Wednesday, October 31, 2007

Polis "Bertempur" Dengan Polis

Entah apa musibah kepimpinan Pak Lah ulama’ hadhari ini apabila satu demi satu masaalah menimpa kerajaannya kebelakangan ini. Bermula dengan pendedahan tentang hubungan pegawai tertinggi polis dengan kepala-kepala gangster, kemudian diikuti kezaliman polis di dalam peristiwa berdarah Batu Buruk, pendedahan klip video Lingamgate, dan kini “serangan” seorang pegawai tinggi PDRM ke atas PDRM dan BPR, semuanya mengambarkan betapa kelam kabut kerajaan hadhari Pak Lah ini.

Selepas berdiam diri selama lebihkurang 3 bulan, Pengarah Jenayah Komersial PDRM, Datuk Ramli Yusuff telah mengadakan sidang akhbarnya hari ini bersama ramai pegawai kanan polis yang menyokong beliau. Antara ulasan beliau di dalam sidang akhbar tersebut ialah:

“Beliau bersama pegawai-pegawainya telah di aniaya oleh PDRM kerana tidak membantu membela mereka langsung ketika disiasat oleh pihak BPR..”

(Macamana nak tolong, bukankah Musa, Gani Patail dan rakan lebih berminat untuk menyelamatkan “bos” mereka yang dibuang daerah di Kelantan daripada membantu rakan mereka yang membuangdaerahkan “bos” mereka. Anwar dulu pun ketika diperlakukan dengan pelbagai macam kezaliman, mana ada pimpinan atau ahli UMNO yang menolong, sedangkan beliau adalah Timbalan Presiden UMNO. Sebabnya mudah saja, bukan kes seks atau rasuah, tetapi SEBAB BELIAU LAWAN TOKEY. Jadi kes Datuk Ramli ni pun dekat nak sama ….. )

“Beliau hairan bagaimana pihak akhbar tahu tentang siasatan ke atas beliau yang melibatkan pengisytiharan aset RM27 juta sedangkan sepatutnya ia adalah rahsia yang tertakluk di bawah Seksyen 21(4) Akta Pencegahan Rasuah 1964. Dan apabila ditanya kepada wartawan, mereka melaporkan bahawa BPR yang memberikan maklumat….”

(Ingat apabila Anwar dipecat dahulu, kita lihat beliau dikeji dan dihina dengan pelbagai tuduhan yang amat menjijikkan sedangkan beliau belum lagi didakwa di mahkamah atau didapati bersalah. Tujuannya mudah saja iaitu untuk mencemarkan nama baik dan kredibiliti seseorang agar persepsi orang ramai terhadapnya ialah ia bersalah walaupun kes belum pun dibicarakan lagi…..)

“Beliau pun pelik apabila pihak Jabatan Peguam Negara enggan membantu jabatan beliau untuk mengeluarkan afidavit ke atas kes buang daerah kepala samseng di Kelantan dan menyebabkan beliau terpaksa menggunakan khidmat peguam luar. Dan pihak BPR pula telah mendedahkan identiti pelapor maklumat polis (police informants) kepada mahkamah dan ini boleh membahayakan mereka …..”

(Bukankah kita dah kata sesiapa yang melapor kegiatan rasuah atau jenayah di negara ini, orang berkenaan pula akan menerima padahnya terutama apabila ia melibatkan “orang mereka”. Itu sebabnya Anwar terpaksa menyembunyikan identiti “whistleblowers” klip video Lingam sehingga satu Suruhanjaya Di Raja dibentuk. Inilah sebabnya, cuba renung jauh-jauh….. Nampak sangat Jabatan Peguam Negara bersekongkol untuk mempastikan kepala samseng tu bebas……)

Saya rasa sungguh cemas dengan perkembangan ini. Dahlah kita mempunyai hakim-hakim yang diragui, sekarang polis dan BPR pula AMAT MERAGUKAN. Sesama mereka pun bergaduh besar dan dari peringkat atasan hingga ke bawah. Jadi mana ada masa nanti untuk menjaga keselamatan negara. BPR pula nampak jelas bos baru mereka dah diperalatkan untuk kepentingan puak UMNO dan sekutu mereka. Dan terakhir dengarnya dapat pula pingat kebesaran dari Yang Di Pertua Negeri Sabah (yang mana dinasihati oleh Musa Aman, Ketua Menteri yang sedang disiasat kes rasuah).

Anak Bapa: Kerajaan hadhari Pak Lah makin sehari makin haru biru. Sekarang kita lihat hakim lawan hakim, lepas tu polis lawan polis dan apa menatang lagi kebinasaan yang akan melanda kita. Kesian juga dengan Datuk Ramli, yang hari ini membuat perisytiharan asetnya kepada BPR, mendakwa sebenarnya tuduhan RM27 juta tu tidak betul. Apa pun ayuh kita ke Dataran Merdeka pada 10 November 2007 jam 3 petang untuk berbuat sesuatu bagi membetulkan keadaan ……

Friday, October 26, 2007

Berterusan Menjadi Abdi UMNO

Al-marhum Sayyid Abul A’la Maududi, seorang ulama dan mujadid terkenal pada zaman kita ada menulis di dalam bukunya, “Cara Hidup Islam”,

“….. Islam menuntut bersungguh-sungguh supaya prinsip-prinsip moral dipatuhi dalam apa keadaan sekali pun dan di dalam semua bidang kehidupan. Dengan itu, ia menggariskan satu dasar politik negara yang kukuh berasaskan keadilan, kebenaran dan kejujuran. Ia tidak bersedia, dalam apa keadaan sekali pun, untuk bertolak ansur dengan penipuan, kebatilan dan ketidakadilan walaupun atas alasan kepentingan politik, pentadbiran atau negara. Samada ia adalah hubungan antara pemerintah dan yang diperintah, atau hubungan antara sesama negara, keutamaan hendaklah diberikan kepada kebenaran, kejujuran dan keadilan daripada kepentingan kebendaan.

Islam juga mengenakan perintah yang serupa ke atas individu, yakni mereka wajib menunaikan segala perjanjian dan tanggungjawab, melaksanakan peraturan yang sekata di dalam urusan sesama manusia, tidak melupakan hak orang lain apabila mengharapkan mereka memenuhi tanggungjawab mereka, menggunakan kuasa dan pengaruh untuk menegakkan keadilan dan bukan melakukan kezaliman, menganggap tugas dan amanah sebagai tanggungjawab mulia dan melaksanakannya dengan sepenuh hati, dan menganggap kuasa yang diberi Allah sebagai amanah dan menggunakannya dengan ingatan bahawa ia akan dipersoal olehNya di akhirat kelak …..”

Alangkah benar sekali ungkapan Al-Maududi ini. Tetapi hakikatnya kita lihat keadaan umat Islam hari ini bercanggah dengan apa yang beliau perkatakan. Tak payah pergi jauh, kita lihat saja orang Melayu Islam yang ada di Malaysia hari ini.

Al-Maududi memperkatakan dasar politik negara yang berasaskan keadilan, kebenaran dan kejujuran di mana kepentingan ini mengatasi kepentingan material. Lihat suasana politik negara, pihak pemerintah akan berbuat apa saja untuk mempertahankan kuasa walaupun dengan cara menipu, mengugut atau merasuah rakyat, menfitnah, penyalahgunaan kuasa dan apa saja cara yang mungkin. Perbuatan ini bukan saja mereka lakukan ke atas rakyat tetapi juga sesama mereka ketika ada pemilihan. Yang menjadi lebih malang, majoriti mereka ini terdiri daripada orang Melayu Islam. Persoalannya, jika cara mereka mendapat dan mengekalkan kuasa ini dengan cara yang keji dan jelek, apakah mereka akan menggunakan kuasa yang ada untuk kerja-kerja mulia dan berakhlak?

Rakyat mengikut “agama” pemerintahnya. Inilah hakikat yang berlaku di depan mata kita. Sebilangan besar rakyat di semua peringkat turut terlibat di dalam kerja-kerja keji seperti rasuah, jenayah, fitnah, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain lagi kerana mereka mempelajarinya daripada pemerintah yang ada. Mustahil pemimpin yang korup akan melahirkan rakyat yang amanah! Setakat bercakap saja tetapi tidak diikuti dengan tindakan dan amalan adalah pembohongan semata-mata dan tidak akan melahirkan natijah yang dikehendaki.

