Saturday, January 30, 2010

Sayang Seribu Kali Sayang


Anak Bapa diminta YB Khalid Samad menjadi wakil beliau untuk menerima keputusan J/Kuasa Displin PAS semalam. Tak tahu kenapa diri yang tak seberapa ini diminta oleh YB Khalid kerana amanah ini amat berat untuk dipikul. Tetapi apabila permintaan datangnya daripada sahabat seperjuangan yang Anak Bapa telah kenali suku abad lamanya, tentulah sukar untuk menolaknya. Apatah lagi beliau bukan sengaja tak nak hadir tetapi terpaksa ke Arab Saudi bagi membantu isterinya yang akan mula bertugas di sana dan di samping mengerjakan umrah. Dah lama YB Khalid merancang pemergian ini dan tentulah sukar untuk ditangguh. Moga-moga tak ada yang beranggapan bahawa beliau lari ke sana kerana takut menghadapi keputusan J/Kuasa Displin.

Takut adalah perkara terakhir yang kita boleh andaikan daripada YB Khalid. Anak Bapa telah lama mengenali beliau malah kumpulan usrah kami ketika di England adalah kumpulan usrah yang sama (tahun 70an walaupun beliau jauh lebih senior daripada Anak Bapa) dan kemudian bersama dengan beliau dalam PAS sebaik kembali ke tanah air. Kami ini boleh dianggap generasi era permulaan “kepimpinan ulama” atau generasi pra “peristiwa Memali”. Walaupun kami bergerak di dalam PAS di tempat yang berbeza tetapi hubungan kami tidak pernah putus. Ketika YB Khalid menjadi YDP PAS Kawasan Lembah Pantai di era Ustaz Nakhaei menjadi Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Anak Bapa menjadi AJK Kawasan yang sama. Seterusnya apabila beliau berpindah ke tempat lain maka Anak Bapa menggantikan beliau menjadi YDP PAS Kawasan Lembah Pantai. Masa tu PAS Lembah Pantai terkenal dengan Pak Din Hancur (al-fatihah kepada arwah pejuang yang gigih ini). Semasa pergi belajar bahasa Arab di Jordan pada awal tahun 2000, kami masing-masing bawa keluarga ke sana selama setahun (cuma jangan tanya dah boleh cakap Arab ke belum).

Anak Bapa akui memang mempunyai hubungan yang akrab dengan YB Khalid (juga dengan YAB Nizar yang se usrah di England dahulu). Tetapi bukan itu yang menjadi sebab utama kenapa Anak Bapa sangat menghormati beliau. Keberanian, kegigihan, istiqamah, dan kecerdikan beliau menjadikan dirinya satu-satunya aset yang sangat bernilai kepada mana-mana organisasi yang disertainya. Cuba kita lihat cara beliau berhujah, samada di parlimen atau dengan puak-puak UMNO, amat sukar untuk dipatahkan kerana persediaan rapi dan kebijaksanaan beliau dalam mematah hujah lawan. Jika tidak tentulah UMNO Selangor tidak akan menjadikan YB Khalid musuh nombor 1 mereka sehingga sanggup memijak-mijak gambar beliau dan membuat pelbagai laporan polis terhadapnya. Agak pelik juga di kala pimpinan kita yang diserang bertubi-tubi oleh musuh ketat kita, kita pula turut tambah hukuman ke atasnya!

Dalam pengamatan Anak Bapa, tidak ada istilah takut pada YB Khalid. Beliau pernah kena ISA, bertanding pilihanraya banyak kali dan kalah, dan sentiasa sedia berhadapan dengan sesiapa saja dalam debat dan forum dan di mana saja. Kehebatan beliau berhujah dan berdebat di Parlimen adalah “phenomenal” dan “captivating”. Ini adalah aset jamaah yang perlu digarab, dipupuk dan disalurkan ke tempat yang betul. Tetapi apa boleh buat, cara kita menguruskan jamaah dan sumber manusia amatlah menyedihkan. Kita masih memilih pimpinan berdasarkan “orang kita” dan bukan kerana kemampuan dan kepakaran individu berkenaan. “Serahkan urusan kepada ahlinya” hanya menjadi retorik dan tidak menjadi amalan Islam dalam kehidupan kita.
Anak Bapa hanya dibenarkan membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman kepada YB Khalid (mitigating speech) dan tidak dibenarkan memberikan sebarang bukti-bukti baru bagi menyokong beliau. Kemudian selepas berehat 10 minit maka hukuman telah dibaca kepada Anak Bapa untuk disampaikan kepada YB Khalid. Bab ini semua dah sedia maklum.

Sejak semalam Anak Bapa menerima banyak sms dan panggilan daripada pelbagai pihak dengan pelbagai ulasan mengenai keputusan J/Kuasa Displin. Satu yang pasti, tak ada yang menyokong, malah Anak Bapa sendiri pula yang kena marah. Hari ini dalam blog-blog, antaranya di sini, di sini, di sini dan sini (malah banyak lagi), kita dapati cemuhan dan kritikan keras kepada PAS berhubung isu berkaitan. Anak Bapa tak boleh komen lebih-lebih nanti kena tindakan displin pula atau dituduh tak wala’. Cuma untuk penambahbaikan, ada beberapa perkara yang pimpinan atasan perlu belajar daripada peristiwa ini dan perlu ambil perhatian:

i. Satu siasatan bebas secara menyeluruh perlu dibuat segera bagi mengenalpasti penglibatan pimpinan semua peringkat dalam sebarang gerak kerja atau kerjasama dengan UMNO supaya isu berkaitan dapat diselesaikan “once and for all”.

ii. Sebarang pembentukkan J/Kuasa Displin perlu diteliti keahliannya supaya mereka benar-benar bebas dan layak.

iii. Tindakan segera adalah perlu daripada PAS Pusat berhubung aduan dan cadangan daripada pimpinan bawahan. Salah satu hujah YB Khalid ialah beliau telah bersabar dengan kaedah “saluran parti” untuk sekian lama tetapi tidak ada tindakan yang sewajarnya daripada pimpinan atasan untuk menyelesaikan masalah.

iv. Cara pelantikan pesuruhjaya negeri-negeri perlu dikaji semula, mungkin juga dengan melibatkan YDP kawasan-kawasan kerana acapkali terjadi pesuruhjaya yang dilantik tidak mewakili aspirasi kawasan-kawasan.

Anak Bapa cukup serba salah dengan keputusan J/Kuasa Displin semalam. Walaupun akur tetapi ada benda yang mengganggu perasaan dan emosi diri. Anak Bapa yakin sebahagian besar kita merasainya. Kita tidak bimbang dengan YB Khalid kerana beliau jenis “fighter” yang insyAllah akan terus kukuh dan istiqamah dalam perjuangan. Tetapi PAS, adakah kita menghantar mesej yang betul? Rasanya sayang seribu kali saying, kita terlepas peluang.



Anak Bapa: Sedang menghitung bahana keputusan semalam ……….

Thursday, January 21, 2010

Lagi Isu Kalimah "Allah"


Nampaknya isu kalimah “Allah” ini tidak akan hilang daripada “radar” umat Melayu buat seketika ini. Anak Bapa menerima banyak panggilan, teguran dan kecaman termasuk komen dalam blog berhubung isu ini. Sahabat Anak Bapa, YB Khalid Abd Samad lagi teruk kena hentam kiri dan kanan dalam isu ini.

Anak Bapa bukan tidak bimbang penyalahgunaan dan penyelewengan yang mungkin berlaku jika kalimah ini dibenarkan penggunaannya di kalangan bukan Islam. Juga Anak Bapa bukanlah ghairah sangat nak suruh golongan Kristian guna kalimah yang suci ini. Apa yang Anak Bapa, YB Khalid dan lain-lain yang sependapat dengan kami ingin tegaskan di sini ialah kita kena tahu membezakan antara yang mana satu hukum dan yang mana satu adat atau kebiasaan. Dalam apa jua perkara yang menyentuh kehidupan kita, kita semak dahulu apa Islam kata, yakni hujah bersandarkan dengan kekuatan nas dan dalil. Jika ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis termasuk tafsir yang muktabar daripada Ibnu Kathir, Al-Munir, Al-Qurtubi dan lain-lain lagi, juga termasuk ulama besar zaman ini, Sheikh Yusof Al-Qardawi dan Dr. Wahbah Al-Zuhaily pun bersependapat bahawa golongan Kristian dan Yahudi dibenarkan menggunakan kalimah “Allah”, takkan kita nak kata sebaliknya. Samada orang Melayu biasa atau tidak itu persoalan lain. Jika dah tahu orang Melayu lemah dalam ilmu agama, maka tanggungjawab kita untuk terus mendidik mereka dan bukan membiarkan mereka kekal di dalam kejahilan.

Kaedah Islam ialah apabila kita berhadapan dengan masalah maka kita cari dalil dan nas untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Jika hukum telah diperolehi, maka langkah berikut ialah mengambil pendekatan siasah syariyyah agar pelaksanaan hukum tersebut membawa natijah yang baik kepada masyarakat. Maknanya perlaksanaan hukum itu boleh kita buat dengan pelbagai cara untuk tujuan kemaslahatan tanpa mengenepikan status hukum itu sendiri. Pernah berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab ra apabila berlaku kemarau yang teruk menyebabkan kelaparan rakyat dan kejadian mencuri yang agak berleluasa maka hukum hudud berhubung pemotongan tangan pencuri dibekukan buat seketika kerana keadaan ketika itu memerlukannya.

Berbalik kepada hujah menyatakan bahawa orang-orang bukan Islam akan menyelewengkan kalimah ini dan menyalahgunakannya. Pertama Islam tidak menghukum berasaskan andaian atau spekulasi atau kemungkinan berlaku pada masa akan datang. Hujah menyatakan bahawa perkara ini telah berlaku di Indonesia tidak boleh digunakan seratus peratus kerana ramai yang berpandangan situasi di Indonesia agak berbeza dan faktor lain banyak mempengaruhi proses Kristianisasi termasuk ketiadaan undang-undang yang menghalang, kemiskinan, konsep Pancasila, korupsi dan lain-lain lagi. Dan jika benar ada usaha pihak bukan Islam untuk menyalahgunakan kalimah ini, kita mempunyai ruang yang cukup di dalam perlembagaan untuk mengambil tindakan.

Jika kita renung sejenak secara waras isu ini, sebenarnya ia banyak membawa manfaat kepada umat Islam. Ia membuka medan dakwah yang luas. Jika orang Kristian (di Semenanjung Malaysia sahaja sebab di tempat lain telah lama digunakan) mula menggunakan kalimah “Allah”, ramai termasuk Islam dan bukan Islam akan mula menyoal kenapa Tuhan yang sama tetapi konsep ketuhanan yang berbeza. Ini akan membawa kepada dialog dan perbincangan tentang agama Kristian secara terbuka yang Anak Bapa yakin akan menguntungkan Islam. Takkan kita tidak yakin kepada kekuatan dan kebenaran Islam dalam berhujah?

Anak Bapa: Pimpinan PAS Pusat telah membuat keputusan yang tepat membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dan memberi ingatan supaya ia tidak disalahgunakan. Tetapi ada juga pimpinan yang bercakap bercanggah dengan keputusan pimpinan. Kalau orang lain sure kena hentam tak walak dan sebagainya. Tetapi kenapa mereka ini ok pula?

Saturday, January 16, 2010

Nak Ikut Islam Ke Atau Hukum Manusia?


Pada prinsipnya, sebagai seorang Islam, jika berdepan dengan sebarang permasalahan kita akan terus merujuk kepada ketetapan dan hukum-hakam Islam, lihat samada halal atau haram atau harus atau sunatnya. Jika didapati ada kelonggaran di situ, yakni diperbolehkan campurtangan manusia maka ketika itu maka kita boleh menggunakan akal budi bicara kita dalam menangganinya. Hal ini telah termaktub dalam adab dan prinsip kehidupan seorang Muslim Mukmin yang beriman kepada Allah swt dan Hari Kemudian. Penggunaan kalimah “Allah” tidak terkecuali daripada prinsip yang sama, kita lihat dahulu apa Islam kata dan lepas itu baru kita bagi pandangan kita. Masalahnya pimpinan UMNO, sebagaimana biasa lebih suka ikut kepala otak mereka yang dah berkarat biru di dalam membuat penyelesaian, dengan sertamerta menghamburkan pandangan yang sempit dan rasis dalam isu ini. Jika ini sesuatu yang menghairankan, badan yang “menjaga” hal ehwal Islam di Selangor, JAIS turut menggunakan pendekatan yang sama, lagilah menghairankan. Tut tut Pengarah JAIS (lagak MB baru?) terus mengancam orang yang bukan Islam bahawa tindakan tegas akan diambil jika mereka bukan sahaja menggunakan kalimah “Allah” tetapi 24 lagi kalimah yang lain dalam peruntukan undang-undang yang diluluskan pada tahun 1988 (zaman UMNO memerintah Selangor).

Isu penggunaan kalimah “Allah” ini jelas menggambarkan sikap tidak ambil pusing JAIS berhubung apa yang Islam dan apa yang tidak. Tapi apalah nak dihairankan kerana sebelum PR memerintah Selangor pun antara kerja utama mereka ialah merampas masjid dan surau di masjid-masjid dan surau-surau yang dimakmurkan oleh para jamaah setempat. Ada juga masjid yang mereka robohkan dan lepas tu kerah penguatkuasa JAIS kepung tapak tempat berkenaan pada hari Jumaat untuk menghalang para jamaah daripada terus bersolat di tempat berkenaan sehingga penguatkuasa ni pun turut tak solat jumaat. Rasanya baru lagi JAIS buat kerja-kerja macam ni. Sepatutnya undang-undang yang diluluskan di zaman UMNO ini dikaji terlebih dahulu sebelum berkokok nyaring mengugut semua orang bahawa tindakan tegas akan diambil kepada yang melanggarinya. Betulkah bahawa orang-orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah “Allah”? Cuba beri bukti yang jelas dan qat’i. Zaman UMNO bolehlah main ugut orang lain macam budak-budak sekolah. Rakyat zaman kini perlukan penjelasan dan hujah yang kuat dan jelas.

Pimpinan PAS yang juga alim dalam bidang hukum-hakam agama dah bersependapat (kecuali Dr. Harun Din) bahawa orang Kristian dan Yahudi berhak menggunakan kalimah Allah, yang mereka telah gunakan zaman berzaman sejak sebelum kedatangan Rasulullah saw sendiri. Cuma PAS menyarankan agar kalimah ini tidak disalahgunakan. Dan sememangnya penyalahgunaan kalimah agama apa sekalipun memang tidak wajar bukan sahaja oleh orang bukan Islam bahkan oleh orang Islam sendiri. Tetapi yang ini JAIS tak minat. Semasa pimpinan negara (baca UMNO) yang berkata salam itu sama dengan ucapan selamat pagi, orang syahid di negara Arab tidak dimandikan kerana tiada air, Nabi saw tidak mencukur sebab tak ada pisau cukur gillete, kalau laksana hukum hudud nescaya habis kudung tangan orang-orang Islam dibuat sup tangan, apa yang JAIS buat. Itukan terang-terangan menghina Allah swt dan Rasul saw. Tetapi yang ini JAIS tak peduli.

Ada pula yang berkata, nanti keliru umat Islam. Apa umat Islam tak keliru dengan perangai pimpinan UMNO dan JAIS? Politik suku agama suku, masjid buat rasuah pun ligat, sekolah agama buat lesen judi lagi tambah, dan macam-macam lagi gelagat pemimpin UMNO, tak kelirukah rakyat? Tauliah diberi berpilih-pilih (yang mengaji tinggi agama seperti Dr. Asri pun tak layak), lulusan ekonomi jadi orang no. 1 dalam jabatan agama, bukankah ini juga mengelirukan rakyat? Berapa orang daripada kita yang memperjelaskan dengan sebenar-benarnya tetang agama orang bukan Islam kepada anak-anak masing-masing. Yang dia orang pandai menakut-nakutkan anak-anak tentang bahaya paderi dan “holy water”. Apa Islam ini rapuh sangatkah akan terjejas dengan mudah kepada agama-agama lain? Islam tidak terjejas kerana yang terjejas ialah umat Islam yang amat nipis ilmu dan iman mereka. Tepuk dada dan tanya iman.

Anak Bapa: Cuba kaji betul-betul persamaan antara Azib, Khusrin dan Tamyees ………

Friday, January 8, 2010

Memang Dasar UMNO Perkauman

Apalah yang nak dihairankan sangat apabila UMNO membantah seperti orang tidak siuman terhadap isu penggunaan perkataan 'Allah' oleh penganut Kristian di Malaysia. Selama ini UMNO jaga Islam di negara ini ke? Hukum hudud mereka keji, arak dan judi mereka lulus dengan berleluasa, masjid-masjid mereka rampas dan kadangkala mereka roboh, ulama pun mereka pernah bunuh di Memali, dan anak muda Islam mereka rosakkan melalui aktiviti maksiat dan mungkar mereka. Sebutlah apa benda jijik yang UMNO belum buat, dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar dosa semuanya UMNO dah sebat. Sekarang UMNO nak jadi jaguh sayang Allah sayang Islam. Jikalau arwah Ustaz Termizi ada lagi dia akan kata, kalau kucing dengar perkataan ini, kucing pun muntah ......


Sayang Islam ialah dengan memahami ajarannya betul-betul dan kemudian beramal dengannya. Islam tidak mengajar kita bertindak mengikut nafsu apatah lagi jika ia melibatkan isu keadilan dan hak orang-orang bukan Islam. Pimpinan PAS dan ulama-ulama Islam lain telah menjelaskan dengan panjang lebar berhubung kebenaran orang-orang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah'. Kita semua jangan tertipu dengan kebobrokan UMNO yang ingin menangguk di air keruh. Badan-badan NGO ciptaan UMNO seperti Pekida, Persatuan Pengguna-Pengguna Islam (PPIM) dan lain-lain yang sewaktu dengan mereka adalah topeng UMNO dalam melaksanakan kerja-kerja jahat UMNO. Ada yang dah mula bakar gereja dan Allah saja yang tahu apa mereka akan buat seterusnya. Perbuatan mereka tidak ada kena mengena dengan Islam dan jika kita turut sama maka kita juga zalim.



Anak Bapa: Ku Li pun kata tindakan UMNO adalah berasaskan perkauman. Lantaran itu pimpinan PAS yang turut bersengkokol tu bagaımana pulak?

Wednesday, January 6, 2010

Tahniah PAS!


Lega rasa hati membaca keputusan mesyuarat khas PAS Pusat berhubung isu penggunaan perkataan 'Allah' oleh penganut agama Kristian di Malaysia. Lega dan gembira kerana PAS sekali lagi berjaya membebaskan diri daripada terperosok ke dalam perangkap perkauman yang dipasang oleh UMNO. Apabila PAS berjanji mengambil Islam sebagai dasar perjuangan maka segala cakap dan tindak-tanduk perlu selaras dengan ikrar tersebut. Sudah sewajarnya apabila timbul isu ini maka pimpinan kita perlu mengkaji dengan teliti aspek hukum dan kebijakan politik sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan dan arahan. Walaupun ada terlepas perkataan yang tidak berapa wajar daripada seorang pemimpin, tetapi keputusan ijmak pimpinan berjaya menenggelamkan ketelanjuran tersebut.
Anak Bapa yakin dengan keputusan yang bijaksana dan bijaksini oleh pimpinan PAS dan menaruh harapan yang tinggi kepada kepimpinan yang ada jika metod syura yang telah dibuat dikekalkan terus menerus pada masa-masa akan datang. Ini kerana PAS memiliki barisan kepimpinan yang bijak, ikhlas, amanah dan tidak rasis. Sementelah itu harapan Anak Bapa agar penganut agama Kristian akan mengambil keputusan ini dengan penuh tanggungjawab dalam memelihara kesucian agama Kristian dan juga Islam.
Anak Bapa: Nampaknya umpan Ketuanan Melayu ini masih lagi 'mengghairahkan' beberapa kerat orang PAS! Salam sejahtera kepada semua daripada Istanbul.

Friday, January 1, 2010

Mendepani Perubahan di Tahun 2010


Berlalulah satu dekad di abad ke 21 tepat jam 12 tengah malam tadi. Sepuluh tahun yang lepas sarat dengan pelbagai peristiwa dan insiden yang amat menarik. Tetapi dari perspektif politik tidak ada yang lebih menarik daripada kemenangan Barisan Alternatif (yang kemudian menjadi Pakatan Rakyat dengan penyertaan DAP) dalam mengoncang hegemoni kuasa Barisan Nasional (BN) yang telah lama berakar umbi di negara kita. Keupayaan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP di dalam menawan 6 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) dan mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat telah mencetuskan tsunami politik yang hebat sehingga mengkucar-kacirkan BN dan parti-parti komponennya. Ledakan kemarahan rakyat ini bukan sahaja telah mengorbankan Pak Lah tetapi telah menghuru-harakan parti Gerakan, PPP, MIC dan kini sayap utama BN, MCA ke tahap krisis yang tak nampak penghujungnya. Dalam perkataan lain, tsunami politik ini telah meranapkan keseluruhan “permuafakatan” BN sehingga ke peringkat UMNO, secara sendirian terpaksa melakukan apa saja untuk menyelamatkan bahtera BN.

Keadaan ini sebenarnya sangat subur untuk perubahan. PR mampu menjadi wadah kepada perubahan yang dinanti-nantikan rakyat kerana ia memiliki segala bahan-bahan ramuan yang diperlukan. Parti-parti komponennya tidak berasaskan kepada perkauman (walaupun cuba digembar-gemburkan oleh UMNO bahawa PAS parti orang Melayu dan DAP parti orang Cina), keadilan kepada semua menjadi matlamat bersama, keluhuran perlembagaan menjadi pegangan, dan ketelusan dan integriti menjadi amalan semua peringkat. Konvensyen PR yang pertama di Shah Alam baru-baru ini mempertegaskan komitmen PAS, PKR dan DAP untuk membentuk negara Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berdaya maju. Persoalannya adakah tindakan PR akan konsisten dengan apa yang dicanang-canangkan?

Sesuatu organisasi atau parti itu adalah sebaik dan sebagus pimpinan dan ahlinya. Hasrat dan niat yang murni, walaupun merupakan permulaan yang penting, tidak semestinya akan berakhir dengan kebaikan. Parti PAS umpamanya memperincikan dengan jelas dasar dan matlamat perjuangannya tetapi jika pimpinan dan ahli memilih untuk ikut kehendak hati masing-masing maka PAS akan dianggap sebagai parti yang tak berwibawa. Sebagai contoh, jika rakyat telah dimaklumkan lebih awal bahawa PAS akan bersama dengan PKR atas dasar menolak kepimpinan UMNO/BN yang korup dan zalim dan membentuk gagasan baru yang lebih demokratik dan bersih, kenapa sebaik saja menang bersama, ada segelintir pimpinan PAS sanggup membelakangkan semangat kerjasama ini dengan “berjual-beli” dengan UMNO/BN atas alasan memelihara agenda Melayu-Islam? Persoalannya, di manakah dalam perlembagaan PAS yang menyatakan PAS berjuang atas dasar Melayu-Islam dan adakah semangat setiakawan (atau menghormati perjanjian) itu bukan prinsip Islam? Perkara-perkara yang sebegini dan yang lain yang sewaktu dengannya telah menghantar isyarat yang bercampur baur kepada rakyat (yang berbilang bangsa dan bukannya semua ahli PAS) di mana perlembagaan berkata lain sementara tindakan pimpinan dan ahli pula berlainan. Kekeliruan rakyat dan ditambah dengan putarbelit media kawalan BN menambahkan lagi krisis keyakinan mereka kepada PAS. Jadi tidak hairan jika hasil kajian mutakhir menunjukkan jatuhnya sokongan rakyat kepada PAS.

