Friday, May 30, 2008

Biar Ezam Terjun Dengan Kotak-Kotaknya .........



Apalah lagi nak dikata. Panglima “Sumpah Rakyat Sumpah Keramat” akhirnya terkena laknat ke atas batang hidung sendiri. Segala tohmahan, maki hamun, kata nista, sumpah seranah dan serangan yang ditujukan kepada UMNO, yang bertebaran di seluruh pelusuk bumi Malaysia bertahun-tahun lamanya terpaksa dijilat dan ditelan oleh Ezam apabila ia mengemis masuk UMNO beberapa hari lepas.

Gerangan apakah yang menyebabkan Ezam tergamak untuk terjun kembali ke lubuk najis UMNO, yang kita lihat semakin hari semakin semerbak baunya. Mungkinkah ia mendapati najis-najis yang ada pada UMNO sudah bertukar menjadi halwa maskat yang cepat dimasak sedap dimakan? Atau mungkinkah najis-najis UMNO telah habis dibawa keluar oleh Tun Mahathir, yang menyebabkan UMNO kini menjadi putih bersih harum semerbak, sesuai untuk menjadi taman persemayaman Ezam? Lupakah ia bagaimana UMNO memperlakukannya ketika kemuncak reformasi dahulu, dipenjara dan diISAkan? Tidak ingatkah beliau penderitaan ibu dan isterinya ke hulu ke hilir menagih simpati masyarakat dan bagaimana pimpinan dan ahli Barisan Alternatif bersusah payah membantu mereka? Adakah Ezam lupa dasar perjuangan beliau yang menentang segala bentuk rasuah dan kini masuk ke lubuk bapa rasuah?

Khabarnya Ezam ingin menjelajah ke seluruh Malaysia untuk memberi penerangan kenapa beliau pilih untuk masuk UMNO. Kami minta maaf Ezam. Apa alasan pun engkau berikan ia sia-sia belaka. UMNO tetap UMNO. Anwar Ibrahim yang hebat pun tak boleh buat apa-apa tentang UMNO, inikan pula awak si Anwar klon! Percayalah cakap saya, wahai Ezam. Engkau akan merana di dalam UMNO dan kerana meninggalkan perjuangan yang benar dan berprinsip. Lihat mereka-mereka yang meninggalkan perjuangan yang benar dan melutut di gantang UMNO. Sampai hari ini mereka tak hebat tara mana, hina adaaaaaa. Terjunlah Ezam dengan kotak-kotaknya ………

Anak Bapa: Saya kenal baik si Ezam ni. Saya macam tak percaya ia akan masuk UMNO. Saya lebih percaya Azmin masuk UMNO. Tetapi inilah padahnya apabila niat perjuangan tu tak ikhlas. Akhirnya terserlah juga niat sebenar …….. Apa nak buat berkotak-kotak tuduhan rasuah pimpinan UMNO tuuuuuuuu!

Saturday, May 24, 2008

Kes Bodoh Sombong

Entah apa jenis tempe yang dimakan Khir Toyo menyebabkan ia makin popular walaupun sudah kalah di dalam pilihanraya umum yang lepas. Kini Ketua Pembangkang di Selangor ini sabankali keluar di dada-dada akhbar arus perdana dengan pelbagai macam komen dan ulasan. Jangan tanya saya samada cakap-cakapnya itu relevan atau penuh dengan kemerapuan, yang penting ia terus menghantui berita setiap hari.

Komen Khir Toyo yang terakhir ini sekali lagi menunjukkan betapa gelabahnya UMNO dan bodoh sombongnya mereka. Di dalam sidang DUN yang sedang berlangsung kini, telah timbul cerita bahawa Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat (Balkis) yang telah membelanjakan RM158,000 untuk membeli pakaian sukan dan RM121,000 untuk membeli baju batik untuk kegunaan mereka. Sebelum itu timbul juga cerita di dalam DUN bagaimana wakil-wakil rakyat UMNO telah habis membelanjakan duit peruntukan bagi DUN-DUN (RM500,000 setiap DUN setahun) dalam masa 2 bulan sebelum pilihanraya umum lepas. Ini bermakna RM26.6 juta telah dibelanjakan dalam masa 2 bulan termasuk RM600,000 yang diperuntukan kepada Speaker DUN, seorang anli Dewan yang bukan ADUN. Sepatutnya duit ini digunakan oleh ADUN untuk program bersama rakyat selama 1 tahun. Tetapi lihatlah bagaimana keburukkan dan keangkuhan UMNO yang dipuja dan dijulang oleh orang-orang Melayu sejak sekian lama. Saya yakin jikalau diaudit duit ini betul-betul, tak berapa sen yang pergi ke rakyat, yang lainnya ghaib dimakan hantu jembalang.

Namun dengan pendedahan di atas, dan saya yakin banyak lagi yang akan terbongkar, Khir Toyo tetap dengan kesombongannya. Dia bukan saja tidak menyesal di atas apa yang berlaku, malah siap memberi nasihat pula kepada kerajaan PR Selangor supaya melupakan isu remeh temeh dan memberi tumpuan kepada usaha memertabatkan negeri Selangor. Apa punya **%#@*^ punya orang! Duit hak rakyat yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan rakyat telah disalahgunakan, dia boleh kata ini perkara remeh temeh. Duit yang di Balkis tu pula sebahagiannya adalah duit zakat. Apa jadah belanja beli baju suami isteri mereka dengan jumlah yang begitu tinggi? Anda fikirlah sendiri rumusan terhadap kebiadapan UMNO ini.

Anak Bapa: Projek Ladang Ternakan Babi Moden yang dicadangkan di Kg. Tumbuk itu pun diluluskan pada bulan Januari 2008, iaitu di masa pemerintahan Khir Toyo. Itu pun masih ada hati nak menyangkal dengan macam-macam alasan. Memang dasar penipu pembohong susah nak ubah perangai ……..

Wednesday, May 21, 2008

Legasi UMNO Kini Diteruskan Oleh Mahathir

Pelik kita memikirkan akan keadaan rumahtangga UMNO. Tak habis-habis dirundung malang. Dahlah baru saja luka parah kalah dilanda tsunami pilihanraya, agak-agak nak sembuh kini diserang pula oleh taufan Mahargis (adik beradik Taufan Nargis). Bayangkan orang kuat UMNO yang pernah menjawat Presiden parti dan Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun, yang menjadi pujaan dan idola majoriti ahli UMNO, telah bertindak keluar daripada UMNO. Jikalau dicerita perkara ini 5 tahun yang lampau tak akan ada siapa yang percaya. Tetapi itulah hakikatnya.

Tetapi fenomena ini bukan baru. Tentu ramai yang tidak mengetahui bahawa beberapa orang PM Malaysia terdahulu pun tidak menjadi ahli UMNO di penghujung hayat mereka. Tun Hussein Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak pernah menyertai UMNO semula selepas UMNO diharamkan dan diganti oleh UMNO baru Mahathir. Ini bermakna mereka bukan lagi menjadi ahli UMNO baru. Malah mereka terus menunjukkan kebencian kepada kepimpinan Mahathir hingga ke akhir hayat mereka. Tun Mahathir hanya meneruskan tradisi UMNO di mana bekas Presiden juga keluar parti di hujung hayat mereka. Jadi janganlah disalahkan Bapa Pembangunan Malaysia ini!

Anak Bapa: Bukanlah saya nak jadi Pak Nujum pulak. Tapi saya yakin hampir 99% yang nasib Pak Lah pun akan jadi macam Mahathir apabila beliau tidak berkuasa lagi kelak ……….

Friday, May 16, 2008

Tak Usah Dok Tunjuk Herolah!

Nak termuntah lagi membaca kenyataan Najib di dalam akhbar bahawa tidak ada bukti unsur rasuah di dalam pembelian kapal selam Scopene dan jet pejuang Sukhoi. Ini ekoran daripada tuduhan Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebelum ini bahawa Najib terlibat secara langsung di dalam mengatur penerimaan rasuah sebanyak RM400 juta daripada pembelian Sukhoi dan RM500 juta daripada Scopene. Saya yakin jika tuduhan ini tidak benar sudah lama Najib telah mengambil tindakan undang-undang ke atas DSAI. Ini kerana tuduhan ini telah lama dibuat, semenjak pilihanraya kecil Ijok lagi.

Ini perangai
pemimpin UMNO, juara kampong hero Tamil. Kalau betul-betul bersih panggillah BPR siasat dan lepas tu umumkan hasil siasatan kepada umum. Dan jangan lupa ambil tindakan undang-undang ke atas DSAI supaya kita dapat mengikuti perbicaraan lanjut di mahkamah terbuka. Itu baru hero namanya! Tak usah duduk kokok berdegar-degar di dalam suratkhabar Utusan Meloya kerana kami bukan setakat meloya tetapi dah lama muntah berlori-lori dengan gelagat tidak bertanggungjawab pimpinan UMNO.

