Monday, February 15, 2010

Apabila Ayam Kokok Berderai-Derai Tetapi Ekor Bergelumang Tahi


Tersenyum kita membaca berita sebegini sensasi di zaman 1Malaysia. Baguslah tu nak nak lawan rasuah habis-habisan without “fear or favour”. Tetapi yang terlibat dengan rasuah mega besar seperti pembelian jet Sukhoi dan kapal “tak boleh” selam Scorpene kenapa tak benarkan siasatan? Dan Mat yang bina istana di Shah Alam dan lawatan jutaan ringgit ke Disneyland tu bila lagi nak siasat.

Cakap memanglah murah tetapi tindakan macam mana? Tentulah berpilih-pilih. Jika tidak saya ingat kemungkinan semua pimpinan UMNO akan masuk penjara. UMNO boleh!

“KUALA LUMPUR, Feb 15 — A political secretary caught with RM2 million cash will be told to resign in a clear sign that the Najib Administration wants anti-graft authorities to investigate without pressure from politicians.


The Malaysian Anti-Corruption Commission (MACC) yesterday confirmed detaining a political secretary to a senior minister in Penang last Thursday. The Umno man is also said to own properties worth millions of ringgit.


“Prime Minister Datuk Seri Najib Razak is very firm about this. He wants MACC to investigate without fear or favour,” a government source told The Malaysian Insider.”


Anak Bapa: Antara prinsip 1Malaysia ialah semua pimpinan UMNO bebas “mencuri” harta benda rakyat tetapi kena pandai-pandai sorok. Jika kena tangkap, yang ikan bilis akan kena tetapi bos besar akan selamat.

Sunday, February 14, 2010

UMNO Makhluk Perosak


Jika diteliti permasalahan negara yang kita hadapi sabanhari nescaya kita akan dapati ada campurtangan UMNO di dalamnya. Isu tentera kita dengan peralatan yang dibekalkan kepada mereka yang “sub-standard” bukanlah perkara baru. Sewaktu Anak Bapa menjadi anggota askar wataniah selama 3 tahun tidak lama dahulu, kami sering berhadapan dengan peralatan yang bermasalah. Lori tentera banyak yang tersadai di depo-depo tentera kerana ketiadaan alat ganti atau terlalu uzur. Kereta perisai yang sepatutnya menjadi kenderaan penting tentera tidak dapat digunakan kerana tidak sesuai dengan keadaan muka bumi dan iklim negara. Malah ada pegawai-pegawai tentera yang secara sinis mencadangkan supaya kenderaan-kenderaan ini disimpan di muzium sahaja kerana jika digunakan di medan perang akan menambah lebih kesusahan kepada pihak tentera.

Pengalaman yang lepas menunjukkan bahawa kita tidak pernah belajar daripada kesilapan atau mungkin ada faktor “tangan-tangan ghaib” yang menentukan apa jenis peralatan yang perlu dibeli oleh pihak tentera Malaysia. Dahulu kita dihebohkan dengan kereta-kereta kebal yang dibeli tetapi tidak boleh digunakan kerana asyik tersangkut di kawasan lembah dan paya. Kemudian kita dengar kerajaan membeli jet pejuang “Hawk” yang tersadai di padang pasir Amerika. Ini belum dikira betapa ramai juruterbang jet pejuang kita yang terkorban bersama jet pejuang mereka kerana masalah “teknikal” atau “kesilapan manusia”. Ini belum lagi masuk cerita tentang helikopter Nuri yang penuh trajis. Dan hari ini kita dikejutkan lagi dengan kehilangan enjin jet pejuang dan kapal selam yang baru dibeli tetapi tidak boleh menyelam.

Anak Bapa meletakkan 110% kesalahan ke atas UMNO khususnya Najib sendiri di atas segala penyelewengan yang berlaku. Insiden yang disebutkan tadi semuanya berlaku ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan. Najib bukan sahaja terpalit dengan isu “komisyen” jet pejuang Sukhoi dan kapal selam Scorpene tetapi juga keraguan berhubung Altantunya, yang kematiannya dipercayai berkait rapat dengan “komisyen” Scorpene.

