Monday, September 29, 2008

Ucapan Selamat Hari Raya 'Idul Fitri

Ribuan maaf saya panjangkan kepada semua kerana hampir 2 minggu tidak membuat sebarang “posting” ke dalam blog saya. Sebaik saja saya menulis artikel yang lepas, saya terus ke Madinah dan Mekah bagi menunaikan ibadah umrah dan iktikaf di Masjidil Haram. Alhamdulillah saya selamat tiba semalam selepas 2 minggu melalui pengembaraan rohani yang amat mencabar dan mengasyikkan. Moga-moga Allah menerima ibadat dan taubat kita semua ……

Saya sempat meneliti semua komen daripada anda semua dalam artikel saya yang lepas. Saya rasa sungguh-sungguh terharu di atas sokongan dan doa anda semua. Ini adalah antara azimat yang memberi kekuatan kepada kami sekeluarga di dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Berhubung permintaan daripada beberapa orang pengunjung blog saya, insyAllah akan saya layani di dalam sedikit masa lagi. Ini kerana kesibukkan menguruskan beberapa “backlog” yang bertimbun selepas “hilang” selama 2 minggu. Maaf dan harap bersabar.

Alangkah indahnya kehidupan yang mendakapi kebesaran Allah. Umrah yang saya buat untuk Kakak Hajar begitu bermakna sekali. Detik-detik masa yang saya lalui di sana merupakan butir-butir mutiara yang amat bernilai di dalam menebus hari-hari kehidupan akan datang. Masa di sana juga diguna untuk menilai semula kehidupan dan memperbetulkan prioriti (aulawiyyat) agar asas dan perjalanan hidup menjadi lebih kemas dan kukuh. Permintaan doa daripada rakan-rakan semua telah saya tunaikan. Moga-moga Allah menerima segala doa dan munajat kita.

Sementara itu saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri, Maaf Zahir dan Batin, Kullu ‘am wa antum bi khair. Banyaklah kita bertakbir dan bertahmid menjelang hari yang amat bermakna ini. InsyAllah saya sekeluarga akan pulang ke Perlis hari ini dan akan kembali selepas seminggu. Sehingga itu salam perpisahan dan insyAllah kita berjumpa lagi ….

Sunday, September 14, 2008

Puteriku Siti Hajar - Permata Hati Ayah Dalam Kenangan


Hati mana tak akan pilu apabila anak tersayang diambil di kala kasih sayang sedia terbelai. Perasaan mana tidak hiba apabila permata hati dirampas ketika dalam dakapan mesra. Emosi mana yang tidak terganggu apabila insan harapan ghaib dalam sekelip mata. Mungkin rintihan ini dek kerana “emotional outburst” yang melulu dan tidak terkawal. Tetapi hakikatnya itulah perasaan seorang ayah yang kehilangan anak tercinta ……

Tanggal Isnin 8 September 2008, di kala umat Islam sedang asyik mengerjakan solat sunat Tarawih, puteriku Siti Hajar dalam diam-diam dijemput menemui PenciptaNya. Umurnya yang baru menempuh 23 tahun, pelajar tahun 1 UIA di dalam bidang Bahasa Arab dan memiliki tubuh badan yang sihat bukanlah merupakan alasan untuk memanjangkan usianya. Saat dan ketika puteriku dah sampai, dan sebagaimana janji Allah swt, 1 saat pun tidak akan ditangguhkan apabila ajal dah tiba. Aku pasrah kepada ketentuan Ilahi …….

