Wednesday, April 22, 2009

Apa Yang Dr. Mahathir Nak Lagi?


Dia dah jadi Perdana Menteri selama 22 tahun lebih, yang mana merupakan PM paling lama dalam sejarah negara Malaysia. Sepanjang pentadbirannya banyak rekod yang telah dicipta. Dia telah berjaya membina menara tertinggi di dunia, lapangan terbang tercanggih, pusat pentadbiran kerajaan termoden, lebuhraya-lebuhraya terunggul, kereta nasional buatan tempatan dan segala macam pembangunan kebendaan lain yang sesiapa saja akan teruja menikmatinya.

Itulah Tun Dr. Mahathir, ’negarawan’ yang sangat disanjungi terutama oleh orang-orang UMNO. Sememangnya Dr. Mahathir memang ’smart’ di dalam segala segi dan dia tanpa segan silu telah menunjukkan keberaniannya sepanjang pentadbirannya yang lepas dengan melaksanakan segala apa yang ia hajati tanpa risau kepada kritikan atau tohmahan sesiapa. Sekali imbas nampak hebat karakter ini, tetapi ’looks can be deceiving’.

Sepanjang pentadbiran Dr. Mahathir kita juga telah melihat bagaimana rasuah mula menular dan kini berakar umbi di negara kita. Walaupun Dr. Mahathir menangis di dalam mesyuarat agung UMNO kerana gejala politik wang (aka rasuah) yang berleluasa di dalam UMNO, tetapi ia tidak menyekat penglibatan semua peringkat ahli dan pimpinan UMNO di dalam budaya yang menguntungkan itu sehingga ke hari ini. Tun telah mendidik rakyat supaya menerima rasuah dengan acapkali menggunakannya apabila berlangsung pilihanraya. Rakyat dihidangkan dengan projek ’mee segera’ dan sogokan sepanjang waktu pilihanraya. Kroni dan kaum kerabat BN berterusan di’hadiahkan’ dengan habuan projek di atas kesetiaan dan sokongan kuat kepada BN. Apabila budaya ini telah berakar umbi di dalam masyarakat maka terlalu sukar untuk dihapuskan.

Dr. Mahathirlah yang mengisytiharkan ’perang’ kepada raja-raja Melayu, hakim-hakim, peguam-peguam, kesatuan-kesatuan sekerja dan sesiapa saja yang menentang kehendaknya. Sejarah menjadi saksi bagaimana Team A dan Team B terbentuk di zamannya dalam apa jua institusi masyarakat pada masa itu hasil daripada ’air tangan’ Mahathir. Malah dengan timbalannya sendiri pun beliau ’berperang’ sehingga Musa Hitam, Ghaffar Baba dan Anwar Ibrahim sendiri yang terpelanting dengan tindakan jijik Tun Mahathir. Jika rakan sendiri pun hancur dengan Mahathir bagaimana pula nasib mereka-mereka yang dari kalangan pembangkang. Walaupun Tun pun membebaskan tahanan ISA ketika dinobatkan menjadi PM (malah lebih ramai daripada yang Najib bebaskan) tetapi tahanan baru ISA di bawah pentadbiran Mahathir jauh lebih ramai terutama daripada kalangan pembangkang.

Anak Bapa boleh terus berbicara mengenai kebobrokan Mahathir, dan diyakini banyak lagi yang boleh kita bincangkan tetapi cukup setakat itu untuk memberi gambaran musibah yang bakal menimpa jika kita terus menerus mengambil sikap tidak mempedulikan tindak tanduk pemimpin dan mengamalkan budaya kagum pemimpin. Jika tidak ada ’check and balance’ dan pertanggungjawaban terhadap pimpinan oleh rakyat maka akhirnya bencana pasti menimpa kita, tidak kira samada pimpinan BN atau PR atau sesiapa saja.

Persoalannya di sini ialah kenapa Dr. Mahathir, yang telah mengisytiharkan ’bersara’ daripada politik, masih lagi mahu mencampuri urusan pentadbiran secara aktif di kala rekodnya sendiri amat memalukan? Betul ada juga kebaikannya tetapi keburukannya jauh lebih banyak. Apa yang dia sibuk nak ganggu Pak Lah dan kini Najib di dalam urusan pentadbiran negara di kala dia telah diberi peluang memerintah dengan agak lama dan rekod buruknya saja yang dapat dipertontonkan? Cukuplah tu Dr. Mahathir, ’enough is enough’. Bagilah peluang idea orang lain pula nak digunapakai. Idea Tun dah terlalu uzur dan hampir ketandusan dimamah usia. Adalah lebih elok Tun gunakan saki baki umur yang tinggal untuk banyak belajar mengenai agama, beribadat dan beramal bakti membantu mereka-mereka yang kurang bernasib baik. Nasihat saya kepada Najib, tak usah dok peduli kepada kritikan dan tohmahan Tun kerana jika kamu betul-betul ingin nak buat perubahan, perubahan itu hendaklah dari kamu sendiri dan bukan daripada Dr. Mahathir. Jika kamu silap percaturan dan tunduk di bawah desakan Tun, yang dah pun diketahui umum memang bermasalah, tunggulah saat-saat kehancuran UMNO dan BN.

Anak Bapa: Najib memang pening betul sekarang. Apa taknya? Satu puak diketuai Dr. Mahathir, satu lagi diketuai oleh Khairy, dan tidak lupa satu lagi kelak yang akan diketuai oleh Rosmah. Yang mana satu Najib nak dengar? Anda semua jawablah sendiri dan 'good luck to you', Najib!

Sunday, April 19, 2009

Sejak Bila UMNO Begitu Prihatin 'Pembaziran' Duit Rakyat?


Sekonyong-konyong maka tercetuslah daripada mulut PM baru kita (yang jadi PM tanpa mendapat mandat baru rakyat) bahawa Pakatan Rakyat suka mempermain-mainkan demokrasi dengan sengaja mengosongkan kerusi DUN Penanti di Pulau Pinang bagi tujuan menyusahkan rakyat dan menghabiskan wang negara. Ujarnya lagi PKR memang mempunyai agenda tersembunyi kenapa mereka ingin adakan PRK di Penanti.

Anak Bapa pun naik serba salah samada nak marah atau ketawa mendengar hujah yang kacau bilau ini. Memanglah PR ada agenda tersembunyi, bukan setakat mengadakan PRK di Penanti malah apa saja aktiviti untuk memusnahkan UMNO dan BN. Ini kerana kami tak mahu lagi melihat BN terus memerintah negara ini. Kalau agenda PR semua didedahkan kepada BN itu bukan cerdik namanya sebab BN musuh politik PR. Faham ke? Dan adakah dengan mengosongkan kerusi DUN dianggap mempermain-mainkan demokrasi? Mungkin BN lebih rela cara lompat katak sebagaimana yang mereka amalkan sekarang jika ingin menukar parti atau biarkan saja rakyat dengan ADUN yang tidak berfungsi jika sudah jemu jadi ADUN? Mungkin cara itu lebih demokratik bagi BN? Apabila ADUN yang ada merasakan yang dirinya tidak berupaya lagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat atas apa alasan sekalipun maka beliau perlu segera mengosongkan kerusinya supaya pemilihan baru dapat dibuat oleh rakyat. Inilah yang dikatakan demokrasi sebenar dan yang luhur.

Kita pun faham BN bukan tak suka pilihanraya tapi mereka sebenarnya TAKUT buat masa ini dengan pilihanraya. Apa taknya? Kita lihat saja kesemua PRK di Semenanjung selepas PRU ke 12. Semua telah dimenangi oleh PR dengan majoriti yang bertambah. Di kawasan yang 50%:50% komposisi Melayu dan kaum lain pun menang dan di kawasan yang Melayu lebih ramai daripada kaum lain (Bukit Gantang Melayu 63% dan Kuala Terengganu Melayu lebih 90%) pun PR menang! Jadi kawasan yang macam mana yang selamat untuk BN ketika ini?

Jadi alasan yang tinggal ialah pilihanraya ini tidak perlu dan ia hanya menghabiskan duit rakyat. Aisehman! Sejak bila yang UMNO begitu prihatin tentang kononnya pembaziran duit rakyat? Wang negara yang berbilion-bilion jumlahnya mereka agih-agihkan kepada kroni mereka dalam bentuk projek mega dan mewah, rasuah yang dikutip sehingga ratusan juta, dan perbelanjaan untuk kemewahan hidup anak beranak mereka yang tidak pernah ada had, itu tak pernah diambil peduli. Segala teguran yang dibuat oleh PR mereka buat-buat pekak. Agenda memewahkan anak beranak kroni mereka tetap berterusan “business as usual” dulu, kini dan selamanya. Jadi tak usah bercakap membazirkan duit rakyat apabila demokrasi perlu kita julang kerana manfaatnya akan kembali kepada rakyat. Tetapi apa yang pasti, projek-projek mewah dan rasuah tidak akan memanfaatkan rakyat teramai. Ia hanya untuk suku sakat UMNO dan BN memuaskan nafsu serakah mereka saja!

