Tersentak Anak Bapa apabila menerima khabar semalam berhubung berita “pergi takkan kembali” pelopor dan ikon industri nasyid terkenal negara, Ustaz Asri daripada Kumpulan Rabbani. Anak Bapa tidaklah begitu mengenali Allahyarham tetapi daripada cerita rakan-rakan dan berita di dada-dada akhbar dapatlah sedikit sebanyak mengenali dan menilai diri peribadi Ustaz Asri. Kebetulan pula Anak Bapa berkesempatan makan malam semeja dengan Allahyarham dan Tok Guru Nik Aziz di Stadium Melawati Shah Alam pada 1 Ogos baru-baru ini sempena program Konsert Antara Benua kerjasama GAMIS dan Rabbani. Di dalam majlis berkenaan Tok Guru Nik Aziz menjemput Ustaz Asri dan Rabbani ke Kelantan selepas hari raya puasa untuk satu majlis di sana dan Ustaz Asri kelihatan begitu gembira sekali menerima pelawaan Tok Guru. Tetapi Allah swt yang menentukan segala-galanya. Jika ajal sudah tiba tidaklah ditangguh atau diawalkan walau sesaat pun.
Kematian merupakan satu hakikat dan kepastian yang ramai manusia lupai sedangkan mati tidak pernah melupai manusia. Jika kita menggunakan sedikit akal dan berfikir tentu kita dapat lihat bagaimana manusia sehebat mana pun atau sekaya mana pun akan tetap tersungkur dengan “penangan” malikul maut. Justeru itu kenapa sanggup mengambil risiko membuat kerja-kerja keji dan hina di dunia ini sedangkan kita sedar bahawa semuanya akan diperhitungkan di hadapan Allah swt kelak. Dan kelak itu bukanlah lama sangat. Berapa ramai ibubapa yang hidup hari ini tidak pernah termimpi untuk memandikan jenazah anak sendiri kerana lumrah alamnya ialah anak sepatut memandikan jenazah ayah dan ibunya? Tetapi itulah jua yang kerap berlaku. Penularan virus H1N1 ketika ini sekali lagi membuktikan betapa rapuh nyawa manusia dan betapa ukuran umur tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada siapa yang akan mati dahulu. Islam mengajar kita supaya menjadikan mati sebagai sahabat setia kita kerana sesuai dengan peranan seorang sahabat, ia akan sabar menasihati kita jika kita terleka atau lalai daripada amanah dan tanggungjawab. Beruntunglah mereka-mereka yang sentiasa mengambil mati sebagai sahabat dan teman di sepanjang kehidupan yang fana ini.
Berbalik kepada cerita Ustaz Asri tadi. Anak Bapa memang tertarik dengan kesederhanaan dan kesungguhan Ustaz Asri di dalam perjuangan melalui medan dakwah nasyid ini. Walaupun ada pihak-pihak yang memandang sinis bentuk perjuangan beliau dan rakan-rakan yang sealiran dengannya, satu yang pasti ialah beliau telah berjaya menawarkan satu bentuk hiburan alternatif kepada anak remaja Islam di negara kita buat sekian lama. Bayangkan jikalau mereka ini tidak pernah wujud dalam sejarah industri muzik negara, sudah tentu anak muda kita akan terkenja-kenja dengan muzik barat dan muzik saduran barat semata-mata, yang membawa bersama-samanya nilai-nilai hedonisme yang amat menakutkan. Keupayaan kumpulan nasyid begini di dalam menjiwai nilai-nilai Islam bukan saja di dalam lagu dan muzik mereka malah di dalam kehidupan peribadi dan keluarga mereka sedikit sebanyak berjaya meyakinkan anak-anak muda kita bahawa berhibur tidak semestinya berakhir dengan kemudaratan dan dosa. Ustaz Asri dan teman-temannya telah memulakan sesuatu yang amat berharga kepada seni dan dakwah Islam dan telah Berjaya mengembangkannya kepada satu tahap. Jadi harapan Anak Bapa agar mereka-mereka yang tinggal akan meneruskan perjuangan ini demi kebaikan dan manfaat ummah. Moga jasa dan sumbangan Ustaz Asri akan diterima oleh Allah swt sebagai amal soleh dan ditempatkan beliau di kalangan hambaNya yang solehin. Al-Fatihah ……
Anak Bapa: Kerendahan diri dan murah hati Ustaz Asri memang terkenal di kalangan mereka yang dekat dengan beliau. Anak Bapa dimaklumkan bahawa beliau tidak pernah memecat mana-mana ahli kumpulannya walaupun keahlian kumpulannya antara yang teramai. Beliau mengambil sikap berkongsi apa saja dengan ahli kumpulannya dan menerima mereka sebagai sebahagian ahli keluarganya. Jika kita terasa kehilangan Ustaz Asri, mereka tentulah lebih lagi. Harapan saya agar mereka semua bersabar …….
Perhimpunan aman Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) yang diadakan pada hari Sabtu lepas di sekitar Kuala Lumpur dianggap sangat berjaya. Anak Bapa beranggapan demikian kerana ukurannya mudah saja, pimpinan UMNO melatah-latah berhari-hari lamanya.
Mula-m
ula Najib, dengan katanya bahawa ada banyak cara lain lagi untuk menyuarakan bantahan terhadap undang-undang kejam ini, malahan ahli-ahli parlimen pembangkang boleh menyuarakan pandangan mereka di Parlimen (seolah-olah selama ini pimpinan Pakatan Rakyat (PR) tak pernah menyuarakan langsung pandangan mereka berhubung kebejatan ISA). Muhyiddin pula menuduh pemimpin PR yang mendalangi, malah disebut mengupah rakyat terutama orang-orang Melayu supaya berdemonstrasi bagi menimbulkan simpati kepada perjuangan mereka.
Nazri Aziz pula mempertahankan tindakan pihak keselamatan di dalam “mengawal” perhimpunan “haram” daripada bertukar menjadi ganas. Shafie Afdal, yang dahulu nak jaga gula dan beras pun tak reti, mencadangkan supaya pimpinan PR ditahan dan didakwa kerana mendalangi perhimpunan haram ini. Mukhriz berkokok mendakwa pimpinan PR mempergunakan orang-orang Melayu di dalam mencapai cita-cita perjuangan mereka manakala Reezal Naina Merican mengutuk pembabitan mahasiswa di dalam aktiviti yang tidak demokratik dan menyalahi undang-undang negara. Ada seorang pula kuncu UMNO yang bernama Mohd. Khairul Azam daripada Magaran (entah habuk mana datangnya kumpulan nyamuk ini) mengesa kerajaan menahan Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah ISA. Dan hari ini, tukang ampu UMNO, Ketua Polis Negara pula berjanji akan mendakwa mereka yang terlibat mendalangi perhimpunan haram Sabtu lepas di samping akan mengambil tindakan tegas terhadap ibu bapa yang membabitkan anak-anak mereka.
Anak Bapa termenung membaca pelbagai lontaran pendapat dan cadangan pimpinan UMNO dan mereka-mereka yang sewaktu dengannya. Nak kata bodoh pun ya, bebal pun ya, bodoh sombong pun ada, pendek kata segala jenis caca-marba penyakit memang cukup banyak pada UMNO yang terus mereput dan tunggu hari nak dikapankan. Isunya mudah saja. Rakyat benci ISA sebab undang-undang ini zalim dan kejam. Malah dalam Islam sendiri tidak ada tempat bagi undang-undang yang sebegini zalim. Dengan kata lain akta ini haram hukumnya! Janganlah dok kait isu orang-orang Melayu y
ang ramai hadir dan bukan kaum lain (ada tukang kira ke?), atau minoriti rakyat saja yang hadir, atau kerugian besar kepada peniaga (sapa yang menyebabkan kerugian. Sepatutnya lebih ramai orang maka lagi laris jualan. Yang sembur gas dan air asid bukan peserta demonstrasi tetapi pihak polis, atas arahan pimpinan UMNO), dan segala alasan lain yang tersasar daripada isu sebenar. Mesejnya “simple” dan jelas, rakyat nak beritahu kerajaan bahawa ISA tu zalim dan perlu dimansuhkan. Itu saja.