Kakak, begitulah ia membahasakan dirinya, tidak pernah sakit lebih daripada 2 hari lamanya sebelum ini. Itu pun jarang berlaku. Kakak seorang yang sihat dan aktif di dalam kerja-kerja jamaah dan pelajaran. Secara tiba-tiba Kakak terkena sakit ruam di seluruh badan lebih kurang sebulan yang lalu. Aku ubati Kakak sebagaimana biasa. Ruamnya sembuh tetapi sendi-sendi kakinya pula rasa sengal dan sakit. Ujian darah di SJMC menunjukkan Kakak mengidap “Rheumatoid Athritis” yakni radang sendi di peringkat awal. Menurut doktor yang mana juga aku persetujui, ia hanya kecil, mudah sembuh dan tidak merbahaya. Kakak mengambil ubat-ubatan secara alopati, homeopati dan juga rawatan secara Islam. Hasilnya Kakak hampir sembuh 2 minggu kemudian. Apa yang peliknya, kebiasaan manusia apabila penyakitnya makin sembuh maka tahap kecergasannya pun semakin meningkat. Tetapi tidak dengan Kakak. Kecergasannya semakin menurun walaupun penyakitnya semakin sembuh. Ini yang membingungkanku dan semua orang ……

Lebihkurang 1 minggu yang lepas, Kakak tiba-tiba demam. Demam biasa saja, suhu tinggi sikit dan diiringi dengan batuk dan cirit-birit. Walaubagaimana pun keadaannya tidaklah begitu membimbangkan, musim demamlah katakan …..

Hari Isnin, ketika aku sibuk bersiap untuk ke tempat kerja pada sebelah pagi, isteriku memaklumkan bahawa Kakak merasa sedikit penat hari itu. Aku jenguki Kakak dan mendapati ia sedang berbaring relaks. “Nampak biasa saja,” bisik hati ku lantas bergegas ke tempat kerja. Di sekitar pukul 6.30 petang aku pulang dari kerja dan terus menjenguk Kakak. Pelik hari tu kerana Kakak tidak berbaring di biliknya sebaliknya memilih berada di bilik tetamu. Sebaik aku masuk, terpandang keadaan penat Kakak yang agak melampau sehinggakan kepala dan tangannya tergoyang-goyang di luar kawalan. “Ini sangat serius,” bentak hatiku. Saya cadangkan kepada Kakak supaya kita ke klinik tetapi Kakak menolak dengan lembut. “Kakak tak taulah ayah, Kakak penat betul hari ini. Boleh tak esok saja kita pergi klinik?”,ujarnya dengan nada yang amat memilukan. Hatiku bagai disiat-siat melihat keadaan Kakak. Aku angguk kepala tanda setuju. Aku duduk di sisinya lantas memegang dan mengusap tangan dan muka Kakak. Suhu badan normal, sendi-sendinya pun sudah tidak sakit lagi dan batuknya pun telah ghaib entah ke mana. Kakak berkata ia semakin sihat. Peluhnya keluar mencurah-curah dan ia berselera sekali makan. Walaupun ketika aku amati wajahnya dalam-dalam kelihatan seolah-olah ia seperti nazak tetapi aku cuba nafikan hakikat ini kerana keadaan fizikalnya tampak semakin baik. Baru aku sedari kemudian bahawa Kakak bukan penat biasa tetapi nyawanya semakin pendek dek ditarik perlahan-lahan oleh Malikul-Maut.

Aku berbual-bual mesra dengan Kakak sambil ia memegang erat tangan ku. Apabila aku menarik tangan untuk pergi bersiap berbuka puasa, Kakak merayu supaya aku tunggu sekejap lagi bersamanya. Aku berjanji akan kembali menemani Kakak selepas berbuka puasa di masjid. Sekembali aku dari masjid aku dapati Kakak semakin ok, siap senyum lagi dan meminta ayah pergi bertarawih ke masjid. Dia dah sembuh, katanya. Aku pergi bertarawih dengan agak ceria apabila mendengar pengakuan Kakak. Telepon bimbit pun tidak “bervibrate” ketika solat bermakna semua ok di rumah.

Ketika aku berada 100 meter dari rumah waktu pulang bertarawih, tiba-tiba telepon bimbit berbunyi. “Cepat bang anak kita tak mahu bangun!”, jerit isteriku. Menurut isteriku kemudiannya, selepas aku ke masjid, Kakak minta nak solat segera selepas azan Isya. Selesai solat ia meminta kebenaran maknya untuk berbaring relaks buat seketika. Maknya pun bersetuju dan membiarkan Kakak berbaring sambil ia sendiri menunaikan solat tarawih berhampiran dengan Kakak. Selesai solat witir isteriku berpaling ke belakang dan mendapati Kakak sedang berbaring tidak bergerak-gerak. Ia lantas cuba membangunkannya tetapi Kakak tetap membisu…..

Aku periksa nadinya, cuba mengesan bunyi nafas dan degupan jantungnya, tapi tiada. Aku cuba lakukan CPR, dan sebaik saja aku tiup di mulutnya udara mudah saja sampai ke paru-paru seolah-olah aku sedang meniup melalui straw ke dalam belon. Ini membuktikan bahawa Kakak sudah pergi, pergi selama-lamanya …..

Aku tidak mahu menghampakan isteriku. Lantas aku ajak abang ipar ku untuk mengangkat Kakak ke dalam kereta dan segera menuju ke pusat perubatan berhampiran. Sebaik tiba di pusat perubatan berkenaan, doktor di bahagian kecemasan hanya mengambil masa 10 minit untuk mengesahkan apa yang kami amat takuti, yang Kakak telah pun meninggalkan kita lebih setengah jam yang lalu. Air mata semua berguguran tak tertahan-tahan lagi. Aku cuba gagahi bertahan. Sebagai ayah aku kena pujuk ahli keluarga lain. Bagaimana dapat aku lakukan tugas ini jika aku turut sama terheret di dalam pesta air mata. Berterusan doaku semoga aku diberi kekuatan untuk menghadapi ujian yang amat hebat ini. Alhamdulillah makbul …..

Doktor tidak tahu nak tulis kematian mengejut ini disebabkan oleh penyakit apa. Umur muda dan tidak ada sejarah sebarang penyakit merbahaya. Dia meminta saya bersetuju dihantar ke hospital kerajaan untuk dibedahsiasat. Aku merayu dan merayu supaya jenazah puteriku tidak disiksa begitu rupa. Berkat doa dan pertolongan semua, sekali lagi Allah swt makbulkan doaku. Jenazah Kakak sedia untuk dibawa pulang ke rumah. Di saat itu pusat perubatan sudah dibanjiri oleh saudara dan rakan yang datang untuk berkongsi sedih. Di sekitar 1.30 pagi, jenazah Kakak sudah ada di rumah menunggu esok untuk dikebumikan. Ayah dan makku di kampong sudah luluh di dalam tangisan hiba. Mereka segera bertolak dari Perlis untuk bersama berkabung bersama keluargaku. Rakan taulan dan saudara mara tidak putus-putus berkunjung ke rumah ku sehingga ke subuh. Pukul 11 pagi Kakak dimandi, dikapan dan disolat jenazah (yang aku imami) sebaik saja selesai solat zohor. Menurut sorang Pak Aji yang tinggal berdekatan masjid mengakui bahawa ini adalah sejarah kehadiran paling ramai makmum bersolat jenazah sejak masjid ini mula dibuka. Rezekimu Kakak ……

Kakak selamat dikebumikan di Seksyen 21, Shah Alam sekitar jam 3.00 petang. Ayahku sendiri yang membuat tazkirah dan doa selepas selesai upacara pengkebumian. Kami sekeluarga pulang, pasrah kepada ketentuan Ilahi bahawa Kakak telah pergi buat selama-lamanya menemui allah rabbuljalil.

Ramai teman bertanya bagaimana aku boleh begitu “cool” menghadapi saat-saat kematian puteri sulong tercinta. Jawapannya mudah, kerana kekuatan yang Allah beri kepada ku. Kakak pergi dalam keadaan yang paling baik yang boleh kita minta. Ia anak yang sentiasa patuh kepada ibubapa, berakhlak mulia, sentiasa menjaga kehormatan diri dan ibadat. Malah ketika berbaring, lidahnya tidak lekang membaca Al-Qur’an dan berwirid. Kakak adalah insan yang mudah bertolak ansur dalam bab keduniaan. Jawapannya sentiasa,”Ikut suka hati ayah …..”. Walaubagaimanapun, Kakak begitu tegas dalam bab agama. Berapa kali bapa saudaranya ditegur kerana masih merokok. Kakak diberi pendidikan agama sejak kecil sehingga di Universiti, samada di sekolah atau di rumah. Kakak seorang yang rajin di dalm kerja-kerja jamaah dan memang memiliki jiwa pemimpin. Kehadiran ramai temannya dari UIA membuktikan hakikat ini. Di samping itu Kakak sangat cemerlang di dalam pelajarannya. Beberapa hari selepas meninggal dunia, kami menerima sepucuk surat daripada UIA memaklumkan Kakak tersenarai di dalam Senarai Dekan kerana kecemerlangan akademiknya. Saya menyaksikan sendiri banyak tanda-tanda kurniaan Allah kepada Kakak. Bilik tempat Kakak meninggal dunia harum semerbak bau bunga-bungaan (sehingga ke hari ini) walaupun kita tak pernah bawa masuk sekuntum bunga pun ke dalam rumah. Waktu dimandi jenazahnya oleh maknya tak ada sedikit najis apa pun keluar darinya. Wajahnya puteh berseri-seri, lembut ayu dan tersenyum seolah-olah seperti sedang tidur. Kombinasi semua ini dan banyak lagi memberikan seribu alasan untuk kami lebih gembira daripada bersedih di atas pemergiannya. Namun sebagai ayah, kehilangan Kakak tetap dirasai dan dirindui. Kakak telah membawa bersama secebis hati ayah yang tak mungkin dapat ayah perolehi kembali di dunia ini. Ayah sayang kepada Kakak dunia hingga ke akhirat ……..

Anak Bapa: Moga Allah cucuri ruh Kakak dan ditempatkan di kalangan orang yang solihin …….

Friday, September 5, 2008

Usul Undi Tidak Percaya Terhadap Pak Lah & Najib


Saya masih menunggu sampai saat dan ketika ini komen daripada Pak Lah dan Najib berhubung usul daripada sebuah cawangan UMNO di Langkawi dan UMNO Selangor yang mencadangkan supaya UMNO memanggil balik mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir untuk mengemudi pemerintahan negara ini. Saya tak tahu samada Pak Lah dan Najib faham atau tidak makna usul ini dan implikasi kepada kewibawaan mereka buat masa ini. Takkan “serangan” yang paling terbuka begini pun masih mereka tak faham-faham lagi! Atau buat-buat tak faham pula.

Kenyataan terbaru akar umbi UMNO ini jelas menunjukkan bahawa mereka telah berputus harap kepada pimpinan UMNO untuk memulih kembali kekuatan UMNO dan BN. Jikalau semata-mata Pak Lah yang mereka pertikaikan sudah barang tentu usul mereka ialah meminta Pak Lah meletak jawatan dan diganti dengan Najib. Tetapi tidak. Mereka bukan sekadar tidak percaya kepada Pak Lah dan Najib, malah kesemua pimpinan tertinggi UMNO. Ekoran daripada kekecewaan inilah mereka merasakan bahawa hanya Tun Mahathir saja yang mampu berbuat sesuatu untuk menyatukan ahli-ahli UMNO dan lantas mengembalikan kegemilangan UMNO.

Bagi saya mesej daripada akar umbi ini cukup jelas. Mereka tidak perlu menunggu usul undi tidak percaya daripada Pakatan Rakyat terhadap Pak Lah. Mereka terlebih dahulu mengusulkan undi tidak percaya kepada Pak Lah dan seluruh pimpinan UMNO dengan meluluskan usul memanggil balik Dr. M menerajui UMNO. Persoalannya adakah pimpinan UMNO yang terkenal dengan kulit muka yang tebal akan akur kepada mesej ini?

Satu lagi andaian yang kita boleh buat daripada usul ini ialah bagaimana tandusnya UMNO dengan pemimpin yang berwibawa dan berkualiti. Dr. M bukanlah hebat sangat. Mungkin beliau berjaya sedikit sebanyak di dalam aspek pembangunan ekonomi negara tetapi jangan kita lupa pelbagai kerosakkan yang berlaku di zamannya termasuk gejala rasuah yang begitu menonjol, krisis kehakiman, kekejaman terhadap pembangkang, pemerintahan ala diktator dan sebagainya. Dengan memanggil balik Tun M, UMNO berundur ke belakang ke zaman kegelapan dan kezaliman. Tambahan pula Tun dah lama keluar UMNO. Nampak bercelaru benar pemikiran orang-orang UMNO kebelakangan ini. Arah mana mereka nak pergi, Allah sahaja yang tahu. Ada yang nak undur ke belakang dan ada yang nak ke depan tetapi tak tahu pula arah mana? Ibarat kalau kapal bukan setakat 2 orang kapten, silap-silap 4 atau 5 orang kapten. Jikalau dah begitu keadaannya anda bayangkanlah sendiri keadaan rumahtangga UMNO dan apa akan berlaku seterusnya ………

Anak Bapa: (Sambil menggeleng kepala) Kasihaaaaaaaaan ……. (elok masuk PAS ramai-ramai sebelum kapal karam).

Monday, September 1, 2008

Wajar Blogger Anti Husam Bertaubat Menjelang Ramadan


Saya terkejut menatap tulisan-tulisan daripada blog Anti Husam http://www.antihusam.blogspot.com/
beberapa hari yang lepas. Walaupun blog berkenaan telah wujud sejak Julai 2008, tetapi saya baru berkesempatan menatapnya beberapa hari lepas. Itu pun selepas disuruh berkali-kali oleh teman dan rakan supaya memberi komen peribadi tentang blog berkenaan.

Sebenarnya saya kurang berminat melibatkan diri dalam perkara-perkara yang melibatkan urusan peribadi orang lain. Macam kata sahabat-sahabat kita, “silap-silap dapat dosa kering aje nanti”. Tetapi selepas meneliti beberapa artikel yang dimuatkan di dalam blog berkenaan, saya berasa sungguh terkilan dan dalam masa yang sama amat marah terhadap sikap blogger berkenaan yang kerjanya “lempar batu sembunyi tangan”.

Berdasarkan kepada intipati tulisannya saya dapat buat kesimpulan berikut:

Blogger ini mempunyai jawatan atau kenalan di kalangan pemimpin tertinggi PAS. Ini berdasarkan kepada butir-butir penulisannya yang ada kaitan dengan kejadian sebenar cuma andaian dan kesimpulannya tersasar daripada fakta sebenar, atau dalam bahasa mudahnya “fitnah”. Contohnya apabila dia berkata bahawa YB Khalid Abd Samad telah merekomenkan seorang Cina (daripada Taman Berkeley) sebagai calun ahli majlis MBSA, ini bukannya kerana cinta atau sayangnya yang mendalam kepada Cina berkenaan tetapi kerana kelayakan beliau dari segi pendidikan dan pengalaman, dan banyak membantu PAS di dalam pilihanraya baru-baru ini. Saya amat mengenali YB Khalid secara dekat sejak 25 tahun yang lampau, dan yakin bahawa beliau bukan jenis yang suka mengata orang atau mengambil kesempatan daripada kedudukannya. Memang betul beliau sangat vokal dan lantang di dalam sebarang penghujahan beliau baik di majlis-majlis PAS atau lainnya tetapi itu bukan bertujuan untuk menjatuhkan atau memalukan sesiapa. Ia lebih kepada bertujuan memantapkan sebarang keputusan yang bakal dibuat. Tentang samada beliau menyertai parti apa pun sebelum ini itu bukanlah menjadi persoalan kerana jikalau itu merupakan satu kesalahan saya yakin ahli PAS mungkin tinggal kurang daripada 1 ribu orang, yakni yang PAS tulin saja yang tinggal. Apa yang penting ialah kesetiaan dan komitmen beliau kini di dalam jamaah, yang saya yakin amat kukuh dan kuat, insyAllah.

Fitnah blogger berkenaan ke atas Husam lagi berat. Kononnya Husam menyertai rombongan Anwar ke Timur Tengah dan ada pula dijanjikan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Menteri apabila PR berjaya memerintah Malaysia kelak. Fitnah ini pun telah dijawab oleh Husam dan anda semua boleh membaca sendiri di dalam blog beliau,
http://cetusan-hati.blogspot.com/.

Blogger ini amat tidak menyukai PR dan lebih berminat ke arah perpaduan Melayu dan Islam (baca minat bergabung dengan UMNO). Serangan beliau tertumpu kepada semua pimpinan PAS Pusat yang diketahui menentang keras sebarang usaha mendekati UMNO untuk tujuan penggabungan kuasa. Oleh itu kita lihat serangan beliau ditumpukan kepada Kamarudin Jaafar, Husam Musa, Dr. Hatta Ramli, Mahfuz Omar, Khalid Abd Samad, Dr. Syed Azman, Dr. Zulkifli Ahmad, Salahudin Ayub, Dr. Mujahid Yusuf, Dr. Lo’Lo’, Dr. Mariah, Hanifah Maidin dan lain-lain lagi. Hamba Allah ini memberi gambaran seolah-olah semua pimpinan kita ini ada agenda peribadi dan tersembunyi bersama PR. Jikalau begini ramai dibabitkannya dengan tuduhan dan fitnah yang jijik dan jelek, saya tak tahu siapa lagi yang tinggal di dalam PAS untuk meneruskan perjuangan. Tambahan pula mereka ini telah lama di dalam perjuangan dan telah membuktikan kesetiaan dan amanah mereka di dalam perjuangan. Kalau pun ada kemungkinan kepentingan peribadi (minta perlindungan daripada Allah swt), saya yakin takkan melibatkan kesemua pimpinan kita secara serentak. Tetapi kalau si blogger anti husam ini besar kemungkinan ada, sebab dia lahap sangat nak rapati UMNO. Betullah dia guna perkataan “kepimpinan ulama’” dan Islam, tetapi hakikatnya dia ada agenda peribadi dan laungan Islamnya itu adalah lebih kepada “smokescreen”.

Satu perkara yang pelik saya kesani di dalam blog berkenaan ialah dia tak berani nak hentam Tok Guru Nik Aziz sedangkan Tok Guru yang paling keras dan awal menentang usaha penggabungan kuasa dengan UMNO ini. Sebabnya mudah saja, jikalau dia hentam Tok Guru maka dia sendiri akan kena seranah daripada ahli-ahli PAS. Sikap “double-standard” blogger ini cukup jelas di dalam hal ini.

Saya tak nak ulas lebih panjang isu berkaitan blog anti husam ini kerana saya anggap ia penuh dengan sampah sarap fitnah. Saya juga ingin menasihatkan rakan-rakan semua supaya tidak membuang masa membaca benda-benda mengarut ini. Elok kita isi bulan Ramadan ini dengan menulis dan membaca benda-benda yang baik aje. Saya juga ingin menasihatkan si blogger ini supaya insaf dan bertaubat daripada membuat onar dengan fitnah yang boleh merosakkan sahabat-sahabat seperjuangan kita dan juga dirinya sendiri. Jikalau kita menjunjung “kepimpinan ulama’” takkan pula kita bebas menfitnah saudara seagama yang lain. Dan adakah Islam tidak membenarkan sebarang perbedaan pendapat? Apa yang dibuat oleh sahabat-sahabat kita ini yang bercanggah dengan keputusan parti? Sebaliknya geng blogger ini yang sebenarnya melanggar etika bersyura dengan membuat kerja di dalam gelap. Keputusan di dalam muktamar baru-baru ini membuktikan dengan jelas hakikat ini. Renung-renungkanlah ……..

Anak Bapa: Daripada gaya bahasa dan penulisan blog ini saya dapat buat tekaan siapa sebenar manusia yang di belakangnya. Percayalah sahabat-sahabat semua bahawa makhluk ini amat merbahaya kepada jamaah dan dia bertindak atas kehendak peribadinya dan bukan untuk kepentingan jamaah. Saya yakin Allah swt akan mendedahkan penyamarannya tidak lama lagi. Sementara itu, marilah kita sama-sama memberi tumpuan membanyakkan ibadah di bulan yang mulia ini dan salah satu daripada tugas ini ialah memperkukuhkan ukhuwwah di kalangan kita dan bukan menyemai bibit-bibit perpecahan.