Wednesday, November 28, 2007

Kaum India Mesti Menolak Barisan Nasional

Penderitaan dan kemelaratan kaum India di negara ini bukanlah cerita baru. Seringkali terpapar kisah hidup mereka yang menyayat hati di dada-dada akhbar atau kaca tv. Jika dibuat perbandingan antara 3 bangsa utama Malaysia, saya yakin dan pasti bahawa masyarakat India berada di tempat terakhir di dalam aspek kemiskinan dan kepapaan.

Walaupun kita boleh menerima hakikat bahawa punca utama fenomena ini ialah kerana faktor sejarah di mana mereka pada asalnya dibawa ke Malaysia sebelum merdeka untuk bekerja sebagai buruh kasar di ladang-ladang getah kepunyaan British, namun selepas 50 tahun merdeka dan bertukar beberapa generasi, taraf kehidupan sebegini adalah sesuatu yang tidak boleh kita terima. Apatah lagi keadaan ini berlaku di negara yang kononnya akan mencapai status negara maju beberapa tahun lagi dan kini sudah pun bergelar “Negara Angka Sawan”.

Jika dilawati ladang-ladang getah dan sawit di seluruh negara nescaya kita akan dapati kedaifan hidup majoriti kaum India amat ketara sekali. Saya masih ingat ketika berkempen di pilihanraya kecil Ijok tidak lama dulu, bagaimana tersentuh perasaan apabila membuat tinjauan ke estet-estet untuk mendapatkan sokongan orang-orang India. Walaupun Ijok boleh dianggap sebagai kawasan semi bandar kerana kedudukannya yang sangat hampir dengan Lembah Kelang, namun kehidupan masyarakat India di tempat berkenaan kebanyakannya tak ubah seperti hamba abdi, hidup tanpa keperluan asas yang mencukupi. Keadaan menjadi lebih buruk lagi apabila pendidikan anak-anak mereka pun terpaksa diabaikan dan dikorbankan demi menampung kehidupan seharian. Adalah sesuatu yang biasa bagi kanak-kanak India di estet-estet untuk bekerja sejak kecil bagi membantu ibubapa mereka mencari sesuap nasi walaupun mereka sepatutnya berada di sekolah. Anda mungkin menganggap saya suka menokok tambah cerita tentang penderitaan kaum India ini. Tetapi inilah hakikatnya dan anda semua dijemput untuk melihat sendiri keadaan mereka bila-bila masa.

Selain daripada faktor sejarah, satu lagi sebab utama kenapa kaum India begitu terpinggir ialah sikap pemimpin politik mereka dan juga kaum India sendiri. Sejak pilihanraya umum pertama lagi kita melihat sokongan padu masyarakat India kepada Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) melalui MIC (Malaysian Indian Congress). Fenomena ini berterusan sehingga hari ini. Beberapa hari lepas, satu bancian yang dibuat oleh sebuah badan bebas, Merdeka Center, mendapati kaum India masih memberikan sokongan padu kepada kerajaan BN iaitu melebihi 65%. Angka ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana sebelum ini pun, beberapa bancian serupa yang dibuat juga mendapati angka yang hampir sama.

Jika kita menyorot kembali sejarah pilihanraya negara, kita akan dapati kaum Melayu dan Cina pernah beberapa kali menyuarakan rasa tidak puas hati mereka melalui kotak undi dengan menyokong parti-parti pembangkang di dalam pilihanraya. Ini berlaku pada pilihanraya umum (PRU) antaranya PRU 1963 (yang membawa kepada peristiwa 13 Mei), 1990 dan 1999. Malah kita semua masih ingat lagi bagaimana kaum Cina dan Melayu mengalih sokongan kepada pembangkang di dalam pilihanraya kecil Lunas dan juga Ijok. Tetapi sesuatu yang pasti, kaum India, jarang atau mungkin tidak pernah membuat protes serupa di dalam mana-mana pilihanraya di dalam angka yang ketara. Pendek kata, MIC telah berjaya mengikat majoriti orang-orang India supaya setia sepenuhnya kepada BN, tidak kira dalam apa keadaan sekali pun. Jika orang Melayu mempunyai pilihan selain daripada UMNO dengan menyokong PAS atau PKR, sementara orang Cina boleh memilih antara MCA atau DAP, tetapi orang India tidak mempunyai opsyen kerana selain daripada MIC, parti mereka yang lain yakni IPF dan PPP juga merupakan rakan BN. Malah parti mereka yang baru, Malaysian United Indian Party (MUIP) anjuran Datuk Nalla pun telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan BN. Jadi apa pilihan yang ada kepada orang-orang India? Kaum India telah melihat bagaimana kesetiaan mereka selama 50 tahun “dibalas” oleh BN dan MIC dengan lebih banyak penderitaan dan kepayahan hidup. Wang ringgit mereka telah dipunahkan oleh Samy Vellu dan kuncunya melalui Maika Holdings, dan MIC pula ditadbir macam kumpulan gangster. Apa yang pasti, masyarakat India makin hari makin hanyut dengan pelbagai masaalah terutama kemiskinan dan jenayah dan kini mula menjadi beban kepada kaum lain, sementara pimpinan MIC, sepertimana pimpinan BN lain, terus sibuk bercakap dan membuat janji kosong.

Jadi saya tidak merasa pelik apabila perhimpunan anjuran HINDRAF (Hindu Rights Action Force) berjaya mengadakan perhimpunan kaum India besar-besaran baru-baru ini di Kuala Lumpur walaupun setelah diugut oleh UMNO, pihak keselamatan dan juga pimpinan MIC sendiri. Tidak kiralah apa jua isu yang dibawa oleh mereka, tetapi apa yang jelas ialah kekecewaan masyarakat India terhadap pimpinan mereka di dalam BN sudah tidak dapat dibendung lagi. Mereka sudah rela berpatah arang dan bersedia menerima apa jua padahnya dengan menghadiri perhimpunan baru-baru ini. Sikap kerajaan BN, sebagaimana jua yang mereka tunjukkan ketika rakyat mengadakan perhimpuan BERSIH, adalah dijangkakan. Mereka tidak boleh menerima rakyat berhimpun secara aman menyatakan bantahan dan protes. Perhimpunan HINDRAF telah ditohmah dan diganggu gugat dengan pelbagai cara, malah ramai yang ditahan dan diperlakukan dengan kasar. Dan apa yang dibuat oleh pemimpin MIC?

Kita mungkin tidak dapat menerima beberapa aspek berhubung HINDRAF dan tuntutan mereka tetapi hak mereka sebagai rakyat di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi perlulah kita hormati. Malah saya ingin mengucapkan syabas kepada pimpinan HINDRAF kerana berjaya melepasi hadangan psikologi penentangan mereka terhadap BN. Cuma saya ingin mengingatkan HINDRAF bahawa perjuangan mereka jikalau setakat protes jalanan semata tidaklah mencukupi. Kalau HINDRAF dan kaum India benar-benar serius untuk melihat sebarang perubahan kepada keadaan hidup mereka, SATU-SATU jalan yang ada bagi mereka ialah dengan beramai-ramai menyokong pembangkang pada pilihanraya umum akan datang. Kaum India sudah 50 tahun setia menyokong BN dan lihat apa yang anda dapat. Sudah tiba masanya menukar kesetiaan kepada parti lain demi perubahan dan kegemilangan semua kaum. Kaum Melayu dan Cina sudah bersedia untuk perubahan ini. Bagaimana pula dengan kaum India dan HINDRAF?

Anak Bapa: HINDRAF kena pastikan orang-orang India jangan tertipu dengan janji manis dan rasuah pilihanraya oleh pimpinan BN dan MIC. Saya perhatikan di waktu pilihanraya, pimpinan BN akan menabur bermacam-macam benda di estet-estet termasuk bertong-tong arak untuk mengelabui mata pengundi India. Tetapi sebaik saja mereka menang, pengundi-pengundi ini akan ditinggalkan begitu saja dan mereka akan datang pula dengan janji dan “hadiah” yang serupa di dalam pilihanraya akan datang. Jadi pastikan kita tidak tertipu lagi …….

Monday, November 19, 2007

Demokrasi Bukan Sekadar Pilihanraya Sahaja

Apabila Zainuddin Maidin (Zam) ditanya oleh pemberita AL-Jazeera berhubung layanan tidak demokratik pihak kerajaan ke atas perhimpunan 100 ribu rakyat baru-baru ini, beliau dengan tegas menafikannya dengan hujah bahawa pihak kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab mengadakan pilihanraya setiap 5 tahun. Ucapan sebegini bukanlah sesuatu yang pelik terungkap daripada mulut pimpinan UMNO dan Zam bukanlah satu-satunya pemimpin UMNO yang berhujah sedemikian. Boleh dikatakan semua pemimpin kerajaan yang ada hari ini akan menggunakan hujah yang serupa apabila isu demokrasi dibangkitkan.

Persoalannya, adakah wajar kita menyamakan demokrasi dengan pilihanraya semata? Adakah benar apabila pilihanraya diadakan saban 5 tahun maka negara Malaysia adalah negara demokratik?

Perkataan demokrasi adalah daripada perkataan Greek "demokratia" yang bermaksud "pemerintahan oleh rakyat" (rule by the people). Pelbagai tafsiran telah diketengahkan berhubung bentuk demokrasi sebenar sesebuah negara tetapi sehingga hari ini masih belum ada persetujuan mutlak bagaimana rupabentuk sebenar negara demokrasi contoh berkenaan. Namun begitu, para ilmuan bersetuju beberapa garispanduan yang boleh digunapakai dalam mengukur tahap demokrasi sesuatu negara. Antara kriteria penting yang diperhatikan ialah tahap kebebasan bersuara, tahap kebebasan media, keluhuran perlembagaan, hak asasi manusia, dan tahap kebebasan sivil.

Pilihanraya adalah tentang membuat pilihan, tentang bagaimana rakyat memilih pemimpin untuk memerintah negara. Tanggungjawab kerajaan ketika pilihanraya di dalam negara yang demokratik bukan saja terhad kepada menyediakan kertas undi dan tempat membuang undi tetapi yang lebih penting memastikan pengundi mempunyai maklumat yang cukup sebelum membuat pilihan. Pengundi perlu peka tanggungjawab mereka sebagai pengundi, implikasi daripada pemilihan mereka dan kesan kepada negara hasil daripada tindakan penggundian mereka. Walaupun rakyat sesebuah negara itu tidak mempunyai tahap keilmuan dan kefahaman yang sama, kerajaan perlu sedaya upaya mencari jalan supaya maklumat ini sampai dan difahami oleh pengundi sebelum mereka membuang undi. Dan tidak kurang pentingnya, pengundi perlu diberi jaminan yang mereka boleh mengundi tanpa ada rasa takut atau gentar untuk memileh sesiapa yang mereka sukai. Segala peraturan yang boleh dianggap menimbulkan ketakutan kepada pengundi untuk bersikap adil perlulah dihapuskan. Apa yang berlaku di Malaysia hari ini adalah sebaliknya. Media yang dikuasai oleh parti pemerintah samada melalui UMNO, MCA, MIC atau proksi mereka telah menggunakan seluas-luasnya ruang komunikasi yang ada untuk samada memburuk-burukkan calun dan dasar parti pembangkang atau mengheboh-hebohkan kehebatan parti pemerintah tanpa memberi ruang kepada parti pembangkang untuk membela diri atau berkempen. Padang "permainan" media yang tidak rata ini akan menyekat pengundi daripada membuang undi berdasarkan maklumat yang tepat dan kebiasaannya akan menguntungkan parti pemerintah.

Kebebasan bersuara amat penting kerana ia akan membuahkan perbincangan dan penghujahan yang sihat dan rasional di kalangan rakyat. Tidak semua orang berkesempatan atau berkelayakan untuk memahami isu berkaitan kepentingan negara. Justeru itu mereka-mereka yang berkemampuan perlu diberi ruang mengeluarkan pendapat mereka walaupun pendapat ini bercanggah dengan kepentingan pemimpin kerajaan. Dalam masa yang sama, pihak kerajaan dan orang ramai juga berhak membalas atau mengkritik sebarang pandangan yang tidak serasi dengan mereka. Budaya dialog sebegini amat penting bagi menjamin kesuburan demokrasi. Tetapi amalan di negara ini amat jauh berbeda. Sebarang percanggahan pendapat rakyat dengan pemerintah dianggap tidak wajar dan biasanya akan berakhir dengan kecaman dan hukuman. Ia lebih ketara lagi jika insan berkenaan adalah kakitangan kerajaan. Bukan menjadi rahsia lagi kakitangan kerajaan ditukar tempat bekerja, dibekukan kenaikan pangkat dan diberi amaran keras oleh majikan jika mereka tidak tahu "tutup mulut". Derita rakyat ditambah lagi dengan undang-undang keras untuk menghalang mereka daripada "bercakap" termasuk antaranya Akta Polis, Akta Rahsia Resmi (OSA), Akta Mesin Cetak, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Usaha memburuk-burukkan sesiapa saja yang bercanggahan dengan pandangan parti pemerintah merupakan agenda berterusan UMNO dan BN untuk sekian lama dan dijangka terus bertambah hebat di masa-masa akan datang.