Selama ini pun demonstrasi yang dianjurkan oleh parti-parti politik pembangkang dan NGO tidak pernah menjadi ganas. Ia menjadi kelam kabut apabila pihak polis masuk campur. Protes jalanan bukan benda baru malah sesuatu yang biasa di negara yang utuh demokrasinya. Negara yang tak benarkan demonstrasi aman ini sebenarnya negara polis atau negara diktator. Jadi fikir sendiri Malaysia duduk di dalam kategori mana.
Seperkara lagi, tolong tunjukkan negara maju mana yang perlukan akta ala-ISA ini (tak usah cerita Singapura kerana perangai pimpinannya lebih kurang macam pimpinan UMNO) untuk menjamin keamanan negara masing-masing. Jadi tak usah dok guna alasan perlu ISA untuk keselamatan negara. Keselamatan UMNO dan BN mungkin! Spesis UMNO ni bukan tau belajar dari sejarah. Dia orang masih menganggap rakyat Malaysia ni bodoh (macam dia orang), sanggup bersusah payah berdemonstrasi kerana dipengaruhi kalangan tertentu, atau diupah nasi lemak sebungkus dan air segelas. Dan kalau betul orang Melayu yang ramai berdemonstrasi, baguslah, kerana kesedaran yang tinggi orang-orang Melayu Islam terhadap isu yang melibatkan kebajikan dan keadilan rakyat.
Anak Bapa: Kelihatan ramai pulak anak-anak muda Cina dan India berdemonstrasi bersama-sama anak-anak muda Melayu hari tu. Harap pimpinan UMNO tak ada yang juling mata sebab ramai sangat yang hadir berdemonstrasi ……..
Saya kagum betul dengan komen para ”ulama” dan ”cerdik pandai” dan diikuti
”spin” media perdana negara berhubung kematian Teo Beng Hock, Setiausaha Politik Ean Yong Hian Wah, EXCO kerajaan negeri Selangor ketika ini. Dari mulut ”cendiakawan” di menara gading sibuk dengan haram Nizar pegang lilin ketika kononnya majlis memperingati kematian Teo dan disambut dengan galak oleh Mufti Perak (baca penyokong pekat UMNO), Harussani dan diapi-apikan lagi oleh kenyataan politik perkauman pemimpin UMNO dan media milik mereka, tidak hairanlah isu ini cuba dimanipulasi untuk mengalih perhatian rakyat dari isu sebenar.
Isunya mudah saja. SEORANG INSAN TELAH DIDAPATI TERBUNUH KETIKA DI BAWAH JAGAAN SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM)! Itu saja ceritanya. Jadi apa yang sepatutnya berlaku ialah siasatan dibuat dengan rapi dan telus berhubung kematian ini termasuk motif kematian atau pembunuhan ini agar dapat diperjelaskan. Bayangkan seorang anak muda yang akan mendaftarkan perkahwinannya keesokan harinya, yang akan berkahwin pada bulan Oktober kelak dan mempunyai tunang yang sedang hamil 2 bulan, masakan akan membunuh diri ketika hanya disoalsiasat ”biasa” saja. Sementelah itu, bicara rakan-rakannya membayangkan yang Teo bukanlah seorang yang lemah dan mudah tunduk kepada tekanan. Jadi tanda-tanda resah gelisah yang merupakan sebahagian ciri orang yang berhajat untuk membunuh diri itu tidak ada langsung pada Teo. Jadi mana mungkin bunuh diri? Jikalau dikatakan kemalangan, lagi tak logik jika melihatkan struktur dan keadaan tingkap bangunan berkenaan. Keyakinan kita ialah pembunuhan, dan Anak Bapa yakin sebahagian besar rakyat merasakan demikian. Jadi Najib, pastikan rakyat mendapat jawapan sebenar daripada insiden ini. Tolong jangan altantunyakan kes ini jika anda tidak mahu kemarahan rakyat menjadi tidak terkawal!
Kepada burung-burung kakak tua yang kerjanya mengangguk dan mengiyakan cakap tuan-tuan mereka, tolong sedarlah diri sikit. Islam tidak mengira warna kulit atau kaum dalam bab keadilan. Jikalau Fatimah sendiri yang mencuri nescaya Rasulullah akan potong tanganya. Tolong jangan jadikan isu remeh temeh untuk tujuan berpolemik sedangkan di depan mata kita satu kezaliman besar sedang berlaku. Ulama besar Islam, Ibn Taimiyah pernah menceritakan bagaimana ulama-ulama di zaman Abbasiyyah di dalam satu perhimpunan mereka gemar membincangkan perkara-perkara remeh temeh, contohnya apa hukum darah nyamuk kena kain sembahyang sedangkan di waktu itu tentera Mogul sedang menyembelih ribuan umat Islam.
Inilah
hakikatnya keadaan menyedihkan umat hari ini. Harussani sepatutnya menegur pimpinan UMNO kerana masih mengekalkan ISA, hukum rimba yang diharamkan oleh Islam (penjaranya kebetulan terletak di Perak) dan supaya Zambri membubarkan kerajaan haramnya dan DUN supaya rakyat diberi peluang memilih semula kerajaan yang halal, dan banyak lagi isu-isu besar yang menyentuh umat Islam. Bukan tak boleh menegur tetapi biarlah konsisten dan tidak memilih-milih, dan beri keutamaan kepada mana yang lebih aula. Tetapi ini tak akan berlaku kerana mereka semua pengampu setia UMNO. Mereka hanya akan bercakap atas perkara-perkara yang disukai tuan mereka dan yang boleh memburuk-burukkan musuh tuan mereka. Hakikat ini sesuatu yang telah sebati dengan budaya poltik negara dan nampaknya akan kekal begitu selagi UMNO terus berkuasa.
Saya tak ingin cerita bab lilin ini kerana ia telah dikupas dengan panjang lebar oleh sahabat saya YB Khalid Abd Samad. Kalau nak tahu lebih lanjut boleh layari laman sesawang beliau. Cuma apa yang ingin saya katakan di sini bahawa kita telah menyaksikan lepas satu persatu mereka yang dibawa ke bawah tahanan polis atau SPRM menghadapi masalah, malah ramai juga yang mati di dalam tahanan. Apa yang menyedihkan, kadang-kadang hak mendapatkan peguam ketika ditahan pun telah dinafikan. Tren ini nampaknya akan berterusan jika kita masih terus mengekalkan UMNO dan BN di dalam menerajui negara dan jika kita tunduk kepada tindakan ”penyelesaian” separuh masak Najib! Jangan sia-siakan kematian Teo ......
Anak Bapa: Ada juga ulama besar PAS yang komen tentang sikap Nizar. Cerdiklah sikit yang mana kenyataan politik dan yang mana kenyataan hukum-hakam agama. Jangan cepat sangat kita melatah .......
Bulan Ogos sentiasa dikaitkan dengan bulan kemerdekaan. Tapi amat sikit daripada kita yang berhenti sejenak memikirkan pengorbanan yang dicurahkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu. Amat malang lagi apabila sebahagian kita yang lain hanya mengenal nama-nama tokoh kemerdekaan yang disaji oleh UMNO dan BN sahaja. Jadi ini peluang untuk kita mendalami liku-liku perjuangan seorang tokoh kemerdekaan yang tidak asing lagi iaitu Al-marhum Profesor Dr. Burhanuddin Al-Helmy bin Mohd Noor yang akan diadakan pada 2 Ogos 2009 bertempat di Muzium Selangor di Shah Alam. Maklumat lanjut boleh diperolehi di www.ummahcentre.net. Jom kita beramai-ramai ke sana!
Di kala kita tengah gundah gulana menghadapi serangan wabak selesema babi H1N1 yang semakin serius, ada wabak lain pula yang berkaitan dengan babi sedang melanda utara Semenanjung. Nampaknya macam serius dan kalau tak ditangani dengan baik boleh menyebabkan masalah yang agak besar kelak. Ini berkaitan dengan insiden perobohan tempat penyembelihan babi haram di Alor Star, Kedah beberapa hari yang lalu.
Semua orang tahu bahawa memakan daging babi tu haram bagi orang-orang Islam. Tet
api untuk orang-orang bukan Islam, mereka ada pilihan samada nak makan atau tidak. Dan sememangnya menjadi kewajipan pihak pemerintah, tak kira siapa mereka sekalipun, untuk menyediakan segala kemudahan yang bersesuaian untuk makanan rakyatnya. Banyak caranya bagaimana daging babi ini boleh sampai kepada yang memerlukan. Antaranya dengan menternak sendiri, menyembelih dan menjualnya untuk kegunaan tempatan atau mengimport daging tersebut dari negara/negeri jiran kemudian dijual kepada penduduk tempatan. Semuanya boleh dilaksanakan dan kewajarannya bergantung kepada faktor kos dan alam sekitar.
Singapura, sebagai contoh, walaupun ramai rakyatnya memakan daging babi, ia tidak mengizinkan penternakan babi di dalam negara. Ini dibuat bagi menjaga kebersihan dan juga kerana kos penternakan yang tinggi. Mereka lebih rela mengimport daripada Malaysia dengan kos yang lebih rendah dan dalam masa yang sama memulihara alam sekitar mereka.
Kita sedia maklum bahawa penternakan babi merupakan antara penyumbang terbesar pencemaran air dan bau di dalam negara. Langkah-langkah konkrit perlu diambil bagi menjaga kepentingan semua pihak. Kita perlu ingat bahawa industri babi bukan saja melibatkan pemakan dagingnya tetapi juga yang tidak makan daging babi. Bagi orang-orang bukan Islam, mereka perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk mencari jalan terbaik di dalam menanggani masalah ini. Kita lihat saja Kerajaan PR Selangor yang melihat usaha ini dengan positif apabila mencadangkan penternakan babi setempat yang berlandaskan teknologi moden yang bukan saja dapat mengawal penularan penyakit akibat najis babi dan pencemaran air, tetapi juga dapat menjana hasil sampingan melalui pengeluaran biogas.
DAP sebagai rakan PAS dalam PR perlu lebih terbuka dan berlapang dada di dalam sama-sama berusaha membawa kebaikan kepada rakyat. Jangan sesekali terperangkap di dalam mainan isu remeh temeh yang bersifat perkauman dan keagamaan. Kita telah diberi mandat oleh rakyat untuk melaksanakan pembaharuan dan jika kita masih terperangkap di dalam mindset lama yang penuh prejudis dan syak wasangka maka kita tidak akan dapat maju ke hadapan. Perkara yang salah dan melanggar undang-undang perlu kita ambil tindakan. Cuma bedanya kita dengan BN ialah kita buat cara berhemah. Kita bincang elok-elok, berikan masa dan alternatif kepada pihak-pihak yang terbabit. Tetapi jika masih lagi berdegil selepas itu maka tindakan perlu diambil kerana kita perlu ingat bahawa segala kegiatan yang menyalahi undang-undang adalah membawa keburukan kepada rakyat teramai. Itu sebabnya ia diharamkan! Seperkara lagi, tindakan yang serupa bukan saja melibatkan kandang babi dan tempat sembelihannya, malah kandang lembu dan pusat penyembelihan lembu pun jika tidak berlesen perlu diambil tindakan serupa. Perkara ini perlu dimaklumi oleh semua termasuk di kalangan pimpinan PR.
Anak Bapa berkeyakinan pimpinan PR akan “come to their senses” tidak lama lagi. Takkan isu sebegini boleh meletup sampai tidak terkawal. Malu kita kalau pimpinan tidak mampu menyelesaikan isu yang Anak Bapa anggap sangat remeh temeh. Rakyat sedang memerhati, jika kita tak boleh bertolak ansur dalam perkara sekecil ini macamana nanti bila kita diberi peluang memerintah negara? Adakah kita akan bergaduh setiap hari tentang semua benda? Pihak kerajaan perlu lebih peka dan banyak berbincang sebelum melakukan sebarang tindakan sebegini dan DAP pula kena faham bahawa perkara yang haram tidak boleh dikekalkan selama-lamanya. Jika undang-undang kita gubal, kita sendiri tak ikut, rakyat akan cakap macam ketam ajar anak dia jalan betul!
Anak Bapa: Anak Bapa sentiasa berbincang dengan Ahli-Ahli Majlis bukan Islam di dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis Bandaraya Shah Alam dalam perkara-perkara sensitif termasuk isu judi, arak, karaoke, kuil-kuil haram dan sebagainya. Dan setakat ini kita dapat menyelesaikannya dengan baik dan harmoni. Jikalau babi dapat tau kita akan akan berpecah belah kerananya tentu ia akan ketawa besar. Malulah sikit ……..