Tetapi tengok saja perangai UMNO bila skandal mereka didedahkan, mereka buat pekak badak dan layan rakyat macam orang bodoh. Masuk akalkah jawapan Najib tentang kehilangan enjin jet bahawa nilainya berapa puluh ribu ringgit sahaja dan bukan berpuluh juta seperti yang disebut-sebut? Betulkah enjin jet yang dibeli dengan harga berpuluh-puluh juta kini hanya bernilai berapa puluh ribu sahaja? Itu hanya juruaudit bertauliah sahaja yang boleh jawab. Tetapi jika betul pun harganya kini berapa puluh ribu sahaja, adakah boleh diterima enjin jet dicuri tanpa kita menyedarinya?

Tentang kapal selam yang tak boleh menyelam, mereka kata itu benda kecil sahaja dan boleh dibaiki dengan mudah. Mudah kepala hotak engkau! Harga sebuah kapal selam itu ialah 1 bilion ringgit dan dah 3 bulan tak boleh menyelam. Jika kapal selam tak boleh menyelam buat apa belanja sampai 1 bilion ringgit untuk membelinya? Beli kapal biasa ajelah boleh dapat 5 atau 6 buah.

UMNO dan BN memang suka ambil mudah tentang skandal yang berlaku. Mereka sedarkah apa yang mereka buat sebenarnya mengancam keselamatan negara. Berapa banyak wang telah dibelanjakan membeli peralatan yang tidak boleh digunakan dan berapa ramai anggota tentera kita yang terkorban kerana kecuaian pimpinan UMNO. Anak Bapa yakin amalan ini tidak akan berubah selagi UMNO dan BN memerintah negara ini. Rakyat terutamanya anggota tentera perlu merenung dalam tentang apa yang berlaku dan membuat perubahan menolak kepimpinan UMNO dan BN jika kita ingin melihat keselamatan negara lebih terjamin.



Anak Bapa: Pakar-pakar ketenteraan sebulat suara berpandangan bahawa dari segi peralatan kita tidak mampu menandingi Singapura (negara jiran kita yang kecil tu). Jangan lagi bercerita tentang negara lain yang jauh lebih hebat. Silap-silap kalau kena berperang kena pakai keris dengan proton saga sahaja!

Monday, February 8, 2010

UMNO Parti Basi



Anak Bapa pun turut sama berkongsi perasaan dengan Hanipa berhubung cerita dialog PAS dengan UMNO (muzakarah ke, muqabalah ke, Kerajaan Perpaduan ke, atau apa saja yang sewaktu dengannya) yang dipanaskan semula oleh pimpinan PAS sendiri. Rasa penat pun ada, letih pun ada, sakit hati pun ada, mual dan muak pun ada, marah pun ada, pendek kata bermacam-macam rasa menyerang serentak sanubari Anak Bapa dan mungkin juga sebahagian besar ahli-ahli PAS.

Tok Guru Nik Aziz komen, elok juga ada majlis dialog terbuka antara PAS dan UMNO berhubung aspek agama sepertimana majlis yang beliau anjurkan di Kelantan berhubung isu penggunaan kalimah “Allah” di kalangan bukan Islam. Tut tut ada pula pimpinan lain yang ghairah sangat siap nak bincang semua perkara dengan UMNO.

Anak Bapa dah sebut banyak kali bila bab nak “engage” dengan UMNO ini kita kena jelas apa matlamat kita, sapa yang akan terlibat, apa skopnya, dan perlu ada keterbukaan (jangan dok kerja dalam gelap). Juga kita kena pastikan betul-betul kita akan untung dan bukan sebaliknya. Dengan kekuatan jentera kerajaan dan media yang mereka miliki, UMNO boleh mengeksploitasi sebarang isu untuk kepentingan mereka. Ini sudah mereka buat berkali-kali pada kita. Takkan nak kena patuk lagi di lubang yang sama. UMNO INI DAH BASI DAN MEREPUT. TUNGGU HARI KAPALNYA NAK KARAM. JADI JANGANLAH JADI ALAT UNTUK MEMBANTU MELANJUTKAN HAYAT MEREKA.

Anak Bapa pun hairan isu yang melemahkan dan memecahbelahkan kita, itu yang diminati sangat oleh pimpinan. Seperti yang diungkapkan oleh Hanipa:

“Cukuplah bangkitkan apa sahaja isu yang rakyat boleh hidu bahawa PAS dan Umno cuba nak berbaik. Takkan kita masih tidak kenal UMNO ! UG ke atau muzakarah ke bagi rakyat yang dah meluat dengan Umno , PAS dilihat sentiasa memberi nafas kepada Umno jika isu UG atau Muqabalah atau muzakarah dibangkitkan. Meluat rakyat ada hadnya. Jangan sampai PAS berani-berani menghampiri had itu. Jika rakyat meluat kepada kita, jangan marah mereka marahlah kepada diri kita sendiri !!!”


Kita ada banyak kerja dan antara yang terpenting ialah memperkukuhkan Pakatan Rakyat yang sedang diserang bertubi-tubi oleh UMNO. Tak usah kita buang masa lagi dengan isu dialog dengan UMNO. Jika kita nak dakwah, dakwah terus dengan ahli-ahlinya supaya mereka masuk PAS. Habis cerita. Macam kata Ustaz Zul :

“Samada ‘dialog’ atau apa sahaja yang seerti dengannya tidak perlu ditimbulkan langsung, oleh sesiapa pun. Tidak perlu dan tidak berfaedah. Atas apa tujuan sekali pun.”



Anak Bapa: Selepas memualkan rakyat masa zaman Dr. Mahathir dulu dengan kes liwat kini mereka ulang tayang cerita yang sama. UMNO tak akan berubah, persoalannya adakah PAS akan berubah?

Saturday, February 6, 2010

Perihal Saluran Yang Tersumbat



Mungkin ramai yang tidak menyedari betapa pentingnya saluran air atau longkang-longkang yang bertaburan di pinggiran jalanraya kita sehinggalah hujan turut lebat dan kita dilanda banjir kilat. Bayangkan pula kalau saluran badan kita pula yang tersumbat, merana hidup jawabnya. Jadi apabila bercerita bab saluran ini kita kena berhati-hati sebab kalau setakat ada saluran tetapi sentiasa tersumbat padahnya lebih kurang sama sahaja.

Begitu juga cerita tentang satu lagi jenis saluran iaitu saluran parti. Mana-mana organisasi akan mendakwa mereka memiliki saluran tersendiri untuk menerima pandangan dan rintihan ahli. Betullah masing-masing ada saluran dan kita boleh menerima dakwaan tersebut tetapi persoalannya tahap mana keberkesanan saluran yang dimaksudkan. Di dalam zaman yang serba canggih ini jika hubungan antara ahli dan pimpinan masih menggunakan kaedah kuno maka sudah tentu akan membawa organisasi berkenaan menjadi primitif jua. Sebagai contoh penggunaan surat dan email, menulis dan menghantar dan menunggu jawab balas surat memakan berhari-hari jika tidak minggu sedangkan email boleh ditulis dan dijawab dalam hari yang sama. Bayangkan betapa banyak kerja surat menyurat dapat disiapkan melalui email berbanding surat biasa jika kaedah baru ini ditingkatkan penggunaannya!

Ini baru satu contoh pembaharuan dan penambahbaikan yang PAS tidak ada pilihan melainkan terpaksa mengambilnya. Aduan Abdullah Karim dan YB Khalid Samad mengenai saluran parti yang tidak berfungsi dengan berkesan bukanlah perkara baru. Anak Bapa sendiri melalui kawasan telah menghantar bermacam jenis memorandum kepada pihak atasan lengkap dengan komen, aduan dan jalan penyelesaian tetapi satu patah ucapan notifikasi pun kita tidak terima. Kita melihat seolah-olah macam ada “black hole” kat atas sana yang kerjanya menelan segala jenis surat dan maklumat yang dihantar. Kalau pun bukan “black hole” mungkin juga saluran yang ada sudah tersumbat.

Kita faham betapa sibuk pimpinan di atas sana bertugas untuk jamaah dan ahli dan kini juga kepada rakyat tetapi tentu mereka lebih faham kaedah “aulawiyyat” atau “prioritization” yakni keutamaan dalam tugas mereka. Jikalau YB Mahfuz Omar (ketika itu Ketua Penerangan PAS Pusat) boleh memohon maaf kerana telah berbohong kepada rakyat tentang isu pertemuan PAS dengan UMNO, maka langkah utama kepimpinan mengikut saluran yang betul ialah memanggil semua pihak yang terlibat dan membuat siasatan lengkap dan seterusnya melaksanakan hukuman dengan setimpal. Pembohongan bagi sebuah jamaah Islam (apatah lagi secara terbuka) adalah satu jenayah yang sangat serius dan boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada PAS.

Apabila Ustaz Ahmad Awang (ketika itu adalah Pesuruhjaya PAS Perak) membuat pendedahan dalam Muktamar PAS 2009 bahawa ada pimpinan tinggi PAS menalipon beliau supaya “mempertimbangkan kerajaan campuran PAS dengan UMNO di Perak” sepatutnya dengan saluran yang betul, PAS perlu menjalankan siasatan bebas melihat dengan teliti dan mengambil tindakan bersesuaian ke atas mereka yang terbabit kerana kita melihat ada unsur-unsur pengkhianatan dalam kes ini. Begitu juga apabila Tok Guru Mursyidul Am (yang jarang menegur kepimpinan kita secara terbuka) mencadangkan EGM bagi memecat Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Mustafa Ali dan Dr. Hasan Mohd Ali, sepatutnya mengikut saluran parti, PAS perlu menyiasat segera dan mengambil tindakan perlu. Begitu juga apabila berlaku pertembungan terbuka oleh Ustaz Harun Din dan Dr. Hasan Mohd Ali ke atas keputusan PAS Pusat berhubung status penggunaan kalimah “Allah”, saluran yang betul ialah PAS perlu memanggil pihak yang terbabit dan seterusnya mengambil tindakan perlu bagi membetulkan keadaan. Dan banyak lagi insiden lain yang berlaku selepas PRU ke 12 yang perlu tindakan segera tetapi tidak berlaku walaupun pelbagai saluran parti telah digunakan oleh pimpinan dan ahli untuk memberi maklum dan aduan.

Bodoh sangat ke YB Khalid Samad, seorang veteran PAS dan Abdullah Karim, seorang aktivis dan peguam yang gigih, dan mereka-mereka yang lain yang sewaktu dengan mereka mendedahkan segala permasalahan yang sedang kita hadapi secara terbuka jika saluran parti yang ada berkesan dan berfungsi dengan baik. Disebabkan tersumbatlah atau “disumbatkan oleh tangan-tangan ghaiblah” yang menyebabkan mereka memilih saluran lain. Ini pun, Anak Bapa yakin, dibuat atas rasa kebertanggungjawaban dan bimbangnya mereka terhadap keadaan parti dan Pakatan Rakyat.

Anak Bapa ingin memberi ingatan kepada semua bahawa amanah PAS bukan saja ke atas ahli-ahlinya tetapi terhadap seluruh rakyat Malaysia. Segala tindak-tanduk kita akan diperhati dan dinilai semua pihak kerana kita dianggap alternatif kepada UMNO untuk memerintah negara kelak. Sebarang “double standard” atau tindakan berpilih-pilih terutama terhadap isu-isu dasar seperti keadilan dan kezaliman akan menghakis terus kepercayaan bukan saja rakyat kepada kita tetapi juga ahli kita sendiri. Sebarang saluran yang memungkinkan maklumbalas daripada ahli dan pimpinan bawahan ke pihak atasan tersekat atau terganggu perlu diperbetulkan dan diperbaiki. Jika ada “tangan-tangan ghaib” yang masih menghalang kerja-kerja “pembersihan” saluran ini maka “tangan-tangan” itu sendiri perlu dinyahkan. Bukankah kita pernah berkata kepada pimpinan UMNO, “jawatan itu bukan hak mutlak sesiapa, apabila diri dah tak mampu nak bekerja dengan baik eloklah dilepaskan jawatan kepada yang lebih mampu dan jangan tunggu sampai orang sumpah seranah kelak!”