Ada yang berpandangan bahawa PAS telah hilang identiti kerana bersama PR. Golongan ini mengalami sindrom “inferiority complex” yakni sindrom kerendahan jatidiri yang amat sangat. Mereka tidak berkeyakinan kepada kekuatan Islam dan PAS dalam mengharungi perjuangan ke arah mewujudkan negara yang lebih gemilang. Mereka seolah-olah tidak yakin PAS mampu mendepani perubahan tanpa mengorbankan prinsip perjuangan. Bagi mereka mungkin agenda negara Islam dan hudud menjadi agenda utama dan perlu dipertahankan “at all cost” sehingga ke tahap mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka boleh membahayakan sokongan jangka panjang rakyat kepada PAS. Dr. Zulkifli, di dalam tulisan terbarunya dalam The Malaysian Insider, dengan cantik sekali telah menjelaskan aulawiyyat kita di dalam perjalanan menuju matlamat perjuangan. Jika kita memilih pendekatan demokrasi dalam mendapatkan kepercayaan rakyat, maka saluran yang sama kita gunakan untuk membetulkan terlebih dulu negara ini supaya “infra” demokrasi seperti keadilan SPR, kebebasan media dan profesionalisme agensi-agensi kerajaan dapat ditegakkan. Kemudian kita berpeluang memperjelaskan kepada rakyat tentang kehebatan negara Islam dan pemerintahannya secara terbuka dan ilmiah tanpa ada kebimbangan diputarbelit atau disekat. Lantaran itu, rakyat dengan sedar dan demokratik akan memilih negara Islam atas merit dan keyakinan.

Keyakinan ini kena ada pada kita. Islam bercambah di atas kekuatan ilmu, iman, amal dan akhlak dan kita dapati hari ini sangat kurang kita dalam semua aspek ini. Sesama kita pimpinan dan ahli PAS pun kita bertelagah dalam semua perkara. Perbedaan pandangan tidak ditangani dengan baik malah puak yang satu menuduh puak yang lagi satu dengan pelbagai nama yang tidak wajar semata-mata kerana berbeda pandangan. Keputusan syura terbesar yakni muktamar ditafsirkan dengan pelbagai cara untuk membenarkan tindakan sesetengah pimpinan yang terkeluar daripada landasan perjuangan. Akhlak Islam hanya menghiasi teks ucapan dan kuliah di masjid-masjid tetapi hakikatnya yang dipertontonkan kepada ramai jauh berbeda. Jadi di manakah ada kewajaran untuk rakyat terus menyokong PAS dan PR? Walaupun yang berbuat onar ini tidak ramai tetapi jika tidak dibendung akan menyusahkan semua pihak. Islam dan PAS dah cantik. Jadi tiba masanya untuk mempercantikkan pimpinan dan ahlinya pula.

Anak Bapa: Setahu Anak Bapa yang tak berubah hanya ayat-ayat Al-Qur’an, lain daripada itu semua boleh berubah. Jadi cerdiklah sedikit membuat perubahan ke arah yang lebih baik! SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH DAN 2010 KEPADA SEMUA!