Wednesday, November 19, 2008

Negeri China dan Kelembapan Ekonomi



Ketika warkah ini ditulis di Lapangan Terbang Antarabangsa Shenzen sebelum bertolak balik ke Malaysia, hati masih tertanya-tanya apa berita dan ulasan yang nak dimuatkan di dalam blog kali ini. Ini memandangkan tak ada isu besar di sini kecuali suasana yang tenang dan mengasyikan, dengan rakyatnya yang rajin dan peramah bebas ke sana sini dengan relaks seolah-olah macam tak ada masaalah satu apa pun pada mereka sedangkan negara China adalah negara yang paling padat penduduk di dalam dunia di sekitar 1.3 bilion jumlahnya. Kemungkinan besar juga sebab saya tak boleh bertutur bahasa Mandarin atau membaca akhbar Cina menyebabkan skop pengetahuan saya tentang apa yang berlaku di sini juga agak terhad. Tetapi berdasarkan pemerhatian saya selama beberapa hari di sini saya yakin mereka agak tenang menghadapi kehidupan seharian walaupun ekonomi dunia sedang terancam.

Ini bukan kali pertama saya berkunjung ke China, mungkin dah 8 atau 9 kali. Apa yang saya perhatikan di Shenzen (dan juga di kebanyakan tempat di China) perkembangannya samada dari segi ekonomi atau pembangunan terus berjalan dengan teratur dan pesat tetapi budaya dan tatacara kehidupan mereka tetap terpelihara. Jikalau dulu tak ramai yang boleh bertutur bahasa Inggeris, kini pun ramai yang tak boleh bertutur Inggeris. Ini bukan bermakna mereka menganggap bahasa asing tu tak penting tetapi kebanggaan terhadap bahasa ibunda jauh mengatasi segala keperluan lain. Kemesraan mereka di dalam melayan tetamu dan pergaulan tetap hebat macam dulu walaupun kini status ekonomi mereka jauh meningkat. Ini berbeda daripada keadaan penduduk Hong Kong (yang saya lawati juga) yang nampak sangat tertekan di dalam mengejar kehidupan seharian. Kemungkinan besar penduduk Hong Kong telah terlalu lama hidup di bawah penjajahan Inggeris dan dengan itu terbawa-bawa dengan gaya kehidupan barat. Malah setiap kali datang ke China saya lebih gemar tinggal di Shenzen dan berulang alik ke Hong Kong menaiki keretapi (sekitar 1 jam perjalanan) berbanding tinggal di Hong Kong. Hotel dan makanan yang berpatutan di Shenzen dan layanan mesra penduduknya menjadikan kehidupan lebih selesa.

Satu lagi fenomena yang menarik di Shenzen ialah betapa ramai penduduk Islam yang boleh ditemui di sini. Malah restoran Piramid yang sering saya kunjungi dimiliki seorang Arab Mesir yang beristerikan rakyat tempatan. Satu lagi aspek yang saya amat kagumi tentang rakyat China di Shenzen (dan juga di tempat lain di China) ialah tiadanya prejudis terhadap orang-orang Islam. Kali pertama ketika saya kunjungi China pada tahun 1994 saya dah mula perasaan perkara ini. Acapkali saya minta nak bersolat atau makan mereka akan bersegera menyediakan tempat solat dan membawa ke restoran Islam. Malah pernah pada satu ketika apabila mereka lihat semacam ada keraguan pada diri saya samada makanan yang dihidangkan itu halal atau tidak, mereka akan bawa saya ke dapur restoran untuk diperkenalkan pada tukang masak. Di situ saya boleh uji pengetahuan tukang masak tentang halal atau tidak masakannya. Selepas 14 tahun berlalu dan peristiwa 9/11, saya perhatikan sikap mereka masih tetap sama. Layanan mereka kepada orang-orang Islam amat mengharukan sekali. Alangkah baiknya jika keadaan kita di Malaysia pun sehebat ini! Harapan saya semoga mereka akan terus begini, tidak tercalar oleh suasana ekonomi yang kelihatan semakin hari semakin buruk.

Anak Bapa: Tak pernah jemu melawat China malah jika diberi pilihan melawat Eropah atau China, saya tetap pilih China ……..

Sunday, November 9, 2008

"PAS Untuk Semua" atau "PAS Untuk Melayu"?

Nampaknya isu perkauman masih menjadi isu panas di negara kita. Tiada hari yang berlalu yang bebas daripada perbincangan atau polemik perkauman. Tiada hari berlalu tanpa kita dikejutkan oleh kenyataan dan ulasan yang berbau perkauman samada di dada-dada akhbar maupun media elektronik. Pendapat atau pandangan yang diketengahkan sering dibayangi unsur perbedaan ras dan warna kulit. Sesetengah pihak tanpa segan silu terus menerus menghina orang lain semata-mata kerana perbedaan keturunan atau kepercayaan orang berkenaan. Pendekata kehidupan kita rakyat Malaysia sentiasa bergelumang dengan prejudis kaum dan agama. Hubungan sesama kita sentiasa diselimuti kebimbangan kemungkinan konflik antara kaum atau agama.

Hakikatnya, fenomena ini sudah lama berlaku di negara kita. Malahan, ia menjadi senjata ampuh sesetengah pihak di dalam memastikan dominasi politik mereka berterusan. Walaupun hakikat ini dimaklumi ramai, tetapi ia tidak menghalang sesetengah pemimpin, termasuk pimpinan gerakan Islam, untuk sama-sama terbabit di dalam kancah yang membinasakan ini.

Kita semua sedia maklum bahawa UMNO dan kuncu-kuncunya di dalam BN telah sekian lama menggunakan isu agama dan kaum di dalam strategi “pecah dan perintah” mereka. UMNO ditugaskan menjaga orang Melayu, MCA orang Cina dan MIC orang India. Mereka hanya perlu mengapi-apikan semangat perkauman bangsa masing-masing apabila tampuk kekuasaan mereka terancam, untuk memastikan kaum masing-masing segera berkumpul untuk berlindung di bawah “paying keselamatan” mereka. Pendekatan ini telah seringkali digunakan oleh BN (dahulunya Perikatan) untuk menjaga kepentingan politik mereka. Ini termasuk semasa peristiwa 13 Mei, sebelum Operasi Lalang, di dalam pemberian bantuan dan kebajikan, di dalam pengisian jawatan-jawatan penting kerajaan dan syarikat-syarikat GLC dan banyak lagi termasuk ketika berlangsung PRU 12 yang baru lalu.

Walaubagaimanapun, 8 Mac 2008 mencatatkan sejarah keyakinan baru Rakyat Malaysia bahawa taktik kotor BN selama ini bukan sebenarnya untuk kesejahteraan rakyat tetapi lebih kepada usaha penerusan legasi pemerintahan tidak bermoral UMNO dan BN bertujuan menjaga kroni dan perut suku-sakat mereka. Rakyat, telah dengan berani memutuskan bahawa “enough is enough”, dan serentak dengan perisytiharan ini telah memutuskan untuk “memberi” 5 negeri kepada pembangkang (sebenamya 6 jika kita kira Wilayah Persekutuan) dan mengurangkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen Malaysia. Keputusan ini adalah satu keputusan yang amat berani, yang mungkin akan berlaku sekali saja di sepanjang hayat kita. Keputusan ini akan membawa negara ke era baru sistem berpolitik negara, di mana sistem 2 parti menjadi pilihan rakyat sebagaimana yang terdapat di United Kingdom (Parti Buruh dan Parti Konservatif) dan Amerika (Parti Demokrat dan Parti Republikan). Jika BN (Barisan Nasional) yang memerintah maka PR (Pakatan Rakyat) akan menjadi pembangkang yang kuat, dan sebaliknya jika PR menjadi pemerintah maka BN akan menjadi pembangkang yang kuat. Adalah diyakini bahwa pendekatan politik begini akan membantu memulihkan sistem demokrasi negara di samping memperbaiki hubungan antara kaum kerana rakyat kini lebih selesa dengan parti berbilang bangsa. Walaupun BN mendakwa mereka juga parti induk yang berbilang bangsa tetapi hakikatnya parti-parti komponen di dalamnya masing-masing tetap berasaskan perkauman dan lama kelamaan akan ditolak rakyat.

Justeru itu, PR mempunyai masa depan yang gemilang jika ditangani dengan betul. Walaupun ada kelemahan di sana sini, parti komponen PR tediri daripada parti-parti berbilang bangsa dan keturunan. Ini adalah satu permulaan yang baik dan menarik. Memang benar parti-parti komponen PR mempunyai ideologi yang amat berbeda antara mereka, tetapi persamaan mereka juga banyak yang boleh dikongsi bersama. Aspek keadilan sejagat, anti rasuah, keadilan sosial, anti kezaliman dan lain-lain merupakan asas kepada persamaan yang boleh mengikat kita bersama bagi berkhidmat dengan lebih cemerlang kepada rakyat. Pimpinan dan ahli-ahli PR tidak boleh “take things for granted” dan mengambil sikap sambil lewa di dalam usaha pengukuhan hubungan sesama mereka kerana pihak lawan tidak jemu-jemu mencari jalan untuk memecahkan perpaduan parti-parti komponen PR. Antara aspek yang perlu diberi perhatian ialah isu perkauman dan agama, yang samada kita suka atau tidak akan sentiasa menjadi senjata BN untuk memecahbelahkan PR.

PAS sebagai parti komponen yang penting di dalam PR perlu lebih ke hadapan di dalam menangani isu perkauman ini. Apatah lagi PAS adalah parti Islam yang terang-terang menolak sebarang bentuk perkauman dan pemaksaan di dalam beragama. Pendekatan “PAS for All” merupakan langkah bijak untuk kita menjuarai semangat muhibbah sesama kita. Kita semua maklum bahawa pendekatan ini bukan bermakna kita berkompromi dasar perjuangan kita atau akidah kepercayaan kita tetapi Islam yang kita bawa adalah satu agama yang pernah memerintah tiga suku dunia yang terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama. Kejayaan pimpinan Islam dahulu di dalam pemerintahan mereka membuktikan bahawa Islam adalah jawapan kepada kemelut perkauman hari ini. Pemimpin PAS hendaklah berhati-hati supaya tidak terjebak di dalam perangkap perkauman yang di bawa oleh UMNO dan BN. Sebarang kenyataan dan tindakan perlulah dibuat berasaskan keadilan Islam dan bukan kerana Melayunya seseorang. Bukankah kita selalu berkata jikalau Islam kita kuat bukan saja Melayu akan selamat, malah Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain turut akan selamat. Jika itu keyakinan kita selama ini, kenapa pula ada orang kini yang percaya Melayu kena kuat dulu baru Islam akan jadi kuat?

Anak Bapa: Jika pemimpin PAS masih gagal keluar daripada kepompong nasionalis Melayu, orang-orang Melayu akan terpaksa memilih antara PAS dan UMNO. Di kala Islam bukan lagi menjadi kriteria utama, cuba teka parti mana akan dipilih oleh orang-orang Melayu ketika itu. Juga di kala itu jangan cuba menagih simpati orang-orang bukan Melayu kerana mereka sudah berkerat arang dengan PAS!!!!!!!!!

Wednesday, October 22, 2008

Orang Islam Yang Tak Faham Islam

Dah agak lama saya tak menulis untuk blog ini. Bukanlah kerana apa, tapi malas sebab lama sangat bercuti. Mulanya bercuti selepas kematian puteri sulong saya, kemudian ke Tanah Suci mengerjakan umrah dan diikuti pula beraya habis-habisan. Bila dicongak-congak lebih daripada sebulan bercuti, sampai dah berkarat segala sendi menyebabkan nak tekan “keyboard” komputer pun payah.

Tetapi apabila menatap berita di dalam akhbar Sinar Harian (tak berapa bersinar dah kebelakangan ini) semalam, terus berderau darah saya melihat gelagat beberapa kerat orang yang mengaku Islam.


Malas atau tidak maka terpaksa tenyeh juga papan kekunci komputer apabila membaca berita “GMPS gesa kekalkan ISA, UiTM”. Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) di dalam Mesyuarat Agungnya menggesa kerajaan supaya mengekalkan kuota siswa UiTM kepada kaum Bumiputra sahaja dan mendesak terus mempertahankan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Saya tak kisah sangat cerita tentang UiTM ni kerana saya dah komen dah sebelum ini gelagat Naib Cancelor dan siswanya tetapi apa yang sangat saya bimbangi ialah sikap mereka terhadap ISA.

Telah banyak sudah diperkatakan tentang kezaliman ISA, akta yang membenarkan seseorang ditahan tanpa bicara. Akta yang pada mulanya digubal bertujuan untuk membenteras anasir subversif dan komunis telah berulangkali disalahgunakan oleh Kerajaan BN untuk menahan musuh-musuh politik mereka. Malah baru-baru ini pun ada ahli politik dan aktivis masyarakat yang ditahan di bawah ISA kerana aktiviti mereka yang mengancam BN.

Kita boleh bertengkar sampai tercabut urat-urat leher samada perlu atau tidak akta yang zalim ini. Tetapi satu hakikat yang kita kena fahami ialah ISLAM TIDAK PERNAH DAN TIDAK AKAN MEMBENARKAN UNDANG-UNDANG ZALIM SEPERTI INI DILAKSANAKAN DI DALAM SEBUAH NEGARA ISLAM. Malah ada ayat Al-Qur’an yang memberi amaran kepada kita supaya jangan cenderung kepada kezaliman kelak disambar api neraka. Bukan zalimkah namanya apabila si bapa diculik di tengah-tengah malam daripada kaum keluarganya dan disembunyikan entah di mana? Si bapa dan suami kemudian disiksa dengan pelbagai rupa dan anak isteri dibiarkan resah gelisah menunggu kepulangan mereka kadang-kadang bertahun-tahun lamanya. Bukan zalimkah namanya menahan mereka tanpa ada dakwaan dan menafikan hak asasi mereka di muka keadilan dan dibiarkan menderita di dalam tahanan sampai sesetengahnya bertahun-tahun malah berbelas-belas tahun lamanya? Bagi saya ini semua adalah zalim, zalim dan zalim. Sedangkan kita kurung binatang pun berdosa besar inikan pula mengurung manusia tanpa sebab, memisahkan mereka daripada keluarga tersayang. Macamana nak jawab di depan Allah nanti perbuatan mereka-mereka yang mengaku Islam ni!

Mereka akan berhujah bahawa ISA adalah perlu demi kesejahteraan rakyat dan negara. Tanpa ISA negara kita akan jadi kucar kacir dan perbalahan perkauman akan bertambah parah. Pelik hujah sebegini datang daripada mereka-mereka yang mengaku Islam. Kalau boleh saya nak tengok satu hari nanti ada di kalangan kaum keluarganya yang kena tahan di bawah ISA supaya dia orang boleh rasa betapa zalimnya undang-undang ini. Bukankah kita ada undang-undang yang lebih adil di mana mereka-mereka yang disyaki bersalah akan didakwa di mahkamah dan di situ mereka berpeluang membela diri. Jika mereka salah barulah dihukum dan jika tidak mereka perlu dibebaskan. Orang yang perlukan ISA adalah mereka yang bacul, memiliki jiwa yang kerdil, yang tidak berani menghadapi lawan dengan cara “gentleman” dan sememangnya memiliki ciri-ciri kepimpinan diktator.

Pendek kata pusing macamana pun ISA tetap zalim dan tidak relevan. Orang-orang yang menyokong pelaksanaannya pun ikut sama-sama zalim dan tidak relevan.

Anak Bapa: Selagi UMNO dan BN masih dok memerintah Malaysia selagi itu ISA akan mereka terus daulatkan. Tok sah mimpi mereka nak hapuskannya pasal UMNO/BN sememangnya berjiwa kerdil dan bersifat diktator……..

Monday, September 29, 2008

Ucapan Selamat Hari Raya 'Idul Fitri

Ribuan maaf saya panjangkan kepada semua kerana hampir 2 minggu tidak membuat sebarang “posting” ke dalam blog saya. Sebaik saja saya menulis artikel yang lepas, saya terus ke Madinah dan Mekah bagi menunaikan ibadah umrah dan iktikaf di Masjidil Haram. Alhamdulillah saya selamat tiba semalam selepas 2 minggu melalui pengembaraan rohani yang amat mencabar dan mengasyikkan. Moga-moga Allah menerima ibadat dan taubat kita semua ……

Saya sempat meneliti semua komen daripada anda semua dalam artikel saya yang lepas. Saya rasa sungguh-sungguh terharu di atas sokongan dan doa anda semua. Ini adalah antara azimat yang memberi kekuatan kepada kami sekeluarga di dalam menghadapi hari-hari yang mendatang. Berhubung permintaan daripada beberapa orang pengunjung blog saya, insyAllah akan saya layani di dalam sedikit masa lagi. Ini kerana kesibukkan menguruskan beberapa “backlog” yang bertimbun selepas “hilang” selama 2 minggu. Maaf dan harap bersabar.

Alangkah indahnya kehidupan yang mendakapi kebesaran Allah. Umrah yang saya buat untuk Kakak Hajar begitu bermakna sekali. Detik-detik masa yang saya lalui di sana merupakan butir-butir mutiara yang amat bernilai di dalam menebus hari-hari kehidupan akan datang. Masa di sana juga diguna untuk menilai semula kehidupan dan memperbetulkan prioriti (aulawiyyat) agar asas dan perjalanan hidup menjadi lebih kemas dan kukuh. Permintaan doa daripada rakan-rakan semua telah saya tunaikan. Moga-moga Allah menerima segala doa dan munajat kita.

Sementara itu saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya ‘Idul Fitri, Maaf Zahir dan Batin, Kullu ‘am wa antum bi khair. Banyaklah kita bertakbir dan bertahmid menjelang hari yang amat bermakna ini. InsyAllah saya sekeluarga akan pulang ke Perlis hari ini dan akan kembali selepas seminggu. Sehingga itu salam perpisahan dan insyAllah kita berjumpa lagi ….

Sunday, September 14, 2008

Puteriku Siti Hajar - Permata Hati Ayah Dalam Kenangan


Hati mana tak akan pilu apabila anak tersayang diambil di kala kasih sayang sedia terbelai. Perasaan mana tidak hiba apabila permata hati dirampas ketika dalam dakapan mesra. Emosi mana yang tidak terganggu apabila insan harapan ghaib dalam sekelip mata. Mungkin rintihan ini dek kerana “emotional outburst” yang melulu dan tidak terkawal. Tetapi hakikatnya itulah perasaan seorang ayah yang kehilangan anak tercinta ……

Tanggal Isnin 8 September 2008, di kala umat Islam sedang asyik mengerjakan solat sunat Tarawih, puteriku Siti Hajar dalam diam-diam dijemput menemui PenciptaNya. Umurnya yang baru menempuh 23 tahun, pelajar tahun 1 UIA di dalam bidang Bahasa Arab dan memiliki tubuh badan yang sihat bukanlah merupakan alasan untuk memanjangkan usianya. Saat dan ketika puteriku dah sampai, dan sebagaimana janji Allah swt, 1 saat pun tidak akan ditangguhkan apabila ajal dah tiba. Aku pasrah kepada ketentuan Ilahi …….

Kakak, begitulah ia membahasakan dirinya, tidak pernah sakit lebih daripada 2 hari lamanya sebelum ini. Itu pun jarang berlaku. Kakak seorang yang sihat dan aktif di dalam kerja-kerja jamaah dan pelajaran. Secara tiba-tiba Kakak terkena sakit ruam di seluruh badan lebih kurang sebulan yang lalu. Aku ubati Kakak sebagaimana biasa. Ruamnya sembuh tetapi sendi-sendi kakinya pula rasa sengal dan sakit. Ujian darah di SJMC menunjukkan Kakak mengidap “Rheumatoid Athritis” yakni radang sendi di peringkat awal. Menurut doktor yang mana juga aku persetujui, ia hanya kecil, mudah sembuh dan tidak merbahaya. Kakak mengambil ubat-ubatan secara alopati, homeopati dan juga rawatan secara Islam. Hasilnya Kakak hampir sembuh 2 minggu kemudian. Apa yang peliknya, kebiasaan manusia apabila penyakitnya makin sembuh maka tahap kecergasannya pun semakin meningkat. Tetapi tidak dengan Kakak. Kecergasannya semakin menurun walaupun penyakitnya semakin sembuh. Ini yang membingungkanku dan semua orang ……

Lebihkurang 1 minggu yang lepas, Kakak tiba-tiba demam. Demam biasa saja, suhu tinggi sikit dan diiringi dengan batuk dan cirit-birit. Walaubagaimana pun keadaannya tidaklah begitu membimbangkan, musim demamlah katakan …..

Hari Isnin, ketika aku sibuk bersiap untuk ke tempat kerja pada sebelah pagi, isteriku memaklumkan bahawa Kakak merasa sedikit penat hari itu. Aku jenguki Kakak dan mendapati ia sedang berbaring relaks. “Nampak biasa saja,” bisik hati ku lantas bergegas ke tempat kerja. Di sekitar pukul 6.30 petang aku pulang dari kerja dan terus menjenguk Kakak. Pelik hari tu kerana Kakak tidak berbaring di biliknya sebaliknya memilih berada di bilik tetamu. Sebaik aku masuk, terpandang keadaan penat Kakak yang agak melampau sehinggakan kepala dan tangannya tergoyang-goyang di luar kawalan. “Ini sangat serius,” bentak hatiku. Saya cadangkan kepada Kakak supaya kita ke klinik tetapi Kakak menolak dengan lembut. “Kakak tak taulah ayah, Kakak penat betul hari ini. Boleh tak esok saja kita pergi klinik?”,ujarnya dengan nada yang amat memilukan. Hatiku bagai disiat-siat melihat keadaan Kakak. Aku angguk kepala tanda setuju. Aku duduk di sisinya lantas memegang dan mengusap tangan dan muka Kakak. Suhu badan normal, sendi-sendinya pun sudah tidak sakit lagi dan batuknya pun telah ghaib entah ke mana. Kakak berkata ia semakin sihat. Peluhnya keluar mencurah-curah dan ia berselera sekali makan. Walaupun ketika aku amati wajahnya dalam-dalam kelihatan seolah-olah ia seperti nazak tetapi aku cuba nafikan hakikat ini kerana keadaan fizikalnya tampak semakin baik. Baru aku sedari kemudian bahawa Kakak bukan penat biasa tetapi nyawanya semakin pendek dek ditarik perlahan-lahan oleh Malikul-Maut.

Aku berbual-bual mesra dengan Kakak sambil ia memegang erat tangan ku. Apabila aku menarik tangan untuk pergi bersiap berbuka puasa, Kakak merayu supaya aku tunggu sekejap lagi bersamanya. Aku berjanji akan kembali menemani Kakak selepas berbuka puasa di masjid. Sekembali aku dari masjid aku dapati Kakak semakin ok, siap senyum lagi dan meminta ayah pergi bertarawih ke masjid. Dia dah sembuh, katanya. Aku pergi bertarawih dengan agak ceria apabila mendengar pengakuan Kakak. Telepon bimbit pun tidak “bervibrate” ketika solat bermakna semua ok di rumah.

Ketika aku berada 100 meter dari rumah waktu pulang bertarawih, tiba-tiba telepon bimbit berbunyi. “Cepat bang anak kita tak mahu bangun!”, jerit isteriku. Menurut isteriku kemudiannya, selepas aku ke masjid, Kakak minta nak solat segera selepas azan Isya. Selesai solat ia meminta kebenaran maknya untuk berbaring relaks buat seketika. Maknya pun bersetuju dan membiarkan Kakak berbaring sambil ia sendiri menunaikan solat tarawih berhampiran dengan Kakak. Selesai solat witir isteriku berpaling ke belakang dan mendapati Kakak sedang berbaring tidak bergerak-gerak. Ia lantas cuba membangunkannya tetapi Kakak tetap membisu…..

Aku periksa nadinya, cuba mengesan bunyi nafas dan degupan jantungnya, tapi tiada. Aku cuba lakukan CPR, dan sebaik saja aku tiup di mulutnya udara mudah saja sampai ke paru-paru seolah-olah aku sedang meniup melalui straw ke dalam belon. Ini membuktikan bahawa Kakak sudah pergi, pergi selama-lamanya …..

Aku tidak mahu menghampakan isteriku. Lantas aku ajak abang ipar ku untuk mengangkat Kakak ke dalam kereta dan segera menuju ke pusat perubatan berhampiran. Sebaik tiba di pusat perubatan berkenaan, doktor di bahagian kecemasan hanya mengambil masa 10 minit untuk mengesahkan apa yang kami amat takuti, yang Kakak telah pun meninggalkan kita lebih setengah jam yang lalu. Air mata semua berguguran tak tertahan-tahan lagi. Aku cuba gagahi bertahan. Sebagai ayah aku kena pujuk ahli keluarga lain. Bagaimana dapat aku lakukan tugas ini jika aku turut sama terheret di dalam pesta air mata. Berterusan doaku semoga aku diberi kekuatan untuk menghadapi ujian yang amat hebat ini. Alhamdulillah makbul …..

Doktor tidak tahu nak tulis kematian mengejut ini disebabkan oleh penyakit apa. Umur muda dan tidak ada sejarah sebarang penyakit merbahaya. Dia meminta saya bersetuju dihantar ke hospital kerajaan untuk dibedahsiasat. Aku merayu dan merayu supaya jenazah puteriku tidak disiksa begitu rupa. Berkat doa dan pertolongan semua, sekali lagi Allah swt makbulkan doaku. Jenazah Kakak sedia untuk dibawa pulang ke rumah. Di saat itu pusat perubatan sudah dibanjiri oleh saudara dan rakan yang datang untuk berkongsi sedih. Di sekitar 1.30 pagi, jenazah Kakak sudah ada di rumah menunggu esok untuk dikebumikan. Ayah dan makku di kampong sudah luluh di dalam tangisan hiba. Mereka segera bertolak dari Perlis untuk bersama berkabung bersama keluargaku. Rakan taulan dan saudara mara tidak putus-putus berkunjung ke rumah ku sehingga ke subuh. Pukul 11 pagi Kakak dimandi, dikapan dan disolat jenazah (yang aku imami) sebaik saja selesai solat zohor. Menurut sorang Pak Aji yang tinggal berdekatan masjid mengakui bahawa ini adalah sejarah kehadiran paling ramai makmum bersolat jenazah sejak masjid ini mula dibuka. Rezekimu Kakak ……

Kakak selamat dikebumikan di Seksyen 21, Shah Alam sekitar jam 3.00 petang. Ayahku sendiri yang membuat tazkirah dan doa selepas selesai upacara pengkebumian. Kami sekeluarga pulang, pasrah kepada ketentuan Ilahi bahawa Kakak telah pergi buat selama-lamanya menemui allah rabbuljalil.

Ramai teman bertanya bagaimana aku boleh begitu “cool” menghadapi saat-saat kematian puteri sulong tercinta. Jawapannya mudah, kerana kekuatan yang Allah beri kepada ku. Kakak pergi dalam keadaan yang paling baik yang boleh kita minta. Ia anak yang sentiasa patuh kepada ibubapa, berakhlak mulia, sentiasa menjaga kehormatan diri dan ibadat. Malah ketika berbaring, lidahnya tidak lekang membaca Al-Qur’an dan berwirid. Kakak adalah insan yang mudah bertolak ansur dalam bab keduniaan. Jawapannya sentiasa,”Ikut suka hati ayah …..”. Walaubagaimanapun, Kakak begitu tegas dalam bab agama. Berapa kali bapa saudaranya ditegur kerana masih merokok. Kakak diberi pendidikan agama sejak kecil sehingga di Universiti, samada di sekolah atau di rumah. Kakak seorang yang rajin di dalm kerja-kerja jamaah dan memang memiliki jiwa pemimpin. Kehadiran ramai temannya dari UIA membuktikan hakikat ini. Di samping itu Kakak sangat cemerlang di dalam pelajarannya. Beberapa hari selepas meninggal dunia, kami menerima sepucuk surat daripada UIA memaklumkan Kakak tersenarai di dalam Senarai Dekan kerana kecemerlangan akademiknya. Saya menyaksikan sendiri banyak tanda-tanda kurniaan Allah kepada Kakak. Bilik tempat Kakak meninggal dunia harum semerbak bau bunga-bungaan (sehingga ke hari ini) walaupun kita tak pernah bawa masuk sekuntum bunga pun ke dalam rumah. Waktu dimandi jenazahnya oleh maknya tak ada sedikit najis apa pun keluar darinya. Wajahnya puteh berseri-seri, lembut ayu dan tersenyum seolah-olah seperti sedang tidur. Kombinasi semua ini dan banyak lagi memberikan seribu alasan untuk kami lebih gembira daripada bersedih di atas pemergiannya. Namun sebagai ayah, kehilangan Kakak tetap dirasai dan dirindui. Kakak telah membawa bersama secebis hati ayah yang tak mungkin dapat ayah perolehi kembali di dunia ini. Ayah sayang kepada Kakak dunia hingga ke akhirat ……..

Anak Bapa: Moga Allah cucuri ruh Kakak dan ditempatkan di kalangan orang yang solihin …….