Sehubungan dengan itu, Anak Bapa ingin meminjam kata-kata daripada Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, “jika anda tidak boleh membantu jamaah (yakni tak boleh lagi bekerja dengan baik), jangan menyusahkan jamaah (yakni duduk jadi tunggul kat atas sana menyekat kemajuan PAS)”.



Anak Bapa: Masih menghitung kesan bahana yang menimpa .........

Saturday, January 30, 2010

Sayang Seribu Kali Sayang


Anak Bapa diminta YB Khalid Samad menjadi wakil beliau untuk menerima keputusan J/Kuasa Displin PAS semalam. Tak tahu kenapa diri yang tak seberapa ini diminta oleh YB Khalid kerana amanah ini amat berat untuk dipikul. Tetapi apabila permintaan datangnya daripada sahabat seperjuangan yang Anak Bapa telah kenali suku abad lamanya, tentulah sukar untuk menolaknya. Apatah lagi beliau bukan sengaja tak nak hadir tetapi terpaksa ke Arab Saudi bagi membantu isterinya yang akan mula bertugas di sana dan di samping mengerjakan umrah. Dah lama YB Khalid merancang pemergian ini dan tentulah sukar untuk ditangguh. Moga-moga tak ada yang beranggapan bahawa beliau lari ke sana kerana takut menghadapi keputusan J/Kuasa Displin.

Takut adalah perkara terakhir yang kita boleh andaikan daripada YB Khalid. Anak Bapa telah lama mengenali beliau malah kumpulan usrah kami ketika di England adalah kumpulan usrah yang sama (tahun 70an walaupun beliau jauh lebih senior daripada Anak Bapa) dan kemudian bersama dengan beliau dalam PAS sebaik kembali ke tanah air. Kami ini boleh dianggap generasi era permulaan “kepimpinan ulama” atau generasi pra “peristiwa Memali”. Walaupun kami bergerak di dalam PAS di tempat yang berbeza tetapi hubungan kami tidak pernah putus. Ketika YB Khalid menjadi YDP PAS Kawasan Lembah Pantai di era Ustaz Nakhaei menjadi Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Anak Bapa menjadi AJK Kawasan yang sama. Seterusnya apabila beliau berpindah ke tempat lain maka Anak Bapa menggantikan beliau menjadi YDP PAS Kawasan Lembah Pantai. Masa tu PAS Lembah Pantai terkenal dengan Pak Din Hancur (al-fatihah kepada arwah pejuang yang gigih ini). Semasa pergi belajar bahasa Arab di Jordan pada awal tahun 2000, kami masing-masing bawa keluarga ke sana selama setahun (cuma jangan tanya dah boleh cakap Arab ke belum).

Anak Bapa akui memang mempunyai hubungan yang akrab dengan YB Khalid (juga dengan YAB Nizar yang se usrah di England dahulu). Tetapi bukan itu yang menjadi sebab utama kenapa Anak Bapa sangat menghormati beliau. Keberanian, kegigihan, istiqamah, dan kecerdikan beliau menjadikan dirinya satu-satunya aset yang sangat bernilai kepada mana-mana organisasi yang disertainya. Cuba kita lihat cara beliau berhujah, samada di parlimen atau dengan puak-puak UMNO, amat sukar untuk dipatahkan kerana persediaan rapi dan kebijaksanaan beliau dalam mematah hujah lawan. Jika tidak tentulah UMNO Selangor tidak akan menjadikan YB Khalid musuh nombor 1 mereka sehingga sanggup memijak-mijak gambar beliau dan membuat pelbagai laporan polis terhadapnya. Agak pelik juga di kala pimpinan kita yang diserang bertubi-tubi oleh musuh ketat kita, kita pula turut tambah hukuman ke atasnya!

