Saturday, May 30, 2009

Betulkah Kesetiaan Ahli-Ahli PAS Semakin Merosot?


Anak Bapa membaca dengan penuh kerisauan kenyataan Dr. Haron Din di dalam akhbar Sinar Harian hari ini. Antara katanya ialah “tahap walak (kesetiaan) ahli-ahli PAS kepada Presiden parti semakin berkurangan kerana lebih tertumpu kepada pemimpin lain dalam memperjuangkan agenda mereka.”

Anak Bapa tak tahu apa dah kena dengan pemimpin kita bertaraf ‘ulama’ ini kerana sejak kebelakangan ini asyik dok tuduh ahli-ahli sendiri macam-macam. Mula-mula Ustaz Nik Abduh menuduh penasihat-penasihat ayahnya (Tok Guru Nik Aziz) telah mempengaruhi ayahnya dengan pelbagai idea yang boleh merosakkan parti dan menambah mereka ini sebagai sesat. Kemudian diikuti pula oleh Ustaz Mohd. Daud Iraqi, mantan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dengan tuduhan bahawa ada calon-calon PAS yang akan bertanding di dalam muktamar kali ini yang mengamalkan politik wang. Apa yang anehnya apabila kedua-duanya diminta mengemukakan bukti terus ‘surrender’ kerana tak ada bukti. Jika begitu kenapa buat tuduhan yang begitu mengaibkan kepada saudara seperjuangan jika tak ada bukti. Kita kalau dah taraf ‘ulama’ kenalah jaga segala pertuturan dan perbuatan kita kerana ia menjadi perhatian dan perbualan umum, tambah lagi menjadi pemimpin kepada parti Islam. Saya yakin mereka sangat arif tentang hukum dalam Islam mengenai tuduhan palsu atau fitnah.

Hari ini pula kita didedahkan dengan satu lagi dakwaan yang amat serius yang datangnya daripada antara pemimpin tertinggi parti yakni Timbalan Mursyidul Am sendiri. Jika tuduhan ini betul, sebagaimana biasa, perlu dibawa segera bukti-bukti kukuh kerana ia amat merbahaya dan boleh membarah di dalam parti jikalau dibiarkan. Tetapi jika beliau gagal tentulah amat malang sekali kerana sekali lagi ‘ulama’ di dalam parti kita membuat tuduhan membuta tuli terhadap saudara seperjuangan.

Anak Bapa pun tak faham dengan isu walak ini walaupun dah lebih suku abad di dalam PAS. Adakah kerana berbeda pandangan atau mengkritik pemimpin itu dah dianggap walak telah kurang? Jika begitu tentulah tidak walak sahabat Nabi yang menghunus pedang di hadapan Saidina Umar ra untuk membetulkannya jika Khalifah membuat kesalahan. Adakah kurangnya walak para sahabat Nabi yang tidak bersetuju dengan teknik peperangan Nabi ketika Badar dan Uhud? Pendek kata mungkin di zaman ini kita kena wujudkan “walakmeter” untuk menyukat walak seseorang. Sebagaimana juga “thermometer” untuk menyukat suhu dan juga “altimeter” untuk menyukat ketinggian, adalah diharap “walakmeter” dapat digunakan untuk menyukat walak seseorang dan sekali gus menyelesaikan pertikaian yang telah kita polemikkan sejak sekian lama.

Buka tujuan Anak Bapa nak buat onar kepada sesiapa, cuma ingin mengingatkan kita bahawa semua pihak harus berhati-hati di dalam membuat kenyataan umum lebih-lebih lagi jika kita berstatus pemimpin dan ‘ulama’. Jikalau pun kita nak calon kita menang, biarlah berkempen dengan cara yang positif dan mengikut lunas-lunas Islam. Walak yang macamana lagi yang kita nak. Pemimpin yang bertanding jawatan-jawatan tertinggi parti saya perhatikan bukan kecik anak punya orang. Mereka dah lama di dalam parti dan telah membuktikan pengorbanan mereka samada dengan harta, tenaga dan Anak Bapa yakin malah dengan nyawa mereka sekali pun. Mereka mempunyai keistimewaan masing-masing dan telah membuktikan bagaimana mereka dapat membina jamaah dengan kepandaian masing-masing. Anak Bapa yakin jika diberi peluang, sebagaimana Ir. Nizar telah buktikan di Perak, mereka berupaya memberi lebih kebaikan kepada PAS. Janganlah isu walak ini disalahgunakan untuk menghalang orang-orang tertentu daripada menang di dalam pemilihan kelak. Jika benar ada yang tak walak, sila kemukan bukti siapa dia dan bawa ke muka pengadilan parti. “Sweeping statement” bukan saja akan merosakkan orang yang dituduh malah lambat laun akan merosakkan orang yang menuduh.

Anak Bapa: Setakat pemerhatian saya selama ini tak ada pemimpin tertinggi parti yang dok langgar arahan parti. Jika ada tolong betulkan saya dengan menyebut secara terperinci siapa orangnya dan apa kesalahannya. Jika tiada, tok sah lagi dok kata ada pimpinan yang tak walak kepada Presiden.

Satu lagi yang memeningkan kepala saya ialah keghairahan Dr. Haron Din mendedahkan angka pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden sedangkan Pengerusi Pemilihan PAS sendiri tak pernah umumkan perkara ini! Hairan pula kenapa?

Saturday, May 16, 2009

Agenda Jahat Utusan Malaysia


Anak Bapa berasa amat hairan dengan perubahan mendadak sikap Utusan Malaysia (UM) sejak kebelakangan ini. Jika dulu ia begitu sinonim dengan permusuhan kepada PAS dan apa saja mesej perjuangan yang dibawa oleh PAS, kini UM telah bertukar 100% menjadi penyokong setia PAS. Berita tentang PAS mendapat liputan ‘front page’ hampir setiap hari sejak 2 minggu yang lepas menjadikan UM kawan karib nombor wahid PAS! Ini tak pernah berlaku di dalam sejarah PAS maupun sejarah Utusan Malaysia.

Jika kita mengimbau kembali peranan UM di dalam menjulang UMNO dan memburuk-burukkan PAS, kita tidak akan ragu-ragu untuk melabel UM sebagai pecacai UMNO. Berita-beritanya bukan sahaja tidak ada yang positif tentang PAS malah dijadikan medan melontar fitnah terhadap PAS. Kolum tetap Awang Selamat umpamanya, tak putus-putus mengutuk dan menghentam PAS dan menyalahkan PAS dalam apa saja masalah yang timbul dalam negara. Kebencian mereka terhadap PAS begitu meluap-luap sehingga kadangkala tanpa disedari mereka menghentam Islam di dalam usaha mereka untuk memburuk-burukkan PAS. Keadaannya begitu buruk sekali sehingga PAS telah beberapa kali melancarkan program memboikot pembelian akhar berkenaan. Orang-orang PAS sedar mengenai perkara ini dan amat malang jika ada yang dah naik syok sebab UM dok puji PAS sejak 2 minggu kebelakangan ini.

Jadi persoalan cepu emasnya ialah kenapa UM bukan saja ghairah mengenai isu pemilihan pimpinan PAS tak lama lagi tetapi dilihat juga sebagai penyokong setia gagasan kepimpinan ulama PAS? Adakah UM dah insaf dan bertaubat nasoha terhadap segala dosa dan perbuatan jahat mereka terhadap PAS dan Islam selama ini?

Jawapannya mudah sahaja, jika kucing sudah mula bertanduk atau lembu dah boleh terbang maka sahlah UM dah bertaubat dan kini menjalani kehidupan yang warak mengikut landasan kepimpinan ulama. Apa taknya? Dua minggu berturut-turut UM menjadi penyokong kuat kepimpinan ulama dalam PAS dan tanpa segan silu memberi sokongan padu kepada penerusan kepimpinan ulama dalam PAS terutama melibatkan pemilihan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS. Dengan lain perkataan, UM mahu supaya perwakilan PAS mengekalkan Ustaz Hadi sebagai Presiden dan Ustaz Nasha sebagai Timbalan Presiden demi ‘menyelamatkan’ kepimpinan ulama dalam PAS! Waduh, waduh, mulia sungguh niat dan hasrat Utusan Malaysia. Jika selama ini mereka amat memusuhi PAS, Islam dan ulama, kini UM berubah menjadi penyokong kuat kepimpinan ulama dalam PAS. ‘I rest my case’.

Anak Bapa: Saya yakin ahli-ahli PAS amat matang dan bijak di dalam menguruskan parti mereka dan tahu menilai antara permata dan kaca. Islam mengajar kita supaya ‘menyerahkan urusan kepada ahlinya’ dan akan memilih pemimpin yang terbaik untuk jawatan yang dipertandingkan. Kita tidak pernah sekali-kali menolak kepimpinan ulama malah menjunjungnya di dalam konteks memperkasakan jamaah. Semua orang berperanan di dalam memajukan jamaah dan berpeluang untuk dilantik menjadi pemimpin dengan syarat mereka ikhlas, berwawasan, bekerja keras dan menjunjung Islam yang menjadi teras dalam perjuangan PAS. Siapa saja tak kira Ustaz Nasha ke, Husam ke, Mat Sabu ke, layak untuk dipilih menjadi Timbalan Presiden. Itu saya serahkan kepada perwakilan untuk memilihnya. Cuma saya agak pelik kenapa musuh ketat kita, Utusan Malaysia, begitu nakkan perwakilan PAS memilih Ustaz Nasha sebagai Timbalan Presiden PAS???? Sama-sama kita fikirkan ….

Tuesday, May 12, 2009

Menteri Besar 'Haram' Yang Cuba Di'Halalkan'


Mahkamah Tinggi semalam telah memutuskan bahawa selama ini Ir. Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah. Maknanya tak ada Menteri Besar (MB) lain sejak Pakatan Rakyat (PR) memerintah Perak sejak 8 Mac 2008 sehingga hari ini yang sah bergelar MB selain daripada Ir. Nizar.

Jadi kalau macam itu, kenapa pula Mahkamah Rayuan boleh benarkan ”stay of execution” yakni menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga selesai kes rayuan daripada MB ’haram’. Jikalau nak rayu silakanlah rayu sebab itu hak mereka tetapi kenapa dalam tempoh rayuan Zambry pula yang jadi MB sedangkan Mahkamah Tinggi dah kata Ir. Nizar saja MB yang sah selama ini. Sepatutnya sehingga selesai kes rayuan, Ir. Nizarlah patut jadi MB. Inilah negaraku Malaysia, penuh dengan ajaib bin hairan.

Implikasi daripada keputusan Mahkamah tinggi semalam amat besar sekali. Maknanya selama ini segala keputusan dan kontak dan apa saja transaksi yang diarahkan oleh MB dan EXCO ’haram’ adalah tidak sah dan perlu diperbetulkan semula. Malah pemecatan Speaker pun adalah tidak sah kerana ia datang daripada kerajaan yang tidak sah. Sikit punya huru-hara negeri Perak di kala ini. Semua orang susah kerana angkara UMNO/BN. Mereka yang mulakan huru-hara ini dan semakin mereka cuba selamatkan perut mereka semakin berserabut jadinya keadaan di Perak.

UMNO/BN memang dah guna segala-galanya termasuk istana, SPR, polis, mahkamah dan apa saja yang ada. Cuma satu saja yang mereka cukup gerun, iaitu menghadapi rakyat di dalam pilihanraya di Perak. Wahai UMNO! Tahukah kamu bahawa kuasa yang diperolehi diambil daripada rakyat. Jika ada kebuntuan tentang status kuasa ini maka serahkan kembali kepada rakyat untuk mereka tentukan siapa yang berhak. Dah lupakah prinsip asas demokrasi yang selalu kamu laung-laungkan?

Anak Bapa: Reput dan bau busuk UMNO ini dah tak boleh nak tutup lagi. Siapapun janganlah dok fikir nak bergesel dengan UMNO ini lagi .......

Sunday, May 10, 2009

PAS Nak Pemimpin Yang Macamana?


Sesetengah orang memang suka mengambil mudah soal kepimpinan. Bagi mereka siapa saja boleh memimpin. Asal sihat tubuh badan (termasuk akal) dan berminat, maka ia boleh dilantik menjadi pemimpin. Berbeda benar dengan umat terdahulu di mana para sahabah rh sanggup melengahkan dahulu urusan pengkebumian jenazah Nabi saw semata-mata untuk menyelesaikan dahulu urusan pelantikan penggantinya sebagai khalifah umat Islam. Mereka melihat dari segala segi bagi memastikan bahawa pemimpin yang mereka akan pilih adalah yang terbaik dari kalangan mereka.

Saya tak nafikan majoriti ahli PAS begitu prihatin terhadap pemilihan kepimpinan mereka. Tetapi malangnya segelintir yang kecil yang mempunyai ‘lubang’ kepada kepimpinan tertinggi dan media lebih kuat bunyinya sehingga boleh menenggelamkan pendapat majoriti ahli. Isu kepimpinan ulama umpamanya mereka debatkan kadang-kadang terkeluar daripada tujuan asal pembentukkan gagasan berkenaan. Kepimpinan ulama ialah satu gagasan yang meletakkan PAS sejajar dengan tradisi gerakan Islam lain iaitu berpegang teguh kepada ajaran Islam. Ulama sebagai pewaris nabi-nabi adalah syiar kepada keutuhan ruh perjuangan. Percakapan dan tindak-tanduk mereka yang bersandarkan Al-Qur’an dan Hadis menjadi panduan kepada ahli semua di dalam menjalani kehidupan sebagai pejuang. Tetapi realitinya hari ini kita tidak mempunyai ramai ulama yang benar-benar mampu seperti Ustaz Nik Aziz atau Ustaz Abdul Hadi atau Ustaz Fadzil Noor. Ini bermakna kita perlu membentuk satu institusi ulama yang sesuai supaya ulama dari pelbagai kepakaran dapat dihimpun dan digabungkan dan seterusnya menzahirkan keputusan yang tepat dan kemas demi menjadi rujukan perjuangan. Meletakkan tanggungjawab memimpin ke atas bahu seorang ulama adalah hampir kerja mustahil di akhir zaman ini. Kerja secara kolektif dan bersyura sahaja yang akan mampu membimbing PAS ke tahap yang lebih cemerlang di masa dahulu, kini dan akan datang.

Atas kesedaran inilah maka pimpinan kita yang lepas membentuk 2 institusi penting ulama iaitu Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama. Dua badan ini bertanggungjawab penuh bagi memastikan perjalanan PAS menepati kehendak Islam. Alhamdulillah setakat ini mereka berjaya di dalam tugas mereka walaupun banyak lagi kerja perlu dibuat untuk mempertingkatkan prestasi mereka.

Berbalik kepada soalan kemampuan tadi, adakah ini bermakna bahawa kita perlu mengosongkan jawatan-jawatan lain untuk ‘diberikan’ kepada ulama hanya semata-mata dia lulusan agama dan bergelar ustaz. Jawapannya boleh jadi ya dan boleh jadi tidak. Orang putih kata, “it depends …. “. Jikalau ustaz ini memiliki segala kepakaran untuk menjadi pemimpin, dipersilakan. Tetapi jika setakat bidang agama saja dan tidak ada kemampuan dari segi pengurusan organisasi dan sebagainya, maka saya kata lantik ahli lain yang ada kemampuan. Kerja PAS bukan setakat bagi kuliah agama. Kita ada banyak peranan besar yang memerlukan pelbagai jenis kemahiran, tambahan pula jika kita memerintah. Becakap dan bertindak adalah 2 perkara yang sangat berbeda. Rakyat bukan nak dengar retorik sahaja, mereka nak lihat “substance”, yakni apa benda yang kau orang nak buat. Lagipun pemimpin PAS ni akan menyusun aktiviti berdasarkan perlembagaan parti dan rumusan daripada Muktamar Agung Tahunan. Tak timbul mereka akan lari daripada sempadan perjuangan yang sentiasa dijaga oleh para ulama melalui Majlis Syura Ulama. Dan jika kita lihat dengan teliti mereka-mereka yang akan terpilih atau yang masuk bertanding di peringkat pusat ini pun bukan calang-calang orang. Mereka ini telah berpuluh-puluh tahun berjuang dalam PAS dan dah masak benar dengan dasar dan matlamat perjuangan parti. Pelbagai ujian dan mehnah termasuk menjadi tahanan ISA telah mereka lalui. Kenalah kita ada usnul zon terhadap mereka. Apa yang penting sekarang kemampuan mereka ini untuk bekerja secara berpasukan dan sokong menyokong antara satu sama lain bagi melahirkan satu pasukan yang mantap dan dinamik. Kita jangan lupa bahawa jika PAS ingin menjadi teras Pakatan Rakyat dan menggantikan UMNO selepas PRU ke 13 maka PAS perlu berfikiran besar dan perlu menguasai segala kepakaran yang ada pada UMNO, malah mungkin lebih lagi. Persoalannya adakah kita bersedia atau mampu membuat perubahan ini?

Anak Bapa: Kita selalu kata,”jika kita serahkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah saat-saat kehancuran …. “. Tapi kalau dah 2 penggal tak mampu nak buat kerja lagi, eloklah bagi peluang orang lain pula. Lagipun jawatan ini bukan hak mutlak sesiapa tetapi amanah daripada Allah swt. Tak ada jawatan tidak bermakna tidak boleh berjuang lagi. Banyak kerja parti yang perlukan sokongan dan pertolongan kita semua. Samada nak dengan tak nak aje!

Saturday, May 2, 2009

Perihal Mi Celup, Mi Goreng dan Mi Maggi


Perbincangan minggu ini di ‘blogsphere’ amat menyelerakan. Apa taknya, cerita makan! Ceritanya bermula dengan salah seorang sahabat blogger kita mengisahkan mengenai golongan mi celup, yang merujuk kepada golongan yang berlagak pandai dalam sesuatu bidang padahal hakikatnya tidak begitu. Saya tak nak mengupas lebih lanjut mengenai dakwaan ini tetapi lebih berminat nak komen mengenai cerita mi celup atau mi-mi lain yang sewaktu dengannya.

Jikalau kita kaji cerita mi ni, kita akan dapati makanan jenis ni sebenarnya bukan berasal dari makanan orang-orang Melayu. Ia diciplak daripada masakan orang-orang Cina. Dalam erti kata lain, mi ini terlebih dahulu bertahalluf dengan masakan orang-orang Melayu beratus tahun yang lalu dengan pendekatan ‘tahalluf ta’ami’. Walaupun orang-orang Melayu beragama Islam ketika itu, mereka tidak menolak bentuk makanan yang asing daripada makanan orang-orang Melayu asalkan ianya halal dan baik (halalan tayyiban) dan tambah lagi, sedap. Mereka tidak pula berkata yang makanan ini boleh menjejas ketuanan Melayu dan perlu ditentang habis-habisan. Manakala orang-orang Cina pula tidak berkata bahawa makanan ini adalah hak mutlak mereka dan orang lain tidak berhak meniru atau menciplak makanan tradisi kecinaan mereka. Mereka dengan besar hati meraikan ‘fusion’ atau muhibbah makanan ini dengan tangan terbuka. Hasil daripada tahalluf ini kita dapati hari ini bermacam-macam variasi mi yang wujud, yang bukan saja dimasak oleh orang-orang Melayu, malah juga dari kalangan orang-orang India. Kita tengok ada mi goreng, mi rebus, mi sup, mi kuah, mi udang, mi ketam, mi kari, mi bandung, mi hailam, mi kungfu, mi kantonis, mi segera dan berpuluh-puluh jenis mi lagi di pasaran yang naik bingung kita memilihnya.

Mi celup ni sebenarnya proses penyediaan kebanyakan daripada jenis masakan mi di atas. Ia melibatkan proses merendamkan mi mentah yang kuning tu sebentar di dalam air mendidih sebelum dihidangan dengan kuah dan ramuannya. Mi mentah ini tidak dimasak bersama dengan ramuan dan kuah kerana dibimbangi ia jadi lembik atau ‘soggy’ atau silap-silap jadi bubur. Maknanya peranan mi celup sangat penting. Tanpa mi celup ini, kita tidak akan dapat merasai kelazatan kebanyakan jenis mi yang telah disebutkan sebelum ini. Ia menjadi mi celup bukan kerana ia tidak berkemampuan untuk jadi mi goreng atau sebagainya tetapi kerana peranannya diperlukan menjadi mi celup pada ketika ini. Mi celup bersedia berkorban dengan hanya menjadi mi celup agar kita yang memakannya akan dapat merasai kesedapan maksima daripada masakan ini. Takkan selepas menikmati masakan mi yang lazat ini kita kutuk habis-habis mi celup pula!

Seperkara lagi, apa yang tak kena dengan mi celup ni? Ia hanya melaksanakan tugas mengikut displin yang telah dianugerahkan kepadanya sebagai mi celup. Takkan kita nak suruh mi celup jadi mi goring atau mi maggi pula? Habislah selera kita dan silap haribulan tutup habis gerai-gerai mi sebab mi celup dah mogok dan menyamar sebagi mi-mi lain!

Kisah mi goreng ni pun agak menarik. Kita akui mi goreng ni bukan jenis mi celup kerana dia jenis dimasak lama dengan ramuannya. Itu jika kita nak lihat kepada perbedaannya. Dari segi persamaannya pun agak banyak terutama asal usul mi goreng ini, ia adalah sama dengan mi celup diperbuat daripada mi kuning. Dan mi celup jikalau nak digunakan untuk mi goreng pun memang boleh tetapi kalau mi goreng nak dibuat mi celup mungkin ada masalah sikit.

Satu lagi jenis mi yang unik ialah mi segera terutama mi maggi. Mi jenis ni bukan saja terkenal di kalangan orang-orang dewasa, ia juga terkenal di kalangan pelajar termasuk pelajar-pelajar bakal ustaz kita di dalam dan luar negara. Semasa saya belajar bahasa Arab selama setahun di Jordan dahulu, saya dapati hampir setiap rumah ustaz-ustaz kita mesti ada stok mee maggi ni. Saya tak kata mi ni tak boleh dimakan. Saya cuma ingin berbicara mengenai mi istimewa ini dan kenapa ia begitu terkenal. Pertama, mi jenis ini sangat murah dan mudah didapati di pasaran. Bungkusannya amat menarik dan iklannya amat mengasyikkan, ‘Cepat dimasak Sedap dimakan’ boleh menawan hati sesiapa saja terutama yang jenis malas memasak. Hasil daripada pendekatan pemasaran yang menarik inilah kita dapati mee maggi begitu terkenal dan menghasilkan keuntungan puluhan jutaan ringgit kepada Syarikat Nestle. Tetapi jangan lupa bahawa mee jenis segera ini dipenuhi dengan pelbagai jenis bahan kimia dan ‘taste enhancer’ bertujuan menyedapkan makanan secara tidak asli. Jenis makanan ini pada jangka panjang akan tetap memudaratkan si pengguna yang sentiasa memakannya. Jadi kita perlu berhati-hati kepada jenis mi segera ini, nampak cantik bungkusannya, sedap dan menyelerakan tetapi akhirnya mungkin boleh meracunkan kita. Fikir-fikirkanlah ………

Anak Bapa: Walaupun ada pelbagai jenis mi di pasaran, kita tak lihat mereka bergaduh sesama sendiri dengan dakwaan ia lebih baik daripada yang lain kerana mereka sedar peranan masing-masing dan semuanya berguna kecuali mee segera?