Friday, January 1, 2010

Mendepani Perubahan di Tahun 2010


Berlalulah satu dekad di abad ke 21 tepat jam 12 tengah malam tadi. Sepuluh tahun yang lepas sarat dengan pelbagai peristiwa dan insiden yang amat menarik. Tetapi dari perspektif politik tidak ada yang lebih menarik daripada kemenangan Barisan Alternatif (yang kemudian menjadi Pakatan Rakyat dengan penyertaan DAP) dalam mengoncang hegemoni kuasa Barisan Nasional (BN) yang telah lama berakar umbi di negara kita. Keupayaan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PAS, PKR dan DAP di dalam menawan 6 negeri (termasuk Wilayah Persekutuan) dan mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Dewan Rakyat telah mencetuskan tsunami politik yang hebat sehingga mengkucar-kacirkan BN dan parti-parti komponennya. Ledakan kemarahan rakyat ini bukan sahaja telah mengorbankan Pak Lah tetapi telah menghuru-harakan parti Gerakan, PPP, MIC dan kini sayap utama BN, MCA ke tahap krisis yang tak nampak penghujungnya. Dalam perkataan lain, tsunami politik ini telah meranapkan keseluruhan “permuafakatan” BN sehingga ke peringkat UMNO, secara sendirian terpaksa melakukan apa saja untuk menyelamatkan bahtera BN.

Keadaan ini sebenarnya sangat subur untuk perubahan. PR mampu menjadi wadah kepada perubahan yang dinanti-nantikan rakyat kerana ia memiliki segala bahan-bahan ramuan yang diperlukan. Parti-parti komponennya tidak berasaskan kepada perkauman (walaupun cuba digembar-gemburkan oleh UMNO bahawa PAS parti orang Melayu dan DAP parti orang Cina), keadilan kepada semua menjadi matlamat bersama, keluhuran perlembagaan menjadi pegangan, dan ketelusan dan integriti menjadi amalan semua peringkat. Konvensyen PR yang pertama di Shah Alam baru-baru ini mempertegaskan komitmen PAS, PKR dan DAP untuk membentuk negara Malaysia yang lebih adil, demokratik dan berdaya maju. Persoalannya adakah tindakan PR akan konsisten dengan apa yang dicanang-canangkan?

Sesuatu organisasi atau parti itu adalah sebaik dan sebagus pimpinan dan ahlinya. Hasrat dan niat yang murni, walaupun merupakan permulaan yang penting, tidak semestinya akan berakhir dengan kebaikan. Parti PAS umpamanya memperincikan dengan jelas dasar dan matlamat perjuangannya tetapi jika pimpinan dan ahli memilih untuk ikut kehendak hati masing-masing maka PAS akan dianggap sebagai parti yang tak berwibawa. Sebagai contoh, jika rakyat telah dimaklumkan lebih awal bahawa PAS akan bersama dengan PKR atas dasar menolak kepimpinan UMNO/BN yang korup dan zalim dan membentuk gagasan baru yang lebih demokratik dan bersih, kenapa sebaik saja menang bersama, ada segelintir pimpinan PAS sanggup membelakangkan semangat kerjasama ini dengan “berjual-beli” dengan UMNO/BN atas alasan memelihara agenda Melayu-Islam? Persoalannya, di manakah dalam perlembagaan PAS yang menyatakan PAS berjuang atas dasar Melayu-Islam dan adakah semangat setiakawan (atau menghormati perjanjian) itu bukan prinsip Islam? Perkara-perkara yang sebegini dan yang lain yang sewaktu dengannya telah menghantar isyarat yang bercampur baur kepada rakyat (yang berbilang bangsa dan bukannya semua ahli PAS) di mana perlembagaan berkata lain sementara tindakan pimpinan dan ahli pula berlainan. Kekeliruan rakyat dan ditambah dengan putarbelit media kawalan BN menambahkan lagi krisis keyakinan mereka kepada PAS. Jadi tidak hairan jika hasil kajian mutakhir menunjukkan jatuhnya sokongan rakyat kepada PAS.

Ada yang berpandangan bahawa PAS telah hilang identiti kerana bersama PR. Golongan ini mengalami sindrom “inferiority complex” yakni sindrom kerendahan jatidiri yang amat sangat. Mereka tidak berkeyakinan kepada kekuatan Islam dan PAS dalam mengharungi perjuangan ke arah mewujudkan negara yang lebih gemilang. Mereka seolah-olah tidak yakin PAS mampu mendepani perubahan tanpa mengorbankan prinsip perjuangan. Bagi mereka mungkin agenda negara Islam dan hudud menjadi agenda utama dan perlu dipertahankan “at all cost” sehingga ke tahap mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka boleh membahayakan sokongan jangka panjang rakyat kepada PAS. Dr. Zulkifli, di dalam tulisan terbarunya dalam The Malaysian Insider, dengan cantik sekali telah menjelaskan aulawiyyat kita di dalam perjalanan menuju matlamat perjuangan. Jika kita memilih pendekatan demokrasi dalam mendapatkan kepercayaan rakyat, maka saluran yang sama kita gunakan untuk membetulkan terlebih dulu negara ini supaya “infra” demokrasi seperti keadilan SPR, kebebasan media dan profesionalisme agensi-agensi kerajaan dapat ditegakkan. Kemudian kita berpeluang memperjelaskan kepada rakyat tentang kehebatan negara Islam dan pemerintahannya secara terbuka dan ilmiah tanpa ada kebimbangan diputarbelit atau disekat. Lantaran itu, rakyat dengan sedar dan demokratik akan memilih negara Islam atas merit dan keyakinan.

Keyakinan ini kena ada pada kita. Islam bercambah di atas kekuatan ilmu, iman, amal dan akhlak dan kita dapati hari ini sangat kurang kita dalam semua aspek ini. Sesama kita pimpinan dan ahli PAS pun kita bertelagah dalam semua perkara. Perbedaan pandangan tidak ditangani dengan baik malah puak yang satu menuduh puak yang lagi satu dengan pelbagai nama yang tidak wajar semata-mata kerana berbeda pandangan. Keputusan syura terbesar yakni muktamar ditafsirkan dengan pelbagai cara untuk membenarkan tindakan sesetengah pimpinan yang terkeluar daripada landasan perjuangan. Akhlak Islam hanya menghiasi teks ucapan dan kuliah di masjid-masjid tetapi hakikatnya yang dipertontonkan kepada ramai jauh berbeda. Jadi di manakah ada kewajaran untuk rakyat terus menyokong PAS dan PR? Walaupun yang berbuat onar ini tidak ramai tetapi jika tidak dibendung akan menyusahkan semua pihak. Islam dan PAS dah cantik. Jadi tiba masanya untuk mempercantikkan pimpinan dan ahlinya pula.

Anak Bapa: Setahu Anak Bapa yang tak berubah hanya ayat-ayat Al-Qur’an, lain daripada itu semua boleh berubah. Jadi cerdiklah sedikit membuat perubahan ke arah yang lebih baik! SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH DAN 2010 KEPADA SEMUA!

1 comment:

Sha Sha said...

Nagka yang masak kalau ditutuppun akan terhidu juga baunya yang enak.