Saturday, May 30, 2009

Betulkah Kesetiaan Ahli-Ahli PAS Semakin Merosot?


Anak Bapa membaca dengan penuh kerisauan kenyataan Dr. Haron Din di dalam akhbar Sinar Harian hari ini. Antara katanya ialah “tahap walak (kesetiaan) ahli-ahli PAS kepada Presiden parti semakin berkurangan kerana lebih tertumpu kepada pemimpin lain dalam memperjuangkan agenda mereka.”

Anak Bapa tak tahu apa dah kena dengan pemimpin kita bertaraf ‘ulama’ ini kerana sejak kebelakangan ini asyik dok tuduh ahli-ahli sendiri macam-macam. Mula-mula Ustaz Nik Abduh menuduh penasihat-penasihat ayahnya (Tok Guru Nik Aziz) telah mempengaruhi ayahnya dengan pelbagai idea yang boleh merosakkan parti dan menambah mereka ini sebagai sesat. Kemudian diikuti pula oleh Ustaz Mohd. Daud Iraqi, mantan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dengan tuduhan bahawa ada calon-calon PAS yang akan bertanding di dalam muktamar kali ini yang mengamalkan politik wang. Apa yang anehnya apabila kedua-duanya diminta mengemukakan bukti terus ‘surrender’ kerana tak ada bukti. Jika begitu kenapa buat tuduhan yang begitu mengaibkan kepada saudara seperjuangan jika tak ada bukti. Kita kalau dah taraf ‘ulama’ kenalah jaga segala pertuturan dan perbuatan kita kerana ia menjadi perhatian dan perbualan umum, tambah lagi menjadi pemimpin kepada parti Islam. Saya yakin mereka sangat arif tentang hukum dalam Islam mengenai tuduhan palsu atau fitnah.

Hari ini pula kita didedahkan dengan satu lagi dakwaan yang amat serius yang datangnya daripada antara pemimpin tertinggi parti yakni Timbalan Mursyidul Am sendiri. Jika tuduhan ini betul, sebagaimana biasa, perlu dibawa segera bukti-bukti kukuh kerana ia amat merbahaya dan boleh membarah di dalam parti jikalau dibiarkan. Tetapi jika beliau gagal tentulah amat malang sekali kerana sekali lagi ‘ulama’ di dalam parti kita membuat tuduhan membuta tuli terhadap saudara seperjuangan.

Anak Bapa pun tak faham dengan isu walak ini walaupun dah lebih suku abad di dalam PAS. Adakah kerana berbeda pandangan atau mengkritik pemimpin itu dah dianggap walak telah kurang? Jika begitu tentulah tidak walak sahabat Nabi yang menghunus pedang di hadapan Saidina Umar ra untuk membetulkannya jika Khalifah membuat kesalahan. Adakah kurangnya walak para sahabat Nabi yang tidak bersetuju dengan teknik peperangan Nabi ketika Badar dan Uhud? Pendek kata mungkin di zaman ini kita kena wujudkan “walakmeter” untuk menyukat walak seseorang. Sebagaimana juga “thermometer” untuk menyukat suhu dan juga “altimeter” untuk menyukat ketinggian, adalah diharap “walakmeter” dapat digunakan untuk menyukat walak seseorang dan sekali gus menyelesaikan pertikaian yang telah kita polemikkan sejak sekian lama.

Buka tujuan Anak Bapa nak buat onar kepada sesiapa, cuma ingin mengingatkan kita bahawa semua pihak harus berhati-hati di dalam membuat kenyataan umum lebih-lebih lagi jika kita berstatus pemimpin dan ‘ulama’. Jikalau pun kita nak calon kita menang, biarlah berkempen dengan cara yang positif dan mengikut lunas-lunas Islam. Walak yang macamana lagi yang kita nak. Pemimpin yang bertanding jawatan-jawatan tertinggi parti saya perhatikan bukan kecik anak punya orang. Mereka dah lama di dalam parti dan telah membuktikan pengorbanan mereka samada dengan harta, tenaga dan Anak Bapa yakin malah dengan nyawa mereka sekali pun. Mereka mempunyai keistimewaan masing-masing dan telah membuktikan bagaimana mereka dapat membina jamaah dengan kepandaian masing-masing. Anak Bapa yakin jika diberi peluang, sebagaimana Ir. Nizar telah buktikan di Perak, mereka berupaya memberi lebih kebaikan kepada PAS. Janganlah isu walak ini disalahgunakan untuk menghalang orang-orang tertentu daripada menang di dalam pemilihan kelak. Jika benar ada yang tak walak, sila kemukan bukti siapa dia dan bawa ke muka pengadilan parti. “Sweeping statement” bukan saja akan merosakkan orang yang dituduh malah lambat laun akan merosakkan orang yang menuduh.

Anak Bapa: Setakat pemerhatian saya selama ini tak ada pemimpin tertinggi parti yang dok langgar arahan parti. Jika ada tolong betulkan saya dengan menyebut secara terperinci siapa orangnya dan apa kesalahannya. Jika tiada, tok sah lagi dok kata ada pimpinan yang tak walak kepada Presiden.

Satu lagi yang memeningkan kepala saya ialah keghairahan Dr. Haron Din mendedahkan angka pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden sedangkan Pengerusi Pemilihan PAS sendiri tak pernah umumkan perkara ini! Hairan pula kenapa?

7 comments:

Anonymous said...

Takkan tak perasan kut TG Haji Hadi lebih banyak mendiamkan diri dari mengeluarkan statement dan kata2nya jarang keluar dalam harakah.
Kemudian tu apabila tuan guru minta orang cabar dalam pemilihan presiden tak ada pula yang berani. Mahu tak mahu terpaksa pegang jawatan itu.

wan_jtk said...

Sampai teguran umum dari seorang pimpinan Majlis Syura Ulama pun di pertikai.

Terima sajalah, mesti ada yang tak kena tu, sebab tulah timbalan mursyidul kita tegur.

Kan berpesan-pesan dan tegur-menegur itu tanggungjawab mulia, terutamanya ulama yang nampak kepincangan dalam jemaah.

Anonymous said...

Masalahnya bukan teguran tetapi tuduhan. Dan nampak sangat berkempen hebat untuk individu tertentu sampai guna Sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama (walaupun dah 27 tahun) untuk berkempen. Pemimpin tertinggi kenalah berlaku adil, barulah disanjung.

IbnuQalil said...

Salam, bila ulama' bagi teguran semua tak kena. Lebih2 lagi ulama' yang dilihat macam pro kpd Ustaz Nasarudin. Dah la tu. PAS akan rosak kerna menghina ulama'. Nta dok kutuk Dr Haron Din, Ustaz Daud Iraqi dll, nta tu hebat sgt ka? Diam lebih baik dr nta dok kutuk2 depa. Takut nta termasuk dalm kejahilan.

Unknown said...

Hanya organisasi atau pertubuhan yang sedia menerima teguran dan kritikan saja yang akan maju dan berjaya. Kalau pintu kritikan ditutup dan tidak mahu mendengar suara akar umbi, maka jadilah apa yang telah terjadi pada UMNO sekarang ini.

Anonymous said...

Tegur menegur ini kan amalan dalam Islam sejak zaman Rasulullah lagi. Apa ulama kita ni maksum ke sampai tak boleh tegur. Jangan samakan tegur dengan benci. Tegur menegur adalah untuk kebaikan bersama. Apa punya jumud fikiran sampai ulama pun tak boleh tegur. Kena pi mengaji agama dalam-dalam lagi ....

wan said...

elokla..hang jilat la pungkok kalid samad tu
baru sama spesis ngan hang

kalau ulama..semua tak kena.
hangpa cakap saja betui..