Sunday, September 14, 2008

Puteriku Siti Hajar - Permata Hati Ayah Dalam Kenangan


Hati mana tak akan pilu apabila anak tersayang diambil di kala kasih sayang sedia terbelai. Perasaan mana tidak hiba apabila permata hati dirampas ketika dalam dakapan mesra. Emosi mana yang tidak terganggu apabila insan harapan ghaib dalam sekelip mata. Mungkin rintihan ini dek kerana “emotional outburst” yang melulu dan tidak terkawal. Tetapi hakikatnya itulah perasaan seorang ayah yang kehilangan anak tercinta ……

Tanggal Isnin 8 September 2008, di kala umat Islam sedang asyik mengerjakan solat sunat Tarawih, puteriku Siti Hajar dalam diam-diam dijemput menemui PenciptaNya. Umurnya yang baru menempuh 23 tahun, pelajar tahun 1 UIA di dalam bidang Bahasa Arab dan memiliki tubuh badan yang sihat bukanlah merupakan alasan untuk memanjangkan usianya. Saat dan ketika puteriku dah sampai, dan sebagaimana janji Allah swt, 1 saat pun tidak akan ditangguhkan apabila ajal dah tiba. Aku pasrah kepada ketentuan Ilahi …….

Kakak, begitulah ia membahasakan dirinya, tidak pernah sakit lebih daripada 2 hari lamanya sebelum ini. Itu pun jarang berlaku. Kakak seorang yang sihat dan aktif di dalam kerja-kerja jamaah dan pelajaran. Secara tiba-tiba Kakak terkena sakit ruam di seluruh badan lebih kurang sebulan yang lalu. Aku ubati Kakak sebagaimana biasa. Ruamnya sembuh tetapi sendi-sendi kakinya pula rasa sengal dan sakit. Ujian darah di SJMC menunjukkan Kakak mengidap “Rheumatoid Athritis” yakni radang sendi di peringkat awal. Menurut doktor yang mana juga aku persetujui, ia hanya kecil, mudah sembuh dan tidak merbahaya. Kakak mengambil ubat-ubatan secara alopati, homeopati dan juga rawatan secara Islam. Hasilnya Kakak hampir sembuh 2 minggu kemudian. Apa yang peliknya, kebiasaan manusia apabila penyakitnya makin sembuh maka tahap kecergasannya pun semakin meningkat. Tetapi tidak dengan Kakak. Kecergasannya semakin menurun walaupun penyakitnya semakin sembuh. Ini yang membingungkanku dan semua orang ……

Lebihkurang 1 minggu yang lepas, Kakak tiba-tiba demam. Demam biasa saja, suhu tinggi sikit dan diiringi dengan batuk dan cirit-birit. Walaubagaimana pun keadaannya tidaklah begitu membimbangkan, musim demamlah katakan …..

Hari Isnin, ketika aku sibuk bersiap untuk ke tempat kerja pada sebelah pagi, isteriku memaklumkan bahawa Kakak merasa sedikit penat hari itu. Aku jenguki Kakak dan mendapati ia sedang berbaring relaks. “Nampak biasa saja,” bisik hati ku lantas bergegas ke tempat kerja. Di sekitar pukul 6.30 petang aku pulang dari kerja dan terus menjenguk Kakak. Pelik hari tu kerana Kakak tidak berbaring di biliknya sebaliknya memilih berada di bilik tetamu. Sebaik aku masuk, terpandang keadaan penat Kakak yang agak melampau sehinggakan kepala dan tangannya tergoyang-goyang di luar kawalan. “Ini sangat serius,” bentak hatiku. Saya cadangkan kepada Kakak supaya kita ke klinik tetapi Kakak menolak dengan lembut. “Kakak tak taulah ayah, Kakak penat betul hari ini. Boleh tak esok saja kita pergi klinik?”,ujarnya dengan nada yang amat memilukan. Hatiku bagai disiat-siat melihat keadaan Kakak. Aku angguk kepala tanda setuju. Aku duduk di sisinya lantas memegang dan mengusap tangan dan muka Kakak. Suhu badan normal, sendi-sendinya pun sudah tidak sakit lagi dan batuknya pun telah ghaib entah ke mana. Kakak berkata ia semakin sihat. Peluhnya keluar mencurah-curah dan ia berselera sekali makan. Walaupun ketika aku amati wajahnya dalam-dalam kelihatan seolah-olah ia seperti nazak tetapi aku cuba nafikan hakikat ini kerana keadaan fizikalnya tampak semakin baik. Baru aku sedari kemudian bahawa Kakak bukan penat biasa tetapi nyawanya semakin pendek dek ditarik perlahan-lahan oleh Malikul-Maut.

Aku berbual-bual mesra dengan Kakak sambil ia memegang erat tangan ku. Apabila aku menarik tangan untuk pergi bersiap berbuka puasa, Kakak merayu supaya aku tunggu sekejap lagi bersamanya. Aku berjanji akan kembali menemani Kakak selepas berbuka puasa di masjid. Sekembali aku dari masjid aku dapati Kakak semakin ok, siap senyum lagi dan meminta ayah pergi bertarawih ke masjid. Dia dah sembuh, katanya. Aku pergi bertarawih dengan agak ceria apabila mendengar pengakuan Kakak. Telepon bimbit pun tidak “bervibrate” ketika solat bermakna semua ok di rumah.

Ketika aku berada 100 meter dari rumah waktu pulang bertarawih, tiba-tiba telepon bimbit berbunyi. “Cepat bang anak kita tak mahu bangun!”, jerit isteriku. Menurut isteriku kemudiannya, selepas aku ke masjid, Kakak minta nak solat segera selepas azan Isya. Selesai solat ia meminta kebenaran maknya untuk berbaring relaks buat seketika. Maknya pun bersetuju dan membiarkan Kakak berbaring sambil ia sendiri menunaikan solat tarawih berhampiran dengan Kakak. Selesai solat witir isteriku berpaling ke belakang dan mendapati Kakak sedang berbaring tidak bergerak-gerak. Ia lantas cuba membangunkannya tetapi Kakak tetap membisu…..

Aku periksa nadinya, cuba mengesan bunyi nafas dan degupan jantungnya, tapi tiada. Aku cuba lakukan CPR, dan sebaik saja aku tiup di mulutnya udara mudah saja sampai ke paru-paru seolah-olah aku sedang meniup melalui straw ke dalam belon. Ini membuktikan bahawa Kakak sudah pergi, pergi selama-lamanya …..

Aku tidak mahu menghampakan isteriku. Lantas aku ajak abang ipar ku untuk mengangkat Kakak ke dalam kereta dan segera menuju ke pusat perubatan berhampiran. Sebaik tiba di pusat perubatan berkenaan, doktor di bahagian kecemasan hanya mengambil masa 10 minit untuk mengesahkan apa yang kami amat takuti, yang Kakak telah pun meninggalkan kita lebih setengah jam yang lalu. Air mata semua berguguran tak tertahan-tahan lagi. Aku cuba gagahi bertahan. Sebagai ayah aku kena pujuk ahli keluarga lain. Bagaimana dapat aku lakukan tugas ini jika aku turut sama terheret di dalam pesta air mata. Berterusan doaku semoga aku diberi kekuatan untuk menghadapi ujian yang amat hebat ini. Alhamdulillah makbul …..

Doktor tidak tahu nak tulis kematian mengejut ini disebabkan oleh penyakit apa. Umur muda dan tidak ada sejarah sebarang penyakit merbahaya. Dia meminta saya bersetuju dihantar ke hospital kerajaan untuk dibedahsiasat. Aku merayu dan merayu supaya jenazah puteriku tidak disiksa begitu rupa. Berkat doa dan pertolongan semua, sekali lagi Allah swt makbulkan doaku. Jenazah Kakak sedia untuk dibawa pulang ke rumah. Di saat itu pusat perubatan sudah dibanjiri oleh saudara dan rakan yang datang untuk berkongsi sedih. Di sekitar 1.30 pagi, jenazah Kakak sudah ada di rumah menunggu esok untuk dikebumikan. Ayah dan makku di kampong sudah luluh di dalam tangisan hiba. Mereka segera bertolak dari Perlis untuk bersama berkabung bersama keluargaku. Rakan taulan dan saudara mara tidak putus-putus berkunjung ke rumah ku sehingga ke subuh. Pukul 11 pagi Kakak dimandi, dikapan dan disolat jenazah (yang aku imami) sebaik saja selesai solat zohor. Menurut sorang Pak Aji yang tinggal berdekatan masjid mengakui bahawa ini adalah sejarah kehadiran paling ramai makmum bersolat jenazah sejak masjid ini mula dibuka. Rezekimu Kakak ……

Kakak selamat dikebumikan di Seksyen 21, Shah Alam sekitar jam 3.00 petang. Ayahku sendiri yang membuat tazkirah dan doa selepas selesai upacara pengkebumian. Kami sekeluarga pulang, pasrah kepada ketentuan Ilahi bahawa Kakak telah pergi buat selama-lamanya menemui allah rabbuljalil.

Ramai teman bertanya bagaimana aku boleh begitu “cool” menghadapi saat-saat kematian puteri sulong tercinta. Jawapannya mudah, kerana kekuatan yang Allah beri kepada ku. Kakak pergi dalam keadaan yang paling baik yang boleh kita minta. Ia anak yang sentiasa patuh kepada ibubapa, berakhlak mulia, sentiasa menjaga kehormatan diri dan ibadat. Malah ketika berbaring, lidahnya tidak lekang membaca Al-Qur’an dan berwirid. Kakak adalah insan yang mudah bertolak ansur dalam bab keduniaan. Jawapannya sentiasa,”Ikut suka hati ayah …..”. Walaubagaimanapun, Kakak begitu tegas dalam bab agama. Berapa kali bapa saudaranya ditegur kerana masih merokok. Kakak diberi pendidikan agama sejak kecil sehingga di Universiti, samada di sekolah atau di rumah. Kakak seorang yang rajin di dalm kerja-kerja jamaah dan memang memiliki jiwa pemimpin. Kehadiran ramai temannya dari UIA membuktikan hakikat ini. Di samping itu Kakak sangat cemerlang di dalam pelajarannya. Beberapa hari selepas meninggal dunia, kami menerima sepucuk surat daripada UIA memaklumkan Kakak tersenarai di dalam Senarai Dekan kerana kecemerlangan akademiknya. Saya menyaksikan sendiri banyak tanda-tanda kurniaan Allah kepada Kakak. Bilik tempat Kakak meninggal dunia harum semerbak bau bunga-bungaan (sehingga ke hari ini) walaupun kita tak pernah bawa masuk sekuntum bunga pun ke dalam rumah. Waktu dimandi jenazahnya oleh maknya tak ada sedikit najis apa pun keluar darinya. Wajahnya puteh berseri-seri, lembut ayu dan tersenyum seolah-olah seperti sedang tidur. Kombinasi semua ini dan banyak lagi memberikan seribu alasan untuk kami lebih gembira daripada bersedih di atas pemergiannya. Namun sebagai ayah, kehilangan Kakak tetap dirasai dan dirindui. Kakak telah membawa bersama secebis hati ayah yang tak mungkin dapat ayah perolehi kembali di dunia ini. Ayah sayang kepada Kakak dunia hingga ke akhirat ……..

Anak Bapa: Moga Allah cucuri ruh Kakak dan ditempatkan di kalangan orang yang solihin …….

45 comments:

Air Dari Syurga said...

assalamualaikum ..tuan sekeluarga..

saya amat terharu dengan apa yg berlaku..ketika membaca blog tuan, air mata saya berlinangan jatuh.

saya doakan tuan tabah hadapi ujian Allah dan semoga anak tuan ditempatkan bersama sama dgn org yang beriman.

Saya percaya tuan adalah seorang insan yang beriman. setiap org yg beriman pasti diuji. terimalah ianya dengan sabar.. insyaallah tuan sekelurga akan dirahmati Allah. amin

Anonymous said...

assalamualaikum!

Betapa sdra dapat bertahan dalam pemergian anak sdra! Say juga masa membacanya, bergenang air mata saya.

Sdra dan keluarga tabahlah dengan ujian ALLAH S.W.T! InsayALLAH, semuanya ada hikmah di sebalik itu semua!

Takziah dan ALFATIHAH untuk Allahyarham anak sdra!

Anonymous said...

Semoga Allah Mencucuri Rahmat Kepada Arwah Anak Tuan. Anggaplah ini adalah satu ujian buat Tuan dan Keluarga. Ingat Tuan, Doa Arwah Anak Tuan Selalu Mengiringi Tuan. Insallah, Tuan dan Keluarga akan dapat bersama-sama di Alam Yang Kekal Nanti.

Anonymous said...

salam tuan,alfatihah untuk yang pergi menghadap ilahi serta ketabahan untuk keluarga tuan harapnya,setiap yang hidup akan pergi jua tapi moga kita besiap dengan bekalan untuk kesana insyAllah,wassalam

Nevada said...

takziah dan alfatihah...........

Anonymous said...

Al-Fatihah serta takziah untuk Tuan Sekeluarga. Ini adalah ketentuan Allah dan ujian buat tuan. Harap tuan redha dan banyakkan bersabar. Semuga Allah menempatkan rohnya dikalangan solehah. Amin.

Anonymous said...

It has been a while for me not visiting your blogg. Today I am shocked by your loss! My condolences...

Pemuda Malaysia said...

takziah..

semoga saudara sekeluarga diberi kekuatan menghadapi hari-hari yang mendatang..

saya sedekahkan al-fatihah buat roh puteri sulung saudara..

Long Man said...

salam takziah... setiap harta yang ada kat dunia ni hanya pinjaman, hatta anak kita pun adalah pinjaman dari Allah untuk kita...

tanggungjawab kita untuk memelihara dan memberi yang terbaik anugerah yang dipinjamkan Allah tersebut...

moga rohnya ditempatkan bersama2 roh orang2 soleh dan solehah...

Nurul Izzatie Aziz,Kedah said...

Salam,
Al Fatihah
Pemergian K.Hajar memberi kesan kepada ana.
Jemput ziarah blog ana.ada sesuatu yang ana kongsi ttg K.Hajar disitu.
Syukran

(T, kawan K.Hajar)

Anonymous said...

Assalamualaikum.
Pakcik, saya amat terkesan membaca tulisan pakcik. Pertama kerana saya pun bernama Siti Hajar dan merupakan anak sulung dalam keluarga. Kedua, arwah dan saya sama-sama ditamrinkan. Macam tak percaya rasanya. Harap pakcik dan keluarga tabah menerima takdir ALLAH. Moga-moga saya juga boleh jadi sesolehah Kak Hajar.

angah said...

salam,

berlumuran air mata saya menbaca tulisan tuan..sedih sanggat..semoga ALLAH mencucuri rahmat keatas roh puteri tuan.. anak tuan sebaya dengan saya...

alfatiha

SoalHati said...

salam pakcik..maaf tak dapat ziarah pakcik skeluarga tempoh hari.

ramai sekali menangisi pemergian arwah...berita kematian arwah sangat mengejutkan. kami terima berita tersebut saat berada dalam 1 liqa' ketika itu. semoga arwah dicucuri rahmat. Amein ya rabbal 'alamin.

mangchikla said...

Assalamu 'alaikum. Semoga menempatkan anakanda saudara dikalangan para solihin, amin.

Ibnurashidi said...

Salam Takziah diucapakan..sabarlah dengan ujian dihadapii..

Terasa sedih membacanya..

amin aL-khalidiy said...

asSalamualaikum.....salam takziah pd tuan...rasa sayu apabila membaca tulisan tuan.mga tuan d beri kekuatan oleh Allah untuk menempuh ujian ni..dan arwah dtempatkn bersama org2 y beriman...

Anonymous said...

Salam.
Dedikasi khas buat Keluarga Almarhumah siti Hajar.Moga tabah menghadapi situasi ini.


NIK HAFREEZ
SENIOR DAN TEMAN SEPERJUANGAN
BUMU DAKWAH UIAM PJ DAN GOMBAK.

MELAYUBETUL said...

Salam takziah...yakin lah tuan, KAKAK mu sedang menantimu di pintu syurga...amen.

lukpi said...

assalamualaikum..

pertamanya ucapan takziah saya dahulukan..semoga roh anakanda ditempatkan bersama orang yang beriman..dan damai disana..insyaAllah

sayu saya membaca akannya..amat terkesan rasanya saya apabila mengamati penulisan saudara..

saya doakan semoga saudara sekeluarga terus tabah menghadapi ujian dari Allah ini..
buat anakanda saudara..AL FATIHAH

Anonymous said...

assalamualaikum...

tidak terkecuali ana dari mengalirkan airmata disaat menghayati setiap bait luahan seorang bapa. sangat-sangat memberi kesan apatah lagi kepada ana seorang anak yang mencari erti dah makna seorang bapa dalam kehidupan ana. mengingatkan juga bahawa kematian itu adalah rahsia milik ALlah yang menguji setiap hambanya.

al-Fatihah...

Al Hamzah Gold said...
This comment has been removed by the author.
Al Hamzah Gold said...

Assalamu'alaikum...

Sebak saya membaca kisah anak saudara.. Semoga rohnya dicucuri rahmat ALLAH..

Amin..

Anonymous said...

salam takziah buat pak cik sekeluarga..

masih terasa ble mana di tamrinkan oleh kak hajar dan kakak2 dan abang2 yang lain.. i'allah,walau jasadnya telah pergi, namun,rohnya sentisa segar di sisi... singkat masa berlalu, tapi, Allah masih mahu mempertemukan kami semasa hidup nya.. moga berkat dari doa semua, rohnya ditempatkan di kalangan orang2 mukmin...

salam takziyah dari adik seperjuangan kepada seluruh keluarga kak hajar...

al-fatihah...

Anonymous said...

Salam ...

Saya percaya ramai yang ingin pergi dalam keadaan sesuci Kakak ...

D'ayo

bakikj said...

Al-Fatihah, banyakkan berdoa semasa di Makkatul Mukarramah untuk kebaikan dia yang dah pergi dan kita yang bakal menyusul nanti

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt.,

Saya juga turut terharu apabila membaca kisah ini. Semoga tuan sabar menempuh dugaan ini.

Salam Takziah buat tuan sekeluarga.

Cikgu Nurul Huda Abdul Rahman (SIAS - 2004)

azharjaafar said...

Takziah.

Kita juga akan menyusul selepas ini. Cuma menunggu masa. Yang terakhir diantara kita akan melihat yang lebih awal perginya.

Anonymous said...

Salam Takziah,

Sedih saya membaca cerita tuan..moga tuan tabah mengharungi liku2 idop di atas pemergian Puteri tuan..


Alfateha..

Anonymous said...

takziah kepada seluruh keluarga saudara.

semoga allah cucuri rahmat ke atas ruhnya.

Herman Samsudeen said...

Salam takziah,

Semoga Allah beri kekuatan dan balasan yang baik untuk sahabahku ini bersama keluarganya.

Tiada yang lebih pahit bagi seorang ayah melainkan bila ia kehilangan anaknya.

Namun pastinya akan lebih manis impiannya bila Allah pertemukannya kembali di syurga nanti..InsyaAllah kita ketemu Siti Hajar disana kelak...moga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Jika Ayahnya amat sayang padanya, pastilah Allah lebih sayangkannya lagi....

Dyat said...

salam takziah.

saya tersentuh membaca entri ini.
betapa tuhan selalu punya rahsia.

moga tuan sekeluarga diberi kekuatan dan roh sis. Hajar sentiasa dalam rahmat-Nya.

~justpartoftools~ said...

salam..
sy ucapkan takziah pd kelaurga pakcik...
actually, sy juga mengalami apa yg 'kakak' alami..cume masih tak dpt pengesahan dr doktor..

pakcik, sy nak tanye sepanjang 'kakak' sakit, ade tak 'kakak' mengalami kerap kali demam(beberapa kali dlm sebulan), letih, heartbeat, kejang kaki waktu mlm, kaki n tgn bengkak?

sy harap pakcik dpt tolong sy, ...jzkk

everjihad said...

Salam takziah.
Saya ada dengar cerita pasal arwah kakak ni dalam usrah y disampaikan naqibah saya.Dia pun tau kisah ni dari Yahoo Group. ada org emel. Sayu dia menceritakan. Saya terkesan. Tak sangka semalam, saya bertemu blog ni dengan cara tak sangka-sangka.

Cuma saya tertanya-tanya, apa amalan kakak ni sampai mati dalam keadaan baik sekali y boleh dikira org kata husnul khatimah.

Apa amalan dia ye?

Saya berminat nak tau kisah hidupnya dengan lebih lanjut.

Mungkin ada sesiapa yang kenal arwah, boleh berkongsi cerita. Moga dapat dijadikan panduan dan iktibar.

moga tuan sekeluarga diberi kekuatan dan roh kak Hajar sentiasa dalam rahmat-Nya.

Anonymous said...

Salam Takziah buat Tuan sekeluarga.

Anonymous said...

ana berasa sedih dgn tulisan pkck dan bertmbah sayu dgn komen2 yg diberikan..
semoga pkck n keluarga tabah menghadapi ujian Allah.. yang pergi telah pergi dan kita yang masih hidup perlu sentiasa ingat dan kita semua akan menyusuli perjalanan 'kakak'. ana menghadiri ketika jenazah 'kakak' tiba di rumah dan ana menghadiri ketika menyembahyangkannya.. insyaAllah kakak menunggu pkck sekeluarga di syurga sana..amiin

Cikli said...

salam...

alhamdulillah, abang mempunyai anak yang solehah.

Anonymous said...

al fatihah bt arwah siti hajar..kmi smua kwn2 dr darul ulum mndoakan moga arwah d tmptkan brsama para solihin...amiin.xlpa jga bt kluarga arwah salam takziah dr kami..

Anonymous said...

salam takziah sy ucapkan,
cuma kiriman al-fatihah saje yg mampu sy usahakn.

takziah

syauqah-el-wardah said...

Kakak memang baik. disenangi semua orang. teringat semasa mentamrinkan Kakak.
teringat senyuman dan wajah ayu Kakak.. rindu padanya walaupun hanya sempat bertemu dan bercakap sekali dua...
memang ramai sahabat2 yang pergi. masa diumumkan berita pemergian Kakak dalam liqa' yang kehadirannya sangat ramai semester ni, menyaksikan juga ramai yang menitiskan air mata sambil mengaminkan doa yang dibaca ketua kami... terimbas nyata dalam ingatan detik2 itu. Maka, bertambahlah kurniaanNya buat Kakak kerana sahabat2 sejamaah menghadiahkan Al-Fatihah dan mengaminkan doa pada malam tersebut...

Di jalan dakwah kami bertemu..

Anonymous said...

selamat pagi dan salam sejahtera

saya adalah seorang penganut agama kristian dari Sabah..entah kenapa pagi ni saya terjumpa dengan blog tuan..dan membaca akan pemergian puteri sulung tuan juga mengingatkan akan 2 org cahaya mata saya yang masih kecil di rumah..dan saya amat menyayangi mereka.

namun perasaan kehilangan yg benar2amat saya terasa ialah semasa pemergian ayah kandung saya sendiri ke Pencipta nya.

saya akui perasaan serta peristiwa yg berlaku dan saya hadapi hampir sama seperti yg tuan lalui. tidak sesaat pun Dia lambatkan atau percepatkan janji yg sudah dipersetujui tatkala waktunya telah tiba..dan ayah saya dalam keadaan tidur lena menunaikan janjinya untuk menemui Yang Maha Esa...ayah saya mengalami strok dan koma sekitar jam 6.30am 9 mei 2008..namun saya percaya yg disaat2terakhirnya dia masih boleh mendengar kerana bila saya berbisik ditelinganya, airmatanya tiba2 mengalir keluar..menunjukkan 'perasaannya' ketika itu barangkali.

Jam 1.01pm beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di hospital besar kota kinabalu.

semasa jenazahnya dibawa ke rumah wajahnya dalam keadaan seperti 'senyum' umpama gembira dgn selesai segala tugasnya di dunia sementara ini. perasaan kesedihan yg saya alami ini terasa lain daripada perasaan sedih 'pemergian' saudara mara yg lain kerana..yg pergi meninggalkan aku ialah AYAH yg amat saya sayangi. namun perjanjian umat manusia dgn si Pencipta akan TETAP berlaku dan tiba saatnya.
pemergiannya yg tenang sekali, riak airmukanya yg 'gembira'..maka saya andaikan mungkin dia amat berpuashati akan tanggungjawab agamanya semasa didunia sudah beliau laksanakan. biliknya juga seperti ada haruman bunga selama sehari selepas seminggu pemergiannya.

hati siapa tidak sedih akan pemergian sebegini namun seperti tuan juga, saya mengagahkan hati saya dengan dan memujuk ahli keluarga yang lain akan 'tanggungjawab dan urusan keTuhanan' ini.

walau apa pun kepercayaan serta anutan kita..namun destinasi dan maksudnya tetap satu..kepadaNya jua.

semoga roh ayah saya, anak tuan dan roh2 mereka yg beriman yg telah pergi menemui Penciptanya akan dicucuri rahmat..kerana Dia adalah Yang Maha Penyayang kepada umatNya.

Anonymous said...

salam..takziah ana ucapkan..kak hajar memang baik..muga allah cucuri rahmat keatsnya..

teman kak hajar..~afra'

Anonymous said...

Takziah di ucapkan & Al Fatihah disedekahkan diatas perpisahan puteri sulong tuan dengan sang Pencipta. Sesungguhnya Allah Lebih mengetahui akan urusanNya & Hambanya. Tidak dapat sy menahan air mata tatkala terbaca berita kematian puteri sulong tuan, sedih & takjub diatas kebesaran Allah. Teringat sy akan berita yg dikhabarkan oleh abg ipar sy pd bln Ramadhan baru-baru ini mengenai pemergian seorang imam muda ke Rahmatullah. Seusia puteri tuan (23 thn), didlm sujud & sedang mengimamkan solat Terawikh di masjid Puchong Perdana. Sewaktu dialihkan tubuhnya oleh jemaah disebabkan terlalu lama bersujud terdapat tanda kalimah Allah didahinya. Masyallah begitu Maha Agung & Maha Penyayang nya Allah terhadap hamba-hambanya yg Soleh & Solehah... Diceritakan lg akan peribadinya oleh abg ipar sy dimana imam ini langkah kakinya sewaktu berjalan amat teratur, matanya tidak sekali-kali pandang ke depan sewaktu berjalan sebaliknya memandang ke bwh. Lidah & mulutnya sering bergerak-gerak melafazkan sesuatu. Semoga Allah memberi kekuatan pd tuan dalam meneruskan perjuangan yg belum selesai. Dalam perjuanagan pasti ada ujian! Semoga umat Islam diberi kemenangan... Allah hu Akbar!

Unknown said...

kita sebagai makhluk akan mati, hanya Allah jua yang kekal. Kita doakan agar kita ditempatkan yang diredhai-Nya.

Anonymous said...

Salaam Hj..

bila membaca artikal ini, teringat kembali kepada peristiwa setahun yg lalu.. ramadhan lalu adalah saat diri ini bersama utk kali terakhir menemani pemergian arwah ayah tersayang..
tepat jam 750 malam hari ahad 23-sep-07, nafas terakhir dihembusnya dikala mata ku melihat hentinya hembusan nafasnya yg terakhir.. Sedang ku meminta jasa baik nurse di situ utk betulkan saluran dihidungnya.. tup!.. terhenti dgn sekelip mata.. tiada kata terakhir keluar dr nya.

Cuma, saat sblm pemergiannya kami malihat akan perubahan pada warna kulitnya.. Ia menandakan ayah diambang sakarat..

Diri ini cuba menenangkan diri dgn derasnya alunan ayat2 suci.. moga2 Allah permudahkannya.. Alhamdulillah.. Allah mudahkan.
Genap 5 hari ku menjaganya di hospital, perit jerih ku tanggung bersama kakak tersayang.. pengalaman menemani ayah tersayang takkan terpadam hingga hujung nyawa.

so..
bila terbaca blog Hj ini.. lebih2 lagi pemergiannya di bulan ramadhan, bulan yg di impikan oleh arwah utk kembali menemui Ilahi..

Ianya adalah kenangan berharga & detik terindah dlm hidup.. tiada yg dapat menggantikan pengalaman tersebut..
kerana dalam ramai2 yg berdamping dgnnya.. hanya Aku yg Allah pilih utk menemani dirinya.. Alhamdulillah..

So.. bersyukurlah dgn apa yg ada.. dan redholah dgn yg tiada,..

kepada Hj izham sekeluarga..
patah tumbuh hilang kan berganti..
walau gantinya tiada taranya

N8118

Munirah Rahim said...

buat Pakcik Izham dan keluarga~

salam takziah dr saya Munirah, mewakili ayah dan keluarga yang berada di Sungai Petani...sebak baca artikel ni...teringat kenangan bersama arwah semasa di alam persekolahan...

Moga roh arwah ditempatkan di kalangan orang beriman...

al-Fatihah...

sampaikan salam dr Perlembahan Nil buat Makcik, Sarah dan adik2 nya lain...

Munirah Rahim,
Mansoura,
Egypt