Thursday, February 23, 2012

Nabi Suruh Pertahan Bangsa Dan Raja?


Mufti Perak melalut lagi. Ini bukan kali pertama buat perangai tak senonoh. Dah banyak kali dah.

Baru-baru ini dia tuduh Najib rosak aqidah kerana melibatkan diri dalam perayaan Thaipusam di Batu Caves. Selang sehari kemudian tup tup patah balik 180 darjah tarik balik tuduhan tersebut dan berkata Najib ok sebab tidak terlibat dalam upacara keagamaan.

Kontroversi terbaru ialah dakwaan Harussani bahawa Nabi suruh kita pertahan bangsa dan raja. Dia punya kelentong bersaiz mega ni sebab nak sokong Hasan Jati. Hadis mana dia pakai kita pun tak tau.

Dr. Asri dan Dr. Juanda telah sanggah kenyataan Harussani yang mereka anggap tidak menepati sunnah Rasulullah saw. Nabi Muhammad tak pernah jadikan kaum sebagai asas kepada perjuangan baginda malahan Rasululah saw melarang kita berbuat demikian. Kalau bangsa dijadikan ukuran mana nak letak ayat "sesungguhnya yang mulia diantara kamu adalah mereka yang bertaqwa".

Sistem beraja ni sapa yang cipta, Nabi Muhammad saw ke? Adakah Nabi lantik anak baginda sendiri ganti tempatnya selepas wafat? Malahan nabi-nabi yang terdahulu pun bukan semua anak mereka turut jadi nabi. Jika ada yang jadi nabi selepas bapa mereka pun itu adalah atas pilihan Allah saw.

Boleh ke kita jamin yang anak ganti bapa ini akan sentiasa menjunjung keadilan Islam. Sejarah telah membuktikan tidak semestinya begitu. Jadi kalau dok membuta tuli mesti taat kepada raja dan pertahankan dia pula adakah ini sesuai dengan konsep ketaqwaan Islam?

Inilah jadinya bila "ulama" buat semak kerana nak harap secebis habuan daripada pemerintah. Fitnah besar pada agama. Makin lanjut umur makin mengarut. Berkawan dengan Hasan Jati tambah lagi mengarut.

Anak Bapa: Nasib baik tak ada nabi daripada kalangan orang Melayu. Jika tidak puak picisan UMNO ini akan kata Islam hanya untuk orang Melayu sahaja ...........

Wednesday, February 22, 2012

Ibrahim Ali Akan Jilat Apa Saja


Terserlah, sudah terang lagi bersuluh bahawa Perkasa di bawah pimpinan Ibrahim Ali ini adalah pecacai UMNO. Sebelum ini Anak Bapa dah cakap Perkasa ini adalah alat UMNO, muka sahaja muka NGO tetapi tubuh dan jasadnya adalah sebiji UMNO.

Apa yang diucap oleh pimpinan mereka adalah suara UMNO dan segala tindak tanduk mereka sememangnya menguntungkan UMNO. Malah sebahgian besar pemimpin dan ahlinya terdiri daripada aktivis UMNO.

Mereka menyamar sebagai NGO kerana apa yang dilakukan selama ini akan menjahanamkan terus BN. Sikap perkauman melampau mereka akan terus meletakkan parti komponen bukan Melayu dalam BN dalam keadaan tertekan daripada ahli-ahli mereka sendiri lantas membawa kepada perpecahan dalaman. Lantaran itu UMNO terpaksa bertopengkan NGO.

Terbaru majlis makan malam Perkasa beberapa hari lepas telah menjemput Rosmah suami Najib sebagai tetamu khas. Ini mengesahkan lagi sangkaan dan curiga kita kepada pertubuhan ultra-Melayu itu selama ini.

Di dalam ucapan aluannya, Ibrahim Ali tak putus-putus memuji Rosmah dengan ungkapan “we all love you”. Musim pilihanraya katakan, ramai yang nak jadi calon. Malahan beliau gamak pula cium tangan Rosmah ketika menyambut ketibaan suami Najib ini. Anda ukur sendiri tahap keperibadian katak yang bernama Ibrahim ini.

Macam-macam kita boleh buat andaian tentang sikap Ibrahim ini tetapi satu yang pasti ialah kehadiran Rosmah sebagai tetamu khas Perkasa ini meyakinkan kita dengan seyakin-yakinnya bahawa Perkasa itu UMNO dan Umno itu Perkasa. I rest my case.

Anak Bapa: Dulu ingat tak sapa yang cakap jika dia masuk UMNO semula dia akan jilat b**t*t Mahathir …..

Sunday, February 5, 2012

Malaysia Perlukan Negarawan


Dua hari berturut-turut akhbar Sinar Harian menyiarkan temubual mereka dengan Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Syabas Anak Bapa ucapkan kepada pengurusan dan warga kerja Sinar kerana memberi ruang kepada pemimpin pembangkang untuk menyuarakan pandangan dan perspektif beliau dalam pelbagai aspek yang menyentuh kehidupan rakyat.

Moga budaya baru yang cuba diterokai oleh akhbar ini akan dapat diperluaskan lagi bagi memberi ruang kepada pemimpin masyarakat lain yang selama ini dianaktirikan oleh akhbar arus perdana daripada mengutarakan pendapat mereka di khalayak umum.

Budaya yang cuba dibawa oleh Sinar ini bukanlah sesuatu yang pelik di negara yang mengamalkan demokrasi tulen. Kita tak perlu pergi jauh untuk melihat contoh amalan demokrasi yang dimaksudkan. Indonesia yang kita anggap baru bertatih dalam amalan demokrasi, hari ini, memberi ruang seluas-luasnya kepada rakyat untuk melontarkan pandangan dan kritikan kepada pemimpin melalui media cetak dan elektronik arus perdana, sesuatu yang kita hanya boleh impikan di negara ini selagi mana BN memerintah.

Berbalik kepada persoalan temubual tadi. Kita dapat tatapi dalam perbualan tersebut betapa lama Ustaz Abdul Hadi berkhidmat untuk rakyat dan berkorban untuk parti sedangkan "upah"nya tidak seberapa melainkan ganjaran daripada Allah swt.

Anak Bapa terpanggil untuk mengulas berhubung isu negarawan atau "statesman" yang sering diperkatakan, terutama di negara-negara yang demokrasinya amat dinamis. Negarawan merujuk kepada individu pemimpin atau tokoh masyarakat yang mengorbankan hampir seluruh kehidupan mereka bertujuan untuk membawa kebaikan dan kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Golongan ini benar-benar menunaikan amanah seperti yang termaktub di dalam perlembagaan parti dan negara, sesuatu yang mereka ikrar ketika ditawarkan sebarang jawatan. Dan yakinlah bahawa tidak ada satu parti atau negara yang demokratik mempunyai perlembagaan yang songsang, perlembagaan yang mengajar pemimpin dan ahlinya menjadi individu yang tidak amanah, kejam, dan korup.

Tetapi malangnya di negara kita amat sukar mencari insan yang berstatus negarawan. Kita punya ramai pemimpin tetapi kualiti kepimpinan mereka amat rendah untuk melayakkan diri menjadi negarawan.

Proses pemilihan pimpinan parti pun dah tercemar dengan unsur rasuah. Jika tidak ada unsur politik wang (baca rasuah), maka ada unsur fitnah atau berkem-kem. Jadi tidak hairan jika di dalam pilihanraya segala bentuk rasuah menjadi amalan biasa. Maknanya proses awal ketika baru hendak menjadi pemimpin pun dah tercemar.

Pemimpin kita amat jarang melakukan perkara yang mereka cakap sehingga menjadi momokan ramai bahawa jika cerita itu bohong maka ia dikaitkan dengan "cakap-cakap politik". Kelihatan seolah-olah orang politik diberi lesen bercakap bohong, mengumpat dan menfitnah.

Lagi satu keistimewaan pemimpin Malaysia ialah menjatuhkan lawan dengan cara membunuh karakternya (character assassination). Fitnah berunsur seks dan rasuah menjadi tajuk kegemaran mereka. Pemimpin ini tidak mempunyai keutuhan jiwa untuk mendepani kritikan dengan hujah dan dialog.

Undang-undang dicipta silih berganti untuk menghalang "musuh" politik daripada mengambil alih tampuk kuasa. Rakyat perlu diperbodohkan atau dilalaikan dengan apa saja cara yang perlu supaya mereka tidak "menggangu" urusan pentadbiran negara dan kekal menyokong mereka.

Kesejahteraan rakyat hanyalah cerita untuk musim pilihanraya semata. Memadai melontar sekali- sekala "buah-buah tangan" seratus dua ratus ringgit untuk menunjukkan prihatin pemimpin kepada rakyat sedangkan rakan taulan pemimpin sarat dengan beraneka "upah".

Maklumat perlu dikawal supaya rakyat hanya tahu yang elok-elok dan menguntungkan pemimpin sahaja. Debat terbuka secara langsung di peti tv ala debat presiden Amerika itu usah dimimpikan kerana debat yang tidak secara langsung pun amat sukar di hadiri oleh kebanyakkan pemimpin. Takut berdepan dengan rakyat kerana hidup mereka selama ini tidak amanah dan jujur.

Rakyat sentiasa diugut dengan isu perkauman dan agama bagi memastikan kewujudan parti yang berasaskan kaum kekal relevan walaupun impak kepada masyarakat amat berbahaya. Kita sudah mendengar bagaimana pemimpin yang dibakar kereta di rumah, kepala babi diletak di pintu masjid, ceramah yang berpermit diceroboh oleh samseng bermotosikal, dan sebagainya. Ini manifestasi budaya tidak bertanggungjawab yang telah disemarakkan oleh pemimpin negara sendiri.

Banyak lagi aspek yang boleh kita bicarakan berhubung aspek negarawan ini. Malangnya, lagi banyak kita kupas tentang isu ini lagi bertambah pilu hati kerana kelihatan seolah-olah kewujudan negarawan ini seperti satu mitos atau dongengan di negara ini. Mungkin Ustaz Abdul Hadi telah memulakan langkah ke alam realiti negarawan yang kita idamkan?

Anak Bapa: Salah seorang negarawan yang hebat ialah Rasulullah saw. Lihat bagaimana baginda mentadbir negara dan berhubungan dengan rakyatnya tak kira Islam atau bukan Islam, tapi kita ............