Undang-undang dan peraturan negara terutama yang berkaitan dengan hak asasi dan kebebasan sivil masyarakat sebuah negara demokratik perlu diberi perhatian serius dan sentiasa dikaji sepanjang masa. Saya tertarik dengan ucapan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas beberapa malam yang lepas, di mana beliau berkata undang-undang adalah sesuatu yang hidup dan perlu dikaji dari masa ke semasa supaya ia terus relevan. Undang-undang 20 tahun lepas jika di bandingkan dengan undang-undang hari ini adalah berbeda dan proses merubahnya walaupun berdikit-dikit tetapi tetap berlaku. Justeru itu dalam aspek undang-undang dan perlembagaan Malaysia, maka kajian menyeluruh perlu dibuat supaya keadilan rakyat dapat ditegakkan. Malah undang-undang dan peraturan berkaitan pilihanraya pun perlu banyak perubahan. Sebagai contoh, antaranya, sebagaimana yang dituntut segera oleh BERSIH seperti aspek pemutihan daftar pemileh, peruntukkan undi pos, celup jari dengan dakwat kekal dan akses media yang adil kepada semua yang bertanding. Dan banyak lagi peraturan yang perlu diperkenalkan seperti kaedah pendaftaran pemileh secara otomatik, pemantauan bajet calun di dalam pilihanraya, pembentukkan kerajaan sementara apabila parlimen dibubarkan, penggunaan harta benda kerajaan ketika berkempen, dan juga perubahan struktur juga perlu dipertimbangkan.

Sebagai contoh, dengan sistem "first-pass-the post" yang kita warisi daripada British ternyata begitu banyak kelemahannya dan telah dimanipulasi oleh UMNO melalui Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sejak sekian lama. Jika kita berpegang kepada prinsip satu rakyat, satu undi dan satu suara, ternyata kita telah gagal. Di kawasan bandar umpamanya, jumlah pengundi bagi satu-satu parlimen mungkin 3 kali ganda daripada jumlah pengundi kawasan parlimen di luar bandar tetapi kerusi yang diwakili tetap 1 kerusi. Dan apabila dijumlahkan keseluruhan undi popular dan dibandingkan dengan jumlah kerusi, kita akan dapati jurang perbedaan yang amat ketara. Perhatikan angka dan analisa ringkas keputusan undi pilihanraya 2004 di bawah untuk melihat dengan lebih jelas:

Parti % undi parlimen jumlah kerusi
Barisan Nasional 63.9% 198 (90.4%)
(MCA) (15.5%) 31 (14.2%)

Pembangkang 36.1% 21 (9.6%)
(PAS) (15.2%) 7 (3.2%)



Jika sistem perwakilan berkadar (proportionate representation) diamalkan, berdasarkan jumlah undi pilihanraya umum ke 11 (2004), BN hanya layak mendapat 140 kerusi manakala pembangkang pula 79 kerusi yakni menafikan majority 2/3 kerajaan BN. Tetapi manipulasi UMNO dengan menyempadankan kawasan parlimen mengikut selera dan kepentingan politik mereka menyebabkan, walaupun mereka hanya memperolehi jumlah undi popular sebanyak 63.9%, tetapi menguasai kerusi 90.4%. Perhatikan juga pecahan undi parti komponen BN iaitu MCA dan undi komponen parti pembangkang PAS, walaupun undi mereka hampir sama di sekitar 15%, tetapi perbedaan kerusi amat ketara iaitu 24 kerusi. Jelas ketempangan sistem pilihanraya yang kita amalkan sekarang, dan saya yakin UMNO akan terus mempertahankannya kerana ia memberi kelebihan kepada mereka untuk terus kekal berkuasa. Dan dalam masa yang sama wakil yang dilantik ke parlimen tidak betul-betul menjadi "wakil rakyat", sebaliknya menjadi wakil parti.


Berdasarkan pemerhatian di atas, amat wajar sekali rakyat Malaysia terus bangun mendesak kerajaan membuat perubahan bukan saja kepada sistem pilihanraya negara tetapi juga kepada undang-undang yang mengugat kedemokratikkan Malaysia. Himpunan 100 ribu rakyat adalah permulaan yang sangat baik tetapi tidak memadai jika terhenti di situ saja. Pelbagai kegiatan dan aktiviti perlu dianjurkan untuk memberi tekanan kepada kerajaan yang ada. Berdasarkan komen pemimpin yang ada, saya yakin mereka tidak akan melakukan sebarang perubahan tanpa disertakan tekanan politik oleh rakyat. Dan itulah sebenarnya senjata yang paling ampuh yang ada pada kita. Demi kesejahteraan kita semua, kita perlu bersatu meledakkan lagi gelombang kuning ke tahap yang lebih besar.


Anak Bapa: Ketika menghadiri kursus Total Quality Management (TQM) beberapa tahun lepas, saya sentiasa diperingatkan dengan satu aspek penting mengenai Quality ialah "continuous improvement" atau pun "perubahan berterusan". Dalam apa jua bidang kehidupan, kita diajar supaya membuat perubahan ke arah yang lebih baik. Jadi apabila pimpinan UMNO diminta rakyat membuat perubahan yang lebih baik di dalam sistem pilihanraya, mereka sengaja buat pekak dan badak. Ini yang buat saya naik bingung. Dah banyak duit kerajaan habis kerana memberi kursus TQM kepada mereka, masih tak faham-faham. Akibat tidak mahukan perubahan, pemimpin UMNO makin hari makin jauh daripada rakyat. Lambat laun UMNO akan menjadi dinosaur, dan melayakkan mereka untuk dibakulsampahkan rakyat.

Tuesday, November 13, 2007

Koleksi Rintihan Pimpinan UMNO Yang Terkena Serangan Demam Kuning

Termenung saya memerhatikan telatah dan gelagat pemimpin-pemimpin UMNO berhubung perhimpunan 100,000 rakyat pada 11 November lepas. Cuba kita teliti ucapan dan komen mereka. Selepas itu anda boleh buat pertimbangan dan kesimpulan sendiri berhubung “mental status” mereka-mereka ini.

Pak Lah berkata, ”Protes jalanan Sabtu lepas anjuran pembangkang adalah cubaan untuk mengheret Raja-Raja ke dalam kancah politik. Penghantaran memorandum kepada Yang di Pertuan Agong adalah usaha pembangkang untuk memerangkap baginda. Saya yakin Agong adalah matang. Baginda sangat faham dan tidak akan terperangkap di dalam politik pembangkang…..”

(Saudara ingat Agong tu sapa? Tunggul kayu ke yang boleh ditipu atau dipermain-mainkan. BERSIH telah menemui SPR, menulis memo dan meminta pihak kerajaan berbuat sesuatu berhubung dengan ketidakadilan dan ketempangan SPR tetapi saudara dan kuncu-kuncu buat pekak aje kerana ia menguntungkan UMNO dan BN. Agong yang ada bukan Agong untuk ahli UMNO dan BN saja tetapi untuk seluruh rakyat. Jadi apa salah kami pi mengadu kat dia?)


Najib pula memberi komen, ”….. perhimpunan sebegini tidak wajar diadakan kerana ia akan mengundang kepada pergaduhan dan huru-hara…..”

(Kalau UMNO buat demonstrasi tak apa, siap bagi permit pula. Apa kami yang lain ini rakyat kelas 2 ke? Atikel 10 Perlembagaan Malaysia membenarkan rakyat berhimpun cara aman. Tak aman lagi ke perhimpunan kami? Kalau polis tak sembuh air asid dan tembak gas pemedih mata, nescaya tak ada langsung insiden buruk pada hari berkenaan. Namun dunia menyaksikan bagaimana displin dan tertib peserta himpunan walaupun berkali-kali dihujani air asid dan gas. Habis majlis siap kutip sampah lagi oleh Unit Amal. Jadi di mana huru-hara atau kekacauan yang disebut-sebut oleh pemimpin UMNO?)


Menteri Propaganda atau “Minister of Misinformation”, Zainuddin Maidin (Zam) pula berkata, ”Al-Jazeera sebenarnya telah mempunyai tanggapan awal (preconceived mind) dan tertipu dengan dakwaan kononnya 100,000 orang akan menyertai perhimpunan tersebut. Laporannya adalah berat sebelah dan membawa gambaran yang salah tetang Malaysia….”

(Tak habis–habis mamak tongkang ni menyerang orang lain. Wartawan Al-Jazeera sendiri berada di Mesjid Jamek pada hari berkenaan dan merasai sendiri perit gas dan air asid. Sebenarnya yang tak ada di situ ialah Zam dan tentu dia tak pernah merasa perit gas dan air asid. Jadi berat sebelah yang macamana? Sebenarnya yang berat sebelah ialah media Malaysia termasuk yang elektronik dan bercetak. Cerita tak betul, pembohong dan sesetengah tu pula langsung “news blackout”. Saudara tengoklah dulu status media negara ni yang kerjanya menjilat pemimpin UMNO/BN dan memutarbelitkan berita pembangkang, baru komen tentang media asing. Lagipun nak banding RTM dengan Al-Jazeera tak payahlah, macam langit dengan bumi!)


Nazri Aziz ketika perbahasan di dalam Parlimen menegaskan, “ Jika saya ingin mengambarkan keadaan otak pembangkang di dalam bahasa orang muda hari ini, saya boleh berkata wayar-wayar otak mereka dah terputus. Macamana Anwar boleh kata SPR tidak adil sedangkan dia belum bertanding lagi. Jangan menyeret Agong ke dalam isu perhimpunan ini kerana baginda dan rakyat bersama dengan kita. Pembangkang takut kalah di dalam pilihanraya akan datang. Jika dah tak berani jangan pula jadi pondan…..”

(Wah…wah! Otak yang tak center ialah otak saudara. Bercakap melalut, merapu tak tentu arah macam orang gila. Kalau menteri kepala hotak macam ni baik lantik Pengerusi JKK kampung ganti tempat saudara lagi baik. Kalau rakyat tak sokong pembangkang, kenapa saudara takut sangat. Kalau nak mengampu tu janganlah sampai terlalu rendah ke tahap tak ada maruah. Tiap-tiap kali saudara buka mulut yang keluar hanya hampas yang jijik dan meloyakan. Bukan Anwar seorang yang nak bertanding pilihanraya, ramai lagi yang dah pernah bertanding dan memang jelas dengan bukti UMNO/BN bersekongkol dengan SPR untuk menipu. Kalau nak tengok bukti kami boleh beri dengan lengkap. Pengerusi SPR sendiri mengakui kelemahan sistem pilihanraya negara dan perlu dirombak untuk menjamin keadilan. Pemimpin UMNO macam saudara memang suka jadi penipu sebab tu dok mempertahankan sistem yang dah reput. Agong ni milik semua rakyat dan bukan hak mak bapa UMNO. Dahlah saudara dan kuncu-kuncu buat duit negara macam duit mak bapa sendiri, Agong pun saudara nak milikUMNOkan. Muka tak malu dan memang kau orang sebenarnya pondan…..)


Timbalan Zam, Ahmad Zahid pula berkata, “Walaupun kami membenarkan RTM membuat liputan perhimpunan tersebut, kami lakukan dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa demonstrasi adalah tidak demokratik dan boleh menjejaskan imej negara dan menjauhkan pelabur asing….”

