Tuesday, January 10, 2012

Hasan Ali Tetap Hasan Ali


Bagi mereka yang lama mengenali Dato’ Hasan Ali (DHA), tiada apa yang mengejutkan mengenai sikap dan feel beliau. Egoistik dan sarat beremosi merupakan aset utama beliau dalam apa jua tindak tanduk kehidupan. Mungkin orang kuat motivasi atau yang bertaraf PhD sememangnya begitu!


Cuma apa yang mengejutkan kita ialah perubahan sikap DHA apabila PAS (bersama rakan-rakan) berjaya memenangi Selangor dalam PRU ke 12 Mac 2008. Peringkat awalnya DHA terpalit sebagai antara pelakon utama “Kerajaan Perpaduan”, usaha pergabungan PAS dengan UMNO (walaupun muktamar PAS menyatakan sebaliknya) menyebabkan pergeseran besar dalam PAS Selangor dan juga Pusat.


Selepas itu berlaku siri pertembungan antara DHA dengan pimpinan dan dasar PAS dan juga PR lain termasuk insiden pengharaman arak di Shah Alam, isu perkauman berhubung pelantikan Pengurus Besar PKNS, “skandal” lembu korban MB Selangor, isu “penghinaan” pegawai-pegawai kerajaan dalam SELCAT, isu penggunaan kalimah Allah dan masuk masjid oleh orang bukan Islam, isu pelantikan Dato’ Khusrin sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri, dan isu serbuan DUMC dan Kristianisasi di Selangor.


DHA menjadi semakin pelik apabila beliau tidak disambung tugas sebagai Pesuruhjaya PAS Selangor pada Jun 2011. Walaupun beliau berkali-kali menyatakan bahawa beliau sendiri meminta supaya tidak dibebankan lagi dengan tugas sebagai Pesuruhjaya kerana kononnya berat dengan tugas exco kerajaan negeri, hakikatnya beliau begitu terkilan dengan “penurunan pangkat” tersebut. Buktinya ialah penolakkan jawatan sebagai AJK perhubungan negeri dengan pelbagai alasan remeh temeh dan kegagalan beliau untuk hadir dalam sebarang pertemuan dan program PAS negeri Selangor walaupun dijemput berkali-kali.


“Kenyataan” YB Saari Sungip berhubung status pencalonan DHA untuk PRU ke 13 merupakan alasan yang ditunggu-tunggu untuk DHA naik angin. Bukan DHA tidak tahu bahawa keputusan siapa menjadi calon dan di mana merupakan hak esklusif PAS Pusat, pihak lain hanya boleh mencadang. Tetapi beliau gunakan alasan ini untuk menghentam PAS bertubi-tubi, mempertikaikan dasar dan keputusan parti di khalayak ramai menggunakan media milik musuh, dan menyerang pimpinan parti secara terang-terangan.


Walaupun selepas itu diadakan majlis mahabbah bersama pimpinan tertinggi parti, DHA kembali menyerang dasar parti dan kini mula membabitkan rakan PR lain. Hasilnya, sepertimana semua orang tahu DHA telah dipecat daripada PAS.


Anak Bapa berpendapat PAS telah bersabar terlalu lama dengan gelagat dan kerenah DHA. DHA hanya dengar pandangan diri sendiri dan mungkin dua tiga kerat orang yang sebulu dengannya. Tidak ada istilah syura bagi DHA. Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu yang diperjuangkannya berbunyi macam UMNO, dan sememangnya hampir semua tindak tanduknya menguntungkan UMNO.


DHA mungkin ada jasa pada Islam, tetapi memang punah kalau kekal dalam PAS kerana sikapnya yang membelakangi syura dan tidak meraikan perbedaan pandangan. Cadangan Anak Bapa ialah supaya DHA cari platform lain untuk meneruskan “agenda” beliau. Pada yang begitu yakin dengan cara DHA juga dicadangkan supaya turut serta keluar PAS dan menyertai beliau. Kepada mereka yang masih mahu memberi peluang lagi kepada DHA dalam PAS nasihat Anak Bapa, lupakan saja kerana Hasan Ali tetap Hasan Ali.


Anak Bapa: Sayu apabila DHA bantai PAS habis-habisan di khalayak ramai manakala ada segelintir pimpinan PAS mempertahankan beliau ……..

Friday, July 15, 2011

Berjayakah Himpunan 907 BERSIH?


Walaupun Himpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai telah berlalu hampir 1 minggu tetapi cerita-cerita mengenainya masih panas dan berterusan hingga ke hari ini. Malah polemik berhubung keberkesanannya semakin rancak diperkatakan terutama di alam siber.


Pemimpin BERSIH tentu telah mula membuat penilaian sendiri samada himpunan tempohari telah berjaya atau tidak. Di samping itu pihak-pihak lain pun turut membuat analisa yang serupa.


Anak Bapa turut terpanggil untuk membuat ulasan berhubung keberkesanan BERSIH. Dalam politik jika tindakan kita membuatkan “musuh” jadi kelam-kabut, secara kasarnya, adalah satu kejayaan.


UMNO dan BN bukan saja kelam-kabut tetapi telah jelas kelihatan macam dirasuki jin dan syaitan atau dihinggapi sawan khinzir berminggu sebelum himpunan 907. Malah sampai hari ini kesan sampingannya (side effect) masih menghantui mereka.


Jika sebelum himpunan 907, BERSIH dituduh komunis, pertubuhan haram, agen asing, golongan subversif, pengacau, pemecah belah, dan segala macam tuduhan tak masuk akal lagi melalui seluruh rangkaian media nasional termasuk khutbah Jumaat secara berterusan, selepas himpunan berkenaan pula mereka memperlekehkan pula penglibatan rakyat dalam jumlah yang amat mengagumkan.


Dari segi politiknya kira dah berjaya tu. Walaupun BERSIH menganggap mereka bukan badan politik tetapi gerakan mereka adalah gerakan politik dalam konteks yang lebih luas.


Kejayaan mereka di dalam menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dari pelbagai keturunan dan peringkat umur dalam keadaan tertekan oleh tindakan polis yang lebih daripada kurang ajar penuh dengan segala intimidasi, adalah satu kejayaan yang amat luarbiasa.


Malah untuk julung kalinya intervensi oleh Yang Di Pertuan Agong dalam menyelesaikan pertelingkahan tanpa “mengharamkan” BERSIH juga merupakan saja merupakan satu kejayaan besar dan satu pengiktirafan kepada kerelevanannya.


UMNO dan BN boleh menjerit kata BERSIH gagal, polis juga boleh melolong kata BERSIH gagal, dan SPR boleh meracau bahawa himpunan ini tidak membawa apa-apa makna. Hakikat di atas sudah cukup untuk membuktikan bahawa BERSIH sudah berjaya.


Tuntutan BERSIH, yang merupakan tuntutan yang adil dan rasional dalam sebuah negara yang demokratik, walaupun belum tertunai akan ditunaikan dalam masa terdekat. Jika tidak, UMNO akan saksikan nanti satu peristiwa yang mereka tak akan lupa sampai bila-bila. Apa peristiwanya, kita sama-sama tunggu ……..


Anak Bapa: Rakyat tidak wajar takut pada kerajaan, kerajaan yang patut takut pada rakyat!

Sunday, July 3, 2011

Benci Sungguh Pada UMNO


Tiada kata yang dapat mengambarkan rasa benci dan meluat Anak Bapa kepada UMNO. Dan yakinlah bahawa perasaan yang sama dikongsi oleh ramai lagi warga Malaysia di kala ini.

Sememangnya dulu pun dah benci melihat gelagat dan feel pemimpin-pemimpin UMNO ini. Mereka ni buat negara Malaysia macam mak bapa mereka punya. Apa saja yang mereka buat semuanya betul walaupun jelas menyalahi undang-undang dan perlembagaan negara. Pemimpin-pemimpin UMNO semua berada di atas undang-undang. Tak ada mahkamah yang boleh mensabitkan mereka atas apa jua dakwaan.

Harta negara diporak-perandakan, kaut masuk kantung anak bini dan kroni mereka. Subsidi untuk rakyat dipotong-potong kononnya kerana negara begitu terbeban sedangkan subsidi untuk tauke-tauke kawan mereka terus dikekalkan.

Sejak BERSIH mewar-warkan untuk menganjurkan “Walk For Democracy”, wajah buruk UMNO makin terserlah. Ugutan demi ugutan dibuat kepada rakyat yang menyokong reformasi dalam sistem pilihanraya negara. Ramai yang telah ditahan dan ada yang direman berminggu lamanya.

Anak-anak remaja yang berpakaian baju T BERSIH turut ditahan polis. Malah yang pakai baju T kuning biasa pun ada yang ditahan asalkan mereka pimpinan PR. Berita terbaru pula mereka yang pakai baju T BERSIH di bahagian dalam pun turut ditahan.

Pemimpin BERSIH ada yang dicadang ditarik kewarganegaraan, diambil tindakan di bawah ISA dan EO (buang daerah). Dan yang terbaru BERSIH diharamkan oleh Hishamuddin Keris atas alasan pertubuhan tidak berdaftar. Entah apa lagi dia orang nak buat Allah saja yang tahu …….

Ceritanya nak minta supaya dibuat perubahan supaya pilihanraya negara kita lebih adil dan telus. Itu saja. BODOH sangat ke UMNO ni! Kenapa takut dengan pilihanraya yang bersih kecuali kau nak main kotor.

Jika SPR (baca UMNO) prihatin kepada tuntutan BERSIH sejak 2007, tentulah keadaan tidak jadi bercelaru macam hari ini. Tuntutan yang dibuat itu pun bukanlah tak masuk akal, semuanya mengikut piawaian sistem pilihanraya negara demokratik lain termasuk seperti negara jiran kita Indonesia.

Jika pemimpin UMNO cerdik, dia orang patut panggil BERSIH dan bincang elok-elok siap dengan jadual bila tuntutan mereka dapat dilaksanakan. Itu saja, selesai masaalah.

Ini tak! Digertak, diugut dan diperlakukan macam kita ni budak bodoh. Tak cukup dengan segala media digunakan untuk mencerca BERSIH, diguna pula segala pertubuhan rasis, dan guru silat untuk mengesahkan dakwaan mereka. Cara mereka ini sebiji macam diktator Arab buat pada rakyat mereka. Soalan Anak Bapa, takut sangat kenapa? Dah dok rasa nyawa politik UMNO di hujung tanduk ke?

Anak Bapa: Bye-bye UMNO dan BN ……….

Saturday, June 25, 2011

Wajah Jelek UMNO


Tak kiralah apa yang dicakapkan tentang bentuk penentangan terhadap himpunan aman BERSIH, semuanya adalah di bawah restu UMNO. UMNO sangat takutkan himpunan rakyat yang mendambakan perubahan kepada kepimpinan negara.

Umno dah sampai tahap raban dan sasau dalam menghadapi himpunan aman BERSIH 9 Julai nanti. Diciptakan ratusan NGO-NGO untuk tujuan membuat laporan polis semata. Kita tak pernah dengar nama-nama NGO ini dan Anak Bapa yakin kalau disiasat semuanya diterajui oleh orang UMNO dan rakan kerabat BN mereka.

PERKASA tu dah kita semua maklum sememangnya “sidekick” UMNO yang kerja menyepak sesiapa saja yang menentang gagasan perkauman mereka. Pelbagai ugutan mereka buat terutama terhadap orang bukan Melayu tanpa ada sebarang tindakan pun daripada pihak berkuasa. Maknanya mereka dilindungi oleh UMNO kerana polis bertindak ikut kehendak UMNO. Termasuklah juga peguam negara, SPRM, SPR dan lain-lain lagi.

Kenapa UMNO takut sangat dengan BERSIH ini. Tujuannya mulia sekali, nak lihat pilihanraya yang adil dan telus di negara kita. Kenapa nak ditentang, suka KOTOR ke? Sahlah selama ini UMNO dan BN sentiasa main kotor dalam pilihanraya.

Dia orang cakap tak payah demonstrasi, memadailah dengan berbincang. Dah hampir 4 tahun BERSIH 1.0 berlalu tetapi tuntutan dahulu sampai hari ini tak dipedulikan langsung oleh SPR, satu habuk pun tak dipertimbangkan. Dan tuntutan itu bukanlah benda ajaib kerana mereka amalan biasa di negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Buat malu kat India aje.

Matlamat BERSIH telah dicemarkan dengan pelbagai tohmahan dan pihak polis terbabit sama mengugut rakyat dengan tangkapan dan kenyataan yang memihak kepada UMNO dan BN. Anak
Bapa memang dah lama hilang kepercayaan kepada polis dan dengan apa yang berlaku kebelakangan ini lagi bertambah-tambah yakin bahawa Malaysia sememangnya sangat perlukan pemimpin baru selain daripada BN.

Apa pun Anak Bapa menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara supaya turun berama-ramai ke KL 9 Julai nanti dengan penuh tertib dan berakhlak mengikut segala arahan pimpinan BERSIH. Ubah sekarang selamatkan Malaysia!

Anak Bapa: See you there, insyAllah

Wednesday, June 1, 2011

Allahyarham Ustaz Fadhil Noor Dalam Kenangan


Salah seorang pemimpin yang Anak Bapa amat kagumi sehingga ke hari ini ialah Allahyarham Ustaz Fadhil Noor, mantan Presiden PAS. Malah tidak keterlaluan jika Anak Bapa katakan bahawa pendidikan politik dan pengalaman berjuang Anak Bapa dalam PAS, sebahagian besarnya adalah dicanai oleh Ustaz Fadhil.

Ustaz Fadhil telah mencorakkan lanskap politik yang didokong oleh Pakatan Rakyat hari ini. Beliaulah antara pemimpin ulung yang merintis jalan ke arah transformasi PAS daripada parti picisan kepada parti “mainstream”.

Kebetulan Anak Bapa terbaca satu artikel yang ditulis oleh Liew Chin Tong, Setiausaha Antarabangsa DAP dan Ahli Parlimen Bukit Bendera mengenai Ustaz Fadhil yang amat menarik dan nostalgik. Dan yang menjadikan ia lebih istimewa kerana datangnya daripada seorang pemimpin DAP dan dicetak dalam akhbar DAP, The Rocket!

PAS amat memerlukan lebih ramai lagi pemimpin yang berfikiran luas dan terbuka seperti Ustaz Fadhil jika ingin kekal relevan di negara ini dan sememangnya ramai pemimpin yang berwibawa dan berkelayakan untuk menyambung misi Ustaz Fadhil yang belum selesai ada dalam PAS.

Para perwakilan ke Muktamar Agung PAS pada hujung minggu ini kena bijak mengenal siapa mereka lantas berpeluang untuk membuat pemilihan yang tepat. Apa pun, buat pilihan yang betul demi masa depan PAS dan rakyat Malaysia!

Anak Bapa: Terharu apabila mengingatkan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor. Kehilangannya Anak Bapa sentiasa rindui. Moga roh mu ditempatkan di kalangan para solihin. Al-Fatehah …….