Anak Bapa: Kali pertama kita lihat BN kecut perut berdepan dengan PR. Macamana PM baru yang cakap berdegar-degar tapi tak berani berdepan dengan rakyat. Kalau dengan rakyat beliau takut, Najib ni nak jadi PM untuk siapa atau untuk apa?

Monday, April 13, 2009

PAS Kelana Jaya dan Isu Kepimpinan Ulama


Sebaik saja keputusan pemilihan AJK PAS Kawasan Kelana Jaya diumumkan, saya menerima sms dan panggilan bertubi-tubi dari merata tempat berhubung kemenangan diamanahkan jawatan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kelana Jaya. Blog-blog juga dengan kadar segera sudah menyiarkan perjalanan mesyuarat agung PAS kawasan menjelang malam Sabtu lepas terutama menyentuh aspek kemenangan saya dan juga pencalonan Datuk Husam Musa sebagai Timbalan Presiden PAS.

Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang memberi tahniah dan juga kepada ahli-ahli PAS Kawasan Kelana Jaya yang telah memberikan sokongan dan kepercayaan kepada saya. Di masa yang sama saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kepimpinan yang lepas yang telah banyak memberikan sumbangan kepada parti. Hanya Allah saja yang dapat membalas budi kalian.

Saya juga faham dan insaf bahawa amanah yang besar dan berat yang kini terpikul di atas bahu saya. Saya bukanlah yang terbaik dan hanya bersetuju menerima jawatan ini apabila ahli-ahli PAS begitu mengharapkan kepimpinan baru dan bersedia bekerja secara berpasukan demi memperkasakan parti. Terus terang saya katakan tidak terlintas di dalam fikiran untuk seronok-seronok merebut jawatan. Amanah sebagai pemimpin itu terlalu besar untuk kita jadikan ia sebagai mainan atau sendaloka.

Saya tidak berhasrat untuk bercakap panjang lebar mengenai sebab musabab kenapa saya meneruskan hasrat sebahagian besar ahli-ahli PAS Kelana Jaya untuk bertanding jawatan YDP Kawasan. Cukuplah ahli-ahli PAS Kelana Jaya sahaja yang mengetahuinya. Cuma saya ingin katakan di sini ialah apabila terdapat perkara-perkara yang boleh membahayakan jamaah atau perbuatan yang tidak selaras dengan Islam dan dasar perjuangan parti maka kita perlu perbetulkan. Jika teguran demi teguran tidak diambil peduli maka wajib bagi ahli semua menggantikan sesiapa saja termasuk pimpinan atasan. Kepentingan jamaah jauh mengatasi kepentingan individu dan jawatan bukanlah hak mutlak sesiapa. Saya sendiri bersedia berketuakan sesiapa saja sampai bila-bila jika terbukti pemimpin berkenaan bertindak selaras dengan kepentingan Islam dan parti. Jika tidak saya sendiri akan tegur dan kalau perlu tawar diri bertanding. Ini prinsip yang saya pegang dan yang sepatutnya dipegang oleh semua ahli PAS jika kita mahu parti kita tidak jadi macam parti reput UMNO.

Sehubungan dengan itu, jangan pula menganggap kami menentang kepimpinan ulama semata-mata kerana mencalonkan Husam. Saya bukakan kepada perwakilan untuk mencalonkan sesiapa saja untuk jawatan-jawatan pimpinan PAS peringkat pusat. Selepas itu kami mengundi dan Husam telah menang sebagai calon Timbalan Presiden. Saya akur kepada kehendak perwakilan. Apabila ada ramai calon yang layak, kita biar perwakilan yang memilih yang terbaik. Bukankah ini kesuburan demokrasi di dalam PAS? Ulama tetap kita sanjung selagi mana mereka taat kepada Allah dan Rasul dan memelihara adab Islam dan berjamaah. Tetapi ini bukan tiket untuk mereka mendapat sokongan membuta tuli daripada ahli. Sebagai ulama mereka perlu mempamerkan contoh terpuji sesuai dengan tradisi pewaris nabi-nabi. Jika ada ulama dunia dan ulama bisu di dalam UMNO tidak mustahil ada ulama gila jawatan atau ulama oportunis di dalam PAS? Apa yang penting di sini ialah kita memelihara institusi ulama yakni institusi yang meletakkan Islam sebagai dasar kehidupan dan perjuangan. Maknanya sesiapa pun boleh menjadi pemimpin termasuk golongan profesional asalkan mereka menerima gagasan ini dan tunduk kepada kehendak Islam. Saya yakin Husam setia bersama ulama. Jika tidak tentu beliau sudah lama keluar dari PAS. Jadi jika Husam menerima pencalonan Timbalan Presiden menentang Ustaz Nasharuddin saya tidak lihat sebagai percubaan menentang institusi ulama. Ia adalah memilih yang terbaik antara yang baik. Ahli-ahli PAS sudah matang dan mampu menilai siapa yang lebih mampu untuk membawa jamaah maju ke hadapan.

Saya percaya masa depan yang gemilang untuk PAS. Di saat UMNO semakin tenat, PAS semakin mendapat tempat di kalangan seluruh masyarakat tanpa mengira bangsa dan keturunan. Fenoma luarbiasa ini amat sukar dimengerti. Tetapi PAS perlu berhati-hati menanggani situasi ini jika ingin menjadi pengganti UMNO sebagai parti teras rakyat Malaysia pada PRU 13 nanti. Banyak yang perlu diperhatikan terutama aspek kepimpinan. Silap percaturan di dalam bab kepimpinan ini boleh memusnahkan segala kredibiliti PAS yang telah dibina bertahun-tahun lamanya. Ahli-ahli PAS kena fikir dalam-dalam mengenai perkara ini.

Dalam masa yang sama saya menyeru kepada ahli-ahli PAS Kelana Jaya khususnya supaya memberi tumpuan kepada mengukuhkan parti dan mempertingkatkan prestasi khidmat kepada masyarakat. Terbentang luas medan dakwah di hadapan kita dan amat malang jika kita masih terkial-kial di dalam dunia ‘syok sendiri’ kita tanpa melakukan sedikit pun anjakan kepada pemikiran dan budaya kerja lama kita. Perkara yang lepas-lepas itu kita jadikan pengajaran supaya tidak diulangi kesilapan. Selamat berjuang!


Ir. Izham bin Hashim
YDP PAS Kawasan Kelana Jaya

Wednesday, April 8, 2009

Najib Perdana Menteri Sabah dan Sarawak?


Pening kepala Najib apabila melihat keputusan PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau semalam. Dahlah dia baru jadi Perdana Menteri (PM) yang tidak dilantik rakyat baru-baru ini. Siap susah payah gantung permit Harakah dan Suara Keadilan dan lepas tu tarik balik kerana nak tunjuk dia pemimpin berjiwa besar. Dan nak bagi hebat lagi imej PM baru ni, lantas bebaskan pula 13 tahanan ISA yang memang tidak patut diISAkan pun (Mahathir masa mula-mula jadi PM dulu pun bebaskan lebih ramai tahanan ISA dan lepas tu dia tangkap lagi ramai)! Dalam usahanya untuk terus menerus menggilap dirinya, Najib amat berharap dia dapat sapu bersih ketiga-tiga PRK di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Malangnya rakyat lebih cerdik. Bukit-bukit diserahkan kembali kepada wakil Pakatan Rakyat (PR) dengan majoriti yang lebih besar dan Batang Ai di Sarawak sahaja yang dikekalkan untuk BN. Terkebil-kebil mata PM Sabah dan Sarawak yang baru ini melihat segala impian untuk permulaan yang baik sebagai PM hancur berderai.

Najib tak perlu gusar dan kecewa kerana dia jadi PM pun bukan dipilih oleh rakyat. Ahli UMNO yang berapa ribu orang itu yang pilih dia jadi Presiden UMNO. Lepas tu Pak Lah pun dengan paksa rela undur diri supaya Najib dapat rasa kerusi PM. Manalah tau kalau lambat sangat, Najib tak merasa jadi PM sebab rakyat sudah menunjukkan minat mendalam mereka untuk mengguburkan UMNO. Kadang-kadang saya pun naik pelik dengan sistem pemilihan PM Malaysia. Rakyat tidak mempunyai kuasa secara terus untuk melantik PM. Mereka hanya memilih wakil-wakil rakyat dan kuasa menentukan PM terletak pada parti politik yang menang dan mempunyai kerusi majoriti. Pelik bin ajaib! Di banyak negara lain, pemerintah ulung negara masing-masing dilantik terus melalui undi rakyat. Mungkin sudah tiba masanya kita kaji semula sistem-sistem lapuk yang masih ada di negara kita.

Rakyat telah menghantar mesej yang jelas dan nyata kepada BN bahawa mereka sudah bersedia untuk menghancurkan terus UMNO dan BN jika mereka masih kekal berperangai buruk. Majoriti yang meningkat (walaupun mungkin ada sedikit penurunan undi Melayu) menunjukkan cara dan taktik yang UMNO amalkan selama ini akan membawa mereka menuju kebinasaan. Jika pimpinan UMNO masih tak boleh baca mesej ini, saya harap ahli-ahli UMNO berusaha menyedarkan mereka daripada lamunan supaya mereka sama-sama dapat selamatkan kapal UMNO yang hampir karam. Rata-rata tempat yang saya lawati di sekitar Bukit Gantang menunjukkan kesungguhan rakyat mempertahankan demokrasi dan membela Ir. Nizar yang dianggap simbol kepada era kepimpinan baru negara. UMNO kena faham fenomena yang amat menakjubkan ini jika ingin terus relevan. Budaya rasuah, menipu, salahguna kuasa, projek mega dan memperbodoh-bodohkan rakyat sudah tidak dapat memenangkan BN lagi. Jika BN masih percaya pada pendekatan ini untuk menang pilihanraya, biar saya ucapkan ”good luck dan sayonara” kepada mereka!

Anak Bapa: Seorang kawan UMNO saya ada meminta petua bagaimana untuk memperbaiki semula UMNO. Jawapan saya mudah saja. Mula-mula bubarkan dulu UMNO. Lepas tu lantik j/kuasa protem yang terdiri daripada orang-orang yang betul-betul berwibawa dan bersih daripada segala gejala tidak sihat. Kemudian terima keahlian daripada mereka-mereka yang betul-betul bersih sahaja. Ini SAHAJA cara untuk memperbaiki UMNO. Tak ada cara lain lagi. Kita bagi petua tu untuk selamatkan UMNO kerana walaupun kita berbeda fahaman politik, kita tak mahu lihat UMNO hanya wujud di muzium-muzium kelak.

Monday, March 23, 2009

Ketam Mengajar Anak Ketam


Berdekah-dekah aku ketawa kerana tak tahan dengan lawak jenaka UMNO. Ini berkaitan dengan usaha mereka, kononnya, nak membenteras politik wang atau rasuah di kalangan pimpinan dan ahli mereka. Jika satu ketika dulu mereka telah ’kerjakan’ Isa Samad kerana dia ini dianggap mengancam orang-orang tertentu sedangkan waktu itu pun boleh kata hampir semua pimpinan dan ahli-ahli UMNO turut terlibat sama tetapi selamat daripada sebarang hukuman. Jadi alasan politik wang ini sangat ampuh untuk digunakan bagi menyekat kemaraan orang-orang daripada kumpulan lain dan secara terang-terangan digunakan kepada sesiapa saja yang tidak dikehendaki oleh orang-orang atasan UMNO.

Saya berani jamin hampir semua pimpinan dan ahli-ahli UMNO terlibat di dalam politik wang cuma yang dihukum berpilih-pilih. Ali Rustam dihukum kerana dia mengancam kedudukan Muhyiddin (yang diyakini akan tewas dengan Ali Rustam). Norza pula dihukum sebab dia dianggap orang kuat Pak Lah. Memanglah mereka ini terlibat di dalam politik wang tetapi bukankah yang lain-lain turut terlibat termasuk Khir Toyo, Khairy, dan semua yang sewaktu dengan mereka.

Bertambah kelakar lagi apabila mereka-mereka yang didapati bersalah diberi hukuman berbeda-beda mengikut selera pimpinan atasan mereka. Ada yang digantung keahlian, ada yang diharamkan daripada bertanding, ada yang bersalah tetapi hanya diberi amaran, malah ada yang didapati bersalah tetapi tiada hukuman yang dikenakan. Lebih hairan bin ajaib ialah Khir Toyo pula didapati tidak bersalah! Kesimpulannya sarkas UMNO ini akan berterusan sehingga si UMNO terjun dengan keris-kerisnya.

Di dalam kemeriahan sarkas UMNO ini, Tun Mahathir pula memberi teguran kepada ’bakal’ PM supaya jangan membuat kesilapan di dalam memilih barisan kabinet nanti dan memastikan yang bersih saja dipilih. Si Najib pula lantas membuat kenyataan bahawa beliau hanya memilih yang bersih saja untuk menganggotai kabinet beliau. Persoalannya adakah lagi orang yang bersih di dalam UMNO? Dia sendiri pun bukan setakat terpalit malah diselimuti dengan pelbagai skandal rasuah, jadi macamana nak jadi kabinet bersih?

Anak Bapa: Daripada gambaran di atas yang saya nampak memang boleh buat kabinet bersih, yakni kabinet sapu bersih .......