Saturday, January 30, 2010

Sayang Seribu Kali Sayang


Anak Bapa diminta YB Khalid Samad menjadi wakil beliau untuk menerima keputusan J/Kuasa Displin PAS semalam. Tak tahu kenapa diri yang tak seberapa ini diminta oleh YB Khalid kerana amanah ini amat berat untuk dipikul. Tetapi apabila permintaan datangnya daripada sahabat seperjuangan yang Anak Bapa telah kenali suku abad lamanya, tentulah sukar untuk menolaknya. Apatah lagi beliau bukan sengaja tak nak hadir tetapi terpaksa ke Arab Saudi bagi membantu isterinya yang akan mula bertugas di sana dan di samping mengerjakan umrah. Dah lama YB Khalid merancang pemergian ini dan tentulah sukar untuk ditangguh. Moga-moga tak ada yang beranggapan bahawa beliau lari ke sana kerana takut menghadapi keputusan J/Kuasa Displin.

Takut adalah perkara terakhir yang kita boleh andaikan daripada YB Khalid. Anak Bapa telah lama mengenali beliau malah kumpulan usrah kami ketika di England adalah kumpulan usrah yang sama (tahun 70an walaupun beliau jauh lebih senior daripada Anak Bapa) dan kemudian bersama dengan beliau dalam PAS sebaik kembali ke tanah air. Kami ini boleh dianggap generasi era permulaan “kepimpinan ulama” atau generasi pra “peristiwa Memali”. Walaupun kami bergerak di dalam PAS di tempat yang berbeza tetapi hubungan kami tidak pernah putus. Ketika YB Khalid menjadi YDP PAS Kawasan Lembah Pantai di era Ustaz Nakhaei menjadi Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Anak Bapa menjadi AJK Kawasan yang sama. Seterusnya apabila beliau berpindah ke tempat lain maka Anak Bapa menggantikan beliau menjadi YDP PAS Kawasan Lembah Pantai. Masa tu PAS Lembah Pantai terkenal dengan Pak Din Hancur (al-fatihah kepada arwah pejuang yang gigih ini). Semasa pergi belajar bahasa Arab di Jordan pada awal tahun 2000, kami masing-masing bawa keluarga ke sana selama setahun (cuma jangan tanya dah boleh cakap Arab ke belum).

Anak Bapa akui memang mempunyai hubungan yang akrab dengan YB Khalid (juga dengan YAB Nizar yang se usrah di England dahulu). Tetapi bukan itu yang menjadi sebab utama kenapa Anak Bapa sangat menghormati beliau. Keberanian, kegigihan, istiqamah, dan kecerdikan beliau menjadikan dirinya satu-satunya aset yang sangat bernilai kepada mana-mana organisasi yang disertainya. Cuba kita lihat cara beliau berhujah, samada di parlimen atau dengan puak-puak UMNO, amat sukar untuk dipatahkan kerana persediaan rapi dan kebijaksanaan beliau dalam mematah hujah lawan. Jika tidak tentulah UMNO Selangor tidak akan menjadikan YB Khalid musuh nombor 1 mereka sehingga sanggup memijak-mijak gambar beliau dan membuat pelbagai laporan polis terhadapnya. Agak pelik juga di kala pimpinan kita yang diserang bertubi-tubi oleh musuh ketat kita, kita pula turut tambah hukuman ke atasnya!

Dalam pengamatan Anak Bapa, tidak ada istilah takut pada YB Khalid. Beliau pernah kena ISA, bertanding pilihanraya banyak kali dan kalah, dan sentiasa sedia berhadapan dengan sesiapa saja dalam debat dan forum dan di mana saja. Kehebatan beliau berhujah dan berdebat di Parlimen adalah “phenomenal” dan “captivating”. Ini adalah aset jamaah yang perlu digarab, dipupuk dan disalurkan ke tempat yang betul. Tetapi apa boleh buat, cara kita menguruskan jamaah dan sumber manusia amatlah menyedihkan. Kita masih memilih pimpinan berdasarkan “orang kita” dan bukan kerana kemampuan dan kepakaran individu berkenaan. “Serahkan urusan kepada ahlinya” hanya menjadi retorik dan tidak menjadi amalan Islam dalam kehidupan kita.
Anak Bapa hanya dibenarkan membuat rayuan bagi mengurangkan hukuman kepada YB Khalid (mitigating speech) dan tidak dibenarkan memberikan sebarang bukti-bukti baru bagi menyokong beliau. Kemudian selepas berehat 10 minit maka hukuman telah dibaca kepada Anak Bapa untuk disampaikan kepada YB Khalid. Bab ini semua dah sedia maklum.

Sejak semalam Anak Bapa menerima banyak sms dan panggilan daripada pelbagai pihak dengan pelbagai ulasan mengenai keputusan J/Kuasa Displin. Satu yang pasti, tak ada yang menyokong, malah Anak Bapa sendiri pula yang kena marah. Hari ini dalam blog-blog, antaranya di sini, di sini, di sini dan sini (malah banyak lagi), kita dapati cemuhan dan kritikan keras kepada PAS berhubung isu berkaitan. Anak Bapa tak boleh komen lebih-lebih nanti kena tindakan displin pula atau dituduh tak wala’. Cuma untuk penambahbaikan, ada beberapa perkara yang pimpinan atasan perlu belajar daripada peristiwa ini dan perlu ambil perhatian:

i. Satu siasatan bebas secara menyeluruh perlu dibuat segera bagi mengenalpasti penglibatan pimpinan semua peringkat dalam sebarang gerak kerja atau kerjasama dengan UMNO supaya isu berkaitan dapat diselesaikan “once and for all”.

ii. Sebarang pembentukkan J/Kuasa Displin perlu diteliti keahliannya supaya mereka benar-benar bebas dan layak.

iii. Tindakan segera adalah perlu daripada PAS Pusat berhubung aduan dan cadangan daripada pimpinan bawahan. Salah satu hujah YB Khalid ialah beliau telah bersabar dengan kaedah “saluran parti” untuk sekian lama tetapi tidak ada tindakan yang sewajarnya daripada pimpinan atasan untuk menyelesaikan masalah.

iv. Cara pelantikan pesuruhjaya negeri-negeri perlu dikaji semula, mungkin juga dengan melibatkan YDP kawasan-kawasan kerana acapkali terjadi pesuruhjaya yang dilantik tidak mewakili aspirasi kawasan-kawasan.

Anak Bapa cukup serba salah dengan keputusan J/Kuasa Displin semalam. Walaupun akur tetapi ada benda yang mengganggu perasaan dan emosi diri. Anak Bapa yakin sebahagian besar kita merasainya. Kita tidak bimbang dengan YB Khalid kerana beliau jenis “fighter” yang insyAllah akan terus kukuh dan istiqamah dalam perjuangan. Tetapi PAS, adakah kita menghantar mesej yang betul? Rasanya sayang seribu kali saying, kita terlepas peluang.



Anak Bapa: Sedang menghitung bahana keputusan semalam ……….

5 comments:

IbnAbdHalim said...

Assalmualaikum!

Sayang seribu kali sayang, orang yang lebih bersalah hanya diberi amaran. J/K Disiplin nampaknya kurang teliti. Salah Khalid ialah kerana membela parti dan PR tapi salah Hasssan Ali telah memudharatklan parti dan PR.

nick said...

Frankly, I won't be surprised that in the next GE, rakyat will sideline PAS all together. Rakyat will still vote PR but rakyat will make sure that PAS will get as little representation as possible (either in DUN or in Parliament) to ELIMINATE any possibility PAS being courted and turned by UMNO and BN ( a deterrent). Only by making sure PAS has a marginal and insignificant reps in DUN and MPs, UMNO is deterred from making overture to PAS (no value to deal, that's the point). ACTUALLY THIS IS A WARNING TO PAS. WE THE RAKYAT CAN DO THIS. IT'S NO LONGER ABOUT PAS, PKR OR DAP BUT IT'S ABOUT RAKYAT'S INTEREST. IF WE HAVE TO VOTE INDEPENDENT CANDIDATES THEN SO BE IT! PR IS ON BORROWED TIME AND SUPPORT. UMNO AND BN, THEIR TIME IS UP! MAKE NO MISTAKE, WE THE RAKYAT WILL NOT TAKE ANYMORE CRAP FROM WHOMEVER STUPID ENOUGH TO TRY! COME GE 13, STUPIDITY WILL BE REWARDED WITH HUMILIATION!

Kapten Zero said...

Zaman sekarang Pas dah rasa selesa sangat; sebab itu Allah tidak benarkan PAS memerintah Malaysia kerana Tenaga Dan Ulamak nya yang masih kebenggongan dan kebodohan yang amat nyata; belum lahir seperti Ayatullah Khomeini. dan Ularmak yang ada hanya tempelan belum layak menterjemah Islam sebagai Addin. Maka biarlah UMNO yang Tadbir sebagai nasionalis tanpa merosakkan islam dengan kalimah Allah rabbuljallill. Pas Misti menpunyai kebijakkan dan cerdikpandaikalangan pimpinannya yang istiqhamah dengan islam ; hidup penuh zuhud dan kesederhanaan, malam penuh dengan zikir dan munajat kpd Allah; Apa yang berlaku 80% YB dan pimpinan kahwin 2 dan 10% kahwin 3 jadi masa terbuang dok layan nafsu bini muda baik siang atau malam dan tak wujud zikir, tahajjud, usrah dan perbincangan diklangan ahli Pas. Rakyat nak jumpa pun susah. Badan umur 50 dan 60an kalau layan nafsu taklarat nak fikir benda2 baik. Ini baru saya bangkit hal pemimpin berbini ramai dan kesan banyak lagi yang buruk2. Belum sentuh hal berebut harta; pangkat2 ; bergaya dgn kereta mewah ; semuanya sama seperti UMNO cakap saja ularmak dan islam habih tak terjaga.Nama ALLAH pun ulamak kita tak sepakat dan boleh disanggah oleh yb yang belajar sekular; ini menunjukkan ularmak kita ditahap paling bawa dari penjaga gereja.

Anonymous said...

Asyik gaduh sesama ahli jer. Tungu la PRU nanti...tau la cam mana kami rakyat bawahan ni nak ajar. Walaupn kami amat benci ngan UMNO/BN..tapi kami akan tetap pangkah UMNO/BN. Nak buat cam mana pemimpin PR asyik gaduh n gila gelemor jer. Da bagi peluang da pn..tpi perangai tak ubah. Ayohh rakyat gombak tolak HASSAN ALI..Frusttttttttt...frustttt n fed uppppppp

Anonymous said...

Asyik gaduh sesama ahli jer. Tungu la PRU nanti...tau la cam mana kami rakyat bawahan ni nak ajar. Walaupn kami amat benci ngan UMNO/BN..tapi kami akan tetap pangkah UMNO/BN. Nak buat cam mana pemimpin PR asyik gaduh n gila gelemor jer. Da bagi peluang da pn..tpi perangai tak ubah. Ayohh rakyat gombak tolak HASSAN ALI..Frusttttttttt...frustttt n fed uppppppp