang sepatutnya menjadi obor kebenaran dan keadilan, dan “role model” kepada masyarakat terus menjadi sampah kerana kedegilan mereka untuk kembali menghayati Islam sebenar. Dan saya yakin selagi kita tidak kembali kepada Islam sebagai satu cara hidup, kita akan terus membenarkan kerosakan dilakukan oleh UMNO/BN dan juga diri kita sendiri. Akhirnya siapa yang rugi?

Anak Bapa: Cuba amati betul-betul dan anda akan dapati pemimpin UMNO ini hanya pandai beretorik tentang Islam. Islam yang mereka laksanakan hanyalah Islam adat atau Islam yang boleh membawa undi pada mereka. Selagi kita masih berkompromi dengan Islam Hadhari ini maka selagi itu UMNO akan terus berkuasa kerana rakyat boleh menerima Islam separuh separuh. Dan selepas 50 tahun merdeka, adakah umat Islam atau negara jauh lebih baik? Cuba tanya diri sendiri dengan ikhlas!

No comments: