Friday, August 14, 2009

Ustaz Asri Dalam Kenangan



Tersentak Anak Bapa apabila menerima khabar semalam berhubung berita “pergi takkan kembali” pelopor dan ikon industri nasyid terkenal negara, Ustaz Asri daripada Kumpulan Rabbani. Anak Bapa tidaklah begitu mengenali Allahyarham tetapi daripada cerita rakan-rakan dan berita di dada-dada akhbar dapatlah sedikit sebanyak mengenali dan menilai diri peribadi Ustaz Asri. Kebetulan pula Anak Bapa berkesempatan makan malam semeja dengan Allahyarham dan Tok Guru Nik Aziz di Stadium Melawati Shah Alam pada 1 Ogos baru-baru ini sempena program Konsert Antara Benua kerjasama GAMIS dan Rabbani. Di dalam majlis berkenaan Tok Guru Nik Aziz menjemput Ustaz Asri dan Rabbani ke Kelantan selepas hari raya puasa untuk satu majlis di sana dan Ustaz Asri kelihatan begitu gembira sekali menerima pelawaan Tok Guru. Tetapi Allah swt yang menentukan segala-galanya. Jika ajal sudah tiba tidaklah ditangguh atau diawalkan walau sesaat pun.

Kematian merupakan satu hakikat dan kepastian yang ramai manusia lupai sedangkan mati tidak pernah melupai manusia. Jika kita menggunakan sedikit akal dan berfikir tentu kita dapat lihat bagaimana manusia sehebat mana pun atau sekaya mana pun akan tetap tersungkur dengan “penangan” malikul maut. Justeru itu kenapa sanggup mengambil risiko membuat kerja-kerja keji dan hina di dunia ini sedangkan kita sedar bahawa semuanya akan diperhitungkan di hadapan Allah swt kelak. Dan kelak itu bukanlah lama sangat. Berapa ramai ibubapa yang hidup hari ini tidak pernah termimpi untuk memandikan jenazah anak sendiri kerana lumrah alamnya ialah anak sepatut memandikan jenazah ayah dan ibunya? Tetapi itulah jua yang kerap berlaku. Penularan virus H1N1 ketika ini sekali lagi membuktikan betapa rapuh nyawa manusia dan betapa ukuran umur tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada siapa yang akan mati dahulu. Islam mengajar kita supaya menjadikan mati sebagai sahabat setia kita kerana sesuai dengan peranan seorang sahabat, ia akan sabar menasihati kita jika kita terleka atau lalai daripada amanah dan tanggungjawab. Beruntunglah mereka-mereka yang sentiasa mengambil mati sebagai sahabat dan teman di sepanjang kehidupan yang fana ini.

Berbalik kepada cerita Ustaz Asri tadi. Anak Bapa memang tertarik dengan kesederhanaan dan kesungguhan Ustaz Asri di dalam perjuangan melalui medan dakwah nasyid ini. Walaupun ada pihak-pihak yang memandang sinis bentuk perjuangan beliau dan rakan-rakan yang sealiran dengannya, satu yang pasti ialah beliau telah berjaya menawarkan satu bentuk hiburan alternatif kepada anak remaja Islam di negara kita buat sekian lama. Bayangkan jikalau mereka ini tidak pernah wujud dalam sejarah industri muzik negara, sudah tentu anak muda kita akan terkenja-kenja dengan muzik barat dan muzik saduran barat semata-mata, yang membawa bersama-samanya nilai-nilai hedonisme yang amat menakutkan. Keupayaan kumpulan nasyid begini di dalam menjiwai nilai-nilai Islam bukan saja di dalam lagu dan muzik mereka malah di dalam kehidupan peribadi dan keluarga mereka sedikit sebanyak berjaya meyakinkan anak-anak muda kita bahawa berhibur tidak semestinya berakhir dengan kemudaratan dan dosa. Ustaz Asri dan teman-temannya telah memulakan sesuatu yang amat berharga kepada seni dan dakwah Islam dan telah Berjaya mengembangkannya kepada satu tahap. Jadi harapan Anak Bapa agar mereka-mereka yang tinggal akan meneruskan perjuangan ini demi kebaikan dan manfaat ummah. Moga jasa dan sumbangan Ustaz Asri akan diterima oleh Allah swt sebagai amal soleh dan ditempatkan beliau di kalangan hambaNya yang solehin. Al-Fatihah ……

Anak Bapa: Kerendahan diri dan murah hati Ustaz Asri memang terkenal di kalangan mereka yang dekat dengan beliau. Anak Bapa dimaklumkan bahawa beliau tidak pernah memecat mana-mana ahli kumpulannya walaupun keahlian kumpulannya antara yang teramai. Beliau mengambil sikap berkongsi apa saja dengan ahli kumpulannya dan menerima mereka sebagai sebahagian ahli keluarganya. Jika kita terasa kehilangan Ustaz Asri, mereka tentulah lebih lagi. Harapan saya agar mereka semua bersabar …….

No comments: