Kehilangan 2 buah enjin jet pejuang F5-E TUDM, walaupun bukan satu perkara yang mengejutkan, tetapi akan tercatit di dalam sejarah sebagai titik hitam peristiwa malang negara. Apabila Anak Bapa berkata kejadian ini bukan satu perkara yang mengejutkan, bukanlah bertujuan untuk meremehtemehkan perkara ini. Mana mungkin kehilangan enjin jet pejuang tentera negara dipandang enteng. Kalau tak silap, di kebanyakan negara, mereka-mereka yang bertanggungjawab dianggap pengkhianat negara dan boleh dihukum tembak sampai mati!
Anak Bapa berpandangan peristiwa ini tidak mengejutkan kerana di dalam sebuah negara yang korupsinya begitu kronik dan membusuk, kemungkinan untuk perkara sebegini berlaku adalah sangat cerah sekali. Cuba kita perhatikan satu persatu segala jenis rasuah dan penyelewengan yang dipelopori oleh pimpinan UMNO dan BN sejak bertahun-tahun lalu. Jika kita ambil yang mega-mega sahaja bermula daripada skandal BMF (juga melibatkan pembunuhan kakitangan Bank Bumiputra), kebangkrapan Bank Bumiputra (beberapa kali), Petronas, MISC, dan yang terbaru skandal PKFZ yang melibatkan belasan billion ringgit, rasuah pembelian jet pejuang Sukhoi dan kapal selam Scopene hampir 1 billion ringgit, dan ratusan billion ringgit lagi (menurut Barry Wain di dalam buku terbarunya “Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times”) yang “diperhabis” oleh Dr. Mahathir dan lagi ratusan billion ringgit yang “diperkuda” oleh Pak Lah (menurut Dr. Mahathir) maka apalah sangat kehilangan 2 enjin jet yang dianggarkan bernilai 50 juta ringgit dikebas oleh “anak buah” Najib.
Sebelum ini, Sasterawan Negara ke-10, Datuk Dr. Anwar Ridhwan menyifatkan kehilangan enjin jet F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai tanda aras keruntuhan moral pimpinan negara ini. Anak Bapa ingin menambah bahawa kejadian ini bukan sahaja menandakan tahap keruntuhan moral pimpinan negara tetapi juga keruntuhan dan membusuknya UMNO dan BN. Kejadian yang serupa secara berterusan menunjukkan puak-puak ini tidak pernah serik dan akan terus mengulanginya sehingga negara tercampak ke dalam jurang krisis yang amat membimbangkan.
Walaupun serangan demi serangan dan fitnah demi fitnah dibuat oleh pimpinan UMNO dengan kerjasama media mereka terhadap integriti pimpinan Pakatan Rakyat tetapi kita dapati sampai hari ini mereka tidak berupaya mengenengahkan sebarang bukti. Tok Guru Nik Aziz, umpamanya, telah mentadbir Kelantan selama hampir 20 tahun, satu batang balak pun beliau tak kebas. Malahan laporan mutakhir Ketua Pengarah Jabatan Audit Negara memberikan pujian kepada negeri-negeri yang ditadbir PR kerana kecekapan dan ketelusan di dalam menguruskan kewangan negeri walaupun baru 1 penggal mentadbir negeri.
Rakyat perlu sedar bahawa suku sakat UMNO dan BN tidak akan berupaya keluar daripada kemelut rasuah yang telah sampai ke peringkat membahayakan keselamatan negara. Sedangkan pemilihan pemimpin mereka pun berasaskan kepada rasuah, apatah lagi dalam urusan lain. Dr. Mahathir ada menyebut di dalam blognya yang “UMNO telah membusuk hingga ke usus …” (termasuk dirinya sama). Jika rakyat berterusan mempercayai kelentong UMNO dan media mereka dan terus memberi mandat pemerintahan kepada mereka maka Anak Bapa tidak hairan jika suatu hari kelak negara pun akan “dijual” oleh puak-puak ini!
Anak Bapa: Teringat ungkapan Profesor masa belajar dulu, katanya,”Jika kita membuat perkara yang sama tetapi mengharapkan keputusan yang berbeda maka kita dianggap orang gila!”
No comments:
Post a Comment