Sebagai tambahan, ingin kami ingatkan semua betapa jenis pengecut Si Najib ni, jenis takut bini dan jenis tak tetap pendirian. Dia tak ubah seperti lalang, ikut belah mana yang kuat. Orang macam ni kalau jadi pemimpin negara hancur punah kita semua.

Macam-macam bukti di depan mata yang mengaitkan pembelian Scopene dan Sukho
i dengan rasuah saiz mega. Cerita Adib Adam, pembuat Scopene dan Altantunya dah cukup memberi gambaran kebobrokan boss angkatan tentera, Si Najib pengecut ini. Malu habis angkatan tentera kita berketuakan orang macam ni!
Anak Bapa: Dalam pengamatan saya, susah nak tentukan sapa yang boss, Najib ke Rosmah? Bagaimana dengan anda?

Tuesday, May 13, 2008

Buat Tak Kena, Tak Buat Pun Tak Kena

Saya kadang-kadang pun tak faham sikap dan perangai orang-orang UMNO. Dahlah cara berhujah mereka amat dangkal dan cetek, seringkali berlaku percanggahan antara satu sama lain. Ambil contoh isu pemberian air percuma kerajaan negeri Selangor sebanyak 20 meter padu setiap bulan kepada seluruh rakyat Selangor. Di Parlimen hari ini, pemimpin UMNO termasuk Fuad Zarkasi adalah antara yang membantah pemberian air percuma ini dengan alasan ia merupakan satu pembaziran. Apa macam punya mentaliti UMNO ini apabila menganggap kebajikan kepada rakyat sebagai pembaziran! Tetapi yang peliknya seminggu yang lepas mereka membuat laporan polis kerana kononnya kerajaan Pakatan Rakyat Selangor gagal menunaikan janji untuk turunkan kadar cukai pintu. Apa tak peliknya sebab bila ada usaha untuk membantu rakyat dia orang kata membazir, dan apabila kita tak laksanakan lagi penurunan cukai pintu, dia kata tak tunai janji. Yang mana satu kita nak ikut ni!

Apa yang paling menakjubkan ialah kerajaan PR ini baru berusia dua setengah bulan dan UMNO dah mendesak supaya kita laksanakan seluruh manifesto dengan serentak. Sedangkan mereka dah memerintah negara selama lebih 50 tahun dan banyak janji mereka hanya tinggal janji. Malahan mereka menggunakan kuasa yang ada untuk melakukan kerosakan dan persengketaan.

Jika kita menuduh PR sedang belajar untuk menjadi kerajaan yang baik, jangan kita lupa bahawa UMNO juga sedang belajar menjadi pembangkang yang baik. Mereka sudah biasa dengan kuasa dan kemewahan, dan dah sebati dengan memperolehi apa saja yang dihajati. Justeru itu, apabila kuasa tiada di tangan maka semuanya kaku dan lesu, dan fikiran pun bercelaru. Itu sebabnya kita dapati keadaan fikiran yang tidak stabil dari kalangan pimpinan UMNO hasil daripada tsunami politik baru-baru ini. Dan itu juga sebabnya sebarang tindakan kita tidak akan mengundang sebarang natijah yang baik daripada UMNO. Kita buat pun tak kena dan jikalau kita tak buat pun tak kena.

Anak Bapa: Apa yang UMNO nak, saya pun dah naik “give-up”. Boleh kata hampir semua cadangan kita tak bagus dan cadangannya saja yang boleh masuk akal. Saya ingat elok kita lupakan UMNO dan BN. Mereka semakin hari semakin kurang relevannya. Jelas kelihatan sokongan kepada UMNO semakin hari semakin luntur dan mereka masih tak jumpa sebab kenapa jadi begitu.

Saturday, May 10, 2008

Apabila Lama Tak Berjalan .........



Baru-baru ini saya berkesempatan melawat Hong Kong dan Shenzen. Walaupun hanya beberapa hari saja di sana, banyak perkara menarik yang saya temui di sepanjang perjalanan. Kali terakhir saya melawat China ialah 10 tahun yang lampau atas urusan perniagaan. Bila saya amati betul-betul nampak begitu ketara perubahan negara yang mempunyai penduduk paling padat dalam dunia ini. Dari segi pembangunannya memang setanding dengan negara kita. Kereta-kereta mewah memenuhi jalanraya berbanding ribuan basikal satu masa dahulu. Bangunan pencakar langit berada di mana-mana saja. Sistem 2 kerajaan yang diamalkan di Hong Kong dan China pun nampaknya berjalan dengan baik. Cuma bedanya ialah makanan dan hotel di China sangat berpatutan manakala di Hong Kong berlubang poket kalau lama tinggal di sana. Tetapi ada satu keistimewaan Hong Kong iaitu peralatan elektronik terutama telepon bimbit dan kamera. Telepon bimbit yang harganya RM700 sebuah di sini hanya berharga RM200 di sana. PDA O2 yang comel tu saya tanya hari tu baru harga RM800 sebuah ….. wow!


Di sebelah China pula terkenal dengan barangan murah samada baju, barangan kulit, jam, kasut dan lain-lain lagi. Bayangkan stoking 3 pasang RM5 manakala jam ciplak berjenama (bukan Tag Loyer) grade A baru di sekitar RM100! Tak puas rasanya pi shopping sehari dua, kena tambah jadi seminggu.

Seperkara lagi saya lihat di Shenzen ialah kewujudan banyak kedai makanan halal samada yang diusahakan oleh orang Cina tempatan atau orang-orang luar. Jadi isu lapar kira selesai, malah rakan saya yang turut serta di sana mengadu berat badannya meningkat dengan ketara. Malah kehadiran orang-orang Islam tempatan termasuk juga di kalangan muslimat yang bertudung pun agak biasa di Shenzen dan juga di sekitar Masjid Kowloon, Hong Kong. Fenomena ini agak luarbiasa berbanding dengan keadaan di Shenzen 10 tahun yang lampau. Mungkin penghijrahan penduduk Islam dari utara dan barat China menyebabkan terjadi fenomena ini. Kecacamarbaan Hong Kong dari segi kemajmukkan rakyatnya cukup ketara sehinggakan ada rakyat tempatan yang meramalkan dalam masa 10 atau 15 tahun lagi, Hong Kong akan menjadi kota metropolitan terunggul di dunia. Tak puas rasanya berada beberapa hari di sana. Mungkin akan berkunjung agak lama sikit tak lama lagi!

Anak Bapa: Dalam dok sibuk buat kerja di sana, saya berkesempatan bertemu rakyat Melayu Malaysia yang agak ramai di Shenzen dan Hong Kong. Naik pelik memikirkan puak-puak ni yang dah agak lama mencari rezeki di sana. Bila dekat-dekat nak balik saya berbisik dengan mereka bertanyakan kenapa tak kerja kat negara sendiri. “Projek semua dapat kepada pemimpin BN dan kroni depa, kita tunggu apa. Baik pi cari kerja tempat lain. Tak lama lagi bila PR ambik alih kuasa kami balik laaaa…..”, jawab mereka selamba. Aku pun senyum meleret, puas.

Sunday, May 4, 2008

Alahai, Murahnya Harga Minyak Petrol Negara Kita!

Kajian terbaru yang dibuat oleh AIRINC, Associates For International Research Inc. yang berpengkalan di Amerika antara Mac 17 hingga April 1, 2008 telah menunjukkan bahawa Malaysia adalah antara negara pengeluar minyak yang mempunyai harga minyak petrol domestik yang amat tinggi. Berdasarkan harga RM1.92 seliter dan 1 gelen bersamaan 4 liter, maka harga minyak petrol negara ialah USD2.40 segelen. Ini meletakkan negara kita di nombor melebihi 35 antara negara-negara yang paling murah harga minyak petrol domestic. Berikut adalah perbandingan harga-harga minyak petrol negara lain untuk perbandingan berdasarkan USD segelen:


1. Venezuela 12 cents
2. Iran 40 cents
3. Saudi Arabia 45 cents
4. Libya 50 cents
5. Swaziland 54 cents
6. Qatar 73 cents
7. Bahrain 81 cents
8. Egypt 89 cents
9. Kuwait 90 cents
10. Seychelles 98 cents
38. Malaysia $2.40
45. United States $3.45


Perhatikan betapa murahnya harga minyak di negara-negara pengeluar minyak lain seperti Venezuela, Iran, Arab Saudi dan Libya. Malah di negara yang bukan pengeluar minyak seperti Swaziland dan Seychelles pun harganya amat murah.

Anak Bapa: Persoalannya kenapa harga minyak negara kita sangat mahal sedangkan kita adalah negara pengekspot minyak dunia. Mudah…..kerana kita mempunyai pemimpin yang tidak cekap dan hanya mementingkan diri mereka dan puak mereka sahaja.

Thursday, May 1, 2008

Hari Pekerja 1 Mei - Apalah Yang Hendak Diraikan Sangat!

Saban tahun kita merayakan Hari Pekerja pada 1 Mei. Saya tidak berhajat untuk bercerita panjang lebar mengenai peranan dan sumbangan para pekerja kepada pembangunan negara memandangkan tajuk ini macam dah jadi “cliche” dan telah begitu banyak diperkatakan. Apa yang penting ialah selepas lebih 50 tahun negara di bawah pemerintahan UMNO dan BN, adakah kehidupan dan kebajikan para pekerja menjadi lebih baik?

Kita tidak nafikan terdapat “pockets of rightousness” sumbangan kerajaan yang ada di beberapa bidang yang berkaitan kebajikan para pekerja tetapi bagi kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang mengenegahkan Kerajaan Berkebajikan, usaha ini tidak memadai. Pada keseluruhannya kita lihat kualiti kehidupan para pekerja bukan saja tidak berubah malah telah merosot. Jurang pendapatan antara rakyat bawahan semakin melebar berbanding dengan golongan atasan. Kerajaan PR telah mengusulkan gaji minima RM1,500 sebulan sebagai usaha awal untuk membetulkan keadaan memandangkan ada lagi pekerja yang bergaji RM500 sebulan. Dengan kos kehidupan hari ini yang naik meroket jumlah ini adalah jauh daripada mencukupi dan lambat laun akan membawa krisis kekeluargaan yang amat hebat. Malah di kala kita sedang sibuk menyambut Hari Pekerja ini ramai dari kalangan pekerja bawahan yang terpaksa mengikat perut atau bekerja 2 atau 3 jenis kerja setiap hari bagi menyara kehidupan paling asas. Kerapuhan institusi keluarga dah pun mula mengancam masyarakat kita dengan peningkatan pendadak kadar jenayah keluarga, penceraian, anak-anak yang lari dari rumah, gejala sosial dan sebagainya. Kita tidak nafikan bahawa status ekonomi keluarga bukan satu-satunya faktor yang menyumbang kepada masaalah kekeluargaan di kalangan masyarakat kita hari ini tetapi ia tetap merupakan antara faktor terpenting di samping tahap didikan agama dan pendidikan.

Saya ingin menyeru supaya pimpinan PR bersama dengan kerajaan PR di 5 negeri, pakar-pakar sosial dan aktivis pekerja supaya dapat berganding bahu merangka ketetapan-ketetapan penting yang mampu membawa sinar baru kepada kualiti kehidupan para pekerja samada untuk jangka pendek atau jangka panjang. Saya yakin jika ini kita berjaya lakukan, golongan pekerja akan kesemuanya berpaling kepada kita kerana UMNO dan BN yang telah diberi peluang 50 tahun untuk melakukannya telah gagal!

Anak Bapa: Beberapa hari lepas saya bertemu kenalan yang merupakan sorang aktivis parti yang diberi amanah membantu EXCO dalam kerajaan PR. Beliau kelihatan sugul dan agak muram. Bila didekati dan ditanya kenapa, beliau terus meluahkan rasa kesalnya kepada pemerintahan UMNO dan BN kerana selama 50 tahun memerintah apa yang digembar-gemburkan hanyalah bersifat kosmetik aje. Apabila kita turun menyiasat di seluruh jabatan dan agensi kerajaan, kita dapati penuh dengan segala macam “kejelekan dan kekotoran”. Para pekerja diajar untuk melakukan penyelewangan dan rasuah di bawah bimbingan pimpinan UMNO. Ada pekerja yang dipaksa bersengkokol dan ada juga dengan rela hati menjadi alat mereka dengan habuan tertentu. Malah duit zakat pun mereka tergamak gunakan sesuka hati. Muzium, perpustakaan, institusi pengajian tinggi, jabatan agama dan lain-lain yang tidak pernah kita terfikir juga tidak terkecuali daripada terkena bahana “wabak kekotoran” UMNO ini. Apabila ditanya adakah kita berupaya menyucikannya, jawab beliau sambil tersenyum,”InsyAllah boleh, tapi lambat sikit, mungkin lebih daripada 100 hari kerana banyak najis mughalazah (najis berat)”