Saturday, January 28, 2012

"Third Force" Yang Mana?


Hujah awal bahawa PAS telah tergelincir daripada perjuangan dan perlu kembali ke landasan asal. Perjuangan yang sebenar ialah perjuangan memartabatkan Islam, Melayu, dan Raja-Raja Melayu (IMR). Kemudian diikuti PAS telah dikuasai oleh golongan parasit (perkataan yang dipinjam daripada blog selamatkan PAS) menyebabkan Dato’ Hasan Ali (DHA) tersingkir.


Terbaru, Malaysia perlukan satu kuasa pendesak baru, “the third force”.


Macam-macam DHA ini buat onar. Macamana biasa, beliau begitu kagum dengan kehebatannya melontarkan idea, yang dirasakan amat progresif dan relevan buat masa ini. Perjuangannya, menurut cakapnya, ialah IMR. Jiwanya IMR, hidup matinya IMR, dan seluruh nawaitunya ialah memartabatkan IMR.


Apakah yang sebenarnya beliau maksudkan dengan “the third force”? Bahasa mudah, satu kuasa rakyat lain selain daripada BN dan PR. Adakah ini benda baru? Tidak. Haris Ibrahim, Raja Petra dan kalangan para bloggers telah pun menubuhkan apa yang dipanggil “third force” bagi mendesak BN dan PR supaya melaksanakan agenda perubahan jika mahu sokongan pengundi atas pagar.


Apabila berlaku perpecahan dengan Raja Petra, Haris dan rakan-rakannya yang lain telah menubuhkan ABU (Asalkan Bukan UMNO). Di Amerika kita lihat ada usaha daripada parti lain untuk menjadi “the third force” selain daripada 2 parti gergasi, Republikan dan Demokrat. Begitu juga di Britain, Parti Liberal Demokrat cuba menjadi “the third force” selain daripada 2 parti besar, Buruh dan Konservatif.


Jadi ide DHA ini bukan baru, ia ciplak daripada orang lain. Persoalannya adakah DHA benar-benar nak menjadi sebahagian daripada “third force”? Melihat kepada rekod pencapaiannya, maaf jika Anak Bapa meragui nawaitunya.


Semasa menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor, macam-macam “blueprint” yang dia janji tetapi akhirnya blue ke mana, printnya ke mana. DHA adalah seorang ahli motivasi yang akan membuaikan anda dengan mimpi yang indah-indah hanya untuk dikejutkan kemudian dengan realiti igauan yang menakutkan.


Untuk bagi semangat mungkin boleh, tetapi nak menjadi penggerak kepada perubahan rakyat dan ketamadunan, sukar jika tidak mustahil. Apatah lagi jika perjuangan itu dikaitkan dengan UMNO dan Perkasa!


Hakikatnya “third force” DHA ini adalah sebagaimana Perkasa dan Pekida, satu lagi topeng UMNO untuk memerangkap orang Melayu yang belum terperangkap dengan Perkasa dan Pekida.


Strategi “pecah dan perintah” UMNO memerlukan mereka mencipta pelbagai jenama yang boleh “dijual” kepada pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza citarasa. Sebahagian akan tertarik dengan metod perjuangan Perkasa, sebahagian lain cara Pekida pula, sebahagian lagi dengan cara Ezam, atau cara Zul Nordin, dan sudah pasti akan ada segelintir yang akan minat “third force” atau IMR DHA. Hakikatnya “produk” mereka adalah sama kerana ia “dikilang” daripada UMNO.


DHA tak kan masuk UMNO terus kerana jika dia buat begitu maka SELURUH kewibawaannya akan tercalar dan UMNO serta DHA tak akan untung apa-apa. Jadi dengan cara “third force” ini DHA berharap untuk naikkan saham dirinya supaya dapat “ditawarkan” kepada pembida yang paling tinggi kemudian. IMR itu hanyalah alasan sahaja untuk menjustifikasikan tindak tanduknya meninggalkan perjuangan PAS.


Anak Bapa: Sekilas ikan di air …………….

Tuesday, January 24, 2012

Kerajaan Berkebajikan vs Kerajaan Berpilihanraya


Pernahkah kerajaan BN beri duit tunai kepada rakyat sebelum 8 Mac 2008? Kini kita lihat mereka macam “Santa Claus” sibuk mengagih-agihkan duit Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 setiap keluarga, duit bantuan RM100 kepada pelajar sekolah, dan RM200 baucer buku teks kepada siswa.


Walaupun kita dengar macam-macam masalah yang timbul dalam pelaksanaannya termasuk penglibatan langsung UMNO dan BN dalam pengagihannya, seolah-olah duit ini semuanya datang daripada kocek pemimpin mereka, langkah baik ini tetap kita alu-alaukan.


Berbalik kepada persoalan tadi kenapa ia berlaku hanya selepas 8 Mac 2008. Jawapannya sangat mudah kerana kerajaan Pakatan Rakyat mula beri dulu duit kepada rakyat. Di Selangor macam-macam bantuan telah diagihkan kepada seluruh lapisan rakyat termasuk bantuan air percuma, skim warga usia emas, “Jom Shopping”, hadiah masuk university, skim TAWAS dan bermacam-macam lagi bantuan langsung kepada rakyat yang selama ini UMNO tak pernah buat atau terfikir nak buat.


Di Pulau Pinang pun sama, Lim Guan Eng tak putus-putus bagi bantuan kepada kepada rakyat yang memerlukan yang selama ini dipinggirkan termasuk warga emas, sekolah dan pelajar tahfiz, guru-guru KAFA, dan sebagainya. Begitu juga di Kelantan dan Kedah dengan pelbagai program yang menguntungkan rakyat secara langsung.


Anak Bapa berpendapat inilah untungnya apabila negara mempunyai sistem demokrasi yang utuh. Tak kira siapa yang memerintah, pembangkang juga mesti kuat supaya kaedah “check and balance” dapat berjalan dengan baik. Hasilnya kita akan mempunyai barisan pimpinan yang bertanggungjawab dan amanah kepada rakyat.


Berbeza dengan pendapat sesetengah orang, demokrasi yang baik bukan bermakna kerajaan yang terlalu kuat dan pembangkang yang terlalu lemah. Hasilnya seperti pilihanraya tahun 70an dan 80an di mana BN letak calon “pokok pisang” pun boleh menang. Natijahnya rakyat yang terus menderita kerana pemimpin tak peduli sebab kemenangan mereka sentiasa pasti.


Yakinlah bahawa keistimewaan yang rakyat nikmati hari ini adalah kerana BN rasa tertekan dengan program Negara Berkebajikan Pakatan Rakyat. Jika mereka tidak mengikut pendekatan PR, BN akan punah dalam pilihanraya akan datang. Biar apa pun retorik mereka, hakikatnya BN takut kalah pilhanraya.


Rakyat kena cerdik dan pastikan pemimpin masa depan negara mesti terdiri dari kalangan mereka yang bertanggungjawab, amanah dan berjiwa rakyat. Dengan kata lain, siapa pun yang memerintah, pembangkang mesti juga kuat.


Anak Bapa: Bila PR memerintah Malaysia nanti, kita mahu BN juga jadi pembangkang yang kuat ………

Friday, January 20, 2012

PAS Kedah Perlu Elak Sikap "Double Standard"


Isu tindakan ke atas 5 mahasiswa Kolej Universiti Insaniah Kedah (KUIN) kerana berdemonstrasi kini telah berlarutan buat sekian lama. Terbaru tunjuk perasaan mahasiswa di hadapan Pejabat Agong PAS di Jalan Raja Laut anjuran Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) berhubung isu ini telah menyebabkan “luka lama berdarah kembali”.


Kenyataan yang dibuat oleh MB Kedah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN tidak berupaya meleraikan permasalahan ini malah boleh mengusutkan lagi keadaan. Kata-kata seperti “AUKU tetap dilaksanakan di KUIN” dan “Insaniah bukan hak PAS, Presiden PAS bukan ada locus standi dalam bab ni. Insaniah hak kerajaan negeri” adalah tidak wajar keluar daripada seorang pemimpin kanan yang DIBERI AMANAH PARTI untuk mentadbir Kedah.


MB Kedah sedia maklum bahawa PAS bersama PR menentang keras semua akta yang zalim dan menindas dan ini termasuk Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Akta ini, dalam bahasa mudah, digubal untuk menyekat kebebasan bersuara dan berpolitik mahasiswa.


MB Kedah juga sedia maklum bahawa konsep “parti menguasai kerajaan” bermakna kerajaan di bawah pentadbiran PAS mesti mengikut segala dasar dan arahan parti dalam pentadbirannya. Ini bermakna Dato’ Seri Azizan kena ikut kehendak parti dengan mempastikan KUIN yang di bawah tanggungjawabnya untuk tidak menggunakan AUKU dalam urusan pentadbirannya.


Janganlah beri macam-macam dalih dan alasan untuk menjustifikasikan tindakan kita. Pelbagai alasan MB telah kita dengar di muktamar PAS dan semua orang yakin bahawa ia semata-mata alasan untuk melepaskan diri.


MB Kedah janganlah terlalu berego besar macam Hasan Ali, dan tidak bersedia mengaku kesilapan dan memperbetulkan semula apa yang tersasar. Jangan lupa bahawa kesan tindakan ini bukan saja akan melanda negeri Kedah tetapi juga seluruh Malaysia. Tolong jangan buat kerja yang boleh merugikan perjuangan parti. PAS Pusat setiap hari berteriak menentang AUKU tetapi di Kedah nak beramal pula dengan AUKU!


Anak Bapa ada bercakap dengan beberapa pimpinan kanan PAS Kedah termasuk exco, dan mereka bersependapat dengan pimpinan Pusat bahawa tindakan MB Kedah adalah salah dan perlu diperbetulkan SEGERA. Tindakan melambat-lambatkan penyelesaian isu ini hanya akan mengambarkan sikap “lidah bercadang” atau “double standard” PAS Kedah (yakni MB Kedah) dan boleh membantutkan rancangan kita ke Putrajaya.


Anak Bapa: Kita pemimpin kena banyak mendengar pandangan orang bawahan, apatah lagi pimpinan sebuah gerakan Islam ……..

Tuesday, January 10, 2012

Hasan Ali Tetap Hasan Ali


Bagi mereka yang lama mengenali Dato’ Hasan Ali (DHA), tiada apa yang mengejutkan mengenai sikap dan feel beliau. Egoistik dan sarat beremosi merupakan aset utama beliau dalam apa jua tindak tanduk kehidupan. Mungkin orang kuat motivasi atau yang bertaraf PhD sememangnya begitu!


Cuma apa yang mengejutkan kita ialah perubahan sikap DHA apabila PAS (bersama rakan-rakan) berjaya memenangi Selangor dalam PRU ke 12 Mac 2008. Peringkat awalnya DHA terpalit sebagai antara pelakon utama “Kerajaan Perpaduan”, usaha pergabungan PAS dengan UMNO (walaupun muktamar PAS menyatakan sebaliknya) menyebabkan pergeseran besar dalam PAS Selangor dan juga Pusat.


Selepas itu berlaku siri pertembungan antara DHA dengan pimpinan dan dasar PAS dan juga PR lain termasuk insiden pengharaman arak di Shah Alam, isu perkauman berhubung pelantikan Pengurus Besar PKNS, “skandal” lembu korban MB Selangor, isu “penghinaan” pegawai-pegawai kerajaan dalam SELCAT, isu penggunaan kalimah Allah dan masuk masjid oleh orang bukan Islam, isu pelantikan Dato’ Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, dan isu serbuan DUMC dan Kristianisasi di Selangor.


DHA menjadi semakin pelik apabila beliau tidak disambung tugas sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor pada Jun 2011. Walaupun beliau berkali-kali menyatakan bahawa beliau sendiri meminta supaya tidak dibebankan lagi dengan tugas sebagai Pesuruhjaya kerana kononnya berat dengan tugas exco kerajaan negeri, hakikatnya beliau begitu terkilan dengan “penurunan pangkat” tersebut. Buktinya ialah penolakkan jawatan sebagai AJK perhubungan negeri dengan pelbagai alasan remeh temeh dan kegagalan beliau untuk hadir dalam sebarang pertemuan dan program PAS negeri Selangor walaupun dijemput berkali-kali.


“Kenyataan” YB Saari Sungip berhubung status pencalonan DHA untuk PRU ke 13 merupakan alasan yang ditunggu-tunggu untuk DHA naik angin. Bukan DHA tidak tahu bahawa keputusan siapa menjadi calon dan di mana merupakan hak esklusif PAS Pusat, pihak lain hanya boleh mencadang. Tetapi beliau gunakan alasan ini untuk menghentam PAS bertubi-tubi, mempertikaikan dasar dan keputusan parti di khalayak ramai menggunakan media milik musuh, dan menyerang pimpinan parti secara terang-terangan.


Walaupun selepas itu diadakan majlis mahabbah bersama pimpinan tertinggi parti, DHA kembali menyerang dasar parti dan kini mula membabitkan rakan PR lain. Hasilnya, sepertimana semua orang tahu DHA telah dipecat daripada PAS.


Anak Bapa berpendapat PAS telah bersabar terlalu lama dengan gelagat dan kerenah DHA. DHA hanya dengar pandangan diri sendiri dan mungkin dua tiga kerat orang yang sebulu dengannya. Tidak ada istilah syura bagi DHA. Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu yang diperjuangkannya berbunyi macam UMNO, dan sememangnya hampir semua tindak tanduknya menguntungkan UMNO.


DHA mungkin ada jasa pada Islam, tetapi memang punah kalau kekal dalam PAS kerana sikapnya yang membelakangi syura dan tidak meraikan perbedaan pandangan. Cadangan Anak Bapa ialah supaya DHA cari platform lain untuk meneruskan “agenda” beliau. Pada yang begitu yakin dengan cara DHA juga dicadangkan supaya turut serta keluar PAS dan menyertai beliau. Kepada mereka yang masih mahu memberi peluang lagi kepada DHA dalam PAS nasihat Anak Bapa, lupakan saja kerana Hasan Ali tetap Hasan Ali.


Anak Bapa: Sayu apabila DHA bantai PAS habis-habisan di khalayak ramai manakala ada segelintir pimpinan PAS mempertahankan beliau ……..