Serangan bertali arus daripada UMNO/BN (UBN) ke atas Pakatan Rakyat (PR) bukanlah fenomena yang baru. Selepas “pulih” daripada kejutan PRU ke 12, UBN bingkas bangun dengan penuh dendam kesumat ingin menghancurluluhkan PR. Rampasan kuasa di Perak adalah antara agenda jahat mereka yang bukan sahaja membelakangkan kehendak rakyat tetapi memperlihatkan kelahapan mereka sehingga sanggup menggunakan apa saja kaedah termasuk “membusukkan” undang-undang, mahkamah dan institusi beraja.
Berselindung di belakang NGO Melayu, UBN mulai meniup semangat perkauman di kalangan orang Melayu dalam isu pembinaan kuil di Shah Alam, isu kalimah Allah dan serangan fitnah ke atas Ketua Menteri DAP di Pulau Pinang. UBN tidak mempedulikan implikasi ke atas hubungan kaum di negara ini yang begitu harmonis selama ini dan sanggup menjilat ludah 1Malaysia yang mereka war-warkan semata-mata ingin memastikan kehancuran PR. Kemudian mereka cuba beri tekanan ke atas pimpinan PR melalui tindakan undang-undang dan gerak kerja polis dan SPRM, dan yang terakhir kes Liwat II ke atas DSAI untuk mematahkan semangat juang yang begitu bersemarak di kalangan pimpinan PR. Malangnya semakin banyak serangan mereka lancarkan semakin bertambah kuat dan padu PR.
Beberapa hari kebelakangan ini UBN menggunakan pendekatan baru melalui katak-katak yang mereka telah “beli” untuk meneruskan agenda jahat mereka. Katak-katak ini akan mereka gunakan sepuas-puasnya sebelum dicincang untuk dijadikan makanan buaya. Cuba singkap sejarah dan lihat berapa orangkah yang berpaling tadah ke UMNO diberi tempat yang istimewa dalam parti dan kerajaan? Khairi Jamalauddin yang tak melompat pun tak diberi apa-apa jawatan dalam kabinet Najib. Ini jawatan Ketua Pemuda UMNO yang secara tradisinya sentiasa memegang jawatan menteri! Tengok apa jadi kepada Nakhaie, Ezam, Zahid Md Aris, Lokman, Ruslan Kasim dan mereka-mereka yang sewaktu dengan puak ini. Mereka ini masih merempat menjadi pecacai UMNO untuk pergi sana sini mencaci musuh UBN. Tak lebih dari itu tugas mereka, hina dan menjijikkan.
Apa yang menghairankan, dalam suasana yang begini muram, ada lagi katak-katak yang sedia melompat menyertai puak yang sudah tidak relevan ini. Berilah apa alasan sekali pun; penyelewengan pimpinan PRlah, kerana perjuangan agama, bangsa dan negaralah, DAP komunislah, semuanya hanya alasan untuk lari daripada amanah kepada rakyat. Golongan tidak berprinsip ini sanggup ke hulu ke hilir mencaci pimpinan PR termasuk di dalam dewan rakyat yang mulia kerana ingin mendapat pujian tuan mereka UMNO. Jika betul-betul mereka seorang pejuang sila letak jawatan wakil rakyat yang diperolehi hasil keringat dan air mata pendokong PR dan rakyat dan kita bersilat di gelanggang pilihanraya atas tiket peribadi kamu! Itu baru anak jantan namanya. Tok sah dok berperangai macam pondan siam, berani kat jauh aje.
Tetapi Anak Bapa yakin puak-puak bermasalah yang keluar daripada PR ini akan mengukuhkan lagi perjuangan PR dalam meneruskan agenda Ketuanan Rakyat. Yakinlah pecacai UBN ini akan membawa musibah besar kepada UMNO sedikit masa lagi. Elok kita tumpu dan fokus kepada gerak kerja kita yang masih banyak lagi ……..
Anak Bapa: Anak Bapa nak merayu bersungguh-sungguh kepada pimpinan PR supaya tapis betul-betul calon wakil rakyat kita untuk PRU ke 13 kelak. Cukuplah dengan jenis musang berbulu ayam yang dok ada. Anak Bapa tengok ada lagi jenis ini yang belum lagi menjadi wakil rakyat tetapi masih duduk dalam PR. Tolong hati-hati
No comments:
Post a Comment