(Pulak…Tidak demokratik? Kalau macam tu tak ada negara yang demokratik di dalam dunia sebab boleh kata semua negara membenarkan demonstrasi. Di Amerika, England, Itali, Indonesia dan banyak lagi negara, demonstrasi sentiasa di adakan secara besar-besaran membabitkan ratusan ribu rakyat. Apakah mereka ini tidak demokratik. Otak kau orang ni macam katak bawah tempurung. Elok Pak Lah sesekali bawa menteri-menterinya berjalan-jalan dengan kapalterbang supaya kayu-kayu ni dapat lihat macamana keadaan demokrasi negara orang lain. Kes rasuah yang berleluasa dan kehakiman yang boleh dibeli ini sebenarnya yang menjejaskan imej negara dan menakutkan para pelabur asing. Yang tu kenapa tak diperbetulkan?)


Rafidah Aziz berkata, “Pelabur asing tidak ambil peduli tentang demonstrasi atau perarakan jalanan. Mereka tetap mahu melabur di Malaysia. Apa yang penting ialah polisi bisnes negara……Saya beri nasihat kepada rakyat supaya menyedari apa yang pembangkang sedang cuba lakukan. Ia adalah satu tindakan yang negatif…..”

(Macamana pulak ni, seorang kata demonstrasi boleh menakutkan pelabur asing dan seorang lagi pula kata ia tidak memberi apa-apa kesan kepada pelabur asing? Yang mana satu betul? Rakyat memang menyedari bahawa selama ini mereka seringkali diperbodohkan oleh pimpinan UMNO. Kini mereka sudah celik dan sedar apa yang sebenarnya berlaku. Itu sebabnya mereka beramai-ramai turun ke jalan-jalan raya. Tindakan mereka ini sangat mulia kerana ingin membuat perubahan pada sistem pemerintahan UMNO/BN yang bobrok lagi korup. Jalan lain dah habis ditutup oleh UMNO…..)


Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakob berkata, “Langkah-langkah mencegah, termasuk menggunakan ISA perlu dikenakan terhadap mereka yang mengalakkan kegiatan tidak sihat dan pertempuran. Keselamatan negara adalah paling utama daripada permintaan pihak pembangkang atau undang-undang dan hak asasi manusia. Saya tidak bersedia untuk menyaksikan perpecahan masyarakat. Jika mereka terpaksa gunakan ISA, gunakanlah….”

(Ni lagi seorang pemimpin UMNO yang bangap hasil daripada sindrom “foot in the mouth disease”. Cakap macam orang tak mengaji sekolah. Yang tidak selamat bukan negara ooiii tetapi UMNO. Cakap aje UMNO tak selamat dengan bangkitnya rakyat dan bukan negara. Dan negara tu sapa kalau bukan rakyatnya. Cakap berbelit-belit pasal apa? Cara saudara cakap seolah-olah boleh buat apa saja kepada rakyat asalkan UMNO selamat. Nampaknya tunggu hari aje UMNO dengan pimpinan macam ni…..)

Anak Bapa: Ada 2 implikasi daripada telatah dan gelagat pimpinan UMNO ini. Pertama, sudah terang lagi bersuluh betapa bercelaru pemikiran mereka dan kita minta Allah lindungi kita daripada jenis pimpinan macam ni untuk 5 tahun lagi. Kedua, ini bermakna himpunan rakyat baru-baru ini sangat berjaya kerana UMNO begitu mengelabah lantas menjadi sasau. Pendek kata kita kena buat banyak lagi program serupa. Saya cadangkan himpunan rakyat bagi menghantar memo kepada Sultan Perak di Perak pula (kerana baginda adalah jurucakap kepada Majlis Raja-Raja). Harap BERSIH boleh pertimbangkan dengan serius…..

Sunday, November 11, 2007

Tahniah Rakyat Malaysia!


Hari ini saya mengisytiharkan betapa bangganya menjadi rakyat Malaysia. Hal ini berlaku bukanlah kerana kejayaan negara menghantar “pelancung” ke angkasa lepas atau kebijaksanaan Pak Lah di dalam mentadbir Malaysia secara Hadhari. Bukan, bukan …… bukan. Saya merasa bangga kerana rakyat Malaysia akhirnya telah membuktikan bahawa nilai-nilai keadilan dan keluhuran adalah jauh lebih penting dan lebih utama di dalam kehidupan mereka berbanding sogokan UMNO di dalam bentuk “kesenangan dan pembangunan”. UMNO mengajar rakyat Malaysia supaya taat kepada pemimpin secara membabi buta, jangan mempedulikan penyelewengan dan korupsi mereka, dan jangan melawan tauke. Sebagai balasan, rakyat akan menerima “habuan” di dalam bentuk pembangunan dan kemewahan. Tetapi UMNO telah silap di dalam perhitungan mereka. Mereka ingat dengan pelbagai sogokan kebendaan, rakyat akan terus patuh dan menghamba diri pada mereka, dan akan terus tunduk kepada ugutan dan ancaman. Peristiwa himpunan raksaksa rakyat pada Sabtu 10 November menukar segala-galanya dan jelas menjadi mimpi ngeri UMNO untuk jangka masa yang agak panjang.

Saya berada bersama-sama rakyat di dalam perhimpunan aman BERSIH selama 6 jam semalam (daripada 12.30 tengahari hingga 6 petang) bermula di Pasar Seni, Mesjid Jamek, Istana Negara dan Mesjid Negara. Ketika di Mesjid Jamek, di hadapan mata saya (walaupun kemudiannya berair teruk kena sembur air dan gas) jelas kelihatan bagaimana kasarnya pihak polis melayan rakyat yang tidak melakukan sebarang provokasi. Mereka hanya ingin berarak secara aman beramai-ramai ke istana untuk mempersembahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda yang DiPertuan Agung yang antara lain mengadu tentang penyelewengan kerajaan Hadhari Pak Lah di dalam proses pilihanraya. Itu saja. Permit telah diminta yang mana telah ditolak mentah-mentah dengan alasan yang remeh temeh sedangkan hak rakyat berhimpun secara aman telah termaktub di dalam Atikel 10 Perlembagaan Malaysia.

Saya perhatikan kehadiran rakyat daripada pelbagai lapisan, tua muda, dari bandar dan desa semuanya dengan penuh semangat kuning berkobar-kobar. Apabila pihak polis bertindak menyembur air asid dan gas, saya lihat ramai yang tercunggap-cunggap terutama orang-orang tua, perempuan dan anak-anak kecil. Menitis air mata saya melihat keadaan ini walaupun sebahagian airmata saya itu pun kerana kepedihan gas. Saya hadir bersama isteri serta 4 orang anak. Anak saya yang bongsu yang berumur 11 tahun adalah antara yang teruk terkena gas sehingga hampir pengsan. Namun beliau terus bangun dipapah oleh abangnya yang juga teruk kena gas bagi meneruskan perjuangan. Saya, isteri dan anak-anak yang terpisah oleh truk water cannon FRU, hanya dapat memerhatikan keadaan yang memilukan ini. Walaupun dalam kesedihan namun hati saya tetap berbangga dengan semangat yang mereka tunjukkan, “inilah anak bapa sejati”.

Dan di dalam pemerhatian saya, semangat ini dikongsi oleh semua yang hadir pada hari berkenaan. Walaupun sesetengahnya kuyup disembur air asid dan tercunggap cunggap kesesakan nafas terkena gas, tetapi apabila dah reda sikit keperitan, mereka terus bangun menyambung perjuangan. Apa kita nak panggil ini kalau tidak semangat “kejantanan” yang tulin dan yang tidak dimiliki oleh pemimpin UMNO. Malah pihak polis pun akhirnya keletihan dengan gelagat “main sorok-sorok” dengan rakyat.

Pemimpin UMNO pula hanya jaguh di kandang sendiri, di hadapan wartawan dan penyokong mereka. Khairy hanya berkokok di dalam perhimpunan UMNO, walaupun tanpa jawatan kerajaan boleh mengarahkan pasukan keselamatan bertindak tegas ke atas beruk demonstrasi. Saya pun kadang-kadang tertanya-tanya siapa budak mentah yang sombong satu macam ni? Jawatan Naib Ketua UMNO pun menang cara subsidi, menang tanpa bertanding, dah nak tunjuk lagak macam kaduk naik junjung. Percayalah cakap saya bahawa budak ini akan menerima nasib yang amat malang di dalam UMNO kelak!

Zainuddin Maidin (Zam) pula sibuk memperlekehkan semangat rakyat dengan mengandaikan betapa mustahil rakyat seramai 100,000 boleh berhimpun di Dataran Merdeka. Dia meminta supaya wartawan jangan tertipu dengan dakyah pembangkang kerana rakyat Malaysia senang lenang dan semuanya ada kerja tentu tidak ada masa untuk berdemonstrasi. Jadi, apabila perhimpunan ini benar-benar berlaku, Zam terkejut beruk dan terloncat-loncat macam kera kena belacan. Justeru apabila pemberita Al-Jazeera menemubualnya, beliau kedengaran begitu beremosi dan gagal menjawab soalan pemberita berkenaan dengan baik. Di hadapan mungkin jutaan penonton terserlah kebodohan Menteri Propaganda Malaysia ini yang tidak tahu berbahasa Inggeris dengan baik dan juga tidak tahu menjawab soalan. Saya mengesyaki RTM sengaja mengulangtayang berkali-kali wawancara beliau dengan Al-Jazeera bertujuan untuk memalukan Zam. Nasiblah kita dapat menteri minda kelas ke 3.

Pak Lah juga, yang tidur selama 4 tahun, terus bangun apabila mendapat tahu perhimpunan raksaksa ini benar-benar akan berlaku dan terus mencabar rakyat. Nah, rakyat dah pun menjawab cabaran awak, jadi mana awak nak letak muka yang comot dengan kekotoran Hadhari tu?

Kejayaan perhimpunan ini memberikan harapan baru kepada kita bahawa rakyat Malaysia boleh bersatu dan bukan hanya melalui Barisan Nasional semata-mata. Kita sudah 50 tahun merdeka dan dengan itu sudah cukup matang untuk mengenal mana permata dan mana kaca. Melihat kepada lautan kuning ketika berhimpun di hadapan istana dan deretan manusia yang tidak putus-putus menuju ke Mesjid Negara meyakinkan saya bahawa perjuangan menuntut keadilan dan pembebasan daripada perhambaan UMNO/BN sudah bermula dan hanya akan meningkat di masa hadapan. Gelombang kuning perlu kita lonjakkan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Samada 30,000 atau 40,000 atau 50,000 rakyat yang hadir semalam ia tidak begitu penting. Kenyataan keras pemimpin negara dan pihak keselamatan diikuti dengan sekatan polis di seluruh negara (hampir-hampir “curfew” Kuala Lumpur) dan propaganda media perdana untuk mengugut rakyat tetapi rakyat masih hadir dengan jumlah puluhan ribu secara aman dan berdisplin sehingga selesai majlis, sudah cukup membawa mesej kejayaan perhimpunan kita. Biar apa pun ulasan dan alasan mereka, ia hanya bertujuan untuk menyelamatkan air muka mereka dan tidak akan membawa apa-apa makna lagi.

Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada BERSIH dan juga tidak lupa Unit Amal dari PAS (tentera berbaju maroon) yang bertungkus lumus menjaga keselamatan dan displin peserta perhimpunan (walaupun mereka teruk terkena gas dan ada yang ditahan polis). Dan tidak lupa kepada seluruh rakyat yang bersama di dalam perhimpunan, TAHNIAH! you are all great and I love you. Kita bertemu lagi di medan perjuangan yang lebih besar.

Anak Bapa: Masih sengal-sengal lagi seluruh badan kesan semalam. Tapi hati rasa puas kerana mesej terlaksana dan kalau dipanggil esok sekali lagi untuk perhimpunan yang serupa hati melonjak-lonjak menyatakan kesediaan. Anda bagaimana?

Saturday, November 10, 2007

Thursday, November 8, 2007

Cinta Khairy Yang Mendalam Terhadap Beruk Dan Monyet

Baru-baru ini keluar lagi perkataan daripada mulut menantu Pak Lah yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin bahawa betapa beruknya manusia yang masih nak mengadakan perhimpunan rakyat 100 ribu pada 10 November ini. Kenyataan ini dibuatnya ketika disoal wartawan semasa menghadiri Mesyuarat Agung UMNO yang sedang berlangsung sekarang. Ungkapan ini bukannya baru. Tidak lama dulu ia pernah menyamakan para “bloggers” dengan monyet kerana banyak menulis dan menyiar bahan internet yang begitu kritis terhadap kerajaan pak mertuanya.

Bila diamati ungkapan dan perkataan budak mentah keluaran Oxford ini, tidak dapat tidak kita akan menjadi kagum dan kaget tentang minatnya yang mendalam kepada haiwan yang bergelar beruk atau monyet atau spesies lain yang sewaktu dengannya. Mungkinkah beliau berkelulusan bidang berkaitan ketika belajar di Oxford dahulu, yang dengan itu menjadikan Khairy sebagai pakar beruk dan monyet negara? Sehubungan dengan itu, mungkin juga hasil kajian beliau yang mendalam ketika di Oxford di dalam bidang Ilmu Beruk dan Monyet mendedahkan Khairy kepada keistimewaan makhluk yang pandai bergayut ini yang tidak kita ketahui selama ini? Jikalau ini benar, tentulah tidak adil bagi Khairy menyembunyikan kepakaran ini dan tidak berkongsi pengetahuannya dengan rakyat Malaysia. Malah, tidak keterlaluan juga jika sekiranya kita cadangkan supaya kerajaan Malaysia menimbangkan kemungkinan menubuhkan Jabatan atau Kementerian Beruk dan Monyet Malaysia dengan menterinya tidak lain tidak bukan oleh Saudara Khairy sendiri!

Saya yakin kita semua tidak ada masaalah dengan beruk dan monyet. Makhluk ciptaan Allah ini tentulah memiliki sifat dan keistimewaan tersendiri yang tidak terdapat pada makhluk lain. Tetapi untuk menyamakan berkali-kali makhluk berkenaan dengan manusia tentulah meminta kepada analisa yang berasingan. Orang Melayu dahulu memang banyak menggunakan bidalan atau peribahasa berkaitan dengan beruk, monyet dan kera (adik-beradik monyet). Contohnya, “macam kera dapat bunga” merujuk kepada orang yang tidak tahu menilai sesuatu kecantikkan, atau “macam kera kena belacan” berkait dengan jenis orang yang tidak tahu duduk diam, atau “kera di hutan disusukan, anak di rumah ditinggalkan” membawa makna seseorang yang lebih mementingkan orang lain daripada keluarga sendiri, dan banyak lagi contoh-contoh lain. Di sebelah utara ada istilah “beruk mat yeh” yang lazim digunakan di dalam perbualan yang merujuk kepada orang yang berperangai tidak senonoh. Pendek kata, masyarakat kita sejak dahulu memang banyak mengkaji aspek binatang bergayut ini dan adalah diyakini kehadiran Khairy akan memperkayakan lagi perbendaharaan bahasa kita berkaitan beruk dan monyet.

Persoalan kita seterusnya ialah kenapakah Khairy seringkali menyamakan mereka-mereka yang tidak bersama dengan Pak Mertua Hadharinya sebagai beruk dan monyet, dan benarkah perbandingan tersebut?

Cuba kita lihat makhluk ini secara lebih dekat. Salah satu keistimewaan beruk dan monyet ialah kepandaian mereka bergayut. Jikalau monyet bergayut pada dahan-dahan pokok, Khairy bergayut pada pak mertuanya untuk naik di dalam politik. Apakah jasa budak ini sampai boleh naik jadi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia dengan begitu cepat dan tanpa bertanding pula! Macamana Khairy boleh menjadi “mastermind” kepada pengawalan media negara dan penguasaan ke atas menteri dan menteri besar di bawah ketiaknya jikalau tidak kerana “pengayutannya” kepada Pak Lah? Begitu juga mana mungkin ia terlibat di dalam pelbagai urusan “jual-beli” harta benda negara jika bukan kerana gayutannya kepada Pak Lah.

Satu lagi aspek menarik berkaitan beruk dan monyet ini ialah keupayaan mereka menarik perhatian orang ramai dengan aksi-aksi yang “luarbiasa” seperti memetik buah kelapa, mencari kutu dan sebagainya. Khairy pun tidak kurang hebatnya di dalam aspek ini. Walaupun tidak ada jawatan di dalam kerajaan, ia seringkali membuat kenyataan seolah-olah ia Perdana Menteri ke 2 Malaysia. Sehari dua ini pun ia ada mengeluarkan kenyataan meminta pihak keselamatan mengambil tindakan tegas ke atas penganjur himpunan 100 ribu rakyat kerana melanggar undang-undang negara! Dulu, walaupun negara kita ada pasukan bola sendiri, beliau tidak berminat untuk membantu memperbaiki mutu pasukan ini tetapi sebaliknya menubuhkan pasukan berasingan bertujuan untuk memalukan pasukan negara. Tetapi apabila prestasi pasukan myteamnya tidak menjadi nampaknya usaha “mencuri perhatian” telah gagal mencapai maksud.

Antara kegemaran kera-kera hutan ialah mencuri buah-buahan kepunyaan orang. Ini pun lebih kurang sama dengan perangai Khairy dan UMNO yang sibuk memunggahkan harta negara macam harta mak bapa mereka.

Inilah sedikit sebanyak hikayat Khairy dengan beruk dan monyetnya. Banyak lagi sebenarnya cerita berkenaan haiwan ini yang boleh kita kaitkan dengan Khairy tetapi memadailah setakat itu dulu. Saya yakin kita akan mendengar banyak lagi ulasan Khairy di dalam tajuk berkaitan pada masa-masa akan datang. Tetapi satu yang pasti, perbandingan beruk dan monyet yang ia ungkapkan itu sebenarnya lebih adil untuk dirinya dan pemuda UMNO, dan wajar Khairy merefleksi dirinya sedalam-dalamnya supaya kelak tidak “memberuk” di dalam jiwa sanubarinya.

Anak Bapa: Jika berkesempatan, saya sebenarnya ingin mendapatkan khidmat Khairy dan beruk monyetnya untuk memetik kelapa yang banyak di kebun ayah saya. Sila hubungi saya pada talian 999 untuk berurusan.

Monday, November 5, 2007

Bila PM Hanya Pandai Senyum .....

