Pemimpin UMNO gila meroyan bila datang ke Selangor. Acapkali mereka turun ke sini dah jadi macam wirid untuk ulangi BN akan rampas Selangor dalam PRU 13 akan datang.
Baik Muhyiddin atau Najib ungkapannya sama, rakyat Selangor sedang menderita di bawah kerajaan PR dan tak sabar-sabar untuk mengundi BN semula. Jika betul bagai dikata kenapa tak bubar lagi parlimen supaya senang kita lihat betul atau tidak dakwaan mereka.
Bagi pemimpin UMNO, kehilangan Selangor adalah sesuatu yang amat sukar diterima. Negeri terkaya dengan KDNK sekitar 10% dan menyumbang kepada 20% KDNK Malaysia, hasil cukai dikutip lebih RM16 bilion setahun, dan pendapatan negeri dan kerajaan berbilion setahun, kejatuhan Selangor dari tangan mereka ibarat badan dipanah petir. Mereka mungkin belum mati tetapi lumpuh teruk sudah pasti.
UMNO mensasarkan matlamat utama merampas Selangor pada pilihanraya yang akan datang selain daripada mendapatkan semula dua pertiga majoriti di parlimen. Ini bukan saja penting untuk kerelevanan UMNO/BN tetapi yang lebih utama kelangsungan nyawa politik Najib. Daim dah cakap bahawa kegagalan Najib memperolehi matlamat di atas akan mempercepatkan gerakan menumbangkannya daripada persada politik tanahair.
Tetapi kenapa pula rakyat Selangor perlu serah Selangor kepada Najib dan gengnya? Bukankah selepas lebih 50 tahun mentadbir Selangor mereka telah berjaya memporakperandakan negeri yang kaya ini. Pemimpin UMNO menjadikan harta rakyat Selangor bagai harta mak bapa mereka.
Tak perlu tengok jauh. Lihat saja harta kekayaan pemimpin UMNO Selangor. Samada ia telah disabitkan di mahkamah atau belum, apa yang pasti pemimpin UMNO silih berganti terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan kuasa.
Ingat cerita Khir Toyo dan Dato' Z dengan "istana" mereka, Muhammmad Taib dengan kes bawa jutaan wang tunai di Australia, skandal kawasan perdagangan bebas Pelabuhan Kelang, lawatan Khir Toyo dan keluarga serta kroni ke Disneyland, skandal BALKIS, "kehilangan" duit Yayasan Selangor lebih RM500 juta dan seribu satu macam lagi penyelewengan UMNO/BN di Selangor.
Sebaliknya, kerajaan PR pula terbukti amanah dan telus dalam menjalankan tugas mereka. Dalam tempoh hanya 4 tahun pentadbiran, mereka bukan saja tidak pernah kebas hak rakyat Selangor malah berkongsi hasil mahsul Selangor dengan rakyat melalui gagasan "Merakyatkan Ekonomi Selangor". Air percuma 20 meter padu, skim pelaburan anak-anak Selangor TAWAS, skim khairat usia emas SMUE, bantuan qardhul hasan SKIMSEL dan MIMBAR, Jom Shopping, Program Keceriaan Bangunan untuk pangsapuri kos rendah, bantuan jutaan ringgit kepada sekolah agama rakyat, sekolah Cina dan Tamil serta bermacam lagi manfaat langsung kepada rakyat yang sedang dan telah dilaksanakan. Ini tak termasuk usaha membantu menyelesaikan ribuan kes rumah terbengkalai dan penyerahan geran tanah yang dah bertahun-tahun tertangguh.
Malahan Ketua Audit Negara saban tahun akan memuji Selangor sebagai antara negeri terbaik dalam pengurusan kewangan dan tatakelola.
Pencapaian ekonomi pula amat memberangsangkan. Untuk julung kali rizab negeri Selangor telah mencapai RM2 bilion, kutipan zakat hampir mencecah RM400 juta (tahun 2008 ialah RM200 juta), manakala GLC Selangor pula menunjukkan peningkatan ketara pendapatan mereka. Semua ini sesuatu yang tidak mampu dicapai UMNO sejak 28 tahun yang lalu.
Jadi apa pasal rakyat Selangor perlu serah Selangor kepada BN? Supaya mereka boleh kebas semula harta benda rakyat. Pemimpin UMNO yang ada sekarang adalah orang yang sama yang kerja menyamun dahulu. Jika kita tahu sejarah penyamun-penyamun ini adakah kita nak bagi lagi peluang mereka menjaga harta benda kita? Silap besarlah jika kita kata ya.
Anak Bapa yakin rakyat Selangor amat cerdik, secelik zaman IT hari ini. Jangan kita tertipu dengan silap mata UMNO. Bantuan rakyat adalah gula-gula untuk menarik sokongan. Selepas menang mereka akan buat ikut suka hati mereka sehingga 5 tahun lagi apabila mandat rakyat diperlukan. Cukuplah tu!
Anak Bapa: Ingat apa Khir Toyo cakap apabila kerajaan PR laksanakan skim air percuma untuk rakyat. Dia kata program ini membazir duit kerajaan dan memberi tempoh 6 bulan sebelum kerajaan Selangor jadi bengkrap. Kini selepas 4 tahun bukan saja Selangor tak bengkrap tapi kantung negeri hampir penuh. Apa macam?
No comments:
Post a Comment