Jika saya ditanya negara manakah yang Islamik yang wujud hari ini, saya akan jawab Jepun. Mungkin ada sedikit kelemahan mereka tetapi Jepun adalah jauh lebih Islamik daripada mana-mana negara Islam. Lihat akhlak mereka, jujur dan amanah, tidak rasuah, bertanggungjawab, tidak menyalahgunakan kuasa, mahkamah yang adil dan bebas, sistem pemilihan pemimpin yang adil dan telus, rajin bekerja, bersih dan lain-lain lagi kebaikan. Cuma mereka tidak beriman kepada Allah swt. Jika tidak sudah pasti saya akan mengelar Jepun, negara Islam unggul abad ini. Dan ada lagi beberapa negara di Eropah yang memiliki ciri-ciri negara Islam Cuma mereka tidak beriman kepada Allah swt.

Jadi tidak malukah kita? Negara yang mengaku Islam, termasuk Malaysia Darul Hadhari, mencatatkan kebobrokan paling ketara dalam isu rasuah, penyelewengan kuasa, penipuan dalam pilihanraya, penindasan rakyat dan pelbagai lagi barah dalam pemerintahan. Rakyat turut sama terlibat dan terus menjadi pecacai UMNO/BN kerana rela membenarkan legasi pemerintahan UMNO/BN diteruskan. Umat Islam yang sepatutnya menjadi obor kebenaran dan keadilan, dan “role model” kepada masyarakat terus menjadi sampah kerana kedegilan mereka untuk kembali menghayati Islam sebenar. Dan saya yakin selagi kita tidak kembali kepada Islam sebagai satu cara hidup, kita akan terus membenarkan kerosakan dilakukan oleh UMNO/BN dan juga diri kita sendiri. Akhirnya siapa yang rugi?

Anak Bapa: Cuba amati betul-betul dan anda akan dapati pemimpin UMNO ini hanya pandai beretorik tentang Islam. Islam yang mereka laksanakan hanyalah Islam adat atau Islam yang boleh membawa undi pada mereka. Selagi kita masih berkompromi dengan Islam Hadhari ini maka selagi itu UMNO akan terus berkuasa kerana rakyat boleh menerima Islam separuh separuh. Dan selepas 50 tahun merdeka, adakah umat Islam atau negara jauh lebih baik? Cuba tanya diri sendiri dengan ikhlas!

Wednesday, October 24, 2007

Gelombang Kuning 10 November

Adakah anda bersedia untuk bersama-sama mencipta Gelombang Kuning pada 10 November 2007 nanti?

Negara kita amat tenat. Rakyat menderita. Jenayah menjadi-jadi. Kos sara hidup meningkat mendadak dan akan terus meningkat. Pagar yang diamanahkan menjaga padi kini sibuk berkenduri sesama suku sakat mereka. Kita perlukan perubahan, dan perubahan secara aman hanyalah melalui pilihanraya. Tetapi …… Suruhanjaya Pilihanraya pun macam pagar makan padi ….. jadi apa pilihan kita?

Kami amat sayangkan negara kami dan kami tak rela melihat UMNO dan kuncu mereka menghancurkan impian kami dan anak cucu kami. Kami bersedia berkorban demi Agama, Bangsa dan Negara. Perhimpunan aman di Dataran Merdeka pada jam 3 petang pada hari berkenaan adalah permulaan kepada tindakan lain yang lebih besar supaya perubahan akan berlaku. Kami merayu kepada semua yang prihatin kepada masaalah rakyat supaya tampil bersama-sama pada hari berkenaan. Ini termasuk raja-raja, pemimpin politik, tokoh-tokoh sukan, ustaz-ustaz, pejar-pelajar, petani, nelayan dan sesiapa saja yang cintakan keadilan dan keamanan. Kita mahu mencipta gelombang kuning raksaksa yang akan menelan dan memusnahkan segala kekotoran dan kejelekan kerajaan UMNO/BN.

Dalam masa yang sama, kita memberi ingatan kepada UMNO dan balaci mereka bahawa kesabaran rakyat ada hadnya. Jangan menyangka kami akan terus bersabar terhadap penipuan dan kezaliman kamu yang berterusan. Balasan kamu bukan saja di akhirat TETAPI JUGA DI DUNIA …….

Anak Bapa: Anda sudah perlu mengenalpasti siapa yang nak anda bawa bersama pada hari berkenaan. Pimpinan BERSIH perlu menyediakan pemimpin pelapis supaya jika polis menangkap pimpinan yang ada, pimpinan pelapis boleh meneruskan agenda yang dirancang. Pastikan menggunakan pengangkutan awam atau berjalan kaki. Membawa kenderaan sendiri ke Dataran Merdeka akan hanya menambah kesesakan dan terdedah kepada tangkapan polis. Sebarang pakaian atau kain kuning perlu disembunyikan terlebih dahulu dan dipakai apabila berada di Dataran Merdeka. Disebabkan ini adalah perhimpunan aman, jika polis hendak menahan kita maka kita naik beramai-ramai ke atas trak polis. Saya yakin polis tak akan sanggup menahan lebih daripada 1,000 orang. Apatah lagi 100,000 orang! Dan jika ada mereka yang hampir dengan kita cuba melakukan kerja-kerja yang tak senonoh, kita ramai-ramai tangkap dia kerana saya pasti itu adalah SB yang nak buat kacau. SELAMAT BERJUANG!!!!

Friday, October 19, 2007

Rating Kebebasan Akhbar Malaysia Merudum Lagi!

Menteri Penerangan (atau Menteri Propaganda?) Datuk Seri Zainuddin Maidin (Zam) dipetik oleh Utusan Malaysia (19 Oktober 2007) sebagai berkata,

“Rakyat Malaysia dan Asia perlu mengenepikan rating kebebasan akhbar yang dibuat oleh Reporters Without Borders (RSF) yang berpejabat di Paris kerana badan itu bukan hakim bagi nilai-nilai tempatan. Ini kerana rating itu adalah berasaskan nilai kebebasan akhbar Barat yang umumnya didorong oleh pasaran dan wang.”

Komen beliau ini dibuat setelah merujuk kepada pengumuman RSF berhubung indeks rating kebebasan akhbar Malaysia yang merudum teruk daripada tangga 92 pada tahun 2006 kepada tangga 124 pada tahun ini. Rating Malaysia di anggap sangat rendah malah jauh lebih teruk berbanding beberapa negara kecil dan miskin lain termasuk Mongolia (74), Kemboja (85), Timor-Leste (94), dan Bhutan (116).
Kemarahan Zam ini tidaklah memeranjatkan kita kerana memang perangai pimpinan UMNO begitu. Jika ada pujian daripada luar negara kepada kerajaan UMNO/BN, maka berhari-hari digembar-gemburkan di dada-dada akhbar utama negara dan juga media elektronik. Tetapi sebaliknya jika ada kritikan terhadap mereka, walaupun berasaskan fakta yang kukuh, pihak berkenaan akan dilemparkan dengan pelbagai kata nista dan kejian. UMNO sememangnya tidak akan menerima hakikat kesilapan mereka sampai bila-bila dan akan berterusan dengan keangkuhan dan kesombongan mereka. Tun Mahathir sendiri menyedari perkara ini dan dilaporkan berkata baru-baru ini bahawa UMNO sudah tidak dapat di perbetulkan lagi dari dalam.

Zam berkata bahawa RSF membuat rating berdasarkan nilai kebebasan akhbar Barat dan bukan nilai-nilai tempatan. Apa punya merapu yang dia ni cakap? Adakah membenarkan akhbar bebas mencetak berita tanpa sekatan itu hanyalah budaya Barat dan di sebelah sini kita hanya perlu mendengar dongengan dan penglipur lara dari pihak kerajaan UMNO/BN sahaja, yang selama ini telah terbukti bijak memutarbelit fakta dan menyiarkan berita yang menguntungkan mereka sahaja? Adakah dengan menidakkan permit penerbitan untuk parti politik pembangkang (Berita Keadilan) atau menyekat jumlah terbitan (Harakah) itu budaya tempatan, sementara di Barat pula sesiapa saja boleh menerbitkan akhbar atau makalah? Adakah budaya tempatan bermakna rakyat tidak berhak untuk mendapatkan maklumat yang benar daripada sumber pilihan mereka? Jika inilah budaya tempatan yang dimaksudkan oleh Zam, maka saya dengan ini mengisytiharkan diri saya “penganut” budaya Barat di dalam aspek kebebasan akhbar. Sebenarnya budaya yang Zam nak tu bukan budaya tempatan tetapi BUDAYA UMNO/BN YANG KEJI DAN BANGSAT. Cuba tengok indeks RSF sekali lagi dan anda akan dapati Ghana berada jauh di atas, di tangga 29 dan juga Taiwan di tangga 32 bersama-sama dengan Perancis di tangga 31. Adakah Ghana dan Taiwan ini negara Barat atau mempunyai nilai tempatan yang sama dengan nilai Barat? Jadi jelas bahawa cerita nilai-nilai tempatan ini hanyalah karut Zam saja untuk menutup kelemahan mereka.

Kemudian Zam meneruskan propagandanya dengan berkata bahawa nilai kebebasan akhbar Barat didorong oleh pasaran dan wang. Apa akhbar Malaysia tidak begitu? Bukankah demi nak melariskan jualan kita lihat akhbar-akhbar kita di selaputi segala macam berita yang jijik dan lucah. Tetapi ini semua dibenarkan kerana ia tidak mengugat UMNO/BN, malah ia membantu UMNO dengan melalaikan rakyat. Kita juga dapati akhbar-akhbar di Malaysia di monopoli oleh UMNO dan kuncu-kuncu mereka. UMNO menguasai Utusan Malaysia, Berita Harian, News Straits Time, Cosmo, Metro, Malay Mail, sementara kuncu lain menguasai The Star, akhbar Cina dan Tamil. Mungkin yang ada bebas sikit ialah The Sun. Mereka ini bersama-sama dengan BERNAMA menguasai hampir keseluruhan sumber maklumat bercetak negara dan akan sentiasa mempastikan kepentingan UMNO dan BN dipertahankan. Dan dalam masa yang sama, segala hasil mahsul daripada jualan akhbar dan pengiklanan dikaut untuk kepentingan kroni-kroni mereka. Jadi kita ini seolah-olah sudah ditumbuk lalu jatuh lepas tu kena terajang pula.

Seterusnya Zam berkata lagi,

“Rakyat Malaysia dan Asia tidak perlu bimbang dengan penurunan dalam ranking kebebasan akhbar di Malaysia kerana ia tidak mencerminkan kebebasan akhbar yang sebenarnya di negara ini."



Memang betul tu, jika anda dari kalangan UMNOputra, MCAputra dan MICputra. Mereka yang lain kenalah tabah menghadapi penipuan dan manipulasi berterusan akhbar-akhbar milik UMNO dan kroni mereka. Biasanya jikalau kita batuk-batuk atau panas badan maka secara otomatik kita tahu bahawa itu gejala penyakit yang mula melanda diri. Ketika itu kita tidak akan mendabik dada menyalahkan doktor atau orang lain bahawa mereka salah dengan menyatakan kita sakit. Kita tidak cuba menipu diri dengan berkata bahawa kita sihat dan orang lain semua salah. Ini kerana perbuatan ini akhirnya akan membawa kerugian pada diri sendiri. Begitu juga apabila negara kita di”tegur” tahap kebebasan akhbar, seseorang pemimpin yang waras akan memeriksa samada benar atau tidak laporan itu dan terus membuat pembaikan yang perlu jika didapati benar. Tetapi disebabkan Malaysia Boleh!, maka orang lain semua salah dan yang bijak bestari hanyalah pemimpin UMNO dan BN.

Penurunan ranking ini sebenarnya mencemaskan lagi pimpinan UMNO di saat mereka menghadapi gelombang informasi baru berupa internet dan blog. Kenyataan bodoh akhir-akhir ini daripada Zam, Nazri, Tengku Adnan, Ali Rustam dan lain-lain lagi membayangkan betapa terdesak mereka dihimpit dengan ledakan maklumat yang kini mampu diperolehi oleh orang ramai tanpa melalui UMNO. Dengan semakin berkembang teknologi internet, kita yakin lebih ramai rakyat akan memperolehi manfaat kebebasan maklumat dan semakin celik rakyat yang selama ini diperbodohkan oleh media UMNO dan BN.

Anak Bapa: Kenyataan bodoh yang kerap di buat oleh pimpinan UMNO termasuk oleh Pak Lah akhir-akhir ini sebenarnya membayangkan banyak benda yang tak betul sedang bergolak di dalam UMNO. Kita kena tekan lagi dia orang supaya dia akan lebih mengelebah dan dengan itu banyak kemungkaran mereka selama ini akan terserlah untuk tatapan semua ……

Wednesday, October 10, 2007

10 November 2007, Tarikh Keramat

Selepas selesai berbuka puasa dan bertarawih beberapa hari lepas, saya berkesempatan berbual panjang dengan seorang rakan lama dari utara semenanjung. Tajuk perbualan berkisar daripada pelbagai isu semasa dan akhir sekali menjalar kepada rancangan BERSIH untuk menganjurkan perhimpunan aman raksasa pada 10 November kelak. Sementelah itu, semalam kita telah pun dimaklumkan secara resmi bahawa tempatnya ialah di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada hari Sabtu jam 3 petang.

Sebagaimana kita semua sedia maklum, BERSIH (Gabungan ke arah Pilihanraya yang Adil dan Bersih) ditubuhkan oleh parti-parti politik pembangkang berserta beberapa badan bukan kerajaan selepas pilihanraya umum ke 11 pada tahun 2004, selepas didapati begitu banyak penyelewengan dan penipuan dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional di dalam pilihanraya. Tindakan tidak bertanggungjawab mereka antaranya termasuk mencemarkan daftar pemilih dengan tujuan memberi kelebihan kepada BN, menipu melalui undi pos, menggunakan media negara secara mutlak untuk memburuk-burukkan parti pembangkang tanpa ada ruang untuk menjawab balik, menggunakan keseluruhan agensi kerajaan untuk membantu BN, dan pelbagai lagi salahlaku lain yang amat ketara bagi sebuah negara yang mengaku mengamalkan sistem demokrasi. Dan kita juga melihat bagaimana jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan termasuk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Penerangan, pihak keselamatan dan lain-lain lagi telah digunakan sewenang-wenangnya untuk kepentingan UMNO dan BN.

Setakat ini kita melihat rakyat Malaysia adalah antara bangsa yang paling “sabar” di dalam dunia. Walaupun ketidakadilan kerajaan dapat dilihat dengan jelas di dalam pemerintahannya, termasuk ketika mengendalikan pilihanraya (yang sepatutnya adil dan bersih), rakyat masih lagi percaya dengan protes dan bantahan secara aman dan demokratik. Itulah sebabnya kita hanya melihat tunjukperasaan aman dan ceramah-ceramah umum saja yang dianjurkan oleh parti-parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan dan sosial apabila berlaku skandal parti pemerintah, dan bukan secara kekerasan atau pertempuran bersenjata. Kita mendoakan situasi ini akan berterusan walaupun ada tanda-tanda kerajaan BN semakin kasar melayani protes rakyat, dan dalam masa yang sama, rakyat pun semacam sudah kecewa dengan kerenah kerajaan BN yang cuba menutup apa jua ruang demokrasi yang tinggal.

Menurut rakan saya ini lagi, perhimpunan ini amat penting selepas mengambil kira segala kebobrokan kerajaan BN sepanjang 50 tahun merdeka. Baginya walaupun negara ini dikatakan maju dari segi prasarananya, tetapi aspek lain telah diabai atau digadaikan atas nama pembangunan. Hasilnya kita melihat rasuah berleluasa bukan saja di kalangan rakyat tetapi lebih besar dan meluas di kalangan pemerintah. Jenayah kejam pula meningkat dengan mendadak, dan menjadi lebih membimbangkan apabila pihak polis dikaitkan dengan perlindungan ke atas kumpulan-kumpulan samseng. Tekanan ekonomi ke atas rakyat menjadi semakin membebankan dengan kenaikan inflasi membabitkan hampir semua barangan keperluan dan perkhidmatan. Ramai pakar ekonomi bersependapat bahawa punca utama fenomena ini berlaku ialah kenaikkan harga minyak oleh kerajaan BN.

Mutakhir ini kita dikejutkan pula oleh pendedahan klip video Lingam berhubung konspirasi badan kehakiman negara yang amat memalukan. Walaupun kita ada mengesyaki perkara ini berlaku sejak Tun Salleh Abas dipecat dahulu tetapi kita tidak menyangka dapat menyaksikan pakatan sulit ini “live in action”.

Saya amat bersetuju dengan pandangan rakan saya ini dan kami juga bersependapat bahawa pilihanraya umum ke 12 (PRU 12) ini amatlah penting untuk masa depan negara. Selain daripada kempen penerangan kita kepada rakyat perlu lebih rancak dan meluas, “pengadil” untuk “pertandingan” di dalam PRU 12 nanti pun perlu dipastikan bersih dan adil. Kita nakkan perubahan besar dan dengan itu memerlukan PRU 12 untuk mendapatkan kuasa. UMNO dan kuncu-kuncunya amat menyedari perkara ini dan akan berbuat apa saja untuk mengekalkan kuasa mereka. Mereka akan menipu atau membuat pakatan jahat dengan sesiapa saja (sebagaimana yang dibuktikan oleh klip video Lingam) termasuk dengan SPR bagi menjamin kesinambungan Tradisi Menipu Rakyat mereka Dulu, Kini dan Selamanya. Oleh yang demikian SPR perlu dipastikan keadilan dan kebebasannya oleh kita semua kerana UMNO dan BN tidak boleh diharap lagi. Pelbagai tuntutan awal telah dibuat oleh BERSIH termasuk pemutihan daftar pemilih, penghapusan undi pos, celup dakwat pada jari, dan peluang media yang sama rata. Walaupun ada banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk mempastikan SPR benar-benar bebas, tetapi tuntutan awal ini merupakan langkah pertama yang betul. Kita berkeyakinan UMNO tidak akan berbuat apa-apa untuk memulihkan SPR. Perubahan ini hanya akan berlaku dengan desakan rakyat. Itulah sebabnya mengapa perarakan ini penting walaupun UMNO kata "ini bukan budaya kita".

Kita perlu turun beramai-ramai, kalau boleh ratusan ribu ramainya, untuk menghantar mesej kepada semua pihak bahawa rakyat sudah muak dan jelak dengan mainan dan tipudaya UMNO. Kita perlu lakukan ini semua untuk kesejahteraan bangsa dan negara, dan untuk survival generasi kita akan datang. Semua pihak bertanggungjawab untuk mempastikan kehadiran seramai rakyat mungkin, Melayu, Cina, India dan lain-lain lagi pada Sabtu 10 November 2007 jam 3 petang di Dataran Merdeka. Jangan kita takut kepada ugutan dan ancaman UMNO dan balaci-balaci mereka. Kita perlu lebih takutkan masa depan kita jika UMNO dan BN terus memerintah bumi bertuah bernama Malaysia ini!

Anak Bapa: Saya sekeluarga akan pulang ke kampung di utara Tanahair hari ini dengan misi besar, misi menyelamatkan negara daripada cengkaman rejim bobrok UMNO/BN. Saya perlu pastikan saudara mara kat kampung memahami apa yang sedang berlaku dan bersama dengan kita di dalam ombak kemaraan rakyat. Saya juga akan cuba meyakinkan mereka untuk turun ke Dataran Merdeka pada 10 November nanti untuk memberi tekanan ke atas SPR supaya berlaku adil dan bersih di dalam PRU ke 12 nanti. Dan saya perlu pastikan mereka mengundi selain daripada BN di dalam PRU itu kelak. Bagaimana pula dengan anda??????