Thursday, January 21, 2010

Lagi Isu Kalimah "Allah"


Nampaknya isu kalimah “Allah” ini tidak akan hilang daripada “radar” umat Melayu buat seketika ini. Anak Bapa menerima banyak panggilan, teguran dan kecaman termasuk komen dalam blog berhubung isu ini. Sahabat Anak Bapa, YB Khalid Abd Samad lagi teruk kena hentam kiri dan kanan dalam isu ini.

Anak Bapa bukan tidak bimbang penyalahgunaan dan penyelewengan yang mungkin berlaku jika kalimah ini dibenarkan penggunaannya di kalangan bukan Islam. Juga Anak Bapa bukanlah ghairah sangat nak suruh golongan Kristian guna kalimah yang suci ini. Apa yang Anak Bapa, YB Khalid dan lain-lain yang sependapat dengan kami ingin tegaskan di sini ialah kita kena tahu membezakan antara yang mana satu hukum dan yang mana satu adat atau kebiasaan. Dalam apa jua perkara yang menyentuh kehidupan kita, kita semak dahulu apa Islam kata, yakni hujah bersandarkan dengan kekuatan nas dan dalil. Jika ayat-ayat Al-Qur’an dan hadis termasuk tafsir yang muktabar daripada Ibnu Kathir, Al-Munir, Al-Qurtubi dan lain-lain lagi, juga termasuk ulama besar zaman ini, Sheikh Yusof Al-Qardawi dan Dr. Wahbah Al-Zuhaily pun bersependapat bahawa golongan Kristian dan Yahudi dibenarkan menggunakan kalimah “Allah”, takkan kita nak kata sebaliknya. Samada orang Melayu biasa atau tidak itu persoalan lain. Jika dah tahu orang Melayu lemah dalam ilmu agama, maka tanggungjawab kita untuk terus mendidik mereka dan bukan membiarkan mereka kekal di dalam kejahilan.

Kaedah Islam ialah apabila kita berhadapan dengan masalah maka kita cari dalil dan nas untuk menyelesaikan permasalahan tersebut. Jika hukum telah diperolehi, maka langkah berikut ialah mengambil pendekatan siasah syariyyah agar pelaksanaan hukum tersebut membawa natijah yang baik kepada masyarakat. Maknanya perlaksanaan hukum itu boleh kita buat dengan pelbagai cara untuk tujuan kemaslahatan tanpa mengenepikan status hukum itu sendiri. Pernah berlaku di zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab ra apabila berlaku kemarau yang teruk menyebabkan kelaparan rakyat dan kejadian mencuri yang agak berleluasa maka hukum hudud berhubung pemotongan tangan pencuri dibekukan buat seketika kerana keadaan ketika itu memerlukannya.

Berbalik kepada hujah menyatakan bahawa orang-orang bukan Islam akan menyelewengkan kalimah ini dan menyalahgunakannya. Pertama Islam tidak menghukum berasaskan andaian atau spekulasi atau kemungkinan berlaku pada masa akan datang. Hujah menyatakan bahawa perkara ini telah berlaku di Indonesia tidak boleh digunakan seratus peratus kerana ramai yang berpandangan situasi di Indonesia agak berbeza dan faktor lain banyak mempengaruhi proses Kristianisasi termasuk ketiadaan undang-undang yang menghalang, kemiskinan, konsep Pancasila, korupsi dan lain-lain lagi. Dan jika benar ada usaha pihak bukan Islam untuk menyalahgunakan kalimah ini, kita mempunyai ruang yang cukup di dalam perlembagaan untuk mengambil tindakan.

Jika kita renung sejenak secara waras isu ini, sebenarnya ia banyak membawa manfaat kepada umat Islam. Ia membuka medan dakwah yang luas. Jika orang Kristian (di Semenanjung Malaysia sahaja sebab di tempat lain telah lama digunakan) mula menggunakan kalimah “Allah”, ramai termasuk Islam dan bukan Islam akan mula menyoal kenapa Tuhan yang sama tetapi konsep ketuhanan yang berbeza. Ini akan membawa kepada dialog dan perbincangan tentang agama Kristian secara terbuka yang Anak Bapa yakin akan menguntungkan Islam. Takkan kita tidak yakin kepada kekuatan dan kebenaran Islam dalam berhujah?

Anak Bapa: Pimpinan PAS Pusat telah membuat keputusan yang tepat membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dan memberi ingatan supaya ia tidak disalahgunakan. Tetapi ada juga pimpinan yang bercakap bercanggah dengan keputusan pimpinan. Kalau orang lain sure kena hentam tak walak dan sebagainya. Tetapi kenapa mereka ini ok pula?

No comments: