Tuesday, January 10, 2012

Hasan Ali Tetap Hasan Ali


Bagi mereka yang lama mengenali Dato’ Hasan Ali (DHA), tiada apa yang mengejutkan mengenai sikap dan feel beliau. Egoistik dan sarat beremosi merupakan aset utama beliau dalam apa jua tindak tanduk kehidupan. Mungkin orang kuat motivasi atau yang bertaraf PhD sememangnya begitu!


Cuma apa yang mengejutkan kita ialah perubahan sikap DHA apabila PAS (bersama rakan-rakan) berjaya memenangi Selangor dalam PRU ke 12 Mac 2008. Peringkat awalnya DHA terpalit sebagai antara pelakon utama “Kerajaan Perpaduan”, usaha pergabungan PAS dengan UMNO (walaupun muktamar PAS menyatakan sebaliknya) menyebabkan pergeseran besar dalam PAS Selangor dan juga Pusat.


Selepas itu berlaku siri pertembungan antara DHA dengan pimpinan dan dasar PAS dan juga PR lain termasuk insiden pengharaman arak di Shah Alam, isu perkauman berhubung pelantikan Pengurus Besar PKNS, “skandal” lembu korban MB Selangor, isu “penghinaan” pegawai-pegawai kerajaan dalam SELCAT, isu penggunaan kalimah Allah dan masuk masjid oleh orang bukan Islam, isu pelantikan Dato’ Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, dan isu serbuan DUMC dan Kristianisasi di Selangor.


DHA menjadi semakin pelik apabila beliau tidak disambung tugas sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor pada Jun 2011. Walaupun beliau berkali-kali menyatakan bahawa beliau sendiri meminta supaya tidak dibebankan lagi dengan tugas sebagai Pesuruhjaya kerana kononnya berat dengan tugas exco kerajaan negeri, hakikatnya beliau begitu terkilan dengan “penurunan pangkat” tersebut. Buktinya ialah penolakkan jawatan sebagai AJK perhubungan negeri dengan pelbagai alasan remeh temeh dan kegagalan beliau untuk hadir dalam sebarang pertemuan dan program PAS negeri Selangor walaupun dijemput berkali-kali.


“Kenyataan” YB Saari Sungip berhubung status pencalonan DHA untuk PRU ke 13 merupakan alasan yang ditunggu-tunggu untuk DHA naik angin. Bukan DHA tidak tahu bahawa keputusan siapa menjadi calon dan di mana merupakan hak esklusif PAS Pusat, pihak lain hanya boleh mencadang. Tetapi beliau gunakan alasan ini untuk menghentam PAS bertubi-tubi, mempertikaikan dasar dan keputusan parti di khalayak ramai menggunakan media milik musuh, dan menyerang pimpinan parti secara terang-terangan.


Walaupun selepas itu diadakan majlis mahabbah bersama pimpinan tertinggi parti, DHA kembali menyerang dasar parti dan kini mula membabitkan rakan PR lain. Hasilnya, sepertimana semua orang tahu DHA telah dipecat daripada PAS.


Anak Bapa berpendapat PAS telah bersabar terlalu lama dengan gelagat dan kerenah DHA. DHA hanya dengar pandangan diri sendiri dan mungkin dua tiga kerat orang yang sebulu dengannya. Tidak ada istilah syura bagi DHA. Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu yang diperjuangkannya berbunyi macam UMNO, dan sememangnya hampir semua tindak tanduknya menguntungkan UMNO.


DHA mungkin ada jasa pada Islam, tetapi memang punah kalau kekal dalam PAS kerana sikapnya yang membelakangi syura dan tidak meraikan perbedaan pandangan. Cadangan Anak Bapa ialah supaya DHA cari platform lain untuk meneruskan “agenda” beliau. Pada yang begitu yakin dengan cara DHA juga dicadangkan supaya turut serta keluar PAS dan menyertai beliau. Kepada mereka yang masih mahu memberi peluang lagi kepada DHA dalam PAS nasihat Anak Bapa, lupakan saja kerana Hasan Ali tetap Hasan Ali.


Anak Bapa: Sayu apabila DHA bantai PAS habis-habisan di khalayak ramai manakala ada segelintir pimpinan PAS mempertahankan beliau ……..

No comments: