Saturday, February 6, 2010

Perihal Saluran Yang Tersumbat



Mungkin ramai yang tidak menyedari betapa pentingnya saluran air atau longkang-longkang yang bertaburan di pinggiran jalanraya kita sehinggalah hujan turut lebat dan kita dilanda banjir kilat. Bayangkan pula kalau saluran badan kita pula yang tersumbat, merana hidup jawabnya. Jadi apabila bercerita bab saluran ini kita kena berhati-hati sebab kalau setakat ada saluran tetapi sentiasa tersumbat padahnya lebih kurang sama sahaja.

Begitu juga cerita tentang satu lagi jenis saluran iaitu saluran parti. Mana-mana organisasi akan mendakwa mereka memiliki saluran tersendiri untuk menerima pandangan dan rintihan ahli. Betullah masing-masing ada saluran dan kita boleh menerima dakwaan tersebut tetapi persoalannya tahap mana keberkesanan saluran yang dimaksudkan. Di dalam zaman yang serba canggih ini jika hubungan antara ahli dan pimpinan masih menggunakan kaedah kuno maka sudah tentu akan membawa organisasi berkenaan menjadi primitif jua. Sebagai contoh penggunaan surat dan email, menulis dan menghantar dan menunggu jawab balas surat memakan berhari-hari jika tidak minggu sedangkan email boleh ditulis dan dijawab dalam hari yang sama. Bayangkan betapa banyak kerja surat menyurat dapat disiapkan melalui email berbanding surat biasa jika kaedah baru ini ditingkatkan penggunaannya!

Ini baru satu contoh pembaharuan dan penambahbaikan yang PAS tidak ada pilihan melainkan terpaksa mengambilnya. Aduan Abdullah Karim dan YB Khalid Samad mengenai saluran parti yang tidak berfungsi dengan berkesan bukanlah perkara baru. Anak Bapa sendiri melalui kawasan telah menghantar bermacam jenis memorandum kepada pihak atasan lengkap dengan komen, aduan dan jalan penyelesaian tetapi satu patah ucapan notifikasi pun kita tidak terima. Kita melihat seolah-olah macam ada “black hole” kat atas sana yang kerjanya menelan segala jenis surat dan maklumat yang dihantar. Kalau pun bukan “black hole” mungkin juga saluran yang ada sudah tersumbat.

Kita faham betapa sibuk pimpinan di atas sana bertugas untuk jamaah dan ahli dan kini juga kepada rakyat tetapi tentu mereka lebih faham kaedah “aulawiyyat” atau “prioritization” yakni keutamaan dalam tugas mereka. Jikalau YB Mahfuz Omar (ketika itu Ketua Penerangan PAS Pusat) boleh memohon maaf kerana telah berbohong kepada rakyat tentang isu pertemuan PAS dengan UMNO, maka langkah utama kepimpinan mengikut saluran yang betul ialah memanggil semua pihak yang terlibat dan membuat siasatan lengkap dan seterusnya melaksanakan hukuman dengan setimpal. Pembohongan bagi sebuah jamaah Islam (apatah lagi secara terbuka) adalah satu jenayah yang sangat serius dan boleh menghakis kepercayaan rakyat kepada PAS.

Apabila Ustaz Ahmad Awang (ketika itu adalah Pesuruhjaya PAS Perak) membuat pendedahan dalam Muktamar PAS 2009 bahawa ada pimpinan tinggi PAS menalipon beliau supaya “mempertimbangkan kerajaan campuran PAS dengan UMNO di Perak” sepatutnya dengan saluran yang betul, PAS perlu menjalankan siasatan bebas melihat dengan teliti dan mengambil tindakan bersesuaian ke atas mereka yang terbabit kerana kita melihat ada unsur-unsur pengkhianatan dalam kes ini. Begitu juga apabila Tok Guru Mursyidul Am (yang jarang menegur kepimpinan kita secara terbuka) mencadangkan EGM bagi memecat Ustaz Nasaruddin Mat Isa, Mustafa Ali dan Dr. Hasan Mohd Ali, sepatutnya mengikut saluran parti, PAS perlu menyiasat segera dan mengambil tindakan perlu. Begitu juga apabila berlaku pertembungan terbuka oleh Ustaz Harun Din dan Dr. Hasan Mohd Ali ke atas keputusan PAS Pusat berhubung status penggunaan kalimah “Allah”, saluran yang betul ialah PAS perlu memanggil pihak yang terbabit dan seterusnya mengambil tindakan perlu bagi membetulkan keadaan. Dan banyak lagi insiden lain yang berlaku selepas PRU ke 12 yang perlu tindakan segera tetapi tidak berlaku walaupun pelbagai saluran parti telah digunakan oleh pimpinan dan ahli untuk memberi maklum dan aduan.

Bodoh sangat ke YB Khalid Samad, seorang veteran PAS dan Abdullah Karim, seorang aktivis dan peguam yang gigih, dan mereka-mereka yang lain yang sewaktu dengan mereka mendedahkan segala permasalahan yang sedang kita hadapi secara terbuka jika saluran parti yang ada berkesan dan berfungsi dengan baik. Disebabkan tersumbatlah atau “disumbatkan oleh tangan-tangan ghaiblah” yang menyebabkan mereka memilih saluran lain. Ini pun, Anak Bapa yakin, dibuat atas rasa kebertanggungjawaban dan bimbangnya mereka terhadap keadaan parti dan Pakatan Rakyat.

Anak Bapa ingin memberi ingatan kepada semua bahawa amanah PAS bukan saja ke atas ahli-ahlinya tetapi terhadap seluruh rakyat Malaysia. Segala tindak-tanduk kita akan diperhati dan dinilai semua pihak kerana kita dianggap alternatif kepada UMNO untuk memerintah negara kelak. Sebarang “double standard” atau tindakan berpilih-pilih terutama terhadap isu-isu dasar seperti keadilan dan kezaliman akan menghakis terus kepercayaan bukan saja rakyat kepada kita tetapi juga ahli kita sendiri. Sebarang saluran yang memungkinkan maklumbalas daripada ahli dan pimpinan bawahan ke pihak atasan tersekat atau terganggu perlu diperbetulkan dan diperbaiki. Jika ada “tangan-tangan ghaib” yang masih menghalang kerja-kerja “pembersihan” saluran ini maka “tangan-tangan” itu sendiri perlu dinyahkan. Bukankah kita pernah berkata kepada pimpinan UMNO, “jawatan itu bukan hak mutlak sesiapa, apabila diri dah tak mampu nak bekerja dengan baik eloklah dilepaskan jawatan kepada yang lebih mampu dan jangan tunggu sampai orang sumpah seranah kelak!”

Sehubungan dengan itu, Anak Bapa ingin meminjam kata-kata daripada Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, “jika anda tidak boleh membantu jamaah (yakni tak boleh lagi bekerja dengan baik), jangan menyusahkan jamaah (yakni duduk jadi tunggul kat atas sana menyekat kemajuan PAS)”.



Anak Bapa: Masih menghitung kesan bahana yang menimpa .........

2 comments:

Kapten Zero said...

Betul Kalau dah tak tau nak buat kerja sebagai PJ maka patut berhenti daripada jawatan tersebut daripada dok merosakkan PAS dan merugikan jamaah. TITM juga perlu sedar kalau taklarat atau takupaya nak tanggung jawatan Naib Presiden maka bersara jangan bertanding; jawatan nak kerja bodoh sama saja dgn pj Selangor.

Anonymous said...

taknak brtanding ketua cabang?