Di kala kita tengah gundah gulana menghadapi serangan wabak selesema babi H1N1 yang semakin serius, ada wabak lain pula yang berkaitan dengan babi sedang melanda utara Semenanjung. Nampaknya macam serius dan kalau tak ditangani dengan baik boleh menyebabkan masalah yang agak besar kelak. Ini berkaitan dengan insiden perobohan tempat penyembelihan babi haram di Alor Star, Kedah beberapa hari yang lalu.
Semua orang tahu bahawa memakan daging babi tu haram bagi orang-orang Islam. Tetapi untuk orang-orang bukan Islam, mereka ada pilihan samada nak makan atau tidak. Dan sememangnya menjadi kewajipan pihak pemerintah, tak kira siapa mereka sekalipun, untuk menyediakan segala kemudahan yang bersesuaian untuk makanan rakyatnya. Banyak caranya bagaimana daging babi ini boleh sampai kepada yang memerlukan. Antaranya dengan menternak sendiri, menyembelih dan menjualnya untuk kegunaan tempatan atau mengimport daging tersebut dari negara/negeri jiran kemudian dijual kepada penduduk tempatan. Semuanya boleh dilaksanakan dan kewajarannya bergantung kepada faktor kos dan alam sekitar.
Singapura, sebagai contoh, walaupun ramai rakyatnya memakan daging babi, ia tidak mengizinkan penternakan babi di dalam negara. Ini dibuat bagi menjaga kebersihan dan juga kerana kos penternakan yang tinggi. Mereka lebih rela mengimport daripada Malaysia dengan kos yang lebih rendah dan dalam masa yang sama memulihara alam sekitar mereka.
Kita sedia maklum bahawa penternakan babi merupakan antara penyumbang terbesar pencemaran air dan bau di dalam negara. Langkah-langkah konkrit perlu diambil bagi menjaga kepentingan semua pihak. Kita perlu ingat bahawa industri babi bukan saja melibatkan pemakan dagingnya tetapi juga yang tidak makan daging babi. Bagi orang-orang bukan Islam, mereka perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan untuk mencari jalan terbaik di dalam menanggani masalah ini. Kita lihat saja Kerajaan PR Selangor yang melihat usaha ini dengan positif apabila mencadangkan penternakan babi setempat yang berlandaskan teknologi moden yang bukan saja dapat mengawal penularan penyakit akibat najis babi dan pencemaran air, tetapi juga dapat menjana hasil sampingan melalui pengeluaran biogas.
DAP sebagai rakan PAS dalam PR perlu lebih terbuka dan berlapang dada di dalam sama-sama berusaha membawa kebaikan kepada rakyat. Jangan sesekali terperangkap di dalam mainan isu remeh temeh yang bersifat perkauman dan keagamaan. Kita telah diberi mandat oleh rakyat untuk melaksanakan pembaharuan dan jika kita masih terperangkap di dalam mindset lama yang penuh prejudis dan syak wasangka maka kita tidak akan dapat maju ke hadapan. Perkara yang salah dan melanggar undang-undang perlu kita ambil tindakan. Cuma bedanya kita dengan BN ialah kita buat cara berhemah. Kita bincang elok-elok, berikan masa dan alternatif kepada pihak-pihak yang terbabit. Tetapi jika masih lagi berdegil selepas itu maka tindakan perlu diambil kerana kita perlu ingat bahawa segala kegiatan yang menyalahi undang-undang adalah membawa keburukan kepada rakyat teramai. Itu sebabnya ia diharamkan! Seperkara lagi, tindakan yang serupa bukan saja melibatkan kandang babi dan tempat sembelihannya, malah kandang lembu dan pusat penyembelihan lembu pun jika tidak berlesen perlu diambil tindakan serupa. Perkara ini perlu dimaklumi oleh semua termasuk di kalangan pimpinan PR.
Anak Bapa berkeyakinan pimpinan PR akan “come to their senses” tidak lama lagi. Takkan isu sebegini boleh meletup sampai tidak terkawal. Malu kita kalau pimpinan tidak mampu menyelesaikan isu yang Anak Bapa anggap sangat remeh temeh. Rakyat sedang memerhati, jika kita tak boleh bertolak ansur dalam perkara sekecil ini macamana nanti bila kita diberi peluang memerintah negara? Adakah kita akan bergaduh setiap hari tentang semua benda? Pihak kerajaan perlu lebih peka dan banyak berbincang sebelum melakukan sebarang tindakan sebegini dan DAP pula kena faham bahawa perkara yang haram tidak boleh dikekalkan selama-lamanya. Jika undang-undang kita gubal, kita sendiri tak ikut, rakyat akan cakap macam ketam ajar anak dia jalan betul!
Anak Bapa: Anak Bapa sentiasa berbincang dengan Ahli-Ahli Majlis bukan Islam di dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis Bandaraya Shah Alam dalam perkara-perkara sensitif termasuk isu judi, arak, karaoke, kuil-kuil haram dan sebagainya. Dan setakat ini kita dapat menyelesaikannya dengan baik dan harmoni. Jikalau babi dapat tau kita akan akan berpecah belah kerananya tentu ia akan ketawa besar. Malulah sikit ……..
No comments:
Post a Comment