Dalam pengamatan Anak Bapa, tidak ada istilah takut pada YB Khalid. Beliau pernah kena ISA, bertanding pilihanraya banyak kali dan kalah, dan sentiasa sedia berhadapan dengan sesiapa saja dalam debat dan forum dan di mana saja. Kehebatan beliau berhujah dan berdebat di Parlimen adalah “phenomenal” dan “captivating”. Ini adalah aset jamaah yang perlu digarab, dipupuk dan disalurkan ke tempat yang betul. Tetapi apa boleh buat, cara kita menguruskan jamaah dan sumber manusia amatlah menyedihkan. Kita masih memilih pimpinan berdasarkan “orang kita” dan bukan kerana kemampuan dan kepakaran individu berkenaan. “Serahkan urusan kepada ahlinya” hanya menjadi retorik dan tidak menjadi amalan Islam dalam kehidupan kita.
Anak Bapa hanya dibenarkan membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman kepada YB Khalid (mitigating speech) dan tidak dibenarkan memberikan sebarang bukti-bukti baru bagi menyokong beliau. Kemudian selepas berehat 10 minit maka hukuman telah dibaca kepada Anak Bapa untuk disampaikan kepada YB Khalid. Bab ini semua dah sedia maklum.

Sejak semalam Anak Bapa menerima banyak sms dan panggilan daripada pelbagai pihak dengan pelbagai ulasan mengenai keputusan J/Kuasa Displin. Satu yang pasti, tak ada yang menyokong, malah Anak Bapa sendiri pula yang kena marah. Hari ini dalam blog-blog, antaranya di sini, di sini, di sini dan sini (malah banyak lagi), kita dapati cemuhan dan kritikan keras kepada PAS berhubung isu berkaitan. Anak Bapa tak boleh komen lebih-lebih nanti kena tindakan displin pula atau dituduh tak wala’. Cuma untuk penambahbaikan, ada beberapa perkara yang pimpinan atasan perlu belajar daripada peristiwa ini dan perlu ambil perhatian:

i. Satu siasatan bebas secara menyeluruh perlu dibuat segera bagi mengenalpasti penglibatan pimpinan semua peringkat dalam sebarang gerak kerja atau kerjasama dengan UMNO supaya isu berkaitan dapat diselesaikan “once and for all”.

ii. Sebarang pembentukkan J/Kuasa Displin perlu diteliti keahliannya supaya mereka benar-benar bebas dan layak.

iii. Tindakan segera adalah perlu daripada PAS Pusat berhubung aduan dan cadangan daripada pimpinan bawahan. Salah satu hujah YB Khalid ialah beliau telah bersabar dengan kaedah “saluran parti” untuk sekian lama tetapi tidak ada tindakan yang sewajarnya daripada pimpinan atasan untuk menyelesaikan masalah.

iv. Cara pelantikan pesuruhjaya negeri-negeri perlu dikaji semula, mungkin juga dengan melibatkan YDP kawasan-kawasan kerana acapkali terjadi pesuruhjaya yang dilantik tidak mewakili aspirasi kawasan-kawasan.

Anak Bapa cukup serba salah dengan keputusan J/Kuasa Displin semalam. Walaupun akur tetapi ada benda yang mengganggu perasaan dan emosi diri. Anak Bapa yakin sebahagian besar kita merasainya. Kita tidak bimbang dengan YB Khalid kerana beliau jenis “fighter” yang insyAllah akan terus kukuh dan istiqamah dalam perjuangan. Tetapi PAS, adakah kita menghantar mesej yang betul? Rasanya sayang seribu kali saying, kita terlepas peluang.



Anak Bapa: Sedang menghitung bahana keputusan semalam ……….