Kata orang, ketika Pak Lah mengambil alih tugas sebagai pemimpin nombor 1 negara, beliau adalah Perdana Menteri paling istimewa berbanding dengan Perdana Menteri lain sebelumnya. Selain daripada mewarisi hasil penat lelah pemimpin terdahulu dalam bentuk negara yang boleh dianggap agak moden dari segi prasarana dan pembangunan, beliau juga dihidangkan dengan segala ramuan yang diperlukan untuk mendirikan negara yang aman, makmur dan progresif. Kekayaan daripada hasil mahsul minyak dan gas, pelaburan asing yang agak memberangsangkan, tenaga kerja yang produktif dan berketrampilan, suasana politik yang stabil, alam sekitar yang kondusif, adalah antara faktor yang banyak menyumbang kepada kejayaan PM sebelum ini dan diharap akan berterusan pada era pemerintahan Pak Lah.

Tetapi antara semua faktor yang diketengahkan, ada satu keistimewaan Perdana Menteri Pak Lah yang tidak ada pada Perdana Menteri dahulu iaitu konsep senyum dan diam. Jikalau kita perhatikan betul-betul, beliau begitu mempercayai pendekatan ini dan telah dijadikan wiridnya sepanjang 4 tahun pemerintahan. Apabila berlaku kemalangan ngeri, beliau akan bersedih sambil menzahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap tindak tanduk mereka-mereka yang lalai. Kemudian apabila berlaku lagi kemalangan, beliau akan mengeluarkan kenyataan yang serupa. Apabila ada tuduhan dibuat terhadapnya, Pak Lah akan senyum dan kemudian terus berkata cerita itu tidak benar dan berhenti setakat itu sahaja. Dan jika sekiranya terlalu banyak tekanan untuk beliau berbuat sesuatu maka jawapan lazim beliau ialah “kita akan siasat” atau “saya tak tahu”. Dan apabila ada skandal yang tercetus, walaubagaimana besar sekali pun, beliau akan buat-buat diam.

Walaupun pendekatan ini amat efektif dan berjaya untuk jangka pendek, tetapi menggunakannya untuk jangka panjang bukanlah satu tindakan yang bijak kecuali jikalau rakyat Malaysia merupakan masyarakat paling bodoh di dalam dunia, mayarakat yang rela diperbodohkan secara berterusan oleh kepura-puraan pemimpin mereka.

Hakikat sebenarnya Pak Lah tidak memiliki keupayaan sebagai pemimpin nombor 1 negara. Selama ini beliau hanya bergantung dengan Tun Mahathir, menerima arahan saja, umpama “pegawai kerajaan - saya yang menurut perintah”, daripada Tun Mahathir untuk sebarang tugas. Pak Lah tidak pernah perlu memikirkan strategi pembangunan negara atau perancangan pembangunan negara secara makro. Semuanya Mahathir “and the gang” yang buat. Kerja Pak Lah ialah senyum dan tawan hati pengundi terutama orang Melayu (tetapi di dalam pilihanraya umum lepas, orang Cina dan India pun tertipu dengan senyuman Pak Lah). Dengan lain perkataan, beliau sentiasa dilindungi oleh kelicikan dan kecerdikan Mahathir selama beliau menjadi pembantunya.

Tetapi sebaik saja Pak Lah menggantikan Mahathir, maka beliau sendiri terpaksa melaksanakan tugas yang maha berat mengemudi negara ke arah yang betul. Tugas ini memerlukan kepakaran yang berbeda dan tidak mampu dilakukan oleh sebarangan orang. Dan ternyata berdasarkan pemerhatian 4 tahun pemerintahan Pak Lah, beliau tidak memiliki ketrampilan yang dimaksudkan dan kini “bahtera” negara berada di ambang bahaya. Pak Lah memaklumi hakikat ini dan cuba menampung kelemahannya dengan mendapatkan nasihat daripada puak-puak tertentu. Malangnya, penasihat-penasihatnya pula sama-sama tidak berkelayakan ditambah pula berkepentingan, menyebabkan keputusan dan tindakan Pak Lah menjadi semacam kalut dan kelam-kabut.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk mengesan fenomena ketempangan ini. Antaranya usaha memerangi rasuah yang bermula dengan agak baik tetapi layu di tengah jalan. Hari ini kita dapati kes rasuah bukan berkurangan malah bertambah hebat dan parah yang turut melibatkan golongan atasan. Laporan Transparency International baru-baru ini meletakkan Malaysia ke tangga yang lebih tercorot berbanding tahun lepas.

Kemudian kita melihat bagaimana skandal klip video Lingamgate didedahkan di hadapan mata kita tanpa ada sebarang usaha konkrit kerajaan Pak Lah untuk menyelesaikannya. Kepentingan politiknya amat ketara kerana menolak usaha-usaha penubuhan Suruhanjaya Di raja bagi menyiasat kebobrokkan sistem kehakiman negara. Sedangkan kes ketuk ketampi bogel “warga Cina” dahulu pun memerlukan Suruhanjaya Di raja apatah lagi skandal yang melibatkan salah satu tonggak negara penting negara!

Tengok bagaimana Pak Lah menanggani isu penipuan dan penyelewengan pilihanraya kampus. Kemudian bagaimana pula dengan isu “pertempuran” sesama pegawai atasan polis, perbalahan dengan Majlis Raja-Raja, kedegilan Suruhanjaya Pilihanraya untuk membetulkan kepincangan, ekonomi negara yang malap, kenaikkan harga barang yang mendadak, membebankan dan berterusan, rasuah yang bermaharajalela, hidup bermewah-mewah pemimpin negara termasuk Pak Lah sendiri, dan pelbagai macam masaalah yang perlukan penyelesaian yang efektif dan segera.

Dan melihat kepada trend pengurusan negara Pak Lah, harapan ini akan tinggal harapan kerana tanda-tanda kepincangan dan kemusnahan semakin hari semakin nyata. Harapan kita hanyalah dengan menunggu Pilihanraya Umum ke 12 diisytiharkan dan bersama-sama memilih pemimpin lain bagi menerajui negara ini bersesuaian dengan komen Tun Mahathir “UMNO tidak akan berubah, rakyat yang perlu berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan”.

Anak Bapa: Tak usah dok pakai televisyen dan akhbar untuk menaikkan imej diri Pak Lah dan suku sakatnya. Hakikatnya kita semakin parah dan akan terus parah dengan kepimpinannya dan UMNO. Kalau senyum sampai ke telinga pun, masaalah negara tidak akan selesai. Kita perlu bersatu dan bertekad untuk menjatuhkan UMNO/BN di dalam pilihanraya akan datang. Itu saja pilihan kita yang tinggal!