Sunday, February 14, 2010

UMNO Makhluk Perosak


Jika diteliti permasalahan negara yang kita hadapi sabanhari nescaya kita akan dapati ada campurtangan UMNO di dalamnya. Isu tentera kita dengan peralatan yang dibekalkan kepada mereka yang “sub-standard” bukanlah perkara baru. Sewaktu Anak Bapa menjadi anggota askar wataniah selama 3 tahun tidak lama dahulu, kami sering berhadapan dengan peralatan yang bermasalah. Lori tentera banyak yang tersadai di depo-depo tentera kerana ketiadaan alat ganti atau terlalu uzur. Kereta perisai yang sepatutnya menjadi kenderaan penting tentera tidak dapat digunakan kerana tidak sesuai dengan keadaan muka bumi dan iklim negara. Malah ada pegawai-pegawai tentera yang secara sinis mencadangkan supaya kenderaan-kenderaan ini disimpan di muzium sahaja kerana jika digunakan di medan perang akan menambah lebih kesusahan kepada pihak tentera.

Pengalaman yang lepas menunjukkan bahawa kita tidak pernah belajar daripada kesilapan atau mungkin ada faktor “tangan-tangan ghaib” yang menentukan apa jenis peralatan yang perlu dibeli oleh pihak tentera Malaysia. Dahulu kita dihebohkan dengan kereta-kereta kebal yang dibeli tetapi tidak boleh digunakan kerana asyik tersangkut di kawasan lembah dan paya. Kemudian kita dengar kerajaan membeli jet pejuang “Hawk” yang tersadai di padang pasir Amerika. Ini belum dikira betapa ramai juruterbang jet pejuang kita yang terkorban bersama jet pejuang mereka kerana masalah “teknikal” atau “kesilapan manusia”. Ini belum lagi masuk cerita tentang helikopter Nuri yang penuh trajis. Dan hari ini kita dikejutkan lagi dengan kehilangan enjin jet pejuang dan kapal selam yang baru dibeli tetapi tidak boleh menyelam.

Anak Bapa meletakkan 110% kesalahan ke atas UMNO khususnya Najib sendiri di atas segala penyelewengan yang berlaku. Insiden yang disebutkan tadi semuanya berlaku ketika beliau menjadi Menteri Pertahanan. Najib bukan sahaja terpalit dengan isu “komisyen” jet pejuang Sukhoi dan kapal selam Scorpene tetapi juga keraguan berhubung Altantunya, yang kematiannya dipercayai berkait rapat dengan “komisyen” Scorpene.

Tetapi tengok saja perangai UMNO bila skandal mereka didedahkan, mereka buat pekak badak dan layan rakyat macam orang bodoh. Masuk akalkah jawapan Najib tentang kehilangan enjin jet bahawa nilainya berapa puluh ribu ringgit sahaja dan bukan berpuluh juta seperti yang disebut-sebut? Betulkah enjin jet yang dibeli dengan harga berpuluh-puluh juta kini hanya bernilai berapa puluh ribu sahaja? Itu hanya juruaudit bertauliah sahaja yang boleh jawab. Tetapi jika betul pun harganya kini berapa puluh ribu sahaja, adakah boleh diterima enjin jet dicuri tanpa kita menyedarinya?

Tentang kapal selam yang tak boleh menyelam, mereka kata itu benda kecil sahaja dan boleh dibaiki dengan mudah. Mudah kepala hotak engkau! Harga sebuah kapal selam itu ialah 1 bilion ringgit dan dah 3 bulan tak boleh menyelam. Jika kapal selam tak boleh menyelam buat apa belanja sampai 1 bilion ringgit untuk membelinya? Beli kapal biasa ajelah boleh dapat 5 atau 6 buah.

UMNO dan BN memang suka ambil mudah tentang skandal yang berlaku. Mereka sedarkah apa yang mereka buat sebenarnya mengancam keselamatan negara. Berapa banyak wang telah dibelanjakan membeli peralatan yang tidak boleh digunakan dan berapa ramai anggota tentera kita yang terkorban kerana kecuaian pimpinan UMNO. Anak Bapa yakin amalan ini tidak akan berubah selagi UMNO dan BN memerintah negara ini. Rakyat terutamanya anggota tentera perlu merenung dalam tentang apa yang berlaku dan membuat perubahan menolak kepimpinan UMNO dan BN jika kita ingin melihat keselamatan negara lebih terjamin.



Anak Bapa: Pakar-pakar ketenteraan sebulat suara berpandangan bahawa dari segi peralatan kita tidak mampu menandingi Singapura (negara jiran kita yang kecil tu). Jangan lagi bercerita tentang negara lain yang jauh lebih hebat. Silap-silap kalau kena berperang kena pakai keris dengan proton saga sahaja!

No comments: