Wednesday, April 8, 2009

Najib Perdana Menteri Sabah dan Sarawak?


Pening kepala Najib apabila melihat keputusan PRK Bukit Gantang dan Bukit Selambau semalam. Dahlah dia baru jadi Perdana Menteri (PM) yang tidak dilantik rakyat baru-baru ini. Siap susah payah gantung permit Harakah dan Suara Keadilan dan lepas tu tarik balik kerana nak tunjuk dia pemimpin berjiwa besar. Dan nak bagi hebat lagi imej PM baru ni, lantas bebaskan pula 13 tahanan ISA yang memang tidak patut diISAkan pun (Mahathir masa mula-mula jadi PM dulu pun bebaskan lebih ramai tahanan ISA dan lepas tu dia tangkap lagi ramai)! Dalam usahanya untuk terus menerus menggilap dirinya, Najib amat berharap dia dapat sapu bersih ketiga-tiga PRK di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai. Malangnya rakyat lebih cerdik. Bukit-bukit diserahkan kembali kepada wakil Pakatan Rakyat (PR) dengan majoriti yang lebih besar dan Batang Ai di Sarawak sahaja yang dikekalkan untuk BN. Terkebil-kebil mata PM Sabah dan Sarawak yang baru ini melihat segala impian untuk permulaan yang baik sebagai PM hancur berderai.

Najib tak perlu gusar dan kecewa kerana dia jadi PM pun bukan dipilih oleh rakyat. Ahli UMNO yang berapa ribu orang itu yang pilih dia jadi Presiden UMNO. Lepas tu Pak Lah pun dengan paksa rela undur diri supaya Najib dapat rasa kerusi PM. Manalah tau kalau lambat sangat, Najib tak merasa jadi PM sebab rakyat sudah menunjukkan minat mendalam mereka untuk mengguburkan UMNO. Kadang-kadang saya pun naik pelik dengan sistem pemilihan PM Malaysia. Rakyat tidak mempunyai kuasa secara terus untuk melantik PM. Mereka hanya memilih wakil-wakil rakyat dan kuasa menentukan PM terletak pada parti politik yang menang dan mempunyai kerusi majoriti. Pelik bin ajaib! Di banyak negara lain, pemerintah ulung negara masing-masing dilantik terus melalui undi rakyat. Mungkin sudah tiba masanya kita kaji semula sistem-sistem lapuk yang masih ada di negara kita.

Rakyat telah menghantar mesej yang jelas dan nyata kepada BN bahawa mereka sudah bersedia untuk menghancurkan terus UMNO dan BN jika mereka masih kekal berperangai buruk. Majoriti yang meningkat (walaupun mungkin ada sedikit penurunan undi Melayu) menunjukkan cara dan taktik yang UMNO amalkan selama ini akan membawa mereka menuju kebinasaan. Jika pimpinan UMNO masih tak boleh baca mesej ini, saya harap ahli-ahli UMNO berusaha menyedarkan mereka daripada lamunan supaya mereka sama-sama dapat selamatkan kapal UMNO yang hampir karam. Rata-rata tempat yang saya lawati di sekitar Bukit Gantang menunjukkan kesungguhan rakyat mempertahankan demokrasi dan membela Ir. Nizar yang dianggap simbol kepada era kepimpinan baru negara. UMNO kena faham fenomena yang amat menakjubkan ini jika ingin terus relevan. Budaya rasuah, menipu, salahguna kuasa, projek mega dan memperbodoh-bodohkan rakyat sudah tidak dapat memenangkan BN lagi. Jika BN masih percaya pada pendekatan ini untuk menang pilihanraya, biar saya ucapkan ”good luck dan sayonara” kepada mereka!

Anak Bapa: Seorang kawan UMNO saya ada meminta petua bagaimana untuk memperbaiki semula UMNO. Jawapan saya mudah saja. Mula-mula bubarkan dulu UMNO. Lepas tu lantik j/kuasa protem yang terdiri daripada orang-orang yang betul-betul berwibawa dan bersih daripada segala gejala tidak sihat. Kemudian terima keahlian daripada mereka-mereka yang betul-betul bersih sahaja. Ini SAHAJA cara untuk memperbaiki UMNO. Tak ada cara lain lagi. Kita bagi petua tu untuk selamatkan UMNO kerana walaupun kita berbeda fahaman politik, kita tak mahu lihat UMNO hanya wujud di muzium-muzium kelak.

Monday, March 23, 2009

Ketam Mengajar Anak Ketam


Berdekah-dekah aku ketawa kerana tak tahan dengan lawak jenaka UMNO. Ini berkaitan dengan usaha mereka, kononnya, nak membenteras politik wang atau rasuah di kalangan pimpinan dan ahli mereka. Jika satu ketika dulu mereka telah ’kerjakan’ Isa Samad kerana dia ini dianggap mengancam orang-orang tertentu sedangkan waktu itu pun boleh kata hampir semua pimpinan dan ahli-ahli UMNO turut terlibat sama tetapi selamat daripada sebarang hukuman. Jadi alasan politik wang ini sangat ampuh untuk digunakan bagi menyekat kemaraan orang-orang daripada kumpulan lain dan secara terang-terangan digunakan kepada sesiapa saja yang tidak dikehendaki oleh orang-orang atasan UMNO.

Saya berani jamin hampir semua pimpinan dan ahli-ahli UMNO terlibat di dalam politik wang cuma yang dihukum berpilih-pilih. Ali Rustam dihukum kerana dia mengancam kedudukan Muhyiddin (yang diyakini akan tewas dengan Ali Rustam). Norza pula dihukum sebab dia dianggap orang kuat Pak Lah. Memanglah mereka ini terlibat di dalam politik wang tetapi bukankah yang lain-lain turut terlibat termasuk Khir Toyo, Khairy, dan semua yang sewaktu dengan mereka.

Bertambah kelakar lagi apabila mereka-mereka yang didapati bersalah diberi hukuman berbeda-beda mengikut selera pimpinan atasan mereka. Ada yang digantung keahlian, ada yang diharamkan daripada bertanding, ada yang bersalah tetapi hanya diberi amaran, malah ada yang didapati bersalah tetapi tiada hukuman yang dikenakan. Lebih hairan bin ajaib ialah Khir Toyo pula didapati tidak bersalah! Kesimpulannya sarkas UMNO ini akan berterusan sehingga si UMNO terjun dengan keris-kerisnya.

Di dalam kemeriahan sarkas UMNO ini, Tun Mahathir pula memberi teguran kepada ’bakal’ PM supaya jangan membuat kesilapan di dalam memilih barisan kabinet nanti dan memastikan yang bersih saja dipilih. Si Najib pula lantas membuat kenyataan bahawa beliau hanya memilih yang bersih saja untuk menganggotai kabinet beliau. Persoalannya adakah lagi orang yang bersih di dalam UMNO? Dia sendiri pun bukan setakat terpalit malah diselimuti dengan pelbagai skandal rasuah, jadi macamana nak jadi kabinet bersih?

Anak Bapa: Daripada gambaran di atas yang saya nampak memang boleh buat kabinet bersih, yakni kabinet sapu bersih .......

Sunday, March 15, 2009

Orang Melayu Bukit Gantang Ingin Kekalkan Kerajaan 'Haram' BN?


Pelbagai spekulasi dan pandangan telah dilontarkan berhubung krisis politik di Perak. Ada yang berpandangan ini kesilapan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) kerana gagal mengawal ADUN-ADUNnya lebih awal sebelum terjebak ke dalam jerat UMNO/BN. Ada pula yang berpandangan ini semua gara-gara sifat gelojoh UMNO untuk merampas kerajaan negeri Perak yang sah oleh Najib bertujuan melonjakkan namanya menjelang pemilihan pimpinan UMNO Mac kelak. Malah tak kurang juga yang berpendapat bahawa PR patut menerima hakikat “kekalahan” ini dan berusaha keras untuk menawan semula pemerintahan negeri Perak di dalam PRU ke 13 nanti.

Saya tidak berhajat untuk mengulas lebih lanjut implikasi politik dan undang-undang berhubung rampasan kuasa oleh UMNO/BN ini. Cukup untuk saya mengambil kata-kata yang diungkapkan oleh Tun Mahathir semalam bahawa UMNO telah membelakangkan perlembagaan ketika merampas kuasa di negeri Perak. Ujarnya lagi bahawa UMNO tidak mempunyai kerajaan yang sah di Perak selagi tidak mendapat sokongan majoriti ahli-ahli DUN. Seperkara lagi, bahawa jika rakyat melihat UMNO memang gemar membelakangkan undang-undang demi memenuhi cita-cita politiknya nescaya rakyat akan jemu dan benci dengan UMNO (sebenarnya rakyat dah lama benci dan muak dengan UMNO, mungkin dengan insiden ini bertambah-tambah muntah kita!!). Begitulah lebih kurang pendapat Che Det tentang gara-gara sikap buruk kerajaan haram UMNO Perak, yang mana sememangnya selari dengan pandangan kita selama ini.

Saya nak kaitkan insiden ini dengan PRK Bukit Gantang tidak lama lagi. Mengikut tinjauan yang dibuat oleh Merdeka Center terhadap 507 responden di Perak bulan lepas berhubung kesan isu di atas, terdapat beberapa aspek yang perlukan penelitian kita semua. Hasil kajian adalah seperti berikut. Sila beri lebih perhatian kepada kecenderungan orang-orang Melayu di dalam memberikan pandangan mereka.

i. Adakah mereka menerima bentuk kerajaan melalui aktiviti lompat parti?

Keseluruhan:
SETUJU (13%)
TIDAK SETUJU (41%)

Melayu:
SETUJU (25%)
TIDAK SETUJU (31%)

ii. Adakah perlu diadakan semula PRU di Perak?

Keseluruhan:
YA PERLU (52%)
TIDAK PERLU (16%)

Melayu:
YA PERLU (45%)
TIDAK PERLU (28%)

iii. Adakah tindakan pihak istana memenuhi kehendak rakyat?

Keseluruhan:
YA (29%)
TIDAK (62%)

Melayu:
YA (50%)
TIDAK (42%)

iv. Apakah bentuk penyelesaian kepada kemelut politik di Perak?

Keseluruhan:
TERIMA KERAJAAN BN (28%)
ADAKAN PRK BAGI 3 DUN (35%)
ADAKAN PRU PERAK (33%)

Melayu:
TERIMA KERAJAAN BN (51%)
ADAKAN PRK BAGI 3 DUN (26%)
ADAKAN PRU PERAK (20%)


Makluman: Keseluruhan di sini bermakna pandangan keseluruhan responden terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India manakala Melayu merujuk kepada pandangan responden kaum Melayu sahaja.

Kesimpulan daripada tinjauan ini menunjukkan bahawa rakyat, termasuk orang-orang Melayu, sebahagian besarnya tidak bersetuju dengan pembentukan kerajaan secara haram yakni melalui lompat melompat ADUN-ADUN dan betapa perlu diadakan pilihanraya semula di Perak. Tetapi apabila dibicarakan perkara berkaitan istana, adalah didapati walaupun jika dilihat sebahagian besar rakyat menolak tindak tanduk istana di dalam hal ini, orang-orang Melayu terbahagi dua berhubung dengan peranan istana yang dirasakan bertindak tidak menepati kehendak rakyat (dan kita jangan lupa tindakan ini juga tidak selaras dengan perundangan negeri!). Dan ini juga merupakan sebab musabab kenapa di dalam aspek penyelesaian kepada kemelut politik ini, majoriti orang-orang Melayu (51%) berpendapat supaya kita menerima saja kerajaan BN yang ada! Saya berpandangan ini bukan semata-mata kerana mereka percayakan UMNO tetapi lebih kepada menghormati keputusan Sultan yang bersetuju melantik MB daripada ahli UMNO. Dengan lain perkataan, sentimen feudalistik orang-orang Melayu sebenarnya masih kukuh. Nasihat saya kepada pimpinan dan petugas PRK Bukit Gantang supaya berhati-hati tentang perkara ini apabila berkempen kelak.

Anak Bapa: Kadang-kadang tak faham dengan kepala otak orang-orang Melayu. Majoriti dah bersetuju supaya diadakan semula pilihanraya di Perak tetapi cadangan penyelesaian pula minta diterima kerajaan ‘haram’ UMNO. Sakit lain, ubatnya lain???????

Tuesday, March 10, 2009

Apa Khabar Raja-Raja Kita?



Pelbagai insiden yang melibatkan institusi raja-raja kebelakangan ini menimbulkan banyak persoalan dan perdebatan mengenai peranan mereka di dalam menambah nilai sistem kerajaan raja berpelembagaan negara ini. Kehangatan ini timbul apabila ada kalangan raja-raja termasuk kerabat mereka yang dilihat mula ’campurtangan’ di dalam aspek politik dan kerajaan. Ada di kalangan mereka yang secara terbuka bercakap mengenai isu-isu yang menyentuh rakyat dan kerajaan di pentas-pentas awam. Raja Nazrin umpamanya, tanpa segan silu terus membuat teguran kepada semua pihak betapa perlunya kita kembali kepada asas perpaduan dan hubungan kaum yang berlandaskan rasa hormat dan toleransi sesama kita. Malah baginda turut membuat kritikan kepada kalangan pimpinan politik berhubung demokrasi, ketelusan dan urus tadbir yang baik dan tindak tanduk yang dianggap tidak bertamadun dan boleh menimbulkan konflik kaum yang serius.

Perubahan lanskap politik negara selepas ’tsunami’ pilihanraya umum ke 12 lepas turut mengheret raja-raja ke kancah politik di mana 2 buah negeri telah ditolak pencalunan menteri besar oleh raja dan sultan negeri-negeri berkenaan. Walau atas apa alasan sekalipun, telah tercatat di dalam sejarah bahawa raja-raja telah menggunakan kuasa mereka untuk membuat ’protes’. Tindakan ini dari segi simboliknya amat penting kerana ia membuktikan bahawa raja-raja juga ada perasaan dan pertimbangan di dalam hal-hal berkaitan pemerintahan dan kebajikan rakyat, dan mereka mempunyai ruang-ruang tertentu di dalam perlembagaan dan undang-undang yang boleh mereka gunakan bila perlu.

Persoalannya sekarang ialah setakat manakah keberanian dan kesungguhan mereka untuk membuat perubahan ini? Sememangnya diakui bahawa kuasa mereka agak terhad, tetapi di dalam keterbatasan ini sebenarnya mereka boleh membawa kesan yang besar kepada rakyat jika mereka mahu memainkan peranan mereka. Kita juga mengakui dan memahami bahawa raja-raja tidak wajar terlibat di dalam politik dan perlu mengelakkan diri dari dilihat menyokong mana-mana parti politik. Tetapi pada realitinya adakah ini benar-benar berlaku? Kita tahu ada raja-raja yang sememangnya aktif di dalam menyokong UMNO dan tidak senang dengan perubahan kerajaan di negeri masing-masing. Tetapi persoalannya adakah raja-raja berhak untuk tidak menghormati keputusan rakyat yang memilih kerajaan baru selepas mereka dah muak dengan kebobrokan kerajaan BN? Adakah raja-raja sanggup membelakangkan rakyat semata-mata untuk bersama UMNO kerana UMNO lebih cekap di dalam ’memenuhi’ hasrat dan kehendak mereka? Jika pertimbangan ini yang digunakan, kita bimbang rakyat akan lambat laun hilang rasa hormat kepada institusi raja-raja dan ini sudah tentu akan merugikan semua pihak.

Insiden di Perak umpamanya boleh diselesaikan dengan mudah. Apabila kerajaan Pakatan Rakyat cuba dirobohkan oleh UMNO dengan cara yang tidak terhormat yakni dengan membeli dan mengugut ADUN-ADUN Pakatan Rakyat, maka sudah tentu usaha menubuhkan kerajaan baru cara begini adalah jijik dan tidak bertamadun. Tambahan pula usaha menubuhkan kerajaan baru di kala kerajaan yang sedia ada masih sah perlulah dibuktikan di sidang Dewan Undangan Negeri. Jika tidak, maka mandat perlu diserahkan kembali kepada rakyat untuk menentukan samada mereka masih mahu kerajaan PR atau kembali semula kepada BN. Saranan MB kepada Sultan itu bukan saja baik untuk rakyat tetapi juga baik untuk memelihara kemuliaan institusi kesultanan itu sendiri. Saranan ini bukan saja untuk kebaikan semua malah ia adalah selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Tetapi baginda sultan telah memilih untuk mendengar cakap UMNO yang nyata bacul menghadapi rakyat dan hasilnya kita lihat hari ini kemelut politik yang tak kunjung sudah.

Saya yakin rakyat Malaysia secara umumnya amat menghormati institusi beraja dan merasakan ia satu keperluan di dalam memberi keseimbangan di dalam pemerintahan negara. Walaupun kita mempunyai peruntukan undang-undang yang mengawal peranan dan bidang kuasa raja-raja tetapi apa yang lebih penting ialah mereka perlu mengorak langkah membuat perubahan dari segi tanggungjawab dan peranan masing-masing. Jangan hanya apabila isu melibatkan mereka dan kaum kerabat mereka saja maka baru nak sibuk bersuara dan bertindak. Kita tak mahu apabila rakyat diperlakukan dengan kejam dan zalim oleh kerajaan BN seperti ketika demonstrasi jalanan aman yang lepas-lepas (yang dibenarkan di bawah perlembagaan kita) tak sepatah suara pun keluar dari mulut mereka. Juga apabila pencabulan terhadap perlembagaan seperti perlantikan hakim-hakim dan campurtangan di dalam kehakiman, maka tak juga kedengaran suara raja-raja. Kita tak minta raja-raja supaya terlibat langsung di dalam politik dan kepartian. Kita hanya minta mereka supaya berperanan sebagai payung rakyat, tempat berteduh apabila ada hujan atau panas. Kita perlukan mereka untuk berlaku adil kepada rakyat dan menjadi pembela kepada semua rakyat tak kira siapa saja yang menjadi mangsa penganiayaan dan kezaliman. Kita meminta komitmen mereka di dalam memastikan perjalanan negara berjalan lancar di atas prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan. Itu saja yang mereka perlu buat dan jika ia ditanggani dengan baik, keutuhan dan kemuliaan institusi beraja negara akan terus menjadi kebanggaan semua dan kita yakin, ia akan terus kekal relevan.

Anak Bapa: Di negara jiran kita, Thailand hanya ada seorang raja dan baginda begitu dihormati bukan kerana kemewahan dan kekuasaannya tetapi kerana keperihatinan baginda kepada rakyat. Apabila berlaku insiden yang dirasakan boleh memudaratkan rakyat, baginda akan segera mencari jalan penyelesaiannya. Cara baginda lakukan acapkali berjaya menyelesaikan kemelut politik negara berkenaan tanpa tercalar kemuliaan institusinya. Mungkin boleh dijadikan renungan bersama .......

Sunday, January 4, 2009

Sekali-Sekala Kena Tengok Juga Diri Sendiri



Sahlah calon PAS bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu ialah sahabat saya YB Mohd Abd Wahid Endut, ADUN Wakaf Mempelam. Saya juga kenal sangat anaknya yang belajar di Jordan sewaktu saya pi “berehat” selama setahun di sana dahulu. Saya tak ada apa nak komen sekadar mengucapkan syabas kepada pimpinan kerana berjaya mengenegahkan seorang calon yang bersih dan berwibawa untuk pilihanraya ini. Semoga dengan pemilihan ini akan membawa kebaikan di dalam perjuangan kita dan doa saya semoga semua pihak di dalam Pakatan Rakyat akan bekerja bertungkus lumus bagi memenangkan calon kita.

Apa yang ingin saya coretkan di sini adalah lebih kepada muhasabah sesama kita. Maklumlah kita ni mana ada yang maksum (walaupun kebelakangan ini ada pulak orang yang nak mengaku maksum, sampai nak tegur pun tak boleh …), jadi elok juga kita sama-sama merenung, belajar dan mengambil pengiktibaran. Saya dengan orang-orang Terengganu ni bukanlah jauh sangat. Malah saya pernah duduk di sana dekat setahun semasa PAS memerintah dulu. Sepanjang pengamatan saya (mungkin juga saya silap …), saya lihat gelagat sesetengah pimpinan di sana seolah-olah mereka ni hidup di alam mereka sendiri (syok sendiri?). Pandangan dan kehendak akar umbi sering mereka pinggirkan. Pentadbiran parti sabankali diabaikan. Perkara penting, sebagai contoh, membentuk kepimpinan pelapis telah tidak ditangani dengan baik menyebabkan ada kelopongan dari aspek kesinambungan kepimpinan. Justeru itu kita dapati mereka ketandusan pemimpin pelapis yang dinamik dan berwibawa, tidak seperti Kelantan. Apabila diminta menyenaraikan calon-calon yang lebih muda , “fresh” dan berketrampilan, mereka terkial-kial mencarinya. Balik-balik muka tu juga yang disenaraikan…. Bukanlah kita nak merendah-rendahkan sesiapa, tetapi sebagai sebuah negeri yang antara “terkuat” PAS, “you can do better”. Jikalau dikehendaki seorang calon yang hebat, tentu PAS Terengganu akan berupaya mengemukakan “at least” 10 calon “power” punya.

Sebagaimana yang saya sebutkan di atas, saya mempunyai begitu ramai kenalan PAS di Terengganu, samada pemimpin pertengahan dan ahli akar umbi. Mereka merayu-rayu kepada perubahan. Mereka begitu mendambakan kepimpinan baru yang lebih berwawasan. Orang-orang lama kena mula dengar dan bagi peluang pemimpin pelapis untuk menerajui Terengganu. Jasa pemimpin ahli takkan lupa. Almarhum Ustaz Fazdil, walaupun telah lama meninggalkan kita, namanya tetap disebut dan dikenang. Lagi pun perjuangan kita bukan untuk mendapatkan pujian manusia. Kalau orang tak puji pun tak apa asalkan kita telah melaksanakan tanggungjawab kita terhadap Allah swt dan Allah reda dengan kita. Tentulah jika kita dapat kedua-dua lagi baik. Jangan pula cakap berjuang lillahi taala tetapi apabila ada orang lebih layak, dia nak terus juga bergayut dengan jawatan yang ada. Silap-silap cari jalan pula nak menyekat orang yang lebih layak daripada menjadi pemimpin. Cara ni cara Islam ke? Cuba fikir-fikirkan ……

Anak Bapa: Sayang Terengganu, ahli PAS ramai pemimpin kurang ………