Monday, November 5, 2007

Bila PM Hanya Pandai Senyum .....

Kata orang, ketika Pak Lah mengambil alih tugas sebagai pemimpin nombor 1 negara, beliau adalah Perdana Menteri paling istimewa berbanding dengan Perdana Menteri lain sebelumnya. Selain daripada mewarisi hasil penat lelah pemimpin terdahulu dalam bentuk negara yang boleh dianggap agak moden dari segi prasarana dan pembangunan, beliau juga dihidangkan dengan segala ramuan yang diperlukan untuk mendirikan negara yang aman, makmur dan progresif. Kekayaan daripada hasil mahsul minyak dan gas, pelaburan asing yang agak memberangsangkan, tenaga kerja yang produktif dan berketrampilan, suasana politik yang stabil, alam sekitar yang kondusif, adalah antara faktor yang banyak menyumbang kepada kejayaan PM sebelum ini dan diharap akan berterusan pada era pemerintahan Pak Lah.

Tetapi antara semua faktor yang diketengahkan, ada satu keistimewaan Perdana Menteri Pak Lah yang tidak ada pada Perdana Menteri dahulu iaitu konsep senyum dan diam. Jikalau kita perhatikan betul-betul, beliau begitu mempercayai pendekatan ini dan telah dijadikan wiridnya sepanjang 4 tahun pemerintahan. Apabila berlaku kemalangan ngeri, beliau akan bersedih sambil menzahirkan rasa kesal dan kecewa terhadap tindak tanduk mereka-mereka yang lalai. Kemudian apabila berlaku lagi kemalangan, beliau akan mengeluarkan kenyataan yang serupa. Apabila ada tuduhan dibuat terhadapnya, Pak Lah akan senyum dan kemudian terus berkata cerita itu tidak benar dan berhenti setakat itu sahaja. Dan jika sekiranya terlalu banyak tekanan untuk beliau berbuat sesuatu maka jawapan lazim beliau ialah “kita akan siasat” atau “saya tak tahu”. Dan apabila ada skandal yang tercetus, walaubagaimana besar sekali pun, beliau akan buat-buat diam.

Walaupun pendekatan ini amat efektif dan berjaya untuk jangka pendek, tetapi menggunakannya untuk jangka panjang bukanlah satu tindakan yang bijak kecuali jikalau rakyat Malaysia merupakan masyarakat paling bodoh di dalam dunia, mayarakat yang rela diperbodohkan secara berterusan oleh kepura-puraan pemimpin mereka.

Hakikat sebenarnya Pak Lah tidak memiliki keupayaan sebagai pemimpin nombor 1 negara. Selama ini beliau hanya bergantung dengan Tun Mahathir, menerima arahan saja, umpama “pegawai kerajaan - saya yang menurut perintah”, daripada Tun Mahathir untuk sebarang tugas. Pak Lah tidak pernah perlu memikirkan strategi pembangunan negara atau perancangan pembangunan negara secara makro. Semuanya Mahathir “and the gang” yang buat. Kerja Pak Lah ialah senyum dan tawan hati pengundi terutama orang Melayu (tetapi di dalam pilihanraya umum lepas, orang Cina dan India pun tertipu dengan senyuman Pak Lah). Dengan lain perkataan, beliau sentiasa dilindungi oleh kelicikan dan kecerdikan Mahathir selama beliau menjadi pembantunya.

Tetapi sebaik saja Pak Lah menggantikan Mahathir, maka beliau sendiri terpaksa melaksanakan tugas yang maha berat mengemudi negara ke arah yang betul. Tugas ini memerlukan kepakaran yang berbeda dan tidak mampu dilakukan oleh sebarangan orang. Dan ternyata berdasarkan pemerhatian 4 tahun pemerintahan Pak Lah, beliau tidak memiliki ketrampilan yang dimaksudkan dan kini “bahtera” negara berada di ambang bahaya. Pak Lah memaklumi hakikat ini dan cuba menampung kelemahannya dengan mendapatkan nasihat daripada puak-puak tertentu. Malangnya, penasihat-penasihatnya pula sama-sama tidak berkelayakan ditambah pula berkepentingan, menyebabkan keputusan dan tindakan Pak Lah menjadi semacam kalut dan kelam-kabut.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk mengesan fenomena ketempangan ini. Antaranya usaha memerangi rasuah yang bermula dengan agak baik tetapi layu di tengah jalan. Hari ini kita dapati kes rasuah bukan berkurangan malah bertambah hebat dan parah yang turut melibatkan golongan atasan. Laporan Transparency International baru-baru ini meletakkan Malaysia ke tangga yang lebih tercorot berbanding tahun lepas.

Kemudian kita melihat bagaimana skandal klip video Lingamgate didedahkan di hadapan mata kita tanpa ada sebarang usaha konkrit kerajaan Pak Lah untuk menyelesaikannya. Kepentingan politiknya amat ketara kerana menolak usaha-usaha penubuhan Suruhanjaya Di raja bagi menyiasat kebobrokkan sistem kehakiman negara. Sedangkan kes ketuk ketampi bogel “warga Cina” dahulu pun memerlukan Suruhanjaya Di raja apatah lagi skandal yang melibatkan salah satu tonggak negara penting negara!

Tengok bagaimana Pak Lah menanggani isu penipuan dan penyelewengan pilihanraya kampus. Kemudian bagaimana pula dengan isu “pertempuran” sesama pegawai atasan polis, perbalahan dengan Majlis Raja-Raja, kedegilan Suruhanjaya Pilihanraya untuk membetulkan kepincangan, ekonomi negara yang malap, kenaikkan harga barang yang mendadak, membebankan dan berterusan, rasuah yang bermaharajalela, hidup bermewah-mewah pemimpin negara termasuk Pak Lah sendiri, dan pelbagai macam masaalah yang perlukan penyelesaian yang efektif dan segera.

Dan melihat kepada trend pengurusan negara Pak Lah, harapan ini akan tinggal harapan kerana tanda-tanda kepincangan dan kemusnahan semakin hari semakin nyata. Harapan kita hanyalah dengan menunggu Pilihanraya Umum ke 12 diisytiharkan dan bersama-sama memilih pemimpin lain bagi menerajui negara ini bersesuaian dengan komen Tun Mahathir “UMNO tidak akan berubah, rakyat yang perlu berbuat sesuatu untuk membetulkan keadaan”.

Anak Bapa: Tak usah dok pakai televisyen dan akhbar untuk menaikkan imej diri Pak Lah dan suku sakatnya. Hakikatnya kita semakin parah dan akan terus parah dengan kepimpinannya dan UMNO. Kalau senyum sampai ke telinga pun, masaalah negara tidak akan selesai. Kita perlu bersatu dan bertekad untuk menjatuhkan UMNO/BN di dalam pilihanraya akan datang. Itu saja pilihan kita yang tinggal!

No comments: