Sunday, November 9, 2008

"PAS Untuk Semua" atau "PAS Untuk Melayu"?

Nampaknya isu perkauman masih menjadi isu panas di negara kita. Tiada hari yang berlalu yang bebas daripada perbincangan atau polemik perkauman. Tiada hari berlalu tanpa kita dikejutkan oleh kenyataan dan ulasan yang berbau perkauman samada di dada-dada akhbar maupun media elektronik. Pendapat atau pandangan yang diketengahkan sering dibayangi unsur perbedaan ras dan warna kulit. Sesetengah pihak tanpa segan silu terus menerus menghina orang lain semata-mata kerana perbedaan keturunan atau kepercayaan orang berkenaan. Pendekata kehidupan kita rakyat Malaysia sentiasa bergelumang dengan prejudis kaum dan agama. Hubungan sesama kita sentiasa diselimuti kebimbangan kemungkinan konflik antara kaum atau agama.

Hakikatnya, fenomena ini sudah lama berlaku di negara kita. Malahan, ia menjadi senjata ampuh sesetengah pihak di dalam memastikan dominasi politik mereka berterusan. Walaupun hakikat ini dimaklumi ramai, tetapi ia tidak menghalang sesetengah pemimpin, termasuk pimpinan gerakan Islam, untuk sama-sama terbabit di dalam kancah yang membinasakan ini.

Kita semua sedia maklum bahawa UMNO dan kuncu-kuncunya di dalam BN telah sekian lama menggunakan isu agama dan kaum di dalam strategi “pecah dan perintah” mereka. UMNO ditugaskan menjaga orang Melayu, MCA orang Cina dan MIC orang India. Mereka hanya perlu mengapi-apikan semangat perkauman bangsa masing-masing apabila tampuk kekuasaan mereka terancam, untuk memastikan kaum masing-masing segera berkumpul untuk berlindung di bawah “paying keselamatan” mereka. Pendekatan ini telah seringkali digunakan oleh BN (dahulunya Perikatan) untuk menjaga kepentingan politik mereka. Ini termasuk semasa peristiwa 13 Mei, sebelum Operasi Lalang, di dalam pemberian bantuan dan kebajikan, di dalam pengisian jawatan-jawatan penting kerajaan dan syarikat-syarikat GLC dan banyak lagi termasuk ketika berlangsung PRU 12 yang baru lalu.

Walaubagaimanapun, 8 Mac 2008 mencatatkan sejarah keyakinan baru Rakyat Malaysia bahawa taktik kotor BN selama ini bukan sebenarnya untuk kesejahteraan rakyat tetapi lebih kepada usaha penerusan legasi pemerintahan tidak bermoral UMNO dan BN bertujuan menjaga kroni dan perut suku-sakat mereka. Rakyat, telah dengan berani memutuskan bahawa “enough is enough”, dan serentak dengan perisytiharan ini telah memutuskan untuk “memberi” 5 negeri kepada pembangkang (sebenamya 6 jika kita kira Wilayah Persekutuan) dan mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen Malaysia. Keputusan ini adalah satu keputusan yang amat berani, yang mungkin akan berlaku sekali saja di sepanjang hayat kita. Keputusan ini akan membawa negara ke era baru sistem berpolitik negara, di mana sistem 2 parti menjadi pilihan rakyat sebagaimana yang terdapat di United Kingdom (Parti Buruh dan Parti Konservatif) dan Amerika (Parti Demokrat dan Parti Republikan). Jika BN (Barisan Nasional) yang memerintah maka PR (Pakatan Rakyat) akan menjadi pembangkang yang kuat, dan sebaliknya jika PR menjadi pemerintah maka BN akan menjadi pembangkang yang kuat. Adalah diyakini bahwa pendekatan politik begini akan membantu memulihkan sistem demokrasi negara di samping memperbaiki hubungan antara kaum kerana rakyat kini lebih selesa dengan parti berbilang bangsa. Walaupun BN mendakwa mereka juga parti induk yang berbilang bangsa tetapi hakikatnya parti-parti komponen di dalamnya masing-masing tetap berasaskan perkauman dan lama kelamaan akan ditolak rakyat.

Justeru itu, PR mempunyai masa depan yang gemilang jika ditangani dengan betul. Walaupun ada kelemahan di sana sini, parti komponen PR tediri daripada parti-parti berbilang bangsa dan keturunan. Ini adalah satu permulaan yang baik dan menarik. Memang benar parti-parti komponen PR mempunyai ideologi yang amat berbeda antara mereka, tetapi persamaan mereka juga banyak yang boleh dikongsi bersama. Aspek keadilan sejagat, anti rasuah, keadilan sosial, anti kezaliman dan lain-lain merupakan asas kepada persamaan yang boleh mengikat kita bersama bagi berkhidmat dengan lebih cemerlang kepada rakyat. Pimpinan dan ahli-ahli PR tidak boleh “take things for granted” dan mengambil sikap sambil lewa di dalam usaha pengukuhan hubungan sesama mereka kerana pihak lawan tidak jemu-jemu mencari jalan untuk memecahkan perpaduan parti-parti komponen PR. Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah isu perkauman dan agama, yang samada kita suka atau tidak akan sentiasa menjadi senjata BN untuk memecahbelahkan PR.

PAS sebagai parti komponen yang penting di dalam PR perlu lebih ke hadapan di dalam menangani isu perkauman ini. Apatah lagi PAS adalah parti Islam yang terang-terang menolak sebarang bentuk perkauman dan pemaksaan di dalam beragama. Pendekatan “PAS for All” merupakan langkah bijak untuk kita menjuarai semangat muhibbah sesama kita. Kita semua maklum bahawa pendekatan ini bukan bermakna kita berkompromi dasar perjuangan kita atau akidah kepercayaan kita tetapi Islam yang kita bawa adalah satu agama yang pernah memerintah tiga suku dunia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama. Kejayaan pimpinan Islam dahulu di dalam pemerintahan mereka membuktikan bahawa Islam adalah jawapan kepada kemelut perkauman hari ini. Pemimpin PAS hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak di dalam perangkap perkauman yang di bawa oleh UMNO dan BN. Sebarang kenyataan dan tindakan perlulah dibuat berasaskan keadilan Islam dan bukan kerana Melayunya seseorang. Bukankah kita selalu berkata jikalau Islam kita kuat bukan saja Melayu akan selamat, malah Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain turut akan selamat. Jika itu keyakinan kita selama ini, kenapa pula ada orang kini yang percaya Melayu kena kuat dulu baru Islam akan jadi kuat?

Anak Bapa: Jika pemimpin PAS masih gagal keluar daripada kepompong nasionalis Melayu, orang-orang Melayu akan terpaksa memilih antara PAS dan UMNO. Di kala Islam bukan lagi menjadi kriteria utama, cuba teka parti mana akan dipilih oleh orang-orang Melayu ketika itu. Juga di kala itu jangan cuba menagih simpati orang-orang bukan Melayu kerana mereka sudah berkerat arang dengan PAS!!!!!!!!!

1 comment:

Unknown said...

salam... Tuan Haji,

Sebaiknye 'PAS FOR ALL'. barulah kaum lain merasai kesinambungannya. Alhamdulillah..pemimpin2 DAP baru mula merasai kemanisan persahabatan bersama pemimpin2 PAS yang ada. Harap2 perkara ini berpanjangan agar dapat memupuk ikatan perpaduan demi kesejahteraan rakyat & negara. cuma peringkat akar umbi di kampung kena diberi kefahaman agar tidak terus menerus menerima sogokan berita2 palsu dari media cetak & juga elektronik.

Ada juga para cerdik pandai di bandar seolah tertutup pintu hati tentang kebenaran PAS & PR. jika pihak kerajaan melaksanakan apa sahaja perancangan yang tidak boleh diterima pakai, ianya tiada bantahan seperti penggunaan RM5 billion wang KWSP yang nak dibuang begitu sahaja. Semuanya SENYAP saje..

Mudah2an mereka ini.. akhirnya dapat kelihat kebenaran yang tersembunyi.
InsyaALLAH...
TQ.