Monday, April 27, 2009

Ekoran Tulisan Nik Abduh: Awas Perangkap UMNO


Nampaknya isu muqabalah dan kerajaan perpaduan masih lagi panas di pasaran. Kenyataan terakhir Nik Abduh di dalam blognya telah menghangatkan lagi suasana pemilihan barisan pimpinan di peringkat kawasan yang sedang berlangsung sekarang dan diikuti dengan dewan-dewan dan seterusnya di peringkat PAS Pusat pada muktamar pada bulan Jun nanti. Saya ada mengikuti pandangan pelbagai pihak samada yang menyokong atau membantah tulisan Nik Abduh dan merasa terpanggil untuk melontar beberapa cetusan idea saya yang mungkin tak pernah tinggi nilainya.

Pertamanya saya sangat mengalu-alukan pendekatan perbincangan, syura, percambahan minda, penghujahan, perdebatan dan apa saja yang sewaktu dengannya di dalam kita membicarakan perkara-perkara penting di dalam jamaah asalkan ia berpaksikan kepada pembudayaan ilmu. Dan sudah sewajarnya penggunaan kata-kata kesat, pembohongan dan penyelewangan fakta tidak termasuk di dalam etika perbincangan apatah lagi jika ia dibuat di dalam konteks sebuah gerakan Islam. Kita tidak boleh menyekat perkembangan budaya yang sihat ini kerana ia menjadi teras kekuatan pembangunan keilmuan Islam sejak zaman berzaman. Perbedaan pendapat tidak wajar dianggap sebagai tidak berakhlak atau tidak wala’ kepada kepimpinan. Tuan Guru Nik Aziz (TGNA) sendiri, apabila ditanya berhubung isu kerajaan perpaduan dan muqabalah, pernah berkata bahawa isu sebesar ini (yakni berkaitan dengan UMNO dan BN) perlu dibawa berbincang di dalam EGM (Mesyuarat Agung Khas) kerana kita perlu mendapat pandangan akar umbi kita. Saya yakin ini kehendak majoriti ahli PAS yakni supaya kita berbincang dengan teliti dan mendengar pandangan semua pihak sebelum kita buat keputusan yang amat besar ini.

Saya tidak nampak permintaan ini sebagai amat tidak munasabah atau sebagai tidak wala’ kepada kepimpinan sedangkan pimpinan kita selalu bercakap kita perlu menegur pemimpin jika kita dapati atau mengesyaki mereka melakukan kesalahan. Tradisi menegur pemimpin ini bukanlah perkara baru dan ia sarat di dalam seerah Nabi saw dan seerah Khulafa’ Ar-Rashidin rh. Ucapan Saidina Abu Bakr ra ketika dilantik menjadi Khalifah Islam yang pertama telah menyatakan bahawa beliau bukanlah yang terbaik dari kalangan ramai. Jika beliau melakukan yang betul maka taatinya dan jika ia melakukan yang salah maka betulkannya. Benar itu amanah dan bohong itu khianat. Saidina Umar ra sendiri pernah diunjukkan dengan pedang oleh seorang sahabat apabila beliau meminta menegurnya jika beliau berbuat salah.

Fenomena ini jelas menunjukkan betapa penting kita kembali bersama-sama menghayati tradisi pembudayaan ilmu dan konsep syura sebenar sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para sahabah rh agar kita dapat membuahkan pandangan dan keputusan terbaik dan diikuti tindakan yang bersepadu daripada semua lapisan ahli kita. Elakkan merendah-rendahkan pandangan orang lain dengan cara yang menghina dan bersifat peribadi. Bukankah Rasulullah saw ada bersabda bahawa sampaikan daripadanya walaupun satu ayat? Adakah golongan tertentu (yakni yang ada sijil belajar agama) saja yang berhak bercakap tentang Islam? Siapalah kita untuk berkata si pulan dan si pulan ini saja yang berhak bercakap tentang Islam dan yang selainnya tak layak sedangkan mempelajari Islam itu tanggungjawab semua yang mengaku mukmin muslim? Jika ada individu tu bercakap benda yang salah maka tegurlah di bahagian mana yang salah bukan dengan cara ‘shoot the messenger’ (yakni hukum si yang becakap). Kita mesti ada keberanian untuk memenangkan pandangan kita melalui penghujahan yang kukuh dan meyakinkan, dan bukan dengan serangan peribadi dan penggunaan kata-kata yang tidak wajar. Kecenderungan untuk ‘mensekularisasikan’ agama yakni bab agama adalah hak ‘ustaz-ustaz’ saja dan orang lain tidak boleh langsung membicarakannya amatlah merbahaya dan tidak selaras dengan tuntutan agama kita. Saya yakin ramai dari kalangan kita yang tidak belajar Islam secara ‘formal’ (yakni tanpa sijil) tetapi telah mempelajari dan mendalami agama secara tidak formal di merata tempat tanpa jemu dan secara berterusan dalam hidup mereka. Mungkin ini tidak melayakkan mereka bergelar ulama’ tetapi dalam masa yang sama tidaklah boleh dijadikan alasan untuk menghalang mereka daripada membicarakan bab-bab yang berkaitan agama setakat kemampuan ilmu yang ada pada mereka. Inilah tradisi keilmuan sebenar yang dituntut oleh Islam. Oleh itu muhasabah dan munaqashah kita adalah proses berterusan sesama kita dari semua lapisan di dalam membentuk keputusan dan tindakan.

Muktamar Agung PAS tahun lepas, yang merupakan badan tertinggi PAS, telah membuat keputusan supaya kita memperkukuhkan Pakatan Rakyat. Jadi selagi tidak ada mesyuarat agung khas atau pertemuan lain yang sama taraf dengannya diadakan untuk membuat keputusan yang lain, maka adalah ‘haram’ kita membuat kerja yang bercanggah dengan keputusan ini. Malangnya ada di kalangan kita yang tak faham etika bersyura dan telah bertindak di sebalik keputusan ini. Harap jangan salahfaham apa yang saya cuba bangkitkan ini. Saya tidak kata keputusan ini baik atau tidak baik. Apa yang saya ingin tekankan ialah aspek displin syura. Jika kita rasakan bahawa keputusan muktamar berhubung isu Pakatan Rakyat didapati tidak begitu sesuai maka bawa semula ke muktamar agung khas dan kita bincang semula dan buat keputusan lain. Lepas tu apa keputusan pun yang diputuskan bersama semua kena terima dan laksanakan. Inilah apa yang saya maksudkan dengan akhlak bersyura yang nampak masih longgar di dalam jamaah kita.

Keduanya, keyakinan banyak pihak bahawa kita (yakni Melayu Islam) akan lebih selamat jika kita bergabung dengan UMNO adalah satu pandangan yang amat merbahaya kepada keutuhan jamaah. Ini berdasarkan kepada kajian semasa dan pengalaman lepas berinteraksi dengan UMNO. Bayangkan di kala kita dengan slogan ‘PAS For All’ atau ‘PAS Untuk Semua’ telah berjaya memecahkan tembok yang memisahkan antara PAS dengan golongan bukan Melayu (hakikat yang diakui semua), wajarkah dalam nafas yang sama ‘berkhalwat’ dengan UMNO bagi tujuan membentuk kerajaan haram yang dibenci oleh majoriti ahli dan penyokong kita sendiri. Bayangkan jika usaha ini berjaya dilakukan, apakah yang akan berlaku? Awal-awal lagi masyarakat bukan Melayu akan meninggalkan kita atas pengkhianatan ini dan kita tidak akan mendapat kepercayaan mereka lagi untuk satu jangka masa yang amat lama. Ahli-ahli PAS malah PAS sendiri berkemungkinan akan berpecah teruk menyebabkan kita lemah dan lesu. Jika kita berjaya memerintah dengan UMNO pun, dan dikurniakan dengan pelbagai jawatan penting, kita tetap akan menjadi kuda tunggangan mereka kerana dari segala segi kita memerlukan mereka untuk terus berkuasa. Bayangkan selepas setahun dua apabila mereka dah ada kekuatan, kita akan lihat tembelang sebenar UMNO dan di kala itu apa yang PAS boleh buat? Berdasarkan pengalaman lepas, apabila UMNO rasa mereka dah kuat dan PAS tak diperlukan lagi, mereka akan cari jalan bagaimana untuk menendang kita keluar. Di kala itu kita akan tersungkus ke tanah tanpa ada sesiapa yang sanggup menyambut kita. Ini tidaklah menghairankan kerana siapa yang nak sambut orang yang pernah bergelar pengkhianat?

