Dua hari berturut-turut akhbar Sinar Harian menyiarkan temubual mereka dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Syabas Anak Bapa ucapkan kepada pengurusan dan warga kerja Sinar kerana memberi ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menyuarakan pandangan dan perspektif beliau dalam pelbagai aspek yang menyentuh kehidupan rakyat.
Moga budaya baru yang cuba diterokai oleh akhbar ini akan dapat diperluaskan lagi bagi memberi ruang kepada pemimpin masyarakat lain yang selama ini dianaktirikan oleh akhbar arus perdana daripada mengutarakan pendapat mereka di khalayak umum.
Budaya yang cuba dibawa oleh Sinar ini bukanlah sesuatu yang pelik di negara yang mengamalkan demokrasi tulen. Kita tak perlu pergi jauh untuk melihat contoh amalan demokrasi yang dimaksudkan. Indonesia yang kita anggap baru bertatih dalam amalan demokrasi, hari ini, memberi ruang seluas-luasnya kepada rakyat untuk melontarkan pandangan dan kritikan kepada pemimpin melalui media cetak dan elektronik arus perdana, sesuatu yang kita hanya boleh impikan di negara ini selagi mana BN memerintah.
Berbalik kepada persoalan temubual tadi. Kita dapat tatapi dalam perbualan tersebut betapa lama Ustaz Abdul Hadi berkhidmat untuk rakyat dan berkorban untuk parti sedangkan "upah"nya tidak seberapa melainkan ganjaran daripada Allah swt.
Anak Bapa terpanggil untuk mengulas berhubung isu negarawan atau "statesman" yang sering diperkatakan, terutama di negara-negara yang demokrasinya amat dinamis. Negarawan merujuk kepada individu pemimpin atau tokoh masyarakat yang mengorbankan hampir seluruh kehidupan mereka bertujuan untuk membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.
Golongan ini benar-benar menunaikan amanah seperti yang termaktub di dalam perlembagaan parti dan negara, sesuatu yang mereka ikrar ketika ditawarkan sebarang jawatan. Dan yakinlah bahawa tidak ada satu parti atau negara yang demokratik mempunyai perlembagaan yang songsang, perlembagaan yang mengajar pemimpin dan ahlinya menjadi individu yang tidak amanah, kejam, dan korup.
Tetapi malangnya di negara kita amat sukar mencari insan yang berstatus negarawan. Kita punya ramai pemimpin tetapi kualiti kepimpinan mereka amat rendah untuk melayakkan diri menjadi negarawan.
Proses pemilihan pimpinan parti pun dah tercemar dengan unsur rasuah. Jika tidak ada unsur politik wang (baca rasuah), maka ada unsur fitnah atau berkem-kem. Jadi tidak hairan jika di dalam pilihanraya segala bentuk rasuah menjadi amalan biasa. Maknanya proses awal ketika baru hendak menjadi pemimpin pun dah tercemar.
Pemimpin kita amat jarang melakukan perkara yang mereka cakap sehingga menjadi momokan ramai bahawa jika cerita itu bohong maka ia dikaitkan dengan "cakap-cakap politik". Kelihatan seolah-olah orang politik diberi lesen bercakap bohong, mengumpat dan menfitnah.
Lagi satu keistimewaan pemimpin Malaysia ialah menjatuhkan lawan dengan cara membunuh karakternya (character assassination). Fitnah berunsur seks dan rasuah menjadi tajuk kegemaran mereka. Pemimpin ini tidak mempunyai keutuhan jiwa untuk mendepani kritikan dengan hujah dan dialog.
Undang-undang dicipta silih berganti untuk menghalang "musuh" politik daripada mengambil alih tampuk kuasa. Rakyat perlu diperbodohkan atau dilalaikan dengan apa saja cara yang perlu supaya mereka tidak "menggangu" urusan pentadbiran negara dan kekal menyokong mereka.
Kesejahteraan rakyat hanyalah cerita untuk musim pilihanraya semata. Memadai melontar sekali- sekala "buah-buah tangan" seratus dua ratus ringgit untuk menunjukkan prihatin pemimpin kepada rakyat sedangkan rakan taulan pemimpin sarat dengan beraneka "upah".
Maklumat perlu dikawal supaya rakyat hanya tahu yang elok-elok dan menguntungkan pemimpin sahaja. Debat terbuka secara langsung di peti tv ala debat presiden Amerika itu usah dimimpikan kerana debat yang tidak secara langsung pun amat sukar di hadiri oleh kebanyakkan pemimpin. Takut berdepan dengan rakyat kerana hidup mereka selama ini tidak amanah dan jujur.
Rakyat sentiasa diugut dengan isu perkauman dan agama bagi memastikan kewujudan parti yang berasaskan kaum kekal relevan walaupun impak kepada masyarakat amat berbahaya. Kita sudah mendengar bagaimana pemimpin yang dibakar kereta di rumah, kepala babi diletak di pintu masjid, ceramah yang berpermit diceroboh oleh samseng bermotosikal, dan sebagainya. Ini manifestasi budaya tidak bertanggungjawab yang telah disemarakkan oleh pemimpin negara sendiri.
Banyak lagi aspek yang boleh kita bicarakan berhubung aspek negarawan ini. Malangnya, lagi banyak kita kupas tentang isu ini lagi bertambah pilu hati kerana kelihatan seolah-olah kewujudan negarawan ini seperti satu mitos atau dongengan di negara ini. Mungkin Ustaz Abdul Hadi telah memulakan langkah ke alam realiti negarawan yang kita idamkan?
Anak Bapa: Salah seorang negarawan yang hebat ialah Rasulullah saw. Lihat bagaimana baginda mentadbir negara dan berhubungan dengan rakyatnya tak kira Islam atau bukan Islam, tapi kita ............
No comments:
Post a Comment