Saya tidak menyatakan bahawa tidak boleh ada muqabalah atau muzakarah atau perpaduan atau sebagainya dengan UMNO atau BN. Apa yang saya katakan ialah kita perlu berdiri atas platform PR di dalam mendepani pendekatan politik sebegini kerana kita sudah ada persefahaman dengan parti komponen PR. Maknanya jika BN ingin berbincang tentang usaha bersama menanggani kemelut ekonomi atau yang sewaktu dengannya maka kita akan pergi atas PR. Dengan cara ini kita dapat mengelakkan salahfaham sesama kita dan dalam masa yang sama menjaga kewibawaan parti kita. Perbedaan pendapat dan pandangan antara parti di dalam PR adalah biasa dan macamana biasa juga boleh diselesaikan melalui perbincangan dan permuafakatan. Malah di dalam BN pun mereka sering berbeda pandangan atau bergaduh sesama sendiri. Adakah kita sudah tak pandai nak berbincang dan berpakat dengan orang lain dan apabila ada masalah sikit kita terus nak ‘abandon the ship’? UMNO ini bukan saja terkenal di dalam menekan dan menipu parti lain tetapi sesama mereka pun mereka bergigitan dan bercakaran. Tengok hukuman terpilih yang mereka buat ke atas Isa Samad dahulu dan baru-baru ini Ali Rustam. Lihat bagaimana mereka ‘mengenakan’ Khairy Jamaluddin apabila barisan Kabinet dibentuk. Ketika kita sibuk tengah bincang isu muqabalah dan kerajaan perpaduan pun UMNO siap rampas kerajaan Perak yang bermenteribesarkan PAS! Pendek kata banyak lagi boleh kita ceritakan di sini tentang kisah pengkhianatan UMNO. Mungkin kita boleh sambung di lain masa dan ketika.

Pengajarannya ialah kita perlu berhati-hati dengan UMNO kerana UMNO telah seringkali mengkhianati kita dan umat Islam. Apa saja pendekatan yang bertujuan mendekati UMNO atau apa saja perlu dibincang dengan teliti dan dimaklumi oleh akar umbi bagi mengelak persengketaan sesama kita. Kenyataan pimpinan yang dikeluarkan perlulah berhemat dan dibuat dengan penuh hikmah. Janganlah kebencian kita kepada seseorang menyebabkan kita berlaku zalim terhadapnya. Kesimpulannya kita semua akan berdepan dengan Allah rabbul jalil untuk dipertanggungjawabkan atas segala percakapan, tulisan dan tindak-tanduk kita. Moga Allah mengampunkan kita semua.

Anak Bapa: Islam mengajar kita ”Kalau Islam kuat, Melayu, Cina dan India (malah apa bangsa sekali pun) akan selamat ......”. Segelintir pimpinan PAS pula berpandangan ”Kalau Melayu kuat, Islam dan bangsa-bangsa lain akan selamat ......”. Apa pandangan anda?

Wednesday, April 22, 2009

Apa Yang Dr. Mahathir Nak Lagi?


Dia dah jadi Perdana Menteri selama 22 tahun lebih, yang mana merupakan PM paling lama dalam sejarah negara Malaysia. Sepanjang pentadbirannya banyak rekod yang telah dicipta. Dia telah berjaya membina menara tertinggi di dunia, lapangan terbang tercanggih, pusat pentadbiran kerajaan termoden, lebuhraya-lebuhraya terunggul, kereta nasional buatan tempatan dan segala macam pembangunan kebendaan lain yang sesiapa saja akan teruja menikmatinya.

Itulah Tun Dr. Mahathir, ’negarawan’ yang sangat disanjungi terutama oleh orang-orang UMNO. Sememangnya Dr. Mahathir memang ’smart’ di dalam segala segi dan dia tanpa segan silu telah menunjukkan keberaniannya sepanjang pentadbirannya yang lepas dengan melaksanakan segala apa yang ia hajati tanpa risau kepada kritikan atau tohmahan sesiapa. Sekali imbas nampak hebat karakter ini, tetapi ’looks can be deceiving’.

Sepanjang pentadbiran Dr. Mahathir kita juga telah melihat bagaimana rasuah mula menular dan kini berakar umbi di negara kita. Walaupun Dr. Mahathir menangis di dalam mesyuarat agung UMNO kerana gejala politik wang (aka rasuah) yang berleluasa di dalam UMNO, tetapi ia tidak menyekat penglibatan semua peringkat ahli dan pimpinan UMNO di dalam budaya yang menguntungkan itu sehingga ke hari ini. Tun telah mendidik rakyat supaya menerima rasuah dengan acapkali menggunakannya apabila berlangsung pilihanraya. Rakyat dihidangkan dengan projek ’mee segera’ dan sogokan sepanjang waktu pilihanraya. Kroni dan kaum kerabat BN berterusan di’hadiahkan’ dengan habuan projek di atas kesetiaan dan sokongan kuat kepada BN. Apabila budaya ini telah berakar umbi di dalam masyarakat maka terlalu sukar untuk dihapuskan.

Dr. Mahathirlah yang mengisytiharkan ’perang’ kepada raja-raja Melayu, hakim-hakim, peguam-peguam, kesatuan-kesatuan sekerja dan sesiapa saja yang menentang kehendaknya. Sejarah menjadi saksi bagaimana Team A dan Team B terbentuk di zamannya dalam apa jua institusi masyarakat pada masa itu hasil daripada ’air tangan’ Mahathir. Malah dengan timbalannya sendiri pun beliau ’berperang’ sehingga Musa Hitam, Ghaffar Baba dan Anwar Ibrahim sendiri yang terpelanting dengan tindakan jijik Tun Mahathir. Jika rakan sendiri pun hancur dengan Mahathir bagaimana pula nasib mereka-mereka yang dari kalangan pembangkang. Walaupun Tun pun membebaskan tahanan ISA ketika dinobatkan menjadi PM (malah lebih ramai daripada yang Najib bebaskan) tetapi tahanan baru ISA di bawah pentadbiran Mahathir jauh lebih ramai terutama daripada kalangan pembangkang.

Anak Bapa boleh terus berbicara mengenai kebobrokan Mahathir, dan diyakini banyak lagi yang boleh kita bincangkan tetapi cukup setakat itu untuk memberi gambaran musibah yang bakal menimpa jika kita terus menerus mengambil sikap tidak mempedulikan tindak tanduk pemimpin dan mengamalkan budaya kagum pemimpin. Jika tidak ada ’check and balance’ dan pertanggungjawaban terhadap pimpinan oleh rakyat maka akhirnya bencana pasti menimpa kita, tidak kira samada pimpinan BN atau PR atau sesiapa saja.

Persoalannya di sini ialah kenapa Dr. Mahathir, yang telah mengisytiharkan ’bersara’ daripada politik, masih lagi mahu mencampuri urusan pentadbiran secara aktif di kala rekodnya sendiri amat memalukan? Betul ada juga kebaikannya tetapi keburukannya jauh lebih banyak. Apa yang dia sibuk nak ganggu Pak Lah dan kini Najib di dalam urusan pentadbiran negara di kala dia telah diberi peluang memerintah dengan agak lama dan rekod buruknya saja yang dapat dipertontonkan? Cukuplah tu Dr. Mahathir, ’enough is enough’. Bagilah peluang idea orang lain pula nak digunapakai. Idea Tun dah terlalu uzur dan hampir ketandusan dimamah usia. Adalah lebih elok Tun gunakan saki baki umur yang tinggal untuk banyak belajar mengenai agama, beribadat dan beramal bakti membantu mereka-mereka yang kurang bernasib baik. Nasihat saya kepada Najib, tak usah dok peduli kepada kritikan dan tohmahan Tun kerana jika kamu betul-betul ingin nak buat perubahan, perubahan itu hendaklah dari kamu sendiri dan bukan daripada Dr. Mahathir. Jika kamu silap percaturan dan tunduk di bawah desakan Tun, yang dah pun diketahui umum memang bermasalah, tunggulah saat-saat kehancuran UMNO dan BN.

Anak Bapa: Najib memang pening betul sekarang. Apa taknya? Satu puak diketuai Dr. Mahathir, satu lagi diketuai oleh Khairy, dan tidak lupa satu lagi kelak yang akan diketuai oleh Rosmah. Yang mana satu Najib nak dengar? Anda semua jawablah sendiri dan 'good luck to you', Najib!

Sunday, April 19, 2009

Sejak Bila UMNO Begitu Prihatin 'Pembaziran' Duit Rakyat?


Sekonyong-konyong maka tercetuslah daripada mulut PM baru kita (yang jadi PM tanpa mendapat mandat baru rakyat) bahawa Pakatan Rakyat suka mempermain-mainkan demokrasi dengan sengaja mengosongkan kerusi DUN Penanti di Pulau Pinang bagi tujuan menyusahkan rakyat dan menghabiskan wang negara. Ujarnya lagi PKR memang mempunyai agenda tersembunyi kenapa mereka ingin adakan PRK di Penanti.

Anak Bapa pun naik serba salah samada nak marah atau ketawa mendengar hujah yang kacau bilau ini. Memanglah PR ada agenda tersembunyi, bukan setakat mengadakan PRK di Penanti malah apa saja aktiviti untuk memusnahkan UMNO dan BN. Ini kerana kami tak mahu lagi melihat BN terus memerintah negara ini. Kalau agenda PR semua didedahkan kepada BN itu bukan cerdik namanya sebab BN musuh politik PR. Faham ke? Dan adakah dengan mengosongkan kerusi DUN dianggap mempermain-mainkan demokrasi? Mungkin BN lebih rela cara lompat katak sebagaimana yang mereka amalkan sekarang jika ingin menukar parti atau biarkan saja rakyat dengan ADUN yang tidak berfungsi jika sudah jemu jadi ADUN? Mungkin cara itu lebih demokratik bagi BN? Apabila ADUN yang ada merasakan yang dirinya tidak berupaya lagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat atas apa alasan sekalipun maka beliau perlu segera mengosongkan kerusinya supaya pemilihan baru dapat dibuat oleh rakyat. Inilah yang dikatakan demokrasi sebenar dan yang luhur.

Kita pun faham BN bukan tak suka pilihanraya tapi mereka sebenarnya TAKUT buat masa ini dengan pilihanraya. Apa taknya? Kita lihat saja kesemua PRK di Semenanjung selepas PRU ke 12. Semua telah dimenangi oleh PR dengan majoriti yang bertambah. Di kawasan yang 50%:50% komposisi Melayu dan kaum lain pun menang dan di kawasan yang Melayu lebih ramai daripada kaum lain (Bukit Gantang Melayu 63% dan Kuala Terengganu Melayu lebih 90%) pun PR menang! Jadi kawasan yang macam mana yang selamat untuk BN ketika ini?

Jadi alasan yang tinggal ialah pilihanraya ini tidak perlu dan ia hanya menghabiskan duit rakyat. Aisehman! Sejak bila yang UMNO begitu prihatin tentang kononnya pembaziran duit rakyat? Wang negara yang berbilion-bilion jumlahnya mereka agih-agihkan kepada kroni mereka dalam bentuk projek mega dan mewah, rasuah yang dikutip sehingga ratusan juta, dan perbelanjaan untuk kemewahan hidup anak beranak mereka yang tidak pernah ada had, itu tak pernah diambil peduli. Segala teguran yang dibuat oleh PR mereka buat-buat pekak. Agenda memewahkan anak beranak kroni mereka tetap berterusan “business as usual” dulu, kini dan selamanya. Jadi tak usah bercakap membazirkan duit rakyat apabila demokrasi perlu kita julang kerana manfaatnya akan kembali kepada rakyat. Tetapi apa yang pasti, projek-projek mewah dan rasuah tidak akan memanfaatkan rakyat teramai. Ia hanya untuk suku sakat UMNO dan BN memuaskan nafsu serakah mereka saja!

Anak Bapa: Kali pertama kita lihat BN kecut perut berdepan dengan PR. Macamana PM baru yang cakap berdegar-degar tapi tak berani berdepan dengan rakyat. Kalau dengan rakyat beliau takut, Najib ni nak jadi PM untuk siapa atau untuk apa?

Monday, April 13, 2009

PAS Kelana Jaya dan Isu Kepimpinan Ulama


Sebaik saja keputusan pemilihan AJK PAS Kawasan Kelana Jaya diumumkan, saya menerima sms dan panggilan bertubi-tubi dari merata tempat berhubung kemenangan diamanahkan jawatan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kelana Jaya. Blog-blog juga dengan kadar segera sudah menyiarkan perjalanan mesyuarat agung PAS kawasan menjelang malam Sabtu lepas terutama menyentuh aspek kemenangan saya dan juga pencalonan Datuk Husam Musa sebagai Timbalan Presiden PAS.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang memberi tahniah dan juga kepada ahli-ahli PAS Kawasan Kelana Jaya yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan kepada saya. Di masa yang sama saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kepimpinan yang lepas yang telah banyak memberikan sumbangan kepada parti. Hanya Allah saja yang dapat membalas budi kalian.

Saya juga faham dan insaf bahawa amanah yang besar dan berat yang kini terpikul di atas bahu saya. Saya bukanlah yang terbaik dan hanya bersetuju menerima jawatan ini apabila ahli-ahli PAS begitu mengharapkan kepimpinan baru dan bersedia bekerja secara berpasukan demi memperkasakan parti. Terus terang saya katakan tidak terlintas di dalam fikiran untuk seronok-seronok merebut jawatan. Amanah sebagai pemimpin itu terlalu besar untuk kita jadikan ia sebagai mainan atau sendaloka.

Saya tidak berhasrat untuk bercakap panjang lebar mengenai sebab musabab kenapa saya meneruskan hasrat sebahagian besar ahli-ahli PAS Kelana Jaya untuk bertanding jawatan YDP Kawasan. Cukuplah ahli-ahli PAS Kelana Jaya sahaja yang mengetahuinya. Cuma saya ingin katakan di sini ialah apabila terdapat perkara-perkara yang boleh membahayakan jamaah atau perbuatan yang tidak selaras dengan Islam dan dasar perjuangan parti maka kita perlu perbetulkan. Jika teguran demi teguran tidak diambil peduli maka wajib bagi ahli semua menggantikan sesiapa saja termasuk pimpinan atasan. Kepentingan jamaah jauh mengatasi kepentingan individu dan jawatan bukanlah hak mutlak sesiapa. Saya sendiri bersedia berketuakan sesiapa saja sampai bila-bila jika terbukti pemimpin berkenaan bertindak selaras dengan kepentingan Islam dan parti. Jika tidak saya sendiri akan tegur dan kalau perlu tawar diri bertanding. Ini prinsip yang saya pegang dan yang sepatutnya dipegang oleh semua ahli PAS jika kita mahu parti kita tidak jadi macam parti reput UMNO.

Sehubungan dengan itu, jangan pula menganggap kami menentang kepimpinan ulama semata-mata kerana mencalonkan Husam. Saya bukakan kepada perwakilan untuk mencalonkan sesiapa saja untuk jawatan-jawatan pimpinan PAS peringkat pusat. Selepas itu kami mengundi dan Husam telah menang sebagai calon Timbalan Presiden. Saya akur kepada kehendak perwakilan. Apabila ada ramai calon yang layak, kita biar perwakilan yang memilih yang terbaik. Bukankah ini kesuburan demokrasi di dalam PAS? Ulama tetap kita sanjung selagi mana mereka taat kepada Allah dan Rasul dan memelihara adab Islam dan berjamaah. Tetapi ini bukan tiket untuk mereka mendapat sokongan membuta tuli daripada ahli. Sebagai ulama mereka perlu mempamerkan contoh terpuji sesuai dengan tradisi pewaris nabi-nabi. Jika ada ulama dunia dan ulama bisu di dalam UMNO tidak mustahil ada ulama gila jawatan atau ulama oportunis di dalam PAS? Apa yang penting di sini ialah kita memelihara institusi ulama yakni institusi yang meletakkan Islam sebagai dasar kehidupan dan perjuangan. Maknanya sesiapa pun boleh menjadi pemimpin termasuk golongan profesional asalkan mereka menerima gagasan ini dan tunduk kepada kehendak Islam. Saya yakin Husam setia bersama ulama. Jika tidak tentu beliau sudah lama keluar dari PAS. Jadi jika Husam menerima pencalonan Timbalan Presiden menentang Ustaz Nasharuddin saya tidak lihat sebagai percubaan menentang institusi ulama. Ia adalah memilih yang terbaik antara yang baik. Ahli-ahli PAS sudah matang dan mampu menilai siapa yang lebih mampu untuk membawa jamaah maju ke hadapan.

Saya percaya masa depan yang gemilang untuk PAS. Di saat UMNO semakin tenat, PAS semakin mendapat tempat di kalangan seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan keturunan. Fenoma luarbiasa ini amat sukar dimengerti. Tetapi PAS perlu berhati-hati menanggani situasi ini jika ingin menjadi pengganti UMNO sebagai parti teras rakyat Malaysia pada PRU 13 nanti. Banyak yang perlu diperhatikan terutama aspek kepimpinan. Silap percaturan di dalam bab kepimpinan ini boleh memusnahkan segala kredibiliti PAS yang telah dibina bertahun-tahun lamanya. Ahli-ahli PAS kena fikir dalam-dalam mengenai perkara ini.

Dalam masa yang sama saya menyeru kepada ahli-ahli PAS Kelana Jaya khususnya supaya memberi tumpuan kepada mengukuhkan parti dan mempertingkatkan prestasi khidmat kepada masyarakat. Terbentang luas medan dakwah di hadapan kita dan amat malang jika kita masih terkial-kial di dalam dunia ‘syok sendiri’ kita tanpa melakukan sedikit pun anjakan kepada pemikiran dan budaya kerja lama kita. Perkara yang lepas-lepas itu kita jadikan pengajaran supaya tidak diulangi kesilapan. Selamat berjuang!


Ir. Izham bin Hashim
YDP PAS Kawasan Kelana Jaya

Wednesday, April 8, 2009

Najib Perdana Menteri Sabah dan Sarawak?


Pening kepala Najib apabila melihat keputusan PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau semalam. Dahlah dia baru jadi Perdana Menteri (PM) yang tidak dilantik rakyat baru-baru ini. Siap susah payah gantung permit Harakah dan Suara Keadilan dan lepas tu tarik balik kerana nak tunjuk dia pemimpin berjiwa besar. Dan nak bagi hebat lagi imej PM baru ni, lantas bebaskan pula 13 tahanan ISA yang memang tidak patut diISAkan pun (Mahathir masa mula-mula jadi PM dulu pun bebaskan lebih ramai tahanan ISA dan lepas tu dia tangkap lagi ramai)! Dalam usahanya untuk terus menerus menggilap dirinya, Najib amat berharap dia dapat sapu bersih ketiga-tiga PRK di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Malangnya rakyat lebih cerdik. Bukit-bukit diserahkan kembali kepada wakil Pakatan Rakyat (PR) dengan majoriti yang lebih besar dan Batang Ai di Sarawak sahaja yang dikekalkan untuk BN. Terkebil-kebil mata PM Sabah dan Sarawak yang baru ini melihat segala impian untuk permulaan yang baik sebagai PM hancur berderai.

Najib tak perlu gusar dan kecewa kerana dia jadi PM pun bukan dipilih oleh rakyat. Ahli UMNO yang berapa ribu orang itu yang pilih dia jadi Presiden UMNO. Lepas tu Pak Lah pun dengan paksa rela undur diri supaya Najib dapat rasa kerusi PM. Manalah tau kalau lambat sangat, Najib tak merasa jadi PM sebab rakyat sudah menunjukkan minat mendalam mereka untuk mengguburkan UMNO. Kadang-kadang saya pun naik pelik dengan sistem pemilihan PM Malaysia. Rakyat tidak mempunyai kuasa secara terus untuk melantik PM. Mereka hanya memilih wakil-wakil rakyat dan kuasa menentukan PM terletak pada parti politik yang menang dan mempunyai kerusi majoriti. Pelik bin ajaib! Di banyak negara lain, pemerintah ulung negara masing-masing dilantik terus melalui undi rakyat. Mungkin sudah tiba masanya kita kaji semula sistem-sistem lapuk yang masih ada di negara kita.

Rakyat telah menghantar mesej yang jelas dan nyata kepada BN bahawa mereka sudah bersedia untuk menghancurkan terus UMNO dan BN jika mereka masih kekal berperangai buruk. Majoriti yang meningkat (walaupun mungkin ada sedikit penurunan undi Melayu) menunjukkan cara dan taktik yang UMNO amalkan selama ini akan membawa mereka menuju kebinasaan. Jika pimpinan UMNO masih tak boleh baca mesej ini, saya harap ahli-ahli UMNO berusaha menyedarkan mereka daripada lamunan supaya mereka sama-sama dapat selamatkan kapal UMNO yang hampir karam. Rata-rata tempat yang saya lawati di sekitar Bukit Gantang menunjukkan kesungguhan rakyat mempertahankan demokrasi dan membela Ir. Nizar yang dianggap simbol kepada era kepimpinan baru negara. UMNO kena faham fenomena yang amat menakjubkan ini jika ingin terus relevan. Budaya rasuah, menipu, salahguna kuasa, projek mega dan memperbodoh-bodohkan rakyat sudah tidak dapat memenangkan BN lagi. Jika BN masih percaya pada pendekatan ini untuk menang pilihanraya, biar saya ucapkan ”good luck dan sayonara” kepada mereka!

Anak Bapa: Seorang kawan UMNO saya ada meminta petua bagaimana untuk memperbaiki semula UMNO. Jawapan saya mudah saja. Mula-mula bubarkan dulu UMNO. Lepas tu lantik j/kuasa protem yang terdiri daripada orang-orang yang betul-betul berwibawa dan bersih daripada segala gejala tidak sihat. Kemudian terima keahlian daripada mereka-mereka yang betul-betul bersih sahaja. Ini SAHAJA cara untuk memperbaiki UMNO. Tak ada cara lain lagi. Kita bagi petua tu untuk selamatkan UMNO kerana walaupun kita berbeda fahaman politik, kita tak mahu lihat UMNO hanya wujud di muzium-muzium kelak.